Anda di halaman 1dari 22

ANALISIS KARYA MISA MELAYU

Pemikiran dalam Misa Melayu

Misa Melayu adalah catatan kontemporari yang pengkisahannya itu hasil kajian,
penglihatan dan penilaian Raja Culan. Teks Misa Melayu adalah kisah benar dan
rasional serta penunjukkan tahap-tahap pemikiran dan cara hidup di zaman feudal.
Struktur social, ekonomi dan politiknya adalah rigid dan bertingkat-tingkat. Susunan
ini disokong dan diperkuat lagi oleh nilai-nilai dan budaya feudal. System naungan
(patronage) menjadi satu ciri kehidupan massa Melayu yang berkekalan.
Pengkisahan dalam Misa Melayu adalah kisah manusia istana dan interaksinya
dengan golongan massa dan orang luar. Misa Melayu juga mampu meletakkan
dirinya sebagai sejarah yang kukuh kerana daripadanya kita dapat menggambarkan
tantang sistem dan struktur politik, ekonomi, social masyarakat feudal pada abad ke-
18 di Perak.
Sistem politik dan sistem ekonomi yang ditunjukkan dalam Misa Melayu
adalah hasil daripada struktur dan system sosialnya. Raja adalah simbol perpaduan
dan menguasai kawasan istana dan sekitarnya atau negara kota. Di kawasan lain
pembesar negeri pula yang berkuasa. Ikatan antara pembesar dan sultan adalah
berasaskan kesetiaan. Pembesar mempunyai pengikutnya sendiri yang terdiri
daripada golongan rakyat. Rakyat biasanya dikerah tenaga dan harta benda untuk
pembesar dan sultan.

1. Struktur Politik
Menurut Ramlan Surbakti (1999 : 1) bahawa definisi politik adalah interaksi
antara pemerintah dan masyarakat dalam rangka proses pembuatan dan
pelaksanaan keputusan yang mengikat tentang kebaikan bersama masyarakat yang
tinggal dalam suatu wilayah tertentu. Menurut F. Isjwara, (1995 : 42) politik ialah
salah satu perjuangan untuk memperoleh kekuasaan atau sebagai teknik
menjalankan kekuasaan-kekuasaan.
Politik dari sudut bahasa yang mudah untuk difahami menurut sebahagian
ilmuwan adalah melaksanakan sesuatu dengan memastikan kebaikan pada perkara
itu. Manakala dari sudut kemasyarakatan bermaksud mengurus secara bijaksana
dan pandangan dengan analisis yang tajam terhadap kesan sesuatu tindakan. Ia
juga membawa makna sekumpulan hal ehwal urusan yang berkaitan dengan
pentadbiran negara. Politik juga dapat diertikan sebagai satu kegiatan ummah
menyokong dan mendukung usaha melaksanakan syariat untuk merealisasikan
Islam yang syumul dapat dipraktikkan melalui sebuah institusi yang menjadi
penerajunya. (Umat dan Negara dalam Syariat Islam karangan Dr. Abdul Karim
Zaidan).
Pemikiran politik yang terdapat dalam Misa Melayu kelihatan mewakili campur
aduk dua konsep iaitu:
i) Sultan adalah pemerintah teokratik yang memiliki kuasa mutlak.
ii) Tanggungjawab raja berunding dan berpakat dengan menteri-menterinya.
Struktur politik Perak pada abad itu memperlihatkan keunikannya. Raja tidak
memerintah secara mutlak. Raja hendaklah mendapatkan nasihat pembesar demi
kepentingan rakyat. Hal ini dapat dilihat menerusi petikan di bawah.
Dalam wasiatnya, Sultan Muzaffar Syah (1752)] yang beta harap sekarang,
baiklah anak kita Raja Mudalah akan ganti kita. Maka hendaklah bicara orang besar-
besar dan segala hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta kerajaan anak
kita dan selenggarakan hukuman negeri ini dan membela segala rakyat di dalam
negeri Perak dan hendaklah muafakat sama-sama kepada barang bicara dengan
sekalian orang besar-besar hulubalang dan pada anak raja-raja dan yang
memegang agama kita
Dalam buku sejarah tentang Perak, Perak mempunyai sistem pewarisan
takhta dan penggantian raja dalam satu struktur yang tersusun. Susunan system
pewarisan takhta dan penggantian raja dapat dilihat seperti di bawah:
1. Raja Muda
2. Raja Bendahara
3. Raja Di Hilir
4. Raja Di Baruh
5. Raja Kecil Besar
6. Raja Kecil Tengah
7. Raja Kecil Muda
8. Raja Kecil Bongsu
Pada amalannya, struktur ini bukanlah suatu prosedur yang ketat dan perlu dipatuhi.
Contohnya, pada tahun 1773 Raja Kecil Bongsu ( Raja Ahmaddin) telah dilantik
menjadi sultan ada ketika itu. Ini membuktikan tidak semua waris takhta itu perlu
menaiki takhta mengikut giliran atau tangga waris takhta itu. Dalam Misa Melayu
disebut bagaimana sultan Zulkarnain menyusun jentera pemerintahannya dengan
melantik kerabat diraja yang akrab dengannya menyandang gelaran dan jawatan
kerajaan. Contohnya, adindanya Raja Kimas yang bergelar Raja Kecil Muda sebagai
Raja Muda, raja Alauddin, adinda sultan yang bergelar Raja Kecil Tengah diangkat
menjadi Raja Bendahara. Raja Di Hilir disandang oleh Raja Inu yang juga adinda
sultan, Raja Muhammad (saudara dua pupu sultan dikurniakan gelaran Raja Di
Baruh, Raja Culan kekal sebagai Raja Kecil besar, Raja Ibrahim putera Raja Kimas
(Raja Muda) memegang jawatan dan gelaran Raja Kecil Bongsu Muda (Raja Kecil
Muda).

