Anda di halaman 1dari 20

Manusia yang berminda kelas pertama ialah mereka yang sentiasa menajna mindanya

melalui empat cirri utama, iaitu kesedaran kendiri, ingin tahu (curiosity), focus dan
inisiatif.
-Jim Canterucci (2005)
-Personal Brilliance: Mastering the Everyday habits that Create a Lifetime of Success

Berdasarkan pernyataan di atas, sebagai pendidik bagaimanakah anda berusaha memupuk


minda kelas pertama dalam kalangan anak didik anda?

Ringkasan Eksekutif

Para pendidik hari ini telah memainkan peranan penting di dalam


merealisasikan aspirasi negara. Pendidik merupakan ejen kepada keberkesanan
pendidikan. Di tangan pendidik sendiri, martabat profesion perguruan dapat
ditingkatkan dengan memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab
terhadap pelajar, ibu bapa, masyarakat, negara, rakan sejawat dan
tanggungjawab terhadap profesion perguruan itu sendiri. Termasuk dalam hasrat
ini ialah peranan guru bagi memupuk minda kelas pertama dalam kalangan
pelajar. Melalui ciri kesedaran kendiri, pendidik perlu menanamkan mentaliti dan
pemikiran serta tindakan bahawa Minda Kelas Pertama perlu wujud dalam diri
sendiri terlebih dahulu seterusnya Minda Kelas Pertama kita adalah
penyumbang ke arah mewujudkan jaringan terhadap mentaliti dalam kalangan
anak didik. Sehinggalah jaringan ini membentuk budaya masyarakat
membangun dari dua aspek pembangunan fizikal dan juga mental. Menyenuh
ciri fokus, sebagai warga pendidik perlu memfokuskan terhadap segala
perubahan minda, sikap dan nilai budaya dalam kalangan pelajar. Fokus
terhadap perubahan ini perlu agar pendekatan pembelajaran khusus dapat
diambil bagi menangani implikasi fenomena dan perubahan baru ini terhadap
kehidupan masa hadapan anak-anak pelajar. Sekurang-kurangnya dengan fokus
tersebut, sebagai warga pendidik boleh mengenal pasti ilmu dan kemahiran baru
pengalaman dan aspek kemanusiaan yang wajar diutamakan dalam
melaksanakan fungsi keguruan. Dalam usaha mewujudkan pelajar yang
bermentaliti kelas pertama, fikiran pelajar tidaklah boleh dikongkong sama sekali
kerana budaya ingin tahu (curiosity) dalam kalangan pelajar adalah begitu tinggi
dan tidak harus disekat sama sekali untuk mereka mencapai akses maklumat
tersebut. Sebagai pendidik perlu memupuk budaya bertanya soalan dan
berbahas secara ilmiah bersama pelajar. Keperihatinan para pelajar terhadap
perkembangan sosial dan politik negara adalah sesuatu yang perlu disemai
kerana ini adalah satu proses yang cukup penting untuk melahirkan sebuah
masyarakat yang berpengetahuan, mempunyai kesedaran sivik dan demokrasi
yang matang. Peluang dan akses kepada pendidikan perlulah dijadikan sebagai
satu agenda yang dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan
global. Akhir sekali inisiatif kerana sebagai pendidik perlu mengambil inisiatif dan
berusaha untuk mengaplikasi kaedah-kaedah pengajaran dan pendidikan terkini
dalam usaha memupuk minda kelas pertama dalam kalangan pelajar. Hasrat ini
juga boleh dicapai dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan
oleh pihak-pihak berwajib agar dapat mempertingkatkan keupayaan, ketahanan
dan prestasi bagi mendepani cabaran yang semakin kompleks ini.

1.0 Pengenalan

Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma

dalam setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting dalam melahirkan

modal insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan serta

mempunyai minda kelas pertama. Secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan

dengan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran, penyampaian

ilmu dan juga penerapan nilai. Modal insan minda kelas pertama sering dikaitkan

dengan taraf pendidikan seseorang tetapi tidak semestinya bergantung kepada

faktor pendidikan. Nilai modal insan juga bergantung kepada pemilikan ilmu dan

kemahiran yang bergantung kepada situasi atau konteks persekitaran.

