Anda di halaman 1dari 4

BAB 4 : REFLEKSI Sepanjang dua minggu melakukan penandaarasan di SMK

Tunku Abdul Rahman Putra, saya berpeluang untuk mengkaji lebih dekat
mengenai amalan kepimpinan dan pengurusan yang diamalkan oleh pentadbr di
sekolah ini. Saya juga dapat belajar bagaimana pengetua dan pasukan
pentadbiran sekolah ini menangani perubahan yang berlaku ke arah
pembentukan budaya sekolah, memahami proses membuat keputusan di
samping mempelajari bagaimana pengetua menunjukkan komunikasi serta
kemahiran interpersonal dalam mewujudkan iklim organisasi sekolah yang
harmoni. Berdasarkan dapatan dari pemerhatian, tinjauan, semakan dokumen,
sesi perbualan dengan warga sekolah serta sesi perbincangan bersama
pengetua dan pentadbir sekolah (penolong-penolong kanan dan guru kanan
mata pelajaran) maka saya dapat mengenal pasti faktor-faktor yang didapati
kritikal dan penting dalam menentukan kejayaan terhadap program Derap Juara
yang dipilih di sekolah penandaarasan; i) Kepimpinan Yang Mantap. Fungsi
kepimpinan adalah faktor yang sangat penting kerana kepimpinan melibatkan
pengaruh iaitu kebolehan pemimpin mengubah sikap dan tindakan guru-guru
dan kakitangan sekolah. Menurut Ibrahim Mamat (1993), kepimpinan
didefinisikan sebagai perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain
untuk berfikir, merasa dan bertindak dalam keadaan tertentu. Pengetua telah
berjaya melaksanakan peranannya sebagi pemimpin apabila berjaya
menetapkan matlamat dan objektif program yang dapat difahami secara jelas
oleh warga sekolah. Pengetua juga berperanan sebagai pendorong dan
pembimbing kepada guru dan murid-murid supaya program ini dapat dijalankan
dengan berkesan. Penglibatan pengetua dalam membuat keputusan, kemahiran
41 Laporan Program Penandaarasan AZMAN BIN SAFII (NPQEL 1/2012 SM4)
berunding, partisipatif dan pendeligasian tugas perlu dijadikan teladan dan
dicontohi oleh warga sekolah. ii) Fungsi Pengurusan Yang Baik Fungsi pengurusan
yang diamalkan oleh pengetua juga menyubang kepada keberkesanan dalam
pengendalian program ini. Pengurusan adalah berkaitan dengan kemahiran
pengetua mengorganisasikan sumber-sumber yang terdapat di sekolah dengan
cekap dan berkesan. Ia melibatkan proses mengagih dan menggunakan sumber
sama ada guru, murid, kewangan, aset, ilmu dan kepakaran. Fungsi merancang,
mengelola, memimpin, menyelia dan menilai telah dapat diperlihatkan secara
jelas wujud sepanjang program ini dijalankan. Pengetua juga telah
memperlihatkan keterampilan yang diperlukan dan yang sepatutnya ada pada
seorang pengurus seperti kemahiran dalam komunikasi, membuat perancangan
dan mentadbir. ii) Kerjasama dan Kerja Bersama-sama Konsep kerjasama dan
kerja bersama-sama telah dijadikan budaya di sekolah ini. Semua guru telah
menunjukkan kerjasama yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan
tanggunggjawab seperti yang telah ditetapkan dalam kertas kerja program.
Dengan adanya semangat berkerjasama ini semua jawatankuasa telah
melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan ini memberi kesan terhadap
keberkesanan dalam melaksanakan program ini. Kerjasama yang dibina telah
menjadi penghubung antara satu sama lain ke arah menyatupadukan usaha
sekolah supaya mencapai matlamat yang dikehendaki. iii) Komitmen dan
Kesungguhan Komitmen dan kesungguhan guru-guru dan murid-murid adalah
salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan program ini.
