Anda di halaman 1dari 10

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 1

UNIT 1
PENGENALAN KEPADA KAJIAN TINDAKAN

HASIL PEMBELAJARAN
Diakhir unit ini anda diharap dapat:

1. memahami latar sejarah perkembangan kajian tindakan secara umum dan kajian tindakan
dalam pendidikan

2. mengetahui definisi-definisi kajian tindakan

3. memahami asas falsafah dan pemikiran yang mendasari pelbagai pendekatan kajian tindakan

4. memahami perbezaan di antara penyelidikan konvensional dan kajian tindakan

PENGENALAN
Teachers often leave a mark on their students, but they seldom leave a mark on
their profession. Through the process and product of action research, teachers will
do both. (Wolfe, 1989).

Kenyataan ini menunjukkan bahawa guru adalah bertanggungjawab dalam mempastikan pelajar
mendapat pengalaman pembelajaran yang berkualiti. Di samping itu, guru juga bertanggungjawab
dalam memperkembangkan profesion perguruan itu sendiri. Dengan ertikata lain, perkembangan
profesion perguruan adalah dipacu oleh perkembangan guru melalui peningkatan pengetahuan,
kemahiran dan profesionalisme secara berterusan.

Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, arah aliran
perkembangan profesionalisme guru banyak dipengaruhi oleh usaha-usaha ke arah perkembangan
profesionalisme berasaskan penyelidikan. Budaya menyelidik di kalangan guru dikembangkan melalui
aktiviti-aktiviti penyelidikan. Satu elemen penting dalam perkembangan tersebut adalah penglibatan
penyelidik daripada institusi pengajian tinggi. Dalam bentuk kolaborasi antara sekolah-universiti,
budaya menyelidik tersebut boleh dimantap dan dilestarikan melalui kerjasama serta sokongan
kepakaran daripada pensyarah/penyelidik.

Di Malaysia, usaha-usaha memperkembangkan gerakan penyelidikan guru sebagai salah satu usaha
untuk meningkatkan profesionalisme guru telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan. Jabatan
Pendidikan Negeri melalui Jawatankuasa Penyelidikan telah menjalankan kursus-kursus kajian
tindakan untuk guru-guru. Bahagian Pendidikan Guru dengan kerjasama maktab-maktab perguruan
juga telah menganjurkan kursus-kursus untuk pensyarah-pensyarah. Seminar tentang kajian tindakan
telah juga dianjurkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian
Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi membincangkan hasil-hasil kajian tindakan yang telah
dijalankan oleh guru-guru dan pensyarah-pensyarah maktab perguruan. Malah aktiviti kajian tindakan
merupakan salah satu agenda penyelidikan yang diberi keutamaan oleh Kementerian Pendidikan di
samping tugas-tugas mengajar.
Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 2

ISI KANDUNGAN
Guru Sebagai Penyelidik

Gagasan guru sebagai penyelidik (teacher as researcher) yang dipelopori oleh Lawrence Stenhouse
pada tahun-tahun 70 an di United Kingdom adalah merupakan satu usaha ke arah pembangunan
profesionalisme guru. Gagasan ini menonjolkan kepentingan penyelidikan dalam tugas guru bagi
meningkatkan amalan dan profesionalisme mereka. Dengan ertikata lain, tugas guru bukan sahaja
tertumpu kepada tugas rutin mengajar, tetapi juga bertindak menjadikan tugas mengajar itu menarik
dan mendatangkan kepuasan. Gagasan ini juga menekankan yang sesuatu perubahan dan
peningkatan amalan dan profesionalisme guru itu perlu digerakkan dari dalam kelompok itu sendiri.
Dicetus dan dikembangkan oleh kelompok itu sendiri. Salah satu usaha yang boleh dijalankan adalah
melalui kajian tindakan.