Dalam pembentukan yang praktikal, hasil pendidikan seharusnya dapat


melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama yang mampu

mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki

dalam kehidupan seharian.

Oleh yang demikian, peranan guru pada hari ini akan mampu

menyediakan generasi modal insan minda kelas pertama. Justeru, dalam

memastikan pencapaian misi dan visi negara untuk melahirkan sumber manusia

yang mempunyai minda kelas pertama dan kualiti bertaraf dunia, sebagai

seorang pendidik, pengamalan nilai-nilai integriti amatlah penting dalam

melahirkan generasi insan minda kelas pertama kerana kita membayangkan

betapa dengan implikasi modal insan ini akan menjanjikan sebuah tamadun yang

Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Untuk mempersiapkan diri mengambil

bahagian dalam masyarakat dan misi negara, pembangunan modal insan

bermutu tinggi menjadi salah satu keperluan yang dahulunya mungkin hanya

dianggap sebagai suatu kemewahan. Maka, pembangunan modal insan ini pula

memerlukan kepada Minda Kelas Pertama supaya elemen mikro dalam

masyarakat ini memberi implikasi makro terhadap pembangunan negara (Zaini

Ujang :2008).

Minda Kelas Pertama difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu

memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan

dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap

proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama


dan pembangunan yang bersifat holistik. Inilah yang boleh dilabelkan sebagai

agenda pembangunan tamadun dengan acuan imej tersendiri ( Zakaria Ahmad :

2006).

Minda Kelas Pertama merupakan cetusan idea YAB Dato Seri Abdullah

Ahmad Badawi dalam satu ucapan beliau pada 06 Mac 2003 berhubung konsep

fisrt world infrastructure, but third world mentality dan menjadi teras ke-2 dalam

Misi Nasional untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara

serta memupuk minda kelas pertama. Seterusnya konsep minda kelas pertama

telah diutarakan oleh YAB Perdana Menteri semasa membentangkan

Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Minda Kelas Pertama akan menghasilkan

kerja kelas pertama. Hal ini bermakna kerja kelas pertama bermula dengan

individu yang memiliki pemikiran, emosi, perlakuan, sikap dan spiritual (Zakaria

Ahmad : 2006).

Minda Kelas Pertama adalah agenda jangka masa panjang yang

memerlukan segenap usaha serta komitmen daripada setiap peringkat

masyarakat. Setiap etnik, kelas sosial, komuniti dan institusi perlu mengambil

bahagian dalam merealisasikan misi ini. Usaha perlu dimulakan dengan azam

yang kuat bagi memulakan era pembudayaan agenda ini. Tiga strategi utama

untuk melahirkan modal insan kelas pertama adalah melalui peningkatan

terhadap keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan; pengukuhan


keupayaan sains, R&D dan inovasi, dan pembentukan masyarakat berbudaya

dan memiliki kekuatan moral ( Zakaria Ahmad : 2006 ).

1.1 Kesedaran Kendiri

Melihat strategi penguasaan ilmu pengetahuan, sebagai seorang

pendidik perlu membudayakan kesedaran kendiri dengan melihat kesediaan diri

sendiri dalam memiliki kemantapan informasi serta kemahiran. Budaya

membaca, sumbangan ilmu, teknologi maklumat dan prointelektual adalah

budaya yang sangat menyumbang ke arah strategi ini. Seterusnya dengan

penguasaan ilmu ini, kita akan semakin terdedah kepada bidang sains, R&D dan

inovasi yang juga sebagai salah satu output penghasilan Minda Kelas Pertama.

Keperluan dan cabaran global hari ini adalah berpaksikan kepada aset modal

insan yang berpengetahuan serta berinovasi tinggi. Dunia kini tidak mengenal

siapa yang kaya dengan sumber fizikal, kedudukan strategik dan usia tamadun

semata-mata. Tetapi adalah memandang kepada kualiti modal insannya yang

menjadi peneraju kekayaan dan potensi negara.

