Anda di halaman 1dari 20

Topik Pengenalan

1 Makroekonomi

HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Membincangkan maksud makroekonomi dan lima isu utama dalam
makroekonomi;
2. Menghuraikan dua dasar utama makroekonomi di samping dasar
lain yang berkaitan;
3. Membincangkan empat objektif makroekonomi;
4. Menjelaskan dua fasa ekonomi dalam kitaran perniagaan;
5. Membezakan antara teori Klasikal, Keynesian, Monetaris dan
jangkaan rasional serta hubungannya dengan makroekonomi; dan
6. Meneliti maksud permintaan dan penawaran agregat dalam ekonomi.

PENGENALAN
Apakah yang anda fikirkan apabila kita berbicara tentang makroekonomi?
Apakah yang dimaksudkan dengan makroekonomi? Makroekonomi adalah
analisis struktur dan perkembangan ekonomi negara serta dasar kerajaan dalam
mempengaruhi keadaan ekonomi. Ahli ekonomi teruja untuk mengetahui faktor
yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kerana jika ekonomi
berkembang, ia akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan, barang dan
perkhidmatan. Seterusnya, ia juga dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


2 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

Tahukah anda bahawa pergerakan makroekonomi dapat dinilai dengan cara


mengujinya dengan teori yang tertentu? Pengujian ini dapat memaparkan
bagaimana ekonomi berfungsi secara keseluruhan di mana teori ini digunakan
untuk meramal kesan dasar atau peristiwa tertentu. Bagaimanakah pula dengan
konsep lain? Mari kita pelajari tentangnya dengan meneruskan pembelajaran
kita dalam subjek yang menarik ini.

1.1 MAKROEKONOMI
Berikut adalah satu lagi definisi makroekonomi daripada ahli ekonomi:

Makroekonomi merupakan bidang ekonomi yang mengkaji hubungan


antara pemboleh ubah agregat seperti pendapatan, kuasa beli, harga dan
wang. Ini bermakna, makroekonomi menilai fungsi ekonomi sebagai sistem
yang melihat bagaimana permintaan dan penawaran barang berlaku, selain
bagaimana perkhidmatan dan sumber ditentukan serta faktor yang
mempengaruhinya.

1.1.1 Isu dalam Analisis Makroekonomi


Tahukah anda terdapat lima isu yang berkaitan dengan analisis makroekonomi?
Isu analisis makroekonomi adalah seperti berikut:

(a) Apakah Penentu Pertumbuhan Ekonomi dan Taraf Kehidupan Negara?


Sejak seabad yang lalu, negara membangun telah mencapai kadar
pertumbuhan ekonomi yang tinggi di mana hasilnya adalah peningkatan
taraf hidup masyarakat. Makroekonomi menentukan sebab di sebalik
pertumbuhan ekonomi yang rancak dalam negara membangun dan
memahami sebab mengapa pertumbuhan tersebut adalah berbeza antara
satu negara dengan negara yang lain.

Rajah 1.1 berikut menunjukkan keluaran sebenar Malaysia (diukur dengan


keluaran dalam negara kasar) daripada tahun 1980 hingga 2010.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 3

Rajah 1.1: Keluaran sebenar Malaysia

Berdasarkan Rajah 1.1 ini, kita boleh lihat bahawa terdapat peningkatan
dalam keluaran negara sepanjang tempoh tersebut. Namun, terdapat
penurunan ekonomi dari tahun:

(i) 1985 hingga 1986 akibat krisis harga komoditi;


(ii) 1997 hingga 1998 akibat krisis kewangan Asia; dan
(iii) 2008 hingga 2009 akibat krisis ekonomi global.
(b)
(b) Produktiviti
Purata produktiviti buruh atau keluaran bagi setiap buruh adalah penting
untuk menentukan taraf hidup. Makroekonomi akan menyiasat faktor yang
menentukan kadar pertumbuhan produktiviti buruh. Mari kita lihat Rajah
1.2 berikut. Apakah yang anda boleh katakan tentang graf ini?

