Anda di halaman 1dari 10

1.

1 Pentaksiran

Kementerian Pendidikan Malaysia (2012) menyatakan bahawa pentaksiran adalah satu


proses mengumpul dan menginterpretasikan maklumat tersebut agar ia dapat di
maklumkan kepada pelajar tentang progres atau kemajuan yang telah di capai dalam
sesuatu perkara seperti penguasaan pengetahuan, kemahiran, sikap dan perlakuan yang
sepatutnya dikuasai oleh mereka dalam tempoh masa yang tertentu. Dalam bahasa
Inggeris, pentaksiran bererti assessment yang juga berasal dari perkataan Greek,
assidere yang membawa maksud ada di sisi. Menurut Payne (2003), pentaksiran
merupakan satu integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat
dengan erti kata lain memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat kesimpulan
berdasarkan maklumat yang telah diperoleh. Beliau juga membuat kesimpulan bahawa
pentaksiran adalah hasil dari proses pengukuran dan penilaian sesuatu tugasan itu. Pengajar
boleh memilih untuk menjalankan mana-mana proses pengukuran, penilaian atau
pentaksiran untuk mendapatkan maklumat tentang pembelajaran pelajar.

1.1.1 Kepentingan Pentaksiran

Pentaksiran adalah penting untuk dijalankan kerana:

1. Dapat memudahkan pengajar untuk merancang proses pengajaran dan


pembelajaran yang sesuai berdasarkan standard pelajar tersebut. Pengajar juga
dapat membantu dalam menyediakan bahan dengan lebih awal agar dapat
membantu pelajar menguasai dengan lebih mudah dan efektif
2. Pengajar dapat mengetahui keupayaan dan pengetahuan asas pelajar kerana dalam
dokumen pentaksiran, terdapat aras-aras rendah yang perlu dikuasai sebelum
mereka dapat menguasai aras yang lebih tinggi.
3. Pengajar dapat mengesan kelemahan pelajar ketika masih diperingkat awal. Ini
dapat membantu dari segi kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran juga
kerana pengajar dapat memberi fokus yang lebih kepada topik yang lemah
sebelum ke topik seterusnya.
4. Pengajar dapat mengenalpasti faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu
lemah dalam sesuatu topik kerana pentaksiran akan dijalankan secara
berperingkat.
5. Pengajar dan pelajar itu sendiri dapat mengetahu tahap sebenar diri seseorang
pelajar tersebut kerana pentaksiran dijalankan berdasarkan kepada dokumen-
dokumen yang seragam berdasarkan kriteria yang diperlukan
6. Kedua-dua pelajar dan pengajar itu dapat membuat perbezaan pencapaian pelajar
itu dari mula pengajaran hingga ke akhir. Ini penting kerana pelajar dapat berusaha
untuk meningkatkan pencapaian mereka agar lebih tinggi dari sebelumnya.

1.1.2 Bagaimanakah pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berhubungkait?

PENGAJARAN PEMBELAJARAN
(Pengajar) (Pelajar)

Pengajar menambahbaik pengajaran secara keseluruhanMATLAMAT


dan berterusan
Pelajar meningkatkan prestasi pembelajaran secara keseluruhan
/OBJEKTIF

PENTAKSIRAN
(Pengajar & Pelajar)

Rajah 1.1 Hubungan di antara pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran

1.1.3 Pentaksiran dan Penilaian

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dua perkara yang paling utama merupakan
pentaksiran dan penilaian. Menurut Chan (2006), asasnya pentaksiran merupakan satu
proses mencari kebolehan pelajar dan apa yang pelajar itu tahu. Spandel & Stiggins (1990),
pentaksiran sebagai satu perbuatan mengumpul informasi secara konsisten untuk
memahami proses pembelajaran dan keperluan pelajar secara individual. Secara umumnya
ia merupakan proses yang mana keberkesanan sesuatu pengajaran itu diukur berdasarkan
objektif dan matlamat pengajaran dengan satu tujuan utama iaitu untuk meningkatkan taraf
pembelajaran.
Pentaksiran boleh diukur dalam bentuk kualitatif atau pernyataan dan keputusan
yang di ambil atas individu yang di taksir. Pentaksiran merupakan proses terkumpul dan
interpretasi maklumat yang dapat digunakan untuk memaklumkan kepada pelajar tentang
pencapaian mereka terhadap beberapa bidang contohnya pengetahuan, kemahiran sikap
dan perlakuan yang sepatutnya mereka pelajari atau kuasai. Selain itu, pentaksiran juga
boleh didefinisikan sebagai proses yang meliputi pelbagai cara untuk menentukan tahap
yang diperoleh seseorang individu atau pelajar. Kesimpulannya, pentaksiran boleh
dinyatakan secara ringkas sebagai pengintegrasian data kualitatif dan kuantitatif yang
dikumpul untuk menyediakan maklumat pelajar, apa dan bagaimana ia diajar.
Berbeza pula dengan penilaian, penilaian merupakan tindakan mentafsir maklumat
terkumpul dengan tujuan membuat sesuatu keputusan berkaitan pelajar yang di ajar. Antara
sebab perlunya penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah agar ia dapat
membantu dalam membongkar potensi dan kelebihan pelajar itu. Rajah1.2 menunjukkan
tiga komponen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Proses ini tidak lengkap
sekiranya salah satu daripada elemen ini hilang.
Objektif

Pengalaman
Penilaian
(Pembelajaran)

Rajah 1.2 Perkaitan antara tiga elemen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran

Elemen pertama dan yang terpenting adalah objektif, kerana setiap proses
pengajaran dan pembelajaran yang berlaku mempunyai tujuan dan perkara yang ingin
dicapainya. Objektif pengajaran mestilah sesuatu yang mampu dicapai oleh pelajar dalam
tempoh masa yang tertentu dengan tahap-tahap yang tertentu. Selesai membentuk objektif,
pengajar perlu menyediakan rancangan pengajaran yang sesuai dan mampu mewujudkan
pengalaman yang sesuai bagi membantu pelajar mencapai objektif yang ditetapkan.
Penilaian adalah sangat penting dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Wahid & Jahya (2009) elemen kedua merupakan pengumpulan
pengalaman sama ada yang pernah dialami sendiri, melalui pembacaan, melalui
pengembaraan, hasil perbincangan dari pertemuan intelektual dan lain lagi. Kesemua
kaedah ini merupakan rutin harian pelajar, aktiviti seperti sudah menjadi sebati dengan diri
mereka dari peringkat sekolah rendah lagi, ia akan kekal sehingga ke peringkat tinggi cuma
yang berbeza adalah darjah kesusahan atau pemberatan dan tahap keseriusannya.
Elemen ketiga merujuk kepada penilaian tahap pengetahuan, kemahiran, sikap dan
tingkah laku pelajar berdasarkan objektif pelajaran. Pada suatu masa dahulu, sistem
pendidikan menganggap penilaian merupakan penentu pencapaian pelajar pada akhir
sesuatu sesi pembelajaran mengikut objektif yang pengajar tetapkan sajaha.Namun kini
penilaian merangkumi aktiviti rnendapat informasi dan rnernbuat perbandingan sernasa
pernbelajaran dan pengajaran berlangsung. Berbeza pula dengan sistem yang
berorientasikan peperiksaan yang pernah diamalkan di Malaysia pada sebelum ini, sistem
penilaian kini memberi fokus kepada penilaian secara berterusan yang bertujuan
meningkatkan tahap pembelajaran pelajar. Pengajar pula bertanggungjawab untuk merekod
semua hasil pembelajaran pelajar untuk melihat peningkatan pencapaian pelajar terhadap
sesuatu topik. Penilaian untuk pembelajaran adalah bertujuan untuk meningkatkan
pembelajaran. Ia adalah proses mencari rekod dan mentafsir evidens untuk digunakan oleh
pengajar dan pelajar dalam membuat keputusan dalam pembelajaran pelaiar (Dikli,
2003).
Penilaian juga boleh digunakan sebagai kayu ukur untuk menunjukkan kecekapan
dan keberkesanan pengajar itu sendiri. Nordin & Bakar (2008) menunjukkan tiga perkara
penting yang mesti dipatuhi oleh pengajar semasa membuat penilaian pembelajaran:

1. Jawapan yang diberikan oleh pelajar hendaklah diperiksa dengan betul atau salah
sahaja. Oleh itu, markah, gred serta peratus tidak sesuai digunakan.
2. Jawapan-jawapan yang telah diperiksa akan dikembalikan kepada pelajar supaya
pelajar dapat melihat sendiri hasil pembelajaran yang telah dikuasai mahupun
belum dikuasainya.
3. Semasa kertas peperiksaan dipulangkan, pengajar dengan serta-merta perlu
menjalankan kerja-kerja pemulihan dan pengukuhan. Ia perlu dilakukan dengan
serta-merta kerana pelajar masih ingat tentang perkara tersebut dan mudah untuk
memperbetulkannya.

