Anda di halaman 1dari 12

PERGURUAN SEBAGAI SATU PROFESION

Konsep perguruan

Menurut Kamus Dewan (1970), guru bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. [1]
Jika dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik bermaksud orang yang memelihara
dan melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi petunjuk kepada orang lain, manakala
pengasuh memberi makna orang yang memelihara, menjaga dan mendidik. Manakala
perguruan ialah sesuatu yang mempunyai perkaitan dengan bidang menuntut ilmu atau
tempat mendapatkan ilmu seperti sekolah, tempat belajar, pengajaran dan pembelajaran
dan sebarang perkara yang mempunyai perkaitan dengan guru.
Berdasarkan pengertian yang dihuraikan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa
perguruan merupakan suatu bidang yang berkaitan dengan guru yang mengajar atau
melaksanakan pengajaran di sekolah atau di institut-institut pendidikan lain untuk
menyampaikan ilmu kepada anak murid atau masyarakat.

Pekerjaan yang dianggap professional.

Ciri-ciri pekerjaan yang dianggap profesional ialah:


1. Pekerjaan itu merupakan perkhidmatan yang unik dan penting.
- Sesebuah pekerjaan yang profesional mestilah merupakan pekerjaan yang unik dan
penting, sama ada kepada masyarakat atau negara.

2. Banyak menggunakan keupayaan intelek.


- Memerlukan keupayaan intelek yang tinggi untuk melakukannya. Tugas guru
contohnya merupakan suatu pekerjaan yang perlu ada intelek yang tinggi agar guru-
guru dapat menyampaikan ilmu dengan berkesan.

3. Pakar dalam bidang pekerjaannya dan mempunyai autonomi semasa menjalankan


tugas.
- Pekerjaan yang profesional juga memerlukan seorang yang pakar dalam suatu
bidang tersebut dan benar-benar mahir dalam bidangnya.
4. Mendapat latihan khusus.
- Bidang kerja profesional adalah pekerjaan yang penting dan harus dilakukan dengan
betul. Oleh itu, seseorang haruslah mendapat latihan ikhtisas terlebih dahulu
sebelum menceburkan diri dalam bidang tersebut. Latihan ikhtisas ini membolehkan
mereka mahir dan faham tanggungjawab yang harus mereka pikul semasa
melaksanakan tugas mereka.

5. Mementingkan mutu perkhidmatan serta dedikasi terhadap kerja.


- Bidang profesional memerlukan seseorang pekerja yang rajin, cekap dan dedikasi
terhadap kerjanya. Sikap ini akan menjamin kualiti kerana mementingkan mutu dan
perkhidmatan yang cemerlang merupakan ciri penting dalam pekerjaan profesional.

6. Merupakan ahli kepada autonomi yang menentukan nilaitaranya.


- Seseorang yang terlibat dalam pekerjaan profesional mestilah menjadi ahli kepada
organisasi di mana mereka bekerja. Ahli dalam organisasi itu pula terikat dengan
autonomi organisasi yang akan menentukan peraturan-peraturan yang harus
dipatuhi oleh semua ahli organisasi. Peraturan-peraturan tersebut diwujudkan demi
mengawal kualiti perkhidmatan.

7. Mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasi profesion tersebut.


- Setiap jenis profesion mempunyai kod etika tersendiri dan berlainan dengan profesion
yang lain. Namun begitu, tujuannya adalah sama, iaitu untuk membolehkan
seseorang pekerja itu mematuhi garis panduan dan dasar etika yang telah
ditetapkan oleh organisasi.

8. Bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang dibuatnya.


- Pekerjaan yang profesional memerlukan pekerja yang bukan sahaja rajin dan cekap,
malahan juga perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab tersebut bukan hanya
meliputi tugas-tugas yang mesti dilaksanakannya tetapi turut merangkumi segala
keputusan-keputusan yang telah dibuat. Jika seseorang itu bertanggungjawab
terhadap keputusan yang dibuatnya, maka jelaslah bahawa sesuatu kerja itu
mempunyai ciri-ciri pekerjaan atau profesion yang profesional.

Mengapakah taraf professional dalam bidang perguruan sering dipertikaikan?

