Anda di halaman 1dari 15

Peranan Pendidik Dalam Memupuk Nilai Hormat-Menghormati.

(Oleh : Muhammad Alif bin Mahmud)

Dewasa ini, kita melihat banyaknya gejala sosial seperti pengambilan bahan
terlarang, pergaulan bebas, vandalisme dan sebagainya yang berlaku di segenap lapisan
masyarakat kita. Dek kerana terlalu banyak sebab yang dapat dikaitkan sebagai punca
berlakunya gejala-gejala tersebut, baik pihak kerajaan mahupun massyarakat telah
mengembleng tenaga dalam usaha mengekang masalah tersebut daripada terus meruncing.
Sebagai contoh, kita dikejutkan dengan kematian beberapa orang remaja tempoh hari akibat
pengambilan dadah secara berlebihan. Apa yang menjadi bisa sekali gus menghiris hati kita
apabila ada dalam kalangan remaja tersebut ialah remaja Melayu Islam. Dari situ,
pandangan dan tanggapan orang bukan Islam terhadap Islam mula berubah sedikit demi
sedikit. Apa yang ingin saya kupas dalam penulisan esei ini ialah sebab-sebab terhakisnya
nilai-nilai murni yang disemaikan agama dan budaya sejagat dalam kalangan masyarakat
berbilang bangsa.. Nilai yang menjadi fokus utama adalah nilai hormat-menghormati. Nilai ini
boleh dikatakan asas kepda semua nilai, bermula daripada hormat-menghormati, kita dapat
menanam nilai-nilai lain dalam diri kita. kita juga sedar, aspek budaya dan agama yang
semakin hari semakin luput iaitu sikap saling menghormati sesama manusia. Sebagai
pendidik, sudah menjadi kewajipan untuk memupuk nilai hormat-menghormati dalam diri
murid-murid. Amanah tersebut bukan hanya dipikul oleh ibu bapa sahaja, tetapi juga dipikul
oleh para guru. Memang benar apa yang telah dikatakan selama ini, guru merupakan ibu
bapa kedua murid-murid. Hal ini kerana guru merupakan orang kedua lebih kerap berjumpa
dengan murid selepas keluarga. Segala apa perkembangan murid-murid di sekolah, gurulah
orang pertama yang mengetahui. Sebelum mengorak langkah lebih jauh, perkataan hormat
didefinisikan dalam kamus dewan sebagai memberi pandangan yang tinggi terhadap
seseorang dengan memberi layanan yang penuh sopan, khidmat atau takzim. Menurut
sumber lain pula, hormat menghormati pula bererti melayani dengan penuh sopan,
memandang tinggi kepadanya dan menghargai kebaikannya. Daripada itu apa yang dapat
disimpulkan disini ialah, hormat menghormati ialah satu nilai dimana layanan yanag baik
diberikan kepada golongan yang sewajarnya, layanan yang baik tersebut boleh pada diri
sendiri, ibu bapa, guru, dan juga masyarakat. Sebagai contoh, kepada ibu bapa. Apa yang
perlu dilakukan oleh seorang anak adalah dengan cara tidak meninggikan suara pada
mereka. Perkara ini nampak remeh, tapi sebenarnya memberi impak yang sangat besar
kepada diri anak-anak. Sekiranya ibu bapa sendiri tidak dihormati, bagaimana pula ingin
menghormati orang lain? Dapatlah kita katakan bahawa, nilai menghormati sangat penting
diterapkan dalam diri anak-anak seawal-awal usia. Bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah
dari rebungnya.
Sebelum menghurai dengan lebih jauh, kita akan menyentuh mengenai diri pendidik
itu sendiri dalam usaha untuk membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai hormat-
menghormati. Sudah tentu kita tentu pernah mendengar kenyataan bahawa kecemerlangan
seseorang guru tidak terbatas pada kebolehannya melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas sahaja, tetapi turut diukur juga pada kualiti peribadinya yang
tinggi kerana guru diharapkan mempamerkan peribadi contoh kepada pelajarnya. Oleh itu,
ketinggian kualiti peribadi guru juga boleh menjadi pemangkin kecemerlangan sesebuah
sekolah melalui usaha mereka menyediakan pelajar sebagai modal insan kelas pertama
masa depan. Pembinaan modal insan adalah tunjang utama kepada kejayaan bangsa dan
negara. Hal ini demikian kerana dalam membentuk modal insan kelas pertama, proses
tersebut akan merangumi satu indikator membentuk tenaga kerja manusia yang berilmu,
berakhlak, berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan. Selari dengan aspirasi negara
dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang meletakkan usaha
membina budaya baru iaitu berani berlumba, membina prestasi sertamemiliki merit hingga
dapat bersaing dan bertanding pada peringkatantarabangsa, pembinaan modal insan turut
menjadi teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Kita sentuh mengenai apa yang telah
Monique Jerome Forget utarakan. Beliau pernah menulis dalam artikelnya Investing in
Human Capital ( Policy Options ) mengenai peri pentingnya modal insan sebagai elemen
teras pembangunan negara kerana kegagalan menjana modal insan boleh merencatkan
banyak lagi potensi pertumbuhan yang mampu dicapai sesebuah negara. Dengan perkataan
lain, hidup mati sesebuah negara sememangnya bergantung kepada modal insannya yang
mengamalkan dan mengaplikasikan nilai hormat menghormati antara satu sama lain. Sejauh
mana kejayaan kita membina generasi yang berminda kritis, berjiwa penyelidikan dan
pembangunan, berani mencuba sesuatu yang baru, kreatif dan inovatif serta memiliki kualiti
peribadi yang unggul menjadi faktor penentu sama ada negara mampu bersaing dengan
negara lain atau tidak. Tanpa modal insan yang mantap, padu dan jitu. bukan saja bangsa
menjadi mundur, malah sesebuah tamadun mungkin mengalami kemerosotan daya saing
yang total. Strategi pembangunan insan atau sumber manusia seperti disarankan dalam
RMK-9 seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh dan holistik . Sebab itulah kerajaan
melabur secara besar-besaran dalam bidang pendidikan supaya mampu menghasilkan nilai
tambah kepada negara dalam jangka panjang. Bagi mencapai agenda negara itu,
pendidikan menjadi wahana utama. Pelajar di semua peringkat perlu dididik dengan
sempurna. Dalam hal ini, warga pendidik adalah golongan di barisan paling hadapan dalam
usaha membina generasi masa depan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Hasilnya kelak, terbentuk satu golongan masyarakat yang penuh ilham dan dedikasi
terhadap negara bangsa kelak.