Program ini 42 Laporan Program Penandaarasan AZMAN BIN SAFII (NPQEL 1/2012
SM4) secara keseluruhannya melibatkan tiga peringkat iaitu dari peringkat
asas, peringkat penilaian hingga kepada peringkat pengukuhan, berlangsung
dalam tempoh yang agak panjang. Namun dengan adanya komitmen yang tinggi
dalam kalangan pemimpin sekolah, guru-guru dan juga murid-murid maka
program ini dapat disempurnakan dengan jayanya. Mowdey Steers dan Porter
(1979), mendifinisikan komitmen sebagai tingkah laku individu yang mempunyai
kepercayaan kuat terhadap nilai dan matlamat organisasi, semangat sukarela
untuk berusaha meningkatkan organisasi dan keinginan yang kuat untuk terus
kekal dalam organisasi. Dapatan saya di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, selari
dengan dapatan dari kajian-kajian penyelidik yang secara konsisten
menunjukkan komitmen mempunyai hubungan yang postif denga prestasi
organisasi. Firestone dan Rosenblum (1988) menyatakan komitmen sangat
penting kepada guru terutamanya untuk meningkatkan motivasi bagi menangani
perubahan yang menuntut jangkaan yang tinggi dalam profesion perguruan. iv)
Kompetensi guru. Kompetensi guru turut menyumbang kepada kejayaan
pelaksanaan program Derap Juara. Kompetensi guru dalam konteks ini merujuk
kepada pengetahuan, kemahiran serta sikap guru sebagai faktor penyumbang
kepada keberkesanan sekolah. Pengetahuan yang dimaksudkan di sini ialah
pengetahuan guru-guru bahawa kegiatan kokurikulum adalah penting dan
sebahagaian daripada proses pembelajaran di sekolah. Dengan adanya
pengetahuan dan pemahaman tentang komponen kokurkulum dalam arus
pendidikan negara, guru-guru di sekolah ini dapat menerima hakikat bahawa
melaksanakan kokurikulum adalah sebahagian tugas mereka. Kemahiran pula
merujuk kepada kemampuan guru-guru sekolah ini untuk membimbing murid
menjalani latihan yang bersifat teknikal, melibatkan arahan 43 Laporan Program
Penandaarasan AZMAN BIN SAFII (NPQEL 1/2012 SM4) dan pergerakan di
samping teknik penjurian semasa pertandingan. Kompetensi ilmu dan kemahiran
ini kemudainnya membentuk sikap guru yang sentiasa bersedia untuk menerima
arahan dan tugasan yang diberikan dengan berkesan. Sepanjang saya menjalani
program penandaarasan ini saya amat bertuah kerana berpeluang untuk
bertemu dan mengadakan sesi diskusi dengan pengetua selaku mentor, hampir
setiap hari. Perkara-perkara yang dibincangkan ialah mengenai amalan
kepimpinan beliau di sekolah, perkongsian pengalaman sepanjang beliau
berkhidmat sebagai guru, bimbingan dan nasihat tentang amalan kepengetuaan
yang berkesan. Rumusan dari sesi pertemuan tersabut menjelaskan bahawa
pengetua bukan sahaja mempunyai kompetensi kepengetuaan tetapi juga
adalah pembimbing, pemudah cara dan penyelesai masalah yang efektif. Beliau
sangat mesra dan bertimbang rasa serta menggunakan pendekatan
kemanusiaan dan pendekatan tugas yang seimbang yang menjadikan
kepimpinannya amat disenangi oleh semua guru dan kakitangan sekolah.
Kepimpinan pengetua menunjukkan pertalian yang rapat dengan ciri-ciri
pengetua yang efektif. Kepimpian pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra
pada pertimbangan saya, mempunyai ciriciri menyokong teori Y, yang dipelopori
oleh McGregor (1960) yang menyatakan gaya kepimpinan mestilah seiring
dengan ciri yang perlu dimiliki oleh pemimpin itu sendiri. Kawalan diri adalah
konsep utama dalam kepimpinan yang berlandaskan demokratik,
mengutamakan faktor kemanusiaan sama seperti saranan teori Y yang
menyatakan bahawa pemimpin mestilah berorientasikan manusia dalam proses
kepimpinannya. Komitmen yang ditunjukkan oleh pengetua terhadap program
Derap Juara membuktikan bahawa beliau melihat sistem pendidikan sebagai
pembangunan murid secara menyeluruh selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan iaitu membangun potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu dari segi pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Beliau
melihat bahawa program Derap Juara sebagai proses membangunkan modal
insan dan sebahagian daripada proses pembelajaran murid di sekolah seiring
pembangunan akademik dan sahsiah murid. Kejelasan beliau mengenai
perkara ini menyebabkan program ini mendapat sokongan, dorongan dan
penglibatan serta sentuhannya sehinga memberi inspirasi kepada semua warga
sekolah mengenai pentingnya kegiatan kokurikulum. Menurut Brookover &
Lezotta (1979) dan Lighfoot (1983), sekolah-sekolah yang berjaya sebagai
sekolah yang efektif ialah sekolah yang kepimpinan pengetuanya
berkecenderungan ke arah usaha membentuk persekitaran yang sejahtera yang
menekankan kepentingan memantapkan orentasi tugas (task orientation)
sekolah yang tertib. Dengan perkataan lain, kecenderungan task orientation dan
person oriented merupakan gaya kepimpinan pengetua yang mampu membina
organisasi yang berkesan (Hussein, 1993). Pengetua juga memperlihatkan
kecekapannya dalam mengaplikasikan tiga gaya kepimpinan yang asas iaitu
kepimpinan autokratik, penglibatan (demokratik) dan bebas atau laissez-faire.
