Anda di halaman 1dari 10

Minggu ke-18: Kelas Ulum Hadith Al-Sakandary

Kelas #18: 8 Jan 2016 @ 20 Rabi' al-Awwal 1437

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya
kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam
kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada
para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas
manhaj baginda hingga kini..wa bad

Kita berdoa agar ditetapkan atas manhaj salaf, mengikuti tauladan para salaf.
Manhaj salaf adalah bagi semua yang mengikut tauladan para Salaf. Moga kita
dijauhkan dari sifat perasan diri mengikuti salaf serta memberi cop kepada orang lain
sebagai tidak mengikut salaf hanya kerana orang itu tidak mengikut pendapat
gurunya atau tidak mengekor pendapat syaikh yang disanjungnya.

Syukur kepada Allah yang telah memberikan kita rezqi untuk meneruskan kelas
ulum hadith kita pada malam ini insyaAllah.

Telah lama kita tidak bertemu untuk kelas ulum hadith ini, disebabkan kesibukan
kerja dan kesuntukan masa.

Pada kelas-kelas yang lalu kita telah melihat banyak perkara, kita telah melihat ta'rif
hadith Sahih dan syarat-syaratnya, dan kelas kita yang lalu kita telah melihat contoh
hadith/hadith Munkar.

Walaubagaimanapun malam ini, saya tidak bercadang untuk terus menyambung


kelas yang lalu di mana jika diikutkan saya ingin berbincang lanjut berkenaan hadith
Munkar dan membawa lebih banyak contoh.

Sebaliknya saya ingin menyentuh beberapa isu, dan melihat beberapa istilah-istilah
hadith.

Pertamanya isu berkenaan hadith Dhaif. Sejak akhir-akhir ini saya sering mendengar
suara berkata "hadith Dhaif tetap hadith, ia tetap dari Nabi, ia bukan palsu".

Ungkapan ini batil.


Hadith sebagaimana yang kita tahu bermaksud apa saja yang disandarkan kepada
Nabi.

Hadith Sahih bermaksud ia disandarkan kepada Nabi secara benar dan boleh kita
ithbatkan ia kepada Nabi.

Manakala hadith Dhaif bermaksud ia disandarkan kepada Nabi secara lemah, dan
kita tidak boleh mengithbatkannya kepada Nabi, iaitu kita tidak boleh berkata Nabi
berkata sekian-sekian atau berbuat sekian-sekian dengan hadith Dhaif.

Dan hadith Maudhu adalah jenis hadith Dhaif yang paling Dhaif.

Ithbat sesuatu hadith kepada Nabi adalah satu hal, manakala beramal dengannya
adalah satu hal lain.

Hadith Dhaif tidak boleh kita ithbatkan kepada Nabi, namun beramal dengannya
boleh dengan syarat, beramal pula tidaklah dengan mengithbatkannya kepada Nabi.

Isu seterusnya ialah beramal dengan hadith Dhaif dalam fadhail atau kelebihan-
kelebihan amalan.

Sebagaimana yang pernah saya sebutkan dalam kelas yang lalu, sepakat para
huffaz salaf mutaqaddimin bolehnya beramal akan hadith Dhaif dalam hal fadhail.

Sebahagian mendakwa terdapat para huffaz mutaqaddimin semisal al-Bukhari dan


Muslim, Ibn al-Madini merupakan mereka yang menolak hadith Dhaif secara mutlak
hatta dalam bab fadhail, kenyataaan ini batil, dan tidak disokong oleh hujjah yang
konkrit, sebaliknya apa yang jelas adalah sebaliknya.

Namun isu yang berlaku dalam masyarakat kita ialah, mereka tidak faham apa itu
fadhail amal, hingga perkara bid'ah juga dikatanya fadhail amal.

Asalkan ada hadith dhaif, maka boleh beramal dengannya atas alasan fadhail amal.

