Anda di halaman 1dari 4

Pengurusan: Definisi, Sejarah

dan Konsep Siri 1


Pentadbir Universiti / January 7, 2008
Oleh: Mohammad Fauzi

Pendahuluan
Dalam dunia yang serba moden ini, aspek pengurusan adalah satu perkara yang tidak
dapat dipisahkan dari manusia. Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan
perkembangan manusia dan komuniti disekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dari pengurusan
sebuah keluarga, komuniti atau organisasi hinggalah kepada pengurusan sebuah negara.
Pengurusan sering dikaitkan dengan pentadbiran dan apabila memperkatakan tentang
konsep pengurusan pasti mencakupi 3 elemen utama iaitu pengurus , organisasi dan tatacara
atau garis panduan pengurusan.
Ketiga-tiga elemen ini bergantung antara satu sama lain dan mempunyai hubungkait yang
seimbang. Pengurusan dikendalikan oleh pengurus yang adakalanya bertindak sebagai
master-mind dan pada satu keadaan yang lain pengurus juga bertindak sebagai pelaksana.
Sebagai master-mind, pengurus bertindak memimpin kelompok subordinat yang bertindak
menterjemah segala visi, misi dan objektif dalam bentuk perlaksanaan yang akan dijalankan
mengikut jadual perancangan yang digariskan. Usaha untuk mengarah dan memantau
perkembangan proses perlaksanaan dikendalikan oleh pengurus dengan dengan pendekatan
yang subjektif berdasarkan gaya kepimpinan dan kemampuan memanipulasikan kebolehan
berkomunikasi yang unik dan tersendiri.
Sebagai pelaksana pula, pengurus bertindak membimbing dan pada masa yang sama
bergerak seiring bersama subordinat untuk melaksanakan visi, misi dan objektif yang telah
ditetapkan.
Sama ada sebagai master-mind mahupun pelaksana pengurus harus bertindak
berdasarkan tatacara dan garis panduan yang ditetapkan. Garis panduan atau tatacara
berkenaan sama ada berasaskan contoh dan garis panduan dari organisasi lain, mahupun idea
pengurus itu sendiri, ataupun ia digubal dengan persetujuan kolektif antara pengurus dan
subordinat.
Pengurus biasanya mempunyai kuasa bagi membolehkannya melaksanakan
tanggungjawabnya mengemudi organisasi di samping menjalankan fungsinya mengetuai
subordinatnya. Kuasa diperolehi samada sumber perundangan sepertimana yang ditetapkan
oleh perlembagaan yang digubal semasa organisasi ditubuhkan atau kuasa diberikan dengan
persetujuan kolektif semua ahli dalam organisasi tersebut. Kuasa yang ada pada pengurus
secara idealnya dibayangi oleh etika yang sekiranya dikendalikan dengan baik dan
menghormati the spirit of ethic akan menjadikan pengurus dilihat mengemudi organisasinya
dengan adil, penuh hormat dan berwibawa.
Definisi
Secara umumnya pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan
proses kerja yang terancang melalui dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur dan
mempunyai garis panduan tertentu.
Kata kerja mengurus (management) berasal dari bahasa Itali maneggiare iaitu
menangani dan kata nama ini diterbitkan daripada perkataan Latin manus
(tangan). Perkataan bahasa Perancis mesnagementtelah banyak mempengaruhi
perkembangan maksud perkataan Bahasa Inggeris management pada abad-abad ke 17 dan
18.
Merujuk kepada Ensiklopedia Bebas Wikipedia, pengurusan terdiri daripada
pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau
lebih orang atau entiti untuk tujuan menyelaraskan dan mengharmonikan
kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia seringya merangkumi
sumber sumber manusia, kewangan, teknologi serta juga sumber semula jadi.
Pengurusan juga boleh merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang
menjalankan fungsi pengurusan.
Mary Parker Follet (1868 -1933) menyatakan bahawa pengurusan adalah sebagai
seni untuk mencapai sesuatu melalui orang lain. Free-Content
Encyclopedia Wikipedia menyatakan pengurusan boleh ditakrifkan berdasarkan fungsinya
sebagai tindakan untuk mengukur sesuatu kuantiti pada tempoh-tempoh yang tetap
dan berdasarkan kepentingan, mengubahsuai rancangan asal ataupun tindakan
untuk mencapai maklumat yang dirancang.
