Anda di halaman 1dari 21

ISI KANDUNGAN

KANDUNGAN MUKA SURAT

BORANG MAKLUM BALAS 1

PENGHARGAAN 2

TUGASAN 1

1.0 Pengenalan teori kognitif 3


1.1 Teori Pembelajaran Kognitif Piaget 3

1.2 Teori Kognitif Lev Vykotsky 9

1.3 Perbandingan Teori Perkembangan Kognitif Vykotsky dan Piaget. 12

1.4 Kritikan pada Teori Jean Piaget dan Lev Vygotsky 12

1.5 Kritikan pada Teori Jean Piaget (1896-1980) 13

TUGASAN 2

2.0 Jean Piaget 15


2.1 Peringkat sensorimotor (lahir 2 tahun) 15
2.2 Peringkat praoperasi ( 2- 7 tahun) 15
2.3 Peringkat operasi konkrit (7 11 tahun) 16
2.4 Peringkat operasi formal (11-15 tahun) 17

3.0 Lev Vykotsky 17

4.0 RUJUKAN 20

5.0 LAMPIRAN 21

1
PENGHARGAAN

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi dengan limpahan rahmat serta nikmat masa,
nyawa dan tenaga yang dianugerahkan kepada saya dapat juga saya menyiapkan tugasan
Perkembangan Kanak-kanak EDUP 3203 ini dengan jayanya. Pertamanya, saya ingin
mengucapkan sejuta penghargaan kepada pensyarah Perkembangan Kanak-kanak, Puan
Sarimah Julpin di atas tunjuk ajar serta bimbingan daripadanya membuka ruang untuk saya
menyiapkan tugasan ini dengan suksesnya.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu bapa
saya yang memberi pemudahcara kepada saya untuk menyiapkan tugasan ini. Mereka telah
memberikan saya segala kemudahan dan sokongan moral sehingga saya berjaya
menyiapkan tugasan ini.

Ucapan penghargaan ini juga saya tujukan kepada rakan sekelas yang sentiasa
memberi tunjuk ajar dan kerjasama kepada saya. Mereka membantu saya dengan
menjawab setiap pertanyaan yang saya utarakan kepada mereka.

Akhir madah, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara
langsung atau tidak langsung sepanjang menyiapkan kerja kursus ini.

2
a) Bincangkan sejauh manakah kepentingan menguasai teori perkembangan kognitif
Jean Piaget (1980- 1986) dan Lev Vykotsky (1943- 1980) kepada guru dalam
merancang serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. (50%)

1.0 PENGENALAN TEORI KOGNITIF

Kognitif pada diri manusia membezakan manusia dengan haiwan serta makhluk lain di
dunia. Kognitif merupakan sesuatu yang berkaitan dengan minda dan akal. Menurut kamus
elektronik Besta, kognitif ialah perkara yang berkaitan dengan kognisi seperti proses
penerimaan maklumat, pemahaman dan penggunaan pengetahuan. Bagi Haliza Hamzah
dan Joy N Samuel (2009) dalam Lew Moi Mooi (2014) kemahiran kognitif merupakan
kebolehan individu untuk berfikir, memberi pendapat, memahami, mengingat,
mengkategorikan, merancang, menaakul, menyelesaikan masalah, mencipta, berimaginasi
dan lain-lain. Menurut mereka lagi, perkembangan kognitif kanak-kanak memberi
penekanan terhadap pemikiran kanak-kanak. Hal ini bermakna perkembangan kognitif
merupakan corak perubahan pemikiran yang berlaku daripada zaman kanak-kanak.

Bagi Mok Song Sang (2008) kemahiran kognitif membolehkan individu itu memberi
pendapat, memahami, dan mengingati perkara-perkara yang berlaku di sekeliling. Jelaslah
di sini bahawa perkembangan kognitif sebenarnya melambangkan proses mental. Semakin
berkembang mental individu semakin berkembang kemahiran minda mengikut kadar umur
bagi kanak-kanak normal.

Kajian tentang kognitif ini dipelopor oleh dua tokoh terkenal iaitu Jean Piaget ahli psikologi
Switzerland dan Lev Semenovich Vygotsky ahli psikologi Russia. Jean Piaget melahirkan
teori yang dikenali sebagai Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget manakala Lev
Vygotsky pula memperkenalkan Teori Perkembangan Kognitif Lev Vygotsky

1.1 Teori Pembelajaran Kognitif Piaget

Teori perkembangan kognitif Jean Piaget memberi fokus kepada aspek biologi dan
pengalaman dalam mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak. Piaget
berpandangan bahawa manusia membina struktur minda yang akan membantu mereka
menyesuaikan diri dalam persekitarannya. Kemahiran ini berubah secara sistematik dan
berterusan (Santrock, 2012 dalam Lew Moi Mooi, 2004)

3
Piaget percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui aksi. Interaksi mereka dengan
persekitaran semasa membesar membantu mereka mencipta dengan sendiri tanpa
pertolongan orang dewasa, pengetahuan atau skema. Skema dalam individu bermula
apabila individu memperoleh pengalaman baru, menyusun pengalaman-pengalaman
tersebut di dalam minda dan kemudiannya membentuk suatu sistem. Organisasi merupakan
proses penyusunan pengalaman-pengalaman baru. Skema-skema yang terbentuk ini akan
digunakan untuk menyelesaikan masalah. Pembentukan skema bermula dengan skema
yang ringkas kemudian ke skema yang kompleks. Skema yang sedia ada biasanya akan
sentiasa berdepan dengan situasi yang baru, oleh itu penukaran skema adalah perlu.
Proses penukaran skema lama kepada skema baru disebut adaptasi. Pengetahuan baru
sentiasa menggantikan skema yang lama dalam proses yang dikenali sebagai asimilasi,
akomodasi dan ekuiliberasi.

Adaptasi melibatkan dua proses iaitu asimilasi dan akomodasi. Asimilasi terjadi apabila
individu cuba memahami pengalaman baru dan menyesuaikannya dengan pengalaman
lama, manakala akomodasi ialah penukaran skema lama kepada skema baru. Proses
mengorganisasi, asimilasi, adaptasi dan akomodasi merupakan proses untu mencapai
keseimbangan. Individu hanya akan berjaya menyelesaikan masalah apabila berjaya
memenuhi kesemua proses ini. Proses-proses ini penting untuk diketahui oleh bakal-bakal
guru kerana proses ini membantu guru untuk memahami cara muridnya berfikir dan
mengajar serta menerangkan dengan tepat input-input yang hendak disampaikan.

