Anda di halaman 1dari 10

Noor Syams

Tiada yang abadi melainkan Allah..

http://noorsyams.blogspot.my/2014/03/tulisan-jawi-dan-cabarannya-dalam.html

Friday, March 7, 2014


TULISAN JAWI DAN CABARANNYA DALAM MENDEPANI ZAMAN

Oleh : Che Wan Shamsul Bahri bin CW Ahmad, kini bertugas di Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (KUIS). Artikel ini hanyalah pandangan penulis semata-mata. Kutipan
dan petikan adalah dinyatakan sumbernya.

Pendahuluan
Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah bukan sahaja lanskap kehidupan masyarakat
Melayu, bahkan juga turut mengubah kaedah penulisan masyarakat Melayu. Ini terbukti dengan
penggunaan tulisan Jawi secara meluas di Tanah Melayu suatu masa dahulu. Usianya dikatakan
telah mencecah hampir seribu tahun berbanding dengan tulisan Rumi yang hanya mula
digunakan secara meluas selepas tahun 1960an. Apabila masyarakat Malaysia mula
menggunakan bahasa Melayu tulisan Rumi secara rasmi pada tahun 1963, maka secara tidak
langsung tulisan Jawi mula dipinggirkan. Bertitik tolak dari situ, tulisan Jawi sudah tidak lagi
dilihat kepentingannya sebagai tulisan bahasa Melayu. Lantaran dari itu, pengajaran Jawi di
sekolah tidak lagi ditekankan.

Program memartabatkan Jawi

Terdapat banyak bahan-bahan yang tulisan Jawi yang sampai ke Tanah Melayu seperti kitab
agama serta hikayat nabi dan para sahabat menggunakan sistem ejaan Jawi pengaruh Arab.
Penemuan Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) yang bertarikh 22 Februari 1303 M
menjadi bukti penggunaan tulisan Jawi di alam Melayu(Rohayu Ismail 2008). Apa yang
menariknya, BBPT ditulis menggunakan tulisan Jawi dengan pengaruh Melayu; iaitu
penggunaan huruf vokal. Ia dikatakan tulisan Jawi yang tertua di dunia. Terdapat sedikit
perbezaan di antara tulisan Jawi pada masa dahulu dengan sistem tulisan Jawi moden yang kita
lihat pada hari ini (Ahmad et al. 2012).

Batu Bersurat Terengganu

Kini, peranan besar yang dimainkan oleh tulisan Jawi telah diambil alih oleh tulisan Rumi.
Menurut (Faisal Kadir 2011), bekas penjajah terkejut kerana orang Melayu kini tidak lagi
menggunakan tulisan Jawi. Beliau menceritakan pengalaman beliau semasa bekerja di sebuah
perpustakaan di Scotland. Beliau didatangi oleh seorang Scottish yang pernah berkhidmat di
Tanah Melayu suatu masa dahulu. Orang Scottish ini fikir bahawa orang Malayu masih
menggunakan fon Arab atau Al Quran (tulisan Jawi) lagi dalam penulisan mereka.

Tulisan Jawi Suatu Masa Dahulu


Mahir membaca dan menulis Jawi suatu masa dahulu adalah satu kebanggaan. Kebanyakan
golongan cerdik pandai pada masa itu menggunakan ejaan Jawi sepenuhnya dalam persuratan
dan penulisan karya mereka (Abd Jalil Borham 2012). Tulisan Jawi digunakan secara meluas
bagi bahasa Melayu pada masa itu dan berfungsi sebagaimana ejaan Rumi pada hari ini.
Sehinggakan orang Inggeris pun menggunakan tulisan Jawi untuk mengutus surat kepada raja-
raja dan pembesar Melayu. Bahasa Melayu bertindak sebagai lingua franca, iaitu sebagai bahasa
perantaraan dalam kalangan pedagang dan penggunaannya sangat meluas sebagaimana bahasa
Inggeris hari ini (Nik Safiah Karim et al. 2004).

Pada hari ini keadaannya amat berbeza sekali. Usaha Wilkinson untuk mengelirukan orang
Melayu dalam penggunaan tulisan Jawi nampaknya telah berjaya seterusnya menyebabkan orang
Melayu kurang berminat dengan sistem tulisan ini kerana terlalu banyak homograf dan
kekeliruan (Amat Juhari Moain 1996). Lantas, orang Melayu merasa lebih selesa dengan ejaan
Rumi yang kononnya dikatakan lebih mantap. Sebenarnya, tulisan Rumi juga mengalami proses
revolusi dan kematangan sehingga kita dapat lihat ejaan terkini pada hari ini.

