Anda di halaman 1dari 14

Manuskrip (undang-undang kedah)

1. Pendahuluan

Tanah Melayu merupakan salah sebuah tempat penyebaran agama Islam.


Setelah kedatangan agama Islam di Tanah Melayu, perkembangan pendidikan
dan intelektual semakin berkembang pesat. Oleh hal yang demikian, ramai
antara ulama dan sarjana Islam yang telah mengambil kesempatan ini untuk
menghasilkan pelbagai karya yang dapat memberi manfaat kepada generasi
sekarang. Jenis-jenis karya yang dihasilkan seperti manuskrip, buku-buku agama,
undang-undang dan sebagainya. Karya-karya ini merupakan salah satu daripada
sumber utama sejarah yang telah menjadi rujukan kepada para pengkaji.

Menurut kajian yang telah dilakukan terdapat 10 000 naskhah karya tulisan
tangan yang ditemui. Antara naskhah yang ditemui merupakan undang-undang
atau peraturan yang digunakan oleh negeri-negeri Melayu pada zaman dahulu.
Undang-undang ini menyentuh beberapa perkara yang dapat mencerminkan
sistem pemerintahan, pentadbiran, susunan masyarakat dan corak pemikiran
masyarakat pada ketika itu. Konsep undang-undang masyarakat Melayu lama
tidak dapat disamakan dengan undang-undang dalam masyarakat moden
sekarang. Walau bagaimanapun undang-undang yang diamalkan oleh
masyarakat Melayu pada zaman dahulu telah berlandaskan syariat Islam dan
telah dinukilkan dalam bentuk manuskrip.

Selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511M, negeri Kedah merupakan sebuah
negeri yang banyak memiliki teks undang-undang dan teks yang tertua ialah
bertarikh 1650M. Pada ketika ini, Kedah merupakan sebuah bandar pelabuhan
dan teks undang-undangnya banyak membicarakan tentang pelabuhan dan
perdagangan. Perkara utama yang menjadi undang-undang Kedah ialah cukai
kepala ke atas pendatang asing, cukai pelabuhan ke atas kapal yang datang dari
Kalinga dan Gujarat, cukai yang dikenakan oleh syahbandar Kedah ke atas
hamba dan hasil timah, penggunaan kemudahan pelabuhan, keamanan di
pelabuhan, piawaian dalam timbangan dan ukur, penerimaan misi dan duta
asing serta sistemnya.

2. Negeri Kedah

Kedah atau Kataha atau Kadaram atau Kallah telah lama dikenali oleh pelaut dan
pedagang yang menjalankan perdagangan antara India dengan China. Negeri
atau pelabuhan ini yang mula muncul dalam sejarah sekitar abad ke-2M telah
memainkan peranan penting sebagai pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal
yang berlayar ke China atau India, sama ada pedagang yang menggunakan Selat
Melaka atau jalan darat merentasi utara Semenanjung ke Langkasuka di pantai
timur. Sejak abad ke-3, Kedah telah menjadi sebuah pelabuhan penting di
Semenanjung dan telah mempunyai perhubungan dengan pelabuhan Puhar
(Kaverippattinam) di selatan India (R.Braddell;1980:343). Di samping, itu orang
Cina juga telah mengenalinya ketika itu dan memanggilnya Chieh-ch'a. Chieh-
ch'a dikatakan pernah mengirim utusan ke istana Cina pada tahun 638M
(P.Wheatley;1980:46).

Oleh kerana pedagang-pedagang Arab dan Parsi telah bertapak di tenggara


China sejak abad ke-7M, kemungkinan besar mereka telah pun mengenali negeri
atau pelabuhan Kedah ini pada masa itu. Pada abad ke-9, catatan Arab ada
menyebut tentang pelabuhan ini yang dikenalinya sebagai Kallah. Kallah disebut
oleh Abu Zaid (916M) sebagai pusat perdagangan pelbagai jenis barangan
termasuklah kayu gaharu, cendana, kapur barus, gading, timah kayu baqam
(kayu pencelup merah) dan rempah ratus (G.R. Tibbetts;1979;33). Pada abad ke-
11M, Kedah merupakan sebuah pelabuhan entrepot yang besar. Sejak itu
perdagangan dengan pihak China juga menjadi lebih penting. Pengkalan Bujang
dan Sungai Emas ketika itu menjadi pelabuhan entrepot yang penting bagi hasil-
hasil dagangan Timur-Barat. Sebagai bukti wujudnya perdagangan ini, telah
ditemui pelbagai peninggalan barangan dagangan di kawasan ini. Di samping
itu, peninggalan objek-objek dari Timur Tengah seperti lampu kaca Arab, botol-
botol Arab dan tembikar Parsi, telah dijumpai juga serpihan-serpihan tembikar
China zaman Sung dan Yuan. Selain daripada itu, terdapat juga bahan-bahan
tembikar yang dipercayai berasal dari India.