Copyright Open University Malaysia (OUM)


4 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

Rajah 1.2: Produktiviti per buruh di Malaysia

Rajah 1.2 menunjukkan purata produktiviti per buruh di Malaysia dari


tahun 1982 hingga 2008. Secara ringkasnya, produktiviti per buruh adalah
meningkat, kecuali bagi tahun 1985 hingga 1986, 1997 hingga 1998 dan 2008
hingga 2009 kerana berlakunya kemelesetan ekonomi.

AKTIVITI 1.1

Bolehkah produktiviti buruh menurun walaupun terdapat peningkatan


dalam jumlah keluaran? Jelaskan.

(c) Apakah Penyebab kepada Penurunan dan Pertumbuhan Ekonomi?


Sebarang ekonomi pasti akan melalui penurunan dan pertumbuhan. Maka,
makroekonomi akan melihat kepada sebab berlakunya perubahan ekonomi
dan dasar kerajaan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah
ekonomi tersebut.

Rajah 1.3 berikut menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi di Malaysia


antara tahun 1980 hingga 2010.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 5

Rajah 1.3: Kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia

Rajah 1.3 tadi menunjukkan kedua-dua pertumbuhan dan penurunan


ekonomi. Sebagai contoh, penurunan ekonomi di Malaysia jelas berlaku
pada tahun 1985 hingga 1986 kerana krisis harga komoditi dari tahun 1997
hingga 1998 kerana krisis kewangan Asia dan pada tahun 2009 kerana
krisis ekonomi global. Ketiga-tiga situasi ini memperlahankan ekonomi
Malaysia dan telah menyebabkan kadar pertumbuhan menjadi negatif bagi
tempoh tahun 1985, 1998 dan 2009.

(d) Apakah Faktor Pengangguran?


Apakah maksud kadar pengangguran? Kadar pengangguran bermaksud
terdapat tenaga buruh yang ingin bekerja tetapi tiada pekerjaan. Kadar
pengangguran akan meningkat apabila berlaku penurunan dalam ekonomi,
namun pengangguran juga boleh berlaku dalam keadaan ekonomi yang
baik. Makroekonomi akan menjelaskan sebab pengangguran, jenis
pengangguran dan cara untuk mengatasi pengangguran tersebut.

Mari kita lihat Rajah 1.4 berikut yang menunjukkan kadar pengangguran di
Malaysia.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


6 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

Rajah 1.4: Kadar pengangguran di Malaysia

Berdasarkan Rajah 1.4 tadi, kita boleh katakan bahawa kadar


pengangguran adalah paling tinggi dalam tempoh tahun 1985 hingga 1986
kerana penurunan ekonomi (kejatuhan harga komoditi). Selepas tahun
1986, kadar tersebut jatuh tetapi meningkat semula pada tahun 1998 hingga
1999 kerana krisis kewangan Asia. Kemudian, kadar pengangguran jatuh
semula pada tahun 2000. Selepas itu, kadar tersebut kekal menjadi dalam
lingkungan antara 3.3% hingga 3.6%.

(e) Apakah Faktor Peningkatan Harga Umum atau Inflasi?


Apakah maksud inflasi? Inflasi adalah peningkatan dalam tingkat harga
umum dan biasanya ia melalui perubahan indeks harga pengguna. Soalan
yang timbul dalam makroekonomi adalah:
(i) Apakah faktor inflasi?
(ii) Mengapa kadar inflasi berbeza dari semasa ke semasa?
(iii) Mengapa kadar inflasi berbeza bagi setiap negara?

Rajah 1.5 berikut menunjukkan kadar inflasi di Malaysia dari tahun 1980
hingga 2010. Apakah yang boleh anda simpulkan tentang graf ini?