Buku Rahsia Ejaan Jaawi

Nasib Tulisan Jawi dan Bahasa Melayu


Pada masa ini, penggunaan ejaan Rumi sangat meluas dalam Bahasa Melayu. Untuk
menggunakan ejaan Jawi adalah satu perkara yang agak ganjil. Lebih malang lagi, sebahagian
masyarakat kita memandang rendah terhadap tulisan Jawi. Pelajaran Jawi juga adalah di antara
pelajaran yang paling tidak popular dalam kalangan pelajar (Rashid 2004).

Dalam satu Seminar Antarabangsa Teknologi Pendidikan (IMETC2011) di Kuantan pada 16


hingga 19 Oktober 2011, terdapat pembentang daripada Singapura yang mengejutkan penulis
tentang nasib Bahasa Melayu di Singapura. Pembentang tersebut adalah seorang guru yang
mengajar Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Singapura. Bahasa Melayu memang
salah satu bahasa rasmi Singapura tetapi amat menyedihkan kerana penggunaannya terhad.
Orang Melayu di Singapura sendiri lebih berminat dan selesa menggunakan Bahasa Inggeris
dalam percakapan seharian mereka.

Apa yang ingin dikongsi di sini ialah kegusaran guru tersebut terhadap pelajarnya yang
dikatakan kurang berminat untuk belajar Bahasa Melayu. Tidak ramai pelajar Melayu di
Singapura yang menunjukkan minat belajar Bahasa Melayu berbanding dengan Bahasa Inggeris.
Apatah lagi pelajar yang bukan berbangsa Melayu. Ini belum lagi disentuh berkenaan Bahasa
Melayu yang menggunakan tulisan Jawi.

Di Malaysia, nasib Bahasa Melayu masih terpelihara kerana Bahasa Melayu adalah satu-satunya
bahasa rasmi negara ini. Bahasa Melayu juga menjadi matapelajaran yang wajib diambil dalam
peperiksaan sekolah rendah, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala di sekolah
menengah pula ialah Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Namun begitu, tidak mustahil
suatu masa nanti nasib yang sama sebagaimana Bahasa Melayu di Singapura mungkin akan
menimpa negara kita jika tidak ditangani dengan serius mulai sekarang.
Program seumpama ini amat baik untuk survival Jawi

Di institusi pengajian tinggi, sama ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi
Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), peminggiran terhadap Bahasa Melayu telah mula kelihatan.
Banyak universiti menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium dalam Pengajaran dan
Pembelajaran (P &P) mereka dengan alasan terdapat pelajar antarabangsa. Mahasiswa universiti
di semua bidang hanya wajib mengambil satu matapelajaran Bahasa Melayu, itupun diberi
pengecualian kepada pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi kertas Bahasa
Melayu di peringkat SPM. Manakala pelajar asing diberi pengecualian daripada mengambil
matapelajaran Bahasa Melayu.

Kementerian Pendidikan perlu berusaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai medium
pengajaran di universiti-universiti seluruh Malaysia. Ia selaras dengan langkah kerajaan dalam
memartabatkan Bahasa Melayu. Pelajar asing perlu diwajibkan untuk belajar Bahasa Melayu
terlebih dahulu sebelum masuk ke program pengajian mereka yang sebenar. Penulis ingin
mencadangkan agar pelajar asing perlu melalui satu tahun transisi untuk belajar Bahasa Melayu
terlebih dahulu sebelum memulakan pengajian dalam bidang mereka masing-masing. Sebahagian
universiti memang ada program seumpama ini tetapi jumlahnya amat sedikit. Perkara ini telah
dipraktikkan di kebanyakan negara maju yang menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa
pengantar di universiti-universiti mereka seperti di Barat, Jepun, Korea dan sebagainya. Mereka
sangat bangga dengan bahasa ibunda mereka. Sebaliknya masyarakat cerdik pandai kita merasa
malu menggunakan Bahasa Melayu di universiti kita.