Oleh itu, usaha melahirkan warga pendidik yang berkualiti, komited dan berdedikasi
perlu diteruskan manakala hal ehwal kebajikan mereka perlu dipelihara sejajar dengan
keyakinan dan kepercayaan kerajaan bahawa pendidikan adalah wadah pembinaan modal
insan yang berkesan. Modal lain seperti wang, teknologi dan bangunan tidak mungkin
sempurna jika tidak ditunjangi dengan modal insan. Oleh itu, konsep pendemokrasian yang
memberi peluang adil dan sama rata kepada semua rakyat mendapatkan pendidikan
berkualiti wajar diteliti dan diberi perhatian. Dalam kata lain, seorang guru itu haruslah
memiliki nilai dan etika keguruan yang selaras dan menjurus kepada nilai-nilai keagamaan
yang teguh dalam proses pembinaan negara bangsa . Memandangkan bidang pendidikan
merupakan salah satu aspek penting dalam menjayakan harapan dan aspirasi negara untuk
menjadi negara maju dan bertaraf dunia, guru-guru juga perlu menyiapkan diri mereka
dengan ciri-ciri pendidik yang terbaik yang dapat membantu proses pembinaan negara
bangsa yang cemerlang. Seorang guru juga haruslah mempunyai ciri-ciri personal, ciri
interpersonal, ciri profesional, ciri intelektual yang baik, berkemahiran dalam pengurusan,
kreatif dan inovatif, menguasai ilmu pedagogi, dapat mengaplikasikan teori kepada amalan
dan mengamalkan pembelajaran ilmu sepanjang hayat (Abd. Rahim, 2005). Kesemua ciri ini
amat penting bagi melayakkan seseorang menjadi guru yang berkesan, berwibawa dan
berketrampilan bagi menjayakan proses pembinaan negara bangsa. Negara bangsa yang
dimaksudkan disini merujuk kepada sesuatu yang besar dan menjadi pengiktirafan dunia,
baik dari segi kemajuan mahupun ekonomi dan inilah menjadikan tugas pendidik untuk
membentuk nilai murni hormat-menghormati dalam kalangan pelajar semakin penting.
Menurut buku Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd, Budaya dan Pembelajaran, Syed Ismail bin
Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, konsep bangsa mempunyai maksud yang lebih
meluas dan terbentuk berasaskan gagasan ras atau etnik yang sedia ada. Menurut John
Stuart Mill, bangsa merupakan rumpun manusia yang terikat oleh rasa taksub bersama dan
lebih rela bekerjasama sesama mereka, berbanding dengan rumpun bangsa yang lain.
Bangsa menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2013) pula merupakan sekumpulan
orang yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama. Secara umumnya,
konsep bangsa bermaksud kumpulan manusia yang sama asal-usulnya serta serupa sifat-
sifatnya. Bangsa juga memberi maksud kumpulan manusia yang sama asal-usulnya serta
serupa sifat-sifatnya (Kamus Pelajar,1993). Kesimpulan daripada kesemua maksud yang
diberikan, maka dapat dinyatakan bahawa bangsa merupakan suatu kelompok manusia
yang dianggap memiliki identiti bersama, yang bersatu pada satu wilayah dan mempunyai
keterikatan dengan wilayah tersebut.
Antara matlamat pendidikan ialah untuk mendidik pelajar supaya memilih dan
mengamalkan tingkah laku yang baik. Malangnya hari ini kita berhadapan dengan tingkah
laku pelajar yang cukup negatif seperti tingkah laku kurang sopan seperti tidak menghormati
golongan sepatutnya di sekolah dan dalam masyarakat. Kenapa perkara ini berlaku?
Antaranya mungkin kerana kita gagal membina konsep fitrah atau tabii pelajar menjadi
biadap sehingga mereka memilih tingkah laku negatif dan tidak normal. Jika dibiarkan,
tingkah laku ini akan berkekalan dari alam pelajar dan persekolahan hinggalah ke alam
dewasa dan kehidupan. Tugas guru adalah untuk memastikan suasana pengajaran dan
pembelajaran sentiasa memelihara dan menyuburkan fitrah atau tabii pelajar supaya
harmoni dan sihat. Fitrah atau tabii murni inilah akan membina tingkah laku normal. Selain
itu, fitrah atau tabii manusia sentiasa inginkan perubahan ke arah yang lebih baik. Justeru,
matlamat pendidikan ialah untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran
dan amalan sikap yang baik dan positif. Dalam usaha untuk mencapai matlamat ini, kita
terlalu bersifat akademik, mekanistik dan materialistik sehingga kadang kala melahirkan
pelajar yang begitu jauh daripada pencipta. Lama kelamaan akan tiba keadaan kepercayaan
kepada Tuhan semakin luntur. Dengan perkataan lain akidah hendaklah selari dengan
peningkatan pendidikan. Sebenarnya kita memerlukan pendidikan bersepadu iaitu di
samping peningkatan dalam kecemerlangan pendidikan,pemantapan akidah perlu berlaku
pada masa yang sama. Hasrat ini hanya dapat dilaksanakan menerusi peranan hakiki guru.
