Anda di halaman 1dari 7

KEKELIRUAN TENTANG QAZAF: SATU

PENJELASAN
February 11, 2010 at 10:34am

Berpandukan pandangan Ulama Muktabar.

Soalan 1 : Apakah pengertian qazaf?

Jawapan : Para ulama berbeza pendapat dalam mendefinisikan qazaf seperti berikut:

i. Menurut Mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan pegangan dua murid kanan Imam Abu
Hanifah, iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad, qazaf ialah 'menuduh
seseorang melakukan zina atau liwat'.

ii. Pada pandangan Imam Abu Hanifah, qazaf ialah 'menuduh seseorang melakukan
zina sahaja'. Justeru, menurut beliau, perbuatan menuduh seseorang melakukan
liwat, tidak boleh dikenakan hukuman qazaf . Hukumannya ialah tazir.

Soalan 2 : Adakah seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, boleh dikenakan
hukuman qazaf?

Jawapan : Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, TIDAK BOLEH dikenakan
hukuman qazaf apabila dia dapat membawa empat orang saksi. Dalam keadaan ini,
hukuman hudud akan dijatuhkan ke atas perogol atau peliwat, bukannya pengadu.
Soalan 3 : Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan rogol atau liwat, tetapi
TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, adakah akan dikenakan hukuman qazaf?

Jawapan : Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan, tetapi TIDAK DAPAT
membawa empat orang saksi, hendaklah dilihat :

i. Jika dia tidak dapat membawa sebarang bukti yang menunjukkan dia dirogol atau
diliwat, dia akan dikenakan hukuman qazaf kerana telah menuduh orang lain berzina
atau meliwat tanpa sebarang bukti.
Firman Allah, Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang
baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah
mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka
selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik.

ii. Jika dia membawa bukti yang menunjukkan berlakunya kejadian rogol atau liwat,
dia akan dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman qazaf.

Soalan 4 : adakah ini bermakna seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh
seseorang yang lain, tanpa membawa empat orang saksi, TIDAK terus dikenakan
hukuman qazaf?

Jawapan : Ya. Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain,
TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf walau pun gagal membawa empat orang
saksi.

Berdasarkan keterangan ulama, boleh disimpulkan, setiap aduan rogol atau liwat
perlu melalui proses berikut:

i. Pihak berkuasa perlu mengumpul bukti-bukti yang menunjukkan mangsa betul-


betul dirogol atau diliwat;

ii. Apabila terdapat bukti yang menunjukkan pengadu memang dirogol atau diliwat,
pengadu akan dibebaskan tanpa dikenakan sebarang hukuman;

iii. Jika pengadu tidak mampu mengemukakan sebarang bukti, atau pihak berkuasa
tidak menemui apa-apa bukti yang menunjukkan pengadu betul-betul dirogol atau
diliwat, pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Ini kerana pengadu tersebut telah
menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa sebarang bukti.

Dalil kenyataan-kenyataan di atas ialah keterangan Imam Abd al-Bar. Beliau


menyatakan:
Para ulama telah berijma bahawa perogol [dikenakan] keatasnya [hukuman]
hudud jika terdapat bukti yang mensabitkan [hukuman] hudud [ke atasnya] atau
dia mengakuinya. Jika tidak ada [bukti yang boleh mensabitkan hukuman hudud],
maka [dikenakan] ke atasnya hukuman dan tiada sebarang hukuman ke atasnya
apabila terbukti bahawa dia memaksa dan mendesaknya [melakukan zina tanpa
kerelaannya]. [Wujudnya paksaan melakukan zina] itu diketahui dengan [adanya
kedengaran] tempikan [mangsa], [suaranya] meminta pertolongan dan jeritannya,
serta [diketahui wujudnya paksaan melakukan zina apabila dikenal pasti] dia seorang
gadis, yang boleh diketahui melalui darahnya dan seumapanya yang boleh
menerangkan keadaannya [bahawa dia dipaksa] ...Kami tidak mengetahui
[wujudnya] sebarang khilaf di kalangan ulama bahawa [wanita] yang dipaksa
[melakukan zina] tiada [sebarang hukuman] hudud [dikenakan] ke atasnya apabila
terbukti [wujudnya] paksaan [keatas] nya dengan [bukti-bukti seperti yang] kami
sebutkan dan [yang] seumpamanya

Soalan 5 : Apakah bukti yang boleh digunakan bagi menunjukkan berlakunya jenayah
rogol atau liwat?