Sesetengah masyarakat masih lagi menganggap profesion perguruan bukanlah suatu


pekerjaan yang profesional. Ini kerana ramai di kalangan individu yang terbabit memikirkan
bahawa profesion keguruan ini tidak seglamour pentadbir, eksekutif firma-firma, akauntan,
doktor perubatan ataupun peguam. Mereka juga seringkali menganggap kerja ini sebagai
pilihan terakhir dan terpaksa. Sebab itulah ada di kalangan mereka yang beranggapan
sedemikian.
Faktor lain yang menyebabkan timbulnya sebab mereka mempertikaikannya ialah
mereka menganggap pekerjaan tersebut merupakan pekerjaan biasa yang boleh dilakukan
oleh sesiapa sahaja. Mereka masih terpengaruh dengan keadaan lampau di mana
seseorang yang telah tamat Darjah Enam boleh menjadi guru. Wujudnya guru pengganti
semasa seorang guru cuti bersalin juga adalah satu sebab yang mendorong mereka
mengatakan bahawa pekerjaan guru bukanlah satu pekerjaan yang profesional.

Berdasarkan pengalaman anda sila beri pandangan peribadi anda adakah jawatan
guru layak dianggap sebagai jawatan profesional? Berikan alasan untuk
memperkukuhkan jawapan anda.

Pada pandangan saya, jawatan guru memang layak dianggap satu pekerjaan
profesional. Hal ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana, ciri-ciri pekerjaan ini banyak
mengandungi ciri-ciri sebuah pekerjaan yang profesional. Mungkin sesetengah orang yang
tidak terlibat dalam profesion ini menganggap pekerjaan ini tidak profesional kerana tugas
guru hanya mengajar sahaja. Namun, sekiranya mereka terlibat secara langsung dalam
pekerjaan ini, barulah mereka sedar bahawa seorang guru bukan hanya perlu mengajar,
tetapi perlu juga melakukan banyak tugas lain yang bukannya senang untuk dilakukan oleh
orang yang tidak berpengalaman.
Mengapakah sesetengah masyarakat tidak memandang pekerjaan guru sebagai
profesional sedangkan mereka tidak tahu tugas guru sebenarnya? Pendek kata, tugas
seorang guru bukan hanya mengajar semata-mata, malah boleh juga melakukan tugas-
tugas golongan profesional yang lain, contohnya menjadi doktor, akauntan, eksekutif,
hakim, polis, jurutera, kerani dan sebagainya.

Etika perguruan.
Etika ialah suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak dan tingkah laku bagi
sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar ini meliputi aspek-aspek moral
yang baik dan yang buruk, serta yang betul dan yang salah dengan tujuan memberi garis
panduan kepada ahli-ahli berkenaan.[2]
Dalam konteks perguruan, etika yang dipegang oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia ialah Tatasusila Profesion Keguruan. Etika tersebut menjadi garis panduan dan
dasar yang harus dipatuhi oleh semua kakitangan perguruan. Seseorang yang melanggar
etika tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib dan dikenakan hukuman sewajarnya.

Hubungan penghayatan tatasusila dengan peningkatan taraf profesionalisme


keguruan

Seperti mana sebuah kata-kata yang sering diungkapkan, Segala sesuatu itu
bermula daripada diri kita dulu. Ungkapan tersebut akan menjelaskan hubungan
penghayatan tatasusila dengan peningkatan taraf profesionalisme keguruan.
Terlebih dahulu, kita cuba memahami makna penghayatan tatasusila. Penghayatan
tatasusila bermakna seseorang pendidik memahami dan mematuhi etika perguruan atau
tatasusila yang telah ditetapkan oleh organisasi pendidikan. Maksudnya, jika seseorang itu
memahami dan mematuhi segala peraturan yang termaktub dalam etika perguruan maka
dia telahpun menghayati tatasusila tersebut.
Peningkatan taraf profesionalisme pula bermakna menaikkan atau meningkatkan
martabat profesion keguruan khususnya di negara kita. Martabat yang tinggi akan
menjadikan profesionalisme itu disanjung tinggi, mempunyai nilai dan berkualiti tinggi.
Perlu diingat, sekiranya kita hendak menaikkan taraf profesionalisme keguruan, diri
kita sendiri haruslah telah bersedia terlebih dahulu. Kesediaan tersebut adalah dari segi
memahami tanggungjawab sebenar seorang guru, mematuhi tatasusila dan sedia menerima
segala perubahan. Sifat-sifat diri seperti itu yang wujud daripada pemahaman tatasusila
akan melahirkan seorang guru yang berkualiti dan seterusnya dapat meningkatkan taraf
profesionalisme keguruan.