Seperti yang telah dinyatakan, Kedah bukanlah sebuah negari atau pelabuhan
yang asing bagi pedagang dan pelaut Islam sejak dahulu, ketika wujudnya
perhubungan antara dunia Arab (Islam) dengan China hinggalah ke abad ke-18M.
Perkataan Kallah telah tercatat dalam banyak hasil tulisan penulis Arab sejak
abad ke-9M lagi walaupun bukan semua mereka pernah sampai ke negeri
(pelabuhan) itu. Kallah terdapat dalam kisah Akhbar Al-Sin Wa'l-Hind (850M).
Selain itu juga terdapat dalam catatan-catatan Ibn Khurdadhbih (850M), Ya'qubi
(897M), Ibn Al-Faqih (903M), Ibn Rusta (900M) dan Abu Zaid (916M), Ma'udi
(956M), Abu Dulaf (940M) dan Ibn Serapion (950M). Kallah juga tercatat dalam
kisah-kisah pelayaran Sinbad, Ajaib Al-Hind dan Mukhtasar Al-Aja'ib. Al-Biruni
juga ada mencatatkan nama Kallah di dalam kitabnya, Kitab Al-Tafhim. Selepas
abad ke -10M terdapat lebih banyak catatan tentang negeri Kallah ini dalam
tulisan orang-orang Arab. Hal ini termasuklah catatan Kharaqi (1138M), Odrisi
(m.1165M) dan Yaqut dalam kitabnya Mu'jam Al Buldan dan Marasid Al-Ittila, Ibn
Sa'id (1274M) dan Abu'l-Fida (m.1331M).

Namun apabila menjelang abad ke -14M, Kallah tidak lagi popular di kalangan
pelaut dan pedagang Arab. Ramai pedagang yang melintasi kawasan ini tidak
lagi menyebutnya. Kemungkinan besar pada masa itu Kallah telah dibayangi oleh
sebuah pelabuhan (kerajaan) besar yang baru muncul pada akhir abad ke-13M di
bahagian timur Sumatera Utara iaitu Samudra Pasai. Di samping itu, Kallah juga
kemudiannya telah ditawan oleh Pasai sekitar tahun 1380M. Apabila masuk abad
ke-15M, Kallah (Kedah) terus tenggelam akibat kebangkitan pelabuhan Melaka
sebagai pelaut dan pengembara Arab seperti Shibab Ad-Din Ahmad ibn Majid
dan Sulaiman Ibn Ahmad Al-Mahri yang melintasi kawasan ini tidak memberi
penjelasan tentangnya. Jika menyebutnya pun hanya sebagai panduan belayar
( Ahmad Jelani Halini. http://www.my kedah.com. 1 March 2010)

Namun demikian perkara ini bukanlah bermakna bahawa pelabuhan Kedah telah
hilang langsung. Pelabuhan ini terus wujud dan didatangi oleh pedagang dan
pelaut dari kawasan lain seperti India dan China. Cuma pelabuhan ini hanya
kurang popular di kalangan pelaut dan pedagang Arab. Pelabuhan Kedah terus
malap hinggalah ke abad ke-16M iaitu sehingga jatuhnya kerajaan Melayu
Melaka ke tangan Portugis pada 1511M. Selepas itu, barulah pedagang-
pedagang Islam mula beralih kembali ke pelabuhan di bahagian utara Selat
Melaka seperti Pasai, Acheh dan Kedah. Akan tetapi orang Islam yang
mendatangi Kedah pada abad-abad yang terkemudian itu bukan lagi orang Arab
tetapi orang-orang Islam dari benua kecil India. Walaupun demikian ada
pendapat yang mengatakan mereka itu sebahagian besarnya adalah dari
keturunan Arab kacukan. Di samping itu pelabuhan yang mereka kunjungi bukan
lagi Pengkalan Bujang di selatan negeri itu tetapi di Kuala Kedah ( Ahmad Jelani
Halini. http://www.my kedah.com. 1 March 2010).

2.1 Negeri Kedah pada abad ke-17 dan 18.

Pada peringkat awal perkembangan kerajaan Kedah, kegiatan perdagangan


tertumpu di pelabuhan Sungai Mas dan Lembah Bujang akan tetapi apabila
menjelang abad ke-17M, Kuala Kedah menjadi tumpuan. Pada ketika itu, Kuala
Kedah merupakan sebuah pelabuhan yang agak baik, sungainya agak luas dan
dalam. Kapal-kapal seberat 250 tan boleh mudik hingga lebih kurang 100km dari
kualanya. Sultan tidak bersemayam di sana tetapi pelabuhan itu dikuasai oleh
puteranya kerana raja dikatakan bersemayam di Solla (Padang Salla). Kedaan ini
berterusan sehingga abad ke-18M.

Pada abad ke-17M itu Kuala Kedah menjadi sebuah pelabuhan yang penting di
pinggir Selat Melaka. Sejak kebangkitan Melaka, pelabuhan-pelabuhan di Kedah
telah mula ditinggalkan oleh pedagang. Pelabuhan ini hanya digunakan oleh
perahu tempatan yang berulang alik berdagang dengan Melaka. Terutamanya
pedagang yang membawa beras dan padi. Walau bagaimanapun setelah
Portugis menakluk Melaka pada 1511M, ramai pedagang Islam yang dulunya
tertumpu ke Melaka kini beralih ke Acheh dan Kedah. Ketika itu, Kedah banyak
menghasilkan beras, timah dan lada hitam yang semakin meningkat menjadi
komoditi utama dalam perdagangan antarabangsa. Namun demikian pada
zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1936), Kedah
telah diserang dan kesemua ladang ladanya dimusnahkan termasuk ladang yang
terdapat di Langkawi. Selepas itu, Kedah tidak lagi mengeksport lada dan
pelabuhannya mula suram kembali justeru kerana larangan Iskandar Muda
kepada kapal-kapal dagang berdagang terus di pelabuhan lain dalam jajahan
takluknya selain daripada Banda Acheh. Sebelum dimusnahkan oleh Acheh,
Kedah mempunyai perdagangan yang agak luas khususnya ke barat, iaitu
Benggala, Surat dan Koromendel ( Ahmad Jelani Halini. http://www.my
kedah.com. 1 March 2010).

