Anda di halaman 1dari 8

PENGENALAN KRITIKAN SASTERA

Istilah Kritikan
Perkataan kritik berasal dari perkataan Yunani Kuno krites yang bermaksud
hakim. Oleh itu mengkritik merupakan usaha menghakim, memutuskan nilai baik
atau buruknya sesebuah karya sastera. Akar kata krites dikembangkan kepada
frasa nama kriterion atau disebut kriteria yang bermaksud penghakiman. Orang
yang membuat kritikan digelar kritikos di mana ia kini ditulis sebagai kritikus.

Kata criticus dalam bahasa Latin bermaksud orang yang mentafsir dan menilai
hasil karya sastera. Terdapat kata lain yang mempunyai persamaan makna iaitu
grammaticus dan philosopicus. Kedua-dua kata ini mempunyai pertalian dengan
penghakiman sastera.

Definisi Kritikan Sastera


Menurut Hashim Awang (1985 : 80) kritikan sastera merupakan suatu usaha
mempertimbang dan menilai karya sastera secara jujur dan sistematik. Kritikan
sastera merupakan cabang ilmu yang mempunyai fungsi-fungsi yang tersendiri.

Berdasarkan Glosari Istilah Kesusasteraan (1988:163) penjelasan terhadap krtitik


sebagai esei atau artikel yang menyorot secara kritis sesebuah hasil seni, biasanya
sastera, dengan tujuan menentukan sifat yang dimiliki dan menuntut mutunya
menurut suatu ukuran tertentu yang telah ditetapkan atau sering digunakan. Kritik
jauh lebih seirus, adil, dan bijaksana daripada ulasan. Sementara kritikan pula
merupakan cabang pengajian yang berhubungan dengan hal-hal mendefinisi,
mengelaskan, menghurai, dan menilai karya kesusasteraan.

Kritikan sastera merupakan suatu disiplin ilmu yang saintifik kerana ia


ditumpukan kepada penghayatan, penganalisisan dan penilaian sesebuah karya
sastera. Kritikan sastera dikatakan sebagai suatu ilmu yang saintifik kerana ia
menggunakan pendekatan atau metadologi tertentu dalam membuat kritikan.

Kritikan sastera melibatkan penghayatan. Proses penghayatan merangkumi


apresiasi, pengamatan, pemahaman, tanggapan, perasaan, serta pemikiran yang
terjelma sebagai reaksi terhadap sesuatu bacaan.

Analisis dalam konteks kritikan sastera bersifat menghurai, membincang,


membedah, dan mendalami aspek penghayatan. Pengalaman-pengalaman
apresiasi dijelaskan dengan mengemukakan bukti, contoh serta hujah yang konkrit
dan munasabah.

Kritikan sastera turut melibatkan proses penilaian. Berdasarkan penghayatan dan


penganalisisan, seseorang itu dapat memberikan pandangan, bahasan, dan
keputusan sama ada karya itu berjaya dan bermutu atau sebaliknya. Sesebuah
penilaian dilakukan hasil daripada pengamatan, pentafsiran, penganalisisan,
pertimbangan serta penghakiman yang rasional, tepat, adil dan menyakinkan.

Dapatlah dirumuskan kritikan sastera sebagai cabang ilmu saintifik dan


merupakan satu kegiatan menghayati secara total, menganalisis secara interpretif
serta melakukan penilaian secara rasional. Proses kritikan melibatkan pengaliran
semula reaksi terhadap pembacaan sesebuah karya sastera atau menonton sebuah
pementasan drama. Kritikan sastera merupakan penelitian yang kritis, jitu dan
memberi pertimbangan yang adil terhadap baik atau buruk sesuatu karya sastera
dengan memanfaatkan pendekatan tertentu ataupun tidak. Kritikan sastera
merupakan suatu yang memberi manfaat kepada khalayak pembaca, pengkaji yang
lain dan pengarang itu sendiri.