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 7

Rajah 1.5: Kadar inflasi di Malaysia

Seperti yang dapat dilihat, kadar inflasi adalah tinggi dalam tahun 1981
kerana krisis harga minyak kedua. Walau bagaimanapun, pada tahun 1974,
kadar inflasi tertinggi dicatatkan disebabkan peningkatan harga minyak.
Selepas tahun 1981, kadar inflasi di Malaysia semakin rendah dan kurang
daripada 5%, terutama dalam tahun 1986 dan 1988. Walau bagaimanapun,
dalam tahun 1998 dan 2008, kadar inflasi meningkat.

AKTIVITI 1.2

Di Malaysia, harga adalah lebih tinggi pada tahun 2003 berbanding pada
tahun 1980. Adakah ini bermaksud kualiti kehidupan rakyat Malaysia
adalah lebih baik pada tahun 1980? Anda bersetuju? Berikan sebab anda.

LATIHAN 1.1

1. Definisikan inflasi.

2. Bezakan kadar inflasi di Malaysia sebelum dan selepas krisis


kewangan Asia yang berlaku dari tahun 1997 hingga 1998.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


8 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

1.2 POLISI MAKROEKONOMI


Kajian makroekonomi adalah berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi negara.
Walaupun banyak faktor seperti sumber semula jadi, sumber manusia, stok
modal, teknologi dan pilihan manusia yang menyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi, namun dasar kerajaan juga memainkan peranan dalam perkara ini.
Oleh itu, pentingnya anda memahami kesan pelbagai dasar ekonomi kerajaan
terhadap ekonomi dan keperluan untuk membentuk dasar yang lebih baik
kerana ia adalah matlamat penting dalam makroekonomi.

Dasar makroekonomi memberi kesan kepada keseluruhan prestasi ekonomi.


Terdapat dua dasar makroekonomi iaitu dasar kewangan dan dasar fiskal.
Walau bagaimanpun, terdapat juga dasar lain yang boleh digunakan oleh
kerajaan untuk mempengaruhi prestasi ekonomi negara. Antaranya adalah dasar
pendapatan dan dasar penawaran sampingan.

(a) Dasar Kewangan atau Dasar Monetari


Apakah tujuan dasar?

Tujuan dasar kewangan adalah untuk mempengaruhi penawaran wang


dalam ekonomi.

Ahli ekonomi percaya bahawa perubahan penawaran wang akan


mempengaruhi pemboleh ubah ekonomi yang penting seperti keluaran
negara, tenaga buruh, kadar bunga, inflasi, harga saham dan tukaran wang
asing. Dasar kewangan dikawal oleh bank pusat, di mana ia merupakan
agensi kerajaan (di Malaysia, ia diuruskan oleh Bank Negara). Rajah 1.6
berikut menunjukkan penawaran wang (M2) di Malaysia dari tahun 1960
hingga 2000 di mana terdapat pertumbuhan yang stabil terutamanya dalam
tahun 1990an.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 9

Raja 1.6: Penawaran wang M2 di Malaysia

(b) Dasar Fiskal


Tahukah anda bahawa alat yang digunakan dalam dasar fiskal adalah
cukai dan perbelanjaan kerajaan? Oleh itu, imbangan yang baik antara
perbelanjaan dan hasil kerajaan adalah penting. Apabila kerajaan
berbelanja lebih daripada hasil cukai yang dipungut, ia akan menyebabkan
kurangan (defisit) bajet. Sebaliknya, jika hasil kerajaan melebihi
perbelanjaan, maka kerajaan akan ada lebihan bajet.

(c) Dasar Pendapatan


Dasar ini digunakan oleh kerajaan untuk mengawal harga dan upah.
Kerajaan akan menetapkan jumlah maksimum bagi harga dan upah yang
boleh ditingkatkan secara spesifik. Namun, kadang kala terdapat tawar-
menawar antara kerajaan dengan persatuan firma atau buruh dalam
menentukan harga dan upah tersebut.

