Anda di halaman 1dari 19

NOTA KEMERDEKAAN TANAH MELAYU

5.1 PENGENALAN

Apabila kita sebut merdeka, apakah yang terbayang difikiran anda? Sudah pasti
istilah ini bukan merupakan sesuatu yang asing atau pertama kali anda dengar. Jadi,
apakah yang dimaksudkan dengan merdeka? Sebenarnya istilah ini mempunyai
pengertian yang berbagai-bagaibergantung kepada keadaan mana ia di rujuk.
Bagi individu, apabila menyebut tentang merdeka, mungkin ia bermaksud
kebebasan melakukan apa sahaja yang di sukai tanpa kongkongan atau bantahan
orang lain.

Bagaimana pula jika kita merujuk istilah merdeka dalam konteks sesebuah negara?
Kemerdekaan bagi sesebuah negara bermaksud negara berkenaan bebas daripada
kongkongan dan cengkaman kuasa asing yang menekan, khususnya dikenali
sebagai penjajah. Kebebasan bermakna rakyat negara tersebut berhak mengatur
dan memilih corak kehidupan mereka, seperti mempunyai sistem pemerintahan dan
perlembagaan sendiri tanpa terikat dengan kuasa asing yang menjajah. Setiap
negara yang pernah dijajah oleh kuasa asing mempunyai pengalaman dan
sejarahnya yang tersendiri dan sudah tentu ia berbeza di antara sebuah negara
dengan negara yang lain.

Seperti yang telah dibincangkan di dalam Bab 4 mengenai semangat kebangsaan,


sebenarnya perjuangan masyarakat tempatan menentang kemasukan kuasa asing
telah bermula sejak pertengahan abad yang ke-16 lagi. Penjajahan kuasa asing
bermula di Tanah Melayu dengan kejatuhan negeri Melaka ke tangan Portugis
(1511), kemudian Belanda (1641), dan seterusnya Inggeris apabila mereka berjaya
menguasai negeri Pulau Pinang (1786), Perak (1874), dan diikuti oleh negeri-negeri
Melayu yang lain. Selain itu, Tanah Melayu juga pernah dijajah oleh Jepun. Negeri-
negeri Melayu di Utara pula pernah diperintah oleh kerajaan Siam. Kerajaan Brooke
di Sarawak dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah juga telah berjaya
meluaskan wilayah kekuasaannya, sama ada dengan cara paksa atau membeli
wilayah-wilayah berkenaan daripada pemerintah tempatan. Sesungguhnya
kehadiran penjajah telah mencetuskan tentangan yang hebat di kalangan
masyarakat tempatan. Gerakan tentangan yang dipimpin oleh tokoh-tokoh
pentadbir, agama, dan rakyat biasa akhirnya dapat dipatahkan oleh pihak penjajah
akhirnya. Sungguhpun perjuangan di peringkat awal menentang penjajah ini gagal,
namun ia tetap membuktikan bahawa masyarakat tempatan tidak menerima
kedatangan dan penglibatan kuasa asing dalam negeri mereka.

5.2 PERKEMBANGAN POLITIK TAHUN 1945-1955


Perkembangan politik di antara tahun 1945 sehingga tahun 1955 memperlihatkan
bahawa pihak British mula menunjukkan sikap bertolak ansur. Seperti yang
diketahui, pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama lebih kurang tiga setengah
tahun (1942-1945) telah meninggalkan kesan yang mendalam sama ada dari segi
ekonomi, sosial mahupun psikologi kepada masyarakat keseluruhannya. Walau
bagaimanapun, apa yang lebih penting untuk anda fahami ialah tempoh
pemerintahan Jepun telah menyemarakkan lagi semangat kebangsaan di kalangan
orang Melayu dan menafikan anggapan selama ini bahawa kuasa Inggeris tidak
dapat dikalahkan.1

Malayan Union yang diperkenalkan oleh Kerajaan British selepas pengunduran


tentera Jepun di Tanah Melayu (1946), telah ditentang habis-habisan oleh semua
lapisan masyarakat dan pertubuhan Melayu. Orang Melayu sedar akan kerugian dan
bencana yang akan mereka terima sekiranya Malayan Union dilaksanakan. Kerajaan
British yang sedar akan kebangkitan nasionalisme Melayu, akhirnya tiada pilihan
kecuali menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila
Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1948, British telah menyatakan
bahawa langkah-langkah ke arah pemerintahan sendiri akan dibuat. Ini
menunjukkan bahawa British semakin bersedia untuk memberikan kemerdekaan
kepada Tanah Melayu.

Sungguhpun demikian, anda harus ingat bahawa pada masa tersebut juga Kerajaan
British turut memberikan tumpuan menghapuskan keganasan komunis. Peristiwa
darurat yang berlaku (1948-1960) meninggalkan kesan yang mendalam kerana ia
bukan sahaja menyebabkan banyak nyawa yang terkorban, tetapi beribu juta
ringgit terpaksa dibelanjakan untuk menghapuskannya. Apabila keadaan menjadi
semakin bertambah baik menjelang tahun 1955, Kerajaan British telah
menyakinkan rakyat ke arah pemerintahan sendiri. Antaranya ialah mengambil
beberapa langkah membimbing rakyat ke arah sistem dan pemerintahan berbentuk
demokrasi seperti memperkenalkan sistem pengundian dan mengadakan
pilihanraya. Sehubungan dengan itu, beberapa parti politik ditubuhkan
seperti Malayan Chinese Association (MCA) dan lain-lain yang akan dibincangkan
berikutnya.

5.2.1 Perpaduan Kaum

Sebagai satu langkah ke arah kemerdekaan, Kerajaan Inggeris telah menetapkan


syarat bahawa semua kaum di Tanah Melayu mesti bersatu terlebih dahulu dalam
politik sebelum kemerdekaan dapat diberikan. 2 Ini bermakna soal perpaduan kaum
adalah syarat yang diutamakan. Dengan adanya perpaduan dan kerjasama dalam
politik, perkongsian kuasa boleh dilaksanakan. Keharmonian serta keamanan
masyarakat dan negara akan terjamin melalui sokongan padu seluruh rakyat.

