Anda di halaman 1dari 7

Soalan 1

Mukaddimah
Ibarat hendak membuat garisan lurus, pembaris mestilah lurus. Jika bengkok pembaris,
bengkoklah garisan. Berkaitan bidalan moden tersebut, untuk memartabatkan Bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu di persada antarabangsa perlulah ada peranan oleh pembuat dasar (kerajaan)
atau dari pihak kita sendiri bagi merealisasikan tujuan tersebut amatlah penting. Sebelum itu, kita
perlulah mengkaji tentang bahasa kita sendiri.

Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, Bahasa didefinisikan sebagai lambang bunyi suara
yang digunapakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Dari
definisi tersebut, jelaslah bahawa bahasa yang mempunyai fungsi penghubung, pernyataan
perasaan dan pernyataan fikiran ini amat penting untuk urusan seharian termasuklah
penyampaian ilmu pengetahuan didalam pendidikan. Sudah tentu ianya berkait rapat dengan
usaha memartabatkan penyampaian ilmu pengetahuan.

Memang terdapat banyak kekangan dan cabaran dalam memperkasakan Bahasa Melayu
ini terutamanya di peringkat antarabangsa. Dalam abad ke-21 ini, Bahasa melayu kini tercabar
dari sudut fungsi wahana penyampaian ilmu dan maklumat. Perkembangan segala macam ilmu
dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, memang menjadikan
bahasa sebahagian dalam keperluan itu. Usaha penulisan dan penerbitan buku-buku ilmu,
khususnya dalam bidang sains dan teknologi maklumat tidak bergerak sejajar dengan
perkembangan ilmu dan pembangunan Negara. Di Malaysia, bahasa Melayu sudah mencapai
martabatnya sebagai bahasa negara akibat keperkasaannya semenjak zaman-berzaman, dari
zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka hingga kemerdekaan Malaysia, tetapi adakah
bahasa Melayu atau bahasa Malaysia itu terjamin kedudukannya untuk terus bersaing dalam era
ledakan maklumat ini akan dilihat dari peruntukan perlembagaan dan dasar pendidikan Negara?
Usaha memartabatkan Bahasa Melayu dari sudut jati diri.

Usaha dan kesedaran dari dalam bukan dari orang perseorangan sahaja. Tetapi, ianya
adalah usaha bersama terutamanya oleh gabunagan dari pembuat dasar (kerajaan), NGO dan
orang perseorangan perlu dilakukan agar Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada
antarabangsa dapat dimartabatkan.

1. Mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pendidikan.

Menurut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Perkara 17(1) yang menyatakan, Bahasa
Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam
Sistem Pendidikan Kebangsaan. Ini bermakna perlunya Bahasa Melayu perlu digunakan di
mana-mana institusi pendidikan terutamanya di sekolah-sekolah dan universiti-universiti sebagai
bahasa penghantar atau bahasa ilmu. Jikalau boleh diperingkat pendidikan awal lagi iaitu zaman
Pra-sekolah mereka. Jadi, para pendidik perlu menyediakan diri agar lebih mantab tentang
perbagai sudut terutamanya dari sudut pedagogi dan keilmuan untuk mendidik anak-anak supaya
wujudnya jati diri dalam mempertahankan Bahasa Melayu dan pada masa yang sama dapat
memartabatkan bahasa melayu di tunjang bangsa itu sendiri.

2. Penggunaan bahasa Melayu dalam ucaptama bagi semua pemimpin.

Pihak pembuat dasar juga perlu menguatkuasakan dan memperkasakan agar semua pemimpin
dapat memberikan ucaptama yang disampaikan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan dapat
disampaikan dalam Bahasa Melayu dengan baik. Ini bermakna setiap pemimpin juga perlulah
mempunyai jatidiri dalam berbahasa melayu tidak kira apa jua keturunan mereka.

3. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka

Peranan aktif perlu dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ) dengan memperbaharui
istilah bahasa melayu yang menggunakan singkatan Inggeris, memperbanyakkan istilah yang
meliputi pelbagai bidang seperti istilah perubatan , istilah perundangan , sistem kewangan dan
lain-lain serta memperbanyakkan penyelidikkan tentang bahasa melayu disamping menggiatkan
usaha menambah bahan rujukan dalam bahasa melayu melalui usaha penterjemahan bahan
bahasa asing kepada bahasa melayu .