Maksudnya etika keguruan menuntut guru memantapkan akidah pelajar selari dengan
peningkatan pencapaian kecemerlangan akademik. Setiap manusia inginkan hidup yang
berkualiti. Biasanya perkara tesebut dikaitkan dengan kejayaan mencapai prestasi hidup
yang tinggi dan diiktiraf masyarakat. Kualiti hidup bermaksud kejayaan memperoleh status
yang tinggi, kemewahan dan kebendaan. Namun konsep kualiti ini tidaklah memenuhi
matlamat pendidikan sebenarnya kerana kebendaan dan kemewahan semata-mata tidak
menjamin kehidupan yang sejahtera dan sesuai dengan fitrah insaniah. Oleh itu perlulah
dicari pengertian kualiti hidup yang lebih lengkap. Menurut paradigma pendidikan bersepadu,
kualiti hidup bermaksud kehidupan yang harmoni dengan fitrah insan iaitu gaya hidup yang
sentiasa harmoni dengan tabii atau fitrah insan yang dianugerah Allah SWT. Persoalannya
bagaimanakah untuk membina kualiti hidup menerusi pendidikan? Dalam hal ini kita
memerlukan guru yang dapat menjalankan tugasnya sebagai ibadah, dengan sendirinya ia
akan berminat untuk membangunkan insan. Insan itulah juga yang akan digunakan untuk
membangunkan negara bangsa. Apabila ciri insan terbina dalam diri pelajar, tentulah mereka
dapat menjalani hidup secara harmonis dengan fitrah atau tabii yang dianugerahkan Allah
SWT. Inilah yang dinamakan kualiti hidup. Dengan perkataan lain guru yang mengamalkan
etika keguruan ( tugas hakiki guru ) akan dapat melahirkan pelajar dengan ciri keinsanan
yang kehidupannya harmonis dengan fitrah atau tabii yang dianugerahkan Allah SWT.
Seterusnya, apa yang ingin diketengahkan dalam penulisan ini ialah peranan
pertama seorang guru dalam memupuk nilai hormat menghormati antara masyarakat
pelbagai kaum. Guru berperanan memberikan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai
murni dalam sukma kanak-kanak, dalam erti kata lain guru memupuk nilai hormat-
menghormati melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Tanpa kita sedar, kita boleh
menyelitkan nilai murni tersebut semasa mengajar. Sebagai contoh, semasa aktiviti
kumpulan. Dalam aktiviti kumpulan, murid-murid berkolaborasi antara satu sama lain dan
akan berlaku proses pertukaran pendapat. Mungkin akan berlaku percanggahan pendapat
dalam kalangan mereka. Sebagai guru, kita harus berfikir di luar kotak bagaimana untuk
menyelitkan nilai menghormati pendapat orang lain dalam sesi perbincangan tersebut. Dari
sekecil-kecil aspek mampu memberi impak yang sangat besar terhadap diri murid. Memang
tidak dapat dinafikan kita selalu terlepas pandang mengenai aspek ini. Untuk mencapai misi
yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni haruslah diamalkan secara berkesan.
Menjurus kepada itu, pihak sekolah boleh menganjurkan minggu Budi Bahasa Budaya Kita
dan memberi anugerah Pelajar Sopan kepada pelajar yang bersikap sopan santun,
menghormati guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang berada di sekolah supaya boleh
menjadi teladan dan panduan kepada pelajar lain. Anugerah tersebut bukan sekadar
pemberian kepada pelajar yang menunjukkan sikap yang baik, tetapi sebagai pemangkin
semangat murid-murid yang lain untuk turut menanam serta mengamalkan nilai hormat-
menghormati tersebut dalam diri masing-masing. Murid-murid bukan sekadar dapat
memupuk nilai tersebut, bahkan dapat menjadi ikutan pada sahabat-sahabat yang lain. Kata
orang, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akkan turut terpalit wangiannya.
Kita juga harus sedar, pengaruh rakan sebaya sangat kuat dalam kalangan kanak-kanak dan
kita boleh gunakan pengaruh tersebut untuk menyampaikan unsur-unsur hormat-
menghormati dalam kalangan murid-murid yang lain. Perkara biasa yang harus para
pendidik lakukan ialah dengan memberi fokus utama tentang amalan nilai murni dalam
proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dengan cara mengajar murid-murid terutama
pelajar sekolah rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan ketika
berkomunikasi dengan guru dan semestinya rakan yang berbilang bangsa. Hal ini penting
kerana misi pendidikan negara kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang
dalam kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang
mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip kelima
Rukun Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa
pendidikan di dalam kelas merupakan senjata yang utama untuk memupuk nilai-nilai murni
dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.