Tulisan Jawi Kini


Pada hari ini, generasi muda berasa malu untuk belajar Jawi, seolah-olah Jawi hanya untuk
pelajar yang mengikuti bidang pengajian Islam sahaja. Masyarakat kita lebih selesa
menggunakan tulisan Rumi berbanding tulisan Jawi. Lebih malang lagi apabila sebahagian
masyarakat kita lebih selesa berbahasa Inggeris yang diselang seli dengan bahasa Melayu dalam
perbualan harian mereka.
Bangsa Melayu hari ini perlu khuatir tentang nasib tulisan Jawi. Tidak mustahil tulisan Jawi akan
pupus dalam kehidupan masyarakat Melayu pada suatu masa nanti jika langkah-langkah
memajukannya tidak dimulakan dengan serius daripada sekarang. Ungkapan yang paling sesuai
bagi tulisan Jawi kini adalah hidup segan, mati tak mahu. Itulah realitinya tulisan Jawi kini.

Penggunaan tulisan Jawi terlalu terhad. Di jabatan kerajaan, hanya Jabatan Agama Islam sahaja
yang menggunakan tulisan Jawi seperti pada surat daftar nikah dan untuk menyediakan teks
kuthbah Jumaat. Manakala di sekolah pula hanya matapelajaran Jawi (sekolah rendah) dan
Pendidikan Islam sahaja yang menggunakan Jawi. Program j-QAF di sekolah rendah dilihat satu
usaha murni kerajaan dalam mengangkat martabat tulisan Jawi. Hasilnya selepas tiga tahun
dilaksanakan cukup membanggakan(Bernama, 2007).

Di peringkat negeri pula terdapat sesetengah negeri, melalui pihak berkuasa tempatan
mempunyai peraturan penggunaan Jawi pada papan tanda bagi nama kedai, papan iklan, nama
jalan dan nama lorong. Peraturan ini sekurang-kurangnya adalah satu usaha untuk
memartabatkan Jawi.
Papan Tanda di Terengganu

Usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan penambahan tanda nama
jalan dalam tulisan Jawi secara berperingkat bermula awal tahun 2008 dalam usaha
memartabatkan serta membudayakan tulisan itu di semua peringkat haruslah dipuji walaupun
terdapat tentangan oleh pihak tertentu. Namun bagaimana statusnya kini tidak diketahui.

Di Terengganu misalnya, kerajaan negeri mengurangkan bayaran lesen papan tanda sebagai
galakkan penggunaan tulisan Jawi secara meluas di negeri tersebut. Kerajaan negeri juga
mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi, termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama
Terengganu (JaHEAT), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Perpustakaan Awam Negeri
Terengganu (PPAT) dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi dan merancakkan lagi penggunaan
tulisan Jawi dalam kalangan pelajar.

Menurut Suriati (2011), dalam satu sidang DUN Terengganu, Mohd Razif menyatakan bahawa
syarat utama kemasukan pelajar ke tingkatan satu ke sekolah agama di Terengganu adalah perlu
menjalani ujian tulisan Jawi dan memilih mereka yang hanya mendapat peratusan tinggi.
Kerajaan negeri Terengganu juga membina pusat tulisan Jawi di di Kuala Berang dan dikawal
selia oleh Muzium Negeri Terengganu.

Kepentingan Jawi dan Cabaran dalam Pelestariannya


Menurut (Zin Mahmud 2006) penggunaan tulisan Jawi ini wajar dipertahankan atas tiga sebab
iaitu;

tulisan jawi memperkaya intelektual Melayu melalui pengungkapan bacaan dan tulisan
bahan-bahan bacaan berhubung tamadun Islam,

tulisan jawi melicinkan minda Melayu kerana ia ditulis dan dibaca dengan cepat dan
berkesan, dan

tulisan jawi mempunyai keindahan khat yang paling tinggi.

Justeru, Kementerian Pendidikan perlu berusaha keras untuk mewujudkan minat terhadap Jawi
dalam kalangan pelajar. Dalam pendidikan, terdapat matapelajaran Jawi bagi pelajar sekolah
rendah(Mohd Mazhan Tamyis 2011), dengan 1-2 waktu seminggu (walaupun agak terhad) dan
matapelajaran Pendidikan Islam yang menggunakan teks Jawi.

Penubuhan Kelab Jawi di sekolah adalah langkah terpuji kerajaan dalam menggalakkan minat
pelajar terhadap Jawi. Menurut Hishammuddin Tun Hussein kelab tersebut menjadi sebahagian
daripada aktiviti luar bilik darjah untuk ditawarkan kepada pelajar(Bernama, 2007).