Dasar Kritikan Sastera


Tiga dasar utama dalam kritikan sastera ialah penghayatan, penganalisisan dan
penilaian. Dengan demikian kritikan sastera dapat dibahagikan kepada tiga
peringkat iaitu kritikan pada tahap penghayatan, kritikan pada tahap
penganalisisan, dan kritikan pada tahap penilaian. Kritikan pada tahap
penghayatan melibatkan apresiasi, pengamatan, pemahaman, tanggapan, perasaan
dan pemikiran. Kritikan pada tahap ini menekankan aspek penikmatan
sebagaimana dirasa, difikir dan difahami oleh pengkritik. Penafsiran dilakukan
dengan melihat keseluruhan isi karya serta menampilkan pandangan dan
pemikiran secara impresionistik. Kritikan pada tahap penghayatan dan
penganalisisan memberi perhatian terhadap persoalan yang dikemukakan oleh
pengarang dan perkaitannya dengan sosiobudaya. Pengkritik akan membuat
sorotan terhadap pelbagai dimensi hidup seperti masalah sosial atau ekonomi
tanpa membuat sebarang penilaian. Pengkritik tidak melakukan penghakiman
terhadap karya tetapi menganalisis dan menghuraikan pengertian-pengertian
dalam karya tersebut berlandaskan persoalan dan komposisi karya berkenaan.

Penghakiman ini dilakukan berdasarkan pencapaian sesebuah karya menurut


prinsip-prinsip, norma-norma, dan kriteria-kriteria sebuah karya sastera. Aspek-
aspek kebenaran dan kejujuran yang terkandung di dalam karya turut diberi
penilaian.

Menurut Othman Puteh (1998) kritikan sastera merangkumi tiga aktiviti penting.
Pertama, berkaitan dengan tulisan kritikan deskriptif yang menilai genre karya
sastera yang diterbitkan. Kedua, berhubung dengan tulisan kritikan yang
menekankan peraturan, kaedah, dan langgam penulisan yang baik dan bermutu.
Ketiga, segala bentuk tulisan kritikan teori dalam memperolehi suatu teori baru.
Kritikan sastera menjadi cabang disiplin sastera yang mewujudkan analisis,
pentafsiran dan penilaian terhadap sesuatu karya sastera. Kritikan sastera
merupakan satu usaha murni untuk mempertimbangkan dan memberi penilaian
terhadap sesebuah karya sastera secara jujur. Ia perlu dilaksanakan dengan
menerapkan kaedah tertentu yang bersistematik. Berdasarkan hakikat kritikan
sastera sebagai menganalisis, mentafsir dan menilai karya sastera oleh itu
sesebuah karya sastera perlu mempertimbangkan baik buruk, kuat lemah,
keistimewaan dan kekurangan karya berkenaan berlandaskan alasan yang kukuh
dan munasabah.

Sebuah karya sastera untuk diperakui baik atau buruk haruslah berlandaskan
suatu kriteria yang objektif dan dapat menjelaskan bagaimana nilai-nilai estetik itu
ditelaah dalam karya. Kritikan sastera akan dapat membantu khalayak pembaca
memahami sesuatu karya sastera serta dapat memberi tafsiran dan penilaian
terhadap karya berkenaan. Kritikan dianggap akan dapat menghindarkan
wujudnya jurang pemisah antara teks sastera dengan pembaca atau mereka yang
menikmati karya berkenaan.
Ciri-ciri atau Sifat Kritikan

1. Kritikan sebagai teguran. Kritikan mengandungi teguran yang


mengemukakan pandangan yang membina terhadap karya yang dikritik. Kritikan
bukanlah teguran yang memburuk-burukkan sesuatu karya semata-mata tetapi
suatu penelitian yang menggunakan kewajaran dan dan penuh rasional.

2. Kritikan sebagai saranan. Saranan yang dikemukakan dapat dijadikan garis


panduan kepada pengarang dalam menghasilkan sebuah karya yang bermutu dan
menarik. Saranan melibatkan penilaian pengkritik yang analitikal dan kritis
terhadap karya yang dikritik tanpa rasa berat sebelah, berpihak dan emosional.

