Anda di halaman 1dari 3

Pernyataan masalah

Pemimpin sekolah memainkan peranan utama dalam memotivasi, meningkatkan komitmen dan
suasana kerja guru-guru di sekolah (Leithwood, K., Day, C., Sammons, P., & Harris, A., 2006).
Menurut Hulphia, Devos dan Roseel (2009), komitmen guru meningkat apabila wujud
kejelekitan pasukan kepemimpinan, sokongan yang kuat di sekolah dan amalan kepemimpinan
distributif yang tidak terlalu formal. Hal ini diperkukuhkan dengan kajian oleh Day, C.,
Sammons, P., Hopkins, D., Harris, A., Leithwood, K., Qing, G., Brown, E., Ahtaridou, E., dan
Kington, A., (2009) yang menunjukkan kepemimpinan distributif mempunyai korelasi yang
positif dengan keadaan atau iklim organisasi sesebuah sekolah.

Terkini, di Malaysia telah ada beberapa kajian tentang hubungan kepemimpinan distributif
dengan motivasi guru dan tekanan kerja guru. Kajian yang dimaksudkan ialah kajian oleh
Jamallulail et al., (2013) yang menganalisis hubungan amalan kepemimpinan distributif guru
besar dengan motivasi guru di sekolah kebangsaan di Port Klang. Kajian tersebut mendapati
tahap kepemimpinan distributif dalam kalangan guru besar adalah tinggi dan tahap motivasi guru
adalah pada tahap sederhana. Kumpulan penyelidik ini merumuskan bahawa konsep
kepemimpinan distributif di Malaysia masih diperingkat permulaan dan telah mencadangkan
lebih banyak kajian perlu dilaksanakan.

Kajian kedua adalah berkaitan dengan pengaruh kepemimpinan distributif terhadap tekanan kerja
di sekolah teknik dan vokasional yang dijalankan oleh Siva Rabindarang et al., (2014). Dapatan
kajian menunjukkan kepemimpinan distributif adalah pada tahap sederhana tinggi manakala
tahap tekanan kerja guru di sekolah teknik dan vokasional adalah sederhana. Dapatan ini
menunjukkan kepemimpinan distributif berupaya mengurangkan tekanan kerja dan dapat
diaplikasikan di sekolah-sekolah teknik dan vokasional. Mereka juga telah mencadangkan agar
kajian ini diperluas ke dalam konteks sekolah yang berbeza.

Kajian berpendapat bahawa kepimpinan distributif adalah teras penting kepada peningkatan
kejayaan sekolah dan kemahiran utama pengetua untuk membentuk persekitaran sekolah, namun
ia masih tidak jelas bagaimana seseorang pengetua boleh mempengaruhi amalan kepimpinan
distributif dalam sekolah mereka (Crow, Hausman, & Scribner, 2002).
Menurut Harris dan Spillane (2008), walaupun kepimpinan distributif telah dibuktikan sebagai
model yang berjaya untuk pengurusan sekolah, ia masih tidak jelas bagaimana seorang pengetua
perlu membangun dan melaksanakan model kepimpinan distributif dalam persekitaran
sekolah.Duignan (2003) berpendapat, penekanan kepada anjakan paradigma melalui kepimpinan
distributif adalah perlu sebagai usaha menggalakkan pembentukan persekitaran yang positif
dalam organisasi sekolah.Justeru,Malaysia telah menggubal PPPM (2013-2025) yang
menumpukan kepada usaha memartabatkan profesion keguruan dan kepimpinan distributif
dalam kepimpinan sekolah ke tahap yang lebih tinggi. Maka, menjadi satu peranan penting untuk
meneliti aspek kepimpinan distributif pemimpin sekolah dalam mempengaruhi persekitaran
sekolah-sekolah di Malaysia.
Kajian menjelaskan bahawa setiap guru besar menjalankan sekurang-kurangnya dua fungsi iaitu
fungsi pentadbiran dan fungsi pengajaran (Hussein, 2008; McNulty, Waters & Marzano, 2005;
Foo, 2005). Fungsi pentadbiran merujuk pada pentadbiran sekolah secara teratur berdasarkan
visi, misi dan matlamat yang ditetapkan manakala fungsi pengajaran ialah memberi kepimpinan,
galakan dan sokongan kepada guru supaya kepakaran mereka dapat dioptimumkan secara
berkesan demi kepentingan sekolah. Guru yang ditadbir secara berkesan dapat memberi
sumbangan serta komitmen yang tinggi terhadap tugasnya (Hoy & Miskel, 2005; Tschannen-
Moran & Hoy, 2001). Menurut Foo (2005), guru yang diberi kuasa oleh guru besar di sekolah
dapat menjalankan tugas dengan lebih yakin dan secara profesional. Kajian Zainab (1998),
mendapati kepimpinan guru besar dapat meningkatkan keberkesanan guru dan komitmen guru.

Dalam membincangkan kelemahan kepimpinan sekolah, kajian mendapati bahawa kebanyakan


guru besar masih mengamalkan komunikasi sehala, jarang berinteraksi dengan guru serta tidak
mengamalkan autonomi guru (Vishalache, 2005). Kajian Abdul Ghani Abdullah (2002) juga
melaporkan bahawa terdapat guru besar atau pengetua yang memimpin sekolah dengan kurang
memuaskan dengan mengabaikan kecekapan profesionalisme. Manakala Tang dan Abdul Ghani
Abdullah (2007) yang mengkaji tentang penggunaan kuasa dalam kalangan guru besar pula
menjelaskan kebanyakan guru besar di Malaysia cenderung menggunakan kuasa sah dan kuasa
paksaan dalam menguruskan sekolah seperti mengarah, memaksa, menerima dan memberitahu.
Hal ini bermakna gaya pengurusan yang diamalkan oleh guru besar adalah kurang demokratik,
partisipatif dan distributif.