Kesedaran terhadap kepelbagaian tingkat masyarakat di dalam bilik darjah dalam
mewujudkan bangsa Malaysia yang saling hormat menghormati dapat dilihat melalui
peranan guru. Seperti yang kita sedia maklum, tugas guru bukan sekadar mengajar di
dalam kelas atau situasi formal, tetapi juga dalam situasi tidak formal. Dek kerana kesedaran
terhadap peri pentingnya kepelbagaian nilai hormat menghormati dalam mewujudkan
sebuah masyarakat yang bersatu padu, guru berusaha dalam usaha menangani masalah
sosiobudaya. Sebagai seorang guru, adalah penting untuk mengetahui dan ambil peduli
akan siapa sebenarnya pelajar-pelajar atau komuniti di dalam sesebuah kelas. Guru juga
perlu meneliti akan pendekatan yang bersesuaian yang dibawa oleh setiap pelajar, bakat
serta minat mereka ke dalam situasi pembelajaran. Sewajarnya guru perlu mengetahui
bahawa setiap individu pelajar adalah berbeza dari aspek budaya, latar belakang keluarga,
dan tahap sosioekonomi yang mana sedikit sebanyak memberi kesan kepada gaya dan
corak pembelajaran mereka. Setelah guru mampu memahami serta mengenali setiap jenis
pelajar didalam kelas, impaknya pelajar boleh mencapai kejayaan daripada hasil
pembelajaran mereka di sekolah. Selain itu, wujud perasaan menerima dan layanan yang
adil merupakan salah satu kesedaran bahawa sosiobudaya mampu membentu satu
kesepaduan dalam hidup bermasyarakat. Mengikut Noriati at el mengenali latar belakang
pelajar, taraf sosioekonomi, tempat tinggal, budaya, adat resam, kepercayaan dan agama
akan membolehkan guru memberikan layanan yang lebih adil kepada individu pelajar. Guru
tidak seharusnya melayan pelajar sebagai satu kelompok individu, kelompok kelas sosial
atau kelompok mengikut kaum etnik tetapi sebagai individu yang mempunyai keunikan.
Justeru, guru perlu memberi layanan yang adil mengikut keperluan individu pelajar. Guru
hendaklah mengajar tanpa mengira kaum atau status sosial seorang murid dengan
mewujudkan kumpulan pelbagai kategori supaya murid-murid yang tercicir tidak merasa
tersisih. Guru perlu melayan keperluan murid ke arah memperkembang potensi mereka
secara optimum. Mereka dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain tanpa ada
perasaan rendah diri. Menurut Rohand Meighan (1986), Kelas Sosial mengambarkan
perbezaan cara hidup atau pendapatan di dalam sesuatu bangsa yang sama. Hasil daripada
tindakan tersebut, murid secara tidak langsung akan mudah menerima dan terus menghayati
nilai-nilai yang cuba diketengahkan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran terutama
sekali dalam penerapan nilai, iaitu nilai hormat menghormati antara satu dengan yang lain.
Murid yang telah diterapkan dengan nilai menghormati bukan sekadar faham apa itu definisi
hormat, tetapi turut mengamalkannya. Apa yang menjadi bonus disini apabila dalam proses
penerapan nilai hormat-menghormati, murid turut terdedah dengan nilai-nilai akademik yang
lain. Kata orang, seperti serampang dua mata. Satu sasaran tetapi yang didapatkan adalah
lebih dari yang dihajatkan.
Selain itu, guru turut berperanan untuk memberikan perhatian kepada fokus kedua
teras membina Negara Bangsa. Fokus tersebut adalah untuk memantapkan perpaduan
negara dan integrasi nasional. Antara strategi pelaksanaan yang dicadangkan oleh Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) bagi memantapkan perpaduan negara dan integrasi
nasional adalah dengan cara meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman rakyat
Malaysia supaya menghormati perlembagaan Malaysia, meningkatkan semangat patriotik
melalui Kelab Rukun Negara, menanamkan semangat hormat menghormati dan peka
terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum, dan memberi kefahaman tentang pentingnya
semangat kejiranan ke arah perpaduan dan integrasi nasional. Bagaimana untuk memupuk
ketiga-tiga aspek tersebut dalam dunia pendidikan? Sudah pasti guru memainkan peranan
penuh dalam memastikan semangat perpaduan dan intergrasi nasional dapat dimantapkan
di kalangan pelajar-pelajar dan murid-murid pada semua peringkat pendidikan. Salah satu
usaha adalah yang boleh dilakukan ialah pihak sekolah dan institusi pendidikan perlu
berusaha membangunkan persekitaran sosial yang menggalakkan komunikasi dan interaksi
antara pelajar-pelajar dan murid-murid daripada kaum, latar belakang, budaya yang berbeza
bagi mewujudkan satu identiti nasional Malaysia yang dapat dibanggakan. Pada dasarnya,
memang sukar untuk membentuk masyarakat yang saling hormat menghormati lebih-lebih
lagi masyarakat yang berbilang kaum. Oleh itu, pemimpin institusi pendidikan, pensyarah
dan guru juga perlu mengadakan perancangan strategik melalui aktiviti kurikulum,
kokurikulum dan sukan supaya usaha memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan
dan saling hormat-menghormati dapat terus ditingkatkan serta terus dikekalkan dalam diri
murid-murid. Perkara yang pada dasarnya kecil seperti perhimpunan mingguan, acara
menaikkan bendera dan menyanyikan Lagu Kebangsaan serta Lagu Patriotik sebenarnya
salah satu medium untuk memupuk semangat saling hormat-menghormati antara satu
sama-lain. Hal ini demikian kerana, murid-murid akan bersama-sama berkumpul, melakukan
aktiviti bersama-sama dan hasil daripada itu nilai mengahargai dan menghormati bangsa-
bangsa lain dapat dipupuk secara tidak langsung. Tidak menjadi masalah apabila pihak
sekolah dan guru memberi penjelasan terus kepada murid tujuan sebenarnya perhimpunan
mingguan dijalankan. Selain aktiviti kokurikulum, guru-guru seharusnya memberi penekanan
kepada nilai-nilai jati diri, semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara merentasi
mata pelajaran terutama mata pelajaran Sejarah supaya semangat ini akan terus ditanam
serta dapat mendukung kepada pencapaian perpaduan negara. Mata pelajaran Sivik dan
Kewarganegaraan yang diperkenalkan mulai tahun 2003 juga diharapkan dapat
meningkatkan kesedaran murid terhadap kepentingan sikap saling hormat-menghormati
dalam kehidupan yang harmoni antara kaum. Pada dasarnya, kedua-dua subjek tersebut
nampak tidak penting tetapi subjek-subjek seperti itulah salah satu tunjang pembangunan
insan.
