Anda di halaman 1dari 2

http://nutriweb.org.my/index.php?

panduan-menyediakan-masakan-berkhasiat_del-20101229194744

Panduan menyediakan masakan berkhasiat


Oleh AZRAN JAFFAR

BAGI kalangan masyarakat negara ini, kaedah memasak menggunakan banyak lemak,
santan, minyak dan garam memang sudah menjadi kelaziman. Namun jika diambil
berlebihan dan terlalu kerap sedikit sebanyak boleh mengganggu kesihatan tubuh.

Disebabkan sudah biasa dengan jenis masakan sebegitu, mereka tidak dapat
meninggalkannya dan sukar bagi lidah mereka untuk menjamah makanan yang lain rasa
dan kaedah memasaknya.

Namun bagi anda yang sebegini, Persatuan Pemakanan Malaysia dengan kerjasama
Kementerian Kesihatan menerbitkan buku Resipi Sihat, Pilihan Bijak bagi memberikan
anda kaedah bijak menyediakan masakan yang anda sukai tetapi lebih baik dari segi
kesihatan.

Pelancaran buku
itu oleh Menteri
Kesihatan,
Datuk Chua Jui
Meng diadakan
sempena
perasmian Bulan
Pemakanan
Malaysia di
Petaling Jaya,
baru-baru ini.

Mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai buku ini, ia boleh dibuat
dengan melayari laman web Persatuan Pemakanan Malaysia di www.nutriweb.org.my
atau menghubungi talian 03-40402393/ 03-56323301/03-56211731.

Mungkin ada yang terliur apabila disebut ayam masak kurma, ikan terubuk masak
tempoyak, ketupat pulut palas, kuih koci, kerutup ayam, laksam, labu masak lemak dan
gulai ikan tenggiri dengan pucuk pegaga dan sering bertanya bagaimana untuk
menyediakannya dengan cara yang sihat.

Hakikatnya inilah antara resipi yang dihidangkan di dalam buku Resipi Sihat, Pilihan
Bijak. Ia bukannya makanan baru yang mungkin membuatkan anda berkerut dahi apabila
mendengarnya, tetapi makanan lama yang menawan selera masyarakat negara ini sejak
beberapa generasi tetapi diubah suai sedikit bagi menjadikannya lebih sihat.

Sebagai contoh, jumlah minyak, garam dan gula dikurangkan bagi setiap hidangan,
begitu juga dengan sesetengah bahan seperti santan yang digantikan dengan bahan lain
yang lebih sihat.

Sebanyak 100 resipi dari 13 negeri dihidangkan di dalam buku ini yang telah diubah
menjadi lebih sihat oleh ahli pemakanan dan dietetik yang bertauliah.

Cara penyediaan juga mudah dan mereka yang baru belajar memasak juga mampu
menyediakan masakan ini yang bukan saja sedap tetapi juga sihat.

Apa yang lebih menarik, resipi yang dipaparkan melalui beberapa ujian tetap sama
rasanya walaupun beberapa perubahan dibuat untuk memenuhi tuntutan kaedah masakan
yang sihat dilakukan.

Selain itu pada setiap resipi dilampirkan dengan kandungan nutrien yang berguna bagi
membantu seseorang itu merancang hidangan harian yang berkhasiat di samping
beberapa catatan mengenai asal usul sesuatu jenis masakan.

Resipi Sihat, Pilihan Bijak diterbitkan sebagai lanjutan daripada kejayaan jilid
pertamanya yang memaparkan sebanyak 58 resipi dan ia dihasilkan cetusan ilham Datuk
Chua, kata Ketua Pengarang yang juga Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee
E Siong.

- Berita Harian (05 Mei 2002)