3. Kritikan menggunakan pelbagai pendekatan. Penggunaan pendekatan


bertujuan untuk melahirkan objektiviti dalam penganalisisan dan penilaian yang
dilakukan oleh pengkritik. Pengkritik harus memiliki persediaan yang rapi untuk
memahami konsep-konsep dalam setiap pendekatan dan bagaimana pendekatakan
itu diaplikasikan ke atas karya sastera.

4. Kritikan sebagai penganalisisan. Analisis yang dilakukan dalam kritikan


adalah melibatkan proses penghuraian, membincang dan mendalami aspek
penghayatan. Pengkritik akan mengemukakan bukti-bukti yang jelas serta hujah
yang konkrit dalam penganalisisan yang dilakukan.

5. Kritikan sebagai penilaian. Kritikan melibatkan proses penilaian iaitu


pandangan, kupasan, dan keputusan terhadap sesebuah karya sama ada karya
berkenaan bermutu atau tidak. Penilaian dilakukan dengan menggunakan
pendekatan tertentu dan disertakan analisis dan bukti yang jelas.

Fungsi Kritikan Sastera


Menurut Hashim Awang (1988 : 5) terdapat sembilan fungsi kritikan sastera iaitu :
1. Menyumbangkan dan menyebarkan pengetahuan.
2. Menolong pembaca menghayati kesusasteraan, iaitu menerangkan tentang
karya sastera dan pengarang yang dikritik dengan jelas.
3. Membezakan karya yang baik dan yang tidak baik.
4. Mendidik masyarakat setelah pengarang mengetahui kegemaran dan
kemahuan pembaca.
5. Memberi keterangan kepada pengarang bagaimana menyesuaikan diri
dengan pembacanya.
6. Memberi perangsang dan mendidik masyarakat agar minat membaca.
7. Menolong menghapuskan prasangka buruk terhadap karya sastera.
8. Memperkenalkan karya baharu.
9. Membaiki kesalahfahaman yang timbul antara pengarang dengan pembaca.
Nota 2

Sejarah Kritikan Sastera


Kritikan sastera dikatakan muncul di Greek atau Yunani sekitar tahun 500 S.M.
Plato merupakan orang pertama yang menjadi tokoh pengkritik Yunani. Di dalam
bukunya Republic Plato menjelaskan tentang nilai-nilai sastera yang baik yang
dapat memperbaiki jiwa orang Yunani. Bagi Plato karya sastera seharusnya
mengandungi:

1. Moral sebagai prinsip pendekatan kritikan. Penulis bermoral akan menjadi


rakyat berguna.
2. Tema harus memenangkan yang baik dan mengalahkan sesuatu yang buruk
3. Konsep peniruan iaitu penulis perlu menggambarkan sesuatu secara tepat
4. Karya yang baik dapat meningkatkan penikmatan.

Aristotle dalam bukunya Poetics menjelaskan tentang dasar kritikan :


1. Mengemukakan prinsip kritikan mendekati struktur dengan melihat plot, tema,
perwatakan, bahasa, pemikiran, kekaguman, pendramaan dan sebagainya
2. Kajian genealogi dalam puisi yang melibatkan puisi epik, lirik dan dramatik.
Drama ditumpukan kepada tragedi dan komedi.
3. Kritikan melihat sastera sebagai bahan yang menyenangkan bukan berisi ajaran-
ajaran moral yakni mementingkan estetika daripada moral
4. Mementingkan kreativiti penulis. Sensitiviti dan ketajaman pengarang
menggarap persoalan dan melahirkan dalam karya yang tinggi daya kreatif
merupakan sebuah karya yang bermutu.

Seorang lagi tokoh pengkritik Greek Dionysus Cassius Longinus mengemukakan


dasar penilaian dalam kritikan sebagai :

1. Sesebuah karya harus mempunyai falsafah, pemikiran, dan persoalan yang


agung dan penting
2. Gaya bahasa baik dan sesuai
3. Emosi yang terkawal
4. Dalam bukunya On the Sublime beliau mengemukakan dasar yang lengkap
dan kemas berkaitan dengan penciptaan karya sastera. Beliau menjelaskan
bahawa karya yang bermutu, menarik, dan berkesan adalah karya yang
dapat bertahan menghadapi ujian zaman.

