Anda di halaman 1dari 1

April 04, 2016 16:12 PM

Esscom Laksana Kajian Profil Masyarakat Pala'u Di Esszone

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)
melaksanakan siri kajian profil masyarakat Bajau Laut yang hidup di perairan laut Sulu untuk
mengenal pasti jumlah, lokasi dan status warganegara mereka di Zon Selamat Timur Sabah
(Esszone).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata laporan kajian tersebut
akan dianalisis dan dinilai dalam semua aspek bagi menentukan tindakan penyelesaian terhadap
masyarakat tersebut yang juga sinonim dengan panggilan Pala'u.

"Jumlah sebenar masyarakat ini tidak diketahui. Masyarakat ini buta huruf, miskin dan masih tinggal
dalam perahu dan pulau," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Datu Nasrun Datu
Mansur (BN-Silam) yang ingin tahu langkah dan peranan kerajaan dalam menangani isu Pala'u, pada
sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada tahun 2015, Shahidan berkata Esscom telah menjalankan dua kajian profil iaitu di Kampung
Labuan Haji, Pulau Omadal dan Pulau Kulapuan dari 18 hingga 21 Mac dan di Pulau dan Terumbu
Sebangkat dari 3 hingga 8 Ogos.

Jelasnya, Esscom akan mengadakan tambahan dua lagi kajian profil di Kampung Halo, Kampung
Bangau-Bangau dan Pulau Nusa 3 di Semporna dari 10 hingga 17 Mac serta di Kampung Kunak 3 di
Kunak pada Ogos tahun ini.

Shahidan berkata setakat ini masyarakat Pala'u menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa dan
masih dalam kawalan.

-- BERNAMA

Anda mungkin juga menyukai