Anda di halaman 1dari 5

DIRGAHAYU UMNO (63 Tahun Perjuangan Sebuah Bangsa)

63 tahun yang lalu, pada 11hb. Mei 1946, setelah melalui beberapa pertemuan dan
perbincangan, pemimpin-pemimpin Melayu dari pelbagai persatuan dari seluruh tanahair telah
bersepakat untuk menyatukan seluruh perjuangan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang selama
ini terpisah-pisah atas faktor primordial dan parochial.

Perjuangan orang Melayu yang pernah dijajah ratusan tahun hanya berjaya apabila ianya
disatukan dibawah satu wadah: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau
UMNO.

Sebelum itu Melayu berjuang secara terpisah-pisah kerana mementingkan semangat kesukuan
dan kedaerahan. Melayu Kelantan berjuang untuk orang Kelantan. Melayu Perak berjuang untuk
orang Perak. Begitu juga Melayu dari negeri-negeri yang lain termasuk Melayu Johor.

Lahirlah bermacam-macam persatuan seperti API (Angkatan Pemuda Insaf), KMM (Kesatuan
Melayu Muda), PETA (Pembela Tanahair), LKMJ (Lembaga Kesatuan Melayu Johor), PMSJ
(Pergerakan Melayu Semenanjung Johor dan banyak lagi. Masing-masing mempunyai matlamat
perjuangan yang sama iaitu untuk menentang penjajahan Inggeris, tetapi mereka terpisah
kerana semangat negatif, yang mengecilkan perjuangan mereka iaitu semangat kesukuan dan
kedaerahan.

Dato Onn Jafar adalah tokoh pemimpin Melayu yang telah berjaya menyatu dan memperkasakan
perjuangan Melayu melalui satu sahaja wadah Perjuangan iaitu UMNO.

Walaupun UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946, masih ada persatuan Melayu seperti
SABERKAS dan Persetiaan Melayu Kelantan yang masih berdegil dan enggan membenarkan
ahlinya menjadi ahli UMNO secara terus.

Dengan kebijaksanaan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, melalui sebuah ucapannya pada tarikh
27hb Disember 1947, beliau telah berjaya menyedarkan orang Melayu tentang kesilapan ini dan
perjuangan Melayu dapat disatukan melalui parti UMNO yang unggul.

Kesannya, hanya sepuluh tahun sahaja kemudian daripada itu, iaitu pada tahun 1957, Tanah
Melayu telah mencapai kemerdekaannya setelah melalui zaman penjajahan yang penuh
keperitan dan penghinaan kira-kira selama 450 tahun. Peringatan Dato Onn ini kepada orang
Melayu telah dilafaskannya kira-kira 63 tahun yang lalu.
Hari ini terdapat juga dari kalangan kita yang berjuang dengan mengajak dan menyeru orang
Melayu khususnya Ahli UMNO agar kembali semula ke era atau zaman kelemahan perjuangan
Melayu. Mereka ini berusaha untuk melemahkan UMNO. Mereka mengajak orang Melayu
berundur kebelakang. Mereka mengajak orang Melayu membongkar kubur pejuang-pejuang
kesukuan dan kedaerahan yang telah lama dikuburkan oleh UMNO dan cuba menghidupkan
tulang-tulang yang telah reput itu.

Menyentuh tentang mereka ini, saya teringat akan sebuah pesanan Lukman Hakim yang
terkenal itu kepada anaknya. “wahai anakku, Jika kamu tidak dapat menjadi garam yang boleh
menahan ikan dari menjadi busuk, maka janganlah sekali-kali kamu menjadi langau yang akan
mempercepatkan lagi ikan itu menjadi busuk.”

Pengajaran yang boleh kita dapat dari pesanan Lukman Hakim itu adalah : Jika kita tidak dapat
untuk menyumbang kepada memastikan UMNO terus utuh dan kuat bagi menjayakan agenda
perjuangan bangsa Melayu, maka janganlah pula kita menjadi orang yang beria-ia dan
bersungguh-sungguh berusaha untuk merosak dan menjahanamkan UMNO yang keramat ini.
Mudah-mudahan, kita akan mendapat pengajaran dari pesanan yang sungguh amat bermakna
ini.

Dalam setiap langkah perjuangan UMNO, ianya hanya boleh berjaya jika ia terus diberikan
sokongan, khususnya oleh orang-orang Melayu. Lagi ramai orang Melayu menyokong UMNO,
lagi pantas, lagi mudah dan lagi cepat UMNO bergerak, untuk memberi pembelaan dan
perjuangan kepada orang-orang Melayu.

