Anda di halaman 1dari 2

Transkrip temubual bersama Encik Rosli Mardirono bin Rasdon.

Saya :Assalamualaikum Encik Rosli Mardirono, Saya Nurliana binti Ariffin dari IPG Ilmu
Khas. Hari ni saya hendak menemu bual Encik mengenai adat masyarakat jawa.
Saya difahamkan bahawa Encik berketurunan Jawa bukan?

Encik Rosli :Waalaikumsalam. Ya betul itu. Saya memang berketurunan jawa.

Saya :Saya pasti dalam masyarakat jawa tentunya banyak adat-adat resam dan tradisi
yang masih dipraktikkan sehingga sekarang. Benarkah?

Encik Rosli :Ya, itu benar sekali. Namun ada sesetengah adat yang tidak lagi digunapakai
kerana bertentangan dengan syariat Islam. Adat yang tidak sesuai dengan
agama sebahagian telah lupus dan ada juga yang diubah mengikut kesesuaian
agama.

Saya :Apakah adat yang jarang sekali masyarakat jawa praktikkan?

Encik Rosli :Adat yang bertentangan dengan agama terutamanya Adat Lenggang Perut.

Saya :Apakah Adat Lenggang Perut itu encik?

Encik Rosli :Adat ini ialah suatu adat yang dijalankan ke atas seorang isteri yang telah genap
tujuh bulan hamil dan ia bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam
perut di tempat yang sepatutnya, iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini penting
bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut.

Saya :Lalu, mengapakah adat ini dikatakan bertentangan dengan agama Islam?

Encik Rosli :Adat ini ada unsur menilik nasib. Perbuatan menilik nasib merupakan syirik dan
sesat. Kita seolah-olah mengambil alih kerja tuhan.

Saya :Apakah perbuatan menilik nasib itu?

Encik Rosli :Mak bidan akan akan diguling-gulingkan secara perlahan-lahan kelapa yang
sudah dikupas di atas perut ibu itu ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh kali dan
pada kali yang ketujuh itu, kelapa itu akan dilepas serta dibiarkan jatuh bergolek
daripada perut ibu itu sambil diperhatikan oleh mak bidan itu. Mak bidan akan
memerhatikan bagaimana kedudukan muka atau mata kelapa itu setelah
berhenti bergolek. Jika mata kelapa itu menghala ke atas, ibu itu akan beroleh
anak lelaki, dan jika ia menghala ke bawah, anak perempuan akan dilahirkan.
Saya :Oh begitu. Jadi apakah barang kelengkapan yang diperlukan dalam Adat
Lenggang Perut ini?

Encik Rosli :Kelengkapan yang mustahak perlu disiapkan untuk menjalankan adat ini. Antara
kelengkapan tersebut disediakan adalah seperti berikut iaitu tujuh helai kain yang
berlainan warna, satu gantang beras, sebiji buah kelapa, beberapa urat benang,
satu batang damar, sedikit minyak kelapa atau minyak urut, beberapa batang
lilin, satu tepak sirih yang lengkap dengan isinya, serta pengeras wang sebanyak
lima suku ($1.25) di dalam tepak itu.

Saya :Wah, banyak juga keperluan untuk melaksanakan adat ini ya. Jadi, Apakah
caranya adat ini dilakukan?

Encik Rosli :Mula-mula mak bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berwarna itu
secara melintang sehelai demi sehelai. Ibu yang hamil itu akan dibaringkan di
atas lapisan-lapisan kain tersebut. Setelah itu, sebelah tangan mak bidan akan
memegang satu hujung kain lapisan atas sekali dan dengan tangannya yang
sebelah lagi, dipegangnya hujung yang satu lagi. Kemudian kain itu diangkatnya
sedikit sambil dilenggang-lenggangkan badan ibu itu.

Saya :Oh, jadi, dari situlah diambil nama Lenggang Perut?

Encik Rosli :Ya, betul itu.

Saya :Oh, begitu. Jadi apakah tindakan seterusnya?

Encik Rosli :Selepas itu, kain itu ditarik keluar daripada bawah badan ibu tersebut.
Perbuatan ini akan dilakukan sehingga habis ketujuh-tujuh helai kain itu
dikeluarkan dari bawah pinggang ibu tersebut. Kain yang di bawah sekali akan
diberikan kepada tok bidan bersama-sama dengan kelapa, beras, damar, sirih
pinang beserta dengan wang pengeras lima suku di dalam tepak sirih itu.

Saya :Wah, adat ini sangat menarik dan tidak terdapat pada kaum lain. Terima kasih
Encik kerana sudi berkongsi bersama saya.

Encik Rosli :Sama-sama.