Namun demikian setelah kemangkatan Iskandar Muda dan Iskandar Thani


(1641M), pelabuhan Kedah sudah mula maju semula. Banyak kapal-kapal dari
India dan China telah singgah di pelabuhan itu. Begitu juga kapal-kapal Belanda
dan country traders Inggeris. Ketika Thomas Bowery singgah di pelabuhan itu
sekitar tahun 1670-an, beliau melaporkan terdapat 4 atau 5 buah kapal datang
dari Surat, Koromendal dan Benggala ke negeri ini setiap tahun. Dari Borneo 5
atau 6 buah perahu dan lebih kurang 30-40 perahu Kedah sendiri yang sering
berulang-alik berdagang ke Bangaree, Ujung Salang, Perak dan Acheh. Bowery
juga mencatatkan dalam Maly Dictionary nya bahawa Kedah menghasilkan 1000
pikul lada dan 5000 pikul timah setahun.

Keadaan Kedah tidak banyak berubah pada abad ke-18M. Hasil perdagangannya
seperti beras, gading, timah, hasil-hasil hutan, lada dan gajah. Sebuah laporan
pihak Inggeris pada tahun 1786M mencatatkan bahawa di Kedah ketika itu
terdapat banyak beras, ternakan seperti kerbau, lembu dan kambing. Di samping
itu, terdapat juga bijih timah dan gajah yang dijual ke India lebih kurang 16 ekor
setiap tahun. Ketika pihak Belanda cuba memperluaskan dasar ekonominya ke
seluruh Kepulauan Melayu, Kedah terus berusaha melepaskan dirinya daripada
ikatan itu walaupun terpaksa menghadapi sekatan-sekatan daripada pihak
penjajah. Ketika ini lebih ramai pedagang Islam dan China datang ke Kedah bagi
mencari pasaran baru untuk barangan mereka dan juga mengelakkan kerenah
pihak Belanda yang cuba menyekat perdagangan mereka. Perkara ini telah
dapat membantu Kedah meneruskan perdagangannya yang hampir lumpuh
akibat sekatan-sekatan Belanda. Namun demikian, keadaan di Kedah ketika itu
tidaklah begitu aman kerana berlaku perang saudara di antara anak-anak Raja
Kedah. Keadaan ini mungkin kerana perbalahan dan perpecahan di kalangan
anak-anak Raja Kedah ini yang menyebabkan ramai pedagang-pedagang Chulia
dapat menghampiri raja sehingga akhirnya mereka mendapat kedudukan yang
tinggi seperti menjawat jawatan Saudagar Raja, jawatan yang tidak pernah
wujud sebelumnya (Ahmad Jelani Halini. http://www.my kedah.com. 1 March
2010).

3. Latar belakang buku dan teks

Manuskrip ini dikenali sebagai undang-undang Kedah dan telah dilakukan salinan
dan diterjemah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Usaha-usaha ini dilakukan demi
memelihara karya dan sumber kajian kepada generasi sekarang dan akan
datang dalam melakukan kajian terhadap manuskrip lama. Teks ini telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Dewan Bahasa dan Pustaka pula
telah menterjemahkan kembali ke dalam bahasa Melayu dari Perpustakaan
School of Oriental and African Studies (SOAS), London. Nombor rujukan teks ini
MS 40329 dan berbentuk mikrofilem.
Teks ini berukuran 29cm x 19cm dan mengandungi 65 halaman, 29 baris bagi
setiap halaman dan setiap baris pula mengandungi lebih kurang 17 perkataan.
Teks ini ditulis dengan dakwah hitam, tulisannya juga cantik tetapi agak kecil
saiznya dan ditulis sangat rapat antara satu sama lain sehingga kadang-kadang
agak sukar untuk dibaca. Pada penghujung teks dinyatakan bahawa teks
undang-undang ini telah siap ditulis pada hari Selasa, bulan Rabiulawal, tahun
220 Hijrah, pada zaman Sultan Jamal al-Alam Badrul Munir yang memerintah
negeri Aceh Darussalam.

Walau bagaimanapun teks ini telah dinukilkan semula oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka dan telah diselenggarakan oleh Maryam binti Salim. Buku ini telah
diterbitkan pada tahun 2005 dan dicetak oleh Dawama Sdn Bhd, Ampang,
Selangor Darul Ehsan. Buku ini berwarna kuning, mempunyai 175 halaman.
Mempunyai kata pengantar dan pendahuluan di permulaan buku ini dan diakhiri
dengan bibliografi. Buku ini dilengkapi dengan translisasi teks undang-undang
Kedah, lampiran iaitu teks asal undang-undang ini dalam tulisan jawi. Kemudian
dimuatkan juga dengan glosari.