Ini salah

Bukan semua hadith dhaif boleh dibuat amal dalam fadhail

Pertama syarat yang disepakati huffaz mutaqaddimin ia mestilah hadith dhaif yang
ringan.
Kemudian amalan itu mestilah bukan amalan yang baru, dengan kata lain amalan itu
sudah punya dalil yang Sahih baik dalil Quran atau hadith

Apakah ta'rif fadhail amal?

saya dapati rata-rata memahaminya sebagai:

1- Satu amalan baik yang berasal dari hadith-hadith Dha'if, asal hadith itu Dha'if
yang jika ia diamalkan, maka itu termasuk dalam fadha'il a'mal. Tidak mengira
ia Dha'if Ringan (Khafif al-Dha'f) atau Dha'if Berat (Syadid al-Dha'f)
2- Satu amalan yang tiada asalnya dari hadith Sahih, mahupun al-Qur'an,
mahupun amalan para Salaf (iaitu para Sahabat, Tabi'in dan Tabi' Tabi'in,
hingga 300H), namun ia terdapat dalam hadith Dha'if maka ia termasuk
fadha'il a'mal
3- Satu amalan yang tiada asalnya dari hadith Sahih, mahupun al-Qur'an,
mahupun amalan para Salaf (iaitu para Sahabat, Tabi' dan Tabi'in, hingga
300H), namun ia terdapat dalam hadith Dha'if maka ia termasuk fadha'il
a'mal, dengan syarat hadith Dha'if itu mestilah bukan terlalu Dha'if (Dha'if
Jiddan) atau Palsu (Maudhu')
4- Satu amalan yang berasal dari hadith-hadith Dha'if tanpa mengira darjat
ke'Dha'ifan'nya, dengan syarat hadith Dha'if itu isi kandungannya memberi
suntikan jiwa, dan membawa rasa ketenangan dalam jiwa, maka ia adalah
fadha'il a'mal
5- Satu amalan yang masyhur diamalkan masyarakat awam, yang berasal dari
hadith-hadith Dha'if, maka itu adalah fadha'il a'mal.

Sayangnya kesemua pemahaman ini adalah pemahaman yang salah, bahkan ia


bercanggah dengan pemahaman para ulama hadith yang membenarkan hadith-
hadith Dha'if digunakan untuk fadha'il a'mal itu sendiri semisal Imam Yahya bin
Syaraf al-Nawawi, walaupun nama beliau sering dipergunakan oleh mereka-
mereka yang ketagihan fadha'il a'mal ini.

Sebelum kita pergi lanjut berkenaan maksud fadha'il a'mal dan bagaimanakah ia
sering disalah-guna sesetengah pihak terutamanya ahli bid'ah, adalah baik
terlebih dahulu kita lihat apakah hukum beramal dengan hadith Dha'if dalam
fadha'il a'mal itu sendiri.

Para ulama berbeza berkenaan boleh atau tidaknya beramal akan hadith-hadith
Dha'if dalam fadha'il a'mal kepada dua kelompok, iaitu:

1- Kelompok pertama berpendapat bahawa hadith-hadith Dha'if tidak boleh


digunakan secara mutlak termasuklah dalam fadha'il a'mal. Pendapat ini popular
dikalangan fuqaha dan ahli hadith Mutaakhkhirin semisal Ibn Taimiah, Ibn al-
'Arabi, al-Syatibi, al-Syaukani. Ahmad Syakir, al-Albani dan lainnya.

Terdapat juga antara mereka dari kelompok pertama ini menisbahkan pegangan
ini kepada huffaz Mutaqaddimin semisal al-Bukhari, Muslim, Yahya ibn Ma'in,
namun ia hanyalah dakwaan ampuh tanpa bukti yang jelas, bahkan bukti-bukti
yang sampai menunjukkan sebaliknya.