(d) Dasar Penawaran Sampingan


Dasar ini memfokuskan kepada penawaran agregat dan bagaimana
pengeluaran dapat ditingkatkan. Instrumen atau alat utama dalam dasar
penawaran sampingan adalah sistem cukai. Dengan pengurangan dalam
cukai individu, pekerja akan lebih bersemangat untuk bekerja dan
seterusnya, ini akan meningkatkan penawaran buruh.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


10 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

SEMAK KENDIRI 1.1

Apakah perbezaan antara dasar kewangan atau monetari dengan dasar


fiskal?

1.3 OBJEKTIF MAKROEKONOMI


Adakah anda tahu objektif makroekonomi? Berikut adalah empat objektif utama
makroekonomi:

(a) Mencapai Guna Tenaga Penuh


Ini tidak bermaksud tiada penganggur sama sekali atau kadar
pengangguran sifar dalam negara. Secara dasarnya, ahli ekonomi bersetuju
bahawa masih ada pengangguran walaupun ekonomi telah mencapai tahap
guna tenaga penuh. Ini bermakna, mereka yang mampu dan ingin bekerja
boleh mendapat pekerjaan. Kita akan lihat perkara ini dengan lebih lanjut
dalam Topik 7 nanti tentang konsep dan isu pengangguran.

(b) Kestabilan Harga


Umumnya, kestabilan harga bermaksud tiada perubahan dalam tingkat
harga umum. Ini juga bermaksud, terdapat harga sebahagian barang dan
perkhidmatan yang akan meningkat di samping terdapat sebahagian harga
lain yang akan turun dalam masa yang sama. Apabila sebahagian besar
harga kekal stabil, maka tiada inflasi dan deflasi yang akan berlaku dengan
pantas.

(c) Pertumbuhan Ekonomi yang Baik


Mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik adalah salah satu matlamat
makroekonomi. Ini bermaksud, terdapat pertumbuhan dalam pendapatan
per kapita benar dari tahun ke tahun.

(d) Kerancakan Aktiviti Perdagangan Antarabangsa


Semua negara yang menyertai perdagangan antarabangsa ingin mendapat
manfaat daripada pengkhususan dan perdagangan. Kajian empirikal
menunjukkan bahawa negara yang secara aktif menyertai perdagangan
antarabangsa mendapat manfaat dari segi pengeluaran dan tahap
penggunaan yang lebih tinggi.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 11

AKTIVITI 1.3

Mari kita rujuk laman web Bank Negara: www.bnm.gov.my dan Jabatan
Statistik Negara: www.statistics.gov.my. Bolehkah anda cari kadar inflasi
dan pengangguran di Malaysia pada tahun 2004? Apa yang boleh anda
simpulkan tentang dua keadaan tersebut?

1.4 KITARAN PERNIAGAAN


Sekarang, mari kita beralih kepada kitaran perniagaan. Apakah yang
dimaksudkan dengan kitaran perniagaan?

Kitaran perniagaan merujuk kepada tahap turun naik aktiviti ekonomi


berulang yang dialami oleh sesebuah ekonomi dalam satu tempoh masa
yang panjang.

Pertumbuhan dan kejatuhan ekonomi secara amnya melibatkan seluruh negara


dan dunia. Ia memberi kesan kepada hampir keseluruhan aktiviti ekonomi dan
melibatkan lebih daripada kuasa beli dan pengeluaran.

Tahukah anda terdapat perbezaan beberapa fasa dalam aktiviti ekonomi? Mari
kita lihat fasa tersebut dalam subtopik seterusnya.

1.4.1 Fasa dalam Aktiviti Ekonomi


Aktiviti ekonomi boleh dibahagikan kepada dua fasa utama iaitu fasa
pengembangan (pertumbuhan) dan fasa penguncupan (kejatuhan).

(a) Fasa Pengembangan


Ini adalah fasa di mana aktiviti ekonomi adalah dalam keadaan meningkat
seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dalam pengeluaran domestik.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


12 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

(b) Fasa Penguncupan


Terdapat dua jenis penguncupan iaitu:

(i) Kemelesetan
Jika ekonomi merudum sangat teruk, maka ia dinamakan sebagai
kemelesetan. Walaupun tiada definisi yang tetap, kemelesetan adalah
penurunan yang tiba-tiba dalam pengeluaran negara, diikuti dengan
peningkatan dalam kadar pengangguran, di mana ia berakhir dalam
tempoh lebih setahun.