Piaget juga menekankan bahawa perkembangan intelektual menguasai semua aspek


perkembangan yang lain seperti emosi, sosial dan moral. Piaget menyatakan bahawa setiap
individu cenderung untuk memahami persekitaran. Individu cenderung untuk memahami
situasi tertentu dan menyelesaikan kekusutan. Menurut beliau lagi ketidakselesaan timbul
dalam keadaan yang tidak dijangka, maka ketidakselesaan ini mendorong manusia mencari
penyelesaian atau keseimbangan. Proses keseimbangan atau penyelesaian masalah ini
bermula dengan skema.

Beliau mengasaskan teori perkembangan kognitif manusia melalui peringkat-peringkat


perkembangan. Menurut Piaget, proses pemikiran kita berubah secara menyeluruh bermula

4
selepas lahir sehingga kita mencapai kematangan. Setiap individu akan sentiasa mencuba
untuk memahami dan mengadaptasi perubahan-perubahan yang berlaku di persekitaran
mereka. Empat faktor telah dikenalpasti oleh Piaget yang saling berkait yang boleh
mempengaruhi pemikiran individu.

Pertama sekali ialah kematangan biologi, iaitu proses pemikiran yang dipengaruhi oleh
faktor baka atau genetik. Kedua ialah Interaksi individu dengan persekitaran di mana
individu berinteraksi dengan persekitaran untuk memahami perkara-perkara yang berlaku.
Mereka akan meneroka, menguji, memerhati dan menyusun maklumat yang diperolehi.
Seterusnya ialah pengalaman sosial dimana perkembangan kognitif juga dipengaruhi oleh
pergaulan individu dengan orang-orang di persekitaran contohnya ibu bapa, adik beradik,
rakan, guru dan sebagainya. Terakhir sekali ialah keseimbangan. Proses keseimbangan
adalah merupakan salah satu cara yang digunakan individu untuk mengadaptasi dengan
situasi-situasi yang baru dialami.

Peringkat Perkembangan Teori Kognitif Jean Piaget terbahagi kepada empat peringkat iaitu
sensori motor, pra-operasi, operasi konkrit dan operasi normal. Pada peringkat
sensorimotor yang bermula sejak lahir hingga dua tahun, pergerakan fizikal dan
penggunaan deria merupakan elemen penting dalam proses perkembangan kognitif kanak-
kanak. Kebanyakkan skema yang dibina adalah berdasarkan komunikasi fizikal bayi dengan
persekitaran. Sebenarnya selepas lahir, bayi dapat membezakan objek di persekitaran.
Pada usia 4 hingga 8 bulan kanak-kanak mempunyai daya koordinasi di antara penglihatan
dan sentuhan.(Mok Song Sang, 2008). Mulut merupakan alat untuk berinteraksi dengan
persekitaran kerana kanak-kanak menggunakan mulut untuk menghisap objek yang
diminati. Pada peringkat ini juga kanak-kanak mula menunjukkan pemikiran yang logik.
Setiap aktiviti yang dilakukan ada matlamatnya dan pada peringkat ini juga kanak-kanak
boleh mengulang proses asal secara fizikal. Peniruan (limitasi) mudah berlaku dalam
peringkat ini, dimana kanak-kanak boleh menggambarkan objek dalam memori.

Menurut Piaget, pencapaian kemahiran kognitif yang paling signifikan pada peringkat akhir
sensorimotor ialah kanak-kanak mampu mencapai pengekalan objek, iaitu keupayaan untuk
menggambarkan objek-objek didalam memori. Kanak-kanak faham tentang kewujudan
objek walaupun mereka tidak dapat melihat, mendengar atau menyentuh objek berkenaan.
Pengekalan objek boleh dikatakan sebagai satu konsep asas yang dibina oleh kanak-kanak
untuk memahami persekitaran fizikal. Contohnya, kanak-kanak tahu bahawa ibunya tidak
hilang walaupun ibu tidak ada dalam kawasan penglihatannya.

5
Peringkat seterusnya iaitu peringkat pra operasi yang berlaku pada usia dua hingga
tujuh tahun. Pada peringkat ini, mereka akan menggunakan minda untuk membentuk
skema-skema baru. Menggambar dan merancang aktiviti pergerakan membantu
memperkembangkan kognitif kanak-kanak pada peringkat ini. Kanak-kanak mula
melambangkan objek dengan simbol (bahasa).

Proses perlambangan dikenali sebagai fungsi semiotik. Pada peringkat ini kanak-kanak
mula bermain permainan membayangkan (pretend play). Mereka akan mengambil watak-
watak yang menarik pada mereka untuk ditiru dalam permainan membanyangkan ini.
Menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel (2009) dalam Lew Moi Mooi (2014), kanak-
kanak turut memberi kualiti atau ciri benda hidup kepada benda bukan hidup contohnya kilat
terjadi kerana bumi marah. Perkara tersebut adalah antara ciri perkembangan kognitif
Piaget iaitu animisme. Pemikiran kanak-kanak pada masa ini bergantung kepada benda-
benda yang konkrit. Kanak-kanak juga belum boleh berfikir secara logik dan rasional.
Kanak-kanak pada peringkat ini mampu menceritakan semula pengalaman mereka dengan
ayat yang mudah dan mengingati segala arahan yang pendek dengan mudah dan tepat.
Selain itu, mereka mengamalkan elemen egosentrisme. Egosentrisme merujuk kepada sifat
kanak-kanak yang suka meihat dan memahami persekitaran melalui perspektif diri sendiri
(Santrock, 2012 dalam Lew MoiMooi, 2014). Mereka tidak dapat membezakan antara
pandagan sendiri dengan pandangan orang lain. Sebagai contoh, kanak-kanak yang suka
makan aiskrim menganggap orang lain juga suka makan aiskrim.

Menurut Piaget, pada peringkat ini kanak-kanak membentuk konsep dan skema dengan
kadar yang cepat. Pembentukan konsep berlaku pada dua tahap iaitu tahap simbolik dan
tahap intuitisi. Mereka juga masih belum menguasai konsep pengekalan isipadu, panjang
dan nombor, konsep transformasi, keterbalikan dan menaakul.

