Anda di halaman 1dari 11

1.

0 Pengenalan kepada Isu Etika Sejagat iaitu Masalah Gengsterisme

Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan
merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Malangnya, dalam proses menongkah arus globalisasi yang pantas bergerak ini,
keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Pada dunia zaman
sekarang ini, sering kali kita mendengar isu-isu yang kebanyakannya berkaitan dengan
keruntuhan etika sejagat. Isu-isu berkaitan etika moral ini saban hari semakin memberi
ancaman atau masalah kepada kehidupan kita semua kerana moral melibatkan pemikiran,
perasaan dan tingkah laku yang sesuai ataupun sebaliknya pada pandangan masyarakat. Ia
juga mempunyai kaitan dengan hubungan intrapersonal dan interpersonal manusia. Isu etika
yang dibincangkan ialah gengsterisme. Masalah gengsterisme semakin luas merebak lebih-
lebih lagi dalam kalangan remaja negara ini.

2.0 Konsep Gengsterisme

Gengsterisme atau samseng dapat ditakrifkan sebagai perlakuan ganas yang mencederakan
fizikal dan menjejaskan emosi serta mental seseorang seperti memukul, membuli, mengugut
dan sebagainya. Gengsterisme didefinisikan sebagai kegiatan gengster atau kumpulan sulit
dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah tertentu (Kamus Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2010). Gengster berasal daripada perkataan geng yang bermaksud sekumpulan
orang yang memberi kesetiaan bagi mencapai matlamat awam dan melibatkan diri dalam
aktiviti-aktiviti melanggar undang-undang ataupun jenayah (Zainol Madon dan M.S Ahmad,
2004). Selain itu banyak juga tafsiran lain mengenai gengsterisme ini. Antaranya ialah, geng
berasal daripada perkembangan suatu kumpulan rakan sepermainan biasa yang lama-
kelamaannya bertukar melakukan aktiviti yang lebih ganas (Thrasher, 1977). Menurut Thrasher
lagi, golongan peringkat awal remaja sering dirujuk mempunyai berkemampuan untuk
mewujudkan geng atau persatuan. Kumpulan pelajar ini sanggup bertindak demi melepaskan
kemarahan dan berseronok-seronok tanpa memikirkan impaknya kepada diri sendiri dan orang
lain. Gengsterisme juga merupakan geng sub-budaya yang dibentuk oleh golongan muda kelas
bawahan yang mengamalkan nilai-nilai dan norma-norma yang bertentangan dengan
masyarakat tradisional dan dianggap sebagai reaksi kepada perbezaan kelas dalam
masyarakat mereka.

Sesungguhnya apabila berbincang berkaitan isu-isu keruntuhan etika moral seperti isu
gengsterisme ini, kita sememangnya melihat masalah tersebut dalam kalangan remaja ataupun
belia pada masa sekarang. Gengsterisme merupakan satu fenomena yang dianggap menular di
kalangan remaja dewasa ini. Ia dilihat bukan sahaja berkemampuan menghalang pencapaian
pelajar remaja malahan boleh mengganggu-gugat perkembangan remaja dalam arus
pembangunan negara. Ia perlu ditangani kerana gengsterisme boleh mempengaruhi
pembabitan pelajar di dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, ponteng kelas, keciciran
sekolah, kekerasan, ketagihan alkohol dan rogol.

Secara umumnya, terdapat tiga jenis ataupun kategori utama gengsterisme yang
dikenalpasti iaitu kongsi gelap, kumpulan samseng dan kumpulan pelajar nakal. Terdapat
banyak punca berlakunya gengsterisme ini berlaku dan antaranya ialah faktor keluarga,
pengaruh rakan sebaya, kurang didikan moral di sekolah dan sebagainya.