Budaya menyelidik memerlukan bukan sahaja guru terlibat dalam inkuiri, tetapi juga guru serta lain-lain
pihak secara kolaboratif mencari kefahaman yang lebih baik tentang pendidikan dan persekolahan bagi
meningkatkan kualiti pengalaman persekolahan. Bagi mempastikan budaya menyelidik terus wujud dan
dikekalkan di sekolah, memerlukan komitmen dan penghargaan yang berterusan terhadap usaha
inkuiri, saling menghormati, serta saling sokong menyokong di antara guru dan pihak pentadbir;
kesanggupan untuk mencuba idea dan amalan baru; serta sentiasa bersikap terbuka kepada perkara-
perkara yang tidak dijangka. .

Bilik darjah adalah merupakan makmal yang ideal untuk menguji teori-teori pendidikan. Guru
sebenarnya di kelilingi oleh sumber-sumber yang kaya yang boleh dijadikan bahan penyelidikan.
Stenhouse (1975) berpendapat bahawa jika guru hendak merealisasikan aspirasi pedagogi mereka,
adalah perlu mereka menganggap peranan mereka sebagai penyelidik. Schon (1983) mengemukakan
konsep reflection-in-action dan knowing-in-action sebagai proses penyelidikan yang menjadi saluran
untuk perkembangan ilmu profesional dan peningkatan praktis profesional. Elliott (1993) pula
menekankan betapa perlunya refleksi yang sistematik sebagai cara untuk mempertingkatkan mutu
keputusan dan tindakan profesional yang dibuat oleh seseorang guru.

Kajian tindakan dan perkembangan profesionalisme


Hubungan kajian tindakan dan perkembangan profesionalisme guru mungkin berkembang dalam ruang
pemikiran yang melihat guru sebagai seorang profesional yang mempunyai tanggungjawab dan
jangkaan seperti berikut:

Profesional melakukan kerja yang bukan rutin dan melakukannya secara kreatif.
Profesional mempertimbangkan pelbagai perspektif semasa membuat keputusan
Profesional memainkan peranan signifikan dalam menghasilkan pengetahuan dan celik akal
yang memacu profesionnya ke hadapan
Profesional dipertanggungjawabkan mengguna dan mengamalkan amalan-amalan yang
terbaik
(Sagor, 2000)

Melalui kajian tindakan guru akan dapat melihat bahawa kerja mengajar adalah bukan sesuatu yang
rutin. Ini memandangkan bahawa setiap strategi yang digunakan adalah bergantung kepada situasi
dan konteks. Tidak ada satu strategi yang sesuai digunakan untuk semua kelas, murid atau konteks.
Oleh itu, melalui kajian tindakan guru dapat melihat strategi mana yang sesuai digunakan dalam situasi
dan keadaan yang bagaimana. Ini menjadikan kerja mengajar itu bukan sesuatu yang rutin dan sama
sahaja sepanjang masa.
Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 3

Adalah dikatakan bahawa kajian tindakan merupakan kajian pengamal (practitioner research) yang
boleh digunakan untuk meningkatkan amalan profesional dalam pelbagai bidang pekerjaan (McNiff,
Lomax & Whitehead, 1996). Kajian pengamal merupakan kajian yang dilakukan oleh individu terhadap
amalannya. McNiff, Lomax dan Whitehead percaya bahawa kajian tindakan yang dilakukan dengan
baik boleh menyumbang kepada perkembangan kendiri; menambahbaik amalan professional;
meningkatkan keberkesanan institusi; dan memberi sumbangan kepada kebaikan masyarakat. Bagi
mereka, kajian tindakan adalah satu cara bekerja yang boleh membantu dalam mengenalpasti perkara-
perkara yang kita percaya dan kemudian bekerja secara sistematik dan kolaboratif untuk
menjadikannya satu kenyataan.

Adakah profesion guru satu profesion yang profesional? Bagaimana kah kajian
tindakan dapat menyumbang kepada profesionalisme guru?

Latar Sejarah dan Falsafah Kajian Tindakan

Sebagai satu pendekatan kajian, terdapat beberapa asas disiplin dan epistemologi yang menjadi asas
perkembangan kajian tindakan. Terdapat pelbagai asas pemikiran yang menyumbang kepada
pembentukan beberapa jenis kajian tindakan. Kajian tindakan dalam bidang pendidikan
memperlihatkan perkembangan yang seiring dengan konsep guru sebagai penyelidik dan pengamal
reflektif.