Selain fokus kedua dalam teras membina negara bangsa, fokus yang boleh kita
kaitkan dengan peranan guru dalam menerapkan nilai hormat-menghormati turut terdapat
dalam fokus yang ketiga iaitu kecintaan kepada seni, warisan dan budaya negara. Kenapa
dikatakan kecintaan kepada seni, warisan dan budaya negara mampu menjadi medium
penerapan nilai hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum? Negara
kita terdiri daripada pelbagai kaum dan semestinya pelbagai budaya. Sekiranya murid-murid
telah terdidik untuk menghargai budaya kaum lain, jiwa mereka secara tidak langsung akan
dipupuk dengan semangat saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Tidak akan
ada perasaan bias atau prejudis kepada kaum-kaum yang lain dan sekali gus menjadikan
tali persaudaraan dan ikatan ukhuah dapat dijalinkan walaupun pada umumnya bukan dari
darah dan daging yang sama. Strategi yang dilaksanakan dalam fokus ketiga ini merangkumi
aspek membina kurikulum kesenian. Kurikulum kesenian termasuklah penubuhan kelab-
kelab kesenian, kelab tarian, kelab kebudayaan dan sebagainya. Murid-murid digalakan
untuk menyertai kelab-kelab sedemikian di semua sekolah yang terdapat di Malaysia.
Dengan cara itu, minat pada kebudayaan dapat dipupuk. Sebagai contoh, murid dari bangsa
Melayu belajar tarian india, murid berbangsa Cina belajar tarian joget, dan murid berbangsa
India belajar tarian singa. Dari situ, terlihat kepelbagaian dalam kebudayaan dan itulah yang
menjadi teras kepada bangsa yang bersatu padu. Seterusnya ialah, dengan membina
sekolah seni. Sekolah seni bukan sekadar memfokuskan pada satu bidang seni sahaja,
tetapi turut melibatkan bidang seni yang lain seperti seni lakon, seni nyanyian, seni lukisan
dan sebagainya. Murid- murid yang mempunyai potensi dan bakat dalam bidang kesenian
aan diketengahkan supaya bakat mereka akan terus digilap sehingga mencapai satu tahap
yang tinggi. Kesemua aktiviti tersebut semestinya akan melibatkan pelbagai bangsa dan
kaum untuk berkolaborasi. Hubungan menjadi erat, bukan sekadar kawan rapat, tetapi
sebagai saudara. Pada tahun 2007 KPM telah menubuhkan dua buah Sekolah Seni iaitu
satu di Johor dan satu di Sarawak. Melalui penubuhan Sekolah Seni ini, semestinya
masyarakat mengharapkan supaya kesenian dan warisan bangsa akan dapat
dipertahankan, dibangunkan dan diperluaskan disamping memupuk perasaan menghormati
kebudayaan bangsa lain dalam usaha menjadikan rakyat Malaysia yang bersatu padu. Akhir
sekali, apa yang telah dilaksanakan dalam fokus ini dengan cara meningkatkan kerjasama
dengan Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan atau KeKWa. Seperti yang telah
diketahui umum, KeKWA merupakan satu badan kerajaan yang bersandarkan pada
kebudayaan Malaysia. Dengan hubungan yang baik terhadap organisasi ini, urusan dapat
dipermudahkan dan apa yang dihajatkan tercapai.
Seterusnya, melalui strategi pembelajaran yang sesuai yang digunakan oleh guru
dalam menerapkan nilai hormat-menghormati. Setiap seorang pelajar itu adalah unik.
Keunikan mereka tidak sama antara satu sama lain. Seorang guru tidak boleh menganggap
semua murid boleh belajar dengan cara yang sama. Biasanya penyampai seseorang guru
itu bergantung pada persekitaran tempat tinggal pelajar, status sosioekonomi keluarga dan
gaya pembelajaran. Guru harus berusaha untuk menolong murid memahami dan
membentuk nilai, sikap serta tingkah laku yang sesuai. Dengan mengambil kira faktor-faktor
yang membantu pembelajaran guru dapat menyediakan pembelajaran yang berkesan
mengikut kemampuan. Oleh itu, guru perlu didedahkan kepada pengetahuan tentang gaya
pembelajaran dan bagaimana menyesuaikan gaya pembelajaran pelajar dengan pengajaran
guru agar dapat mencapai pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang. Selain daripada
itu juga, interaksi sosial mampu menangani isu-isu berkaitan dengan cara bagaimana pelajar
berinteraksi semasa proses pembelajaran. Kita juga harus sedar, terdapat pelbagai cara dan
kaedah murid dalam proses mereka belajar. Antaranya adalah, pelajar yang ingin belajar
secara bersendirian, kolaboratif, penyertaan dan kompetitif. Tiada salahnya jika kita
manfaatkan perkara tersebut dalam menekankan nilai hormat-menghormati. Kadang-kala,
kita terlepas pandang bagaimana pendekatan yang ada dan yang boleh kita gunakan turut
menunujukan kesedaran seorang pendidik dalam kepentingan sosiobudaya. Pengurusan
hal-ehwal murid dalam bilik darjah melalui pendekatan penyayang yang ditunjukkan guru
dapat menjinakkan mereka, bercakap bahasa lembut, menegur dan membetul kesilapan
dengan cara berhemah, di samping menggunakan segala sifat akan mempercepat proses
kecintaan dan kesetiaan murid terhadap gurunya. Guru perlu melayan keperluan murid ke
arah memperkembang potensi mereka secara optimum. Faktor ini mendesak guru
menggunakan kemahiran secara optimum dalam pengurusan bilik darjah, dan adalah
penting kepada guru untuk memahami tingkahlaku dan budaya murid supaya sebarang
tindakan dapat dilakukan mengikut kaedah yang betul dan tepat. Menurut Noriati A Rashid et
al mengurus pelajar yang ramai berlainan latar belakang bukanlah sesuatu yang mudah.