4. Membudayakan Bahasa Melayu di dalam kehidupan seharian

Apa yang lebih penting ialah peranan individu itu sendiri untuk menggunakan bahasa melayu
dengan betul dalam semua urusan harian mereka termasuklah dalam urusan sesama keluarga,
rakan-rakan, orang sekeliling serta berhubung dengan sistem pesanan ringkas. Ibu bapa
memainkan peranan penting dalam memastikan pengunaan bahasa melayu dengan betul ketika
berkomunikasi dengan anak-anak di rumah. Ini adalah kerana persekitaran yang membina akan
menjana kepada penguasaan bahasa yang sempurna.

5. Memperkasa bahasa Melayu dalam kommunikasi dan media massa

Dalam sub bidang komunikasi dan media massa iaitu hiburan, amat dekat dengan masyarakat.
Jadi relevanlah sekiranya perkasaan bahasa melayu melalui saluran ini dengan menitik moral
bahasa melayu yang betul dalam hiburan. Contohnya drama, senikata lagu, iklan, dan sebagainya
supaya ianya lebih berkesan terutamanya golongan generasi X dan Y.

6. Kempen Bahasa Melayu

Kempen ini didedikasikan kepada bangsa Malaysia termasuklah kepada orang luar, seperti pantu,
pidato, puisi, lagu dan sebagainya.
Usaha memartabatkan Bahasa Melayu ke arena antarabangsa.

Setelah jati diri diperkasakan, barulah ianya lebih mudah untuk menyebarkan pengaruh
dan mertabat ke arena antarabangsa. Oleh yang demikian, perlunya usaha mempromosi atau
meluaskan pengaruh penggunaan Bahasa Melayu agar dapat dimartabatkan di persada
antarabangsa.

1. Menggalakkan Pertandingan yang berkaitan dengan Bahasa Melayu

Terdapat pelbagai cara untuk meluaskan pengaruh bahasa melayu supaya dapat dimartabatkan
diperingkat antara bangsa. Antaranya pertandingan atau karnival yang melibatkan peserta antara
bangsa seperti Pidato Peringkat Antarabangsa, sayembara puisi bahasa melayu, pertandingan
nyanyian lagu dalam Bahasa Melayu dan sebagainya.

2. Memperkasa Bahasa Melayu di dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Teknologi maklumat dan komunikasi amatlah luas pengaruhnya kerana ianya di gunapakai oleh
amat ramai pengguna diseluruh dunia. Oleh yang demikian, haruslah memperbanyakan perisian
serta istilah dalam versi bahasa Melayu.

3. Promosi

Dengan memperkenalkan kesenian dan budaya melayu seperti nyanyian lagu-lagu melayu di
persada antarabangsa, secara tidak sengaja dapat mempromosikan budaya serta bahasa Melayu
ke dunia luar atau bangsa asing.
4. Fakulti Bahasa Melayu di universiti luar negara.

Membuka peluang kepada universiti luar negara mengadakan Fakulti Bahasa Melayu. Di sinilan
akan lahir cendiakiawan, pengkaji, pengikut dan pejuang serta akan menjadi batu loncatan
kepada bahasa melayu itu sendiri untuk menjadi lebih perkasa di arena antarabangsa.

Kesimpulan

Usaha untuk Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada antarabangsa tidak
dapat dilakukan dengan hanya memukul canang sahaja. Tetapi, ianya perlu dilakukan dengan
menguatkan jatidiri dari dalam supaya apabila ianya diperjuangkan, masyarakat antarabangsa
sendiri dapat menilai bahawa warga Malaysia ini "cakap serupa bikin". Barulah kukuh apa yang
diperjuangkan. Ia bikan usaha individu sdahaja, tetapi ia melibatkan seluruh warga negara
Malaysia bermula dari peringkat akar umbi hingga ke golongan cendikiawan dan cerdik pandai.
Yang paling asas ialah setiap ibu bapa,guru dan mana-mana pihak terlibat harus membimbing
dan mengajar anak-anak ,murid-murid mereka dengan Bahasa Melayu yang betul, bukannya
bahasa rojak. Sampai ke peringkat sekolah menengah dan hingga ke peringkat pengajian
tinggi,usaha ini harus diteruskan.
Rujukan

Ismail Hussein (1992). Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita. Asal-usul bahasa
Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noresah Baharom (1994). Kamus Dewan. Edisi ketiga,Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka

Isu Glokal dan Global (2011, February 24). e-dekz cdyz Laman Blogspot: Bahasa Melayu
Sebagai Bahasa Ilmu. Diperolehi pada December 18, 2012. From, http://e-
dekz.blogspot.com/2011/02/bahasa-melayu-sebagai-bahasa-ilmu.html

A.Aziz Deraman (2007). Bahasa Melayu dan Cabaran Global. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa

Yahya Don (2007). Kepimpinan Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur:PTS Professional