Dengan melalui ketiga-tiga langkah ini, secara tidak langsung penilaian menjadi
sebahagian daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kesimpulannya, pentaksiran
merujuk kepada tugasan menyediakan maklumat, manakala penilaian merujuk kepada
penghakiman berdasarkan kepada maklumat terkumpul itu. Perkara yang perlu untuk
difahami adalah kedua-dua pentaksiran dan penilaian merupakan komponen penting dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Matlamat utamanya adalah untuk membantu dan
meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Data pentaksiran dapat membantu pengajar
dalam membuat perancangan dan mengadaptasi pengajaran. Lebih penting lagi, pengajar
boleh membantu pelajar untuk memahami kemajuan pelajar dengan melibatkan diri pelajar
dalam kumpulan data tersebut. Penglibatan sedemikian memungkinkan pelajar mengenal
pasti matlamat pembelajaran diri mereka. Pentaksiran yang mantap dapat membantu
pengajar memperbaiki pengajaran, memfokuskan usaha rneningkatkan motivasi pelajar
serta meningkatkan pencapaian pelajar.
1.3 Kompetensi

Kompetensi merupakan satu unit tugasan yang mengintegrasikan kemahiran, pengetahuan


dan sikap dalam pembelajaran menggunakan bahan, alat atau teknik tertentu untuk
melengkapkan tugasan yang telah diberikan berkaitan dengan sesuatu proses pengajaran
dan pembelajaran itu. Kompetensi boleh diukur dengan cara pemerhatian atau pentaksiran
berdasarkan dokumen-dokumen yang telah disediakan.

1.2 Pentaksiran kompetensi

Pentaksiran kompetensi pula ditakrifkan sebagai satu proses mendapatkan evidens atau
bukti agar proses penghakiman terhadap tahap kompetensi pelajar dalam menjalankan
sesuatu tugasan berdasarkan kepada satu standard atau tahap yang telah di tetapkan.
Evidens pula merujuk kepada sebarang tindak balas pelajar dari jenis proses atau produk,
pengetahuan sama ada dalam bentuk penulisan atau lisan yang boleh dijadikan bukti bagi
menunjukkan tahap kompetensi seseorang itu dalam tugasan yang telah diberikan.
Standard adalah tahap kualiti serta kuantiti kerja minima yang telah dikenal pasti yang
perlu dicapai oleh seseorang pelajar itu untuk melayakkan beliau berada di sesuatu tahap
kompetensi yang pelajar itu seharusnya tahu.

1.2.1 Ciri-Ciri Pentaksiran Kompetensi

Terdapat pelbagai ciri-ciri pentaksiran kompetensi bergantung kepada skop tugasan yang
tertentu. Berikut merupakan antara ciri-ciri yang dapat di disarankan oleh Foyster (1990),
Delker (1990) dan Norton (1987) perlu dipertimbangkan iaitu:

1. Fleksibel.
Aspek fleksibel merujuk kepada masa atau tempat sesuatu proses pentaksiran
berjalan. Ini bermakna pentaksiran boleh dilakukan atas permintaan atau atas budi
bicara kedua-dua belah pihak iaitu pengajar dan pelajar. Pelajar mempunyai tahap
kelejuan pembelajaran yang berbeza. Pelajar yang agak lemah memerlukan masa
yang lebih untuk menjalankan sesuatu tugasa dan jika masa dan peluang diberikan,
mereka juga dapat mencapai tahap kompetensi yang dikehendaki.
2. Individual
Pentaksiran dijalankan secara individu, bukan berkumpulan. Dengan cara tersebut,
pencapaian seseorang pelajar itu tidak akan dibandingkan dengan pencapaian
pelajar lain. Markah yang diperoleh menunjukkan prestasi pencapaian pelajar
tersebut. Markah ini berbentuk absolute dan bukan relatif. Pentaksiran kompetensi
adalah berpusatkan pelajar dan merujuk kepada kriteria atau standard yang
ditetapkan (criterion referenced).
3. Mempertingkatkan pembelajaran.
Hasil pembelajaran sesuatu subjek adalah berpandukan kepada ujian pentaksiran
berdasarkan standar yang telah ditetapkan. Prestasi pelajar dinilai dengan
membandingkan evidens yang diperoleh dari pelajar dengan pernyataan standard.