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang mengawal piawaian ejaan Jawi perlu
memainkan peranan yang lebih aktif lagi dalam usaha memartabatkan Jawi. Penulis
mencadangkan agar hanya satu tulisan Jawi yang standard dan selaras dengan nama Ejaan Jawi
Dewan yang menggambarkan bahawa hanya DBP sahaja yang mempunyai autoriti dalam
menjaga khazanah bangsa Melayu, iaitu tulisan Jawi di samping mendapat sokongan daripada
tokoh-tokoh Jawi terkemuka. Sebarang pertelingkahan dan pertanyaan berkenaan ejaan Jawi
yang betul (jika terdapat kekeliruan) perlu dirujuk kepada DBP (Matlob 2011). DBP mempunyai
kuasa muktamad dalam menentusahkan ejaan Jawi. Penerbitan Daftar Kata Bahasa Melayu
Rumi-Sebutan-Jawi adalah satu usaha yang murni ke arah memartabatkan tulisan Jawi (Ismail
Dahaman et al. 2008).

Buku Daftar Ejaan Rumi Jawi terbitan DBP

Pelbagai seminar, persidangan, bengkel dan simposium yang berasaskan Jawi juga perlu
diperbanyakkan lagi agar tulisan Jawi dapat disemarakkan. Tanpa usaha yang berterusan,
program seumpama ini akan dilihat seolah-olah seperti hangat-hangat tahi ayam atau sifatnya
bermusim.

Penghasilan produk ICT seperti perisian Jawi oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian &
Warisan Malaysia (KeKKWa)dan Management dan Science University, (MSU), Kolej Universiti
Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pelbagai
lagi perlu dirancakkan. Usaha NGO seperti Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Malaysia
(PENJAWIM), Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) dan lain-lain lagi dalam
menyedarkan masyarakat tentang kepentingan tulisan Jawi perlu disokong dan didukung dengan
menyumbang bantuan dan dana sama ada daripada pihak kerajaan mahupun syarikat-syarikat
korporat.

Produk Permainan Kanak-kanak oleh KUIS

Kerajaan juga perlu memikirkan dengan serius kesinambungan penggunaan tulisan Jawi, bukan
hanya setakat di sekolah sahaja. Usahakan agar tulisan Jawi digunakan secara meluas dalam
kehidupan dan aktiviti seharian, bukannya terhad kepada tempat dan masa tertentu sahaja.
Sebagai langkah permulaan, selain daripada setiap kepala surat atau nama jabatan kerajaan
ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi, sekurang-kurangnya perenggan pertama surat-surat
kerajaan perlu ditulis dalam tulisan Jawi. Ini secara langsung dapat menarik minat mereka yang
buta Jawi untuk mengetahui apa yang tertulis di permulaan surat tersebut. Atau setidak-tidaknya
terdapat transliterasi Rumi-Jawi pada perenggan pertama pada setiap surat kerajaan.

Program televisyen Mahir Jawi di TV9 adalah satu program televisyen yang sangat baik kepada
pelajar dan juga kanak-kanak. Program ini berjaya menarik minat pelajar kerana mereka belajar
Jawi dalam keadaan santai dan menyeronokan. Ia memberi nafas baru dalam mempelajari Jawi
walaupun terdapat sedikit teguran tentang beberapa kesilapan dalam perkataan Jawi yang
digunakan. Teguran itu boleh diambil secara positif untuk menambah baik program tersebut di
masa akan datang.

Stesen-stesen televisyen juga perlu memasukkan tulisan Jawi dalam iklan mereka sebagaimana
iklan yang menggunakan papan iklan di sesetengah negeri. Ini menggalakan penonton televisyen
untuk membaca tulisan Jawi tersebut dan mendapatkan ejaan Jawi yang betul bagi perkataan
tersebut.

Kesimpulan
Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan Jawi antara
tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Tulisan Jawi juga harus mampu
bergerak seiringan dengan tulisan perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu. Ia
diharap mampu menyokong terutamanya istilah-istilah baru dalam sains dan teknologi yang
kebanyakkan menggunakan kata pinjaman Inggeris.

Perbincangan di atas juga jelas menunjukkan bahawa usaha yang begitu tegas dan serius dari
pihak kerajaan amat diperlukan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi. Kerajaan memiliki
kuasa dalam membuat dasar (Azizi Hj Abdullah 2006). Tanpa usaha dan dokongan daripada
pihak kerajaan, tulisan Jawi yang pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan
bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam pasti akan terkubur. Khazanah berharga (kitab-
kitab lama, manuskrip-manuskrip lama) akan hilang jika tidak dijaga dan digali sepenuhnya.

