Anda di halaman 1dari 2

PERUTUSAN TAHUN BARU 2008

KETUA PESURUHJAYA
PERSATUAN PANDU PUTERI MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan


Salam Kepanduan.

Tahun 2007 telah meninggalkan kita dengan seribu


kenangan manis dan perkembangan yang positif dalam
Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Kita semakin dewasa
jika diukur dari segi umur kepanduan yang telah
mencapai 90 tahun di negara ini. Justeru, sewajarnya
persatuan kita semakin matap dan kukuh khasnya dalam
program dan aktiviti yang dilaksanakan di semua
peringkat.

Tahun 2008, merupakan tahun yang bersejarah bagi


saya sebagai Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu
Puteri Malaysia kerana di pertengahan tahun ini tempoh
jawatan saya akan sampai ke penghujungnya. Sejak
saya memegang jawatan ini pada bulan Jun 2003, pelbagai perkembangan telah
berlaku. Saya berasa amat bertuah, kerana semasa menjadi Ketua Pesuruhjya kita telah
diberi penghormatan untuk terlibat dalam Signature Programme Volunteerism, yang
bukan sekadar mendapat dana dari The UPS Foundation dan Persatuan Pandu Puteri
dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS), malah telah membawa perubahan yang
besar dalam persatuan. Pencapaian yang paling besar ialah keahlian kita telah
bertambah dari 60, 509 orang pada tahun 2004 kepada 83,746 orang pada akhir tahun
2007, pertambahan sebanyak 38% dalam masa empat tahun.

Bersama-sama kita telah membawa persatuan ke mercu kejayaan dan hari ini
Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan cawangan-cawangannya begitu dikenali hasil dari
pelbagai program dan aktiviti yang telah kita laksanakan bersama. Terima kasih dan
setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan dan
sumbangan untuk menjayakan setiap program dan aktiviti yang dijalankan.

Sempena tahun baru ini, marilah sama-sama kita melihat kembali ke dalam diri kita
tentang peranan dan tanggungjawab kita sebagai seorang ahli kepanduan. Saya ingin
mengajak semua ahli kepanduan tidak kira umur, pangkat dan kedudukan untuk
merenung kembali kandungan undang-undang kepanduan, agar kita dapat
memantapkan diri sebagai seorang ahli kepanduan dan juga sebahagian dari modal
insan yang akan menjayakan wawasan dan aspirasi negara yang tercinta.

Setiap kandungan undang-undang kepanduan bertujuan membentuk diri kita menjadi


insan yang sentiasa bersyukur dan menghargai segala kemudahan yang ada di
sekeliling kita. Di samping itu, undang-undang kepanduan juga mengajak kita untuk
menjadi insan yang luhur budi bahasa, bersifat mulia, sentiasa menghormati antara satu
sama lain serta suci dalam fikiran, perkataan dan perbuatan. Inilah keistimewaan kita
sebagai seorang Pandu Puteri. Kita semua seharusnya mempamerkan setiap sifat yang
diungkapkan dalam undang-undang kita dalam kehidupan seharian kita. Dengan
perkata lain, undang-undang kepanduan ini, sewajarnya dijadikan amalan dalam
kehidupan seharian. Adalah amat tidak wajar, sebagai seorang Pandu Puteri kita
berfikiran sempit dan negatif. Sebaliknya, sebagi ahli kepanduan kita mestilah sentiasa
1
bersemangat dan bergembira dalam apa jua keadaan. Sikap mementingkan diri dan
berdendam tidak seharusnya ada dalam diri kita sebagai seorang Pandu Puteri.

Hari ini kita telah berjaya menjulang martabat kepanduan di mata masyarakat negara
kita. Justeru kita semua perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk terus menjulang
nama Persatuan Pandu Puteri Malaysia agar dapat terus wujud dan menjadi pilihan
utama generasi muda di negara ini. Kekuatan yang sedia ada dalam persatuan ini yang
menjadikan perpaduan dan rasa hormat menghormati dan sentiasa sedia memberi
pertolongan sebagai asas yang penting perlu menjadi pegangan demi masa depan kita.

Tahun 2008 ialah tahun untuk Pandu Puteri Kadet, Pandu Puteri Siswi dan Pandu Puteri
Dewasa. Sehubungan itu, kami telah memilih tema Membina Jati Diri Wanita Muda.
Ini kerana Persatuan Pandu Puteri Malaysia ingin mengupayakan ahli muda kami untuk
mengenali dan memperkembangkan potensi masing-masing.

Pelbagai program telah dirancang pada tahun ini untuk memberi peluang kepada ahli
muda meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam kepimpinan, kesukarelaan dan
profesionalisme. Antaranya ialah Seminar Menjana Dana pada akhir bulan Januari,
Seminar Kesetiausahaan pada bulan Februari, Lawatan Menghulur Bantuan di
Cambodia pada bulan Mac, Seminar Profesional Muda bulan April, Seminar Dato
Hendon bulan Mei, Persidangan Pesuruhjaya bulan Jun, Perkhemahan Pandu
Puteri Remaja Kebangsaan pada bulan Ogos, Khidmat Hospital pada bulan Oktober,
dan Perhimpinan Kejurulatihan serta Girls Summit pada bulan November dan
Disember.

Program-program ini juga bertujuan membina nilai dan sikap yang positif di kalangan
ahli. Asas program yang menekankan perkembangan jasmani, emosi, kerohanian dan
kognitif ini sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia dalam pembangunan insan dan
memupuk Towering Personality di kalangan rakyat Malaysia.

Pada bulan Julai, satu delegasi dari Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan menghadiri
Persidangan Dunia WAGGGS di Afrika Selatan. Delegasi kali ini pergi ke Persidangan
Dunia Ke-33 ini dengan misi yang penting iaitu Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan
membida untuk menjadi Tuan Rumah Persidangan Dunia WAGGGS Ke-34 yang
akan diadakan pada tahun 2011 nanti.

Kejayaan kami menganjurkan Persidangan Rantau Asia Pasifik Ke-9 pada tahun lepas
memberi keyakinan kepada kami untuk mencuba kemampuan kami dalam
menganjurkan acara bertaraf dunia. Kami berharap pengelolaan acara dunia di Malaysia
akan memberi peluang kepada anak muda kita mempelajari tentang kepanduan di
peringkat dunia serta memperkaya pengetahuan mereka tentang masyarakat dan
budaya negara lain. Ini seterusnya boleh memberikan inspirasi kepada generasi muda
untuk terus bergiat dalam kepanduan dan kesukarelaan.

Semoga semua ahli kepanduan akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang di
sepanjang tahun 2008.

Sekian, terima kasih

SALBIAH BINTI ABDUL AZIZ


Ketua Pesuruhjaya
Persatuan Pandu Puteri Malaysia

1 Januari 2008

Anda mungkin juga menyukai