4. Kandungan teks

Teks ini menyatakan tentang undang-undang yang telah dijalankan di negeri


Kedah pada zaman dahulu. Teks undang-undang ini dibahagikan kepada 5
bahagian iaitu:

a) Undang-undang pelabuhan.
b) Undang-undang Seri Paduka Tuan.
c) Hukum Kanun Datuk Kota Setar.
d) Cara membuat bunga emas.
e) Undang-undang hijrah seribu seratus sembilan puluh sembilan (1199).
4.1 Huraian dan gambaran kandungan teks.
4.1.1 Undang-undang pelabuhan

Undang-undang 1060M itu merupakan undang-undang yang tertua di antara


kesemua undang-undang kerajaan Kedah itu. Ia dikatakan tertulis pada tahun
1060H bersamaan 1650M. Undang-undang ini merupakan undang-undang atau
peraturan pelabuhan. Mengikut Winstedt, undang-undang ini mirip kepada
undang-undang kerajaan Moghul yang terkandung di dalam Tarikhi Tahiri.
Andaian ini tidak semestinya tepat. Akan tetapi memang ada kemungkinan
bahawa undang-undang Kedah itu ditiru atau diadaptasikan daripada undang-
undang pelabuhan Acheh (adat Acheh). Terdapat nama-nama jawatan dan
peraturan-peraturan yang sama yang terdapat dalam undang-undang pelabuhan
Acheh. Lagipun ketika undang-undang itu ditulis 1060H (1650M) memang Kedah
merupakan salah sebuah wilayah takluk Acheh.

Kesibukan pelabuhan Kedah pada abad ke-17 dan abad ke-18, telah
menyebabkan Kedah telah menghasilkan undang-undang serta peraturannya
sendiri. Hal ini bukanlah bermakna sebelum abad-abad tersebut, Kedah tidak
mempunyai undang-undang dan peraturan, akan tetapi hingga ke hari ini
undang-undang itu dalam bentuk dokumen masih belum ditemui. Di samping itu,
kemungkinan juga Kedah menggunakan undang-undang dan peraturan yang
dikenakan oleh kuasa-kuasa yang menaunginya pada masa itu seperti Funan,
Sriwijaya, Pasai, Siam, Melaka dan Acheh. Hanya setelah ia bebas daripada
naungan ini kelihatan ia mencatatkan undang-undangnya sendiri. Akan tetapi
undang-undang itu jelas menampakkan pengaruh kerajaan-kerajaan yang pernah
menaunginya, khususnya Melaka dan Acheh.

Kerajaan Kedah memperuntukkan satu undang-undang untuk menguruskan


pelabuhannya sendiri pada masa itu kerana ketika itu kekuasaan kerajaan Acheh
ke atas Kedah semakin lemah, iaitu setelah kemangkatan Sultan Iskandar Thani
pada tahun 1641M. Sebelum itu pelabuhan Kedah agak terbiar kerana mengikut
peraturan yang dikeluarkan oleh Iskandar Muda Mahkota Alam pada tahun
1045H (1635M) semua kapal asing dilarang berdagang terus dengan mana-mana
pelabuhan di bawah takluknya. Semua perdagangan hendaklah dikendalikan di
pelabuhan Banda Acheh. Justeru itu undang-undang ini tidak pernah dicatatkan
di Kedah sebelum itu. Undang-undang ini juga diperlukan di pelabuhan Kedah
kerana semakin meningkatnya perdagangan di pelabuhan itu selepas
kemangkatan Iskandar Thani (1640). Keadaan pelabuhan Kedah semakin sibuk
dengan kapal-kapal dagang. Lebih banyak kapal dagang dari India, China dan
Barat khususnya country traders Inggeris datang ke Kedah selain daripada
perahu penduduk tempatan. T. Bowery mencatatkan bahawa Kedah ketika itu
mempunyai kira-kira 30-40 buah perahu yang digunakannya untuk berdagang
hingga ke Bangaree, Ujung Salang, Perak dan Acheh.

Undang-undang pelabuhan 1060H itu dikatakan telah disalin daripada undang-


undang yang dibuat oleh Dato' Besar sebelumnya atas perintah Sultan Kedah
(Sultan Rijaluddin Muhammad Syah, 1619-1652M) pada tahun zai, 17 haribulan
Jamadilakhir pada hari Jumaat 1060H. Perintah itu telah dilaksanakan oleh
Paduka Raja. Undang-undang ini terdiri daripada 37 fasal dan merupakan satu-
satunya undang-undang pelabuhan yang pernah ditemui di negeri-negeri Melayu
di Semenanjung. Melaka pada zaman keagungannya tidak mempunyai undang-
undang pelabuhan, yang ada hanyalah undang-undang laut yang berkaitan
dengan perkapalan dan perdagangan.

4.1.2 Undang-undang / Tembera Seri Paduka Tuan


Undang-undang ini telah digubal oleh Dato' Seri Paduka tuan serta beberapa
orang menteri lain atas perintah Sultan Kedah yang bersemayam di Kota Palas
(Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I, 1661-1688M) pada hari Isnin bulan
Rabbiulawal tahun dal 1078H. Tembera atau undang-undang ini mengandungi 16
fasal. Undang-undang ini berlandaskan peraturan syariah dan jika dibandingkan
dengan undang-undang Melaka, ianya lebih berunsurkan keislaman. Undang-
undang ini bukan sahaja cuba membanteras perkara-perkara mungkar akan
tetapi juga menggalakkan amal ma'ruf. Sebagai contoh dalam fasal pertamanya
dinyatakan bahawa tugas kweng iaitu penghulu dan panglima adalah untuk
menangkap mereka yang berjudi, menghisap ganja, minum arak, mencuri dan
merompak dan membawa mereka ke muka pengadilan. Dan dalam fasal yang
kedua dinyatakan bahawa para kweng juga dikehendaki menasihati anak buah
mereka supaya mengerjakan sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat dan
berpuasa. Mereka yang tidak mahu mengerjakan sembahyang akan ditangkap
dan dikakang lehernya. Pesalah hanya akan dilepaskan jika dia mahu bertaubat.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah negeri pertanian, undang-undang