5.2.2 Usaha ke Arah Perpaduan

Berhubung dengan persoalan perpaduan kaum, sebenarnya usaha awal telahpun


dilaksanakan oleh Dato Onn Jaafar. Beliau telah mencadangkan supaya rakyat
Tanah Melayu membentuk sebuah pertubuhan yang boleh mewakili semua kaum
supaya mereka dapat bekerjasama dan bertolak ansur di antara satu sama lain.
Perbincangan telah diadakan dengan Tan Cheng Lock, E.E.C. Thuraisinggam,
Malcom Mac Donald dan Roland Braddell. Hasilnya, satu jawatankuasa telah
dibentuk yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum
(Communities Liaison Committee). Jawatankuasa ini yang berasaskan tolak ansur
antara politik Melayu dan bukan Melayu telah dilaksanakan pada tahun 1949. Ia
dianggotai oleh 15 orang yang terdiri daripada tokoh-tokoh penting daripada kaum
Melayu, Cina dan India. Penubuhan Jawatankuasa ini sangat besar ertinya kerana ia
dapat memupuk persefahaman di antara pemimpin-pemimpin kaum di Tanah
Melayu. Persefahaman yang dipupuk melalui perundingan dan perbincangan yang
diadakan oleh tokoh-tokoh kaum ini boleh menyelesaikan sebarang permasalahan
yang timbul ketika itu.

Selain itu, parti-parti politik juga mengambil inisiatif ke arah mewujudkan


perpaduan kaum. Contohnya, kerjasama UMNO, MCA dan ini diikuti dengan MIC
untuk bertanding dalam pilihanraya, dan seterusnya membentuk gabungan parti
besar yang dinamakan Perikatan. Perbincangan mengenai pilihanraya akan
dibincangkan kemudian. Sebelum itu, kita tinjau dahulu mengenai pertumbuhan
parti-parti politik menjelang kemerdekaan.

5.3 PERTUMBUHAN PARTI-PARTI POLITIK

Selepas Perang Dunia Pertama, sudah ada usaha memperjuangkan kemerdekaan


Tanah Melayu melalui penubuhan beberapa parti politik. Penubuhan parti-parti
politik ini menunjukkan bahawa perkembangan proses politik di Tanah Melayu
menjadi semakin rancak lagi. Penubuhan parti-parti politik ini didorong oleh reaksi
rakyat terhadap cadangan Malayan Union (1946) oleh Kerajaan British. Ternyata
Malayan Union merupakan pemangkin utama penyatuan orang Melayu untuk
bertindak menentang cadangan British tersebut.

Mari kita tinjau parti-parti politik yang ditubuhkan di Tanah Melayu menjelang
kemerdekaan.
5.3.1 United Malays National Organization (UMNO)

Dato Onn Jaafar yang menjadi pengerusi Pergerakan Melayu Johor 3 telah
mencadangkan supaya diadakan Kongres Melayu bagi menyatukan seluruh
masyarakat Melayu untuk menentang Malayan Union. Oleh yang demikian, Kongres
Melayu Se-Malaya diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman,
Kuala Lumpur. Kongres tersebut dihadiri oleh 41 buah persatuan
Melayu.4Perlembagaan baru dibuat dan UMNO dengan rasminya ditubuhkan pada
11 Mei 1946. Matlamat awal penubuhan UMNO adalah untuk menentang gagasan
Malayan Union dan menyatupadukan orang Melayu di seluruh Tanah Melayu.
Pemimpin pertamanya ialah Dato Onn Jaafar. Cadangan Dato Onn untuk membuka
keahlian parti kepada semua bangsa untuk memupuk perpaduan kaum tidak
direstui oleh ahli-ahli UMNO. Penentangan dari ahli parti menyebabkan Dato Onn
meletakkan jawatan pada tahun 1951. Kepimpinan UMNO kemudiannya diambil alih
oleh Tunku Abdul Rahman dan menukar konsep perjuangan UMNO dari Hidup
Melayu kepada Merdeka.5 Di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman, beliau cuba
menggerakkan segala usaha untuk mencapai kemerdekaan dengan
menggabungkan parti-parti politik yang ada sehingga terbentuknya Parti PERIKATAN
yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC pada tahun 1954. Sejak itu, UMNO
menjadi teras utama pergerakan ke arah mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. 6

5.3.2 Malayan Indian Congress (MIC)

MIC ditubuhkan pada bulan Ogos tahun 1946. Yang Dipertua Kongres yang pertama
ialah John A. Thivy. John Thivy pernah terlibat di dalam Persatuan Pusat India di
Tanah Melayu dan juga gerakan kemerdekaan India. MIC bermula dengan
penggabungan persatuan-persatuan India yang terdapat di Tanah Melayu. Hasil
daripada penggabungan tersebut, maka lahirlah parti MIC. Pada peringkat awal
perjuangannya, parti ini bertujuan menyokong perjuangan kemerdekaan di India.
MIC juga kurang mendapat sambutan di kalangan orang India di Tanah Melayu.
Walau bagaimanapun, selepas India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, MIC
lebih memberikan tumpuan kepada kegiatan politik di Tanah Melayu. Selain itu,
parti MIC juga bermatlamat mengenengahkan isu-isu kerakyatan yang merupakan
satu daripada isu utama di Tanah Melayu. Dapatlah dikatakan bahawa matlamat
utama penubuhannya ialah untuk menjaga kepentingan politik, ekonomi, dan sosial
kaum India di Tanah Melayu dan juga menjadi saluran bekerjasama dengan kaum
lain untuk memperjuangkan kemajuan politik. MIC pernah menyertai parti serpihan
yang ditubuhkan oleh DatoOnn setelah beliau keluar daripada UMNO. Walau
bagaimanapun, MIC kurang bernasib baik kerana parti pimpinan Dato Onn tidak
berapa berjaya dalam pilihanraya 1952. Apabila MIC bergabung dalam Parti
Perikatan pada tahun 1955, barulah parti ini mendapat sambutan daripada orang
India di seluruh Tanah Melayu.

