Anda di halaman 1dari 2

Kemajuan sains dan teknologi lebih banyak mendatangkan keburukan

daripada kebaikan.

Zaman sekarang dikenali sebagai zaman sains dan teknologi kerana


terciptanya pelbagai hasil ciptaan yang canggih dan berteknologi tinggi seperti
komputer dan internet, alat-alat elektrik, kenderaan dan sebagainya. Setiap ciptaan
ini ada kebaikan dan juga keburukannya.

Pendapat bahawa kemajuan sains dan teknologi lebih banyak mendatangkan


keburukan daripada kebaikan sememangnya berasas. Cuba kita lihat selepas
terciptanya pelbagai kenderaan, dunia kita mula dilanda pelbagai nahas seperti
kemalangan jalan raya dan nahas udara yang telah mengorbankan banyak nyawa
manusia.

Selain daripada itu, penciptaan pelbagai jentera dan robot dalam perindustrian
membawa akibat berlakunya pengangguran. Kemajuan sains telah merampas
periuk nasi beribu-ribu orang pekerja kerana kerja-kerja yang dahulunya dilakukan
oleh manusia kini dapat dijalankan oleh jentera dan robot.

Dengan kemajuan sains dan teknologi, manusia mencipta senjata-senjata


moden, misalnya senjata nuklear yang sangat berbahaya. Senjata-senjata ini jauh
lebih canggih daripada senjata-senjata zaman dahulu dan dapat membunuh
manusia dengan lebih mudah dan cepat. Senjata-senjata ini menjadi alasan bagi
sesetengah negara untuk bersengketa sehingga berlakunya peperangan.

Di samping itu, penciptaan peralatan moden ini merupakan salah satu punca
manusia menjadi semakin malas. Manusia masa kini kurang bergerak dan kurang
menggunakan tenaga. Ini secara tidak langsung menyebabkan manusia kurang
melakukan senaman dan akibatnya, manusia mudah diserang penyakit.

Adanya pelbagai ciptaan yang canggih seperti internet dan komputer


menyebabkan manusia menjadi leka kerana asyik melayari laman web atau
bermain permainan komputer. Masa yang terluang terbiar begitu sahaja tanpa diisi
dengan kerja-kerja lain yang lebih berfaedah. Akibatnya, pelbagai kerja tertunda
atau tergendala.

Satu lagi keburukan yang dibawa oleh kemajuan sains dan teknologi ialah
bertambahnya jenayah siber. Bagi mereka yang mahir dan mempunyai
pengetahuan teknologi yang tinggi, mereka dapat menjalankan aktiviti penyipuan
dengan mudah seperti mencipta kad kredit palsu atau menipu orang ramai dengan
penyebaran maklumat palsu melalui internet. Semuanya semata-mata kerana
perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi yang tidak pernah berlaku
pada masa dahulu.

Sebagai kesimpulan, walaupun ciptaan pelbagai peralatan moden mendatangkan


banyak kebaikan, namun pada masa yang sama ia mendatangkan lebih banyak
keburukan kepada manusia. Justeru, untuk mengimbangi kesan positif dan negatif
yang dibawa oleh kemajuan sains dan teknologi, kita sebagai pengguna harus
menggunakan setiap hasil ciptaan tersebut dengan cara yang betul dan tujuan yang
baik.