Orang Melayu tidak menyokong UMNO hanya kerana nama pertubuhan kita adalah UMNO.
Orang Melayu akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada UMNO, hanya jika kita
sentiasa berjuang untuk memelihara kekuasaan politik, kesejahteraan ekonomi dan martabat
sosial serta mempertingkatkan kesucian agama islam dan keagongan bangsa kita.

Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12) yang lalu telah menunjukkan bahawa, ada tanda-
tanda bahawa orang Melayu khususnya generasi muda, telah mula hilang kepercayaan kepada
parti kita UMNO. Selain Kelantan, kini Kedah, Perak (dapat kita tawan kembali), Pulau Pinang
dan Selangor telah berjaya ditawan oleh Parti Pembangkang. Negeri Johor yang terkenal selama
ini sebagai kubu kuat UMNO, juga telah berjaya dicerobohi oleh pihak pembangkang.

Lanjutan dari kemerosotan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lalu, telah
menyebabkan kegawatan dalam parti kita UMNO. Begitu juga dalam parti-parti komponen BN
yang lain. Masing-masing cuba menuding jari menyalahkan pihak yang lain.

Tindakan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi,
melainkan kita sendiri harus mengkaji semula kelemahan dan kesilapan diri kita, seterusnya
mengambil jalan secepat mungkin, untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan tersebut. Masa
terus berjalan. Jika kita lambat bertindak dan terus menyalahkan pihak lain, kemungkinan untuk
bangkit semula dalam Pilihanraya Umum yang akan datang menjadi semakin tipis.

Kesan dari keputusan PRU12 yang lalu juga, telah menyebabkan orang-orang Melayu yang
merasa cemas dan tergugat, mula mengambil tindakan menubuhkan bermacam-macam
pertubuhan. Dalam keadaan kita mahu menyatukan Orang Melayu yang telah mula berpecah,
tindakan ini tentunya tidak akan membantu. Malah tindakan menubuhkan lebih banyak
pertubuhan ini akan menambahkan lagi perpecahan kepada Orang Melayu.

Namun bagi saya, keadaan ini juga sebenarnya boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan, bahawa
sudah ada tanda-tanda Orang Melayu mula merasakan bahawa mereka tidak boleh lagi
mengharapkan Parti UMNO untuk menjamin dan membela nasib mereka. Orang Melayu mula
merasa tidak selamat lagi.

Banyak seminar, banyak forum dan perbincangan telah diadakan untuk mengkaji apa yang
sebenarnya telah terjadi kepada UMNO dan Barisan Nasional, pada PRU12 yang lalu. Maka
begitu banyak sebab telah kenal pasti sebagai punca kepada keadaan ini. Banyak juga
cadangan yang telah diterima oleh UMNO untuk dilaksanakan, bagi mengembalikan keyakinan
dan sokongan pengundi kepada parti kita.

Apa yang pasti, persepsi atau pandangan masyarakat dan pengundi terhadap parti kita telah
banyak merosot dan berubah. Ahli UMNO kini dilihat mementingkan diri sendiri berbanding
melaksanakan tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Ahli UMNO juga telah dilihat lebih gemar mengejar jawatan bagi kepentingan diri dan kumpulan
mereka sendiri. Parti UMNO kini dilihat malah dituduh sebagai parti yang rasuah.

Ahli UMNO juga digambarkan sebagai gila kuasa sehingga sanggup menghabiskan wang yang
banyak untuk menyogok dan merasuah bagi mendapatkan jawatan tertentu dalam parti. Para
perasuah dikatakan mendapat sanjungan dari ahli dan diberikan tempat dan kedudukan yang
tinggi dalam parti.

Bermacam-macam lagi persepsi buruk yang telah dilabelkan kepada parti kita UMNO. Semua ini
tidak boleh kita ambil dan pandang ringan kerana semua inilah yang menentukan kemenangan
dan kejayaan parti kita pada masa depan.

Samada kita suka atau tidak dengan setiap persepsi mahupun label buruk yang telah diberikan
kepada parti kita, rakyat atau pengundi telah membuat keputusan di peti-peti undi pada PRU12
yang lalu.

Samada kita menerimanya atau menafikannya, kita telah kehilangan 4 buah lagi negeri pada
PRU12 yang lalu. Adakah kita sanggup kehilangan beberapa buah negeri lagi pada PRU13 yang
akan datang.

Jika kita terus berbalah dan menyalahkan pihak lain serta tidak cepat bertindak, kita malah
mungkin akan menerima kekalahan yang lebih teruk lagi, dan mungkin juga akan terus
kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan. Adakah kita sanggup perkara ini terjadi
kepada parti kita.