2- Kelompok kedua berpendapat boleh beramal dengan hadith-hadith Dha'if


dalam fadha'il a'mal dengan syarat-syarat yang ketat (kita akan sebutkan syarat-
syaratnya kemudian). Ini adalah pegangan para huffaz hadith Mutaqaddimin
semisal Abu Hatim, Abu Zur'ah, Ahmad bin Hanbal, Abu Daud, Sufyan al-Thauri,
'Abdul Rahman ibn Mahdi, Yahya ibn Ma'in, bahkan ia juga adalah pegangan al-
Bukhari dan Muslim (berdasarkan bukti kuat yang sampai kepada kita). Pendapat
kedua inilah pendapat yang rajih (lebih tepat).

Syarat-syarat ketat beramal dengan hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal:

Sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini, para huffaz Mutaqaddimin
membolehkan beramal dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il dengan syarat-
syarat ketat.
Syarat-syarat ini adalah sebagaimana yang telah dinaskan(disebutkan) mereka
dan juga yang dapat difahami dari amalan-amalan mereka dalam berinteraksi
dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il ini.

Padanya 4 syarat ketat iaitu:

1- Hadith Dha'if itu mestilah bukan dari jenis Dha'if Syadid (Dha'if Berat)

Yang dimaksudkan dengan Dha'if Syadid atau Dha'if Jiddan ialah pada hadith itu
terdapat mereka yang Muttaham, atau Matruk, atau Dha'if Jiddan, atau Mathruh
al-Hadith dan semisalnya, Setiap dari jenis-jenis sakit ini tidak dapat menguatkan
satu sama lain, bahkan ia lebih melemahkan yang lain, ia umpama tisu "necrosis"
dalam badan yang hanya memusnahkan dan membunuh bukan membaiki. Jika
satu hadith terdapat mereka yang seperti ini maka ia termasuk dari jenis hadith-
hadith Dha'if Syadid dan ia tidak boleh dibuat beramal dalam fadha'il.

Dan untuk mengenal sama ada suatu hadith itu adalah Dha'if Jiddan atau tidak,
ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang ahli dalam hadith serta ilmunya, ia
tidak mungkin diketahui oleh orang awam.

Oleh sebab itu, ramai ulama menegaskan bahawa beramal dengan hadith Dha'if
dalam fadha'il ini terhad untuk para ulama hadith kerana hanya mereka yang
mampu membezakan mana hadith Dha'if Jiddan dan mana yang Dha'if Khafif.

2- Amalan dalam hadith Dha'if itu mestilah mempunyai asal dalam hadith-hadith
Sahih, ia tidak membawa amalan baru yang tiada dalam hadith-hadith Sahih,
tidak menetapkan sesuatu tatacara khusus atau waktu khusus yang tiada
asalnya dalam hadith-hadith Sahih.
3- Pengamal hadith Dha'if itu tidak meyakini bahawa ganjaran atau ancaman
dalam hadith Dha'if itu adalah pasti, sebaliknya ia hanya dilakukan atas sebab
berhati-hati.

4- Pengamal hadith Dha'if itu tidak mempopularkan amalan dari hadith Dha'if itu,
kerana ditakuti ganjaran atau ancaman itu akan disalah fahami orang awam yang
jahil sebagai satu yang pasti, seterusnya mereka meyakini ia dari Nabi secara
pasti.

Definisi Fadha'il A'mal:

Setelah kita memahami apakah hukum beramal dengan hadith-hadith Dha'if


dalam fadha'il a'mal dan juga memahami syarat-syarat ketat yang digariskan ahli
hadith, pasti kita tertanya apakah maksud fadha'il a'mal itu sebenarnya?

Yang dimaksudkan dengan fadha'il a'mal ialah suatu amalan yang mana
fadhilat(ganjaran)nya terdapat dalam hadith-hadith Dha'if, namun amalan itu
sendiri adalah satu amalan yang telah sedia wujud bahkan telah sedia thabit
dalam hadith-hadith Sahih atau al-Qur'an.

Dengan kata lain, amalan itu adalah amalan yang telah sedia disyariatkan dalam
hadith-hadith Sahih dan al-Qur'an, hanya saja fadhilat(ganjaran) amalan tersebut
terdapat dalam hadith Dha'if. Untuk menyatakan bahawa suatu amalan itu adalah
disyariatkan ia memerlukan dalil, dan dalil itu mestilah Sahih serta menepati
kaedah usul yang tepat.