Dalam perjalanan mencapai kemajuan serta membina tamadun, kita

semua mempercayai tentang bayaran erti kemajuan. Apakah benar bahawa

pembangunan sesebuah tamadun itu semestinya disertai dengan kejatuhan

moral masyarakatnya?
Inilah yang ditekankan dalam misi nasional dengan mengambil kira aspek

kekayaan moral agar masyarakat kita membangun tamadun melalui Minda

Kelas Pertama. Misi nasional ini saya lihat dengan memetik daripada teks

pembentangan Rancangan Malaysia ke-9 dalam perenggan 11.02 iaitu:

Modal insan negara yang berkualiti merupakan elemen paling


kritikal dalam mencapai Misi Nasional. Oleh itu pembangunan
modal insan akan menjadi teras utama pembangunan dalam
tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).
Pembangunan modal insan akan dilaksanakan secara holistik
merangkumi pemerolehan pengetahuan dan kemahiran atau modal
intelek termasuk keupayaan keusahawanan dan pengetahuan
sains dan teknologi( S & T ) serta memiliki sikap, nilai dan etika
positif dan progresif melalui pendidikan, latihan dan pendidikan
sepanjang hayat.

Justeru, kita tidak hanya memandang pembangunan fizikal semata-mata sebagai

ukuran kemajuan sesebuah masyarakat. Acuan kita adalah pembangunan fizikal

yang disertai dengan kekayaan mentaliti masyarakatnya. Apa gunanya

pembangunan jika dalam masa yang sama masih banyak lagi timbul elemen-

elemen yang boleh menjejaskan pembangunan itu semula. Kekayaan moral

bukanlah suatu skop kelebihan yang kecil dalam pembangunan insan. Tetapi

adalah meliputi aspek akhlak mulia, nilai murni, budi bahasa, integriti, beretika
dan mengikut norma-norma sebagai masyarakat timur. Norma adalah peraturan

masyarakat mengenai tingkah laku yang betul dan salah. Budaya pula adalah

merangkumi cara hidup sesebuah masyarakat secara asli atau tersendiri yang

bukan tiruan. Budaya seterusnya akan membentuk tamadun. Sesebuah

masyarakat boleh dilabelkan sebagai berbudaya dan bertamadun dengan

menjadikan cara hidup timur sebagai imej tersendiri.

Imej masyarakat kita adalah kaya dengan norma-norma istimewa yang

kebanyakannya selari dengan hukum agama. Norma dan budaya ini perlulah

dipertahankan untuk membentuk Minda Kelas Pertama dalam kalangan pelajar

hari ini. Dalam perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar ini,

sebagai seorang ahli dalam profesion perguruan saya akan menerapkan kepada

pelajar dengan amalan nilai murni dan akhlak yang terpuji. Dalam kurikulum

pendidikan, telah ditegaskan nilai-nilai murni yang perlu diserapkan kepada

pelajar dalam pengajaran. Penerapan nilai murni ini penting untuk menyediakan

modal insan yang berkualiti, menjadi warga yang berguna kepada bangsa dan

negara

Selain itu, melalui kesedaran kendiri juga kita perlu menanamkan mentaliti

yang sentiasa berlegar dalam pemikiran serta tindakan kita bahawa Minda Kelas

Pertama perlu wujud dalam diri sendiri terlebih dahulu. Seterusnya Minda Kelas
Pertama kita adalah penyumbang ke arah mewujudkan jaringan terhadap

mentaliti dalam kalangan anak didik kita. Sehinggalah jaringan ini membentuk

budaya masyarakat membangun dari dua aspek pembangunan fizikal dan juga

mental. Permulaannya adalah azam bagi memulakannya melalui kesedaran

kendiri. Menurut Badrusham (2008) para pendidik juga mesti sedar bahawa

profesion mereka bukan sahaja mengajar tetapi terlibat sebagai pentadbir,

pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya.

Untuk itu, para pendidik harus melaksanakan anjakan dengan membetulkan

yang biasa dan membiasakan yang betul. Menyedari betapa besarnya

tanggungjawab membimbing pelajar untuk mencapai kemajuan dan wawasan,

sebagai pendidik saya perlu memiliki kesedaran kendiri untuk melaksanakan

tanggungjawab seperti:

1. Tanggungjawab terhadap pelajar seperti mengutamakan kebajikan dan

keselamatan pelajar, bersikap adil, serta memupuk nilai murni.