Kedah ini banyak mencatatkan tentang hal-hal padi dan kerbau. Dalam Tembera
Paduka Tuan ini terdapat 5 fasal yang diperuntukan untuk pemeliharaan sawah
dan kerbau. Antaranya seperti perintah membuat pagar di sawah dan hukuman
terhadap kerbau dan tuan kerbau jika kerbau tersebut menceroboh masuk ke
dalam sawah orang lain yang sudah berpagar ataupun jika menanduk orang.
Adanya peruntukan khusus dalam Hukum Kanun Kedah yang berkaitan dengan
persawahan itu, jelas membuktikan bahawa Kedah sejak abad ke-17 lagi terkenal
sebagai sebuah negeri 'jelapang padi' di Nusantara ini. Di samping itu dicatatkan
juga peraturan berdagang dan undang-undang tanah. Undang-undang ini juga
turut memperuntukkan hak laluan yang mirip dengan undang-undang moden
hari ini. Dalam fasal 15, dicatatkan;

"Fasal yang kelima belas menyatakan hukum undang-undang pada hal jalan. Jika
sa-orang kampong didalam sa-orang diluar,jika tiada taroh jalan menjadi
terpenjara-lah mereka itu, maka hendaklah jalan adat-nya enam hasta luasnya,
maka dapat lalu perusongan itu-lah kira-nya. Dibicarakan oleh segala yang arif,
supaya jangan hamba Allah itu jadi berbantah sesama sendiri-nya; tambah pada
hokum adat negeri pun, kerana jalan besar pekerjaannya jika sudah tiada
berjalan, tiada-lah dapat mereka itu dudok pada tempat itu. Maka ini dibicarakan
hukumnya, jika tiadalah tuan tanah itu mahu membuka jalan, maka dapat di-beli
tanah itu ka-pada-nya tiada mahu dijual-nya tanah itu, maka hendaklah gagah
buka juga jalan itu dengan kekerasan : apa-apa dapat dikata oleh tuan tanah itu
suatu pun tiada jadi perkataan. Demikian-lah hukum-nya."

4.1.3 Hukum kanun Datuk Kota Setar.

Undang-undang atau Hukum Kanun Kedah sama seperti undang-undang Melayu


lama yang terdapat di negeri-negeri Melayu lain di Nusantara ini adalah
merupakan suatu gaya penulisan atau gaya bahasa sesuatu zaman. Ianya juga
tergolong sebagai sebuah genre kesusasteraan Melayu lama atau tradisional,
satu-satunya penghasilan kreatif elit Melayu di kalangan istana dengan ciri-ciri
tersendiri sebagaimana yang terdapat pada corak-corak sastera Melayu lama
lainnya. Begitu juga dengan teks lama yang bersifat historiografi. Sebagai
contoh, Hikayat Merong Mahawangsa tidak bersifat sejarah, maka begitulah juga
keadaannya dengan teks undang-undang lama. Teks-teks lebih banyak
memaparkan tentang sosio-ekonomi dan sosio-budaya bagi sesuatu masyarakat
pada zaman silam. Hal ini adalah sesuai dengan pendapat yang menyatakan
"bahawa sastera lama adalah sebahagian daripada kebudayaan lama yang
dipancarkan oleh masyarakat lama".

Kota Star telah diasaskan pada 15 Syaaban 1148H/1735M oleh


Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, Sultan Kedah ke-19.
Baginda memerintah pada tahun 1710 -1778. Di samping itu, baginda meneroka
bandar Alor Star, mencipta beberapa perubahan dan pembaharuan termasuklah
menetapkan matawang baru dan sukatan tanah. Dalam buku al-Tarikh Salasilah
Negeri Kedah ada menyebut tentang arahan baginda supaya menetapkan
undang-undang negeri, antaranya ditegaskan:

"Adapun Sultan Muhammad Jiwa Yang Maha Mulia memerintah Negeri Kedah itu
adalah mengikut peraturan negeri besar-besar. Baginda itu membuatkan
undang-undang, adat dan syarak, serta dipertetapkan masing-masing pegangan
di atas segala menteri-menteri tiada boleh menukar pekerjaan masing-masing
sebagaimana yang telah ditetapkan itu."