Tokoh pengkritik Rom iaitu Quintus Horatius Placcus dan Marcus Fabius
Quintilianus turut mengemukakan dasar-dasar kritikan. Bagi Horatius kritikan
memberi penekanan terhadap :

1. Kebijaksanaan memilih tema yang baik, pemikiran yang rasional, kata-kata


yang hidup, dan adunan yang kaya dengan teknik menjadikan sesebuah
karya itu bermutu tinggi.
2. Unsur moral dan keindahan perlu diolah secara licin dan fungsi utama
ialah mengajar dan memberikan hiburan
3. Seorang pengkritik harus berakal sihat, jujur dan tidak melakukan
penilaian dengan tidak cukup sihat dan jujur.
Quintilianus mengemukakan prinsip kritikan sebagai :

1. Setiap karya dapat dibaca dan dinikmati, jika karya sukar dibaca bermakna karya
itu kurang bermutu
2. Gaya bahasa yanag seringkali digunakan dalam masyarakat bukan yang susah
dan mengelirukan
3. Penulis perlu belajar dari tulisan orang lain cara-cara berkreatif tetapi tidak
terpengaruh sepenuhnya dengan penulis tersebut

Horace meskipun tidak meletakkan dasar kritikan yang tetap tetapi


mengemukakan beberapa teori sastera yang dapat membantu dalam bidang
kritikan menerusi bukunya Ars Poetica. Horace memberi penekanan terhadap
pentingnya unsure-unsure didaktik dan hiburan dalam karya sastera.

Pembahagian Jenis Kritikan

Kritikan sastera dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu kritikan bercorak teoritis
yang disebut sebagai kritikan teoritikal dan kritikan bercorak praktis yang dikenali
sebagai kritikan praktikal. Kritikan teoritikal merupakan kritikan yang berhubung
dengan teori kritikan seperti perbincangan di sekitar definisi, prinsip, konsep,
kriteria, pendekatan atau metodologi.

(a) Kritikan Teoritikal

Kritikan teoritikal dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu :

1. Kritikan yang membincangkan rukun-rukun dan dasar kritikan.


Perbincangan atau penentuan terhadap sesuatu pendekatan.

2. Perbincangan untuk membina dan mencipta teori kritikan. Pengkritik akan


membuat penilaian yang akhirnya menghasilkan satu teori nilai. Teori nilai
akan menghasilkan teori pendekatan kritikan.

3. Teori sastera sebagai kritikan teoritikal. Teori sastera dicipta hasil daripada
penilaian, tanggapan dan kesimpulan daripada peristiwa, data, fakta dan
sifat umum sastera. Teori sastera yang menjadi sebahagian daripada
kritikan teoritikal dibina hasil penelitian terhadap karya sastera.

Kritikan teoritikal merupakan kritikan yang menyentuh dasar-dasar karya


berdasarkan teori. Kassim Ahmad misalnya cenderung kepada penggunaan teori
realisme sosialis dalam kritikan yang dilakukannya. Kassim Ahmad menyokong
ideologi sosialisme.

(b) Kritikan Praktikal


Kritikan praktikal berhubung dengan usaha melakukan kritikan. Setelah membaca
karya sastera seseorang itu akan menulis satu kritik yang menerangkan
penghayatannya, membuat analisis, dan penilaian. Dasar-dasar penting yang
diberi pertimbangan dalam kritikan praktikal ialah :
1. Menggunakan teks karya sastera dan mendalami aspek tertentu seperti
struktur, gambaran masyarakat, unsur moral dan sebagainya dengan tujuan
melihat keistimewaan karya berkenaan.
2. Mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Kritikan bertujuan untuk
membuktikan sama ada benar atau tidak sesuatu andaian.

3. Menjelaskan makna sastera dan cara meningkatkan mutu sastera. Tujuan


kritikan adalah untuk meningkatkan mutu hasil sastera.

4. Memerlukan latihan serta kesungguhan. Memerlukan sifat yang


objektif, adil dengan menggunakan pendekatan serta penghasilan suatu teori
baru.