Peringkat seterusnya iaitu peringkat operasi konkrit berlaku pada usia tujuh hingga dua
belas tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak menggunakan penaakulan logik berbanding
dengan penaakulan intuisi pada peringkat praoperasi. Namun, penaakulan logik ini
berasaskan pada objek yang spesifik dan bersifat konkrit (Santrock, 2012 dalam Lew Moi
Mooi, 2014). Kanak-kanak dapat mempertimbangkan beberapa ciri objek secara serentak
bukan lagi berfokus kepada satu ciri. Mereka masih belum mampu menggambarkan
langkah-langkah peneyelesaian kepada soalan algoritma yang bersifat abstrak. Kanak-
kanak boleh membuat penaakulan operasi tambah, tolak, darab dan bahagi berdasarkan
objek konkrit.

Pada peringkat ini, mereka mempunyai kemahiran kognitif untuk memahami konsep
pengekalan iaitu memahami bahawa sesuatu objek yang mengalami perubahan ketara

6
masih mempunyai sifat yang sama. Sebagai contoh, sekeping kertas yang telah digunting
kepada empat bahagian, ciri (jumlah kawasan) kertas itu tidak berubah. Sebelum mereka
memahami konsep pengekalan, mereka harus mengetahui tiga prinsip asas iaitu, prinsip
identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan.Walau bagaimanapun, pada tahap ini
kanak-kanak masih belum boleh mentafsir perkara-perkara yang abstrak umpamanya
konsep ketuhanan, neraka dan syurga.

Dalam konsep ini, kanak-kanak perlu menguasai tiga prinsip asas iaitu Prinsip identiti
dimana mereka tahu sekiranya tiada bilangan yang ditambah atau dikurangkan, bilangan
atau amaun objek adalah sama walaupun bentuknya berubah. Kedua ialah prinsip ganti
rugi dimana mereka tahu sesuatu perubahan pada satu segi akan diganti oleh perubahan
dalam satu aspek yang lain. Terakhir sekali ialah prinsip keterbalikan dimana kanak-kanak
boleh mengulang proses yang berlaku secara mental kepada keadaan asal semula.

Terdapat empat jenis aktiviti pengekalan yang dijalankan oleh Piaget untuk mengukur
pemahaman kanak-kanak terhadap konsep pengekalan iaitu pengekalan nombor (bilangan),
pengekalan pepejal, pengekalan ruang, dan pengekalan isipadu cecair. Jadual 4.1 dan 4.2
di bawah adalah antara aktiviti menguji kekekalan nombor, pepejal dan ruang.

Jadual 4.1 Aktiviti Menguji kekekalan isipadu

7
Jadual 4.2 Aktiviti menguji kekekalan nombor, pepejal dan ruang

Kanak-kanak pada peringkat ini juga berkeupayaan untuk menguasai proses pengelasan
dan proses penyusunan secara bersiri (dari kecil ke besar atau sebaliknya atau bilangan
menaik kepada menurun atau sebaliknya). Pemikiran kanak-kanak pada usia ini mula
mengubah pemikiran mereka iaitu daripada pemikiran egosentrik kepada pemikiran
decentered (memahami persepsi orang lain). Kanak-kanak ini juga mula bersosial dan
masih tidak dapat berfikir secara abstrak.

Kanak-kanak sudah mula mampu berfikir secara logik, tetapi hanya dapat berjaya
melakukan kebolehan ini dalam keadaan konkrit atau menggunakan objek maujud. Satu
sifat yang ada pada kanak-kanak pada peringkat ini ialah konsep keabadian atas kuantiti
sesuatu bahan walaupun bahan itu mengalami perubahan yang ketara. Mereka sudah
pandai melakukan operasi konkrit dan menguasai konsep kuantiti dan bentuk bersiri seperti
lebih berat, lebih tinggi dan sebagainya.

Peringkat operasi formal berlaku semasa umur 11 sehingga 15 tahun. Pada peringkat
ini, kemahiran kognitif individu mula berkembang daripada pemikiran konkrit kepada
pemikiran abstrak, logik dan idelistik. Mereka boleh berfikir secara sistematik untuk
memberi idea terhadap beberapa kemungkinan penyelesaian, boleh membuat hipotesis dan
mencari alternatif untuk menyesaikan masalah. Mereka juga mula menerima konsep induktif
dan deduktif dalam pengajaran dan pembelajaran. Mereka mempunyai kemahiran kognitif
untuk berfikir secara abstrak tentang kemungkinan jawapan untuk soalan matematik dan
eksperimen sains. Mereka boleh menyelesaikan masalah algoritma dan algebra dengan
menggunakan simbol-simbol abstrak seperti dan dan sebagainya untuk mewakili

8
nombor. Pemikiran mereka juga dipengaruhi oleh sikap egosentrisme semula. Ia berlainan
dengan egosentrisme pada peringkat konkrit. Mereka lebih tertumpu pada idea dan
pandangan diri sendiri.

Rumusannya, oleh kerana Piaget menyarankan bahawa kanak-kanak belajar melalui


pengalaman dan melakukan aktiviti secara hands-on, penyediaan persekitaran yang
menarik dan merangsang pembelajaran adalah penting. Persekitaran yang kondusif adalah
penting untuk membolehkan kanak-kanak mencipta pengetahuan secara tidak langsung.
Untuk tujuan ini, penggunaan makmal, bengkel dan teknologi yang interaktif sangat berguna
bagi menggalakkan perkembangan kreatif kanak-kanak. Sebaliknya, penghafalan maklumat
dan pembelajaran bahasa secara latih-tubi ditolak sama sekali oleh Piaget. Jelasnya, ramai
pakar pendidikan psikologi menganggap teori perkembangan Piaget hampir sempurna
kepada sistem perkembangan kognitif manusia. Banyak pandangannya yang bersangkut
paut dengan pemprosesan maklumat di dalam otak manusia.

Melalui model pemprosesan maklumat Piaget menjelaskan bahawa penerimaan maklumat


bergantung pada pemprosesan dan penterjemahan data sensori dan menukar data itu ke
dalam bentuk yang boleh disimpan dan diguna semula apabila diperlukan. Dengan
mempelajari bagaimana otak manusia memproses maklumat, kita dapat melihat dan
mengkaji bagaimana manusia mampu berfikir, berpersepsi, menterjemah dan mempercayai.
Jean Piaget memandang kecerdikan itu sebagai dasar kepada proses yang aktif di mana
manusia dapat memperoleh maklumat melalui interaksi dengan pelbagai objek, idea dan
pergaulan dengan orang lain di persekitarannya.