Sebagai satu komuniti kecil di dalam bilik darjah, kawalan tingkah laku dianjurkan melalui
peraturan dan rutin harian bilik darjah. Pematuhan peraturan menjadi satu keperluan untuk
mewujudkan suasana yang terkawal. Lave dan Wenger (1991) mencadangkan supaya
seseorang individu akan menjadi seseorang yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam
penglibatannya. Beliau boleh mengembangkan identitinya serta perasaan kepunyaannya
terutama sebagai ahli kepada sesuatu kumpulan. Wenger (1998) mengembangkan
pandangan mengenai pembelajaran melalui penglibatan sosial berkenaan. Guru mesti
menolong murid membentuk Konsep Kendiri Positif supaya mereka dapat mengikuti
pembelajaran dengan perasaan yang seronok.
Selain strategi, kita juga dapat menilai melalui bagaimana dan apa pengkaedah
mengajar yang diguna oleh guru. Sekiranya masih di takuk lama, ternyata apa yang guru
tersebut masih belum sedar kepentingan kepelbagaian strategi dalam penerapan nilai.
Dewasa ini kita masih diterapkan dengan dengan pengkaedahan pengajaran yang moden
dan melibatkan semua kaum didalam kelas untuk berkolaborasi. Dalam berkolaborasi,
murid-murid akan saling bertukar pendapat dan pandangan. Sekiranya berlaku perselisihan
faham, pada masa itulah guru boleh menerapkan nilai menghormati pendapat orang lain.
Guru harus menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap
pencapaian murid. Guru juga perlu memberi tunjuk ajar untuk mengatasi masalah akademik
murid yang lemah melalui pelbagai kaedah yang sesuai seperti penganjuran kem-kem
motivasi dan sebagainya. Masa pengajaran dapat digunakan semaksimumnya untuk
melakukan banyak aktiviti yang merangsangkan minda. Ini boleh dilakukan dengan
menggunakan kata-kata bermotivasi dan penuh dengan senyuman dan jenaka (Sense
Humour). Guru juga perlu menghormati murid-murid, bersikap adil, hukuman berbentuk
deraan tidak seharusnya dilaksanakan kerana akan menyebabkan hubungan murid dengan
guru akan renggang serta memberi teguran umum berbentuk nasihat tetapi bukan leteran.
Guru perlu bertanggungjawab untuk membentuk komuniti pembelajaran yang mesra murid
berasaskan latar belakang dari pelbagai sosiobudaya. Guru juga sering kita terlepas
pandang tentang kepentingan Teknologi Maklumat dalam pendidikan. Di samping itu,
peranan media massa, sama ada media cetak dan media elektronik amat dominan dalam
usaha memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa kanak-kanak. Berdasarkan penyelidikan,
dipercayai bahawa kecanggihan teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta
akhbar arus perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak pada
era moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat. Mereka akan tergila-gila
kepada media baru. Oleh hal yang demikian, guru boleh mengambil kesempatan
menggunakan apa yang pihak siarkan seperti iklan, dokumentari, drama dan paling penting,
siaran kartun yang semestinya menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang
seorang kanak-kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter yang
kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang wanita tua mengangkat
barang amat berkesan kepada penonton. Malahan, drama-drama seperti Precious Babies,
Three Pads, One Mom, Hwang Jin Yi, Next Stop, Happiness dan lain-lain lagi
mengandungi babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni yang boleh
dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian. Jadi,
sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa merupakan wadah yang paling sesuai
untuk memupuk nilai-nilai murni terutama hormat-menghormati dalam sanubari kanak-kanak.
Seterusnya, apa yang ingin dikupas adaialah pemartabatan bahasa kebangsaan
dalam kalangan murid-murid. Bahasa Kebangsaan merupakan bahasa rasmi yang dikongsi
bersama oleh pelbagai kaum dalam perhubungan rasmi dan kehidupan masyarakat. Di
negara kita ini, bahasa Malayu merupakan bahasa kebangsaan yang perlu dikuasai oleh
pelbagai kaum yang tinggal di Malaysia. Bagaimana bahasa menjadi medium dalam
menerapakan nilai hormat-menghormati? Seperti yang sedia maklum, bahasa Melayu
dikongsi oleh semua golongan masyarakat, tak kira bangsa, kaum dan agama. Peranan para
guru amat penting dalam memupuk nilai hormat-menghormati kerana melalui pendidikan,
murid-murid dapat disedarkan perihal kepentingan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa
Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan serta bahasa komunikasi di Malaysia.
