Anda di halaman 1dari 3

Ada Apa Dengan Shisha?

Tembakau, nikotin, tar, karbon monoksida, karsinogen, arsenik, kromium dan plumbum
hanyalah secebis daripada cebisan kisah si pembunuh suci ini. Suci kerana telah
disucikan! Kononnya.

Interaksi antara bahan-bahan yang berisiko tinggi, disucikan dengan lapisan air dan diadun
dengan bahan perisa yang mengasyikkan, maka jadilah shisha seperti yang kita kenali pada
hari ini.

Shisha.

Shisha berasal dari India, sekitar abad ke-16 Masihi, sewaktu pemerintahan Empayar Islam
Mughal berikutan pengenalan tembakau oleh para pedagang Eropah. Hakim Abul Fath
Gilani, seorang ahli fizik berasal dari Gilan, iaitu sebuah wilayah di utara Iran, yang berhijrah
ke India, menyedari akan kegilaan baru di kalangan golongan elit Mughal, iaitu menghisap
tembakau, telah mereka cipta satu alat yang membolehkan asap tembakau melepasi air bagi
tujuan menyucikannya.

Melalui Asad Beg, iaitu Duta Bijapur, ia diperkenalkan kepada Maharaja Akbar yang
memerintah ketika itu. Ekoran itu, shisha menjadi popular di kalangan golongan elit India
sebelum merebak ke Asia Tengah dan seluruh dunia.

Kelengkapan dan Penyediaan

Dalam sebuah shisha terdapat lima komponen penting kepala, batang paip, balang air, hos
dan muncung paip. Langkah penyediaannya pula cukup begitu mudah. Hanya masukkan
tembakau yang diperam dengan ekstrak buah-buahan yang berperisa (epal, vanilla, nanas,
strawberi, dll dsb) ke dalam bahagian kepala shisha dan diletakkan arang di atasnya.
Tembakau dan arang selalunya dipisahkan dengan kepingan aluminium di antara kedua-
duanya.
Apabila arang dipanaskan, lubang yang terdapat di bahagian bawah kepala shisha akan
membenarkan asap yang terhasil menuruni batang paip dan terus masuk ke dalam balang air
yang separuh terisi air. Gelembung-gelembung udara kemudian terhasil dan asap dibawa
bersama-sama wap air melalui hos terus ke muncung paip.

Konsep sebegitu mudah, tapi sejauh manakah keberkesanannya?

Mari kita lihat satu persatu.

Karbon Monoksida

Gua first time sedut shisha, gua layan sampai pening beb. Maklumlah, first time lah katakan.
Itu yang pening tu.

Karbon monoksida. Malang yang tidak berbau, tidak berwarna, tidak berasa, juga tidak
merengsakan.

Karbon monoksida dalam darah seseorang yang tidak merokok berkisar kurang dari 1%,
perokok pasif mempunyai kadar karbon monoksida dalam darah berkisar antara 2-4% dan
untuk perokok berat, kadar karbon monoksida dalam darah boleh mencapai 5-7%. Sementara
menurut hasil penelitian, para penghisap shisha mempunyai kadar karbon monoksida dalam
darah mencapai 8-12%.

Keracunan karbon monoksida mampu menjejas sistem pengangkutan oksigen dengan begitu
berkesan sekali. Kekurangan bekalan oksigen seterusnya menyebabkan tergendalanya sistem
saraf sentral, lantas sakit kepala, kepeningan menyusul.

Vertigo, konfusi, halusinasi, delirium, amnesia kesemuanya menanti dalam senarai


komplikasi keracunan karbon monoksida.

Nikotin dan Tar

Siapa kata shisha bahaya? Takde efek lah. Nikotin 0.5%, tar 0%. Sikit pun tak bahaya.

Nikotin, walaupun berperatusan kecil, tetapi kebiasaannya para penghisap shisha menyedut
asap shisha dalam kuantiti yang banyak menyebabkan kuantiti nikotin yang disedut, turut
meningkat!

Setiap sesi menghisap shisha biasanya berlangsung selama 40 minit dan mengandungi antara
50 200 sedutan. Setiap sedutan pula mengandungi 0.15 0.50 liter asap. Menurut laporan
yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan American Cancer Society
telah menunjukkan bahawa, sepanjang kira-kira 1 jam sesi shisha, pengguna menyedut 100
200 kali asap dan kira-kira 70% lebih nikotin berbanding dengan sekali merokok.

Sudah tentulah tembakau tidak mengandungi tar, kerana ia tidak diperbuat daripada tar,
sebaliknya, ia menghasilkan tar! Dengan kata lain, tar adalah bahan hitam legap dan
berminyak yang terhasil daripada pembakaran kayu, arang atau tembakau.
Bahan inilah yang menyelaputi paru-paru dan menyumbat sel-sel pernafasan seterusnya
menyebabkan kanser paru-paru. Kajian menunjukkan bahawa penggemar shisha 5 kali ganda
lebih berisiko untuk menghidap kanser paru-paru berbanding orang yang tidak merokok.

Logam Berat

Asap shisha juga mengandungi logam-logam berat yang tidak dapat ditapis sepenuhnya oleh
lapisan air. Plumbum contohnya, berupaya mempengaruhi sistem saraf sentral dan
menimbulkan tanda-tanda kronik keracunan, termasuklah sakit kepala, kehilangan selera
makan, anemia, kelesuan serta insomnia.

Tidak hairanlah sekiranya penghisap shisha kadang-kadang berkata, Sekali sedut, tak makan
sehari dua.

Karsinogen

Selain itu, karsinogen yang terbebas di dalam asap shisha boleh menyebabkan kanser. Kajian
yang dilakukan di Yaman menunjukkan risiko kanser esofagus dan gastrik meningkat di
kalangan penghisap shisha berbanding orang yang tidak merokok. Ia juga meninggikan risiko
mendapat kanser paru-paru sebanyak dua kali ganda dan berkadar terus dengan kekerapan
penggunaannya. Kanser mulut juga telah dilaporkan dialami oleh penghisap shisha di Mesir.

Jangkitan Virus dan Bakteria

Di Mesir, penyakit tuberkulosis menjadi suatu kebiasaan di semua hospital disebabkan


perkongsian muncung paip shisha yang mendedahkan para penghisap shisha kepada bahaya
jangkitan penyakit yang merebak melalui air liur.

Aspergillosis juga telah dilaporkan mampu berjangkit di kalangan penghisap shisha yang
bercampur marijuana. Patogen-patogen lain yang boleh merebak melalui perkongsian
muncung paip shisha termasuklah Hepatitis C, Herpes simplex virus (HSV), Epstein-Barr
virus (EBV), respiratory syncytial virus (RSV) dan Human immunodeficient virus (HIV).

Jelas sudah bahawa filter air yang berfungsi di dalam shisha tidak dapat menapis sepenuhnya
bahan-bahan toksik dan karsinogen yang membahayakan kesihatan, bahkan penggunaannya
juga meningkatkan kandungan toksin dalam badan dan risiko jangkitan penyakit yang
merbahaya.