James A.F Stoner & Charles Wienkel menyatakan bahawa pengurusan adalah
proses merancang, mengorganisasi , memimpin dan mengawal daya usaha
anggota organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain dalam organisasi bagi
mencapai matlamat organisasi yang ditetapkan.
Wan Azmi Ramli merumuskan pengurusan adalah aktiviti perancangan dan pergerakan
atau panduan oleh sesuatu perusahaan atau organisasi berhubung dengan segala kaedah-
kaedah, peraturan-peraturannya, juga tanggungjawab dan tugas-tugas kakitangannya itu.
Sejarah Awal Pengurusan
Secara umumnya sejarah pengurusan bermula seiring dengan perkembangan manusia
dari sebuah keluarga yang besar dan membentuk sebuah perkampungan dan komuniti yang
melibatkan pengurusan kawasan setempat dan akhirnya pembentukan dan pengurusan sebuah
negara bangsa.
Mana-mana tamadun yang wujud di dunia pasti dikaitkan dengan sistem pentadbiran dan
kaedah pemerintahan yang membolehkan ketua negara dan dinastinya meneruskan
kesinambungan sebuah tamadun hingga ke saat akhirnya. Dengan adanya sistem pengurusan
mereka mampu menguruskan perbendaharaan serta mengawal hasil mahsul negara,
mengekalkan keadilan dengan pengurusan sistem dan badan kehakiman dan pengurusan ke
atas upacara keagamaan atau adat istiadat rasmi di istana.
Seawal 8000 SM para paderi dari Ur telah menyimpan rekod aktiviti perniagaan, rekod
lain dan peraturan pengurusan di atas kepingan tanah liat yang dibakar. Tamadun Sumeria
mempunyai sistem demokrasi yang amat tersusun berdasarkan teks-teks yang ditemui di Telloh
(Lagash) dab Fara (Shurappak). Sumber tenaga kerja didaftarkan dan kemudian dibahagi-
bahagikan dalam pelbagai badan awam. (Sivachandralingam & Ayadurai)
Raja Hammurabi dari Babylon pula memperkenalkan kod Hammurabbi yang
mengandungi 285 undang-undang yang turut merangkumi perkara-perkara yang berkaitan
dengan peraturan pengurusan, perdagangan dan kewangan.
Di Mesir, dinasti yang memerintah kerajaan Mesir Tua dengan diketuai oleh Firaun dan
pembesar-pembesarnya menyimpan rekod pengurusan pembinaan pyramid, sphinx dan
pelbagai kompleks makam mereka di atas daun papyrus yang telah diproses. Pembinaan
piramid setinggi 20 hingga 25 tingkat dengan 2.5 juta blok batu ini memerlukan sistem
pengurusan yang cekap dan sistematik untuk menguruskan kira-kira 100 000 orang pekerja
setiap masa.
Sistem pengurusan Negara kota dalam Tamadun Yunani pula mempamerkan sistem
pentadbiran Negara yang tersusun. Plato mengutarakan pendapatnya dalam bukunya Law,
bahawa setiap kota secara idealnya mempunyai 5040 orang. Athens yang merupakan salah
satu negara kota Yunani yang terkenal ditadbir berdasarkan sistem ala republik. Pemerintahan
Athens dikendalikan oleh 3 buah institusi iaitu Dewan Perhimpunan, Majlis, Majistret & Juri.