Jawapan : Seperti yang disebutkan oleh sesetengah ulama zaman silam, bukti
tersebut seperti:

i. Mangsa datang melapor kes rogol atau liwat sambil berpaut pada tertuduh dalam
keadaan kemaluannya berdarah jika dia seorang gadis;

ii. Mangsa didengari berteriak meminta tolong; atau

iii. Tertuduh dilihat membawa masuk mangsa ke dalam rumahnya secara paksa.
Pada zaman sekarang, kajian saintifik boleh digunakan sebagai bukti kes rogol atau
liwat seperti laporan perubatan, ujian DNA, rakaman kamera litar tertutup (CCTV)
dan sebagainya.

Soalan 6 : Apakah dalil yang menunjukkan bahawa mangsa rogol atau liwat, tidak
dikenakan hukuman qazaf bila menuduh seseorang merogol atau meliwatnya dengan
membawa bukti seperti yang dinyatakan?.

Jawapan : Dalilnya iala keterangan Imam al-Baji. Beliau berkata :


Jika kedua-dua orang [saksi] tidak melihatnya dipaksa [melakukan persetubuhan]
dan [tidak juga menyatakan] kemungkinan dia dipaksa [melakukan persetubuhan],
tetapi dia datang [kepada pihak berkuasa] sambil berpaut padanya dalam keadaan
berdarah jika dia [seorang] gadis, atau [datang sambil berpaut pada tertuduh
dalam keadaan] tidak berdarah jika dia seorang janda... maka dalam kitab Ibn al-
Mawaz [yang memetik] daripada Abdul Malik dan [ulama-ulama] selainnya,
[dinyatakan bahawa] dia tidak dikenakan [hukuman] hudud disebabkan
tuduhannya ke atasnya.

Soalan 7 : Jika mangsa rogol atau liwat tidak mampu mendatangkan empat orang
saksi, tetapi dapat membawa bukti-bukti seperti yang dinyatakan, bagaimana
dengan tertuduh?

Jawapan : Jika mangsa dapat mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan dia


dirogol atau diliwat, tertuduh dikenakan hukuman seperti berikut:
i. Membayar wang dalam jumlah yang sama dengan mas kahwin semasa kepada
mangsa. Hukuman ini dikenakan dengan dua syarat, iaitu terdapat saksi yang
melihat tanda-tanda berlakunya jenayah rogol atau liwat; dan mangsa bersumpah
bahawa dia telah dirogol.

ii. Hakim boleh mengenakan hukuman tazir-iaitu hukuman yang diserahkan kepada
budi bicara hakim-ke atas tertuduh seperti hukuman denda, penjara, sebat, buang
daerah dan sebagainya.

iii. Hukuman tazir wajib dikenakan ke atas setiap individu yang melakukan maksiat
yang tidak ditentukan hukumannya oleh syarak.

[PERBICARAAN KES QAZAF MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DAN UNDANG-


UNDANG SYARIAH MALAYSIA]

Soalan 8 : Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mahkamah manakah yang


mempunyai kuasa membicarakan kes rogol atau liwat?

Jawapan : Menurut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kes yang tidak


melibatkan Undang-undang Keluarga Islam, dan kes tersebut berada di bawah
kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mahkamah yang
berhak membicarakannya ialah mahkamah sivi atau jenayah, bukannya Mahkamah
Syariah.

Soalan 9 : Mengikut Undang-Undang Syariah di Malaysia, adakah mangsa yang


mengadu dirogol atau diliwat, akan dikenakan hukuman qazaf apabila gagal
membawa empat orang saksi?

Jawapan : Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997


memperuntukkan kesalahan qazaf HANYA dikenakan ke atas seseorang yang TIDAK
TERLIBAT dalam perbuatan zina atau liwat, yang menuduh seseorang yang lain
melakukan zina atau liwat.

Ini bermakna, akta ini tidak merangkumi mangsa atau orang yang melakukan zina
atau liwat itu sendiri, yang mendakwa perogol merogolnya atau menyatakan
pasanganya melakukan zina dengannya.

______________________________________

1. Iaitu pengasas Mazhab Hanafi

2. Majid Muhammad (1997), al-Hudud Fi al-Fiqh al-Islami, Kuwait: Maktabah al-Falah,


hlm 75

3. Ibid
4. Humana qazaf iaah 80 kali sebatan

5. Tazir ialah hukuman yang dijatuhkan berdasarkan budi bicara hakim. Lihat al-
Zuhayli, Wahbah (1989), al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, cetakan ketiga, Damsyiq : Dar
al-Fikr, jld 6 hlm 18.