Amanah ini bukan hanya dipikul oleh pendidik, tetapi juga tanggungjawab pemimpin institusi
pendidikan yang berkenaan. Pihak atasan haruslah mewajibkan para pensyarah dan guru
untuk turun tangan dalam proses menyemai semangat cintakan bahasa Malaysia kepada
anak-anak murid mereka sekali gus generasi muda Malaysia supaya mereka fasih
berbahasa Malaysia, menghormati dan berbangga dengan bahasa Malaysia sebagai identiti
rakyat Malaysia. Antara yang boleh dilaksanakan adalah seperti kempen memperkasakan
Bahasa Kebangsaan. Didalam kempen tersebut turut boleh diselitkan program
memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara. Program tersebut menggalakkan minat
masyarakat terutama murid-murid untuk membaca. Daripada hasil pembacaan bahan
sastera, secara tidak langsung kemahiran bahasa Melayu dapat dipertingkatkan dan
dimantapkan lagi. Sebagai contoh bahan satera yang telah diterima pakai dalam silibus
sekolah seperti Timulak Kapal Perang, Seteguh Karang, Sehijau Warna Daun dan
sebagainya. Hasil daripada kajian dan pengolahan murid-murid tentang karya-karya tersebut
secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kecintaan mereka kepada bahasa rasmi
Malaysia. Dalam konteks ini, apa yang turut ingin ditekankan bukan sekadar pemahaman
atau penguasaan murid-murid, namun demikian, guru turut harus betul-betul menguasai
bidang tersebut. Guru semestinya akan menjadi panduan utama para murid sekiranya timbul
persoalan. Dalam usaha meningkatkan kualiti guru-guru Bahasa Malaysia, kementerian
pendidikan telah menjalinkan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut
Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM),
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) serta kementerian lain dengan mengadakan kursus
bagi meningkatkan pengetahuan guru dalam bidang kebahasaan, penulisan buku dan juga
penterjemahan menurut sumber yang diperolehi dari internet. Secara tuntasnya, peranan
memartabatkan bahasa turut menjadi salah satu tiang dalam memupuk nilai hormat-
menghormati dan seharusnya diberi perhatian khusus dan tidak seharusnya dipandang
remeh lagi enteng.
Akhir sekali, penulisan ini akan menyentuh mengenai rukun negara Malaysia. Apa
kaitan rukun negara dan peranan guru dalam memupuk nilai hormat-menghormati? Adakah
rukun negara dapat menyatupadukan rakyat Malaysia? Disini akan dihurai satu persatu
mengenai perkara yang terkandung didalam rukun negara. Pertama sekali ialah
Kepercayaan Kepada Tuhan. Faktor kepercayaan kepada agama merupakan perkara utama
yang harus ditekankan oleh guru Pendidikan Moral kepada murid-murid. Apabila konsep
ketuhanan diletakan pada kedudukan yang sewajarnya, nescaya sukma murid-murid mudah
menerima sesuatu yang baik. Apa guna raga yang utuh andai jiwanya rapuh? Untuk
memantapkan jiwa, fahaman terhadap agama harus diberi keutamaan. Semua agama pada
amnya sangat-sangat menggalakan penganutnya untuk saling hormat-menghormati antara
satu sama lain. Ibu bapa juga sangat mengharapkan agar pihak sekolah dan juga guru dapat
meningkatkan kepercayaan anak-anak mereka kepada Tuhan dan agama. Namun demikian,
perkara ini menjadi lebih kritikal dalam era globalisasi masa kini. Hal ini kerana, kehidupan
yang begitu mementingkan materialistik, teknologi dan hiburan dapat menjadikan manusia
semakin jauh daripada Tuhan. Dalam kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan
dalaman iaitu kerohanian melalui pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap
dan suci akan melahirkan akal yang sihat, jasmani yang cergas dan sahsiah yang terpuji
dalam kalangan murid. Pembinaan kekuatan dalaman ini akan lebih mudah dilaksanakan
jika guru melaksanakan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat membangunkan modal
insan. Prinsip kedua Rukun Negara pula ialah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Prinsip
kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal
kewarganegaraan di negara ini. Perjanjian demi perjanjian telah ditanda tangani jika kita
merujuk sejarah dahulu kala. Apa yang menjadi tonggak utama dalam perjanjian-perjanjian
tersebut adalah ketaatan kepada raja. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu
membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik, saling menghormati dan bersatu padu
kerana Raja adalah payung negara yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru,
institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan
sama sekali. Guru sebagai penyampai ilmu, perlu mendedahkan kepentingan mengenali dan
hormati institusi raja dengan memberi pendedahan tentang Sejarah Kesultanan Melayu,
sistem Raja Berpelembagaan dan Majlis Raja-Raja. Guru perlu menyampaikan ilmu yang
berkaitan dengan nilai-nilai murni tersebut dengan menyampaikan isi kandungan pendidikan
dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam menyampaikan apa juga
disiplin ilmu. Contohnya, menimbulkan perasaan kasih sayang terhadap pemimpin, raja dan
negara dan kesan-kesan negatif andainya perasaan tersebut diabaikan seperti berlakunya
rusuhan dan negara tidak akan aman sekiranya perasaan sayang pada negara tidak wujud.
Murid-murid juga perlu memikirkan kesan terhadap dunia ini sekiranya mereka tidak
menyayangi dan taat kepada negara, raja dan pemimpin.
Prinsip ketiga adalah Keluhuran Perlembagaan. Dalam prinsip ini, apa yang menjadi
asas yang penting untuk menjamin keberkesanannya ialah keadilan, kerjasama,
kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru,
perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial
untuk semua kaum di negara ini. Sebagai guru Pendidikan Moral, guru perlu menegaskan
tentang kepentingan kesepaduan antara kaum yang sentiasa menjadi perkara asas dalam
membina kerukunan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa. Prinsip keempat
ialah Kedaulatan Undang-undang. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat
adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum,
jantina mahupun kedudukan. Dalam usaha mendidik murid untuk sentiasa menjadi
warganegara yang sentiasa mengamalkan peraturan dalam kehidupan seharian, guru
Pendidikan Moral boleh memulakannya dengan perkaran yang kecil dan mudah sahaja
contohnya sentiasa menggalakkan murid-murid untuk mengikuti peraturan sekolah seperti
hadir ke sekolah tepat pada masanya dan tidak membuang sampah merata-rata. Apa yang
berkaitan dengan nilai menghormati dalam mematuhi peraturan ialah, murid telah
menghormati diri sendiri dengan cara meletakkan sesuatu pada tempat yang betul.