2. Sistem Ekonomi
Menurut Adam Smith, ilmu ekonomi adalah ilmu kekayaan atau ilmu yang khusus
mempelajari sarana-sarana kekayaan suatu bangsa dengan memusatkan perhatian
secara khusus terhadap sebab-sebab material dari kemakmuran, seperti hasil-hasil
industri, pertanian dan sebagainya. Sistem ekonomi merujuk kepada satu set
institusi sosial yang berkaitan dengan pengeluaran, pengagihan dan penggunaan
barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah masyarakat. Sistem ekonomi terdiri
dari manusia dan institusi, termasuk hubungan mereka dengan sumber produktif
seperti harta yang dimiliki. Sistem ekonomi cuba menyelesaikan masalah ekonomi
melalui cara yang sistematik untuk pembahagian sumber yang terhad.
Dalam Misa Melayu, telah membuktikan kehadiran system ekonomi feudal
yang menetapkan raja dan pembesar memonopoliatan kegiatan tersebut, manakala
rakyat sekadar bekerja dan menjalankan suruhan pembesar semata-mata. Maka,
rakyat yang menginginkan kehidupan yang senang, mereka haruslah pandai dalam
mengampu orang-orang besar serta raja mereka. Hal in dapat dibuktikan melalui
teks di bawah:
baginda menitahkan Tambi Kecil pergi ke benua keling (India). Adapun akan
Sultan Iskandar itu, terlalu banyak baginda menaruh gajah. Maka itulah baginda
menitahkan Tambi Kacil pergi akan mengambil barang siapa mahu membawa
kapalnya masuk berniaga ke dalam negeri Perak ini, karana baginda hendak berjual
gajah,
halaman 78
Semasa keberangkatan menjelajah negeri Perak atau bermain ke laut, Sultan
Iskandar telah menjual bijih timah kepada Belanda di Tanjung Putus. Ini dapat
dibuktikan menerusi pantun yang terdapat dalam Misa Melayu. Pantunnya berbunyi:
Timah dibawa duli baginda,
Beberapa ratus baharanya ada,
Diurap rial kepada Holanda,
Supaya suka di dalam dada.

Hubungan ekonomi dengan orang Belanda menjadi kukuh akibat monopoli


eksport bijih timah. Bijih dijual kepada Belanda 30 rial satu bahara dengan dua rial
cukai yang dibayar oleh sultan.

Misa Melayu ada menyebut tentang urusan perdagangan dengan Belanda


pada abad ke-18. Pada awalnya, pusat pengumpulan bijih timah orang Belanda di
perak ialah Tanjung Putus, kemudian mereka telah memohon kepada sultan untuk
mendirikan kota dan bangunan di Pangkalan Halban di Kuala Perak. Dalam urus
niaga dagangan kapal, semua kapal dagangan dari luar negeri Perak perlu
mendapatkan kebenaran sultan. Dalam sistem ekonomi feudal, sultan dan pembesar
negeri adalah orang yang memonopoli eksport dan import. Kemakmuran ekonomi
yang dikecapi negeri Perak telah menyebabkan ramai pedagang berniaga di negeri
itu. Bijih timah dan gahjah telah menjadi sumber ekonomi negeri. Selain Belanda,
pedagang luar yang ramai ialah dari india, manakala pedagang dari kepulauan
Melayu pula ialah dari kawasan Sumatera dan Makasar.

Estetika dan kepengarangan dalam Misa Melayu

1. Seni Kepengarangan

Konsep
Kaedah penulisan yang terkandung dalam Misa Melayu juga seakan-akan dengan
Salalatus Salatin. Pengarang Misa Melayu iaitu Raja Chulan menghasilkan karya
tersebut dengan rendah hati setelah menerima titah sultan pada zaman itu. Bagi
menghasilkan karya yang terbaik, Raja Chulan turut menjalankan penyelidikan dan
rujukan. Ia dapat dibuktikan dengan meneliti penggunaan klausa dalam karyanya
misalnya seperti klausa tersebutlah perkataan, diceritakan oleh orang empunya
cerita dan tersebutlah kisah. Penggunaan ini adalah kerana Raja chulan
menghasilkan Misa Melayu ini berdasarkan cerita benar dan ia memerlukan
pengalaman dan pengamatan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku pada
zaman tersebut.

Kekuatan kepengarangan
Nilai kepengarangan yang terdapat dalam Misa Melayu juga amat tinggi. Misa
Melayu menggunakan tarikh yang tepat walaupun penggunaan tarikh bagi
menyatakan peristiwa tidak banyak seperti karya-karya lain. Misa Melayu juga
mengandungi ciri pensejarahan Islam dalam penulisannya. Ini dapat dilihat melalui
penggunaan lafaz bismillah pada awal penulisannya. Selain itu, Misa Melayu juga
menggunakan kata-kata lain yang menggambarkan unsur islam misalnya seperti
dengan izin Allah. Penggunaan kata-kata yang berunsurkan islam ini mungkin
disebabkan oleh pengetahuan pengarangnya hasil daripada pembacaan terhadap
karya pensejarahan Melayu-Islam atau hasil daripada pendidikan Islam yang
diterimanya.
Karya ini juga mempunyai kelainan dan keistimewaan yang tersendiri. Misa
Melayu tudak mempunyai unsur-unsur mitos atau dongeng kerana karya ini
merupakan karya penting negeri Perak. Karya yang mengandungi sejarah negeri
Perak ini tetap menggunakan pantun dan syair sebagai penyeri karya. Karya ini
mengandungi peristiwa yang benar-benar berlaku dan dapat memberi gambaran
kepada pembaca mengenai sruktur politik kerajaan, kegiatan ekonomi, undang-
undang dan lain-lain perkara tentang pemerintahan Perak pada zaman itu. Salasilah
keluarga dan jurai keturunan kerajaan Perak, susunan pembesar, kerajaan negeri,
struktur masyarakat, adat istiadat, dan bentuk kesenian yang wujud pada zaman
tersebut juga turut tercatat dalam Misa Melayu ini.
Penggunaan syair dalam karya ini juga bukan untuk tujuan hiburan semata-
mata kerana ia mengandungi pelbagai keterangan peristiwa sejarah tentang
kerajaan Perak pada zaman tersebut. Kesahihan peristiwa dalam karya ini dapat
dibuktikan dengan merujuk kepada beberapa sumber lain seperti sejarah Belanda.
Persamaan ini dapat mengukuhkan lagi ketepatan maklumat dalam Misa Melayu
dan jelas menunjukkan kesedaran dan pengetahuan mendalam pengarangnya
dalam sejarah ini.