3.0 Kategori Gengsterisme

Menurut terdapat tiga kategori gangster yang melibatkan remaja ataupun remaja sekolah iaitu
kongsi gelap, kumpulan samseng dan kumpulan pelajar nakal ataupun samseng di sekolah
(Jabatan Siasatan Jenayah, PDRM 1998)

Pertama, Kongsi gelap atau triad gang adalah organisasi berunsurkan tradisi Cina yang
mempunyai hierarki tersendiri serta mengamalkan upacara angkat sumpah malahan adat
istiadat berorientasikan tradisi, budaya dan sejarah masyarakat Cina. Kongsi Gelap biasanya
mempunyai kodnya tersendiri dan adalah masing-masing berbeza dari satu kumpulan yang lain.
Contohnya ialah, tatu yang sama pada semua ahli kongsi gelap tersebut tetapi berbeza
daripada tatu kumpulan kongsi gelap yang lain. Boleh dikatakan tatu merupakan logo ataupun
simbol untuk kumpulan tersebut serta menunjukkan keahlian yang sah. Kongsi gelap
merupakan kumpulan gengster yang sangat besar dan teratur dan oleh perkara yang
sedemikian, kumpulan kongsi gelap ini mempunyai pengaruh yang sangat kuat. Kongsi gelap
biasanya memiliki perniagaan sama ada berlesen atau haram dan perniagaan yang dijalankan
ialah perjudian.

Kedua kumpulan samseng atau thug gangs adalah kumpulan individu yang bergabung
bagi tujuan jenayah. Kewujudan samseng ini adalah berterusan dengan heirarki yang agak
longgar berbanding kongsi gelap. Kumpulan samseng juga terlibat dalam pelbagai salah laku
jenayah seperti rompakan bank, mencederakan orang lain dan sebagainya.

Ketiga, Kumpulan pelajar nakal ataupun samseng di sekolah merupakan masalah yang
sangat berleluasa dalam sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Kumpulan pelajar nakal ini
merupakan kumpulan pelajar yang bermasalah yang kerap melakukan pelbagai tindakan salah
laku berunsur kongsi gelap ataupun meniru perbuatan triad gang. Tetapi mereka tidak
mempunyai hubungan langsung dengan ahli-ahli triad gang di luar sekolah (Ibrahim Mamat
1997).

Namun secara umumnya salah laku yang biasa dilakukan oleh remaja gengster adalah
seperti jenayah, lucah, vandalisme, ponteng sekolah, melepak, menagih dadah, biadap dan
tidak mementingkan pelajaran. Ciri-ciri biasa pelajar samseng ialah bersikap kasar terhadap
warga pengurusan sekolah seperti para guru, kakitangan dan lebih-lebih lagi terhadap rakan
sebayanya. Menurut laporan-laporan disiplin sekolah, mereka (pelajar samseng) turut terlibat
dalam kes-kes ganas lain seperti memeras ugut kawan, mencuri wang dan barangan kemas,
menggunakan bahasa kesat dan lucah, menakut-nakutkan serta membelasah pelajar-pelajar
yang lain.

Pernah terjadi kes seorang pelajar tingkatan dua di Kedah dibelasah sehingga lebam di
bahagian belakang badan, muka, kepala dan tangan oleh tujuh orang pelajar di surau sekolah
(Zainal Madon dan M.S. Ahmad, 2004). Serangan itu dipercayai berpunca daripada perasaan
cemburu kerana pelajar itu dikatakan mengurat seorang pelajar perempuan. Kebiasaannya
pergaduhan seperti ini bermula daripada perkara yang remeh-temeh serta kebudak-budakan
seperti salah faham dan menarik perhatian pelajar lain.

4.0 Punca-Punca Masalah Gengsterisme

Umur remaja yang terlibat dengan gengsterisme adalah muda kerana kebanyakannya
membabitkan remaja sekolah rendah dan tidak terbatas kepada pelajar sekolah menengah
(Zainal Madon dan M.S. Ahmad 2004). Fakta yang paling mengejutkan lagi ialah bukan sahaja
remaja lelaki sahaja yang terlibat dalam gengsterisme malahan tidak terkecuali remaja
perempuan. Oleh itu, faktor penyumbang kepada gejala gengsterisme dilihat semakin liar
merebak dan ianya perlu dikenal pasti.