5.3.3 Malayan Chinese Association (MCA)

MCA ditubuhkan dengan rasminya pada bulan Februari 1949 atas idea British bagi
membolehkan sebahagian orang Cina menyokong British dalam menghadapi
darurat. Sebenarnya, pada penghujung tahun 1930an, Parti Komunis Malaya (PKM)
merupakan satu-satunya parti yang disertai oleh kebanyakan orang Cina. Presiden
MCA yang pertama ialah Tan Cheng Lock. MCA ditubuhkan dengan matlamat untuk
melindungi hak dan kepentingan ekonomi, politik, dan sosial kaum Cina di Tanah
Melayu. Pada masa yang sama, MCA berjanji akan bekerjasama dengan kerajaan
untuk mematahkan kegiatan komunis. Penubuhan MCA juga membuktikan kepada
kerajaan Inggeris akan kesetiaan kaum Cina terhadap Tanah Melayu. Adalah
diharapkan dengan demikian kaum Cina akan bekerjasama dengan kaum-kaum lain
untuk memperoleh kemerdekaan.

5.3.4 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

PKMM ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 di Ipoh, Perak, hasil rundingan dan
persetujuan dua kumpulan pemuda, iaitu dari golongan Ahmad Boestamam dan
golongan Mokhtaruddin Lasso.7 PKMM bermatlamat untuk melahirkan kesedaran
politik dan menyatukan bangsa Melayu di Tanah Melayu dan di Indonesia. Berikutan
dengan penubuhan UMNO pada tahun 1946, sedikit sebanyak menggugat PKMM.
PKMM kemudian turut serta sebagai anggota UMNO buat seketika. Berikutan
dengan percanggahan pendapat berkaitan ideologi, kepimpinan, dan soal bendera,
PKMM kemudian keluar dari UMNO. PKMM menjadi semakin lemah setelah ahli-
ahlinya ditangkap. Walau bagaimanapun, PKMM telah dibubarkan kemudiannya.
Serpihan pimpinan PKMM menubuhkan pula Parti Rakyat Malaya pada tahun 1955.

5.3.5 Parti Islam Se-Malaya (PAS)

PAS ditubuhkan ekoran daripada satu persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya yang
diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Parti ini jelasnya ditaja oleh Jabatan
Agama UMNO.8 Persatuan Ulama turut dianggotai oleh bekas aktivis agama, dan
bekas ahli HAMIM yang diharamkan oleh British. Parti ini telah ditubuhkan pada
tahun 1955 dengan matlamat untuk menjadikan agama Islam sebagai agama
rasmi, dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, serta mengetatkan peraturan
kerakyatan.

5.3.6 Parti Kemerdekaan Malaya (IMP)

IMP merupakan parti pelbagai kaum yang pertama dan dipimpin oleh Dato Onn
Jaafar. Dato Onn Jaafar telah keluar dari UMNO dengan semangat perpaduan
kaum untuk bercantum dengan MCA dan bekas ahli UMNO, serta MIC pada tahun
1951. IMP ditubuhkan setelah usaha Dato Onn Jaafar untuk menjadikan UMNO
sebagai sebuah parti berbilang kaum ditolak oleh orang Melayu. Sebenarnya, IMP
pernah bekerjasama dengan MIC dari tahun 1951 sehingga tahun 1953. MCA di
bawah pimpinan Tan Cheng Lock juga pernah menyertai Dato Onn. Namun Tan
Cheng Lock yang melihat potensi UMNO semakin mendapat sokongan Melayu telah
mengecewakan Dato Onn Jaafar. Pada tahun 1952, MCA telah bekerjasama dengan
UMNO dalam Parti PERIKATAN. Kegagalan IMP menyebabkan Dato Onn berpatah
balik memperjuangkan kepentingan Melayu melalui Parti Negara. Parti Negara
ditubuhkan pada tahun 1955 oleh tokoh politik berbilang kaum. Tetapi kebanyakan
ahlinya adalah terdiri daripada orang Melayu. IMP bermatlamat untuk
menyatupadukan orang Melayu. Selain itu, IMP ditubuhkan juga untuk mengambil
bahagian dalam pilihanraya negeri dan persekutuan yang sedang dirancangkan
ketika itu.9

5.3.7 Parti Buruh

Parti Buruh ditubuhkan di Pulau Pinang oleh pemimpin Kesatuan Sekerja atas nama
Parti Buruh Pulau Pinang pada 15 Mei 1951. Parti yang sama ditubuhkan di
Selangor, Negeri Sembilan, Perak, dan Melaka. Parti-parti ini bergabung membentuk
Parti Buruh SeMalaya di bawah pimpinan Mohd. Sopiee Ibrahim. Parti ini merancang
untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1964. Parti Buruh kurang mendapat
sokongan dari orang ramai mungkin disebabkan terdapat unsur sosiolisme dan
komunisme dalam perjuangan parti. Dalam pada itu, orang Melayu enggan
memberikan sokongan disebabkan parti ini berfahaman sosiolis yang tidak mahu
mengiktiraf hak keistimewaan orang Melayu. Selain itu, pengalaman politik akibat
kezaliman komunis pada masa darurat juga membimbangkan rakyat untuk
menerima Parti Buruh.10

Sementara parti-parti lain yang ditubuhkan ialah Parti Progresif Perak (PPP). Ia
ditubuhkan pada tahun 1953 dipimpin oleh SP dan DR Senivasagam. PPP menyertai
Perikatan dan berjaya menguasai Majlis Perbandaran Ipoh atas nama Perikatan
UMNO-MCA-PPP. Menjelang pilihanraya tahun 1955, PPP keluar dari Perikatan dan
kemudiannya telah menukar nama Parti Progresif Rakyat. Parti lain ialah Parti
Radikal pimpinan Dr. Lim Chong Eu, National Association of Perak (NAP) dipimpin
oleh Dato Bukit Gantang Abdul Wahab dan Kesatuan Melayu Semenanjung
pimpinan Haji Hashim Ghani.

