Anda di halaman 1dari 7

kesenian anyaman melayu.....

Kesenian wujud, berkembang dan diturunkan dalam atau melalui tradisi-tradisi sosial atau
masyarakat. Kesenian adalah milik masyarakat, dilihat sebagai cara hidup yang bertalian dengan
keindahan dari para ahli masyarakat. Kesenian ini menjadi tunjang kepada kebudayaan
masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Dengan adanya kesenian seperti ini identiti
masyarakat Melayu lebih terserlah dan dikenali ramai.

Warisan seni tradisional di kalangan orang Melayu disampaikan secara lisan dari generasi kepada
satu generasi, namun artis sebagai individu yang menghasilkan mempunyai ruang untuk
menggalakkan kreativiti dan mempertahankan nilai-nilai estetik karya seni tersebut. Kesenian
bangsa Melayu telah diakui dunia sebagai unik dan menarik. Seni rupa dalam masyarakat
Melayu merupakan ciptaan yang mengandungi unsur-unsur seni yang dihasilkan oleh orang
Melayu melalui ukiran, anyaman, tenunan, seni bina dan sebagainya.

Seni kraftangan adalah hasil seni yang dicipta untuk digunakan, tetapi digubah dengan
memasukkan unsur-unsur seni untuk memberi bentuk yang indah dan menarik hati. Penciptaan
kraftangan itu memerlukan keahlian dan kecekapan dalam penggunaan bahan-bahan asas yang
teratur sejak dari proses awal hinggalah sesuatu hasil kraftangan itu tercipta. Proses penciptaan
kraftangan tersebut memerlukan daya estetika demi untuk memberikan rekabentuk yang indah
dan menarik.

Seni anyaman adalah suatu bentuk kraf yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup
tradisional masyarakat Melayu dan rumpun nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding
pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat
di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika merupakan jenis yang
sesuai untuk dijadikan bahan anyaman.
Menganyam merupakan proses menjalin jaluran daun, lidi, rotan, akar, buluh dan beberapa jenis
tumbuhan yang lain. Beberapa jenis reka bentuk kraftangan dihasilkan melalui nyaman demi
untuk mencipta sesuatu alat keperluan harian contohnya menghasilkan topi, tudung saji, bakul
dan menganyam tikar untuk mengalas tempat duduk.

Kraf Bukan Sekadar Pernyataan Estetik dan Kreatif Masyarakat Melayu

Estetik dikaitkan dengan istilah nilai-nilai keindahan, termasuk di dalamnya makna, antara lain
elok, molek, cantik, anggun, bagus, lembut, utuh, seimbang, padu, bening, tenang, hampa,
suram, dinamik, kukuh, hidup, gerak, hambar, sentimental dan tragik. Berekspresi estetik
merupakan antara keperluan manusia yang tergolong dalam keperluan budaya, keperluan ini
terhasil kerana faktor dorongan dari dalam diri manusia yang secara asasi sentiasa ingin
merefleksikan keradaannya sebagai makhluk yang bermoral, berakal fikiran dan berperasaan.

Keperluan estetik, baik secara langsung mahupun tidak langsung, terserap dalam kegiatan-
kegiatan untuk memenuhi keperluan lainnya, sama ada keperluan primer, sekunder, ataupun
keperluan budaya lainnya, yang berkaitan dengan perasaan baik dan benar, adil dan tidak adil
serta masuk akal atau sebaliknya.
Apabila menjelaskan makna estetik maka ia banyak dibincangkan berkaitan dengan deria
pengamatan terhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau
keindahan, bukan menekankan aspek fungsional serta kecanggihan objek tersebut. Manakala
apabila menjelaskan makna kreatif dalam sesuatu hasil kesenian Melayu, kerap pemaknaan
penghasilan hanya dilingkungi hasil pengamatan serta manifestasi kreatif pandai kraf terhadap
alam Melayu.

Tidakkah kreatif itu merupakan hasil kesenian sesuatu bangsa yang membentuk budaya ekspresif
yang melaluinya kelompok bangsa tersebut menyatakan keperluan dan keinginan dalam
kehidupan mereka?. Kreatif dalam konteks karya kraf sering dikaitkan dengan ketidaksengajaan,
desakan hidup dan spontan. Apakah kreatif dalam pemaknaan karya kraf Melayu terasing
daripada proses pemikiran yang begitu teliti, komprehensif dan unik?

Ini jelas membuktikan bahawa, kecanggihan menghasilkan objek seni ini jarang dikaitkan
dengan pemikiran saintifik dan pemikiran matematik. Dokumentasi mengenai kesenian anyaman
Melayu tidak dikaitkan dengan kecanggihan pemikiran saintifik dan matematik seperti ahli
matematik Yunani Pythagoras ataupun Archimedes. Kenapa jarang sekali seni ukir dan anyaman
ini disamakan dengan ilmu sains dan matematik ? Ukiran sering hanya dikaitkan sebagai luahan
daya kreativiti dan estetika sahaja seperti yang dinyatakan oleh Siti Zainon (1986), iaitu:
seniman alam Melayu bekerja menghasilkan seni gunaan tetapi penuh
daya kreativiti dan estetika yang memang telah teruji sejak berzaman. Mengukir bukan sekadar
menggunakan bahan tetapi juga mengeluarkan buah fikiran dan perasaan.