2. Tanggungjawab terhadap ibu bapa seperti mewujudkan hubungan mesra,

menghormati mereka, tidak dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan

ekonomi mereka dan memberi maklumat kepada mereka untuk

kepentingan anak-anak mereka.


3. Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara seperti mengelak dari

menyebar perkara negatif, menghormati masyarakat setempat serta

menggalakkan kerjasama dan persefahaman.

4. Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion seperti mengelak dari

membuat kenyataan negatif, tidak melibat diri dalam kegiatan yang

menjejaskan kepercayaan masyarakat serta membantu rakan sejawat.

Strategi pembangunan modal insan atau sumber manusia seperti

disarankan dalam RMK-9 seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh dan

holistik. Sebab itulah kerajaan melabur secara besar-besaran dalam bidang

pendidikan supaya manghasikan nilai tambah kepada negara dalam jangka

masa panjang (Hishamuddin:2008). Bagi mencapai agenda negara itu,

pendidikan menjadi wahana utama. Pelajar di semua peringkat perlu dididik

dengan sempurna. Dalam hal ini warga pendidik adalah golongan di barisan

paling hadapan dalam usaha membina generasi masa depan Malaysia yang

cemerlang, gemilang dan terbilang.

1.2 Fokus

Generasi yang ingin kita lahirkan ialah generasi yang mengamalkan

pendidikan sepanjang hayat kerana kekuatan sesebuah negara semakin

bergantung kepada keupayaan penduduknya menjana daya intelektual.


Gelombang globalisasi yang mewujudkan perkampungan sejagat, merancakkan

perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat dan menyemarakkan k-

ekonomi turut mengubah landasan profesional keguruan. Oleh itu, tugas

mendidik pelajar hari ini menjadi semakin sukar dan mencabar. Sebagai guru

saya mesti berdepan dengan begitu banyak permintaan dan harapan tinggi ibu

bapa, masyarakat dan negara. Sebagai warga pendidik, saya akan

memfokuskan perubahan berkenaan dan kesannya terhadap minda, sikap dan

nilai budaya dalam kalangan pelajar. Saya akan mengambil pendekatan

pembelajaran khusus bagi menangani implikasi fenomena dan perubahan baru

ini terhadap kehidupan masa hadapan anak-anak pelajar. Sekurang-kurangnya

dengan fokus tersebut, sebagai warga pendidik saya boleh mengenal pasti ilmu

dan kemahiran baru pengalaman dan aspek kemanusiaan yang wajar

diutamakan dalam melaksanakan fungsi keguruan sejajar dengan tuntutan dan

perubahan terkini, khususnya dalam menghadapi gelombang globalisasi yang

amat mencabar ini.

Dalam sistem ekonomi misalnya, dan kaedah urusniaga perdagangan yang

berubah menjadi perdagangan dalam talian atau e-dagang yang mewujudkan

pasaran lebih terbuka dan persaigan sengit. Melalui jaringan ini, berjuta

maklumat boleh merentas sempadan negara di seluruh dunia dalam sekelip

mata. Begitu juga dengan pelbagai wacana dan bahan hiburan. Situasi ini

mendedahkan pelajar kepada nilai dan kebudayaan asing termasuk budaya


sensasi dan hedonisme iaitu mementingkan kepuasan jasmani. Penyebaran

bebas filem asing melalui internet dan rangkaian sistem pemancaran satelit

semakin mengubah aspirasi dan tatasusila kehidupan berkeluarga, mengancam

keharmonian budi pekerti dan tata susila kehidupan berkeluarga, bermasyarakat

dan bernegara.