Motif pengarang
Karya Misa Melayu ini ditulis kerana ingin menurut titah sultan pada zaman tersebut.
Ini jelas dapat dilihat dalam Misa Melayu dengan serangkap syair yang ditulis oleh
Raja Chulan. Pengarangnya dengan rela hati menerima arahan untuk menghasilkan
karya ini kerana beliau ingin menyebarkan tentang kegemilangan sesebuah zaman
pemeritahan seseorang raja kepada generasi muda. Hal ini dapat dibuktikan dengan
satu frasa dalam karya ini iaitu supaya bolehlah akan zaman kita disebut orang
kelak.

1. Estetika
Dari segi penilaian nilai estetika dari sudut gaya bahasa pula terdapat beberapa
gaya bahasa yang jelas dilihat iaitu gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa
pertentangan, gaya bahasa pertautan, dan gaya bahasa perulangan, serta beberapa
unsur-unsur lain yang terkandung dalam karya Misa Melayu.

Gaya Bahasa Perbandingan


Gaya bahasa perbandingan atau dikenali sebagai majaz perbandingan merupakan
penggunaaan bahasa yang bersifat membandingkan dua hal yang pada hakikatnya
perkara yang berlainan atau dengan sengaja menganggapnya sama. (Anton
Moeliono, 1989:67)

Gaya Bahasa Pertentangan


Gaya bahasa pertentangan atau dikenali sebagai majaz pertentangan merujuk
kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan, dari segi makna
sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau
yang berhubungan.

Gaya Bahasa Pertautan


Gaya bahasa pertautan atau dikenali sebagai majaz pertautan merujuk pada
hubungan pertautan makna, sama ada bersifat simbolik, perumpamaan atau
tamsilan.

Gaya Bahasa Perulangan


Gaya bahasa perulangan atau dikenali sebagai skema perulangan merujuk kepada
perulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, nada, dan bunyi yang
puitis, berirama, atau pelbagai.

Unsur-unsur lain
Dalam Misa Melayu, dapat dilihat dengan jelas penggunaan pengaruh islam, Bahasa
Melayu lama, dan unsur perkataan asing yang telah dimelayukan. Contohnya ialah:

PERKATAAN MAKSUD
menaruh riyal menyimpan/menggunakan duit riyal
surat ciri Surat perlantikan
tiada sangka tiada terhingga
Baur alat kebesaran
Gedung gelap penjara
Kurang nazarnya Kurang pertimbangannya
Berhati salah Nilai tidak baik
milawati Menara kawalan
Karallah Menara kawalan
berpontoh Bergelang besar
Balai lepu Balai tengah
Toleh tenggala Jam 9:00-11:00 pagi

Selain itu, pengarang juga turut menggunakan dialek Perak dalam menghasilkan
karya ini. Contoh dialek perak yang terdapat dalam Misa Melayu ialah:

DIALEK MAKSUD
Mike kamu
Celung kandang
merosok menyembunyikan

Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Misa Melayu


1. Nilai Budaya
Budaya boleh didefinisikan sebagai kemajuan fikiran, akal budi atau cara berfikir,
berkelakuan dan sebagainya. Budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup
yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial , agama, adat
resam dan nilai. Misa Melayu juga mempunyai nilai-nilai budaya negeri Perak yang
diketengahkan oleh pengarangnya. Misa Melayu yang merupakan penulisan
berkaitan sejarah negeri Perak turut cuba memperlihatkan beberapa nilai budaya
yang menjadi amalan golongan masyarakat pada masa itu. Karya ini turut
menonjolkan beberapa nilai budaya yang diamalkan oleh golongan diraja pada
zaman tersebut. Antaranya seperti adat meminang dan berkahwin, adat bertindik
dan berinai, istiadat perarakan raja berangkat, , istiadat menjunjung duli, dan juga
istiadat kemangkatan dan berkabung serta menurunkan tambak serta batu nisan.

Adat meminang dan berkahwin

Perkahwinan dalam masyarakat Melayu merupakan satu peristiwa yang sering


dilakukan dengan mengikut adat yang telah ditetapkan dan telah menjadi budaya
dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu pada masa itu . Majlis perkahwinan
yang dijalankan sering kali mendapat perhatian dan dijadikan salah satu peristiwa
yang penting dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana upacara meminang dan
berkahwin mempunyai adat dan persiapan yang teliti perlu dilakukan untuk
memastikan upacara berkenaan berjalan dengan lancar dan meriah. Misa Melayu
menonjolkan adat-adat yang dijalankan oleh golongan diraja iaitu adat meminang
dan berkahwin dengan upacara yang penuh gilang gemilang.

Hal ini menunjukkan bahawa adat meminang dan berkahwin yang dijalankan pada
hari ini sudah bermula pada zaman dahulu lagi. Selain itu, adat ini juga tidak hanya
melibatkan golongan tertentu sahaja. Perkahwinan berlaku tidak kira sama ada
pasangan tersebut terdiri daripada golongan marhaen mahupun bangsawan. Misa
Melayu lebih menonjolkan perkahwinan yang berlaku dalam kalangan kerabat
diraja. Antaranya perkahwinan antara Raja Muda Iskandar puteri Sultan Muzaffar
iaitu Raja Budak Rasul. Hal ini dapat dilihat dalam teks di bawah:
Sepeninggalan ayahandanya, Raja Muda (Raja Muda Iskandar) semakin hari
semakin besar pengaruhnya dan sangat disayangi oleh rakyat. Dan Sultan Muzaffar
Syah pula bercita-cita hendak menyatukan puterinya, Raja Budak Rasul dengan
Raja Muda . Cita-cita ini dipersetujui oleh Raja Muda. Selepas diadakan istiadat
meminang yang sangat meriah kemudian diikuti pula dengan istiadat bertindik puteri
yang baharu bertunang itu, maka pada akhir tahun yang ketiga pertunangan itu,
disatukanlah puteri Raja Budak Rasul dengan Raja Muda .
(Misa Melayu)