Seni anyaman mempamerkan budaya dan cara hidup orang-orang melayu dahulu kala. Ia kadang
kala disebut sebagai seni miskin kerana dilakukan oleh orang-orang kampung semata-mata
untuk memenuhi keperluan harian mereka. Anyaman rotan menghasilkan produk seperti bakul
dan perabot yang kebanyakannya adalah untuk kegunaan sendiri atau dijual secara kecil-kecilan
di pasar terbuka. Penghasilan sesuatu produk rotan bukanlah perkara yang mudah bagi orang
dahulu kala.

Bahan mentahnya, iaitu rotan, hanya didapati di dalam hutan belantara. Ia perlu ditebang,
dibersihkan, dirawat dan dikeringkan dengan teliti supaya sesuai untuk dijadikan peralatan yang
boleh digunakan. Masyarakat dahulu kala juga perlu memikirkan cara yang paling berkesan
untuk menghasilkan produk yang bukan hanya cantik tetapi boleh bertahan lama.

Rotan, ia merupakan hasil hutan bukan kayu yang terpenting di Semenanjung Malaysia.
Tumbuhan ini lazimnya tumbuh liar dengan banyaknya di kawasan-kawasan pendalaman hutan
semulajadi di Pahang, Perak dan Kedah. Perusahaan rotan di negara ini lebih tertumpu kepada
aktiviti-aktiviti pengeluaran perabot bagi pasaran tempatan.

Rotan yang paling popular dan menjadi pilihan utama bagi pembuatan rangka dan perabot rotan
adalah rotan jenis manau atau nama saintifiknya Calamus manan. Rotan jenis besar yang lain
termasuklah rotan jenis dok (Calamus ornatus) dan semambu (Calamus scipionum). Rotan sega
(Calamus caesius) pula adalah sejenis rotan kecil yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Saiz rotan ini tidak melebihi jari kelingking dan lazimnya digunakan bagi tujuan ikatan dan
penyambungan komponen-komponen perabot.

Di kawasan-kawasan luar bandar, spesies rotan yang kecil saiznya digunakan sebagai bahan
anyaman untuk membuat tali, bakul dan dulang. Rotan yang dikeluarkan dari hutan dibersihkan,
dirawat dan dijemur terlebih dahulu sebelum dihantar untuk diproses. Diameter rotan diambil
kira untuk menentukan mata pisau yang akan digunakan untuk setiap peringkat memotong rotan.

Peringkat kedua adalah proses membersihkan permukaan rotan. Rotan akan dibuang kulit
luarnya dan permukaan rotan dibersihkan sebanyak dua kali. Rotan yang terhasil melalui proses
ini adalah lebih putih dan bersih. Sebarang kekotoran yang masih tertinggal akan dibuang secara
manual.

Proses seterusnya adalah menghasilkan bilah-bilah rotan yang dikenali sebagai penjalin. Rotan
akan diukur diameternya sekali lagi kerana saiz rotan mengecil apabila kulit luarnya dibuang.
Mata pisau yang sesuai dengan saiz baru rotan digunakan untuk mendapat jumlah maksimum
penjalin rotan.

Semasa proses ini bahagian tengah rotan yang dipanggil hati rotan akan diproses sekali lagi
untuk mendapatkan beberapa lagi bilah rotan penjalin. Sebagai contoh rotan yang berdiameter
9mm boleh menghasilkan lapan bilah rotan penjalin semasa peringkat pertama proses
memotongnya dan empat lagi semasa proses kedua. Bahagian paling dalam pada batang rotan
akan diproses untuk digunakan sebagai struktur tiang pada produk rotan yang bakal dihasilkan.

Pada keseluruhannya, hanya sedikit sahaja bahagian rotan yang tidak boleh digunakan.
Masyarakat Melayu dahulu tidak didedahkan kepada sebarang teknologi moden dalam
menghasilkan produk mereka. Pengetahuan mereka adalah berasaskan apa yang diturunkan oleh
nenek moyang mereka selain dari penerokaan melalui trial and error dan pengalaman konkrit
yang dilalui. Latihan tidak formal ini telah memungkinkan mereka merekacipta dan membentuk
produk yang bukan hanya sesuai untuk kegunaan harian mereka malah merupakan penciptaan
yang kreatif dan penuh daya estetika.