Malah, banyak lagi fenomena dan perubahan yang tidak boleh diabaikan

begitu sahaja kerana implikasinya kepada kehidupan masa depan pelajar cukup

mendebarkan. Justeru, tugas guru menjadi semakin sukar kerana

perkhidmatannya berkait rapat dengan personaliti, bina insan dan hubungan

kemanusiaan. Pada hemat saya dalam konteks ini, sebagai guru mestilah

mampu memberi tumpuan atau fokus untuk mengimbangi antara kehendak

masyarakat dengan tanggungjawab hakikinya sebagai pendidik, meningkatkan

potensi profesionalismenya tetapi pada masa sama menangani rutin pentadbiran

dan memaksimumkan pembelajaran anak didiknya. Kemampuan dan

keterampilan menggarap perkara ini menuntut saya agar lebih kreatif dan

inovatif. Saya perlu meneruskan konsep permuafakatan dalam pelbagai

peringkat mencakupi semua bidang yang sesuai bagi memastikan pencapaian

cemerlang dalam semua aspek .


Proses membina dan menjana kemajuan dan kesejahteraaan hidup

masyarakat perlu bermula dengan usaha untuk pemupukan akhlak dan peribadi

unggul dalam kalangan pelajar. Personaliti unggul ini merujuk kepada personaliti

yang berjaya dalam bidang yang diceburi dan pada masa sama mempunyai

kualiti peribadi, akhlak yang baik dan berhemah tinggi. Situasi ini terbina atas

kepercayaan bahawa manusa tidak boleh membina sesuatu berdasarkan teori

semata mata tetapi, memerlukan contoh dan praktikal serta panduan. Apabila

manusia memperoleh contoh, dia mesti mengahayati dan meneladaninya secara

menyeluruh. Bagi membentuk generasi yang gemilang, mereka memerlukan

contoh dan individu yang benar-benar menonjol ketinggian kualiti daripada segi

masa, ilmu gerak kerja, ibadah dan hubungan sesama manusia.

Dalam konteks pendidikan, gurulah yang wajar menjadi contoh kerana

pelajar akan memfokus ke arah kita dalam segala tindak tanduk dan peribadi

kita. Justeru sebagai guru saya perlu memiliki kualiti peribadi dan kepemimpinan

yang boleh diteladani serta sentiasa mencapai mutu kerja yang cemerlang selain

berusaha membentuk akhlak mulia dan membuktikan peningkatan prestasi

akademik dan kokurikulum.

1.3 Ingin Tahu (Curiosity)


Dalam ucapan Loke Siew Fook, ahli parlimen Rasah dalam perbahasan Kajian

Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan di Dewan Rakyat pada 3

Julai 2008 menyebut bahawa untuk memupuk modal insan yang berminda kelas

pertama, acuhan pendidikan tidak boleh sahaja mementingkan fakta dan

maklumat tetapi keupayaan untuk menimba pengetahuan, kebebasan berfikir,

persekitaran yang membolehkan percambahan minda dalam kalangan pelajar.

Modal insan dapat mencapai kematangannya dengan pengisian kaedah

menakluk persekitaran dan cernaan pengalaman. Perkara utama adalah untuk

menyediakan pendidik dan masyarakat yang berbudaya berfikir. Negara kita

mempunyai masyarakat berbudaya belajar, yang harus dikembangkan lagi

dengan merangsang usaha berfikir bagi menterjemahkan perasaan ingin tahu

(curiosity) dalam kalangan pelajar.

Dalam ucapannya juga, Loke (2008) menyambut baik komitmen kerajaan

untuk meningkatkan akses kepada pendidikan tertiari daripada 21.9% pada

tahun 2007 kepada sasaran 40% bagi kumpulan umur 17-23 pada tahun 2010.

Kualiti pengajaran di kalangan ahli akademik perlulah sentiasa dipertingkatkan

dan dibenchmark dengan standard antarabangsa. Pembelajaran di kalangan

pelajar pula tidak boleh hanya tertumpu di dalam kelas tetapi pendedahan yang

lebih besar kepada dunia luar, penguasaan bahasa Inggeris, kemahiran dalam

soft skills dan keterampilan diri untuk memberikan keyakinan diri yang lebih

tinggidalamdirimereka.
Namun, sekiranya negara ingin melihat kewujudan modal insan yang

bermentaliti kelas pertama, fikiran pelajar tidaklah boleh dikongkong sama sekali.