Berdasarkan teori ekologi oleh Bronfenbrenner, semua proses yang berlaku terhadap
individu berkait rapat dengan perubahan yang berlaku di persekitaran. Oleh itu, punca remaja
terjebak ke dalam gejala gengsterisme adalah latar belakang keluarga, persekitaran tempat
tinggal, sekolah serta penngaruh rakan sebaya.

4.1 Institusi Kekeluargaan Yang Rapuh


Remaja yang berasal daripada keluarga yang bermasalah dengan tahap sosioekonomi
yang rendah lazimnya mempunyai risiko yang tinggi untuk terjebak ke dalam dunia
gengsterisme. Keadaan ini disebabkan oleh ibu bapa tidak berpendidikan tinggi dan sejurus itu
tidak memiliki pekerjaan yang berpendapatan lumayan. Keadaan ini secara tidak langsung akan
memberikan para remaja (anak-anak) tekanan keluarga seperti keganasan, masalah perceraian
dan sebagainya. Oleh kerana perkara tersebut, kebanyakkan remaja langsung tidak
mengamalkan nilai kekeluargaan jika berada di dalam rumah. Insiden yang sebegini
menyebabkan mereka suka berkeliaran di luar rumah dan pada masa yang sama, mudah
terjebak dengan gejala sosial. Ini bermaksud, apabila remaja berasa tertekan dengan masalah
rumah tangga ibu bapa seperti penceraian khasnya, mereka akan mencari jalan lain seperti
keluar rumah untuk menyendiri (menenangkan fikiran) dan ini telah membuka peluang kepada
anasir-anasir gensterisme untuk bersarang di dalam pemikiran remaja tersebut.

Arus pemodenan yang pesat di dalam negara penting untuk pembangunan dan
peningkatan taraf hidup tetapi sifat sesetengah ibu bapa yang lebih berkecenderungan untuk
mengumpul kekayaan dan bekerja di luar rumah menyebabkan remaja ini terabai atau tidak
diberi tumpuan sepenuhnya. Ada ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan melainkan bekerja
untuk menampung kos sara hidup dan mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan. Bilangan
ibu bapa serta penjaga yang bekerja di luar rumah telah semakin meningkat dan perkara ini
secara langsungnya telah meningkatkan bilangan remaja terbiar dan mereka jarang mendapat
perhatian daripada ibu bapa mereka. Malahan, terdapat golongan ibu bapa yang menyerahkan
seratus peratus tugas mendidik dan mengasuh anak kepada para guru dan pihak sekolah
sehingga mereka tidak mengambil tahu kegiatan serta kawan anak-anak mereka. Apabila anak-
anak dibiarkan, mereka lebih mudah terdedah kepada anasir-anasir negatif yang membawa
kepada gejala gengsterisme. Selain itu, banyak antara ibu bapa yang terlalu menuruti kehendak
anak-anak mereka dan ini dipanggil sebagai memanjakan anak-anak. Anak-anak yang terlalu
dimanja biasanya akan memijak kepala ibu bapa mereka apabila dewasa kelak. Banyak ibu
bapa memanjakan anak-anak mereka dengan kebendaan dan wang ringgit sebagai tanda kasih
sayang namun perkara ini hanya mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan. Ini
kerana, anak yang terlalu dimanjakan sering bermasalah dan akhirnya terlibat dalam gejala
sosial seperti gengsterisme ini. Masalah ini seiring dengan sikap ibu bapa yang tidak
menjalankan tugas dengan sempurna mendidik anak-anak mereka.