1.2 TEORI KOGNITIF LEV VYKOTSKY

Bagi Piaget perkembangan kognitif adalah bersifat individu dimana individu atau kanak-
kanak itu meneroka, membentuk idea dan menguji secara persendirian. Ini berbeza dengan
teori perkembangan kognitif Vygotsky kerana Vygotsky menyatakan bahawa perkembangan
kognitif individu ditekankan oleh peranan sosial dan budaya. Pembelajaran bukan sekadar
melalui proses asimilasi dan akomodasi tetapi melalui hubungan sosial antara kanak-kanak.
Bahasa dan budaya memainkan peranan penting dalam perkembangan kognitif kanak-
kanak.

Bagi Vykotsky, sistem kematangan biologi kanak-kanak yang mentah membataskan


perkembangan kognitif kanak-kanak, tetapi sosiobudaya dan persekitaran kanak-kanak
membantu perkembangan kognitif. Interasi sosial sebenarnya memberi rangsangan kognitif
kepada kanak-kanak apabila mereka berbual atau bergaul. Perkembangan minda dalam

9
interaksi sosial ini akan berkesan sekirangan kanak-kanak tersebut berinteraksi dengan
orang yang lebih berpengetahuan daripada mereka. Hasil interaksi haruslah dipraktikkan
dalam kehidupan. (Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel, 2009 dalam Lew Moi Mooi, 2014)

Teori budaya-sosial (socio-cultural) menyatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui


interaksi sosial dan budaya. Budaya dan masyarakat memainkan peranan sangat penting di
dalam teori Vygotsky. Menurutnya, pengalaman sosial dan budaya mempengaruhi cara
berfikir, dan perkara yang difikirkan. Kanak-kanak berinteraksi menggunakan bahasa atau
dialog dengan ahli-ahli yang lain dalam masyarakatnya untuk belajar tentang nilai budaya.
Kanak-kanak mengembangkan bahasa mereka melalui interaksi dengan ibu bapa serta
rakan-rakan di dalam budaya mereka

Berdasarkan kepercayaan bahawa pembelajaran adalah satu proses kolaboratif dan


dipengaruhi oleh budaya, Vykotsky membahagikan perkembangan kognitif kepada dua
tahap. Tahap perkembangan sebenar (actual development) ialah tahap yang mana individu
mampu menyelesaikan masalah sendiri.

Satu lagi tahap ialah tahap perkembangan potensi (potential development) yang mana
individu belum mampu untuk menyelesaikan masalah tetapi ada potensi untuk
melakukannya. Antara tahap perkembangan sebenar dan tahap perkembangan potensi
Vykotsky menamakannya sebagai Zon Perkembangan Proksimal. Proksimal bermaksud
seterusnya (next). ZPD merupakan linkungan kemampuan individu untuk melakukan tugas-
tugas dengan jayanya dengan bantuan orang yang lebih mahir. ZPD akan bergerak ke aras
yang lebih tinggi apabila individu itu mempelajari kemahiran baharu. Ketiga-tiga ini
diringkaskan dengan persoalan seperti; Apa individu boleh buat sendiri (Perkembangan
Sebenar), Apa individu boleh buat dengan bantuan (ZPD), dan Apa individu belum boleh
buat sekarang (Perkembangan potensi). Zon Perkembangan Proksimal bukan satu keadaan
yang tetap tetapi adalah tahap seterusnya yang individu boleh melakukan sesuatu diri
sendiri. Individu seharusnya mengetahui ZPD sendiri supaya guru-guru dapat membimbing
mereka ke arah merealisasikan potensi mereka.

Vykotsky mendapati bahawa kanak-kanak yang diuji untuk melakukan tugasan diri sendiri
tidak dapat menyempurnakan tugasan dengan baik jika berbanding dengan hasil tugasan
yang kolaborasi bersama orang dewasa. Justeru ZPD adalah penting untuk memahami
perkembangan bahasa dan pengolahan idea kanak-kanak di luar bilik darjah yang
melibatkan interaksi dengan rakan sebaya dan orang dewasa. Menurut Haliza Hamzah dan
Joy M. Samuel (2009) dalam Lew Moi Mooi (2014), menyatakan zon perkembangan
proksimal ialah istilah yang digunakan Vykotsky untuk menjelaskan bagaimana kemhiran-

10
kemahiran yang sukar dilaksanakan dapat dijayakan dengan bantuan orang dewasa atau
rakan yang berkemahiran.

Jelaslah disini bahawa kemahiran yang sukar memerlukan bimbingan orang yang
berkemahiran supaya objektif untuk memperkembangkan kognitif dapat dicapai. Dengan
bantuan, perkembangan kognitif dapat berlaku dengan cepat kerana sentiasa dirangsang
oleh persekitaran melalui interaksi.

Beberapa ciri penting teori ini dijelaskan seperti berikut:

i. Tahap pembelajaran atau kematangan mental seseorang kanak-kanak boleh


ditingkatkan melalui perencah (scaffolding). Scaffolding merupakan pertolongan atau
bimbingan yang diberi oleh orang yang lebih berpengalaman untuk meningkatkan
tahap pembelajaran atau pemikiran kanak-kanak.

ii. Vygotsky percaya semua orang mempunyai Zone Of Proximal Development (ZPD)
iaitu potensi kognitif pada tahap yang lebih tinggi. Potensi ini hanya mampu dicapai
melalui proses scaffolding. Konsep scaffolding berkait rapat dengan idea Zon
Perkembangan Proksimal. Scaffolding bermaksud mengubahsuai tahap sokongan
yang diberikan. Semasa proses pengajaran berlaku, individu yang lebih
berkemahiran seperti ibubapa atau guru akan mengubahsuai tahap bimbingan yang
diberikan mengikut keupayaan pelajar. Apabila seseolang pelajar mempelajari
kemahiran baru atau kemahiran yang sukar, guru mungkin akan memberi bimbingan
penuh tetapi apabila pelajar sudah mula memahami, bimbingan yang diberi
dikurangkan sehingga pelajar boleh menguasai kemahiran tersebut (Santrock, 2007
dalam Lew Moi Mooi, 2014)

iii. Bahasa merupakan alat untuk berfikir dan alat yang digunakan oleh orang dewasa
untuk memindahkan pengetahuan kepada kanak-kanak.

iv. Alat-alat yang digunakan dalam sesuatu budaya atau cultural tools (seperti bahasa,
media, televisyen atau komputer) adalah sangat penting untuk meningkatkan
komunikasi, pembelajaran dan pemprosesan pemikiran ke tahap yang lebih tinggi.