Berdasarkan kenyataan ini, orang yang bertanggungjawab mewujudkan "Hukum


Kanun Dato' Kota Star" itu ialah Sultan Muhammad Jiwa. Alasan ini dapat
diperkuatkan lagi dengan adanya nama baginda yang disebutkan pada bahagian
terakhir dalam undang-undang tersebut yang mengisahkan cara-cara membuat
'bunga mas' pada zaman baginda. Hukum Kanun Dato' Kota Star pada
keseluruhannya mengandungi lapan fasal iaitu yang berkaitan dengan:

Tugas Temenggung,
Perintah Raja-raja,
Syarat Raja-raja,
Bahasa Raja-raja,
Pakaian Raja-raja,
Lima Perkara yang dibenarkan rakyat biasa melakukannya,
Warna bendera untuk Raja-raja, Menteri dan Hulubalang,
Sifat kebesaran yang ada pada raja-raja dan para pembesar lain.
Seperti juga dengan tugas 'Syahbandar' yang begitu banyak diperkatakan dalam
Hukum Kanun Kedah, maka dalam Hukum Kanun Dato Kota Star tugas
'Temenggung' paling banyak dinyatakan dari fasal-fasal yang lain. Selaku
pembesar yang bertanggungjawab untuk keselamatan negeri dan kesejahteraan
rakyat, beliau bersama pembantunya seramai 60 orang sentiasa melakukan
rondaan secara bergilir-gilir dan terdapat juga yang mengawal penjara. Mereka
akan menangkap pesalah-pesalah seperti pencuri, penyamun, pemakan madat,
penyabung ayam dan pembunuh orang.

Undang-undang itu mula ditulis pada 17 Jamadilakhir 1060H/ 26 Jun 1650M.


Sebagai sebuah hasil karya istana, ternyata penulisan ini ditulis atas perintah
raja. Kandungan hukum kanun di bahagian pertama tersebut ditulis selepas
berlakunya serangan Acheh pada tahun 1619M. Pada waktu itu pentadbiran
Kedah berpusat di Kota Siputih. Sultan Sulaiman Shah II, Sultan Kedah yang ke-
12 pada tahun 1602 1620M telah ditawan ke Acheh dan akhirnya mangkat di
sana pada tahun 1626M. Puteranya Sultan Rijaluddin Muhammad Shah, Sultan
Kedah ke-13 pada tahun 1626 1652M telah memindahkan pusat
pentadbirannya ke Kota Naga. Ketika berada di Kota Naga, baginda telah
memerintahkan pembesarnya iaitu Paduka Raja supaya menyempurnakan
penulisan Undang-Undang Kedah seperti yang ternyata dalam dua petikan
tersebut. Kandungan bahagian pertama dari hukum kanun Kedah itu pada
keseluruhannya mencatatkan tentang undang-undang yang berkaitan dengan
pelabuhan yang di dalamnya meliputi tatacara mengendalikan pelabuhan,
perdagangan dan pesara iaitu pecan atau Bandar.

Dalam kata pengantar bahagian terawal dari Hukum Kanun Kedah tersebut,
penulisnya mencatatkan begini :

"Pada tarikh seribu enam puluh tahun, tahun zai, pada tujuh belas haribulan
Jamadilakhir, hari Jumaat, bahawa pada ketika itu maka adalah titah Syah Alam
Yang Maha Mulia terjunjung ke atas jemala Paduka Raja suruh salin ambil taruh
undang-undang perbuatan Dato' Besar dahulu "

dan pada tempat lain pula penulisnya menyatakan :

"Maka undang-undang ini diperbuat dan zaman Sultan Rijaluddin Muhammad


Shah semayam di Naga,muafakat dengan sekelian menteri pegawai dan pendita
membicarakan dia supaya tetap adat ini janganlah berubah-ubah.............. "

Undang-undang ini jelas memperlihatkan kematangan fikiran orang-orang


Melayu Kedah pada masa itu untuk mengawal kegiatan dan tindakan para
pegawai negeri. Sebagai contoh, walaupun Temenggung merupakan seorang
pegawai yang mempunyai kuasa tertinggi yang bertindak sebagai Menteri Dalam
Negeri atau Ketua Polis Negara akan tetapi beliau tidak boleh bertindak sesuka
hati. Kanun Dato' Kota Star ini memperuntukkan bahawa beliau hanya boleh
bertindak menghukum seseorang itu setelah dijatuhi hukum oleh Penghulu
Hakim. Fasal 1 Kanun ini mencatatkan antara lain;

" Maka akan banyak orang Temenggung mengawal negeri itu enam puloh
orang berganti-ganti. Sa-bagai pula: perkerjaan Temenggong itu, apa-bila orang
berdakwa sudah jatoh hokum, di-suroh penghulu hakim keluarkan maka
Temenggong-lah mengeluarkan dia: barang yang thabit pada hukom Allah taala:
tiada boleh Temenggong itu memereksa pandai sendiri-nya mengeluarkan itu,
supaya tiada teraniaya anak daawa itu: maka akan hasil Temenggong sapuloh
emas. Jikalau orang kena rantainya berlenggu, hasil Temenggong sa-paha emas.
Jika orang itu jatoh hokum di-kodong atau di-bunoh, maka tiada-lah hasil kepada-
nya."

Selain itu, terdapat juga peraturan atau larangan terhadap rakyat yang ingin
keluar pada waktu malam. Orang ramai tidak dibenarkan berjalan malam kecuali
mempunyai sebab-sebab utama dengan syarat menggunakan damar sebagai
lampu atau obor. Mereka yang melanggar hukuman ini akan ditangkap dan
sesiapa yang melawan akan dibunuh kerana melawan titah raja. Sekiranya orang
yang didakwa atau saksi-saksinya tidak menghadiri perbicaraan yang ditetapkan
oleh hakim, maka Temenggung akan mengarahkan orangnya mengikuti mereka.
Anak buah Temenggung yang mencari mereka akan mendapat upah atau
bayaran mengikut jarak dekat atau jauh mereka itu dapat dikesan. Misalnya jika
ke Perlis atau Pedu upahnya dua emas, Tanjung Pauh upahnya dua kupang,
sementara Anak Bukit atau Naga upahnya sekupang.