Hal ini kerana kira perlu jelas akan budaya ingin tahu (curiosity) dalam kalangan

pelajar adalah begitu tinggi dan tidak harus disekat sama sekali untuk mereka

mencapai akses maklumat tersebut. Sebagai pendidik saya akan memupuk

budaya bertanya soalan dan berbahas secara ilmiah bersama pelajar.

Keperihatinan para pelajar terhadap perkembangan sosial dan politik negara

adalah sesuatu yang perlu disemai kerana ini adalah satu proses yang cukup

penting untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja

berpengetahuan, tetapi juga mempunyai kesedaran sivik dan demokrasi yang

matang. Peluang dan akses kepada pendidikan perlulah dijadikan sebagai satu

agenda yang dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan

global.

Pendidik yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah

pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk

dibincang dan mencari penyelesaian bersama pelajarnya ( Badrunsham :2008).

Isu-isu semasa berkaitan dengan kekeluargaan dan komuniti, ekonomi dan

sebagainya. Pendidik yang berpengetahuan dapat melahirkan generasi anak

didik yang erlang di kemudian hari. Sebagai pendidik juga saya akan melakukan

semua kaedah pengajaran yang disarankan terutama berasaskan pemikiran


kritis supaya pelajar tidak hanya menghafal dan kurang kekuatan pemikiran

dalam menyelesaikan masalah.

1.4 Inisiatif

Sebagai pendidik saya sedar tentang tugas dan amanah yang dipikul

untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara. Kemahiran

dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu dikemaskini. Justeru,

sebagai pendidik saya perlu mengambil inisiatif dan berusaha untuk

mengaplikasi kaedah-kaedah pengajaran dan pendidikan terkini dalam usaha

memupuk minda kelas pertama dalam kalangan pelajar. Sebagai pendidik

saya menyambut baik usaha ini dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan

yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib agar dapat mempertingkatkan

keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran yang semakin

kompleks ini. Dengan ini suatu anjakan paradigma dapat dilakukan oleh para

pendidik.

Bidang pendidikan yang sentiasa berkembang dan berubah sejajar

dengan perubahan zaman. Perkembangan global dengan teknologi

telekomunikasi dan internet menuntut banyak cabaran kepada para pendidik

untuk mencapai Misi Nasional. Para pendidik mesti bersikap proaktif dan
terangsang dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih ini. Justeru

saya akan mengambil inisiatif terlebih dahulu dalam ilmu ICT sebagai golongan

yang akan menyebar-luaskan kepada para pelajar. Sebagai guru saya perlu

melengkapkan diri dengan kemahiran terkini bagi menyempurnakan penubuhan

sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer sebagai satu bentuk

kurikulum wawasan negara Malaysia untuk menjadikan negara maju menjelang

2020. Sebagi pendidik juga saya akan memperlengkapkan diri secara global

kerana dalam era teknologi maklumat masa kini, masyarakat terpaksa berdepan

dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian sebagai cara

hidup moden. Pembestarian sekolah seperti projek Sekolah Bestari dan

SchoolNet, hendaklah dihargai oleh pendidik dengan menggunakan segala

kemudahan semaksima mungkin (Tajul Arifin :2008).

Inisiatif seperti ini yang diambil oleh seorang guru adalah tidak

menghairankan kerana bagi mempertingkatkan profesion perguruan, seseorang

pendidik perlu mempunyai ciri-ciri yang berkualiti seperti yang terkandung dalam

Falsafah Pendidikan Negara jika mahu dipandang tinggi oleh masyarakat. Kualiti

para pendidik dapat diperkemaskan dari masa ke semasa dengan latihan,

seminar dan lain-lain kursus dalam perkhidmatan. Penubuhan Institut Aminudin

Baki (IAB) adalah untuk meneruskan pelbagai latihan dalam perkhidmatan untuk

melahirkan para pendidik yang lebih efisien. Menurut Abdul Majid (2007)

penguasaan ilmu yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi, insya-Allah akan

dapat melahirkan generasi yang berilmu, bertakwa, berkualiti, mampu bersaing


dan bersesuaian dengan kehendak pasaran dunia pada alaf baru ini.