(ii) Resesi
Resesi adalah kejatuhan ekonomi sederhana, di mana ia melibatkan
kejatuhan dalam jumlah pengeluaran dan kuasa beli, selalunya
berakhir dalam masa enam bulan.

Rajah 1.7 berikut menunjukkan ringkasan bagi beberapa fasa dalam aktiviti
ekonomi.

Rajah 1.7: Fasa aktiviti ekonomi

Sekarang, mari kita lihat Rajah 1.8 pula di mana ia menunjukkan contoh kitaran
perniagaan.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 13

Rajah 1.8: Kitaran perniagaan

Rajah 1.8 tadi menunjukkan kitaran perniagaan dengan aktiviti ekonomi dan
pergerakan di sepanjang garis pertumbuhan jangka panjang. Resesi wujud
apabila pertumbuhan ekonomi sebelumnya mencapai kemuncak dan jatuh ke
jurang, dikenali sebagai lompang. Kemudian, ekonomi akan mula meningkat
semula selepas pengalaman resesi dan ia seterusnya tumbuh sehingga mencapai
kemuncak yang baru. Oleh itu, titik daripada satu puncak ke satu puncak
dikenali sebagai kitaran. Begitu juga titik daripada lompang ke lompang,
seterusnya juga dikenali dengan kitaran lengkap.

Mari kita lihat kitaran perniagan yang lain. Rajah 1.9 berikut menunjukkan
kitaran perniagaan dari tahun 1960 hingga 2000 di mana ia menggambarkan
kadar pertumbuhan keluaran sebenar.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


14 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

Rajah 1.9: Kitaran perniagaan di Malaysia

Mari kita rujuk kembali Rajah 1.9 tadi di mana kita boleh melihat bahawa
Malaysia menghadapi resesi sepanjang tempoh antara tahun 1974 hingga 1975,
1985 hingga 1986, 1997 hingga 1998 di mana ekonomi pada masa tersebut berada
dalam tahap lompang.

AKTIVITI 1.4

Pada pendapat anda, adakah ekonomi Malaysia sekarang berada di


tahap pertumbuhan? Apa yang anda faham tentang resesi, lompang dan
pemulihan?

LATIHAN 1.2

Apakah maksud kitaran perniagaan? Bagaimana perubahan dalam kadar


pengangguran berkait dengan kitaran perniagaan? Bolehkah kadar
pengangguran menjadi sifar? Jelaskan.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 15

1.5 PERANAN MAKROEKONOMI


Tahukah anda terdapat lima peranan makroekonomi? Makroekonomi
menggunakan kepakarannya untuk melaksanakan lima perkara berikut:
(a) Unjuran makroekonomi;
(b) Analisis makroekonomi;
(c) Penyelidikan makroekonomi;
(d) Membentuk dan menilai teori ekonomi; dan
(e) Mengumpul data.

LATIHAN 1.3

Senaraikan lima aktiviti utama makroekonomi. Apakah peraturan analisis


bagi setiap aktiviti ini?

1.6 SEJARAH PEMBENTUKAN


MAKROEKONOMI
Adakah anda tahu sejarah pembentukan makroekonomi? Terdapat empat
pandangan yang membentuk sejarah makroekonomi. Ia adalah Klasikal,
Keynesian, Monetaris dan Jangkaan Rasional.

Sekarang, mari kita pelajari setiap satu pandangan ini dengan lebih lanjut dalam
bahagian seterusnya.