Adat bertindik dan berinai

Adat bertindik dan berinai juga sudah dijalankan dalam masyarakat pada zaman
feudal lagi. Adat ini turut diteruskan pada hari ini namun adat tersebut disesuaikan
mengikut syariat Islam dan tidak menyerupai agama lain. Adat bertindik dapat dilihat
dalam Misa Melayu melalui peristiwa bertindik yang dijalankan ke atas Taja Budak
Rasul. Manakala adat berinai selalunya dilakukan sebelum majlis perkahwinan
diadakan dan majlis berinai dilakukan oleh pihak sebelah perempuan. Adat ini
dijalankan terhadap pengantin perempuan kira-kira dua hari sebelum akad nikah
dan ia sering dilakukan pada waktu malam. Selain itu , adat yang dijalankan dalam
kalangan golongan diraja turut memperlihatkan upacara yang gemilang diadakan.
Hal ini dapat disaksikan berdasarkan bukti tatkala siang hari sebelum majlis
berinai, inai pun diarak masuk ke dalam istana. Inai itu dibubuh di atas kepala
seekor kera Hanuman yang diletakkan di atas perarakan lalu diarak. Hal ini jelas
menunjukkan betapa kuatnya pengaruh agama Hindu pada waktu pemerintahan
diraja Perak. Upacara bertindik pula dilakukan pada keesokan harinya . Anak raja
akan diarak sebanyak tujuh kali keliling kota di atas gajah kenaikannya lengkap
dengan alat pawainya dan payung yang keemasan dan tunggul panji-panji dan alam
barnaga. Setelah itu, anak raja tersebut akan dimandikan dengan air yang diarak
juga. Kemudian baru upacara bertindik dijalankan. Hal ini dapat dibuktikan dalam
teks di bawah.

Selepas diadakan istiadat meminang yang sangat meriah, kemudian diikuti pula
dengan istiadat bertindik puteri yang baharu bertunang itu, maka pada akhir tahun
yang ketiga pertunangan itu disatukanlah Puteri Raja Budak Rasul dengan Raja
Muda.
(Misa Melayu)

Istiadat Perarakan Raja Berangkat

Istiadat perarakan raja berangkat bermaksud apabila seseorang raja ingin berlayar
ataupun ingin ke negara luar atau pun mempunyai urusan di negeri lain maka
istiadat berarak raja berangkat akan diadakan. Hal ini ingin menonjolkan taraf
seseorang raja terhadap raja sebagai pemerintah yang perlu diberikan
penghormatan dan taat setia yang tidak berbelah bagi. Hal ini jelas apabila Raja
Muda berangkat segala kapal pun ditunda dan semua kelasi akan mengiringkan
kenaikan baginda ke dalam kapal tersebut. Apabila raja tiba nakhoda kapal akan
memasang bedil bagi menyambut kedatangan baginda. Selain itu, sesudah baginda
ingin turun dari kapal maka sekali lagi akan dipasangkan meriam bagi menunjukkan
keberangkatan baginda..Misa Melayu turut merakamkan aspek ini melalui teks di
bawah.

Adapun Laksamana dan Syahbandar , setelah sampai kepada kapal itu, bersama-
sama dengan Raja Mutabar Khan lalu naiklah ke atas kapal .Maka sangat
dimuliakan oleh nakhoda kapal itu akan Laksamana dan Syahbandar. Setelah itu,
dilayarkanlah kapal itu masuk ke Kuala Perak sampai ke dalam sungai. Maka
keesokan harinya maka menghadaplah nakhoda itu kepada Raja Muda oleh Orang
Kaya Laksamana dengan Syahbandar serta ia membawa persembahan mana
kadarnya .Setelah nakhoda itu menghadap tuanku Raja Muda maka Raja Muda pun
berangkatlah kembali.maka kapal itu pun ditunda oleh segala kelasi mengiringkan
kenaikan baginda itu. Setelah sampai ke Kuala Bidor maka kapal itu pun
berlabuhlah di pelabuhan kapal dahulu-dahulu. Setelah kapal itu berlabuh maka
Raja Muda pun berangkatlah ke dalam kapal itu bermain-main diiringkan adinda
baginda dan segala hulubalang pegawai. Maka oleh nakhoda itu pun dipasanglah
segala bedil di dalam kapal itu akan menyambut baginda itu. Maka disambutnyalah
dengan beberapa dengan beberapa takluk khidmatnya akan Raja Muda. Setelah
sudah Raja Muda pun berangkatlah turun dari kapal itu. Maka oleh nakhoda itu pun
dipasangnya pula meriam alamat baginda turun dari kapalnya. Setelah itu maka
baginda pun berangkatlah naik ke Pulau Indera Sakti.
(Misa Melayu)
Istiadat Kemangkatan

Kematian tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Kematian turut menjadi
peristiwa yang memberi erti yang cukup besar dalam kehidupan seseorang. Hal ini
turut terjadi tidak kira sama ada seseorang itu mempunyai kedudukan atau tidak.
Misa Melayu turut memperlihatkan peristiwa kematian turut berlaku dalam watak-
wataknya. Istiadat kemangkatan dijalankan apabila berlaku seseorang raja atau
kerabat diraja mangkat. Istiadat kemangkatan juga terdapat dalam Misa Melayu iaitu
apabila mangkatnya Sultan Muhamad Syah. Contoh dapat dilihat melalui teks di
bawah.
... Maka kepada suatu hari, baginda itu pun geringlah terlalu sangat. Maka
baginda pun kembalilah ke rahmatullah Taala. Setelah sudah baginda itu hilang,
diperintahkan oleh anakanda baginda semua rakyat hadir berhimpun di Pulau Tiga.
Setelah itu diperbuatlah dengan seperti adat istiadat raja-raja yang besar-besar
mangkat. Maka sudah ditabalkan lalu diarak dengan seperti adatnya lalu ke makam
baginda dan beberapa sedekah akan segala alim ulama dan fakir miskin di
sepanjang jalan itu itu emas dan perak dihamburkan dengan selengkap alatnya dan
beberapa pula sedekah akan orang yang sembahyang terlalu banyaknya . setelah
sudah dikuburkan adinda baginda itu maka Sultan Muzaffar Syah pun kembalilah
dengan percintaan baginda serta memberi takziah akan adinda baginda itu :tujuh
hari baginda berhenti tiada nobat.
(Misa Melayu)
Istiadat Menjunjung Duli

