Anda di halaman 1dari 3

S3

(10)

Hidup Muafakat Membawa Berkat

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bulat air kerana


pembentung, bulat kata kerana muafakat. Salam perpaduan
dihulurkan untuk semua. Terima kasih tuan pengerusi
majlis, yang saya hormati, panel hakim yang arif lagi
bijaksana, serta sentiasa menegakkan paksi kebenaran,
warga pendidik yang budiman, seterusnya hadirin yang
saya kasihi. Hidup Muafakat Membawa Berkat, begitulah
nada lirik syarahan saya pada hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Menurut kamus dewan edisi keempat, muafakat membawa


maksud seia, sekata dan sepakat. Manakala berkat pula membawa
erti rahmat atau restu. Justeru, hidup muafakat membawa berkat
dapatlah disimpulkan sebagai kemajuan dan kemakmuran yang
dicapai oleh sesebuah negara bermasyarakat majmuk seperti
Malaysia, adalah berpaksikan permuafakatan yang lahir dari nurani
yang suci. Kita perlu bekerjasama dan saling membantu tanpa
mengira ras dan warna kulit. Perkara ini tidak dapat disangkal lagi
kerana pesanan nenek moyang masih segar dalam ingatan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Bersatu


kita teguh, bercerai kita roboh. Dengan terbinanya amalan
bekerjasama antara kaum, maka akan wujudlah perpaduan dan
kesejahteraan hidup. Tanpa sikap tolak ansur dan bekerjasama,
perbalahan dan pergeseran kaum mudah berlaku.
Sidang dewan yang saya kasihi,

Jika kita melihat sejarah yang lalu, bagaimana para pemimpin


dan rakyat di tanah melayu berganding bahu untuk memerdekakan
tanah air tercinta daripada terus dijajah. Adakah kita lupa bahawa
masyarakat di tanah melayu dahulu juga terdiri daripada
masyarakat yang berbilang kaum walaupun berbeza warna kulit,
bahasa serta bangsa. Dengan adanya semangat permuafakatan
yang teguh, bangsa penjajah dapat dihalau.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah saling bermuafakat dan


bersiap sedia berbakti pada nusa dan bangsa, seperti yang
dinyatakan dalam lirik lagu Sejahtera Malaysia. Keadaan inilah yang
menonjolkan keunikan negara Malaysia yang maju dan
dibangunkan oleh rakyat yang berbilang kaum.

Hadirin yang saya hormati,

Hidup berjiran juga merupakan salah satu cara bagi


memperkukuhkan permuafakatan hidup. Dalam hidup berjiran
tetangga, kita perlu mewujudkan masyarakat yang saling
mengambil berat antara satu dengan yang lain tanpa memikirkan
budaya dan agama. Yang buta dipimpin, yang sakit diziarahi. Susah
senang sesama jiran, ditangani bersama-sama. Bersikap bagai
enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu
dipinggirkan daripada sanubari.
Justeru, marilah kita bersama-sama mengutamakan hal-hal
kekeluargaan dan kemasyarakatan yang mendasari semangat
kejiranan. Saranan ini bertepatan dengan dasar kebudayaan yang
menggalakkan keharmonian perhubungan antara kaum. Jiran
sepakat membawa berkat.

Warga dewan yang setia,

Generasi hari esok adalah pewaris kepimpinan hari ini.


Institusi pendidikan memainkan peranan penting untuk melahirkan
generasi berilmu, berakhlak dan mempunyai jati diri. Seandainya,
sikap individualistik dan materialistik wujud dalam kalangan
pelajar, maka berkemungkinan akan melahirkan prejudis terhadap
rakan etnik yang lain. Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan, unsur-
unsur negatif ini dapat ditangani demi kepentingan perpaduan
nasional.

Akhir kata, benarlah kata orang tua-tua yang bijaksana,


muafakat itu membawa berkat. Perpaduan yang dicapai antara
semua pihak dalam mentadbir negara ini telah memungkinkan kita
semua pada hari ini hidup di sebuah tanah yang bebas merdeka
serta disegani dan diiktiraf dunia. Sebelum saya mengundur diri,
renunglah madah ini. Jangan biarkan kudis menjadi sopak, sopak
pula menjadi kusta. Biar gelora membadai, biar mentari hangus
terbakar, namun hidup bermuafakat perlulah diteruskan dan
diamalkan.

Sekian, terima kasih.