Disebalik kreativiti dan nilai estetika yang terpancar pada sesuatu produk hasil anyaman, tidak
dinafikan bahawa ia terhasil dari pemikiran penggubahnya dan proses-proses tertentu yang perlu
dilalui untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Produk anyaman yang terhasil sudah cukup
membuktikan bahawa masyarakat Melayu mempunyai daya pemikiran yang bukan hanya
mampu mengenalpasti bahan dan proses malah menjalankan perkiraan mental (mental
arithmetic) secara tepat dan terperinci dan menaakul secara saintifik didalam penghasilan produk
berasaskan rotan.

Jika diteliti secara mendalam pemikiran saintifik dan matematik masyarakat Melayu
sememangnya tersirat di dalam gubahan dan corak yang sangat halus dan berseni yang
dihasilkan. Menurut Lawson (1995) pemikiran saintifik individu berkembang dari peringkat
yang rendah kepada peringkat yang lebih tinggi mengikut perkembangan kognitif seseorang
individu.

Perkembangan pemikiran saintifk berlaku apabila individu berupaya menguasai pengetahuan dan
proses saintifik melalui pemikiran logik dan penaakulan. Dari aspek ini individu boleh
beroperasi pada peringkat diskriptif di mana mereka menjalankan operasi seperti pemerhatian,
menyenaraikan fakta, pengkelasan dan membuat generalisai. Pemikiran saintifik peringkat tinggi
pula melibatkan individu menjalankan proses-proses seperti berfikir secara kombinatorial,
mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis, menjalankan pemikiran-pemikiran berkadaran,
kebarangkalian dan korelasi.

Persoalannya sekarang adalah adakah seni anyaman masyarakat Melayu menunjukkan corak
pemikiran saintifik pada penggubah dan gubahannya? Jika diteliti dari peringkat pemprosesan
bahan mentah sehingga terhasil produk seninya adalah jelas dan ketara bahawa pemikiran
saintifik memainkan peranan yang besar di dalam seni anyaman. Peringkat pemprosesan bahan
mentah melibatkan pemikiran saintifik dari beberapa aspek seperti:

i. pemerhatian yang teliti terhadap jenis rotan yang diperolehi;

ii. mengenalpasti ciri-ciri rotan seperti kematangan, saiz dan jenis;

iii. mengkelaskan rotan mengikut ciri;

iv. dan membuat generalisasi seperti menentukan rotan yang paling sesuai berdasarkan fakta-
fakta yang dikumpul.

Pemikiran sebegini lebih bercorak deskriptif dan banyak menggunakan pengalaman konkrit serta
pengetahuan sedia ada mereka. Oleh kerana pendedahan kepada maklumat saintifik secara
formal tidak diperolehi, masyarakat Melayu banyak menggunakan pemikiran serta menaakul
secara logik. Pengetahuan ini digunakan dan diuji secara trial and error untuk memperoleh
bahan paling baik bagi penghasilan produk. Seni anyaman masyarakat Melayu juga boleh
menceritakan proses pemikiran saintifik peringkat tinggi yang tersirat di dalam setiap gubahan
mereka. Antarannya termasuk:

i. keupayaan membuat pemikiran kombinatorial menentukan kombinasi genap dan ganjil di


dalan gubahan;

ii. keupayaan mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis apabila menentukan jumlah
penjalin untuk mendapatkan saiz serta bentuk yang diinginkan;

iii. Menjalankan pemikiran berkadaran, kebarangkalian serta korelasi dalam aspek seperti
membuat korelasi di antara saiz rotan dan saiz produk yang dihasilkan, berfikir secara
berkadaran apbila menentukan pewarnaan pada bahan mentah dan proses pemikiran secara
kebarangkalian terhadap corak yang akan dihasilkan. Jelas sekali seni anyaman, dengan corak
dan pengiraan geometriknya dan proses-proses saintifiknya menceritakan bagaimana masyarakat
Melayu dahulu kala berfikir dan menaakul secara saintifik.

Kesimpulan
Anyaman adalah kesenian yang bersifat lahiriah, mempunyai makna yang dalam dan
kewujudannya merupakan wadah pemaparan idea yang melibatkan pancaindera penglihatan,
pendengaran, pemikiran dan kesedaran secara seimbang sebagai symbol yang memberi makna
yang tersendiri dalam masyarakat berhubung dengan adat, agama, kepercayaan, adab, perasaan,
corak pemikiran dan falsafah hidup orang Melayu.

Peter Dolmer (1997) mentafsirkan makna kraf sebagai aktiviti kreatif berkemahiran dan
penelitian proses-proses yang perlu dilalui untuk menghasilkan seni anyaman ini menunjukkan
bahawa ianya memerlukan pemikiran saintifik dan matematik yang kompleks dan rumit yang
selalunya hanya dianggap sebagai simbol tanda kepekaan yang asli atau hasil kerja seni.

Seni anyaman Melayu sememangnya indah. Tanpa seni, tidak lengkaplah budaya dan warisan
bangsa.