Jenis-jenis Kritikan Sastera


Hasil dari kajian sejarah sastera, kritikan sastera dapat dibahagikan kepada empat
jenis atau kategori. Pembahagian ini berdasarkan kepada hubungan karya dengan
alam, pembaca, pengarang dan dengan karya itu sendiri. Jenis-jenis tersebut ialah
kritikan mitetik, kritikan pragmatis, kritikan ekspresif dan kritikan ekspresif.

Menurut M.H. Abrams ada empat unsur utama dalam meneliti karya seni. Pertama
ialah karya seperti puisi yang dicipta oleh penyair atau lukisan oleh pelukis. Kedua
ialah unsur alam kejadian ciptaan Tuhan sama ada dunia yang nyata atau ideal yang
ditiru sebagai penghasilan karya sastera. Ketiga, unsur pengarang yang
menghasilkan karya sastera. Keempat ialah khalayak seni di mana karya itu
ditujukan. Sekiranya prengkritik melihat dari perspektif alam ia menggunakan teori
mimetik. Jika di pandangan dari kesan karya terhadap peminat ia menggunakan
teori pragmatis. Manakala karya yang dilihat dari sudut penciptanya ia
menggunakan teori ekspresif dan jika dilihat dari aspek bentuk karya ia
menggunakan teori objektif. Penggunaan-penggunaan teori ini akan membentuk
jenis-jenis kritikan itu sendiri.

(a) Kritikan Mimetik


Kritikan mimetik melihat karya sebagai suatu peniruan atau cerminan (reflection).
Alam dan kehidupan manusia diceritakan dalam karya sastera. Kritikan ini melihat
sejauh mana tepatnya karya sastera itu menceritakan kembali tentang alam dan
kehidupan manusia. Tugas pengarang adalah untuk menggambarkan kejadian dan
peristiwa apa sahaja yang terjadi di dunia ini. Pengarang hanya meniru atau
menyalin semula segala riwayat alamiah. Kebenaran dilihat dari sudut bagaimana
pengarang dapat mengemukakan dengan tepat setiap apa yang berlaku dalam
karyanya. Kritikan ini bertolak dari teori peniruan yang dikemukakan oleh Aristotle.

Objek peniruan dalam kritikan mimetik ialah manusia, fikiran, emosi dengan alam
yang menjadi bahan dan pusat perbincangan. Kritikan mimetik menganalisis
mengapa bentuk dan corak hidup manusia berubah-ubah. Kritikan mimetik
mengharapkan karya sastera sebagai suatu yang bermanfaat dan berfungsi ia
bukanlah sepenuhnya peniruan alam tetapi suatu peniruan kehidupan supaya
pembaca dapat mengetahui baik buruknya gejala masyarakat.

(b) Kritikan Pragmatis


Kritikan pragmatis melihat sebuah karya sastera sebagai suatu yang dicipta dengan
tujuan memberi kesan tertentu terhadap pembacanya. Kesan-kesan yang diperlukan
seperti kepuasan estetika, pengajaran atau emosi tertentu. Kritikan ini melihat
keberkesanan karya melalui kejayaan mencapai matlamat kesan tersebut. Kritikan
ini juga mahu membuktikan kejayaan atau kegagalan pengarang dalam mencapai
motif penciptaan karyanya. Karya yang baik adalah karya yang memberikan kesan
yang mendalam, melahirkan pemikiran dan falsafah berguna serta membangkitkan
keseronokan pembaca. Kritikan pragmatis menolak karya yang tidak bermutu atau
tidak bermoral.

