Anda di halaman 1dari 2

Ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang guru abad ke-21 ialah dari aspek penguasaan

ilmu (content knowledge), penggunaan teknologi terkini, mahir dan berketerampilan dalam
pedagogi, memahami psikologi pembelajaran, kemahiran kaunseling serta memahami
perkembangan murid. Dari segi penguasaan ilmu, seseorang guru itu mestilah menguasai
kandungan kurikulum bagi subjek yang diajarnya. Guru perlu melengkapkan diri dengan
ilmu pengetahuan yang luas agar proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) berjalan
dengan lancar di dalam kelas. Guru tidak seharusnya terkial-kial untuk menerangkan
sesuatu kandungan yang hendak diajarnya kerana ia boleh menyebabkan murid menjadi
keliru dan tidak faham tentang isi pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru. Oleh
sebab itu guru perlu menguasai subjek yang diajarnya supaya pembelajaran berkesan dapat
diwujudkan.

Kedua ialah mahir dan berketerampilan dalam pedagogi. Guru haruslah mahir dalam
menggunakan pelbagai kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang betul
semasa menjalankan p&p di dalam kelas. Pembelajaran yang pelbagai ini tentu dapat
mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar. Di samping itu,
murid juga tidak akan mudah berasa bosan kerana guru menggunakan kaedah dan strategi
pengajaran yang berubah-ubah dan pelbagai setiap kali mengajar di dalam kelas.

Ciri yang ketiga ialah memahami psikologi pembelajaran. Psikologi pendidikan ini
penting bagi seseorang guru supaya mereka faham akan perkembangan murid serta
mampu menyayangi anak murid mereka seadanya. Guru abad 21 seharusnya mampu untuk
menilai perkembangan murid sesuai dengan kebolehan mereka. Guru perlu mendekati
murid-muridnya dengan mengambil berat serta prihatin terhadap keadaan semasa murid
supaya hubungan mesra antara guru dengan murid dapat diwujudkan. Hal ini secara tidak
langsung dapat menarik minat murid untuk belajar sekaligus dapat meningkatkan prestasi
mereka dalam akademik.

Keempat ialah kemahiran kauseling. Guru juga perlu mempunyai kemahiran


kaunseling ketika berurusan dengan murid. Kemahiran untuk membantu murid menangani
emosi, sosial dan juga pelbagai lagi perkara yang menjadi masalah kepada golongan
remaja. Adalah satu kelebihan untuk guru-guru yang memiliki kemahiran kaunseling dalam
menangani isu-isu yang berkaitan dalam dan luar bilik darjah. Oleh itu, kemahiran
kaunseling ini harus dipelajari dan dikuasai oleh setiap guru di sekolah supaya dapat
membantu murid-murid mereka yang menghadapi masalah.
Akhir sekali ialah dalam penggunaan teknologi terkini. Memang tidak dapat dinafikan
penggunaan teknologi terkini merupakan salah satu ciri penting bagi guru abad ke 21.
Selain daripada murid yang memang mahir dengan penggunaan gajet dan pelbagai alatan
elektronik lain, maka guru juga perlu seiring dalam menggunakan kelebihan ini untuk
menarik minat pelajar untuk belajar. Pembelajaran yang menggunakan lcd, game, aplikasi
mobile sudah tentu membawa kelainan kepada suasana pembelajaran di dalam kelas.
Dalam konteks ini, kemahiran teknologi sangat signifikan kepada para guru dan ia perlu
dikuasai dan dipelajari dengan cara mengikuti kursus dan pelbagai lagi aktiviti lain.