(Sivachandralingam & Ayadurai)
Maharaja Diolectian dari Rom (248M) telah menyusun semula pentadbiran Rom bagi
membolehkannya mengawal keseluruhan empayar Rom yang luas dan terbentang dari Asia
Barat hingga ke Eropah. Melalui kaedah pengurusannya, beliau membahagi-bahagikan
empayarnya kepada beberapa daerah dan diketuai oleh seorang gabenor. Gabenor ini
diberikan kuasa pemerintahan yang melibatkan hal-ehwal awam kecuali kuasa ketenteraan dan
model Diolectian ini mirip sistem organisasi dan kerajaan berpusat. (Jaafar, Mohd Hizam &
Zafir)
Tokoh-Tokoh Pemikir Dalam Bidang Pengurusan
Tokoh-tokoh awal yang menyumbang idea tentang pengurusan dengan mengutarakan
pendapat yang menyatakan bahawa menjadi satu perkara yang umum bagi mana-mana
pemimpin pada zaman itu memimpin organisasi mereka secara autokratik. Misalnya Adam
Smith dalam bukunya The Wealth of Nation (1776) memberikan sumbangan dan
pandangannya terhadap konsep pengurusan ekonomi dan sains politik. Charles Babbage
memperkenalkan prinsip pembahagian dan pengkhususan kerja melalui pengeluaran produk
melalui jabatan-jabatan yang dikhususkan dengan fungsi tertentu dan mengutarakan idea
penubuhan line of production dengan penetapan fungsi kerja yang rutin.
Para pengkaji bidang pengurusan pasti biasa dengan seorang tokoh bernama Frederick
Taylor yang digelar bapa pengurusan saintifik. Antara karya Frederick Taylor mengenai
pengurusan yang terkenal adalah Shop Management (1912), Principles of Scientific
Management dan pernah membentangkan testimoninya di hadapan Jawatankuasa Dewan
Khas pada tahun 1912 (Harold Koontz & Heinz Weirich). Frederick Taylor memperkenalkan
sistem ganjaran bagi pekerja yang telah memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh
organisasi masing-masing. Melalui konsep pengurusan yang diperkenalkan oleh Frederick
Taylor, pekerja yang tidak memenuhi piawaian dan sasaran yang ditetapkan akan disingkirkan
dari sistem kitaran kerja setelah berada dibawah pengawalan dalam jangka masa tertentu .
Frederick Taylor turut memperkenalkan sistem waktu rehat berjadual bagi membantu
mengurangkan kepenatan bekerja.
Henry Gantt pula membuat kajian ke atas teori yang diperkenalkan oleh Frederick Taylor
dan mendapati teori ini kurang memberikan penekanan terhadap aspek kemanusiaan. Henry
Gantt yang terkenal dengan sistem Carta Gantt memberikan penekanan terhadap perincian
dalam jadual tugasan dan amat relevan hingga kini bagi membolehkan pengurusan
menetapkan sasaran dan tarikh akhir (date-line) bagi setaip tugasan. Henry Gantt turut
memperkenalkan sistem bonus bagi pekerja yang melepasi sasaran tugasan yang ditetapkan
secara harian. Beliau turut menekankan kepentingan latihan dala memahirkan kakitangan
dalam menjalankan tugas.
Frank & Lillian Gilbreths pula banyak memberikan sumbangan dalam kajian tentang
gerakan pengurusan saintifik. Melalui buku tulisan mereka bertajuk The Psychology of
Management (1912), Lilian telah memberikan penekanan tentang aspek kebajikan pekerja
secara individu selain hasil hipotesis atas kajiannya tentang kelesuan dan gerakan kerja. Frank
memberikan tumpuan ke atas kajian yang menjurus kepada teknikl yang sesuai untuk
meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kelesuan dikalangan pekerja akibat tekanan dan
tempat kerja yang tidak kondusif.
Henry Fayol dianggap sebagai pemikir Teori Pengurusan Moden dan antara karya beliau
yang terkenal adalah Administration Industrielle et Generale (1916). Beliau memberikan
penekanan kepada fungsi organisasi. Menurutnya fungsi organinasi ini haruslah mantap dan
berkemampuan untuk menggerakkan organisasi untuk mencapai objektif yang ditekankan.
Henry Fayol memperkenalkan 14 prinsip pengurusan yang wujud dalam sesebuah organisasi
seperti berikut:-
1. Pembahagian Kerja
2. Autoriti & Kewibawaan
3. Disiplin
4. Penyelarasan Arahan
5. Seorang Ketua Bagi Satu Organisasi
6. Mementingkan Kehendak Masyarakat Daripada Kehendak Individu
7. Ganjaran Berbentuk Gaji
8. Pemusatan Kerja/Kuasa
9. Hirarki
10. Kebolehan Sesuai Dengan Tugas
11. Persamaan
12. Kestabilan Kerja
13. Inisiatif @ Daya Usaha
14. Espirit De Coup