Anda di halaman 1dari 3

Ramai juga kurang bersetuju pembuli digantung sekolah setahun

October 18, 2016, Tuesday

KUCHING: Cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengenakan tindakan


gantung persekolahan selama setahun kepada pembuli yang didapati melakukan
kesalahan serius sebagai alternatif menggantikan hukuman buang sekolah
mendapat reaksi pelbagai.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati, kebanyakan orang ramai kurang


bersetuju dengan cadangan tersebut mengambil kira kesan jangka panjang
yang akan dihadapi pelaku.

Malah, mereka juga berpendapat, menghukum dengan cara sedemikian


berkemungkinan bersifat kurang rasional dan berkesan kerana ia adalah
hukuman lapuk serta tidak membantu menyelesaikan masalah buli dalam
kalangan pelajar sekolah.

Menurut seorang guru di salah sebuah sekolah di sini, Nuruddin Zaidi, 28, dari
segi undang-undang antibuli, seharusnya pelajar yang terlibat dengan salah laku
buli di sekolah tidak boleh digantung persekolahan.

Undang-undang sedemikian diamalkan oleh kebanyakan sekolah-sekolah


bertaraf antarabangsa dan undang-undang itu juga menyatakan semua rakyat
berhak mendapat pendidikan.

Pendek kata, kita tidak boleh melawan api dengan api kerana punca terbesar
berlaku kes buli ini adalah diakibatkan oleh perasaan tidak yakin, sebab itulah
pelaku akan membawa geng-geng mereka dan amat jarang sekali ia berlaku
seorang lawan seorang.

Justeru, saya rasakan cadangan gantung sekolah setahun tidak relevan dan
sepatutnya pihak kementerian memikirkan kaedah yang lebih bersifat holistik
yang tidak menjejaskan masa depan pelajar, sekali gus memberi pengajaran
kepada mereka bahawa salah laku buli adalah perbuatan serius yang harus
ditegah, katanya kepada Utusan Borneo, semalam.
Jelasnya lagi, sekiranya tindakan gantung persekolahan selama setahun itu
adalah perlu dan tidak dapat dielakkan, seharusnya pihak berwajib mengkaji dan
mengkategorikan buli mengikut tahap keseriusannya terlebih dahulu.

Pada masa sama, saya juga mencadangkan agar kerjasama erat antara tiga
pihak, termasuk ibu bapa, guru dan polis dapat digiatkan dalam usaha
memantau kes buli ini sepanjang masa kerana buli berlaku akibat tiada
pemantauan.

Dan jika pemantauan dilakukan secara mendalam, pelajar pasti tidak berani
untuk membuli termasuk menggunakan kekerasan fizikal bagi mengancam
mangsa yang dibuli, jelasnya.

Sementara itu, pegawai kerajaan, Mohamad Yazid Ahmad, 28 berkata, adalah


tidak wajar menggantung pelajar yang terlibat salah laku buli dalam tempoh
yang agak panjang iaitu setahun.

Katanya, sekiranya hanya gantung, ia lebih menggalakkan pelajar terdedah


dengan gejala negatif kerana pelajar juga adalah manusia biasa yang tidak lari
daripada melakukan kesilapan.

Bagi saya, kebanyakan pelajar yang menjadi pembuli mempunyai masalah


keluarga, andai mereka digantung selama setahun, si pembuli akan terbiar
begitu sahaja tanpa sebarang tindakan dan pemantauan.

Jadi, adalah lebih baik hanya singkatkan penggantungan seperti tiga bulan
sahaja dan dalam tempoh tersebut pelajar juga perlu melakukan kerja khidmat
sosial tetapi dengan pemantauan daripada pihak berwajib seperti daripada
sekolah itu sendiri dan pihak polis, katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan mempertimbangkan cadangan untuk


mengenakan tindakan gantung persekolahan selama setahun kepada pembuli
yang didapati melakukan kesalahan serius berkuat kuasa awal tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelajar yang digantung itu akan
dilibatkan dengan kerja-kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan
dalam tempoh berkenaan sebagai syarat untuk memulakan persekolahan
semula.

Perkara ini (buli) tidak boleh dibiarkan dengan kes buli yang banyak dan perlu
ada tindakan, gantung sekolah. Walaupun melibatkan pelajar yang menduduki
peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka kena ambil SPM tahun
depan.

Ini antara perkara baharu yang saya dan beberapa individu di Kementerian
Pendidikan merasakan perlu dimasukkan dalam peraturan disiplin di sekolah
yang melibatkan kes buli, katanya.

Namun, pihaknya juga perlu mencari alternatif bentuk hukuman kepada pembuli
yang melakukan kesalahan serius berikutan terdapatnya pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) yang kurang bersetuju dengan tindakan buang sekolah kepada
pelajar terbabit.