4.2 Persekitaran Perumahan / Tempat Tinggal Yang Tidak Sesuai


Sesungguhnya, tumbesaran dan perkembangan remaja yang berlaku di persekitaran tempat
tinggal yang tidak sesuai juga merupakan salah satu faktor pendorong remaja untuk terlibat
dengan kumpulan gengster. Hal ini demikian, wujud rasa tidak selamat, sesak dan tidak
mendapat ketenangan atau privasi yang mencukupi yang menyebabkan remaja lebih gemar
menghabiskan masa di luar rumah. hasil kajian di negeri Johor menunjukkan bilangan kes
remaja terjebak dengan masalah sosial seperti melepak, menagih dadah dan memusnahkan
harta benda awam adalah lebih tinggi di kawasan rumah pangsa berbanding rumah teres
(Zainal Madon dan Mohd. Sharani Ahmad, 2004). Dipercayai mereka yang terlibat dengan
aktiviti-aktivit tersebut berisiko tinggi untuk terbabit dalam masalah gengsterisme. Tambahan
pula, sebilangan remaja menyertai kegiatan gengsterisme kerana kekerapan keganasan dan
aktiviti geng di tempat tinggal mereka adalah tinggi dan sudahpun berakar umbi sebagai tempat
perlindungan.

4.3 Pengaruh Media Massa

Pada alaf modenisasi dan globalisasi ini, pertambahan bilangan dan jenis media berteknologi
tinggi seperti rangkaian televisyen dan internet semakin pesat bagai cendawan tumbuh selepas
hujan. Penggunaan media berteknologi ini kebanyakannya dikuasai oleh golongan remaja yang
masih mentah. Kajian melaporkan bahawa 80 peratus anak-anak melayari Internet. Memang
tidak dapat dinafikan bahawa untuk mencapai status negara maju, rakyat sesebuah negara itu
perlu memajukan diri dengan perkembangan semasa seiring dengan kehendak pasaran dunia.
Malangnya, kemajuan yang dikecapi pada hari ini turut merosakkan pemikiran dan akhlak
remaja di negara kita. Terdapat banyak media berteknologi tinggi yang mendedahkan pelbagai
budaya luar dan aksi-aksi ganas yang mampu merosakkan peribadi dan sahsiah remaja yang
masih berumur setahun jagung.

Sebagai contoh, filem Buli, Gengster, KL Menjerit dan rancangan televisyen WWE
Smack Down telah membudayakan amalan samseng dalam kalangan remaja yang masih
muda. Penerbitan filem dan rancangan yang berunsurkan keganasan yang sememangnya
bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia ini disebabkan oleh sikap penerbit yang
bersikap materialistik dan ingin mengautkan keuntungan peribadi daripada mengutamakan
kepentingan sejagat. Sikap manusia yang mementingkan diri sendiri ini dapat diumpamakan
bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Kesannya, remaja akan meniru
dan mengikuti aksi-aksi yang ditontoni tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka. Mereka
yang sentiasa didorongan oleh semangat inkuiri akan melakukan gengsterisme terhadap orang
lain seperti memukul dan mengugut untuk melihat keberkesanan rancangan yang ditontoni oleh
mereka. Ringkasnya bahawa pengaruh negatif yang dibawa oleh media berteknologi tinggi juga
menjadi pemangkin kepada kemelut sosial ini kepada ibu pertiwi kita.

4.5 Sekolah Yang Kurang Memantau Masalah Pelajar

Ada pihak pengurusan sekolah yang kurang mengambil berat tentang masalah gengster di
sekolah dan perkara tersebut telah mengakibatkan tingkah laku devian atau keganasan lebih
menjadi serius malah semakin berleluasa. Tambahan pula, sesetengah pihak sekolah malu
untuk mengakui aktivit-aktiviti gengster di sekolah mereka semata-mata untuk menjaga reputasi
sekolah. Keadaan ini telah membiasakan sekolah yang sedemikan untuk bersifat defensif
terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah gengsterisme pelajar mereka.