Pembelajaran sepanjang hayat

Konsep pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning bukanlah merupakan


satu konsep yang baru dalam sistem pendidikan negara. Belajar sepanjang hayat,
membawa makna: Kita harus sentiasa belajar sepanjang hidup kita dan yang paling penting
sekali ialah pembelajaran mestilah melahirkan tindakan pro-kehidupan.
Pembelajaran sepanjang hayat dari segi konsepnya merangkumi pengertian yang
begitu luas. Konsep ini merujuk kepada proses pendemokrasian pendidikan yang
merangkumi program meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada
secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional, atau secara tidak formal berdasarkan
pengalaman dan latihan di sekolah.
Pengalaman yang bersifat pengetahuan seperti ini tidak akan dapat dipelajari secara
bentuk yang biasa, tidak juga secara formal dan latihan. Ia memerlukan pusingan yang
berterusan mencipta, dissemination dan memahami erti perkongsian ilmu. Berdasarkan
kepada pandangan di atas, pembelajaran sepanjang hayat dapat disimpulkan kepada proses
seperti berikut:
Proses pembelajaran seseorang secara berterusan sama ada bagi tujuan meningkat
kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan pada masa
sekarang, mahupun pada masa akan datang; dan
Proses pembelajaran seseorang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tidak akan
berakhir apabila seseorang itu meninggalkan alam persekolahan, ia adalah proses
sepanjang hayat.

Menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

a. Sebagai seorang pendidik, kita haruslah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang
dinamik. Oleh itu, setiap guru harus menerima dan menambahkan ilmunya melalui
pembelajaran sepanjang hayat untuk disebarkan kepada para pelajar.
b. Guru harus memahami dan menghayati tugasnya sebagai guru yang menghendaki
agar kita bertanggungjawab terhadap tugas-tugas lain selain daripada mengajar.
Oleh itu, guru haruslah sentiasa belajar memahami tugas-tugasnya.
c. Guru juga perlu mengamalkan prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat agar
sentiasa mempertingkatkan mutu kehidupan dan dapat membentuk individu yang
berfikiran rasional, inovatif, kreatif dan mempunyai daya tahan fizikal dan mental.
d. Selain menjadi sumber maklumat kepada para pelajar, guru juga menjadi bahan
rujukan rakan setugas dan ibu bapa. Oleh itu, mengamalkan prinsip pembelajaran
sepanjang hayat akan menjadikan ilmu seseorang guru itu sentiasa dinamik.
e. Guru perlu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat memahami
budaya ilmu yang akan diterapkan kepada para pelajar.

Langkah yang boleh anda dan guru lakukan untuk mempertingkatkan tahap
profesionalisme perguruan.

1. Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan


o Kemahiran ikhtisas penting bagi setiap guru kerana itu mendorong dan
membantu guru menyampaikan pengajaran kepada para pelajar.
o Bagi memperkembangkan kemahiran, guru boleh mengikuti kursus-kursus
peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh jabatan. Kursus-kursus
tersebut termasuklah juga Kursus Dalam Perkhidmatan dan Kursus Dalaman.
2. Membuat penyelidikan dan penulisan
o Penyelidikan dan penulisan dalam pendidikan antaranya bertujuan untuk mencari
kelemahan-kelemahan atau masalah yang terdapat dalam sistem pendidikan atau
pengajaran seseorang guru.
o Contoh permasalahan yang boleh dikenalpasti dalam proses penyelidikan ialah,
penggunaan bahan bantu pelajaran, strategi dan kaedah mengajar, pengurusan
aktiviti berkumpulan, perancangan aktiviti pemulihan dalam pendidikan dan
penyediaan lembaran kerja sebagai penilaian.
3. Usaha ke arah perkembangan kendiri
o Guru perlu meningkatkan perkembangan kendiri masing-masing. Perkembangan
tersebut akan melibatkan pembentukan konsep kendiri seterusnya
mempengaruhi cara kerja seseorang guru.
o Guru yang mempunyai konsep kendiri yang baik seperti yakin, bersikap terbuka,
percaya dan mempunyai nilai-nilai diri yang baik akan membantu guru tersebut
melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan. Ini seterusnya akan
meningkatkan kualiti pengajaran seseorang guru.
4. Peka terhadap perkembangan pendidikan dan teknologi terkini
o Guru yang baik perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan
kemahiran serta peka terhadap perkembangan pendidikan terkini. Mereka harus
sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa
mengikut perkembangan zaman.
o Setiap guru juga perlu bersedia menerima sebarang perubahan sistem
pendidikan agar pengetahuannya selari dengan keperluan masa kini.
5. Pembelajaran sepanjang hayat
o Pembelajaran sepanjang hayat membolehkan ilmu seseorang guru itu lebih
dinamik.
o Ilmu pengetahuan akan membolehkan guru menyampaikan banyak maklumat
kepada pelajar. Ini akan mewujudkan keyakinan dan kebolehpercayaan pelajar
terhadap seseorang guru.

Akauntabiliti keguruan.

Akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus difahami dan


dilaksanakan oleh seseorang guru. Dalam erti kata yang lain, akauntabiliti keguruan
membawa maksud tanggungjawab terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau
tanggungjawab seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi bidang pekerjaan,
sekolah, tingkah laku, murid-murid dan profesion keguruan.
Akauntabiliti guru terhadap:
1. Pelajar

1. Menjalankan tugas dengan penuh dedikasi di bilik darjah termasuk


mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran mengikut kaedah dan teknikyang berkesan.
2. Mengutamakan kemajuan, kebajikan dan keselamatan murid-murid
berbanding hal-hal lain.
3. Bersikap adil terhadap pelajar tanpa mengira bangsa, agama, faktor
jasmani, emosi, mental, politik, sosial dan sebagainya.
4. Membimbing dan mengajar murid-murid di bilik darjah tanpa meminta
apa-apa bayaran atau hadiah.
5. Memberi contoh teladan yang baik dengan berpakaian kemas, berbudi
bahasa dan bersopan santun semasa bertugas.
2. Diri

1. Menjaga kebersihan dan kesihatan agar dapat menjalankan tugas dengan


sempurna.
2. Mengawal emosi sendiri dan menghindarkan ketegangan jiwa.
3. Menguruskan kewangan sendiri dengan bijaksana dan mengimbangi
pendapatan dengan perbelanjaan.
4. Melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
5. Berpengetahuan dan peka terhadap peristiwa di sekeliling melalui media
massa atau elektronik.
6. Melibatkan diri dalam sesuatu hobi dan aktiviti berfaedah di masa lapang.

3. Bangsa dan Negara

1. Menjalankan tugas untuk menyebarkan cita dan Matlamat Pendidikan


Negara berlandaskan Rukun Negara.
2. Memupuk nilai dan sikap murni dan sesuai dengan masyarakat
berbilang bangsa dalam diri pelajar.
3. Memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengambil
bahagian secara cergas dalam kegiatan-kegiatan masyarakat.
4. Mengeratkan persefahaman dan kerjasama di kalangan guru dan ibu
bapa pelajar.
5. Bersopan santun dan bertingkahlaku baik dalam segala aktiviti sosial
bagi mewujudkan suasana harmoni.
4. Terhadap Tugas dan Kerja

1. Meluaskan ilmu dengan membaca pelbagai buku rujukan berkaitan


mata pelajaran yang diajar.
2. Memahami selengkapnya isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar.
3. Menyertai seminar pendidikan dengan menyertai kursus-kursus yang
dianjurkan oleh jabatan atau pentadbir sekolah.
4. Merancang dan melaksanakan strategi pengajaran sepenuhnya bagi
mencapai objektif pelajaran secara maksimum.
5. Mengajar fakta yang betul agar murid menerima ilmu yang betul dan
tepat.

Hubungan akauntabiliti dengan peningkatan profesionalisme keguruan.

Memahami akauntabiliti bererti memahami tanggungjawab sebenar seseorang guru.


Penghayatan akauntabiliti akan meningkatkan profesionalisme keguruan kerana semua guru
akan menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh dedikasi.
Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang merangkumi bidang pekerjaan,
sekolah, tingkah laku, murid-murid dan profesion keguruan akan ditingkatkan sekiranya
seseorang itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik.
Peningkatan dalam bidang tersebut melambangkan tingginya kualiti seseorang guru yang
juga akan meningkatkan taraf profesionalisme keguruan khususnya di negara kita.

Pentingnya kesedaran akauntabiliti keguruan dihayati oleh semua guru.

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, setiap guru perlu sedar akan
tanggungjawabnya terhadap tugas agar mereka dapat melaksanakan tugas itu dengan
bersungguh-sungguh dan dedikasi.
Pada pendapat saya, kesedaran terhadap akauntabiliti akan menjadikan seseorang
guru itu lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan
kepadanya. Oleh itu, ia perlu dihayati oleh semua guru di negara ini. Sekiranya seseorang
itu mengabaikan akauntabilitinya, maka ia tidak akan dapat menjalankan
tanggungjawabnya dengan baik dan akan gagal melahirkan insan pelajar yang benar-benar
lengkap dari segi ilmu dan peribadi yang baik. Hal tersebut akan menjatuhkan martabat
profesionalisme keguruan negara kita.

KUALA LUMPUR: Sukar dipercayai apabila seorang guru antara empat lelaki yang
ditahan polis bandar raya kerana terbabit dalam penagihan ganja.
Dalam operasi dijalankan sepasukan anggota Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, lelaki berusia 20-an itu, yang mengajar di sebuah sekolah
di Lembah Klang, didapati positif dalam ujian air kencing bersama beberapa suspek,
termasuk seorang pengawal keselamatan.

26 April 2007:
KOTA BHARU: Akibat tidak tahan menjadi pemuas nafsu gurunya, seorang pelajar
tingkatan tiga sebuah sekolah di Rantau Panjang, dekat Pasir Mas, membuat laporan polis
kelmarin.
Pelajar berusia 15 tahun itu mendakwa guru itu beberapa kali mencabul kehormatannya,
termasuk di sekolah dan rumah suspek.

7 April 2007:
SIK: Seorang bapa mendakwa anaknya, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Lubuk
Merbau di sini, ditendang guru agamanya kerana bangun dari tempat duduk untuk
mengambil kotak pensil yang terjatuh.
Abdul Rashid Hussain, 50, penoreh getah dari Kampung Kuala Beris di sini, berkata
perbuatan guru itu tidak boleh diterima kerana menegur menggunakan kaki sehingga
menyebabkan anaknya kesakitan.Beliau mendakwa guru itu menendang anaknya dua kali
di depan 40 murid lain ketika kelas agama Islam, Isnin lalu.

6 April 2007:
PASIR GUDANG: Beberapa nota ditulis seorang murid tahun dua yang mencurahkan
perasaannya selepas dipukul guru Bahasa Melayu bagaikan menjadi bukti penderaan di
sebuah sekolah rendah di sini.
Bukti itu semakin jelas apabila mata kiri murid itu, Siti Nur Fatihah Samsudin, 8,
mengalami pendarahan beku, dipercayai akibat dipukul guru terbabit, petang kelmarin.
Perasaan itu hanya diluahkan menerusi tulisan di kertas selepas aduannya kepada ibu
bapa tidak diendahkan berikutan mereka beranggapan murid itu mungkin melakukan
kesalahan di sekolah.
6 Mac 2007:
BANTING: Seorang pelajar yang baru dua jam mendaftar diri pada hari pertama
persekolahan di sekolah barunya, menghadapi kemungkinan buta apabila terkena
pembaris kayu dilontar seorang guru.Ketika itu, pelajar tingkatan dua itu mengikuti mata
pelajaran Sains berkaitan mata di sebuah sekolah di Pulau Carey di sini.

26 Februari 2007:
KUALA NERANG: Tiga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Padang Sanai dekat
sini, menerima satu hingga dua jahitan di kepala selepas didakwa diketuk dengan kasut
tumit tinggi oleh seorang guru wanita, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kepala lapan murid dalam satu kelas, termasuk
dua perempuan, didakwa diketuk guru wanita berkenaan selepas dikatakan tidak
membawa buku latihan Bahasa Inggeris.Bagaimanapun, hanya tiga murid lelaki terbabit
yang mula-mula dipukul guru berkenaan mengalami pendarahan di kepala hingga
terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut.

14 Januari 2007:
DUNGUN: Seorang murid lelaki tahun dua di Jerangau, kira-kira 40 kilometer dari sini,
mendakwa guru muzik melondehkan seluarnya hingga ke paras lutut di depan teman
sekelasnya, Rabu lalu.
Mohammad Nabill Iman Hakkiem Zulkifli, 8, berkata guru muzik itu bertindak demikian
kemungkinan sebagai hukuman berikutan dia tak membawa buku latihan.

10 Januari 2007:
GUA MUSANG: Seorang bapa menganggap tindakan guru disiplin sebuah sekolah
menengah di sini menggunting kolar baju anak lelakinya kerana didakwa tidak mengikut
peraturan pakaian seragam, sebagai tidak bertamadun dan mengaibkan.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Man berkata, guru itu sepatutnya merujuk kepada
ibu bapa pelajar atau anaknya diberi amaran terlebih dulu.

:-Itulah senarai kes salah-laku yang membabitkan guru-guru di Malaysia sepanjang tahun 2007
ini. Persoalannya, salah siapa dan kenapa?

Guru merupakan salah satu professsion yang amat mulia di mata masyarakat kita. Tanpa guru,
tiada Perdana Menteri, tiada Doktor, tiada Professor dan tiada juga wujudnya ketamadunan. Kini,
rasa hormat kian hilang terhadap kerjaya ini. Kepercayaan kian terhakis. Ibu-bapa lebih percaya
kepada ejen skim pelaburan internet, pembawa kupon gores dan menang, dan lebih malang lagi
lebih percaya kepada artis daripada fatwa mufti. Di mana letaknya kepercayaan kepada guru?
Guru ajaran sesat lebih mudah dapat tempat dalam hati rakyat kita.

Puncanya?

1. Tekanan kerja

- Benarkah tuntutan kerjaya sebagai guru terlampau berat? Bagi aku, memang berat. Walaupun
aku bukanlah seorang guru(pernah bercita-cita juga), guru zaman sekarang lebih banyak
bebannya. Memang dimudahkan dengan kemudahan yang pelbagai yang ada pada hari ini, tetapi
hakikatnya tak semudah yang kita nampak. Jika dulu, guru diberikan kuasa penuh oleh ibu-bapa
untuk mendidik anak-anak walau dipukul atau dirotan(selagi tak patah-riuk atau cacat). Aku
pernah mengadu dengan ibu-bapa aku semasa aku sekolah dulu. Aku mengadu cikgu sekolah
selalu cubit aku kerana nakal. Bapa aku pergi ke sekolah keesokan harinya, berjumpa dengan
guru besar. Rupanya, bapa aku mengizinkan. Malah dia kata kepada guru besar,Pukullah anak
saya tu selagi tidak patah tulang atau cacat, asalkan dia jadi manusia. Sejak hari itu, aku tak
berani nak mengadu lagi. Itu kisah aku. Tapi hari ini, jentik telinga sedikit pun, ibu-bapa dah
bawa ke mahkamah. Saman guru. Senang kan? Walhal anak sendiri nakal kurang sedikit dari
syaitan.

2. Gaji

- Orang bekerja sebagai guru kerana nak cari makan daripada duit gaji yang diterima. Kerja lain
pun macam tu. Yang menyedihkan, kerjaya guru merupakan salah satu kerjaya di Malaysia ini
yang mendapat gaji yang rendah. Sedangkan kerjaya guru adalah salah satu kerjaya yang
terpenting di dunia. Masyarakat hari ini memandang tinggi sesuatu kerjaya hari ini bukan kerana
apa yang dibuat, tetapi berapa duit yang diterima daripada hasil kerjayanya. Barulah timbul rasa
hormat.Orang jawa kata respect. Jurutera, doktor, peguam antara nama kerjaya yang sentiasa
mendapat tempat di hati masyarakat, melayu khususnya. Sekarang ditambah satu lagi, artis.
Kerana apa? Kerana pendapatan mereka yang lebih lumayan. Malah pemain bolasepak yang
mutunya entah apa-apa dan pekerja buruh binaan lagi tinggi gajinya daripada guru.

3. Pelajar

- Tanyalah kepada guru-guru, majoritinya akan mengatakan bahawa tahap disiplin pelajar
sekarang berada di tahap kritikal. Setiap sekolah pasti ada masalah disiplin pelajar kecuali
mungkin sekolah pendidikan khas. Yang kita selalu terdedah apabila guru membuat salah-laku
disiplin. Itu yang kita tahu. Pelajar salah-laku disiplin? Kurang didedahkan. Bila pelajar
melakukan kesalahan, pihak pengurusan sekolah cuba sembunyikan kerana bimbang nama
sekolah tercemar. Aku tak pernah dengar lagi kes guru saman pelajar dan ibu-bapa.

Inilah hakikatnya kisah kehidupan seorang guru di Malaysia. Kepada pihak kementerian yang
berkenaan, sila peka dengan nasib guru. Mereka juga ada maruah dan pendirian. Kalau anak
murid dah berani memaki guru, takkan nak pasrah je. Kepada ibu-bapa pula, kalau tak mau
anak sendiri menjadi mangsa pelempang dan sepak terajang guru, didiklah anak di rumah
dengan baik. Takkan lebih rela tengok anak sendiri mati merempit dan mengandung tanpa bapa?
Jangan dok leka tengok rancangan tv dan undi artis, anak sendiri terabai. Fkirkanlah yek..