5.4 PERUBAHAN DASAR BRITISH KE ARAH BERKERAJAAN SENDIRI

Keadaan politik di Tanah Melayu menjadi semakin rancak ekoran daripada


perkembangan penubuhan parti-parti politik ke arah berkerajaan sendiri. Hasrat
Kerajaan Inggeris untuk memberikan kemerdekaan dapat di lihat daripada beberapa
peristiwa penting yang berlaku pada tahun 1950-an seperti pengenalan Sistem Ahli,
Pilihanraya Majlis Tempatan dan Pilihanraya Umum 1955.

5.4.1 Sistem Ahli

Pada tahun 1951, kerajaan British telah memperkenalkan Sistem Ahli dalam
Mesyuarat Kerja Persekutuan (Majlis Perundangan Persekutuan). Sistem ini
merupakan satu lagi langkah penting ke arah mewujudkan perpaduan kaum.
Mereka yang dilantik terdiri daripada beberapa warganegara Persekutuan Tanah
Melayu untuk menjadi ahli Majlis serta diberi portfolio bertaraf menteri. Berikut
adalah senarai menteri dan jawatan yang disediakan dalam Sistem Ahli.

MENTERI JAWATAN
1. Dato Onn bin Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri
Jaafar
2. EEC Ahli Pelajaran
Thuraisingham
3. Tunku Yaakob Ahli Pertanian dan Perhutanan
4. Lee Tian Keng Ahli Kesihatan
5. Dato Mahmud Ahli Tanah, Perlombongan dan
Mat Perhubungan
6. J.D. Mead Ahli Kerja Raya dan Perumahan
7. J.D. Hodgkinson Ahli Perindustrian dan
Perhubungan Sosial
8. O.A. Spencer Hal Ehwal Ekonomi

Seorang ahli lagi bertanggungjawab mengetuai portfolio Keretapi dan Pos


menjadikan jumlah kesemuanya ialah sembilan orang ahli. Berdasarkan kepada
senarai ahli di atas, di dapati tokoh-tokoh yang dipilih adalah terdiri daripada semua
kaum. Ahli-ahli yang dilantik telah diberi tanggungjawab untuk mengetuai beberapa
jabatan kerajaan. Mereka merupakan pemimpin-pemimpin tempatan. Apa yang
menariknya ialah sistem ini lebih kurang sama seperti Jemaah Menteri yang ada
sekarang di Malaysia. Bezanya cuma pada bidang kuasa mereka yang agak terhad.

Seiring dengan perkembangan pesat parti-parti politik dan perubahan dasar British,
satu pilihanraya umum dirasakan perlu ketika itu bagi penduduk Tanah Melayu
untuk memilih pemimpin mereka sendiri yang bakal memerintah di Persekutuan
Tanah Melayu di masa depan. Ini memandangkan pilihanraya berkenaan adalah
bagi memilih anggota perwakilan di peringkat Penguasa Tempatan sebagai latihan
kepada demokrasi berparlimen.

5.4.2 Pilihanraya Tahun 1951

Pilihanraya yang pertama telah diadakan pada 1 Disember 1951 bagi memilih
perwakilan di peringkat majlis tempatan iaitu bagi Majlis Perbandaran Georgetown,
Pulau Pinang. Pilihanraya ini penting kerana pada ketika ini UMNO dan MCA telah
bergabung dalam sebuah Parti Perikatan. Perikatan UMNO-MCA yang menjadi
sebuah pertubuhan politik yang berpengaruh telah memenangi kesemua sembilan
kerusi yang dipertandingkan. Pada tahun 1953, seorang speaker telah dilantik untuk
mempengerusikan Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan bagi menggantikan
tempat Pesuruhjaya Tinggi British yang tidak lagi menganggotai majlis itu. Ternyata
bahawa semua tindakan tersebut dilakukan bagi melatih rakyat tempatan dalam
pentadbiran negara sebagai langkah awal ke arah berkerajaan sendiri.

5.4.3 Pilihanraya Tahun 1952

Berikutnya, pada bulan Februari tahun 1952 telah diadakan pula Pilihanraya Majlis
Perbandaran Kuala Lumpur dengan 12 kerusi dipertandingkan. Pilihanraya ini
disertai oleh Perikatan UMNO-MCA dan IMP dan calon Bebas. Keputusannya
memperlihatkan Perikatan UMNO-MCA memenangi sembilan kerusi. Sementara IMP
berjaya memenangi dua kerusi manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh calon
bebas.
Selain itu, pilihanraya untuk Majlis Bandaran lain turut diadakan pada tahun 1952
seperti di Johor Bahru, Ipoh, Melaka dan Seremban. Manakala pilihanraya pada
peringkat negeri diadakan pada tahun 1954.

Wakil-wakil yang terpilih membincangkan perkara-perkara yang melibatkan


kepentingan awam di peringkat tempatan. Ini telah memberi pengalaman kepada
mereka untuk mentadbir kerajaan dan mendapat pendedahan awal tentang proses
pilihanraya. Pilihanraya ini menandakan pembinaan sebuah kerajaan sendiri
berlandaskan demokrasi semakin menjadi kenyataan.

