Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Sumber : http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/8823-buli-dan-peranan-
ibu-bapa
Buli adalah budaya negatif yang amat membimbangkan sesiapa sahaja. Bukan sahaja
kepada individu yang terlibat secara langsung, malah ia juga membimbangkan pihak
penjaga atau ibu bapa pelajar, pihak sekolah dan masyarakat awam. Perbuatan yang
keji ini boleh mengakibatkan tekanan mental kepada mangsa. Sesetengahnya juga
mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius sehingga membawa kematian. Yang
amat malang juga sekiranya perbuatan ini mampu menyebabkan mangsa bertindak
sehingga membunuh diri.
Kesan buli terhadap mangsa juga dirasai oleh ahli keluarga. Jika berlaku kecederaan
terhadap mangsa ia memberi kesan dari pelbagai sudut termasuklah dari segi wang
ringgit, masa, tenaga dan sebagainya. Jika buli mengakibatkan kematian, keluarga
tentunya akan mengalami kesedihan yang melampaui kerana kehilangan tempat
berkasih sayang selain mangsa merupakan aset keluarga pada masa akan datang.
Tanpa sebarang alasan yang munasabah, buli juga tanpa disedari boleh mengakibatkan
permusuhan dan putusnya silaturrahim dalam kalangan saudara seagama.
Walau bagaimanapun, malangnya ada sesetengah pelajar atau anak yang tidak diberi
ruang yang cukup sekiranya mereka hendak mengadu terhadap perkara yang dihadapi
di tempat mereka belajar. Segelintir penjaga atau ibu bapa kurang memberi perhatian
terhadap perkara yang diadukan. Mereka akan hanya meminta si anak untuk bersabar
dan bertahan dengan masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Sesetengah ibu bapa
juga tidak menyedari tentang perbezaan personaliti semasa mereka remaja dengan
personaliti anak mereka. Sifat dominan, berkarisma dan sifat-sifat yang boleh
menimbulkan rasa segan dan hormat oleh orang di sekeliling tidak semestinya akan
diwarisi oleh anak. Atau dengan contoh yang mudah, seorang yang pernah menjadi
ketua pelajar tidak semestinya akan melahirkan seorang anak yang kemudiannya juga
akan menjadi pemimpin pelajar. Meminta anak untuk bertahan malah melawan balik
bukanlah saranan yang bijak apatah lagi jika perbuatan agresif tersebut dilakukan
secara beramai-ramai.
Reputasi sekolah yang sangat baik, atau orientasi kurikulum sekolah yang memang
menjadi pilihan utama ibu bapa adalah antara sebab mengapa mereka tetap mahukan
anak tersebut terus berada dan menimba ilmu di sekolah terlibat.
Berbalik kepada tindakan penjaga berkenaan, menurut beliau tidak ada gunanya untuk
meminta si anak supaya terus bertahan. Buli telah dilakukan secara berkumpulan dan
sudah pasti mangsa yang terlibat merasa sangat tertekan dan semangat untuk
meneruskan pengajian hilang serta-merta.
Buli ialah jenayah senyap yang amat menyakitkan dalam diam. Bagi kes di atas, jika
salah laku berkenaan diadukan kepada pihak sekolah, pihak sekolah tentunya akan
membuat penyiasatan dan hukuman akan dikenakan jika sabit perbuatan tersebut.
Tetapi, harus difikirkan juga tentang kemungkinan akibat buruk yang boleh berlaku.
Iaitu, dendam yang lebih dalam mungkin timbul terhadap diri mangsa. Menyedari
kebarangkalian lebih buruk akan berlaku jika kejadian diadukan, maka itulah yang
mendorong penjaga berkenaan memindahkan anak mereka dari sekolah tersebut.
Dalam satu kes buli yang berasingan, saya juga bertemu dengan bapa kepada salah
seorang pelajar yang terlibat dengan perbuatan buli terhadap pelajar lain. Ia juga
dilakukan secara berkumpulan di sekolah asrama yang berprestij dan mempunyai
orientasi disiplin yang sangat tinggi. Pembulian yang dilakukan oleh pengawas
adalah sebagai menghukum seorang pelajar yang telah melanggar disiplin sekolah.
Malangnya perbuatan menghukum dengan membelakangkan peranan guru disiplin
dan sekolah itu sendiri, telah menatijahkan pelajar-pelajar berkenaan dibuang
sekolah. Rayuan mereka untuk menyambung belajar di sekolah berkenaan turut
ditolak.
Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah, bapa pelajar berkenaan berinisiatif untuk
membuat pertemuan dengan ibu bapa atau penjaga lain yang terlibat dan berbincang
untuk mencari penyelesaian terbaik kepada semua pihak yang terlibat. Malangnya
menurut beliau, sebahagian ibu bapa berkenaan tidak menunjukkan sikap
bertanggungjawab atau rasa bersalah bagi pihak anak yang telah terlibat dengan salah
laku berkenaan.
Kejadian buli berlaku disebabkan pelbagai faktor. Sikap pihak sekolah dan ibu bapa
juga bukanlah seragam dalam menangani buli kerana setiap insan memiliki corak
pemikiran yang tersendiri. Walau bagaimanapun, siapa pun kita apabila sedang
berhadapan dengan kejadian, lakukanlah tindakan yang paling realistik terutama demi
kebajikan dan masa depan pelajar.
Pada zaman serba canggih ini buli juga mampu dilakukan dengan bentuk yang
canggih. Terdapat juga kes-kes buli di kampus yang dilakukan melalui medium alam
maya seperti penghantaran virus dan mensabotaj komputer. Akibat daripada perbuatan
tersebut, mangsa mengalami kehilangan data, kecurian data, kerosakan perisian dan
kerosakan komponen komputer itu sendiri. Dalam kes-kes sebegini, sememangnya
mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal tetapi mangsa tentunya
mengalami kesedihan dan mengalami pelbagai kerugian. Sehingga ke satu peringkat
pelajar yang menjadi mangsa terpaksa membeli komputer yang baharu.
Seperti tindakan ibu bapa yang memindahkan anak mereka ke sekolah yang lebih baik
persekitarannya, sekurang-kurangnya menjadi suatu usaha yang dapat memelihara
kesihatan mental si anak. Usaha yang dilakukan oleh bapa dalam kes yang kedua
adalah suatu tindakan yang sepatutnya disambut baik oleh penjaga-penjaga lain yang
anak-anak mereka sama-sama terlibat dalam kes buli berkumpulan. Mereka
sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap salah laku yang dilakukan oleh anak-
anak mereka. Meminta anak-anak memohon maaf kepada mangsa dan keluarga
mangsa sepatutnya dilakukan. Bukannya sekadar menyerahkan perkara berkenaan
kepada pihak sekolah semata-mata.