Dalam fasal empat dan lima ditekankan segala 'larangan diraja' baik sama ada
dari segi perkataan atau bahasa serta dalam hal pakaian. Hal ini merupakan
antara ciri-ciri keistimewaan yang diperuntukkan kepada raja-raja yang tidak
boleh dilakukan oleh orang biasa. Dari segi bahasa, hukum kanun
menegaskannya begini:

"Fasal pada menyatakan hukum bahasa raja-raja itu lima perkara:


pertama 'titah', dan kedua 'kami', dan ketiga 'kita', dan keempat 'berpatik' dan
kelima 'derma kurnia'. Maka kelima perkara ini tiada boleh berkata-kata
dengannya mereka yang keluaran, barangsiapa melalui akan dia hukumnya
dibunuh jika ia hamba raja, dan dikujut mulutnya jika ia keluaran".

Jika diperhatikan perkara yang sama terdapat dalam hukum kanun ini juga
terdapat teks Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Riau. Cuma yang
berbeza dalam hukum kanun ini tidak terdapat perkataan 'murka' dan sebaliknya
digantikan dengan kata 'kita' manakala yang lainnya adalah sama sahaja. Dari
segi pakaian pula, Hukum Kanun Dato Kota Star ini menyatakan:

"Fasal pada menyatakan pakaian raja-raja itu empat perkara: pertama berkain
kuning, dan kedua bertilam pandak empat persegi namanya peterana, dan
ketiga ubur-ubur, dan keempat tombak bercabang. Maka seperti pakaian yang
demikian, tiada boleh yang lain memakainya, barang-siapa memakainya kelak
dirampas."

Kesemua larangan tersebut jelas menunjukkan betapa tingginya taraf seseorang


raja dan dianggap berdaulat. Larangan tersebut bertujuan untuk
membezakannya dengan rakyat jelata. Dalam hukum kanun ini, warna kuning
menjadi warna khusus untuk pakaian diraja. Di samping itu terdapat 2 perkara
lagi yang menjadi kepunyaan raja seperti yang ditegaskan dalam fasal 6 iaitu:

a) membuat perusung atau alat mengusung orang yang dipanggil raja diraja.

b) membuat binaan sebagai tambahan kepada yang sedia ada pada bahagian
kiri dan kanan sesebuah bangunan, atau rumah, kapal atau perahu, yang
dipanggil sayap lelayang.

Kedua-dua perkara ini juga adalah dilarang kepada rakyat biasa membuatnya.
Walau bagaimanapun ada pula kekecualiannya iaitu dalam mengerjakan sesuatu
adat atau aktiviti harian, rakyat dibenarkan membina dua perkara di atas
termasuk dibenarkan memakai pakaian berwarna kuning, tetapi mestilah dengan
syarat-syarat tertentu dan mempunyai kaitan dengan kebaikan atau kepentingan
kepada raja. Berikut adalah beberapa teks menarik daripada Hukum Kanun Dato
Kota Star yang berkaitan dengan perkara yang dibincangkan:
"Fasal yang menyatakan lima perkara yang boleh diperbuat oleh mereka
yang keluaran, kerana maaf dan diampuni raja.

Pertama di atas 'mempelai' yang diarak, boleh ia memakai pakaian kekuningan


dan pakaian beremas dan berpayung besar yang dipegang oleh orang serta
bersorak-sorak, dinamai akan dia 'raja sehari', kerana puteranya pada sehari
itulah raja kepada sekalian warisnya."
Kedua di atas 'jenazah' boleh diperbuat mereka itu raja diraja dan sayap lelayang
dan sulur bayung serta kain sampai, kerana puteranya sehari itulah hilang di
mata mereka itu sekalian warisnya, sekalian pekerjaan itu tiada menjadi tulah
atau papa.
Ketiga di atas 'perahu' yang dibawa ke lautan boleh dibubuh sayap lelayang,
maka petuanya tiada dapat pada ketika perahu itu dipinjam raja.
Keempat pada 'masjid' boleh dibubuh sayap lelayang, maka petuanya di rumah
Allah, apabila raja berangkat, nescaya singgah ia sembahyang.
Kelima di atas 'pangkalan' yang besar-besar serta banyak orang pergi datang
bolehlah diperbuat jamban berdinding papan dan bersayap lelayang.
Dan demikian juga pada 'jalan raya' hendaklah diperbuat telaga dan balai
bersayap lelayang, maka petuanya tatkala raja berangkat mudik, bila
dipandangnya jamban itu baik, dan singgahlah ia naik kepada jamban itu, dan
apabila berangkat berburu, bila dipandangnya, balai dan telaga itu baik, nescaya
singgahlah ia di situ, berhenti bersemayam."
Manakala dalam fasal terakhir hukum kanun ini dinyatakan apakah sifat-sifat
kebesaran yang ada pada seseorang para pembesar seperti Syahbandar,
Laksamana, Temenggung, Panglima Negeri dan lain-lain termasuklah juga mata-
mata dan 'hamba raja'. Pada keseluruhannya yang ingin ditegaskan oleh undang-
undang tersebut ialah ketika para pembesar itu menjalankan kewajipan atau
tugas yang ditetapkan, kuasa mereka seperti seorang raja, kerana mereka
menjalankan tugas raja, seperti dalam beberapa kutipan berikut:

"Dan kebesaran Panglima Negeri, pada masa dititahkan raja berkerah, ialah raja,
tiada boleh dilalui (dibantahi) sabdanya". "Dan kebesaran Temenggung itu pada
masa membunuh orang dengan titah oleh raja, tiada boleh dilalui perkataannya
kerana ialah raja pada masa itu".