Tidak ada maknanya jawatan dalam parti yang kita perolehi dengan menggunakan sogokan itu,
sekiranya parti kita telah kehilangan kuasa untuk memerintah.

Justeru itu, marilah kita bermuhasabah diri. UMNO tidak boleh kalah dalam pilihanraya. UMNO
tidak mampu untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya. UMNO yang keramat ini
mempunyai tanggungjawab besar kepada kelangsungan dan masa depan Bangsa Melayu.
UMNO, parti keramat yang banyak berjasa ini, memikul amanah yang sungguh besar bagi
memartabatkan Bangsa Melayu.

Kepada UMNO diletakkan harapan yang tinggi untuk memastikan Bangsa melayu dapat berdiri
sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang lain. Dan kepada UMNO
jugalah diharapkan menjadi benteng kepada ketinggian syiar Islam di Negara bertuah ini.

Maka pada hari ini, saya ingin menyeru kepada semua ahli dan pemimpin UMNO, marilah kita
bersatu memulih dan mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat kepada parti
kita. Marilah kita berganding bahu menyelamat dan menguatkan semula parti kita yang telah
banyak berjasa ini. UMNO telah berusia 63 tahun.

Jika diibaratkan seperti kenderaan, UMNO telah ditunggangi oleh Orang Melayu selama 63
tahun. UMNO telah tua. UMNO perlu dipulihkan dan diberikan tenaga semula. UMNO perlu
diREMAJAkan semula agar parti kita ini dapat terus diterima, dipercayai dan diberikan
sokongan tidak berbelah bahagi oleh Orang Melayu.

UMNO perlu diremajakan semula agar dapat terus berkhidmat kepada masyarakat dan orang
Melayu. UMNO perlu diremajakan semula agar Bangsa Melayu terus berkuasa di Negaranya
sendiri. UMNO perlu diremajakan semula kerana Orang Melayu belum mampu untuk hidup tanpa
kuasa politik UMNO.

Sebagai generasi muda dan generasi pelapis yang akan mewarisi UMNO, marilah kita mulakan
langkah untuk meremajakan UMNO. Marilah kita tingkatkan azam dan semangat kita untuk terus
berkhidmat kepada masyarakat melalui UMNO.

Marilah kita mengukuhkan kesatuan kita. Marilah kita menunjukkan sifat prihatin kita terhadap
segala permasalahan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Marilah kita buangkan sifat-sifat
dan prilaku buruk yang telah menyebabkan masyarakat dan pengundi memandang serong
kepada parti kita.

Marilah kita mendekati semula masyarakat yang mungkin telah kita tinggalkan suatu masa
dahulu kerana kesibukkan kita. Marilah kita menunjukkan contoh dan imej yang baik kepada
masyarakat, kerana sebagai pemimpin dan ahli parti, diri, peribadi dan perlakuan kita adalah
cerminan kepada nama baik parti kita. Baik pandangan masyarakat kepada kita, insyaAllah
baiklah juga pandangan mereka terhadap parti kita UMNO. Sebaliknya, jika buruk pandangan
mereka kepada kita, maka buruk jugalah pandangan mereka kepada parti kita UMNO. Janganlah
menjadi 'nila yang setitik sehingga merosakkan susu sebelanga'.

Bersempena dengan Sambutan Hari UMNO ke-63 ini, marilah kita menyegarkan semula tekad
dan iltizam perjuangan kita. Marilah kita bersama-sama mengembalikan semula persepsi dan
keyakinan masyarakat terhadap parti kita, supaya mudah-mudahan, UMNO akan kembali
diterima menjadi satu-satunya parti yang mampu menjadi pembela kepada nasib dan masa
depan Bangsa Melayu seperti dahulu.

"Sayangkan Bangsa adalah 'Roh' kepada perjuangan UMNO selama 63 tahun ini. Hanya dengan
memiliki perasaan Sayangkan kepada Bangsa Melayu akan memastikan kita akan senantiasa
cuba memberikan yang terbaik dan menghindarkan sesuatu yang buruk dari menimpa kepada
bangsa, agama dan tanahair kita".

Selamat menyambut Hari UMNO yang ke 63 tahun. Bersama kita memperkasa dan memelihara
UMNO agar dapat kita wariskan kegemilangannya kepada generasi akan datang, InsyaAllah.

Salam perjuangan penuh keikhlasan,

Hj. Shukri Bin Hj. Suratman

Pengerusi,

Kelab Penyokong UMNO Facebook (KPUMaya)

http://www.facebook.com/group.php?gid=11214944403

(Timb. Ketua, UMNO Cawangan Kg. FELDA Air Tawar Satu)