(a) Pandangan Klasikal


Pandangan Klasikal adalah berdasarkan tanggapan bahawa individu dan
firma atau syarikat perniagaan bertindak mengikut minat dan keinginan
mereka sendiri. Upah dan harga akan berubah dengan pantas untuk
mencapai keseimbangan pasaran. Pandangan Klasikal melihat ekonomi
sebagai telah dikawal oleh tangan-tangan tidak nampak, di mana ekonomi
pasaran bebas akan menyelesaikan semua masalah secara tersendiri dan
campur tangan kerajaan dalam ekonomi adalah sangat terhad.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


16 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

(b) Pandangan Keynesian


Teori Keynesian menyatakan bahawa upah dan harga tidak berubah
dengan pantas dan tidak tertakluk kepada pandangan tangan-tangan
tidak nampak untuk menyelesaikan semua masalah secara efektif.
Berdasarkan perspektif ini (kerana upah dan harga berubah secara
perlahan-lahan), pengangguran akan kekal pada kadar yang tinggi dalam
tempoh masa yang panjang. Keynesian percaya bahawa campur tangan
kerajaan pasti akan membantu memulihkan pertumbuhan ekonomi negara.

(c) Pandangan Monetaris


Profesor Milton Friedman adalah ketua kepada pandangan ini di mana
beliau membangkitkan isu stagflasi yang berlaku pada 1970an. Apakah
maksud stagflasi?

Stagflasi adalah situasi di mana tingkat harga umum meningkat dengan


pesat dalam tempoh resesi atau pengangguran yang tinggi.

Berdasarkan pandangan ini, kebanyakan ketidakseimbangan dalam ekonomi


sepatutnya boleh dielakkan jika penawaran wang tidak dikembangkan
dengan pesat. Penyokong Monetaris berhujah bahawa penawaran wang
patut tumbuh pada kadar yang sama dengan pertumbuhan purata keluaran
benar (Y).

(d) Jangkaan Rasional


Pandangan ini mula terbentuk pada tahun 1970an dan mendapat banyak
perhatian selepas kemunculan masalah stagflasi. Berdasarkan pandangan
ini, ia mengandaikan manusia mempunyai maklumat lengkap mengenai
situasi ekonomi dan mereka bertindak secara rasional. Sebagai contoh,
berdasarkan maklumat dan pengalaman lepas, ahli ekonomi tahu
bagaimana inflasi ditentukan dan mereka menggunakan model ini untuk
mengunjurkan kadar inflasi pada masa hadapan.

LATIHAN 1.4

Bandingkan pandangan Klasikal dan Keynesian dalam perubahan upah


dan harga. Apakah implikasi perbezaan antara dua pandangan ini?

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 17

1.7 PERMINTAAN DAN PENAWARAN


AGREGAT
Dalam subtopik ketujuh ini, kita akan mempelajari tentang empat konsep yang
berkaitan dengan permintaan dan penawaran agregat. Mari kita lihat keempat-
empat konsep ini secara satu per satu.

(a) Keluaran Agregat dan Tingkat Harga


Apakah yang dimaksudkan dengan keluaran agregat?

Keluaran agregat adalah jumlah pengeluaran ekonomi, di mana jumlah


keseluruhan pengeluaran barang dan perkhidmatan dalam tempoh
tertentu.

Bagaimana pula dengan permintaan agregat?

Permintaan agregat adalah jumlah barang dan perkhidmatan yang


diminta dalam ekonomi pada tingkat harga tertentu pada tempoh masa
tertentu.

Tingkat harga dalam ekonomi adalah purata harga berwajaran bagi semua
barang dan perkhidmatan seperti makanan, rumah, pakaian, hiburan,
pengangkutan, kesihatan dan semua barang.

(b) Keluk Permintaan Agregat


Tahukah anda apakah yang digambarkan oleh keluk permintaan agregat?

Keluk permintaan agregat adalah graf yang menunjukkan hubungan


antara tingkat harga ekonomi dengan jumlah keluaran agregat dalam
tempoh tertentu. Ia mengandaikan semua faktor lain adalah tidak
berubah.

Mari kita lihat Rajah 1.10 berikut yang menunjukkan keluk permintaan
agregat (AD).

