Anda di halaman 1dari 3

Teks Ucapan Sambutan Maal Hijrah

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN MAAL HIJRAH


PERINGKAT DAERAH SANDAKAN 1435H/2013M, PADA 10 NOVEMBER 2013, DI
DEWAN SERBAGUNA, MASJID DAERAH, SANDAKAN.

Sambutan Maal Hijrah yang diadakan pada setiap tahun ini bukan sekadar
mengajak kita untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik tetapi juga untuk
memantap dan memperkukuh ikatan ukhuwah sesama umat Islam. Ini kerana
kejayaan Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat telah berjaya menyatupadukan
dan mempersaudarakan seluruh umat Islam di Madinah sekaligus membentuk
kesatuan ummah yang mantap dan kukuh, yang akhirnya berjaya menubuhkan
sebuah negara Islam Madinah yang maju, aman dan makmur.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bersatu dalam jemaah itu rahmat, dan
perpecahan itu adalah kesengsaraan.

Sehubungan itu, sambutan Maal Hijrah adalah kesemapatan terbaik untuk kita
memantapkan lagi perpaduan dan penyatuan ummah, yang sememangnya amat
relevan dengan kehendak dan tuntutan semasa. Oleh itu, kita seharusnya bertindak
dari sekarang untuk kembali memperkukuhkan dan memantapkan silaturahim demi
membentuk ukhuwah Islamiah yang lebih teguh.
Sesungguhnya, pemantapan hubungan sesama umat Islam akan menjamin
terbinanya satu kekuatan ummah yang boleh menunjangi pembangunan sesebuah
negara. Ini telah terbukti apabila umat Islam yang bersatu di bawah kepimpinan
Baginda SAW berjaya membangunkan Madinah sebagai sebuah negara Islam yang
ditunjangi oleh kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan keharmonian rakyatnya
yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Dalam memantapkan kesatuan ummah bagi menjana pembangunan negara, kita


haruslah melihatnya dari perspektif yang lebih luas dan menyeluruh. Apa yang
pasti, kejayaan membangunkan sesebuah negeri yang memiliki masyarakat
majmuk seperti di Sabah, tentunya memerlukan sokongan, kerjasama dan
komitmen daripada seluruh lapisan rakyat termasuklah dalam kalangan rakyat
bukan Islam. Ia bagi menjamin perkongsian manfaat pembangunan dinikmati
secara saksama oleh segenap lapisan rakyat, sekaligus mengelakkan berlakunya
perbalahan yang boleh meruntuhkan benteng perpaduan dalam kalangan
masyarakat majmuk dan menjejaskan usaha-usaha pembangunan.

Justeru, sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, marilah kita mengukuhkan
perpaduan dan kerjasama bukan sahaja dalam kalangan sesama umat Islam, tetapi
juga antara rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya. Pendekatan ini terbukti
berjaya mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan keharmonian
rakyat seperti mana yang kita nikmati sekarang. Inilah juga pendekatan kepimpinan
Baginda SAW dalam menjana pembangunan Madinah dengan menyatukan seluruh
puak, bangsa dan agama di bawah pemerintahan yang adil dan berwibawa. Firman
Allah SWT dalam surah Al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu
saling kenal-mengenali.

Kita seharusnya bersyukur kerana rahmat pembangunan yang Allah SWT kurniakan,
membolehkan kita menikmati kemajuan, keamanan dan kemakmuran. Namun,
untuk memastikan keadaan ini berterusan, setiap rakyat mestilah mengikis sikap
negatif dan berazam untuk mencapai matlamat hala tuju negeri dan
mentransformasikan pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Oleh itu, umat Islam perlulah berhijrah menjadi lebih berjaya dengan menguasai
pelbagai disiplin ilmu, teknologi dan kemahiran di samping memperkasa aspek
penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi. Ini amat penting untuk
mencapai kemajuan dan kecemerlangan ummah dalam pelbagai bidang.

Akhir kata, semoga Maal Hijrah 1435 Hijrah ini akan memperteguhkan tekad dan
iltizam untuk menyemarakkan semangat Hijrah dan perubahan ke arah kebaikan
dengan pengembelengan tenaga dan fikiran bersendikan akidah dan
memperkukuhkan semangat ukhuwah. Semoga kesungguhan kita dalam
menghayati dan meneladani hikmah di sebalik peristiwa Hijrah ini, akan menjadikan
umat Islam lebih cemerlang dan diberkati oleh Allah SWT, di dunia dan di akhirat,
Insya-Allah.

Sekian.