6. Iaitu empat orang saksi yang menyaksikan kejadian rogol atau liwat.

7. Menurut pandangan Imam Abu Hanifah, peliwat hanya akan dikenakan hukuman
tazir, bukannya hukum hudud. Lihat Ibn al-Hamam, Kamaluddin Muhammad Ibn
Abdul wahid, Fath al-Qadir, Damsyiq : Matbaah Mustafa al-Hilabi, Jld.5, hlm. 263

8. Contoh-contoh bukti yang boleh digunakan akan dinyatakan selepas ini.

9. Surah an-Nur :4

10. Dalil kepada kenyataan ini akan dinyatakan pada halaman berikutnya.

11. Dalam keadaan ini, yang dikenakan hukuman ialah tertuduh seperti yang akan
dijelaskan.

12. Ijma ialah persepakatan para mujtahidin dari kalangan umat Nabi Muhammad
s.a.w setelah kewafatan baginda s.a.w, dalam mana-mana zaman, berkenaan
sesuatu hukum syarak. Lihat al-Zuhayli, wahbah (1986), Usul al-Fiqh al-Islami,
Damsyiq : Dar al-Fikr, Jld. 1, hlm 490.

13. Perkataan dalam [ ] adalah tambahan penulis bagi menerangkan maksud asal
teks.

14. Iaitu empat orang saksi yang melihat dengan jelas kejadian rogol tersebut seperti
melihat pen dimasukkan ke dalam tudungnya. Apabila wujud saksi seperti ini, progol
dikenakan hukuman hudud.

15. Yakni mengakui bahawa dia merogol. Pengakuan tertuduh dianggap bukti yang
boleh dijatuhi hukuman hudud.

16. Iaitu tertuduh.

17. Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa seseorang yang dituduh merogol tetap
akan dihukum apabila terdapat bukti. Jika bukti yang ada adalah selain daripada
empat orang saksi-akan dinyatakan selepas ini-, tertuduh dikenakan hukuman tazir.
Dengan ini, dapat difahami, dalam kes rogol, empat orang saksi diperlukan bagi
mensabitkan hukuman hudud ke atas perogol. Tetapi bagi membebaskan mangsa
rogol dari hukuman qazaf, empat orang saksi tidak diperlukan. Yang diperlukan
hanyalah bukti-bukti yang akan disebut selepas ini-yang menunjukkan berlakunya
kes rogol.

18. Iaitu mangsa rogol yang mengadu kes rogol.

19. Iaitu tertuduh.

20. Iaitu pengadu.

21. Iaitu darah yang keluar dari kemaluannya akibat dirogol.

22. Keterangan Imam Abd a-Bar ini bermakna bukti-bukti yang menunjukkan
seseorang pengadu dirogol, tidak terhad kepada apa yang dinyatakan dalam teks di
atas.

23. Perselisihan pandangan.

24. Samada hukuman zina atau qazaf.

25. Iaitu Imam al-Baji dalam kitabnya al-Muntaqa Syarh Muwatto Imam Malik seperti
yang akan dinyatakan dan Imam Abd al-Bar dalam kitabnya al-Istizkar seperti yang
telah disebutkan sebelum ini.

26. Iaitu rumah tertuduh

27. Lihat jawapan bagi Soalan 5

28. Beliau merupakan ulama dari Mazhab Maliki.

29. Al-Baji, Sulaiman Ibn Khalaf (1999), al-Muntaqa Syarh Muwatto Malik, Beirut : Dar
al-Kutub al-Ilmiyyah, Jld 4 hlm. 21.

30. Imam al-Baji menyebut kedua-dua saksi kerana sebelum petikan di atas beliau
memperkatakan tentang wanita yang mendakwa dirogol tanpa membawa empat
orang saksi. Maka dua orang saksi diambil sebagai contoh bagi saksi yang kurang
daripada empat orang.

31. Iaitu wanita yang mendakwa dirogol.

32. Maksudnya saksi tidak memberikan sebarang keterangan yang menunjukkan


kemungkinan mangsa dirogol seperti melihat mangsa dilarikan, mangsa dikasiri
tertuduh dan sebagainya.

33. Iaitu pada tertuduh

34. Maksudnya dalam keadaan kemaluannya berdarah.


35. Iaitu hukuman qazaf.

36. Iaitu tertuduh

37. Lihat jawapan bagi soalan 5.

38. Dalam menentukan kadar semasa mas kahwin hendaklah dilihat kepada status,
pendidikan, tempat tinggal mangsa dan sebagainya.

39. Seperti tertuduh dilihat membawa mangsa masuk ke dalam rumanya secara
paksa seperti yang dinyatakan.

40. Al-Baji (1992), op.cit, jld 4, hlm 21.

41. Zaydan, Abdul karim (1992), Usul ad-Dawah, Baghdad : Maktabah al-Quds, hlm.
293

Sumber daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)

Anda mungkin juga menyukai