5.4.4 Pilihanraya Umum Tahun 1955

Pada tahun 1953, Perikatan UMNO-MCA telah mencadangkan kepada kerajaan


British supaya diadakan pilihanraya bagi mewujudkan kumpulan majoriti yang
terpilih dalam Majlis Perundangan Persekutuan. Perikatan telah menuntut supaya 60
peratus daripada ahli dipilih melalui pilihanraya, sementara baki sebanyak 40
peratus lagi dilantik oleh British. Cadangan dibuat untuk menjamin kepentingan
rakyat tempatan di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh
British. Bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka, Perikatan telah memulaukan
semua Majlis Mesyuarat Kerajaan di peringkat tempatan, negeri, dan persekutuan.
Malah tindakan mereka turut mendapat sokongan rakyat. Sehubungan itu, British
kemudiannya menerima dari segi prinsipnya bahawa keanggotaan Majlis
Perundangan Persekutuan hendaklah ahli yang dipilih oleh rakyat lebih daripada ahli
yang dilantik. Malangnya, Perikatan masih meneruskan pemulauan kerana tidak
bersetuju dengan keputusan British.

British akhirnya bertolak ansur dengan menetapkan keanggotaan Majlis


Perundangan Persekutuan seramai 98 orang. Pecahannya adalah seperti berikut:

(i) Lima puluh dua orang dipilih oleh rakyat menerusi pilihanraya dengan
seorang dilantik menjadi speaker.
(ii) Tiga orang ahli dilantik kerana jawatan, iaitu Ketua Setiausaha, Peguam
Negara dan Setiausaha Kewangan.
(iii) Sebelas orang dipilih mewakili negeri.
(iv) Dua puluh dua orang dipilih untuk mewakili berbagai golongan dan
pertubuhan.
(v) Tiga dipilih mewakili kaum minoriti seperti Orang Asli, Serani dan
Ceylon.
(vi) Tujuh ahli dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi, setelah berunding dengan
parti yang mempunyai majoriti.

Pada bulan Julai 1954, Perikatan telah menyatakan persetujuan mereka berhubung
dengan cadangan British. Pilihanraya Persekutuan akhirnya ditetapkan pada 27 Julai
1955.

Sementara itu, parti Perikatan menjadi semakin kukuh lagi dengan penyertaan Parti
MIC pada tahun yang sama. Tahun 1955 merupakan tahun yang paling penting
dalam perkembangan politik tanah air kerana ia merupakan kali yang pertama
diadakan Pilihanraya Persekutuan bagi seluruh Tanah Melayu. Tiga buah parti politik
yang mewakili tiga kaum terbesar di Tanah Melayu telah bersetuju bergabung dan
bertanding dalam pilihanraya tersebut bagi membentuk sebuah parti, iaitu
Perikatan.

Parti Perikatan telah meletakkan calon-calon bagi kesemua 52 kerusi. Manakala


Parti Negara di bawah pimpinan Dato Onn Jaafar pula mempertandingkan 33 buah
kerusi, PAS 11 kerusi dan 18 orang calon bebas juga turut bertanding (lihat Jadual
1). Jika ditinjau daripada jumlah pengundi dan pembahagian kerusi, 84.2 peratus
adalah pengundi Melayu, 11.2 peratus adalah pengundi Cina 11.2 peratus dan 3.9
peratus adalah pengundi India, menunjukkan kelebihan yang besar bagi pengundi
Melayu. Walaupun begitu, hasil daripada permuafakatan yang wujud, UMNO telah
berkompromi dengan MCA dan MIC dengan membahagikan hanya 35 kerusi (69
peratus), MCA 15 kerusi (28 peratus) dan MIC dua kerusi (tiga peratus) (lihat Jadual
2). Jelaslah bahawa dalam pembahagian kerusi tersebut terdapat unsur tolak ansur
bangsa Melayu khususnya UMNO dengan kaum lain.

Jadual 1
Pilihanraya Tahun 1955: Barisan Calon Mengikut Parti

Parti Melayu Cina India Jumlah


Perikatan 35 15 2 52
Parti Negara 29 1 - 30
Parti Islam SeMalaya 11 - - 11
Persatuan 8 1 - 9
Kebangsaan Perak
Parti Buruh - 2 2 4
Ikatan Melayu Perak 3 - - 3
Parti Progresif Perak 1 - 1 2
Bebas 16 1 1 18
Dari segi jumlah pengundi di Tanah Melayu ketika itu, sebenarnya peruntukan kerusi
yang diberi kepada MCA dan MIC melebihi daripada jumlah yang sepatutnya
diterima. Bilangan kerusi ini adalah tidak memadai berbanding dengan jumlah
pengundi bangsa Melayu pada masa itu. Ini memandangkan 50 daripada 52
kawasan yang dipertandingkan adalah dikuasai oleh pengundi-pengundi Melayu.
Barangkali UMNO mungkin boleh mencapai kemenangan dalam pilihanraya tersebut
tanpa adanya sokongan daripada MCA dan MIC. Kenapa timbul kenyataan
sedemikian?

Sebenarnya, 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi telah dimenangi


oleh UMNO, manakala 20 peratus lagi dimenangi oleh parti-parti lain yang
bertanding. Ini menunjukkan bahawa Perikatan yang diwakili oleh orang Melayu
telah membuat pengorbanan yang besar demi perpaduan masa depan negara.
Pengorbanan yang dimaksudkan ialah kesudian orang Melayu yang diwakili oleh
UMNO membahagikan sejumlah kerusi untuk dipertandingkan dalam pilihanraya ini
kepada kaum Cina dan India yang mempunyai peratus pengundi kurang daripada
20 peratus.

Jadual 2
Kedudukan Calon Perikatan dalam Pilihanraya 1955

Parti Peruntukan Peratus Kerusi Peratus


Kerusi Pengundi
(%)
(%)
UMNO 35 69 84.2
MCA 15 28 11.2
MIC 2 3 3.9

Pada keseluruhannya, Perikatan berjaya memperolehi 51 kerusi daripada 52 kerusi


yang dipertandingkan. Daripada 51 kerusi yang dimenangi, UMNO memperolehi
sejumlah 35 kerusi, MCA 15 kerusi dan MIC dua kerusi. Manakala satu kerusi lagi
dimenangi oleh Parti PAS di kawasan Kerian, Perak. 11
Pilihanraya 1955 menandakan bahawa proses mewujudkan demokrasi berparlimen
telah menampakkan kejayaan berdasarkan kepada penyertaan parti-parti politik
yang bertanding. Jika ditinjau mengenai faktor kemenangan Perikatan, jelas
menunjukkan bahawa keistimewaannya terletak bukan sahaja kepada kepimpinan
dan kerjasama antara pelbagai kaum, tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah
kerana Perikatan mempunyai manifesto yang menyeluruh kepada penduduk Tanah
Melayu. Moto Perikatan ialah Menuju Ke arah Kemerdekaan. Di samping itu,
beberapa janji yang lain ialah

(i) Pemerintahan berdasarkan demokrasi berparlimen.