4.6 Pengaruh Negatif Rakan Sebaya

Tidak dapat dinafikan, penglibatan remaja dengan gengsterisme dikaitkan dengan


perasaan inginkan dirinya diterima oleh rakan sebaya melalui kesetiaan dan kesanggupan
melakukan apa-apa sahaja (Dusek, 1987). Mereka turut didorong oleh persaan ingin dihormati.
Tambahan pula, mereka turut mendapat tekanan daripada rakan sebaya dan tindak sanggup
menerima cabaran negatif seperti merokok, berlumba motosikal dan sebagainya dengan
bertindak balas secara positif. Oleh yang demikian, remaja mudah terpengaruh melibatkan diri
dengan gejala sosial seperti gengsterime ini.

5.0 Kesan-Kesan Kegiatan Gengsterisme

Sesungguhnya, pengaruh dan aktiviti ganas ahli-ahli gengster memberi implikasi negatif
terutamanya kepada pihak sekolah. Sekolah tidak lagi menjadi tempat yang selamat sekiranya
wujud kegiatan kumpulan-kumpulan gengster di kalangan pelajar. Tambahan pula,
gengsterisme berpotensi untuk melumpuhkan seluruh sistem pentadbiran sekolah. Pihak
pengurusan, guru-guru dan pelajar terutamanya turut berada dalam ketakutan kerana ada yang
tidak bersalah menjadi mangsa keganasan kumpulan pelajar gengster. Secara tidak langsung,
persekitaran untuk aktiviti pembelajaran dan pengajaran menjadi tegang dan pelajar yang
berasa terancam hilang semangat untuk belajar. Dalam jangka masa yang panjang, imej dan
prestasi sekolah sebagai pusat kecemerlangan insaniah akan terjejas berikutan proses
pengajaran dan pembelajaran tidak dapat berjalan dengan lancar.

Kesan yang terakhir ialah, keamanan, keharmonian dan ketenteraman masyarakat dan
negara juga turut terancam. Ekoran kegiatan ganas gengsterisme, masyarakat telah menjadi
risau dan berasa kurang selamat lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah. Ibu bapa juga
menjadi bimbang dan runsing dengan penglibatan anak-anak mereka dalam kegiatan
gengsterisme mahupun yang menjadi mangsa kepada para gengster, keadaan ini telah
menyebabkan ibu bapa bersifat trauma sehinggakan tidak sanggup menghantar anak-anak
mereka ke sekolah ataupun telah juga mengehadkan aktiviti bersosial anak-anak mereka
dengan rakan sebaya sebagai satu bentuk pengawasan yang ketat ke atas anak-anak tersebut
(Zainal Madon dan M.S Ahmad, 2004). Sebenarnya aktiviti ke sekolah dan bersosial ataupun
bergaul secara sihat dengan rakan sebaya merupakan aktiviti sihat yang merupakan
sebahagian daripada keperluan perkembangan remaja. Pada peringkat nasional pula, masa
depan negara akan musnah akibat kegiatan gengsterisme yang berleluasa di seluruh negara.
Ini kerana, remaja yang menyertai kegiatan gengsterisme majoritinya mengalami keruntuhan
akhlak dan moral padahal remaja merupakan elemen atau aset penting dalam meneruskan
pembangunan negara kita ini. Mereka merupakan harapan negara dan bangsa untuk memimpin
negara ini di masa depan kelak.