Istiadat ini dilakukan untuk memperlihatkan ketaatan kepada raja. Pengarang Misa
Melayu memperlihatkan istiadat ini melalui peristiwa menjunjung duli yang dilakukan
oleh Raja Muda dan anak-anak raja. Adat ni dilakukan mengikut taraf masing-
masing dan bermula raja-raja dan anak anak raja diikuti golongan bangsawan dan
seterusnya pembesar-pembesar pada waktu pemerintahan tersebut . Hal ini dapat
dilihat melalui contoh yang dinukilkan oleh pengarang dalam teks di bawah.
.Setelah itu, maka turunlah seorang bentara dipersilakan Raja Muda. Maka
naiklah Raja Muda menjunjung Duli Yang Maha Mulia. Kemudian segala raja-raja
dan anak-anak raja pun diseru oleh kepala bentara dari atas balai dipanggil naik.
Maka naiklah berganti-ganti menjunjung duli baginda. Kemudian maka orang besar-
besar pula menyembah dan segala bentara hulubalang pula berganti-ganti
menjunjung duli baginda. Setelah sudah sekaliannya habis menjunjung duli baginda
maka semuanya pun duduklah beratur di balai.
(Misa Melayu)

2. Pandangan hidup
Pandangan hidup merupakan satu konsep yang menunjukkan sesebuah masyarakat
secara keseluruhan yang dapat dilihat melalui satu sudut pandangan. Pandangan
hidup ini ini jelas terpengaruh melalui satu sistem teras dalam sesebuah masyarakat
seperti pengaruh agama atau sistem nilai dalam sesebuah masyarakat itu sendiri.
Dalam teks Misa Melayu itu sendiri, terdapat banyak peristiwa yang
menggambarkan hidup masyarakat pada ketika itu. Misalnya penggunaan syair
dalam bahagian kedua teks ini yang menceritakan tentang perjalanan Sultan
Iskandar Bermain-main ke Laut dalam bentuk rangkap-rangkap syair. Sudah tentu
sukar bagi kita untuk menyampaikan sesebuah cerita secara terperinci apatah lagi
diceritakan dalam bentuk rangkap-rangkap syair. Setiap perkataan yang dipilih pula
perlulah tepat dan terperinci penulisannya. Hal ini sudah menunjukkan betapa
masyarakat Melayu pada ketika itu yang sangat teliti dan bijak orangnya.
Contohnya :

Muafakatlah kita tiga bersaudara,


Segala wazir menurut bicara,
Seisi negeri di dalam pelihara,
Sedikit pun jangan diberi cedera.

Telah mendengar titah sedemikian,


Menjunjung kadam dari sekalian,
Patik nan hamba awal dan kemudian,
Sebarang titah sahaja dilayan.
Berdatang sembah sekalian rata,
Ke bawah hadirat duli mahkota,
Tuanku raja sempurna takhta,
Di manalah titah membuat kota?
(Misa Melayu)

Rangkap syair ini bukan sahaja sebagai salah satu ciri kebijaksanaan
masyarakat ketika itu menyusun atur kata-kata, namun juga turut menunjukkan
ketaatan para pembesar raja ketika itu yang menurut titah raja. Ini menunjukkan
mentaati titah diraja itu yang menjadi salah satu nilai yang penting kepada
masyarakat di sekelilingnya. Titah diraja ini dapat dikatakan sebagai
satu center atau pusat nilai yang penting dalam sesebuah institusi kerajaan.
Dalam teks Misa Melayu, diceritakan peristiwa baginda raja Sultan Iskandar
Zulkarnain yang menginginkan untuk mendirikan mahligai tujuh tingkat yang
mempunyai reka bentuk dan hasil pertukangannya sama seperti yang diceritakan
dalam hikayat-hikayat sebelumnya. Namun oleh kerana rekaannya yang sangat
sukar hendak dibangunkan, tiga orang pembesar yang bertanggungjawab iaitu
Bendahara, Temenggung dan seorang menteri yang lain terpaksa meletakkan
jawatan kerana tidak sanggup untuk menunaikan permintaan baginda. Walau
bagaimanapun, istana itu akhirnya dapat dibina mengikut permintaan Sultan
Iskandar Zulkarnain.
Peristiwa ini menunjukkan betapa titah pemerintah itu wajib untuk ditaati oleh
setiap golongan anggota masyarakat. Pandangan hidup masyarakat melayu
tradisional yang amat menghormati dan mentaati perintah pemerintah amat tebal
dalam setiap rakyatnya.
Selain itu, pandangan hidup juga merupakan satu konsep yang dikongsi
bersama oleh anggota masyarakat bagi menunjukkan pusat penyelesaian bagi
setiap masalah yang berkaitan dengan ketuhanan, manusia dan masyarakat. Jika
dahulu, pandangan hidup masyarakat Melayu tradisional tertumpu kepada
kelangsungan hidup melalui alam, namun kini pandangan hidup itu kemudian
berkembang dan melalui pelbagai evolusi seperti zaman kesultanan Melayu Melaka,
kemudian zaman pemerintahan penjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan
sehinggalah kepada sistem pemerintahan kontemporari.
Pandangan hidup manusia terutama masyarakat Melayu itu sendiri tidak lagi
hanya bergantung kepada alam semata-mata namun lebih kepada pandangan
liberal. Namun begitu, pandangan hidup Islam tetap menjadi akar umbi dalam
masyarakat Melayu. Jika dahulu, idea dan falsafah Melayu tradisional menggunakan
alam sebagai satu bentuk sumber inspirasi, kini ia berubah kepada sesuatu yang
lebih konkrit.
Lebih mudah jika dikatakan Misa Melayu itu sendiri menggambarkan
cerminan yang tepat bagi pandangan hidup masyarakat Melayu tradisional, khasnya
bagi rakyat Perak itu sendiri. Misa Melayu banyak memfokuskan kepada sistem
pemerintahan dan kehidupan orang orang istana. Hal ini sangat bertepatan dengan
sejarah Perak kerana pengarangnya juga merupakan seorang cendekiawan yang
bertugas di istana.
Dalam teks Misa Melayu, sistem politik dan pemerintahan merupakan
gabungan daripada pertembungan antara budaya tamadun Islam dan Hindu. Sistem
pemerintahan beraja itu sendiri datangnya dari tamadun Hindu yang mempercayai
raja itu merupakan jelmaan dewa-dewa yang turun ke bumi. Sistem pemerintahan ini
mempunyai beberapa peringkat tertentu yang telah ditetapkan dengan kaum kerabat
diraja sahaja. Walaupun sistem pemerintahan dalam Misa Melayu bersifat mutlak,
namun ada ketikanya perlunya perbincangan dan rundingan raja dengan para
pembesarnya.
Hal ini turut dinyatakan dalam Misa Melayu ;