(ii) Bahasa Melayu dan sebagai bahasa kebangsaan.
(iii) Agama Islam sebagai agama rasmi.
(iv) Melindungi dan mengekalkan institusi beraja Melayu.
(v) Mengubahsuai undang-undang kerakyatan.
(vi) Peningkatan taraf ekonomi Melayu.
(vii) Menjalinkan hubungan antarabangsa.
(viii) Hak asasi manusia.
(ix) Sistem pendidikan kebangsaan.
(x) Kemerdekaan diperoleh dalam tempoh empat tahun.

Di samping, itu Parti Perikatan juga berjanji untuk menamatkan darurat secepat
mungkin, melalui penawaran pengampunan kepada pengganas komunis yang
majoritinya terdiri daripada bangsa bukan Melayu, khususnya Cina. Ini terbukti
dengan adanya proses rundingan pihak kerajaan dengan pemimpin komunis, iaitu
Rundingan Baling sejurus selepas Pilihanraya 1955. Manifesto Perikatan ini
merupakan hasil tolak ansur dan kerjasama bersepadu semua kaum dalam usaha
mempercepatkan proses mencapai kemerdekaan.

Jadual 3
Kabinet Pertama Persekutuan Tanah Melayu

Ketua Menteri dan Menteri Dalam Tunku Abdul


Negeri Rahman
Menteri Pelajaran Dato Abdul Razak
Hussein
Menteri Hasil Bumi Dr. Ismail A.
Rahman
Menteri Pengangkutan Kolonel H.S. Lee
Menteri Tanam-Tanaman Abdul Aziz Ishak
Menteri Kesihatan Leong Yew Koh
Mengeri Buruh V.T. Sambanthan
Menteri Kerja Raya Sardon Jubir
Menteri Kerajaan Tempatan & Sulaiman Abdul
Perumahan Rahman
Menteri Perhubungan, Pos dan Ong Yoke Ling
Telekom

Kemenangan Perikatan telah memberikan peluang untuk mempunyai bilangan wakil


yang besar dalam Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan dan seterusnya
membolehkan mereka menubuhkan sebuah kerajaan melalui keanggotaan dalam
Majlis Mesyuarat Kerajaan. Kabinet yang pertama berjaya dibentuk seperti yang
tertera di dalam Jadual 3. Sementara itu, portfolio yang lain seperti Kewangan, Hal
Ehwal Luar, dan Pertahanan masih dipegang oleh pegawai British.

5.5 LANGKAH-LANGKAH MENUJU KEMERDEKAAN

Ekoran daripada kejayaan besar yang diperoleh melalui pilihanraya pada tahun
1955, telah mendorong Parti Perikatan untuk meneruskan desakan bagi
mempercepatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Dengan kemenangan tersebut, Parti
Perikatan semakin bertambah yakin untuk menuntut kemerdekaan lebih awal,
walaupun dalam manifestonya telah menetapkan tempoh empat tahun. Namun,
hasil daripada beberapa perbincangan yang dilakukan, sama ada di kalangan Raja-
raja Melayu mahu pun Parti MCA dan MIC, membuktikan bahawa majoriti penduduk
di Tanah Melayu sanggup bertolak ansur dan berkongsi kuasa dalam usaha
mewujudkan sebuah pemerintahan sendiri.

5.5.1 Rundingan ke Arah Kemerdekaan


Berhubung dengan usaha untuk memperolehi kemerdekaan dalam tempoh yang
terdekat ini, sesungguhnya tidak semua pihak menunjukkan reaksi yang
positif.12 Misalnya Tunku Abdul Rahman dalam ucapan pertamanya di dalam Majlis
Perundangan Persekutuan telah menegaskan untuk berunding dengan pihak British
bagi mencapai kemerdekaan dalam tempoh lebih kurang dua tahun
sahaja.13 Kenyataan Tunku Abdul Rahman telah menimbulkan reaksi kontra daripada
istana Johor. Pihak Sultan Johor merasakan kemerdekaan akan membawa kepada
kemusnahan Tanah Melayu:

Memanglah baik untuk melaung-laungkan tentang merdeka, tetapi dimanakah


kapal-kapal perang kamu, kapal terbang kamu dan tentera kamu untuk menghadapi
dan menangkis pencerobohan daripada luar? Kalau orang putih keluar, negeri ini
akan susah 99 kali ganda daripada hari ini.14

Reaksi ini telah menjadikan satu isu kontroversi di kalangan raja-raja, Tunku Abdul
Rahman, dan pihak UMNO sendiri. Ia berlarutan sehingga menimbulkan masalah
keanggotaan perwakilan ke majlis perundingan kemerdekaan. Konflik ini timbul
kerana berlaku pertentangan dari segi kekuasaan dan kedaulatan, sama ada di
pihak raja yang mewakili kepentingan pihak istana sahaja sedang di satu pihak lagi
mendapati pihak mereka telah dipilih oleh rakyat dan selanjutnya harus menjadi
wakil kepada rakyat. Sungguhpun begitu, Raja-raja Melayu dan UMNO akhirnya
bersetuju dengan keputusan wakil yang dipilih iaitu empat wakil di kalangan raja-
raja Melayu dan empat wakil dari Perikatan.