Sejarah kajian tindakan telah banyak dibincang dan didokumenkan dengan baik. Penulis-penulis
seperti Adelman (1993) dan Kemmis, (1982) misalnya banyak membicarakan tentang latar belakang
perkembangan kajian tindakan mengikut sudut-sudut pandangan tertentu. Smith (2001) telah
membahagikan perkembangan kajian tindakan mengikut kem-kem tertentu. Beliau merujuk kepada
tradisi British yang khususnya berkait dengan pendidikan, yang lebih melihat kajian tindakan sebagai
kajian yang berorientasi kearah peningkatan amalan secara langsung. Ini dapat dilihat dengan lebih
jelas lagi sebagaimana pandangan yang diberikan oleh Carr dan Kemmis (1986) seperti berikut:

Action research is simply a form of self-reflective enquiry undertaken by participants in social situations
in order to improve the rationality and justice of their own practices, their understanding of these
practices, and the situations in which the practices are carried out. (1986, ms. 162)

Namun begitu, asal usul kajian tindakan selalu dikaitkan dengan kerja-kerja Kurt Lewin (1880-1947) di
Amerika Syarikat. Beliau dikatakan sebagai orang yang mula-mula menggunakan perkataan action
research (kajian tindakan) kira-kira dalam tahun 1934. Pada pertengahan tahun-tahun 1940an, Kurt
Lewin dikatakan telah membentuk teori kajian tindakan yang menjelaskan kajian tindakan sebagai,
.proceeding in a spiral of steps, each of which is composed of planning, action and the evaluation of
the result of action (Kemmis & McTaggert, 1990:8).

Kajian tindakan telah berkembang di Amerika Syarikat dengan ramai peminat dan pengikutnya sejak
awal abad ke 20 (Wallace, 1987). Bagi Bogdan & Biklen (1992) kajian tindakan pada masa itu
difahamkan sebagai, the systematic collection of information that is designed to bring about social
change, (ms. 223). Mengikut McKernan (1996), sejak itu kajian tindakan telah dipengaruhi oleh ramuan
sejarah dan falsafah seperti berikut:

i. Gerakan Sains dalam Pendidikan di abad ke 19 dan awal abad ke 20 di mana metod
saintifik telah digunakan dalam pendidikan.
Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 4

ii. Pemikiran pendidikan eksperimentalis dan progresif, terutama kerja-kerja John Dewey
yang menggunakan metod induktif saintifik penyelesaian masalah sebagai logik untuk
menyelesaikan masalah dalam bidang-bidang seperti estetika, falsafah, psikologi dan
pendidikan.

iii. Gerakan Dinamika Kelompok dalam psikologi sosial dan latihan hubungan kemanusiaan
yang bergerak dalam abad ke 19 untuk menangani masalah sosial era tersebut melalui
inkuiri sosial kualitatif. Sekali lagi gerakan ini digunakan dalam tahun-tahun 1940an untuk
menangani masalah berkait dengan hubungan antara kelompok, prasangka kaum dan
pembangunan semula sosial, yang merupakan kesan bahang Perang Dunia Ke 2 pada
masa itu. Penyelidik yang banyak terlibat pada masa ini adalah Kurt Lewin (1880-1947).
Asal usul kajian tindakan selalu dikaitkan dengan kerja-kerja beliau di Amerika
Syarikat.Asas kepada model Lewin adalah penyelidikan mengandungi gelungan tindakan
termasuk analisis, pengumpulan fakta, pengkonseptualan, perancangan, perlaksanaan
dan penilaian tindakan.

iv. Dalam tahun-tahun 1950an dan 60an, kajian tindakan telah digunakan dalam penyelidikan
industri, yang berkembang di kalangan penyelidik di Massachusetts Institute of
Technology di Amerika, dan di Tavistock Institute, di United Kingdom.

v. Aktiviti perkembangan kurikulum rekonstruksionis pasca perang di Amerika Syarikat yang


melibatkan penulis-penulis rekonstruksionis sosial pasca perang menerajui dan
mempopularkan penggunaan kajian tindakan dalam pendidikan. Stephen Corey (Corey,
1953) adalah penulis yang menerajui gerakan ini dan beliau percaya kajian tindakan boleh
mengubah dan meningkatkan amalan kurikulum secara signifikan sebab pengamal sendiri
menggunakan hasil kajian dalam kajian dan amalan mereka.