Untuk memberi scaffold dengan berkesan, seseorang guru harus sentiasa mencabar murid-
murid untuk mencapai tahap keupayaan yang melangkaui tahap yang sedia ada. Cabaran
guru ialah mengenal pasti tahap optimum keseimbangan memberi bimbingan dan

11
kebebasan kepada murid-murid berdikari dalam pembelajaran. Peranan guru bukan
mengajar murid-murid melaksanakan tugas tetapi ialah menajamkan pemikiran mereka
melalui penglibatan aktif. Guru perlu sentiasa menyesuaikan tahap dan jumlah bimbingan
yang diberikan kepada murid-murid.

Tujuan scaffolding ialah menyerap kemahiran yang diperlukan untuk pembelajaran kendiri
pada masa hadapan. Justeru arahan scaffolding adalah untuk memantau murid-murid ke
arah berdikari dalam pembelajaran. Tugasan yang perlu dilaksanakan adalah lebih
berstruktur dan berfokus, keberkesanan menyiapkan tugasan pun tinggi. Murid-murid
menggunakan masa yang singkat untuk penerokaan dan penyelesaian masalah (Mckenzie,
2000) Arahan scaffolding mengurangkan tahap kekecewaan murid-murid terutamanya
mereka yang lemah dan pasif dalam bidang akademik.

Vygotsky mengutarakan cadangan supaya perkembangan kanak-kanak didasarkan kepada


keupayaan mereka menggunakan perantaraan bahasa, sistem nombor dan peta bagi
perkembangan kognitif. Keupayaan mereka pula bergantung kepada pendedahan mereka
kepada pembantu dan persekitaran orang dewasa yang kebiasaannya terdiri daripada guru-
guru dan pengasuh. Ini sangat bermakna terhadap perkembangan kreativiti, kognitif, sosial
dan kemahiran mengawal perasaan.

1.3 Perbandingan Teori Perkembangan Kognitif Vykotsky dan Piaget.

Teori Vykotsky menekankan pembelajaran dalam konteks sosio-budaya manakala Piaget


kurang menekankan pembelajaran dalam konteks sosio-budaya. Tiada peringkat-peringkat
perkembangan kognitif tertentu bagi teori Yvkotsky manakala Piaget menekankan bahawa
perkembangan kognitif individu dibahagikan kepada peringkat-peringkat tertentu. Dalam
teori Vykotsky, konsep-konsep penting termasuk ZPD, dialog dan bahasa sebagai alat
budaya. Manakala bagi teori Piaget, konsep-konsep penting ialah skema, asimilasi,
akomodasi, pengekalan, pengelasan, pemikiran hipotetikal-deduktif dan sebagainya.
Vykotsky beranggapan bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam membentuk
pemikiran individu, manakala Piaget beranggapan bahawa bahasa memainkan peranan
minimal, kemahiran kognitif pada asalnya mengarahkan bahasa. Akhir sekali, Vykotsky
mengatakan bahawa pendidikan memainkan peranan penting membantu kanak-kanak

12
mengenali budaya manakala Piaget mengatakan bahawa pendidikan hanya menajamkan
kemahiran kognitif kanak-kanak.

1.4 Kritikan pada Teori Jean Piaget dan Lev Vygotsky

Isu-isu berkaitan Teori Piaget

Teori perkembangan kognitif Piaget telah mendapat perhatian meluas dalam bidang
psikologi sejak kajiannya dikemukakan. Kajian Piaget menerangkan peringkat-peringkat
perkembangan kognitif kanak-kanak dan proses pemikiran berasaskan perkembangan
skema. Namun, teori dan kajiannya tetap menerima kritikan terutama berkaitan kelemahan
teori dan metodologi yang digunakan. Dari segi kelemahan teori, pengkritik menyatakan
bahawa teori Piaget tidak mampu menerangkan struktur, proses dan fungsi kognitif dengan
jelas. Ada pengkritik yang mempertikaikan kebenaran wujudnya empat perkembangan
kognitif yang disarankan oleh Piaget. Mereka mengatakan sekiranya kanak-kanak melalui
setiap peringkat perkembangan kognitif berasaskan set operasi tertentu, mereka sepatutnya
juga dapat menyelesaikan semua masalah yang memerlukan set operasi yang sama.

Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menunjukkan kemampuan pemuliharaan iaitu yang


terdapat pada tahap operasi konkrit, maka berdasarkan teori Piaget, mereka sepatutnya
dapat menunjukkan kemampuan pemuliharaannya dalam angka dan berat pada masa yang
sama. Namun, dalam kajian yang dilakukan oleh Klausmeier dan Sipple, (1982) dalam Lew
Moi Mooi, (2014) menunjukkan keadaan yang berbeza di mana kanak-kanak sentiasa
menunjukkan kemampuan pemuliharaan berat lebih lewat daripada pemuliharaan angka.
Keadaan ini adalah bercanggah dengan teori Piaget. Dari segi metodologi juga, pengkritik
mempertikaikan kaedah klinikal yang digunakan dalam kajian Piaget di mana kajian dengan
kaedah klinikal sukar untuk diulang. Oleh itu, kesahihannya adalah diragui. Pengkritik juga
menuduh Piaget membuat generalisasi daripada sampel-sampel yang saiznya terlalu kecil
dan tidak menepati piawaian.

1.5 Kritikan pada Teori Jean Piaget (1896-1980)

Piaget telah memberi sumbangan yang amat besar dalam psikologi utama dari segi
penerangannya tentang perkembangan kognitif yang luas. Walaupun bagaimanapun ahli-
ahli psikologi yang lain sependapat bahawa teori terebut mempunyai beberapa kelemahan
seperti berikut:

Ketidaksempurnaan

13
Piaget telah memberi kita satu rangka penerangan tentang perkembangan kognitif kanak-
kanak yang amat berfaedah. Walaubagaimanapun, beliau tidak menjelaskan tentang kaitan
antara teorinya dengan peristiwa-peristiwa empirikal, istilah-istilah penting seperti asimilasi,
akomodasi, keseimbangan dan tahap-tahap perkembangan kognitifnya agak kurang jelas
dan tidak tepat. Tambahan pula, beliau tidak dapat menyatakan dengan jelas bagaimana
kita tahu yang kanak-kanak itu berada dalam keadaan ketidakseimbangan. Namun
demikian, Fisher (1980) telah menyarankan bahawa perkembangan kanak-kanak dalam
sesuatu bidang seperti bahasa, penyelesaian masalah, main peranan dan lain-lain
bergantung pada pengalaman mereka.