Copyright Open University Malaysia (OUM)


18 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

Rajah 1.10: Keluk permintaan agregat

Rajah 1.10 tadi menunjukkan keluk permintaan agregat, di mana paksi


menegak (paksi-y) menunjukkan tingkat harga purata dan paksi mendatar
(paksi-x) menunjukkan keluaran agregat atau keluaran dalam negara kasar
(KDNK) (KDNK akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Topik 2
nanti).

Cerun negatif keluk permintaan agregat merujuk kepada hubungan


songsang antara keluaran agregat dengan tingkat harga. Ini bermakna, jika
tingkat harga menurun, pengguna akan meminta lebih barang dan
perkhidmatan, seterusnya ini akan meningkatkan perbelanjaan.

(c) Keluk Penawaran Agregat


Keluk penawaran agregat menunjukkan kuantiti keluaran yang sanggup
dikeluarkan oleh firma pada tingkat harga tertentu. Selalunya, terdapat
hubungan positif antara penawaran agregat dengan tingkat harga.

(d) Keseimbangan
Persilangan antara permintaan dan penawaran agregat akan menentukan
keseimbangan antara tingkat harga dengan keluaran ekonomi, seperti yang
ditunjukkan dalam Rajah 1.11 berikut.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 19

Rajah 1.11: Keseimbangan

Berdasarkan keluk Rajah 1.11 tadi, keseimbangan adalah di E di mana ia


merupakan titik keluk AD dan AS bertemu. Tingkat harga keseimbangan
adalah di P*, manakala keluaran agregat keseimbangan adalah di Q*.

Makroekonomi adalah bidang yang berkaitan dengan hubungan antara


pemboleh ubah agregat yang menganalisis ekonomi sebagai satu sistem.

Makroekonomi tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi negara di mana ia


diukur berdasarkan pendapatan negara.

Lima isu utama makroekonomi adalah keluaran benar, produktiviti,


pertumbuhan ekonomi, pengangguran dan inflasi.

Dua dasar penting makroekonomi adalah dasar kewangan dan fiskal. Dasar
ini akan digunakan untuk mencapai objektif makroekonomi seperti guna
tenaga penuh, kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang
memuaskan. Walau bagaimanapun, terdapat juga dasar lain yang boleh
digunakan iaitu dasar pendapatan dan dasar penawaran sampingan.

Perubahan ekonomi adalah berkait dengan turun naik keluaran. Ia boleh


dilihat dalam kitaran perniagaan.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


20 TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

Terdapat empat objektif makroekonomi. Antaranya adalah kestabilan harga


dan pertumbuhan ekonomi yang baik.

Selalunya, kitaran perniagaan mempunyai dua fasa iaitu fasa pengembangan


dan fasa penguncupan. Ini boleh dilihat dengan terperinci daripada tingkat
yang berbeza; puncak, kemelesetan, lompang, pemulihan dan pengembangan.

Sejarah pembentukan makroekonomi boleh dikaji dari perspektif Klasikal,


Keynesian, Monetaris dan Jangkaan Rasional.

Keluk permintaan agregat yang bercerun negatif menunjukkan hubungan


songsang antara tingkat harga dengan keluaran agregat yang diminta.
Sebaliknya, keluk penawaran agregat menunjukkan hubungan positif antara
tingkat harga dengan kuantiti keluaran agregat yang ditawarkan. Persilangan
antara kedua keluk ini akan menentukan keseimbangan antara tingkat harga
dengan keluaran agregat dalam ekonomi secara keseluruhan.

Dasar fiskal Kitaran perniagaan


Dasar kewangan Objektif
Dasar penawaran sampingan Penawaran agregat
Dasar pendapatan Pengangguran
Fasa Permintaan agregat
Inflasi Pertumbuhan ekonomi
Keluaran benar Produktiviti
Kemelesetan Resesi
Keseimbangan Stagflasi

Copyright Open University Malaysia (OUM)