Kajian tindakan seterusnya berkembang mengikut aliran pemikiran yang berbeza, termasuklah
kumpulan kajian tindakan Amerika Syarikat yang asal-usul pemikiran mereka berasaskan gerakan
pendidikan progresif yang banyak berkembang dalam kerja-kerja Dewey. Di United Kingdom pula
kajian tindakan berkembang dalam pembaharuan-pembaharuan kurikulum serta perkembangan
profesionalisme dalam pengajaran (Elliott, 1991), dan di Australia, kajian tindakan berkembang dalam
gerakan-gerakan ke arah perancangan kurikulum secara kolaboratif (Kemmis, 1990).

Definisi Kajian Tindakan

Terdapat pelbagai variasi dalam tradisi kajian tindakan seperti juga variasi di antara kajian tindakan
dengan pendekatan penyelidikan konvensional. Definisi klasik tentang kajian tindakan yang pernah
diutarakan oleh ahli-ahli kajian tindakan adalah seperti berikut:

Action Research is a three-step spiral process of (1) planning which involves reconnaissance; (2)
taking actions; and (3) fact-finding about the results of the action.
(Kurt Lewin, 1947)
Action Research is the process by which practitioners attempt to study their problems scientifically in
order to guide, correct, and evaluate their decisions and actions.
(Stephen Corey, 1953)
Action Research aims to contribute both to the practical concerns of people in an immediate
problematic situation and to the goals of social science by joint collaboration within a mutually
acceptable ethical framework.

(Rapoport, 1970)
Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 5

Dalam perkembangan kajian tindakan seterusnya, beberapa pandangan serta definisi yang lebih terkini
telah dikemukakan. McKernan (1988) misalnya menjelaskan bahawa kajian tindakan sebagai

a form of self-reflective problem solving, which enables practitioners to better understand and
solve pressing problems in social settings. (ms. 6).

Kemmis dan McTaggart (1990) pula mengatakan kajian tindakan adalah,

a form of collective self-reflective inquiry undertaken by participants in social situations in order to


improve the rationality and justice of their own social or educational practices, as well as their
understanding of these practices and the situations in which these practices are carried out (ms. 5).

Manakala John Elliott (1991) pula mengatakan bahawa kajian tindakan lebih menekankan kepada
masalah praktikal harian yang dialami oleh guru daripada masalah teoretikal yang didefinisikan oleh
penyelidik dalam disiplin tertentu. Dengan ertikata lain, kajian tindakan guru dijalankan adalah untuk
mengkaji masalah harian dalam pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi oleh guru. Bagi Mc Niff
(1998), kajian tindakan merupakan satu pendedahan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan
pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka
sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia mengubah amalan mereka.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang istilah serta isu-isu dalam kajian tindakan, namun
kebanyakannya bersetuju bahawa kajian tindakan adalah satu inkuiri yang dilakukan oleh atau bersama
orang dalam (insiders) di sesebuah organisasi atau komuniti, tetapi tidak kepada atau ke atas mereka.
Ia merupakan satu proses reflektif yang dijalankan secara bertujuan dan sistematik, oleh individu atau
kumpulan, yang biasa nya memerlukan satu bentuk bukti untuk menyokong sesuatu kenyataan, dan
bermatlamat untuk mengubah atau meningkatkan amalan. Kesimpulannya, kajian tindakan
merupakan satu bidang penyelidikan berbentuk renungan kendiri (self-reflective) yang dilakukan oleh
sekumpulan penyelidik secara kolaboratif dalam sesuatu situasi sosial yang bertujuan untuk
mempertingkatkan pemahaman mereka terhadap amalan-amalan dan seterusnya mengambil tindakan
yang perlu untuk mengubah dan mempertingkatkannya.

