Anda di halaman 1dari 3

Punca Dan Langkah Menangani Gejala Ponteng Dalam Kalangan Pelajar

Ponteng merupakan kekangan disiplin yang paling banyak berlaku dan sukar
diatasi di sekolah. Antara lain, ponteng bagaikan satu indikator yang menanda aras
kelemahan sistem pendidikan Malaysia yang diimplementasikan melalui Dasar
Pendidikan Negara (DPN). Perang media menerusi akhbar, majalah, blog dan
sebagainya telah pun meletus bagi membincangkan pro serta kontra kegiatan tidak
bermoral ini. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan sedang bergiat cergas dengan
mengobservasi punca dan ikhtiar bagi menekan kemajuan polemik ini.

Punca bercambahnya masalah ini termasuklah kurangnya didikan duniawi serta


ukhrawi daripada ibu bapa. Hal ini berlaku kerana mereka terlalu ghairah mengejar
kemewahan hinggakan sanggup mempedulikan asas kehidupan serta dasar
keagamaan anak-anak mereka. Bahkan mereka tidak arif bahawa pengabaian inilah
yang bakal merosakkan anak bangsa kita. Persis slogan 'pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara', ibu bapa hendaklah mengawasi pergerakan dan pergaulan
anak-anak mereka supaya terhindar daripada maksiat seterusnya mengatur strategi
kehidupan anak-anak mereka supaya dapat menjadi tonggak negara pada masa akan
datang.

Pemuda watan kita sering tersilap memilih jalan seperti peribahasa menyebut
'terlajak perahu boleh diundur, terlajak langkah buruk padahnya'. Hal ini
disebabkan, remaja marcapada lebih cenderung memilih rakan yang mengikut trend
walhal budaya yang disalurkan adalah negatif. Sudah terlalu menggunung budaya barat
yang diisi dalam kotak pemikiran kita sehinggakan kita terlupa kepada budaya asal.
Dasar remaja pula, mereka mahukan sesuatu yang lebih menarik dan mengikut
peredaran zaman. Jadi apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya, mudahlah baginya
untuk turut serta dan mencuba perkara baru. Pemilihan kawan yang baik dapat
mencorakkan kehidupan kita ke aras yang lebih sempurna.

Di samping itu, peranan media juga menjadi tulang belakang kepada kegawatan
ini. Media kini lebih gemar memaparkan program-program yang bertentangan dengan
norma masyarakat lokal. Eksploitasi seks terhadap wanita dalam iklan-iklan sebagai
intiha, memesongkan iman para remaja seterusnya menyebabkan mereka berpotensi
untuk terjerumus ke lembah kehinaan. Selain itu, penapisan filem serta drama dianggap
masih longgar kerana wujud adegan-adegan separa lucah yang dapat meracun minda
remaja kita. Oleh yang demikian, remaja seringkali terikut-ikut dengan paparan negatif
yang jelas berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Bagi menangani punca-punca ini, pelbagai inisiatif telah diambil oleh variasi
pihak. Antara cara demi menangani polemik sosial ini ialah mengadakan sesi
kaunseling yang melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan remaja itu sendiri. Menerusi
pendekatan ini, masalah yang menyebabkan seseorang pelajar ponteng dapat dikesan.
Pihak kaunselor harus menerangkan impak negatif aktiviti ponteng supaya pelajar
tersebut sedar dan berhati-hati menongkah arus kehidupannya. Hal ini dilihat
berkesan demi mengurangkan kadar pertambahan bilangan pelajar yang ponteng
sekolah, kerana peribahasa ghalib menyebut "sediakan payung sebelum hujan".
Makanya, apabila pihak yang berkenaan sudah mengetahui punca-punca gejala
ponteng, usaha membanteras juga lebih efektif.

Seterusnya, para pelajar haruslah faham bahawa gejala ponteng bukanlah aktiviti
yang menjamin masa depan. Sepatutnya, masa yang terluang diisi dengan ilmu dan
pengajaran sebagai bekalan untuk masa hadapan. Pihak kerajaan pula perlulah
menitikberatkan peraturan dan undang-undang kerana para pelajar dilihat memandang
sebelah mata akan peraturan sekolah seolah-olah tiada mata yang melihat pergerakan
mereka. Apabila peraturan dan hukuman dilaksanakan, pelajar-pelajar akan tergerak
daripada mimpi dan sedar bahawa kebebasan yang dikecapi adalah terhad.

Tuntasnya, semua pihak terutamanya pelajar sendiri haruslah bertanggungjawab


membaik pulih sistem pendidikan negara agar dapat memacu kejayaan negara
seterusnya bersaing dengan kuasa besar antarabangsa yang lain. Janganlah kita
menjatuhkan air muka negara sendiri tatkala rumpun lain asyik memperlekehkan
kemampuan kita. Sesungguhnya pentarbiahan yang sempurna menjamin keterjelmaan
negara seiring dengan Gagasan 1Malaysia.

(551 patah perkataan)

KOSA KATA:
1. Kekangan = masalah / halangan
2. Indikator = penunjuk aras
3. Menanda aras = penunjuk tahap
4. Diimplementasikan = dilaksanakan
5. Pro serta kontra = kebaikan dan keburukan
6. Mengobservasi = memantau
7. Polemik = perdebatan
8. Tonggak = asas
9. Watan = tanah air
10. Marcapada = kini
11. Kotak pemikiran = minda / pemikiran
12. Norma = adat / kebiasaan
13. Lokal = setempat
14. Ekploitasi mengambil kesempatan
15. Intiha = pengakhiran
16. Inisiatif = daya usaha
17. Variasi = pelbagai
18. Impak = kesan
19. Menongkah arus kehidupan = menyonsong cabaran hidup
20. Ghalib = biasa
21. Efektif = berkesan
22. Keterjelmaan = penjelmaan

Anda mungkin juga menyukai