6.0 Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Gengsterisme Melalui beberapa Prinsip dalam


Buku Amalan Hubungan Baik dan Kerjasama

6.1. Peneguhan positif daripada masyarakat (Ibu bapa dan guru)

Di bawah Prinsip 2 iaitu Beri penghargaan jujur kepada orang lain, dalam Richard
Neles, 2015 bagi mengelakkan masalah gengsterisme daripada semakin berleluasa, langkah-
langkah yang berkesan harus dilaksanakan dengan segera. Antaranya ialah peneguhan positif
berupa kasih sayang daripada keluarga, terutamanya ibu bapa merupakan ubat mujarab dalam
penyelesaian masalah ini. Anak umpama sehelai kain putih, ibu bapalah yang
bertanggungjawab mencorakkannya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah meluangkan
masa mereka untuk mengambil berat tentang segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak di
sekolah dan di luar sekolah. Hal ini adalah supaya anak-anak menyedari bahawa mereka
dihargai secara jujur oleh ibu bapa meraka.

Begitu juga dengan warga guru di sekolah yang seharusnya menjadi guru penyayang di
samping sentiasa menghargai murid-muridnya. Hal ini kerana, apabila murid-murid diberikan
peneguhan contohnya seperti pujian ketika menunujukkan tingkah laku yang baik, maka
mereka akan terus mempamerkan prestasi tingkah laku yang baik. Apabila murid sudah biasa
mengamalkan tingkah laku yang baik dek peneguhan oleh guru, maka mereka tidak terlalu
mudah terpengaruh dengan gejala gengsterisme di sekolah.
6.2. Bimbingan Kaunseling daripada pihak sekolah bagi masalah gengsterisme peringkat
sekolah.

Murid-murid yang menghadapi masalah tingkah laku seperti terlibat dalam kegiatan
gengsterisme ini haruslah difahami betul-betul tentang kehendak psikologikal mereka. Hal ini
kerana, murid yang terjebak dalam gengsterisme mempunyai sebab yang tertentu mengapa
mereka berkelakuan agresif di sekolah. Oleh yang demikian, murid-murid yang bermasalah ini
perlu diseru kepada guru bimbingan dan kauseling. Di bawah Prinsip 7: Bersopan-santun
dan menjadi pendengar yang baik dalam Richard Neles, 2015, seseorang guru kauseling
perlulah tetap menghormati mereka dan haruslah menjadi pendengar yang baik sekiranya
murid-murid bermasalah tersebut setuju meluahkan pendapat serta sebab mengapa mereka
berkelakuan sedemikian. Segala rahsia ataupun yang berkaitan dengan faktor terjebak dalam
gengsterisme ini hendak disimpan oleh guru kauseling sahaja demi untuk menghormati privasi
murid-murid. Memang sukar bagi guru menjumpai murid-murid yang bermasalah ini untuk terus
membuat pengakuan ataupun meluahkan persaan terpendam mereka dalam tempoh masa
yang terdekat. Proses kaunseling mengambil masa yang panjang dan berperingkat. Walaupun
demikian, jika guru menjadi seorang kawan yang sudi mendengar masalah anak-anak
muridnya nescaya murid yang bermasalah akan menjadi rapat dan berlembut hati dengan guru
kaunselling tersebut.

7.0 Kesimpulan (Analisis Nilai Moral)

Fenomena kegiatan gengsterisme di kalangan remaja terutama pelajar sekolah perlu dittangani
dengan serius kerana ia dikhuatiri mereka akan terlibat dengan kegiatan jenayah yang lain
sama ada semasa mereka ataupun bekerjasama dengan kumpulan samseng di luar sekolah.
Mengenal pasti punca dan kewujudan dasar anti gengsterisme adalah langkah tepat dalam
membendung gejala ini daripada terus merebak dalam masyarakat kita semua.

Sesungguhnya, kita haruslah mengenal pasti faktor-faktor yang mencetuskan gejala


gengsterisme terlebih dahulu agar kita tahu di mana kita harus memulakan langkah pertama
untuk mengekang gejala tersebut. Terdapat beberapa faktor yang dapat dikenal pasti dan
antaranya ialah faktor keluarga, media massa, pengaruh rakan sebaya dan sebagainya.