Walaupun hal ini kedengaran tidak penting, namun apabila kita menerapkan murid dengan
asas yang kukuh, maka tidak mustahil jika ia berkembang ke arah yang lebih baik pada
masa hadapan. Guru juga haruslah sentiasa meningkatkan amalan pedagogi dalam
pengajaran, secara tidak langsung dapat mengelakkan masalah ponteng sekolah akibat
pengajaran guru yang tidak memberangsangkan. Murid akan lebih cenderung untuk
mematuhi peraturan dengan lebih berintegriti. Akhir sekali, apa yang terkandung dalam
rukun negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan. Kedua-dua nilai ini sinonim dengan nilai
hormat-menghormati. Hal ini demikian kerana, dalam kita mengamalkan nilai kesopanan,
kita telahpun menghormati orang lain. Begitu juga dengan kesusilaan, guru sentiasa menjadi
perhatian umum dari hujung rambut ke hujung kaki. Apa sahaja yang dipakai, diperkatakan,
dilakukan atau ke mana sahaja guru pergi, mereka tetap menjadi perhatian masyarakat.
Guru muaddib adalah guru yang mengajarkan adab dan budi pekerti. Dalam hal ini, guru
berusaha memastikan adab dan budi pekertinya adalah ditahap yang cemerlang. Ini adalah
kerana guru merupakan model kepada murid-murid dan masyarakat sekelilingnya. Guru
Muaddib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai
murni tersebut. Sekiranya guru dapat mengaplikasikan perkara-perkara tersebut, nescaya
pepatah Melayu yang berbunyi, seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus dapat
disangkal dan dipertikaikan.
Konklusinya, sebagai pendidik, kita tidak boleh memandang mudah amanah yang
telah diberikan. Walaupun pada dasarnya, amanah tersebut bukan tertulis dari tinta hitam ke
atas kertas putih, namun selaku guru kita harus sedar pentingnya kita menerapkan nilai
hormat-menghormati dalam kalangan murid. Peranan dan tanggungjawab guru
sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu itu. Dari
sekecil-kecil jawatan hinggalah menjawat jawatan yang gah di sesebuah institusi, semuanya
harus turun tangan menyinsingkan lengan dalam memainkan peranan masing-masing.
Memang benar, anak yang lahir ibarat kain putih dan ibu bapa mencoraknya tetapi para
pendidiklah yang menghalusinya. Sekiranya murid yang baik menjadi semakin baik, semua
itu adalah hasil ajaran dan didikan guru di sekolah. Guru yang memantapkan lagi personaliti
seseorang murid. Biarpun pada azalinya, ibu bapa gagal mencorakkan anak mereka sebaik-
baiknya, namun setidak-tidaknya, pendidik telah memberi sedikit sentuhan untuk menutup
kecacatan pada coraknya. Walaupun begitu, dunia hari ini semakin maju dan bergerak
pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru tidak terkecuali merasai tempiasnya.
Peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh guru semakin mencabar seiring kehendak
kerajaan. Hasil daripada apa yang telah dirangkumkan dalam penulisan ini, apa yang dapat
disimpulkan, agama paling memainkan peranan dalam membentuk sahsiah murid terutama
nilai hormat menghormati. Pendekatan dari segi agama haruslah menjadi perkara yang
utama dalam diri seorang individu yang bergelar guru . sebagai contoh, kita patut
mencontohi teladan Rasulullah iaitu dengan mencontohi bagaimana baginda memberi
didikan, dan mencontohi cara-cara baginda menerapkan nilai keagamaan dalam setiap ilmu
yang dicurahkan. Sesungguhnya, baginda merupakan role model terbaik untuk setiap insan
yang bergelar pendidik. Pendidik seharusnya faham bahawa Ibu bapa mengharapkan
sekolah dan guru dapat meningkatkan kepercayaan kepada Tuhan dalam diri pelajar.
Sekiranya meletakkan agama di tempat yang tertinggi, nesacaya segala apa usaha untuk
memupuk nilai hormat-menghormati dipermudahkan. Agama adalah berasal dari Tuhan, apa
yang Tuhan telah cipta bermaksud untuk menjdikan kita insan yang berguna di dunia
mahupun di akhirat. Tidak dinafikan, semua agama tidak sesekali pernah menyuruh
penganutnya berbuat perkara yang tidak elok, dan oleh sebab itu perlunya didikan agama.
Sebagai penutup wadah ini, saya akan memetik firma Allah S.W.T yang mempunyai kaitan
dengan nilai menghormati :

Dan apabila disalami, maka jawablah dengan ucapan salam yang lebih baik atau balasan
salam dengan yang semisalnya. Sesungguhnya Allah akan menghitung segala sesuatu.
Dapatlah dirungkaikan di sini bahawa pemberian salam yang ikhlas dengan nada dan mimik
muka yang manis akan memancing jawapan yang baik atau malah lebih baik lagi sehingga
terjadilah komunikasi dua hala yang disenangi. Amalan ini bahkan disenaraikan sebagai
antara amalan yang paling baik di dalam Islam sebagaimana maksud hadis yang
diriwayatkan oleh Ash Shahihain dan selainnya dari Abdullah bin Amar RA bahawasanya
seseorang telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

Apakah amalan yang paling baik di dalam Islam?

Rasulullah SAW menjawab:

Memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang dikenali mahupun yang tidak
dikenali.

Oleh kerana bermanfaatnya amalan ini, amalan ini turut dianjurkan kepada murid-murid
sekolah renda sehingga mereka juga akan membesar dengan kebiasaan memberi dan
menerima salam. Begitulah peranan-peranan yang boleh dilaksanakan oleh para pendidik
untuk memupuk nilai saling menghormati dalam kalangan murid.