Ketiga-tiga gaya tersebut digunakan dalam keadaan yang tertentu mengikut
situasi dan persekitaran di tempat kerja. Kepimpinan pengetua SMK Tunku Abdul
Rahman Putra selari dengan dapatan dari kajian yang dilakukan oleh Najib dan
Tamyis (2008), yang mendapati presepsi guru terhadap gaya kepimpinan
pengetua di sekolah adalah menunjukkan bahawa gaya kepimpinan pengetua
mempunyai perkaitan yang signifikan yang postif dan kuat dengan presepsi
guru-guru terhadap ciri-ciri pengetua yaang efektif. Saya amat kagum dengan
kepimpinan pengetua yang melihat setiap individu mempunyai sikap, latar
belakang, tahap pendidikan, penerimaan, pengalaman dan pendedahan yang
berbeza-beza. Faktor-faktor ini memerlukan proses keomunikasi yang berkesan
kerana setiap perbezaan individu memerlukan cara dan pendekatan komunikasi
yang berbeza juga. Pandangan pengetua ini adalah sangat bertepatan dengan
amalan komunikasi yang berkesan yang sepatutnya diamalkan oleh semua
pemimpin di sekolah. 45 Laporan Program Penandaarasan AZMAN BIN SAFII
(NPQEL 1/2012 SM4) Mengikut Gerald M. Golhaver (1983), komunikasi adalah
amat penting dan dianggap sebagai darah dan daging organisasi ataupun gam
yang memadukan organisasi. Komunikasi juga dianggap sebagai minyak yang
melicinkan fungsi organisasi, benang yang mengikat organisasi, daya penggerak
organisasi dan juga agen penyatu yang mengeratkan semua perhubungan di
dalam dan di luar organisasi. Berdasarkan kepada teori-teori yang dipelajari saya
mendapati amalan pengurusan dan kepimpinan yang dipamerkan di sekolah
penandaarasan, mempunyai hubungan dengan ciri-ciri kepimpinan pengetua
yang berkesan dan efektif. Kepimpinan pengetua dan budaya sekolah
penandaarasan telah membuka peluang kepada saya untuk melihat
kemungkinan melaksanakan penambahbaikan atau pengubahsuaian yang perlu
apabila projek ini dilaksanakan di sekolah sandaran kelak. Program Derap Juara
di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, telah berjaya bukan sahaja dari segi
pelaksanaannya tetapi juga berjaya dalam meninggalkan impak kepada
pembangunan dan kemenjadian murid pada keseluruhannya. Program seperti ini
belum pernah dilakukan di sekolah saya, oleh itu program penandaarasan yang
saya jalani dalam masa dua minggu di sekolah penandaarasan telah
memberikan inspirasi kepada saya tentang program pembangunan terancang
bukan setakat program Derap Juara sahaja, tetapi juga program-program lain
yang memberi impak kepada pembangunan murid. Kepimpinan pengetua dalam
mengelolakan program ini dan dalam mengurus sekolah memberi iktibar,
pengajaran dan teladan yang amat berguna kepada saya apabila menjadi
pengetua pada satu masa nanti. Saya juga mendapati pengetua mempunyai
ketekalan dalam setiap tindakan dan presepsinya terhadap guru. Saya amat
tertarik dengan pandangannya mengenai peranan kita sebagai guru, pendidik
dan sebagai pemimpin. Pandangan pengetua mengenai perkara ini
mencerminkan integriti dan ketelusan beliau selaku pemimpin dan pengetua di
sekolah. Berikut adalah antara presepsi dan amalan pengetua yang dapat
dirakamkan hasil dari beberapa sesi pertemuan dengan beliau; 46 Laporan
Program Penandaarasan AZMAN BIN SAFII (NPQEL 1/2012 SM4) i) Pengetua
tidak perlu menunjukkan kepimpinan yang garang tetapi perlu tegas. Keadaan
telah berubah, kepimpinan yang garang tidak relevan lagi dalam mengurus
organisasi seperti sekolah pada masa ini. ii) Zaman telah berubah oleh itu kita
perlu memimpin mengikut perubahan zaman. Tidak perlu menggunakan
pendekatan kepimpinan autokratik, sebaliknya amalkanlah kepimpinan
demokratik dan fleksibel. Kepimpinan perlu disesuaikan mengikut situasi
sekolah. Jadikan teori yang dipelajari sebagai panduan sahaja. iii) Apakah ciri-ciri
kepimpinan yang ada pada kita, tidak kita ketahui kerana orang lainlah yang
sebenarnya menilai kita. Kita perlu ingat bahawa kita mengurus manusia, insan
yang ada roh, hati dan perasaan. iv) Tugas pengetua sangat mencabar dan lebih
berat berbanding CEO dalam syarikat korporat. CEO hanya mengurus pekerja
dan produk dengan matlamat yang jelas iaitu peningkatan kualiti dan kuantiti
produk. Tetapi pengetua mengurus guru dan murid sebagai produk dengan
matlamat membangun modal insan. v) Ikhlas adalah segala-galanya, buatlah
sesuatu tugas sedikit-sedikit tetapi berterusan dan pastikan meninggalkan
kesan. Bekerja bukan kerana dorongan untuk mendapat ganjaran dan New Deal.
Jangan terlalu bercita-cita tinggi dan buatlah sesuatu penambahbaikan untuk
sekolah dan bukan untuk diri sendiri.

Anda mungkin juga menyukai