Seterusnya, semua pihak haruslah mengamalkan nilai bekerjasama, toleransi dan


berusaha dalam menjalankan pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah gejala gengsterisme
ini. Banyak usaha yang sentiasa dilakukan seperti masyarakat mengamalkan nilai prihatin dan
peka di mana mereka melaporkan kegiatan gengsterisme yang disaksikan kepada pihak polis.
Selain itu, terdapat cadangan seperti menambah lagi hukuman berat ke atas jenayah-jenayah
juvana yang terlibat dalam kes gengsterisme ini.

Tuntasnya, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dan haruslah


disertakan dengan amalan nilai-nilai murni agar harapan kita untuk mengurangkan masalah
keruntuhan moral sebegini dapat dicapai. Sekiranya kita mampu mengurangkan gejala
gengsterisme ini, maka dapatlah kita membina modal insan yang berkualiti, bermoral tinggi
serta berakhlak mulia bagi memacu perkembangan negara pada masa depan.

RUJUKAN

.(2010), Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dusek J. B. (1987), Adolescent Development and Behavior. New Jersey : Prentice Hall

Ibrahim Mamat (1997), Memimpin Remaja Sekolah Teori & Pratikal. Kuala Lumpur : Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.

Mohd Richard Neles Abdullah (2015), Amalan Hubungan Baik dan Kerjasama Resepi
Kebahagiaan. Sarawak : Institut Pendididikan Guru Kampus Batu Lintang.

Thrasher V.R (1977) Managing Teenagers Behaviors. California : McDou Rainer Ltd.

Zainal Madon & Mohd. Sharani Ahmad (2004), Panduan Mengurus Remaja Moden. Pahang
Darul Makmur : PTS Publications & Disrtributors Sdn. Bhd.
Penulisan Refleksi Kerja Amal di Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak

Pada 8 April 2017 yang lalu, guru-guru pelatih daripada Institut Pendidikan Guru
Kampus Batu Lintang telah mengadakan suatu kerja amal di Persatuan Bagi Orang Buta
Sarawak. Kerja amal merupakan program yang telah lama dirancang bagi memenuhi tuntutan
kerja kursus MPU3102 Pengenalan Kepada Pendidikan Moral. Sepanjang menjalankan kerja
amal tersebut, banyak perkara dan pengalaman baharu yang telah diperolehi.

Antaranya ialah, kami semua berpeluang menjalankan kerja-kerja pembersihan di


sekitar kawasan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak. Kami telah membahagikan tugas kepada
menyapu lantai, mengutip sampah, mencuci longkang dan sebagainya. Nilai kerjasama adalah
penting dan merupakan tunjang utama dalam melakukan suatu tugasan secara berpasukan.
Bak kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh.

Seterusnya, kami berpeluang mengenali dengan lebih dekat warga-warga Persatuan


Orang Buta Sarawak. Kami berpeluang memahami gaya hidup mereka yang serba kekurangan
dari segi penglihatan namun ada di antara mereka mempunyai bakat yang luar biasa.
Contohnya pandai bermain alat muzik seperti piano dan gitar.

Program kerja amal ini juga telah mengajar saya erti kesyukuran. Apabila kita melihat
kesulitan yang di alami oleh orang-orang buta, kita patut bersyukur bahawa kita tidak berada
pada tempat mereka namun sikap empati harus ada dalam diri kita lebih-lebih lagi sebagai
bakal seoarang guru.

Terdapat beberapa kelemahan yang dihadapi semasa melaksanakan program kerja


amal ini. Antaranya ialah, peralatan membersih adalah tidak mencukupi namun tetap tidak
menjejaskan ketekunan para guru pelatih untuk menjalankan kerja-kerja membersih. Pada
masa yang akan datang, masalah seperti ini boleh diselesaikan dengan melakukan
perancangan perlatan yang sistematik.

Konklusinya, melalui program kerja amal di Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak,
banyak ilmu dan nilai moral yang telah dipelajari. Semoga pada masa akan datang, saya masih
berpeluang menjalankan mana-mana kerja amal.