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengangkat darjat orang yang beriman dan

berilmu dalam kalangan kita semua. Oleh yang demikian profesion pendidikan

adalah merupakan satu profesion yang tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t. Ini telah

ditegaskan oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya dalam surah az-Zumar, ayat 9 :

Maksud: Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan


orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat
mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal
sempurna

Saya teringat impian Perdana Menteri kita, YAB. Datuk Seri Abdullah bin

Ahmad Badawi yang mengharapkan kita dapat melahirkan generasi yang

mempunyai minda kelas pertama di sebalik kemudahan kelas pertama. Apatah

lagi, tanpa kelulusan dan ilmu yang mencukupi, sukar untuk anak-anak kita

mempunyai masa depan yang cerah. Anak-anak kita pula hidup dalam zaman

yang semakin mencabar kerana masalah sosial dan ekonomi kian bertambah.

Hal ini bermakna peluang pendidikan yang ada harus dimanfaatkan

sepenuhnya. Kita mahukan anak-anak kita cemerlang dalam peperiksaan dan

berjaya melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti. Menyentuh hasrat ini saya

akan membimbing para pelajar yang bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum

untuk bersama-sama berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.


Dengan adanya dasar baru kerajaan, para pelajar ini boleh merebut

peluang ini kerana markah sebanyak 10 peratus diperuntukkan dalam aspek

kokurikulum. Para pelajar yang aktif dalam kokurikulum boleh menggunakan

kelebihan itu disebabkan pencapaian yang baik dan keaktifan pelajar dalam

kokurikulum memang sudah terbukti. Kita telah berjaya menghasilkan pelajar

yang berjaya sehingga ke peringkat kebangsaan. Semua ini hanya terhasil

setelah usaha berterusan dijalankan selama beberapa tahun belakangan ini dan

hasilnya dapat dituai sekarang. Saya juga melihat bahawa penyertaan pelajar

dalam aktiviti kokurikulum dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat

dengan masalah sosial. Apabila mereka mempunyai aktiviti yang baik seperti

bersukan dan kawad kaki, masa mereka terisi dengan sesuatu yang berfaedah

dan dapat membentuk disiplin para pelajar.

2.0 Kesimpulan

Membangunkan minda kelas pertama di kalangan pelajar perlu memberi

tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri di

samping memastikanaspek kebajikan dan keperluan pembelajaran mencukupi.

Selain itu dapat meningkatkan kualiti pengurusan aktiviti kokurikulum,

membudayakan sukan untuk semua dan memberikan perkhidmatan bimbingan

berfokus kepada pelajar yang turut disulami dengan aspek-aspek kebersihan,


kesihatan dan keselamatan. Konsep pendidikan bersepadu ini dapat

meningkatkan kecemerlangan ilmu dan pada masa yang sama mendekatkan

manusia kepada Allah SWT.

Pembangunan minda kelas pertama perlu menerusi persekitaran yang

mesra ilmu, pro intelektual dan kualiti berasaskan pencapaian. Minda kelas

pertama tidak akan terbentuk dalam persekitaran yang sinonim dengan budaya

hedonisme dan hiburan. Minda kelas pertama juga tidak akan bercambah jika

ukuran ilmu hanya diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik

semata-mata. Persekitaran yang meransang pembangunan minda kelas pertama

menggariskan ukuran ilmu dan pencapaian kepada kegigihan, iltizam,

sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu. Pada

hemat saya, persekitaran, ruang dan bina upaya yang ada ketika ini merupakan

peluang paling strategik dan lumayan untuk kita menjayakan transformasi,

pembaikan, inovasi, penyelidikan dan reka cipta dalam pelbagai aspek

pendidikan. Dalam konteks semasa, istilah inovasi, penyelidikan dan reka cipta

agak terhad dan nampaknya hanya menjurus kepada bidang sains dan teknologi

dalam beberapa buah institusi awam seperti universiti dan pusat penyelidikan

sahaja. Namun demikian, dalam konteks minda kelas pertama, semua pihak

perlu melakukan pembaikan, inovasi, penyelidikan dan reka cipta dalam bidang

masing-masing terutama di peringkat sekolah.

Anda mungkin juga menyukai