Fadha'il a'mal bukanlah bermaksud beramal dengan satu amalan baru yang tidak
wujud dan pernah tidak disyariatkan dalam hadith-hadith Sahih mahupun al-
Qur'an, amalan tersebut bukanlah berdiri dengan sendiri, akan tetapi ia adalah
amalan yang hanya boleh berdiri dengan bantuan hadith-hadith Sahih lain, ia
adalah amalan yang telah sedia wujud dan thabit dalam hadith-hadith Sahih.
Hadith Dha'if itu hanyalah menjadi satu sumber motivasi pembakar semangat
untuk seseorang beramal dengan amalan yang telah sedia wujud dalam hadith
Sahih tersebut.

Misalnya amalan solat Dhuha adalah satu amal ibadah yang telah sedia thabit
dalam hadith-hadith Sahih, solat Dhuha itu sendiri sememangnya disyariatkan.
Sekiranya wujud satu hadith Dha'if yang menceritakan ganjaran-ganjaran solat
Dhuha, dan hadith Dha'if itu mencukupi syarat-syaratnya (sebagaimana yang
telah disebutkan sebelum ini) maka bolehlah mengambil hadith Dha'if tersebut
untuk beramal dengannya sebagai pemberi semangat melakukan solat Dhuha.

Contoh lain pula, misalnya jika terdapat satu hadith Dha'if yang menceritakan
ganjaran bersedekah secara umum, dan hadith Dha'if itu mencukupi syarat-
syaratnya, maka bolehlah beramal dengan hadith Dha'if berkaitan ganjaran
bersedekah tersebut, kerana amalan bersedekah sememangnya satu amalan
yang telah sedia wujud dalam hadith-hadith Sahih dan ia sememangnya
disyariatkan.

Misal lainnya, amalan beristighfar sememangnya satu amalan yang thabit dalam
al-Qur'an, namun fadhilat(ganjaran) beristighfar dari hadith-hadith adalah Dha'if
kesemuanya, namun hadith-hadith Dha'if berkenaan ganjaran istighfar itu boleh
dibuat amal dalam fadha'il apabila ia mencukupi syarat-syaratnya kerana amalan
istighfar sememangnya telah sedia wujud dan disyariatkan dalam al-Qur'an. Ia
bukanlah amalan baru.

Sekiranya terdapat satu hadith Dha'if yang menceritakan amalan zikir dengan
lafaz khusus, pada waktu-waktu tertentu yang khusus, dengan sifat khusus serta
tatacara yang khusus, ini tidaklah termasuk dalam ketegori fadha'il a'mal kerana
amalan zikir khusus tersebut, dengan waktu dan tatacara khusus tersebut tidak
mempunyai sebarang asal dari mana-mana hadith Sahih, sebaliknya ia adalah
satu amalan baru yang direka dari hadith-hadith Dha'if, dengan kata lain ia
sebenarnya adalah amalan bid'ah, bukan fadha'il a'mal.

Begitu juga sekiranya terdapat satu hadith Dha'if yang menceritakan amalan
solat pada waktu yang khusus, dengan sifat, tatacara yang khusus semisal solat
Raghaib (solat pada malam Jumaat pertama bulan Rejab), atau solat Tasbih,
atau solat Hifzi, atau solat malam Nisfu Sya'ban dan lain-lain semisal, kesemua
itu tidak termasuk dalam kategori fadha'il a'mal kerana ia adalah amalan baru
yang tidak wujud dalam mana-mana hadith Sahih bahkan tidak pernah
disyariatkan, sebaliknya ia adalah amalan bid'ah yang wajib diingkari.

Begitu juga jika datang satu hadith yang menceritakan amalan puasa pada hari
sekian sekian yang khusus semisal puasa pada hari Nisfu Sya'ban, maka ia
bukanlah termasuk dalam fadha'il a'mal kerana amalan tersebut tidak wujud
dalam hadith-hadith Sahih, sebaliknya ia adalah bid'ah yang tercela.