Kritikan pragmatis akan meneliti bahagian-bahagian eksplisit atau implisit dalam


karya yang menjadikan pembaca terpukau atau terpikat. Ia melihat segala usaha
pengarang untuk menjadikan karyanya berkesan serta dihargai pembaca. Respon
pembaca secara tidak langsung memberi kesan terhadap sesebuah karya sastera.
Oleh itu pembaca menjadi penentu bagaimana sesebuah karya itu perlu dihasilkan
untuk memenuhi kehendak dan keperluan mereka.

c) Kritikan Ekspresif
Kritikan ekspresif menghubungkan karya sastera dengan pengarang. Kritikan
ekspresif melihat karya sastera sebagai alat pengarang menyatakan emosi dan
fikiran. Karya dilihat sebagai suatu ekspresi atau pembanjiran pengucapan perasaan
atau hasil imaginasi pengarang terhadap pengamatan, fikiran dan emosi. Ia
bertujuan menilai kejujuran, ketulenan atau kesempurnaan visi pengarang dalam
karyanya. Kritikan ini akan melihat emosi dan pengalaman pengarang secara sedar
atau tanpa sedar mendedahkan dirinya dalam karya sastera.

Sastera menjadi alat seni pengucapan, pernyataan dan pencurahan idea, emosi,
pemikiran dan falsafah. Aspek-aspek yang abstrak seperti imaginasi, sensitiviti,
bakat dan kesungguhan pengarang dihurai untuk melihat unsur keunikan dan
keistimewaan karya berkenaan. Kritikan ekspresif mengutamakan keaslian,
kejujuran serta kebenaran dalam berkarya. Kritikan memberi perhatian terhadap
pengarang bagi menjamin lahirnya karya sastera yang bermutu. Karya yang unggul
mempunyai tema yang berkaitan dengan ketamadunan bangsa yang bersumberkan
aspirasi rakyat atau negara. Fikiran dan falsafah harus tersembunyi di sebalik karya
yang dihasilkan di samping menunjukkan kepintaran dan kebijaksanaan
pengarangnya.

Dasar utama pengkaryaan ialah keasilan, kejujuran dan kebenaran. Keasilan dilihat
dari sudut hasil perahan fikiran pengarang bukannya suatu yang disadur atau ditiru.
Kejujuran bermaksud keikhlasan membawa unsur didaktik dan moral serta
kebaikan dan bertepatan dengan hasrat pengarang. Kebenaran pula ialah
meletakkan sesuatu di tempat yang tepat, lurus, bertanggungjawab dan tidak
menyatakan kebatilan.

(d) Kritikan Objektif


Kritikan objektif melihat karya sastera sebagai sesuatu yang bebas dari pengarang,
pembaca dan alam. Karya sastera merupakan suatu yang istimewa dan boleh berdiri
sendiri. Karya sastera mempunyai dunia tersendiri yang perlu dianalisis dan diniali
secara intrinsik. Ia mengandungi sifat kompleksiti, hubungan dan kesatuan antara
unsur-unsur dalaman, perseimbangan dan gaya bahasa. Kritikan objektif memberi
tumpuan terhadap aspek struktur sebuah karya sastera.

Tumpuan diberikan kepada komposisi karya dan memusatkan penilaian terhadap isi
dan bentuk. Isi merupakan perbincangan di sekitar tema, persoalan, pemikiran,
falsafah, mesej, motif, dan ceritanya. Bentuk pula merupakan komponen-komponen
yang membina karya seperti plot, perwatakan, bahasa, latar, sudut pandangan, nada
dan lambang. Pengarang perlu mempunyai sensitiviti untuk mencipta isi dan bentuk
supaya ia sebati dalam satu teknik yang kemas, padu dan kukuh.

Karya sastera mempunyai kompleksitinya dan kritikan objektif melihat bagaimana


proses kompleksiti itu dibangunkan dalam karya sastera. Kompleksiti dilihat
daripada susunan plot yang penuh suspen, dilema, atau ironi. Ia juga dapat
ditimbulkan dalam pelukisan watak yang penuh aksi, dramatik dan komplikasi,
serta penggunaan bahasa yang padat dan berkesan. Pengarang tidak memilih jalan
mudah untuk menyatakan sesuatu tetapi mengeksploitasi segala daya kreatifnya
supaya karya sastera itu mampu melahirkan estetikanya tersendiri. Unsur ekstrinsik
ditinggalkan dalam penilaian karya agar ia benar-benar dapat memberi
pertimbangan yang saksama kepada pengarang.