Pada bahagian terakhir hukum kanun ini terdapat gelaran Seri Perdana Menteri
dan pada bahagian terakhir Hukum Kanun Kedah itu gelaran tersebut diulang
lagi dengan sebutan Paduka Seri Perdana Menteri atau Perdana Menteri sahaja.
Gelaran ini diberikan kepada seseorang pembesar paling kanan iaitu jawatan
Bendahara dan ianya terus digunakan sehingga abad ke-19 iaitu pada zaman
pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada tahun 1881- 1943
iaitu Sultan Kedah ke-25. Tokoh tersebut ialah Wan Muhammad Saman yang
dilantik sebagai Perdana Menteri Kedah Darul Aman pada tahun 1870 iaitu pada
zaman Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah iaitu Sultan Kedah ke-
23.

Sebenarnya masih terdapat beberapa gelaran lagi dalam Hukum Kanun Kedah
itu yang digunakan dengan meluas pada masa silam tetapi tidak lagi digunakan
sejak akhir abad ke-19. Misalnya gelaran 'Orang Kaya Khankhan' atau 'Hakim
Seri Maharaja Khankhan' dan juga 'Paduka Seri Maharaja Jalil'. Di samping
bertugas sebagai hakim besar di dalam negeri, Orang Kaya Seri Maharaja
Khankhan juga ditugaskan menggubal syarat-syarat perjanjian dengan pihak-
pihak kerajaan lain malah ia sendiri bertindak sebagai wakil bagi pihak Sultan
untuk menandatangani sesuatu perjanjian. Sementara Paduka Seri Maharaja Jalil
bertindak sebagai Mufti di samping sebagai saksi dalam menyelesaikan sesuatu
hal yang bersangkutan dengan pemberian tanah kepada rakyat. Namanya sering
disebut pada bahagian akhir geran-geran tanah yang dikeluarkan di Negeri
Kedah pada abad ke-19.
4.1.4 Cara membuat bunga emas.

Undang-undang ini pula lebih merupakan peraturan atau adat tentang


pembuatan bunga mas untuk dikirimkan ke Siam. Selain itu turut dinyatakan
tentang alat-alat yang digunakan dalam majlis adat istiadat pertabalan
seseorang raja, tugas pembesar negeri, adat meminang, peraturan duduk dib
alai besar, adat menyambut Raya Haji dan sebagainya. Undang-undang ini tidak
banyak berkaitan dengan orang ramai. Undang-undang ini lebih tertumpu
kepada pengurusan istana. Tiada catatan yang menjelaskan tentang tarikh
peraturan ini digubal. Undang-undang ini mengandungi 24 fasal.
Walaubagaimanapun, dalam bahagian ini juga diulang perkara-perkara tentang
sifat seorang raja yang baik, bahasa dan perkara-perkara larangan yang
dikhaskan untuk raja sahaja serta 5 perkara yang dikecualikan daripada larangan
tersebut.

4.1.5 Undang-undang hijrah 1199

Undang-undang ini pula lebih merupakan salinan dan gabungan Undang-undang


Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Bahagian ini dibahagikan kepada
beberapa fasal dan subfasal iaitu 23 fasal. Antaranya dibincangkan tentang adat
istiadat dan pantang larang diraja, hukum jenayah seperti membunuh,
mengamuk, mencuri, mengganggu anak, isteri dan tuning orang dan
sebagainya. Selain itu, turut membincangkan tentang hukum nikah, hokum
gantang dan cupak, hokum berwakil, hokum orang berkampung, hokum
mendapat orang binasa dan lapar, hokum berniaga, syarat menjadi skasi dan
lain-lain. Bahagian ini diakhiri dengan bahagian-bahagian yang diambil daripada
Undang-undang Laut Melaka.

1. Kesimpulan

Undang-undang Kedah yang telah diparktikkan di negeri Kedah lama ini telah
memberi suatu gambaran kepada generasi kini tentang kehidupan dan suasana
masyarakat pada zaman tersebut. Selain itu, dapat dilihat juga pengaruh agama
Islam telah meresap masuk ke dalam kehidupan dan aktiviti harian serta
undang-undang masyarakat Melayu pada waktu tersebut.

Sesuatu undang-undang digubal bertujuan untuk menjaga keamanan,


keharmonian dan ketenteraman, keharmonian dan ketenteraman rakyat
sesebuah negeri agar menjadi sebuah negeri yang makmur serta rakyat dapat
hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Oleh kerana itu, undang-undang Kedah
ini telah digubal dan dilaksanakan di negeri ini. Walau bagaimanapun teks
undang-undang ini perlulah dikaji dengan lebih mendalam dan dihargai oleh
generasi kini. Hal ini kerana teks lama ini merupakan sebuah karya yang
tergolong sebagai sebuah genre kesusasteraan Melayu lama atau tradisional dan
satu-satunya penghasilan kreatif elit Melayu di kalangan istana dengan ciri-ciri
tersendiri sebagaimana yang terdapat pada corak-corak sastera Melayu lama.

Anda mungkin juga menyukai