Anda di halaman 1dari 2

KEPENTINGAN BERSUKAN KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA

Antara keistimewaan sukan adalah membantu meningkatkan tahap kesihatan


pengamalnya. Misalnya, cara rentak kuda melompat dan berlari dalam sukan berkuda
seperti equestrian menyebabkanvetebra tulang belakang penunggan kuda tersebut
bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni. Keadaan ini secara tidak
langsung dapat mengurangkan masalah yang berkaitan dengan tulang belakang
manusia. Selain itu, sukan renang pula mampu menguatkan mental dan fizikal
perenang kerana sukan ini memerlukan satu gerakan yang berkoordinasi antara
anggota kaki dan tangan di samping meransang system kardiovaskular mereka.
Ringkasnya, semua aktiviti sukan memiliki kemaslahatannya yang tersendiri terhadap
kesihatan pengamalnya justeru setiap individu perlu melakukan aktiviti ini agar
terhindar daripada sebarang penyakit berbahaya kerana mencegah lebih baik daripada
mengubati.

Sebagai tambahan, ekonomi negara juga dapat dipertingkatkan melalui aktiviti


sukan. Contohnya, penganjuran sukan di peringkat antarabangsa seperti Sukan
Komanwel, Le Tour de Langkawi, Sukan SEA dan Formula 1 telah banyak
menyumbang pendapatan kepada negara. Tidak dapat dinafikan bahawa penganjuran
sukan komanwel pada tahun 1998 telah membantu menangani kemelesetan ekonomi
negara pada tahun tersebut. Contoh lain pula, Amerika Syarikat yang pernah
menganjurkan Sukan Olimpik di Atlanta telah mendapat keuntungan sebanyak
USD20 billion. Pendapatan negara terjana melalui kedatangan pelancong yang ramai
untuk menyaksikan temasya sukan yang berprestij itu kerana ada gula, ada semut.
Pengaliran wang asing masuk ke negara ini akan bertambah rancak sekaligus
meningkatkan ekonomi sekaligus menjana sumber ekonomi negara. Mantan Menteri
Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah menyatakan dalam MSEI
2012 bahawa bidang sukan tidak boleh dilihat dari segi taruhan pingat atau rekreasi
semata-mata, sebaliknya bertindak sebagai penggerak ekonomi negara. Jelaslah
bahawa sumber pendapatan negara diperoleh daripada aktiviti sukan yang
dilangsungkan secara besar-besaran.

Di samping itu, sukan juga mampu memupuk semangat perpaduan dalam


kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Sebagai tamsilannya,
sesebuah pasukan bola sepak mesti terdiri daripada pelbagai latar belakang. Untuk
membentuk sebuah pasukan yang kuat dan digeruni oleh pihak lawan, mereka mesti
mewujudkan persefahaman yang antara satu sama lain. Situasi ini sangat penting
untuk mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang disertai bak kata
peribahasa, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh." Bukan setakat pemain sahaja
semangat perpaduan itu terjalin tetapi juga penyokong atau penonton yang
menyaksikan perlawanan juga mendapat manfaat yang sama. Mereka berkesempatan
untuk berkenal-kenalan dan bertukar-tukar pendapat semasa acara tersebut diadakan.
Jalinan persahabatan ini akan mengurangkan sentimen perkauman atau kenegerian
yang mampu menggugat keharmonian negara. Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah
menyatakan bahawa pengalaman kita dan juga pengalaman orang lain telah
membuktikan betapa padahnya jika isu perkauman tidak diawasi dan dibendung
sebaiknya. Oleh itu, para atlet dan peminat sukan tanah air patut bertanggungjawab
dalam memelihara perpaduan di negara ini. Pendek kata, penglibatan dalam bidang
sukan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung mampu mengeratkan
perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk agar negara sentiasa aman seperti air
dalam terenang.

Tuntasnya, penglibatan secara konsisten dalam sukan mempunyai banyak


kelebihannya kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah
menambah frasarana sukan seperti gelanggang, dewan, padang dan sebagainya untuk
menarik minat masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar. Sementara itu,
masyarakat pula perlu menyahut seruan kerajaan supaya menjalani gaya hidup yang
sihat dengan melibatkan diri dalam satu bidang sukan yang digemari kerana tepuk
tangan sebelah takkan berbunyi. Ibu bapa pula perlu menggalakkan anak-anak untuk
bergiat dalam sukan dengan menghantar anak-anak menjalani kem sukan atau
membelikan kelengkapan sukan yang digemari oleh anak-anak mereka. Tindakan ini
perlu dilakukan kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah mengatakan dalam sepotong
hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim mafhumnya, "Ajarilah anak-
anak kamu berkuda, berenang dan memanah". Maka sudah terang lagi bersuluh
bahawa sukan semestinya membawa sejuta manfaat kepada semua sehingga Nabi
Muhammad S.A.W telah menggalakkan umatnya supaya aktif bersukan sejak kecil
lagi.