Anda di halaman 1dari 1

Menurut Prof Dr.

Awang Sariyan, tokoh bahasa yang tidak asing lagi dalam


membicarakan kemelut Bahasa Melayu dalam satu wawancara dengan
Bernama di kediamannya yang terletak di pinggir kota ( 2011 ) bahawa
sejak abad ke-7 pada zaman Srivijaya ( di Sumatera ), Bahasa Melayu
sudah menjadi bahasa yang bukan kecil peranannya. Bahasa Melayu telah
diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa pentadbiran bagi Srivijaya dan
seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat
besar pada waktu itu. Dan sebagai kuasa besar, Srivijaya bukan sahaja
menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran malah sebagai
bahasa perdagangan dan juga bahasa pengajian agama pada masa itu.
Itulah saatnya peranan Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca atau bahasa
perhubungan umum dari rantau Alam Melayu telah digunakan oleh semua
bangsa tidak hanya oleh bangsa dalam kalangan Alam Melayu, bahkan
oleh orang dari India dan China. Begitu tingginya kedudukan Bahasa
Melayu ketika itu boleh disimpulkan juga bersaksikan pelbagai dokumen
dan penulisan jika digarap dari sudut sejarah. Antaranya catatan
pengembara Cina I-Ching yang juga seorang pendita Buddha mengenai
pusat pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan Bahasa
Melayu. I-Ching dalam misi penjajahannya telah bermastautin selama
enam bulan di Sriwijaya pada sekitar abad ke-7. Ini jelas menunjukkan
Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa ilmu meskipun untuk
pengembangan agama Buddha di ibu negeri Sriwijaya kerana pada waktu
itu syiar Islam belum sampai di Alam Melayu. Beliau turut berkongsi
pengamatan yang dibuat oleh Van Linschotten, seorang pegawai Belanda
yang bertugas di Indonesia antara 1586 hingga 1592 tentang kebesaran
Bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamadun tinggi. Van Linschotten
menulis bahawa bahasa Melayu pada masa itu bukan sahaja amat harum
namanya tetapi juga dianggap bahasa paling dihormati antara bahasa-
bahasa negeri Timur.

Menurut Dr. Awang lagi seorang ahli sejarah Belanda Francois Valentijn
yang banyak menulis mengenai Kepulauan Melayu menulis pada awal
abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh
setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau
bahasa Latin di Eropah. Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah
orang yang datang ke Alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari
Bahasa Melayu, dimana sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam
Bahasa Melayu dianggap sebagai golongan yang tidak terpelajar.