1.2.2 Kelebihan Pentaksiran Kompetensi

Antara kelebihan menjalankan pentaksiran kompetensi adalah:

1. Pelajar tersebut jelas dengan apa yang perlu dikuasai atau di capai dalam tempoh
masa yang tertentu berdasarkan kepada standard yang telah ditetapkan
2. Proses pengajaran dan pembelajaran akan berlangsung dengan lebih berkesan
dimana pengajar dapat mengetahui pelajar mana yang berada di tahap lemah dan
sekaligus dapat memberi perhatian yang sewajarnya agar proses tersebut dalam
dijalankan dengan lebih efektif tanpa membazir masa.
3. Pentaksiran kompetensi adalah berdasarkan kepantasan individu itu sendiri.
Dimana pelajar yang laju atau mempunyai tahap kompeten tinggi dapat membantu
rakannya yang agak lemah dan mempunyai kompeten rendah.
4. Sijil tertentu dapat diberikan kepada pelajar yang berjaya dan lulus dalam
pentaksiran kompetensi kerana sijil yang dikeluarkan adalah berdasarkan kriteria
tertentu.
1.2.3 Integrasi Kompetensi dalam Kurikulum Pendidikan dan Kolej Kemahiran
Tinggi Mara(KKTM) Berasaskan Kompetensi

1. Pendekatan pembelajaran yang diamalkan adalah amat sesuai digunakan dalam


proses pengajaran dan pembelajaran di KKTM
2. Pengetahuan dan kemahiran yang diterapkan adalah selaras dengan kemahiran di
alam pekerjaan dan ia dapat membantu pelajar memahami dan mengaplikasikan
bagaimana pengetahuan yang telah dipelajari sebaik mungkin. Ini menunjukkan
bahawa kurikulum yang digunakan di KKTM adalah berlandaskan situasi sebenar.
3. Dengan kurikulum yang sedemikian, objektif pembelajaran KKTM juga adalah
bertepatan untuk menhasilkan hasil pembelajaran yang kompeten. Oleh itu, ia dapat
menghasilkan individu yang lebih praktikal dalam mengaitkan pengetahuan dengan
persekitaran sebenar.
Rujukan
Chan, Y. F., Gurnam, K. S., Yunus, M., & Rizal, M. (2006). The knowledge and best
practices of secondary school esl teachers in school-based assessment/Dr. Chan Yuen
Fook, Assoc. Prof. Dr. Gurnam Kaur Sidhu, Md Rizal Md Yunus.

Delker, P.V. (1990). Basic Skills Education in Business and Industry: Factors for Success
or Failure. Contractor Report, Office of Technology Assessment, United States
Congress Development: Ladbrook, Australia. ERIC: ED 317849

Dikli, S. (2003). An overview of automated scoring of essays. The Journal of Technology,


Learning and Assessment, 5(1).

Foyster, J. (1990). Getting to Grips with Competency-based Training and assessment.


TAFE National Center for Research and Development.

Nordin, A. B., & Bakar, B. A. (2008). Penaksiran dalam Pendidikan & Sains Sosial (Vol.
150.287). Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris

Norton. R.E. (1987). Competency-based Education and Training: A Humanistic and


Realistic Approach to Technical and Vocational

Payne, D.A. (2003). Applied educational assessment: Second edition. Canada: Wadsworth
Thomson Learning

Spandel, V., & Stiggins, R. J. (1990). Creating writers: Linking assessment and writing
instruction. New York: Longman.

Wahid, A. H., & Jahya, Z. (2009). Pendidikan Pembangunan Modal Insan (Vol. 370.9595).
Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Anda mungkin juga menyukai