Anda di halaman 1dari 2

ARKIB : 27/06/2011

Pendidikan Jasmani perlu suntikan baharu

Oleh DR. MOHAR KASSIM

Berbeza dengan mata pelajaran lain yang hanya menumpukan kepada aspek pengetahuan sahaja,
Pendidikan Jasmani (PJ) boleh meningkatkan keupayaan minda, psikomotor dan nilai sosial
seseorang pelajar.

Hal ini boleh dibuktikan apabila seseorang pelajar itu melakukan sesuatu aktiviti fizikal.
Perbuatan itu bukan sahaja melibatkan keupayaan fizikalnya, malah ia juga dapat meningkatkan
tahap keyakinan, pengetahuan dan keseronokan melakukan aktiviti berkenaan.

Justeru PJ merupakan mata pelajaran yang mempunyai kekuatan dan berpotensi untuk
melengkapkan pelajar dalam semua aspek jasmani, intelektual, rohani dan sosial, selari dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, penulis mendapati PJ tidak dapat


dijalankan dengan berkesan kerana kekangan masa, kekurangan peralatan, kemudahan yang
tidak mencukupi, guru yang tidak berkelayakan atau kurang berpengalaman yang mengajar
subjek itu.

Kesemua faktor berkenaan membawa kepada kurangnya minat pelajar terhadap mata pelajaran
ini. Ditambah pula dengan keadaan yang tidak selesa untuk belajar kerana panas dan berpeluh
semasa di dalam kelas selepas PJ. Ia disebabkan tiada kemudahan bilik mandi yang sempurna
untuk pelajar membersihkan tubuh badan.

Bagi memastikan keberkesanan PJ, Kementerian Pelajaran perlu mempertimbangkan pelbagai


aspek yang meliputi peruntukkan jumlah jam dalam seminggu, peralatan, kemudahan, guru yang
berkelayakan, dan kandungan kurikulum yang mudah untuk dilaksanakan secara berkesan
bukannya hanya di atas kertas.

Dibimbangi jika PJ dilaksanakan dengan sekadar melepaskan batuk di tangga akan memberi
impak negatif kepada penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan dan seterusnya akan menjejaskan
perlaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.

Oleh sebab itu, dicadangkan tiga langkah baharu untuk memastikan PJ dapat dijalankan dengan
lebih berkesan.

Langkah pertama ialah dengan mengadakan satu sesi persekolahan dan ia boleh dilakukan secara
berperingkat-peringkat. Dalam konteks ini, PJ sesuai dilaksanakan pada sebelah petang.

Hal ini membolehkan pelajar terus pulang ke rumah tanpa perlu masuk semula ke dalam kelas
selepas PJ. Jika ia dilaksanakan, kemungkinan besar akan dapat menarik semula minat pelajar
untuk menjalankan aktiviti fizikal.
Jumlah waktu untuk PJ juga boleh ditambah tanpa mengganggu mata pelajaran lain.

Usaha murni Kementerian Pelajaran yang telah dan sedang membina sekolah di setiap kawasan
perumahan menjadi pemangkin proses untuk melaksanakan kelas PJ pada sebelah petang.

Di samping itu, pelbagai masalah sosial yang serius akan dapat diatasi kerana pelajar akan lebih
menumpukan kepada aktiviti fizikal yang banyak membawa ke arah kebaikan.

Langkah kedua ialah menempatkan lebih ramai graduan PJ di setiap sekolah, sekurang-
kurangnya empat orang guru - dua guru lelaki dan dua guru wanita - bagi sekolah yang ada
pelajar perempuan.

Bilangan ini bukan satu masalah besar kerana setiap tahun institusi pengajian tinggi awam
(IPTA) seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) serta Institut Pendidikan
Guru Malaysia (IPGM) mengeluarkan graduan PJ yang berkelayakan.

Langkah ketiga adalah dengan melihat semula alatan dan kemudahan yang sedia ada di setiap
sekolah sebelum merangka kurikulum PJ. Ketika ini terdapat juga sekolah yang gagal untuk
mengikuti silibus yang ditetapkan.

Perkara ini disebabkan sekolah tidak ada atau kurang alatan dan kemudahan untuk melaksanakan
kemahiran-kemahiran tersebut. Oleh itu, ia hanya menjadi sebagai sesuatu yang ideal tetapi tidak
boleh dipraktikkan.

Diharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan walaupun secara berperingkat-peringkat sebagai


satu suntikan baharu kepada mata pelajaran PJ ke arah melahirkan individu yang
berketerampilan dari segi intelektual, jasmani dan sahsiah.

PENULIS ialah Pensyarah Sains Kejurulatihan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2011&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm#ixzz36mkKaib6
Utusan Melayu (M) Bhd

Dipetik daripada: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2011&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm