Anda di halaman 1dari 2

Pada pandangan saya, semangat cinta akan negara sangat penting dan

haruslah dipupuk dalam diri setiap daripada kita kerana dengan wujudnya perasan
kasih dan cinta akan negara, kita dapat membina sebuah negara yang aman ,
damai dan harmoni. Di samping itu juga, semangat cinta akan negara amat penting
bagi membina generasi yang sanggup berkorban dan berjuang demi bangsa dan
negara sekiranya berlaku perkara- perkara yang tidak kita inginkan seperti
perperangan atau seumpama dengannya yang mungkin mengancam keselamatan
dan kesejahteraan negara kita dan rakyat sejagat. Justeru itu, marilah kita sama-
sama berganding bahu dan bergabung tenaga dalam usaha memupuk semangat
cinta akan negara.
Antara cara yang boleh dilakukan dalam memupuk semangat cinta akan
negara ialah dengan berkenalan dengan lebih dekat dengan tokoh-tokoh pejuang
kemerdekaan yang banyak berjasa kepada negara kita melalui pembacaan bahan-
bahan berkaitan dengan sejarah negara dan kemerdekaan . Dengan melakukan
pengkajian tentang kisah perjuangan dan pengorbanan yang telah mereka lakukan
dalam membebaskan tanah air kita dari penjajahan penjajah yang pada suatu
ketika dahulu merampas segala keamanan dan kemerdekaan negara kita, kita akan
menjadi lebih insaf dan sedar bahawa kemerdekaan bukan sesuatu yang mudah
untuk dikecapi kerana melihat kepada segala kesukaran dan keperitan yang
terpaksa ditanggung oleh pejuang terdahulu dalam mendapatkan erti sebuah
kemerdekaan.
Selain itu, semangat cinta akan negara boleh juga dipupuk dengan melawat
ke tempat-tempat tinggalan sejarah pada masa terluang terutamanya pada musim
cuti. Daripada kita berhabisan wang ringgit untuk ke tempat-tempat menarik di luar
negara , sebaiknya kita meluangkan masa cuti kita dengan melawat ke tempat-
tempat bersejarah contohnya Kota A.Famosa, Bandar Hilir Melaka dan Muzium
Negara. Dengan cara ini, kita dapat memanfaatkan waktu cuti kita dengan cara
yang betul di samping, mendekatkan diri kita dengan sejarah negara dan
mengingatkan kita kepada sejarah hitam yang telah dilalui oleh negara ketika
penjajahan Portugis, Jepun , Belanda dan Inggeris. Hal ini juga akan melahirkan
sifat ingin berbakti kepada negara dan menjauhkan kita daripada sifat khianat
kepada negara.
Seterusnya, selain daripada mengadakan sambutan kemerdekaan yang
lebih meriah dan gemilang pada setiap tahun bagi menggalakkan penyertaan
semua rakyat terutamanya generasi muda , kerajaan sepatutnya juga
memperbanyakkan usaha-usaha dalam memupuk semangat kecintaan kepada
negara dengan menggalakkan kempen berunsur patriotisme seperti kempen
mengibarkan jalur gemilang pada kenderaan , di rumah-rumah dan juga di jalan
raya agar semangat patriotisme tidak hanya membara-bara pada sambutan
kemerdekaan dan sepi pada kemudian hari . Kempen-kempen sebegini
seharusnya dijadikan sebagai satu wadah dalam menyemai semangat kecintaan
kepada negara pada diri setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, kulit
ataupun rupa.
Selanjutnya, media elektronik juga perlulah memainkan peranan dalam
memupuk semangat cinta akan negara dengan menyiarkan filem atau drama yang
berkaitan seperti Bukit Kepong. Melalui penyiaran filem sebegini bukan sahaja
dapat memupuk semagat cinta akan negara malahan juga dapat mengeratkan
hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia. Peranan media dilihat sebagai
sesuatu yang penting dalam memperhebat usaha tersebut kerana media
terutamanya media elektronik mampu menarik perhatian umum khususnya
generasi muda dalam memberi kesedaran kepada mereka bahawa semangat cinta
akan negara amatlah penting agar wawasan kerajaan untuk membina sebuah
negara yang maju dan rakyat yang lebih berwawasan pada masa hadapan akan
dapat dicapai. Pihak pengurusan drama dan filem juga diharapkan agar dapat
memperbanyakkan filem dan drama yang boleh mewujudkan semangat patriotik
selain daripada sering menayangkan drama yang hanya berkisarkan percintaan
yang sememangnya tidak begitu berfaedah untuk ditonton oleh generasi muda dan
tidak memberi impak positif kepada penonton apatah lagi kepada pembangunan
negara.
Jelaslah bahawa semangat cinta akan negara akan wujud sekiranya
semua pihak mengambil langkah yang proaktif dalam menyemai dan
menyemarakkan lagi perasaan ini melalui pelbagai usaha yang dijalankan.
Kesimpulannya, diharapkan agar semua pihak dapat memberikan kerjasama yang
erat dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan semangat cinta akan
negara dalam diri setiap warga Malaysia.

(NURUL AINA NAZIHAH BT


NAZMI)
(2016218408)
(EM2)

Anda mungkin juga menyukai