5.5.2 Misi Kemerdekaan ke London

Pada bulan Januari 1956, satu rombongan yang terdiri dari lapan orang wakil yang
telah dipersetujui, berangkat ke London yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman. Ia
bertujuan untuk berunding dengan pegawai-pegawai British sebagai usaha
menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Perundingan kemerdekaan berlangsung dari
18 Januari hingga 8 Februari 1956, iaitu kira-kira tiga minggu. Hasil daripada
rundingan tersebut, Perjanjian London telah ditandatangani pada 8 Februari 1956.
Sebelum bertolak, wakil-wakil Perikatan dan Raja-raja Melayu telah berjaya
mencapai persetujuan dalam soal kemerdekaan dan ini sudah tentu memudahkan
rundingan berjalan dengan lebih lancar lagi. Pihak British diketuai oleh Lord Lennox
Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British.

Beberapa persetujuan telah berjaya dihasilkan, iaitu


(i) Kerajaan British akan memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957;
(ii) Tanah Melayu berada dalam lingkungan Komanwel dan menjalankan
pemerintahan secara demokrasi;
(iii) Selaras dengan tanggungjawabnya terhadap Komanwel, British juga
mendapat hak menempatkan tenteranya di negara ini; dan
(iv) Sebuah badan bebas ditubuhkan bagi menggubal perlembagaan Tanah
Melayu yang dinamakan Suruhanjaya Reid.

Sementara itu, jawatan-jawatan Setiausaha Kewangan dan Pengarah Gerakan akan


digantikan dengan jawatan-jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan dan
disandang oleh anak tempatan. Kerajaan British juga akan membayar ganti rugi
kepada pegawai-pegawai dagangnya yang akan diberhentikan berikutan dengan
kemerdekaan tersebut.

5.5.3 Suruhanjaya Reid dan Memo Perikatan

Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan pada tahun 1955 dan dipengerusikan oleh Lord
Reid dan Ivor Jennings dari Britain. Manakala ahli-ahlinya yang lain terdiri daripada
William McKell dari Australia, Hakim B. Malik dari India, dan Hakim Abdul Hamid dari
Pakistan. Suruhanjaya Reid telah diminta mengesyorkan satu perlembagaan
Persekutuan berdasarkan demokrasi berparlimen. Dalam persidangan pertama yang
diadakan pada bulan Jun 1956, Suruhanjaya ini telah meminta pertubuhan-
pertubuhan, orang-orang perseorangan yang berminat menghantar memorandum
bertulis mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan:

(i) Pembentukan sebuah kerajaan demokrasi berparlimen;


(ii) Menjamin kedudukan Raja-raja;
(iii) Memilih seorang Ketua Negara dari kalangan Raja-raja Melayu,
(iv) Mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu tanpa banyak
menjejaskan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain; dan
(v) Membentuk satu rupa bangsa bagi seluruh negara iaitu satu kerakyatan
yang sama.

Suruhanjaya ini telah menerima sebanyak 131 memorandum dari orang


perseorangan, pertubuhan termasuklah dari Parti Perikatan dan Raja-raja Melayu.
Daripada 131 buah memorandum bertulis tersebut, dua daripadanya dianggap
penting iaitu dari Raja-raja Melayu dan Parti Perikatan. Walau bagaimanapun, memo
Perikatan yang dihantar pada 27 Julai 1955 menjadi pertimbangan utama
Suruhanjaya atas sifat tuntutan bersama kaum-kaum terbesar. Dapatlah dikatakan
bahawa memo tersebut sebagai satu pakatan murni iaitu persetujuan secara
bertolak ansur demi kepentingan semua kaum di Tanah Melayu.

Terdapat lima perkara utama di dalam pakatan murni iaitu unsur tolak ansur UMNO
dari segi kewarganegaraan, kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu,
agama Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu. Berikut adalah antara
kandungannya:

(i) Kewujudan Kerajaan Pusat dan Negeri (Federalisme)


(ii) Nama negara: UMNO (Malaysia) dan MCA (Malaya)
(iii) Mengujudkan institusi Yang Dipertuan Agung dan Timbalan Yang
Dipertuan Agung bagi menggantikan Pesuruhjaya Tinggi.
(iv) Penerusan Majlis Raja-raja.
(v) Parlimen mengandungi dua Dewan, iaitu Dewan Negara dan Dewan
Rakyat.
(vi) Kewujudan tiga badan pemerintah dan pengasingan kuasa.
(vii) Kedudukan Islam sebagai agama negara.
(viii) Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
(ix) Takrif Melayu.15

Dua perkara penting dalam pakatan murni, iaitu pengekalan empat unsur tradisi
dalam perlembagaan iaitu Bahasa, Agama, kedudukan Raja-raja Melayu dan
kedudukan istimewa orang Melayu. Manakala bagi orang bukan Melayu pula,
mereka mendapat keistimewaan apabila pemimpin UMNO bersetuju memberikan
kerakyatan secara jus soli iaitu kerakyatan mengikut tempat lahir.

Sungguhpun memorandum ini digubal bersama oleh UMNO, MCA, dan MIC, tetapi
tidak bermakna ketiga-tiga pihak ini bersetuju dengan semua perkara yang
dikemukakan. Misalnya, persetujuan tidak dicapai mengenai pemberian taraf
kerakyatan kepada individu yang lahir pada atau selepas hari merdeka, yang ibu
bapanya adalah warganegara asing dan soal penggunaan bahasa Kuo Yu dan
bahasa Tamil dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka. 16 Kesatuan Perdagangan
Cina Persekutuan Tanah Melayu misalnya, tidak bersetuju dengan peruntukan
kedudukan istimewa orang Melayu dan kegagalan menjadikan bahasa Kuo Yu
sebagai salah satu bahasa rasmi di negara ini.17 Bagi Persatuan Dewan Perniagaan
Cina SeMalaya pula, mendakwa prinsip jus soli tidak berfaedah kepada mereka.
Malah mereka merayu supaya dikurangkan tempoh kelayakan bermastautin dari
sepuluh tahun kepada lima tahun. Bagi yang melalui proses permohonan,
dicadangkan pemansuhan ujian bahasa. Selain itu, mereka juga menuntut
kesamarataan antara bahasa Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil.

