Anda di halaman 1dari 2

KESAN SOSIAL

a) Kempen memerangi komunis dijalankan selama 12 tahun (1948-1960) yang menyaksikan


rakyat hidup menderita keganasan komunis. Pelaksanaan undang-undang darurat seperti
perintah berkurung amat menyusahkan hidup rakyat kerana tidak dapat menjalankan
pekerjaan dan aktiviti harian mereka. Bekalan beras berkurangan kerana semakin banyak
sawah ditinggalkan oleh petani tanpa diusahakan. Begitu juga dengan padi huma dan
kerja-kerja ladang yang lain seperti jagung, ubi dan pisang turut tidak dikerjakan bagi
menambah bahan makanan. Kekurangan makanan ini telah menyebabkan kerajaan
bertindak mencatukan makanan dan catuan yang dikenakan ini menyebabkan rakyat
terpaksa bergantung kepada ubi kayu dan keledek sama seperti dialami semasa zaman
Jepun. Walaupun catuan makanan ini berjaya menyekat bekalan makanan daripada
sampai kepada komunis, namum rakyat hidup menderita akibat kekurangan makanan.

b) Melalui undang-undang darurat, kerajaan boleh menahan sesiapa sahaja yang dianggap
mengancam keselamatan negara atau disyaki bersubahat dengan komunis tanpa perlu
dibicara di mahkamah. Orang ramai tidak dibenarkan berkumpul melebihi 5 orang di
tempat terbuka tanpa mendapat kebenaran polis. Sesiapa yang membawa atau
menyimpan senjata api tanpa permit boleh dihukum bunuh. Ramai penduduk terutama
orang Cina ditangkap dan dipenjarakan, sebahagian daripada mereka dihantar pulang ke
negara China.

c) Masalah perkauman antara orang Melayu dan orang Cina menjadi semakin serius. Orang
Melayu menganggap semua orang Cina adalah komunis dan orang Melayu telah
menyertai pasukan keselamatan untuk membanteras komunis. Oleh itu, tindakan
memerangi komunis semasa darurat seolah-olah dilihat sebagai peperangan antara orang
Melayu dengan orang Cina. Masalah perkauman yang tercetus ini telah memberi kesan
penting ke atas kedudukan sosiopolitik di Tanah Melayu.

d) Ketegangan hubungan antara kaum Melayu dan Cina telah mendorong pemimpin-
pemimpin seperti Dato Onn Jaafar, Dato E.E.C. Thuraisingham dan Datuk Tan Cheng
Lock berusaha untuk meredakan ketegangan kaum dengan menubuhkan Jawatankuasa
Perhubungan Antara Kaum (JPAK) pada tahun 1949. Jawatankuasa ini diketuai oleh
Dato E.E.C. Thuraisingham yang bertujuan untuk menjalin hubungan yang lebih baik
antara penduduk yang berbilang kaum di Tanah Melayu.

e) Untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu terutamanya orang Cina bagi
membanteras komunis, kerajaan telah melancarkan kempen Memenangi Hati dan
Fikiran Rakyat dan melonggarkan syarat-syarat untuk mendapat kerakyatan Tanah
Melayu pada tahun 1952. MCA dijadikan juru bicara kaum Cina dengan kerajaan.
Langkah ini membolehkan seramai 1.2 juta orang Cina dan 180 000 orang India menjadi
warganegara Tanah Melayu sehingga tahun 1957. Mereka juga diberi hak untuk memiliki
tanah dan menikmati kemudahan pelajaran dan kesihatan di kawasan kampung-kampung
baru. Dengan cara ini, kerajaan dapat memenangi hati dan fikiran orang Cina agar
menyokong kerajaan.

f) Dasar Pelajaran Kebangsaan Tanah Melayu digubal untuk mewujudkan perpaduan dan
persefahaman antara kaum Melayu, Cina dan India. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang
digubal berasaskan Penyata Pelajaran Razak 1956, menetapkan kandungan sukatan
pelajaran semua jenis sekolah mestilah berteraskan hal ehwal Tanah Melayu, Bahasa
Melayu dijadikan bahasa penghantar utama di semua sekolah untuk mewujudkan
persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di Tanah Melayu.
Kerajaan merasakan perlunya kanak-kanak di Tanah Melayu dididik dengan ilmu
pengetahuan yang boleh memupuk semangat cinta dan taat setia kepada tanah air.

g) Penubuhan Rancangan Briggs menyebabkan wujudnya ketidakseimbangan


kependudukan kaum iaitu 86% penduduknya terdiri daripada orang Cina, 9% orang
Melayu dan 4% orang India. Perubahan ini telah menyebabkan orang Cina tertumpu di
kawasan bandar manakala orang Melayu kekal di kampung tanpa kemudahan moden
seperti di kampung baru.