Isu seterusnya pula ialah satu sikap negatif yang berleluasa yang perlu
dibendung, iaitu sikap berpegang dengan hukuman hadith yang dilakukan para
muassirin dan meninggalkan hukuman yang dibuat oleh para huffaz
mutaqaddimin

Berleluasa dalam kalangan tidak sedikit penuntut ilmu, mereka berpegang


kepada hukuman hadith oleh para muassirin, dan meninggalkan hukuman para
huffaz salaf, hingga ada yang menukilkan hadith dari kitab Jami' al-Tirmizi namun
menyebut hukuman hadith dari mussirin misalnya al-Albani, Ahmad Syakir, dan
meninggalkan kalam al-Tirmizi sendiri bagi hukuman hadith itu!

Sikap yang benar ialah berihtimam dengan kalam para huffaz salaf, dan
mengambil istifadah dari kalam muassirin

Perlu diketahui para huffaz salaf mereka bukan hanya mengumpulkan hadith
semata, sebaliknya mereka mengumpul, memilih, serta memberi hukuman bagi
hadith itu sama ada Sahih atau Dhaif, bahkan kata guru saya al-Syaikh Thariq
Iwadullah tiada satupun hadith yang tidak diberi hukuman oleh para huffaz
Mutaqaddimin
Isu seterusnya pula ialah isu bid'ah dalam kalam para huffaz hadith, ramai saya
lihat memahami istilah bid'ah itu dengan istilah fiqh

Sedangkan bid'ah dalam istilah hadith, bid'ah di sisi para muhaddith ialah bid'ah
aqidah, apabila dikata untuk seseorang rawi sebagai ahli bid'ah yang
dimaksudkan ialah aqidahnya bermasalah

Bid'ah di sisi mutaqaddimin terbahagi kepada 3 tahap, pertama tahap berat


seperti jahmiyah, mu'tazilah, serta rafidhah

Tahap sederhana semisal qadariah, serta tahap rendah semisal irja'

Isu seterusnya ialah periwayatan perawi majhul.

Jahalah (tidak dikenal) sebenarnya bukanlah jarh dan bukan juga ta'dil, sama
seperti syuhrah (masyhur, dikenali), seseorang rawi boleh masyhur namun
masyhur sebagai seorang pendusta.

Periwayatan perawi majhul asalnya ditolak, namun diterima dengan qarain, kita
akan berbincang lanjut kemudian.

Isu seterusnya ialah isu mutawatir dan ahad

Sebenarnya fahaman mutawatir yang popular dalam buku-buku mustolah yang


mendefinisikan mutawatir sebagai satu hadith yang diriwayatkan sejumlah ramai
rawi yang hingga mustahil mereka berdusta, definisi ini batil, dan merupakan
definisi muktazilah dan ahli kalam.

Bahkan para huffaz mutaqaddimin tidak pernah membahagikan hadith kepada


mutawatir dan ahad dengan melihat jumlah rawi

Isu seterusnya ialah isu thiqah,

Thiqah bukan bermaksud hadithnya mesti Sahih, bahkan seorang thiqah boleh
membawa hadith Dhaif bahkan Munkar, thiqah bermaksud hadithnya banyak
betul dan sedikit silap, bukannya tiada silap langsung.

Baik, setakat itu dulu kelas kita malam ini, tebuk-tebuk isu yang saya rasa perlu
diberi penekanan disebabkan ramai salah faham, dan insyaAllah kelas
mendatang kita akan meneruskan diskusi ulum hadith kita semula dan melihat
lanjut contoh-contoh hadith Munkar, kemudian kita masuk bab hadith Hasan
insyALLAH

Kita tutup majlis dengan tasbih kaffarah, dan saya berpesan kepada semua
penuntut hadith sebagaimana pesan guru saya al-Syaikh Mahir Yasin al-Fahl
"jangan lupa membaca dan mentadabbur al-Quran"

********************************************