Bahasa melambangkan bangsa (Rashid 2004), bangsa Melayu memang sering dikaitkan dengan
Jawi suatu masa dahulu (Hashim Haji Musa dan Adi Yasran Abdul Aziz 2009).

Sebelas cadangan yang dikemukakan oleh Hashim dan Yusran dalam kertas Pemerkasaan
Kembali Tulisan Jawi sepatutnya diperhalusi oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk
memartabatkan tulisan Jawi.

Apa jadi dengan resolusi dan cadangan Prof Dr (Ismail Ibrahim 1991) dalam Konvensyen
Tulisan Jawi dulu? Apakah tindakannya?

Rujukan
Abdul Hayie Abdul Syukur. 2009. Tulisan Jawi Sebagai Media Persuratan Melayu dan Islam.
Dalam http://mybabah.blogspot.com/2009/11/artikel-khas-tulisan-jawi-dan-anda.html

Adi Yasran dan Hashim Haji Musa. 2008. Isu Homograf dan Cabarannya dalam usaha
pelestarian tulisan Jawi. Jilid 3, Bil 1/2008, Jurnal ASWARA, halaman 109.

Azizi Abdullah. 2006. Roh Pendita ZA`BA Yang Menangis. Dalam


http://aziziabdullah.blogspot.com/2006/05/tulisan-jawi.html

Berita Nasional Malaysia (Bernama). 2008. DBKL Perkenal Tulisan Jawi Pada Papan Nama
Jalan. Artikel bertarikh 19 Februari 2008.

Berita Nasional Malaysia (Bernama). 2007. Kelab Jawi Ditubuhkan Di Sekolah. Artikel
bertarikh 28 September 2007.

Mohamad Sofee Razak. 2010. Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan. Artikel daripada
Berita Harian bertarikh 02 Januari 2010.

Suriati Ali. 2011. Penggunaan Tulisan Jawi Diperluaskan

Dalam http://teganukita.blogspot.com/2011/05/penggunaan-tulisan-jawi-diperluaskan.html
artikel bertarikh 12 Mei 2011.

Abd Jalil Borham. 2012. Tulisan jawi: Tulisan serantau. Seminar Tulisan Jawi dan Teknologi
Peringkat Kebangsaaan 2012, 18 Oktober 2012, at Universiti Malaysia Pahang
Ahmad, Che Wan Shamsul Bahri C.W., Khairuddin Omar, Mohammad Faidzul Nasrudin, et al.
2012. Isu-isu dalam transliterasi mesin manuskrip melayu ejaan jawi lama kepada jawi baru.
Seminar Penyelidikan Jawi dan Manuskrip Melayu, 19-20 Jun 2012, at Universiti Teknologi
Mara, Shah Alam:169-184.

Amat Juhari Moain. 1996. Perancangan bahasa: Sejarah aksara jawi. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Azizi Hj Abdullah. 2006. Roh pendita za'ba yang menangis. In Azizi Abdullah.

Faisal Kadir. 2011. Penjajah terkejut, tulisan jawi dikuburkan. In Picisan Karangan Idea.

Hashim Haji Musa, dan Adi Yasran Abdul Aziz. 2009. Pemerkasaan kembali tulisan jawi. Jurnal
ASWARA 4 (1):159-176.

Ismail Dahaman, Syeikh Othman Sheikh Salim, Manshoor Ahmad, et al. 2008. Daftar kata
bahasa melayu dalam Rumi-Sebutan-Jawi, edited by Rusli Abdul Ghani, Ibrahim Ahmad, Azman
Ahmad and Siti Suhana Mohd Amir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Ibrahim. 1991. Ucapan dasar. In Konvensyen Tulisan Jawi. Kuala Lumpur: Bahagian Hal
Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Mohd Mazhan Tamyis, Sharipah Nor Puteh. 2011. Pembelajaran tulisan jawi: Suatu usaha ke
arah mencintai warisan budaya bangsa. Semianr Pendidikan Serantau ke-5, at Pekanbaru,
Indonesia.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, et al. 2004. Tatabahasa dewan edisi baharu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rashid, Abd. Rahim Abd. 2004. Jawi : Cemerlang, gemilang dan terbilang. Dewan Bahasa.

Rohayu Ismail. 2008. Melestarikan tulisan jawi. Berita Harian, 19 November 2008, 2.

Zin Mahmud. 2006. Penggunaan jawi tambah intelektual. Al-Islam, 62-64.

Anda mungkin juga menyukai