Anda di halaman 1dari 6

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

1. IKHLAS NIAT Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat


ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan
dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi amaran yang
mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang
menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat
Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi
kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular
yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang
dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja tetapi
adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini mampu
menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa
perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana
semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi
sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana sombong.
Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang
mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri. Maksud firman Allah
dalam ayat 235 surah al-Baqarah :.........Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui
apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah
bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ingatlah bahawa setiap
orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan
binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa
melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL - Sentiasa bersungguh-sungguh


dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari
perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat diatasi
dengan membaca nota atau buku-buku yang kecil dan ringan atau mendengar
kaset ceramah agama yang berbahasa Melayu dan sebaiknya berbahasa
Arab.Perkara ini mampu melembut hati kita kerana sesiapa yang menjauhi
nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah akan mengeraskan hatinya
sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Sof yang bermaksud : Dan
ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya :"Wahai kaumku!
Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa aku ini adalah
utusan Allah kepadamu?". Maka tatkala mereka buat endah tak endah sahaja lalu
Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kerpada kaum
yang fasik. Ayat ini walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya
terus kekal hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran
daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di
rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah
dan kesenangan serta hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat
untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita hendaklah mencontohi ulama'-ulama'
silam yang mana mereka belajar dalam keadaan susah tetapi tekun yang mana
mereka sentiasa berada dalam suasana belajar bukannya mewah dan penuh
kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan bersungguh untuk
belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakkal kepada Allah agar kejayaan
diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi
syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah
natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.

3. MENJAUHI MAKSIAT Kita mestilah menghidupkan budaya amar maruf


dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada.
Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita
perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya
yang mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala
jalan menuju ke arahnya.Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat
untuk bertapak di hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak
endah sahaja terhadap perkara maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan
kita kepada maksiat yang lebih besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang
memandang maksiat yang kecil seperti maksiat mata, mulut, telinga,
tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan antara lelaki dan perempuan
yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa dan dirasakan ia bukannnya
maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar seperti berzina,
mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil
jika dibuat berterusan akan menjadi dosa besar.

4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH - Pilihlah teman yang mampu membawa


kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara
satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti
diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Loqman Al-
Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan
soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan
kita turut sama memperolehinya. Disamping itu apabila kita sentiasa bersama
orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila
berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping
menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta
menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada
mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh
dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat
67 yang bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya
menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa.
Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan
oleh imam Tarmizi dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat
temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan
teman.

5. BANYAKKAN ZIKRULLAH Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara


berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas
kerana ulama sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini kerana ia boleh
menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin
memusabahkan diri dengan amalan seharian. Tanpa wirid yang mathur selepas
solat boleh menyebabkan perasaan zikrullah agak berkurangan dan ia boleh
mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan
oleh Rabbul Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu
kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat. Bacalah
Al-Quran sekurang-kurangnya sehelai setiap hari kerana ia merupakan ibu
segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja kita
seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati
dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.

6. MENJAGA KEHORMATAN- Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri


dan juga orang lain. Tutup segala ke'aiban diri dan orang lain kerana ia membawa
kepada keredhaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana
kehidupannya dicucuri dengan keredhaan dan rahmat Allah sahaja yang mampu
merasakan kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh
daripada rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik
dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang
dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.Firman Allah dalam ayat 12
surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah
kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka
itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah
pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang
daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah
tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

7. DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA- Kita hendaklah sentiasa menjaga


perasaan kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak
menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil
berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia
dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredhai kita
dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung
kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman Allah dalam ayat 23 hingga 24
surah al-Isra' yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu
tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua
ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun
kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-
kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan "uf" dan janganlah
kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik.
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang
dan ucaplah : " Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka
berdua telah mendidikku semasa kecil".

8. MENGHORMATI GURU- Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi


segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh
kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar
bagaimana imam As-Syafi'e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat
Subuh sunat ab'adh(kena sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak
melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya imam
Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya
ulama' silam begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita
hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai
masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja.Guru janganlah dianggap
sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita
mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik
yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan renungi
bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang
mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada
keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak
memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu
marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru
dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta
menghindari perkara negatif dalam kehidupan.

9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI - Kita


mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita.
Ulama' silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak
beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu
daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng
daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di
dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat
yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam
masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan
dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana
melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan
antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa
ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka
dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang
dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini
demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya.
Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk
mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh-
sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati
firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-
orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan?
Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang
tidak kamu kotakan.

Anda mungkin juga menyukai