Dalam wasiatnya Sultan Muzaffar Syah(1752)


yang beta harap sekarang, baiklah anak kita Raja Mudalah akan ganti kita. Maka
hendaklah bicara orang besar-besar dan segala hulubalang pegawai pada
memerintahkan takhta kerajaan anak kita dan selenggarakan hukuman negeri ini
dan membela segala rakyat di dalam negeri Perak dan hendaklah muafakat
sama-sama hulubalang dan pada anak raja-raja dan yang memegang agama kita

(Misa Melayu)
Dalam potongan teks di atas, ditunjukkan kepentingan tanggungjawab
seseorang pemerintahan untuk bermuafakat dengan para pembesarnya. Hal ini
menunjukkan pandangan hidup Islam yang turut ada dalam sistem pemerintahan
dalam Misa Melayu itu sendiri. Pemerintahan beraja dari tamadun Hindu digunakan
sebagai sistem pentadbiran namun undang-undang atau hukum hakamnya diambil
dari agama Islam itu sendiri.
Selain itu, umum mengetahui struktur politik di Perak mempunyai
keunikannya tersendiri. Dalam teks Misa Melayu sendiri ditunjukkan raja tidak
memerintah secara mutlak sepenuhnya. Sistem perwarisan takhta dan penggantian
raja juga disusun mengikut struktur yang berikut ;

i. Raja Muda
ii. Raja Bendahara
iii. Raja Di Hilir
iv. Raja Di Baruh
v. Raja Kecil Besar
vi. Raja Kecil Tengah
vii. Raja Kecil Muda
viii. Raja Kecil Bongsu

Walaupun struktur ini telah diwujudkan, tiada prosedur yang ketat perlu
dipatuhi. Hal ini demikian kerana raja memegang kuasa mutlak untuk melantik
sesiapa sahaja daripada kalangan kerabatnya untuk menyandang gelaran dan
jawatan. Malah wujud peristiwa Sultan Iskandar Zulkarnain melantik adindanya Raja
Kimas atau Raja Kecil Muda menjadi Raja Muda, Raja Alauddin iaitu Raja Kecil
Tengah menjadi Raja Bendahara.
Perkara yang penting dalam perwarisan takhta atau penggantian raja adalah
semasa penabalan sultan baharu sebelum pengebumian sultan yang terdahulu.
Sebelum seseorang sultan yang sebelumnya dikebumikan, bakal sultan mestilah
menghadiri pengebumian sultan tersebut. Hal ini jelas diterangkan dalam peristiwa
kemangkatan Sultan Muzaffar Syah yang kemudiannya digantikan oleh Raja Muda
dengan gelaran Sultan Iskandar Syah.
Peristiwa ini membawa kepada peristiwa beberapa orang besar-besar
dilucutkan jawatan kerana gagal menghadirkan diri semasa upacara pengebumian.
Pada ketika ini juga baginda Sultan Iskandar Zulkarnain mengurniakan pangkat dan
jawatan kepada beberapa orang rakyatnya.
Selain itu, orang yang gagal hadir pula dikenakan hukuman setimpal seperti
diikat kaki dan tangan dijemur di tengah padang. Namun akhirnya mereka
diampunkan kesalahan.
Dalam sistem pentadbiran, seperti anugerah jawatan dan pangkat, sudah
tentu wujudnya gelaran-gelaran kebesaran yang disesuaikan dengan jawatan
seseorang pembesar. Gelaran-gelaran ini juga menunjukkan kekuasaan seseorang
yang dipilih oleh raja itu sendiri. Contoh gelaran yang dianugerahkan kepada orang
tertentu yang ditetapkan oleh raja sendiri dalam Misa Melayu seperti;

Maka zaman itu diperbuat pula bendahara Megat Pendialah menjadi Bendahara,
gelarnya Paduka Seri Maharaja; dan Orang Kaya Besarnya Tan Marasin, gelarnya
Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja,; dan Temenggungnya Tan Bantan,
gelarnya Temenggung Paduka Raja; dan Menterinya Orang Kaya Syarif Husain,
gelarnya Menteri Seri Paduka Tuan. Setelah itu, maka tetaplah kerajaan Muzaffar
Syah di dalam negeri Perak; tiadalah siapa-siapa menghuru-hara di dalam negeri ini
lagi.
(Misa Melayu)
Gelaran kebesaran dan pangkat yang diberikan oleh raja ini merupakan salah
satu bentuk pandangan hidup yang menunjukkan hubungan manusia dengan
pemimpin. Mereka menjadikan titah seseorang pemerintah sebagai pusat untuk
menjalankan peranan sebagai rakyat yang taat setia. Selain itu, pandangan hidup
cara Islam dan Hindu juga terbukti dalam bentuk undang-undang dan struktur politik
yang tertulis dalam Misa Melayu itu sendiri.