Sebenarnya kita bukan sahaja perlu penjelasan tentang kriteria pada setiap tahap tetapi
juga bagaimana perpindahan daripada satu tahap kepada tahap yang lain. Piaget telah
berjaya dalam menghurai tahap-tahap ini daripada menjelaskan pengaliran perkembangan.
Dalam beberapa aspek, Piaget telah memperkecilkan perkembangan kognitif kanak-kanak.
Contohnya, ada kajian yang membuktikan bahawa kanak-kanak faham tentang konsep
kekekalan objek lebih awal daripada apa yang dijangka oleh Piaget. Bukti-bukti kajian
menunjukkan bahawa kanak-kanak praoperasi kurang menunjukkan sifat egosentrik seperti
yang disangka oleh Piaget.

Begitu juga seseorang kanak-kanak praoperasi berupaya menyelesaikan konsep yang lebih
kompleks daripada apa yang disarankan oleh Piaget jika kanak-kanak tersebut diberi
kaedah kajian yang sesuai dengan mereka. Contohnya, jika keadaan kajian keupayaan
kekekalan diatur dengan cermat agar jawapan kanak-kanak tidak terlalu bergantung pada
keupayaan bahasa mereka, kanak-kanak praoperasi ternyata berjaya memberi jawapan
yang betul.

Metologi

Satu kelemahan teori Piaget ialah ketidaksesuaian kaedah yang beliau gunakan untuk
kemungkinan wujud keputusan yang biasa kerana bilangan responden yang sedikit, tiada
pemerhatian yang lain dan kurang kawalan semasa Piaget menjalankan kajian. Apabila
kajian yang sama dijalankan dengan lebih ramai responden dan kawalan yang lebih baik
dalam makmal, aliran tahap perkembangan Piaget dapat membuktikan kebenarannya tetapi
tidak pada umur sebenar perubahan itu berlaku. Kajian Piaget berpendapat bahawa
perkembangan kognitif awal bergantung pada aktiviti motor dan deria. Beliau tidak berfikir
bahawa keupayaan otak bayi mungkin berkembang lebih cepat daripada keupayaan motor
dan deria. Piaget percaya bahawa bayi tidak faham tentang akibat tindakan mereka
terhadap persekitaran sehingga berumur 4 atau 5 bulan iaitu apabila mereka mempunyai
kawalan ke atas pergerakan tangan mereka.

14
Kesimpulannya, kedua teori ini mempunyai kekurangan dan kelebihannya dari aspek yang
berbeza. Secara keseluruhannya, Vykotsky menekankan bahawa pendidikan memainkan
peranan penting membantu kanak-kanak mengenali budaya. Saya beranggapan teori Piaget
lebih universal dan boleh diguna pakai secara meluas kerana beliau menyetuh aspek biologi
dan pengalaman dalam mempengaruhi perkembangan kognitif dimana secara lumrahnya
berlaku dalam sistem biologi pertumbuhan diri kita sendiri. Tetapi secara amnya, kedua teori
ini mengarah kepada kemajuan dalam perkembangan kognitif kanak-kanak sama ada
melaui perkembangan biologi, budaya mahupun persekitaran.

b) Berdasarkan contoh-contoh yang sesuai tunjukkan bagaimana guru mengaplikasi


prinsip-prinsip perkembangan kognitif kanak-kanak secara berkesan dalam pengajaran
dan pembelajaran (30%)

2.0 Jean Piaget

2.1 Peringkat sensorimotor (lahir 2 tahun)

Antara aktiviti yang dapat dilakukan pada peringkat ini untuk membantu perkembangan
kognitif kanak-kanak pada peringkat ini ialah menggunakan objek yang berbunyi terutama
objek yang mengeluarkan lagu kanak-kanak untuk menarik perhatian mereka supaya
mereka mempunyai koordinasi yang baik dan deria motor yang tajam. Guru boleh membeli
puzzle yang berbentuk konkrit kerana ianya merupakan satu permainan yang bermatlamat
dan melatih pemikiran logik kanak-kanak. Persekitaran kanak-kanak haruslah sentiasa
positif kerana telah dinyatakan pada peringkat ini kanak-kanak suka meniru, jadi model yang
terbaik diperlukan untuk memastikan perkembangan kognitif kanak-kanak itu positif. Setiap
pengajaran yang dilakukan dengan cara meniru mestilah betul.

2.2 Peringkat praoperasi ( 2- 7 tahun)

Implikasi terhadap pengajaran dan pembelajaran pada perigkat praoperasi ini ialah
penggunaan bahan bantu mengajar yang konkrit. Contohnya sekiranya seorang guru bahasa
ingin menambah perbendaharaan kata dalam tema alatan sukan, maka guru tersebut boleh

15
membawa alatan sukan seperti bola, bad pingpong, raket tenis, net dan lain-lain ke dalam
kelas untuk mengaplikasi fungsi semiotik. Untuk mengembangkan kemahiran dalam bidang
matematik pula guru boleh menggunakan guli atau batang ais krim untuk menyelesaikan
masalah matematik. Arahan yang diberikan kepada kanak-kanak ini haruslah pendek dan
mudah difahami kerana dengan cara ini mereka boleh mengingat arahan yang diberikan, jadi
sekiranya guru ingin melaksanakan aktiviti untuk muridnya sama ada di dalam kelas ataupun
diluar kelas, arahan yang pendek dan jelas adalah penting. Nasihat dan nilai yang ingin diajar
kepada murid harus disampaikan dalam ayat yang mudah.Untuk mengajar nilai-nilai yang
baik lakonan boleh diaplikasikan dengan menggunakan watak-watak yang digemari
contohnya Ultraman.

Guru perlu mendemonstrasikan perlakuan-perlakuan tersebut sambal memberi arahan verbal


supaya kanak-kanak dapat menghubungkait maklumat dengan simbol yang jelas. Contoh
cadangan aktiviti ialah guru menunjukkan demonstrasi cara-cara membuka televisyen sambal
mengatakan langkah demi langkah dengan arahan mudah, contohnya, tekan butang power ,
tekan saluran yang anda minati, mengubahsuai kekuatan bunyi rancangan dan sebagainya.
Guru juga seharusnya menyediakan pengalaman pembelajaran yang pelbagai yang memberi
peluang kepada kanak-kanak menerokai alam fizikal. Ini boleh dilakukan dengan lawatan ke
Zoo, taman botanika, taman burung dan sebagainya. Tayang video yang relevan dengan
pengalaman kanak-kanak juga dapat membuka minda mereka.