Tambahan pula, cara guru besar mengendalikan agenda pentadbiran juga menimbulkan masalah
di sekolah kerana bersifat ad-hoc (Andi Audryanah, 2007). Dalam hal ini, guru besar sering
menggunakan budi bicara untuk menentukan sistem pengurusan sekolahnya tanpa membuat
rundingan dengan guru. Ciri-ciri kepimpinan distributif seperti amalan kolektif, pasukan, ciri
organisasi, interaksi antara pemimpin, pengikut dan situasi serta penggunaan kepakaran dalam
organisasi kurang dipraktikkan. Pengiktirafan terhadap kewujudan guru sebagai pemimpin yang
berkebolehan juga diabaikan. Menurut Hussein (2008), hal ini disebabkan oleh sifat reaktif guru
besar iaitu hanya memberi tumpuan pada tugas bukan profesional serta tidak dapat menangani
cabaran akibat inovasi. Amalan kurang profesional guru besar atau pengetua bukan sahaja
menjejaskan keberkesanan dan kecekapan pengurusan sekolahnya tetapi juga amalan birokrasi
melampau dalam pengurusan pendidikan peringkat sekolah di Malaysia (Abdul Shukor
Abdullah, 2004) telah menyebabkan sokongan pengetua atau organisasi terhadap hak dan
kewibawaan guru untuk terlibat dalam membuat sesuatu keputusan tidak diberi pertimbangan
yang sewajarnya. Hal ini terbukti apabila kajian Ho Beng Tat (1997) mendapati 91.6 peratus
daripada guru dalam kajiannya melaporkan bahawa penglibatan mereka dalam membuat
keputusan di peringkat sekolah masih berada pada tahap yang rendah.

Manakala hasil tinjauan Hoyle (2003) terhadap beberapa kajian di Malaysia pula merumuskan
bahawa guru-guru di Malaysia kurang berpengaruh dalam isu-isu membuat keputusan berkaitan
pengurusan sekolah seperti penjadualan, pembangunan professional, penilaian prestasi dan
perancangan sekolah. Sementara itu, dapatan kajian Lau Siew Ting (1999) pula menunjukkan
bahawa 60 peratus daripada guru mengatakan penglibatan mereka adalah rendah dalam membuat
keputusan berkaitan dengan urusan hal ehwal pelajar di sekolah. Dapatan yang hampir serupa
turut diperoleh Ong Kwi Pea (1996) apabila kajiannya mendapati min penglibatan guru dalam
proses membuat keputusan di sekolah hanyalah 2.58 iaitu suatu petanda yang menggambarkan
bahawa penglibatan guru adalah masih rendah dalam penglibatan membuat keputusan.

Penglibatan dalam proses membuat keputusan juga mempunyai kaitan dengan sikap
konservatisme (guru tidak suka kepada pembaharuan); individualisme (cara penyelesaian
masalah dalam bilik darjah bercorak individu); dan presentisme (situasi dan kaedah kerja kekal
dalam situasi yang sama) yang masih menebal dalam kalangan guru (Somech & Bolger, 2002).
Sikap sedemikian memungkinkan sebahagian daripada guru enggan bekerjasama dengan seruan
dan gesaan pengetua untuk komited dalam membuat keputusan. Guru-guru yang berpeluang
mempengaruhi sesuatu keputusan pula akan lebih bermotivasi dan dengan itu mereka lebih
komited terhadap tugas dan tanggungjawab mereka di sekolah (Locke & Schweiger, 2004).
Sebaliknya seseorang guru yang menganggap dirinya boleh menyumbang kepada sekolah tidak
akan menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap sekolahnya sekiranya beliau tidak diberi
peluang untuk mempengaruhi sesuatu keputusan pengurusan yang berkaitan dengan tugas dan
tanggungjawabnya di sekolah. Beberapa kajian melaporkan bahawa terdapat kaitan antara
komitmen guru terhadap organisasi sekolah dengan penglibatan mereka dalam membuat sesuatu
keputusan di sekolah (Bacharach et al., 1990; Firestone & Pennell, 1993; Ong Kwi Pea, 1999;
Somech & Bolger, 2004; Wu & Short, 2000). Laporan dalam kajiankajian ini menunjukkan
bahawa penglibatan guru dalam membuat keputusan pengurusan adalah satu strategi yang perlu
digunakan oleh pihak pengurusan sekolah untuk meningkatkan komitmen guru terhadap sekolah
dan seterusnya mencapai matlamat kecemerlangan sekolah.

Selain mengajar, guru juga terpaksa berhadapan dalam pengurusan pentadbiran dan seterusnya
kerja pentadbiran ini akan menjadi salah satu beban kerja (Mohd Rizal,2010). Ianya akan
menyebabkan gangguan emosi, tekanan dan ketidakpuasan. Sesetengah guru akan berhenti kerja
sekiranya bebanan ini tidak dapat ditanggung lagi. Justeru, potensi sebenar guru akan tenggelam
kerana dibebankan kerja-kerja yang tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada guru. Bagi
mengatasi dan mengelak situasi di atas, langkah yang sepatutnya perlu diambil agar guru
mencapai kepuasan dalam kerja dan seterusnya komited pada kerja.