Nilai Ilmu dalam Misa Melayu


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada
darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial, nilai boleh
didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat bagi menyatakan
kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau
markah sesuatu objek berbentuk berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau
piawaian kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai al-
qimah dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan
atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai
hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan
antara yang baik atau buruk dan betul atau salah.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud
pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Oleh itu,
dapatlah kita simpulkan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan kerana
pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain
dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang disebarkan mengandungi
pelbagai fungsi.
Antara fungsi sesuatu ilmu itu ialah disebarkan untuk menambah ilmu
pengetahuan dan mengembangkan lagi perkara yang mengandungi pelbagai
kemusykilan dan lain-lain. Dalam Misa Melayu, ilmu yang ingin dikaji ialah
ilmu pentadbiran atau sistem beraja, ilmu firasat, ilmu sejarah dan ilmu
ekonomi.

1. Ilmu pentadbiran atau sistem beraja


Pentadbiran boleh didefinisikan sebagai perbuatan melaksanakan urusan,
mengelola, atau menjalankan sesuatu pejabat, kerajaan dan lain-lain lagi.
Definisi lain yang lebih mudah ialah pentadbiran ialah perlakuan untuk
mengurus atau bertindak sebagai ejen dalam hal ehwal fungsi pentadbiran
atau fungsi kerajaan. Sebagai contoh, dalam Misa Melayu telah diwujudkan
sistem beraja yang mengikut susunan yang telah diatur dengan baik. susunan
tersebut ialah:
Raja Muda
Raja Bendahara
Raja Di Hilir
Raja Di Baruh
Raja Kecil Besar
Raja Kecil Tengah
Raja Kecil Muda
Raja Kecil Bongsu
Misa Melayu telah membuktikan bahawa sistem perwarisan takhta dan
penggantian raja Perak ialah dalam satu struktur yang tersusun. Nama raja-
raja Perak yang diceritakan dalam Misa Melayu ialah Sultan Mudzafar Shah
111 (1728-1744), Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah (1750-1765), Sultan
Mahmud Shah (1765-1773) dan Sultan Alauddin Mansur Shah (1773-1786).
Kesemua sultan ini adalah pemerintah yang berpusat di Barhaman Indera /
Berahman Indera yang kini lebih dikenali sebagai Bota, Pulau Tiga, Pulau
Indera Sakti, Pasir Pulai dan Pulau Besar Indera Mulia. Hal ini menunjukkan
kawasan persekitaran tempat-tempat tersebut adalah kawasan kediaman raja-
raja dan pembesar Melayu di negeri Perak sekitar awal abad ke-18 lalu
sebelum pusat pemerintahan tersebut berpindah ke Kuala Kangsar sehingga
ke hari ini. sehingga kini, masih terdapat banyak makam raja-raja Perak di
Bota, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Pulau Juar, Pasir Pulai, Bandar Baharu
dan Belanja. Kesultanan Perak mempunyai wilayah kekuasaannya yang
tersendiri yang sering disebut secara umum dalam Misa Melayu sebagai
segenap teluk rantau dan anak-anak sungai atau segala anak sungai
segala teluk rantau jajahan negeri. Dalam sistem kesultanan Perak, seorang Raja
Muda adalah bakal sultan, orang yang akan menaiki takhta apabila sultan yang ada
mangkat. Selaku bakal sultan, Raja Muda harus mempersiapkan diri dengan segala
ilmu yang penting ketika itu agar dapat meneruskan tugas pemerintahan dengan
baik apabila tiba masanya menjadi sultan kelak. Antara persediaan seorang Raja
Muda yang utama termasuklah memiliki perwatakan dan keperibadian yang mulia
agar dikasihi oleh rakyat, tahu adat istiadat negeri, mendalami ilmu agama, pandai
bertutur kata, dan barangkali juga memiliki kemahiran dalam ilmu persenjataan dan
sebagainya. Mengikut pandangan Raja Chulan, segala sifat yang istimewa ini
kelihatannya telah dimiliki oleh Raja Iskandar.

2. Ilmu firasat
Menurut Kamus Dewan (2010), firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-
tanda pada muka, badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib
orang. Tilikam atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat.
Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu tersebut dapat
merasa, melihat, atau mengetahui terlebih dahulu segala sesuatu yang akan
berlaku. Melalui ilmu firasat juga, seseorang itu akan dapat mengetahui
kelebihan dan kelemahan orang lain, antaranya berdasarkan nama, haru atau
ketika. Dalam Misa Melayu, ilmu firasat dapat dikenal pasti menerusi
perbualan Sultan Iskandar dengan pawangnya berkenaan keinginannya untuk
mencari ikan di sungai.

Maka titah baginda, Hai Sang Paya Indera dan Sang Paya Diraja, di mana
sungai-sungai yang baik beta hendak menuba? Maka sembah pawang kedua
itu, Tuanku, ampun. Kepada pemandangan patik sekalian, sungai yang baik
dan ikannya banyak Sungai Budimanlah yang patut tuanku berangkat
bermain-main membawa adinda baginda sekalian.
(Misa
Melayu)
Melalui teks di atas, jelas menunjukkan bahawa pawang berkenaan
mempunyai ilmu firasat iaitu dengan hanya melihat kawasan dan keadaan
sungai terbabit, mereka sudah mengetahui keadaan serta ikan-ikan yang
berada di dalam sungai terbabit.