2.3 Peringkat operasi konkrit (7 11 tahun)


Pada peringkat ini proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahan yang konkrit
boleh diteruskan tetapi menggunakan bahan yang lebih menarik. Sebagai contoh sekiranya
seseorang guru bahasa itu ingin mengajar tajuk haiwan, haiwan-haiwan mainan plastik boleh
digunakan. Dalam matapelajaran Sains, eksperimen boleh dilakukan supaya kanak-kanak
pada usia ini dapat berfikir secara kreatif dan kritis. Kanak-kanak harus diberi peluang
bercerita untuk memastikan peningkatan dalam bidang bahasa. Selain ini bahan bacaan
haruslah ringkas dan tersusun. Kaitan antara pengalaman harian dengan proses pengajaran
dan pembelajaran boleh dilaksanakan. Pada peringkat ini, kemahiran kognitif berkembang
dengan pesatnya. Guru patut mewujudkan banyak platform untuk membuat perbincangan
sama ada murid dengan guru, atau murid dengan murid bersandarkan sumber bacaan yang
berkualiti. Bahan bacaan daripada sumber yang boleh dipercayai, sesuai dengan umur murid
dibekalkan kepada semua murid.

Sesi perbincangan atau perbahasan diadakan selepas sesi bacaan. Guru harus kerap
mengadakan sesi soal jawab yang meminta murid-murid menjawab soalan-soalan yang
berbentuk penyelesaian masalah. Strategi ini dapat memperkembangkan pemikiran logik dan

16
analitik murid-murid. Perkara ini boleh diaplikasikan dalam subjek matematik yang mana guru
memperbanyakkan tugasan matematik jenis penyelesaian masalah. Perbincangan langkah
penyelesaian boleh dibuat dalam sesi soal jawab. Kanak-kanak mempunyai banyak konsep
tentang ruang, masa, kuantiti dan faham konsep sebab-akibat. Guru harus memberi respons
yang wajar kepada soalan yang ditujukan murid. Adalah penting untuk mengkaji konsep atau
skema yang dibina kanak-kanak dan cuba memperbetulkan konsep yang salah supaya
mencapai tahap pemarkahan yang lebih tinggi. Sebagai aktivitinya, konsep masa yang
mempunyai unit, saat, minit, jam, hari dan sebagainya harus diajar dengan menggunakan jam
dan kalender supaya konsep yang dibentuk adalah betul.

2.4 Peringkat operasi formal (11-15 tahun)

Implikasinya guru boleh menggunakan bahan konkrit untuk mengajar contohnya dalam
matapelajaran sains. Sekiranya guru hendak menerangkan tentang organ dalaman, haiwan
seperti katak boleh digunakan. Guru sebenarnya patut memberi peluang kepada pelajar untuk
membuat hipotesis atau ramalan awal supaya mereka dapat mengembangkan lagi kognitif
mereka serta menyelesaikan masalah secara kreatif dan kritis. Guru juga sepatutnya
memberi peluang kepada pelajar untuk menjana idea. Dalam penulisan karangan berpandu
misalnya, guru sepatutnya membiarkan pelajarnya membina idea sendiri dan memberi
galakan. Fungsi guru hanya memerhati dan membetulkan sekiranya salah.

Guru harus menggunakan pendekatan konstruktivisme yang menekankan peranan aktif


pelajar dalam mencari penyelesaian kepada masalah. Dalam semua subjek matapelajaran,
guru kemukakan konsep yang luas dan menggalakkan pelajar cuba membina pemahaman
diri sendiri. Oleh itu, guru harus memperkenalkan konsep globalisasi yang luas dan pelajar-
pelajar diminta mengkaji konsep ini supaya mereka memahami cabaran yang wujud daripada
globalisasi.

Guru juga harus mengubah setting bilik darjah yang memudahkan aktiviti penerokaan
dijalankan. Guru menggalakkan interaksi dengan BBM dan rakan sebaya yang dapat
membantu perkembangan kognitif mereka. Oleh itu, guru harus wujudkan bilik darjah
mengikut subjek, contohnya bilik darjah Matemtaik, bilik Geografi, bilik sejarah dan lain-lain.
Bilik-bilik mini telah dilengkapi dengan bahan bantu mengajar subjek masing-masing. Aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang berlansung di bilik subjek khusus ini akan memudahkan
interaksi dengan bahan-bahan. Aktiviti bebrkumpulan juga senang dikendalikan,

Guru selaku fasilitator seharusnya menggalakkan pembelajaran kendiri pelajar. Guru


mendengar, memerhati dan menyoal pelajar. Guru memerhati dan cuba memahami pemikiran
pelajar supaya dapat mengajukan soalan yang sesuai untuk merangsang pemikiran mereka

17
contohnya, adakan lawatan ke kilang, banyak urusan dikendalikan oleh pelajar-pelajar, seperti
surat-menyurat, menempah bas, mengatur aktiviti dan sebagainya.

3.0 Lev Vykotsky

Dari segi pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru yang mengamalkan prinsip-prinsip
teori Vygotsky akan mendapati proses pembelajaran yang sangat aktif. Guru akan
menggunakan teknik scaffolding dengan membimbing dan memberi tindak balas tentang
pembelajaran isi kandungan baru. Guru juga akan menyediakan alat-alat pembelajaran yang
bersesuaian dan mencukupi untuk mencapai objektif pengajaran yang efektif.

Dalam memperkembangkan lagi perkembangan kognitif kanak-kanak guru haruslah


menjadikan komunikasi dua hala bersama pelajar. Komunikasi boleh dijalankan dengan
rangsangan daripada alat bantu mengajar. Guru hendaklah mendengar segala idea yang
disampaikan melalui komunikasi dan membetulkannya jika salah. Untuk menggalakan lagi
komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran, bentuk pengajaran boleh dilaksanakan
dalam kumpulan agar murid-murid dapat berkomunikasi dengan rakan sebaya untuk menjana
idea. Guru hendaklah menyalurkan bantuan yang penuh ketika mengajar kemahiran
kemahiran baru yang belum pernah dipelajari dalam pengajaran dan pembelajaran, kemudian
guru boleh memberi sedikit latihan untuk menguji daya kefahaman pelajar dan sekiranya
pelajar faham, guru bolehlah mengurangkan bantuan dan menggalakan pelajar berfikir.