Sementara Dewan Perniagaan Melayu menyarankan supaya undang-undang


kewarganegaraan Persekutuan tidak harus dilonggarkan sehinggalah golongan
bukan Melayu dapat membuktikan ketaatsetiaan mereka kepada Tanah Melayu.
Persatuan Tamil Seluruh Malaya mendesak supaya seluruh keturunan Tamil yang
dilahirkan di Tanah Melayu wajar diberikan kewarganegaraan secara automatik.
Manakala bagi pejuang-pejuang UMNO yang menentang pula berpendapat UMNO
terlalu banyak mengalah terutama dalam hal-hal kerakyatan. Ini kerana orang yang
berkelayakan boleh menjadi rakyat dan menikmati hak-hak sebagai rakyat Tanah
Melayu dengan begitu mudah dan seterusnya boleh menghasilkan kesan serta
merta kepada bangsa Melayu. Sementara undang-undang mengiktiraf kedudukan
istimewa orang Melayu dalam pekerjaan, pelajaran, dan peluang peniagaan tidak
memberi hasil yang serta merta seperti hak kerakyatan, jika dibandingkan dengan
apa yang didapati oleh orang Cina dan India dasar melalui jus soli. Ini kerana orang
Melayu bimbang dengan dasar jus soli kerana akan mengurangkan kuasa politik
secara beransur-ansur dan cengkaman politik bangsa Melayu dicabar oleh bangsa
asing.

Pada keseluruhannya, Suruhanjaya Reid telah mengadakan sebanyak 118


persidangan dari bulan Jun sehingga bulan Oktober 1956. Setelah diumumkan, Parti
Perikatan dan beberapa pihak lain telah menyatakan tentangan mereka berkenaan
dengan pemberian dua kerakyatan kepada rakyat Komanwel. Misalnya seseorang
itu pada masa yang sama boleh menjadi rakyat India dan juga rakyat Britain serta
tanah jajahan yang lain, sungguhpun mereka menumpukan taat setia yang tidak
berbelah bagi kepada negeri yang ia tinggal. Perikatan menuntut kerakyatan yang
tunggal. Terdapat suara-suara yang mahukan supaya Melaka dan Pulau Pinang
dikekalkan di bawah jajahan British, iaitu terasing dari Tanah Melayu yang merdeka.
Ia datang daripada Persatuan British Cina Negeri-Negeri Selat. Isu lain yang
ditentang ialah berkenaan dengan kedudukan istimewa orang Melayu juga tidak
sepenuhnya kerana Suruhanjaya ini mencadangkan ia dikaji semula selepas 15
tahun dengan tujuan ia ditarik balik secara beransur-ansur. Cadangan ini ditentang
hebat oleh UMNO.

Akhirnya rangka perlembagaan dikaji semula dan perlembagaan merdeka yang


baru dibentuk hasil daripada rumusan dan pandangan sebuah jawatankuasa yang
telah ditubuhkan. Pada 1 Mei 1957, jawatankuasa tersebut siap menyemak Laporan
Reid serta membuat beberapa pindaan. Rundingan terakhir jawatankuasa kerja
diadakan di London dan bersetuju dengan Rang Perlembagaan yang dibentuk
sebagai Perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka.
Pada 5 Ogos 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani oleh
Raja-raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British bersetuju menubuhkan Persekutuan
Tanah Melayu mulai 31 Ogos 1957. Dalam tahun itu juga Majlis Perundangan
Persekutuan telah meluluskan Ordinan Perlembagaan Persekutuan 1957.

5.5.4 Pengisytiharan Kemerdekaan

Upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dimulai tepat


pada jam 12.00 tengah malam pada 31 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab
Selangor. Upacara dimulakan dengan menurunkan bendera Union Jack dan
digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Penurunan bendera Union
Jack ini menandakan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada pagi 31 Ogos 1957, Tuanku Abdul Rahman telah mengisytiharkan


kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka melalui
pengisytiharan kemerdekaan yang diserahkan kepada beliau oleh wakil Ratu
Elizabeth.

Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Perdana Menteri pertama dan Yang Di-Pertuan
Besar Negeri Sembilan, Tunku Abdul Rahman ibni Al Marhum Yamtuan Muhamad
pula ditabalkan sebagai Yang Di Pertuan Agong yang pertama. Di samping itu, ahli
Jemaah Menteri yang baru Persekutuan Tanah Melayu yang pertama turut
diumumkan. Tanah Melayu diterima menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu ke-82 pada 17 September 1957.

5.5 KESIMPULAN

Tanah Melayu akhirnya berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957


setelah dijajah oleh kuasa-kuasa asing selama 446 tahun. Kemerdekaan bererti
tamatnya tempoh penjajahan di Tanah Melayu dan rakyat boleh memerintah
mengikut corak kehidupan mereka sendiri tanpa terikat lagi kepada kuasa asing.
Kemerdekaan yang diperolehi adalah melalui proses perundingan dengan pihak
Inggeris. Orang Melayu pula telah menunjukkan tolak ansurnya yang paling
maksimum sehingga mengorbankan hak ketuanan mereka di bumi sendiri. Walau
bagaimanapun, orang Melayu telah tidak dapat menahankan konsep jus soli yang
ditentang mereka sejak penubuhan Malayan Union lagi. Dari tempoh 31 Ogos 1957
sehingga 31 Ogos 1958 kaum-kaum bukan Melayu telah diberikan pengecualian
perlunya mengetahui bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Ini merupakan satu
kelonggaran yang istimewa untuk tempoh satu tahun. Ia bolehlah dianggap sebagai
satu hadiah atau pengecualian yang istimewa kepada kaum bukan Melayu. Dalam
tempoh setahun ini jugalah MCA telah menjalankan kempen berhabis-habisan
hingga lebih daripada 800,000 orang bukan Melayu telah menjadi rakyat
Persekutuan Tanah Melayu secara automatik.

Anda mungkin juga menyukai