3. Ilmu sejarah
Hakikatnya, Misa Melayu adalah sebuah sejarah Perak dari awal hinggalah zaman
pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Syah. Tetapi tumpuan diberi kepada era
Sultan Mudzafar Shah dan Sultan Iskandar Dzulkarnain. Manakala, sultan-sultan
Perak yang lain sama ada pada peringkat awal atau selepas mereka disebut secara
ringkas. Pengkisahan bermula dari Al-Marhum Jalilullah yang mempunyai beberapa
orang putera. Selepas baginda, takhta kerajaan diganti oleh Marhum Besar, Sultan
Mahmud yang dikatakan memerintah selama 120 tahun. Baginda diganti oleh Sultan
Alauddin Riayat Shah yang memerintah selama 20 tahun. Selepas kemangkatan
baginda, negeri Perak telah terbahagi kepada dua wilayah politik, iaitu Kuala
Kangsar yang diperintah oleh Raja Inu, bergelar Sultan Mudzafar Shah dan, Pulau
Tiga yang diperintah oleh Raja Bisnu yang bergelar Sultan Muhamad Shah.
Atas usaha dan kebijaksanaan Raja Iskandar, putera pertama Sultan Muhamad
Shah, maka Perak telah disatukan semula. Raja Iskandar banyak berjasa dalam
bidang politik kepada pemerintahan Sultan Mudzafar Shah; misalnya, menentang
serangan atau campur tangan Sultan Berkabat, iaitu seorang raja Minangkabau
bersama-sama dua orang putera Raja Bugis, iaitu Daeng Matkah dan Daeng
Menchelak. Pada era pemerintahan Sultan Mudzafar Shah juga telah berlaku satu
percubaan pemberontakan diketuai oleh Raja Alam bersama-sama orang Bugis
tempatan. Raja Alam tidak berpuas hati dengan keputusan Raja Iskandar yang
tidak membenar beliau mengikuti Sultan Mudzafar Shah untuk berpindah ke Kuala
Kangsar. Raja Alam mencari bantuan kuasa Belanda, akhirnya, Raja Alam telah
ditangkap dan dibuang ke Melaka.
Selepas kemangkatan Sultan Muhammad, ayahanda Raja Iskandar, maka Sultan
Mudzafar telah mengahwinkan puterinya, Raja Budak Rasul dengan Raja Iskandar
iaitu Raja Muda. Selepas kemangkatan Sultan Mudzafar, Raja Muda Iskandar
ditabalkan menjadi Sultan, bergelar Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah Khalifat Ur-
Rahman. Pengkisahan era pemerintahnya dibuat dengan panjang dan terperinci
berbanding dengan era sultan-sultan yang sebelum dan selepas baginda.
Sultan Iskandar memerintahkan ibu negeri Perak dipindahkan dari Brahman
Indera ke Pulau Chempaka Sari. Tetapi rancangan itu tergendala buat beberapa
ketika kerana timbulnya persengketaan kecil di antara Perak dengan orang-orang
Belanda, kerana angkara seorang juru bahasa bernama Pir Muhammad. Pulau
Chempaka Sari kemudiannya ditukar namanya menjadi Pulau Indera Sakti dan
bandarnya dinamakan Bandar Makmur.
Selain daripada itu dinyatakan juga tentang usaha gigih pembinaan masjid di
Pulau Indera Sakti pada saat-saat hari raya haji menjelang tiba. Dimuatkan juga
kisah baginda mendirikan sebuah mahligai tujuh tingkat yang dikatakan belum
pernah lagi dibina oleh sultan-sultan sebelumnya. Mahligai itu telah digambarkan
sebagai sebuah mahligai yang terlalu istimewa seni binaannya dan dianggap akan
jadi ingatan kepada zuriat baginda pada masa akan datang.
Baginda Sultan Iskandar memerintah selama 14 tahun. Baginda telah digantikan
pula oleh Sultan Mahmud Shah. Tidaklah banyak peristiwa yang dicatatkan dalam
zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini. Antaranya ialah Raja Selangor
datang mengadap dan diberi gelaran Sultan Salehuddin serta berkahwin dengan
sepupu Sultan Mahmud Shah. Selepas kira-kira 8 tahun memerintah, baginda
diganti oleh adindanya, Sultan Alauddin.
4. Ilmu ekonomi
Pada zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah negeri Perak membuat hubungan
diplomatik dengan Belanda. Melalui hubungan tersebut Belanda telah berjaya
memonopoli pasaran bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Perak. Mereka
membelinya dengan harga $30.000 sebahara dan Sultan akan menerima cukai
sebanyak $2.00 bagi setiap bahara. Bagi menjaga kepentingannya pihak Belanda
telah mendirikan sebuah benteng ataupun loji perniagaannya di Pengkalan Halban,
Tanjong Putus. Perjanjian di antara Belanda dengan negeri Perak telah diadakan
khususnya dalam bidang perniagaan yang berkaitan dengan bijih timah. Sedikit
sebanyak, dengan kegiatan perniagaan bijih timah itu telah membawa kemakmuran
kepada negeri Perak pada ketika itu. Masyarakat pada ketika itu menggunakan
sistem ekonomi feudal. Dalam sistem tersebut, sultan dan pembesar negeri
adalah orang-orang yang memonopoli eksport dan import. Manakala, rakyat
biasa sekadar pekerja dan menjalankan suruhan pembesar semata-mata.
Pedagang luar juga datang berdagang ke negeri Perak pada ketika itu. Ia
dapat dilihat menerusi petikan teks ini :
Adapun pada masa itu Holanda dan orang Cina dan orang Keling pun
semuanya datang persembahkan segala permainannya berbagai-bagai rupanya
dan lakunya.
(Misa Melayu)

Di bahagian yang lain pula diceritakan tentang kedatangan utusan


perdagangan Belanda dari Betawi yang diketuai oleh R.E.F. Lybroke. Tujuannya
ialah membeli bijih timah. Namun begitu, mereka mahukan agar bijih timah
tersebut dihantar ke lojinya di Tanjung Putus untuk ditimbangkan di situ. Sultan
Iskandar tidak bersetuju sebaliknya baginda mahu supaya ia dilakukan di Tanjung
Bidor. Berikutan itu pihak Belanda cuba menggertak dengan menembak ke arah
Shahbandar dan Menteri, kononnya kerana mereka enggan menerima pelawaan
kapitan Belanda untuk naik ke kapal mereka. Kejadian itu telah menimbulkan
kemurkaan Sultan Iskandar. Namun pihak Belanda kemudiannya memberi alasan
bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menembak Shahbandar
dan Menteri sebaliknya hanya ingin menembak monyet. Mereka seterusnya
memohon keampunan daripada Sultan. Berikutnya keadaan hubungan dua pihak
menjadi tenang semula.

Anda mungkin juga menyukai