Sebelum mengajar guru harus menentukan had perkembangan proksimal pelajar dan
menyediakan cara mengajar yang pelbagai dalam menjayakan pengajaran dan pembelajaran.
Dalam matapelajaran bahasa misalnya, untuk mengajar kanak-kanak membaca perkataan
KV+KVK (Contoh perkataan ma+sak) guru harus memastikan kanak-kanak boleh dan mahir
menyebut perkataan KV+KV (Contoh perkataan ma+sa) ini bermakna kanak-kanak telah
menguasai had bawah. Setelah itu dengan bantuan guru kanak-kanak diajar menyebut
pelbagai perkataan berpola KV+KVK. Tahap ini dikatakan zon perkembangan proksimal.
Pada had atas pula kanak-kanak boleh membaca perkataan berpolar KV+KVK dengan
sendiri.

Zon Perkembangan Proksimal murid-murid wajar dikenalpasti dan diberi fokus semasa
mengajar. Penilaian turut mengutamakan tugasan yang boleh dicapai dalam ZPD. Contoh
aktiviti yang boleh dilakukan ialah guru memberi ujian formatif, menjalankan pemerhatian atau
aktiviti penilaian lain yang sesuai untuk mengenalpasti ZPD. Data berkenaan dapat memberi
panduan kepada jumlah bimbingan yang diperlukan oleh murid-murid. Selain itu, guru harus
kerap menggunakan strategi Pembelajaran Koperatif yang banyak menggalakkan
perbincangan antara ahli kumpulan bersesuaian dengan teori kognitif Vykotsky. Aktiviti ini

18
menggalakkkan bantuan daripada rakan sebaya yang sudah mahir. Strategi Pembelajaran
Koperatif seperti STAD dan Jigsaw dapat mencapai matlamat yang dihajati. Murid- murid
perlu bekerjasama untuk mencapai objektif kumpulan.

Murid-murid yang mahir akan membantu mereka yang lemah supaya mendapat gred
kumpulan yang lebih baik. Malahan, guru harus memberi galakan kepada murid-murid untuk
bercakap sendiri semasa menyelesaikan sesuatu masalah. Perlakuan ini membantu murid-
murid menyusun idea dan pemikiran mereka tentang langkah-langkah penyelesaian. Melalui
cara ini, murid-murid harus bercakap sendiri semasa misalnya menyelesaikan soalan
matematik, contohnya, tujuh tolak lapan, tak cukup, macam mana ya?

Oh perlu pinjam daripada nombor lains.Guru harus menjalankan aktiviti perancah yang
disarankan dengan memberi arahan yang bermakna. Selain itu, selalu memberi galakan
kepada murid-murid untuk meneroka dan menyoal dalam aktiviti pembelajaran dan
pengajaran. Sebagai aktivitinya, tugasan dibahagikan kepada unit-unit yang kecil, contohnya,
aktiviti projek Geografi yang telah ditentukan kerangkanya atau langkah-langkah
pengumpulan maklumat tertentu. Guru harus kerap memberi bimbingan terarah kepada
murid-murid dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Guru harus memberi tunjuk cara
kepada kemahiran baharu yang belum dipelajari, murid-murid meniru perlakuan guru dan
melatih kemahiran sehingga mahir didalam bilik darjah. Contohnya, aktiviti melukis potret
orang dalam subjek Pendidikan Seni.

Kesimpulannya, guru adalah antara penyumbang utama dalam membentuk kognitif kanak-
kanak secara berkesan. Guru merupakan antara orang yang lama berada bersama mereka
kerana hampir setengah hari masa kanak-kanak diluangkan di sekolah. Justeru itu, guru
adalah ibarat role model dan tunjang mereka dalam mencari dan membentuk personaliti
mahupun sahsiah dari segala aspek. Para guru terutamanya guru yang mengajar kanak-
kanak bekeperluan khas amatlah digalakkan dapat membantu kenak-kanak yang kurang
upaya ini kerana kita sudah sedia tahu mereka kurang dari segi fizikal mahupun mental dari
kanak-kanak biasa. Oleh yang demikian, Malaysia memerlukan guru yang berilmu,
berdedikasi, gigih dan paling penting sekali ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab
sebagai pendidik ini, kerana kitalah yang bertanggungjawab dalam melahirkan generasi yang
berkualiti pada masa akan dating sekaligus meningkatkan pembangunan negara. Jadi lah
seorang pendidik yang berperanan guru dan bukan hanya digelar cikgu, kerana cikgu
hanyalah status bagi kerjaya ini tetapi guru adalah insan yang mengajar kita kejayaan.

19
Rujukan

(2012). In R. K. Singh, Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI Falsfah dan Etika (pp.
52-54). Selangor, Subang Jaya, Malaysia: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Adlina, S. (2012, November 23). Peranan dan cabaran guru. Retrieved from
blogspot: http://cikgusuepkhas.blogspot.co.uk/2012/11/peranan-dan-
cabaran-guru-pendidikan-khas.html

Aziz, F. (2012, August 25). Teori Perkembangan Jean Piaget. Retrieved from
Blogger: http://muzikrbtpsikologi.blogspot.co.uk/2012/08/teori-
perkembangan-jean-piaget.html

Lew Moi Mooi, Norliza Jaafar, Norulazilah Nordin. (2014). In Perkembangan


Kanak-kanak. Malaysia: Freeminds Horizon Sdn. Bhd.

Perkembangan kognitif kanak-kanak. (2010, Mac 7). Retrieved September 10,


2015, from http://zackzahran.blogspot.sg/2010/03/perkembangan-kognitif-
kanak-kanak.html

Ustaz Yunus. (2012, November 29). CABARAN PENDIDIKAN DAN USAHA-USAHA


UNTUK MENANGANINYA. Retrieved Ogos 20, 2015, from
http://ustazyunus75.blogspot.com/2012/11/cabaran-pendidikan-dan-
usaha-usaha.html

Wong Kiet Wah, K. M. (2013). Perkembangan Kanak-Kanak. (W. K. Wah, Ed.)


Malaysia: Oxford Fajar Sdn Bhd.

McKenzie, J. (2000). Learning to question, to wonder, to learn. Bellingham, WA:


FNO Press

20
LAMPIRAN

21

Anda mungkin juga menyukai