1. Cuba anda senaraikan kata kunci yang terdapat dalam definisi-definisi di atas yang
menjelaskan tentang kajian tindakan. Contoh: refleksi kendiri

i.

ii.

iii.

iv.

v.

2. Dengan perkataan anda sendiri, cuba definisikan kajian tindakan.


Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 6

Ciri-ciri Kajian Tindakan Guru

Pada asasnya kajian tindakan mempunyai ciri-ciri berikut:

Boleh digunakan oleh guru untuk mengkaji masalah yang relevan dengan bilik darjah

Melibatkan refleksi di setiap langkah dalam proses inkuiri

Boleh digunakan untuk meningkatkan amalan, menyelesai masalah, perubahan institusi atau
meningkatkan perkembangan guru

Dijalankan dalam situasi sebenar dan selalunya menggunakan teknik participant observation
untuk mengkaji sesuatu fenomena

Merupakan proses kolaboratif, dengan individu-individu yang bertanggungjawab kepada


tindakan yang menjalankan kajian

Melibatkan penyelesaian masalah praktikal dan meneroka isu-isu bilik darjah

Mengembangkan pengetahuan professional guru dalam disiplin spesifik

Dinamik dan perubahan merupakan bahagian yang penting dalam proses kajian tindakan

Guru-guru terlibat dalam proses merancang, bertindak dan mereflek (gelungan kajian
tindakan)

Kepentingan Kajian Tindakan Guru

Dalam perbincangan di atas, boleh disimpulkan bahawa kajian tindakan sekiranya dijalankan dengan
baik akan memberi manfaat dan faedah kepada guru dan juga murid. Jelaslah bahawa kepentingan
kajian tindakan ini boleh dijadikan:

i. Sebagai asas membuat keputusan pengajaran berasaskan data

Dalam tugas seharian, sama ada di dalam atau di luar bilik darjah, guru sentiasa membuat keputusan
tentang sesuatu tindakan yang telah dan sedang dijalankannya. Sama ada keputusan yang dibuat itu
berkesan atau tidak banyak bergantung kepada keupayaan guru menggunakan sumber dan maklumat
yang ada sebagai asas membuat keputusan. Bentuk dan sumber maklumat juga akan memberi kesan
kepada kualiti keputusan yang dibuat. Oleh itu, untuk mendapatkan maklumat atau data yang boleh
dipercayai dari segi ketepatan dan kerelevannya, ianya mestilah diperolehi melalui satu prosedur dan
proses yang sistematik. Kajian dapat membantu guru dan lain-lain pihak berkepentingan dalam
mengenalpasti keperluan, menilai tindakan dan perubahan yang dibuat melalui keputusan yang dibuat
berasaskan data.

ii. Sebagai asas kepada perkembangan profesionalisme guru

Tidak dapat dinafikan pendekatan kajian tindakan telah banyak digunakan oleh sekolah sebagai asas
perkembangan profesionalisme guru.Dengan ertikata yang mudah, sebagaimana mengikut Lawrence
Stenhouse, tiada perkembangan kurikulum tanpa perkembangan guru. Dengan terlibat dalam proses
dan aktiviti kajian tindakan, guru dapat mempertingkatkan amalan mereka berdasarkan penelitian dan
refleksi ke atas amalan dalam situasi yang sebenar. Ini bersesuaian dengan konsep dan ciri-ciri
Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 7

professional yang menekankan peningkatan ilmu dan kemahiran dalam bidang tugas dan
tanggungjawab.

Perbandingan Kajian Tindakan dan Penyelidikan Konvensional

Kajian tindakan dijalankan untuk menjawab masalah praktikal khusus yang menghasilkan tindakan.
Fokus kajian tindakan banyak bergantung kepada kerelevanannya kepada konteks khusus di mana ia
berlaku (Hitchcock & Hughes, 1995). Penyelidik kajian tindakan biasanya menggabungkan data,
menggunakan kedua-dua sumber data kualitatif dan kuantitatif. Dapatan adalah dikongsi dengan
mereka yang terlibat atau menerima kesan secara langsung, supaya mereka boleh mengambil tindakan
berasaskan kepada dapatan.

Pada asasnya, kajian tindakan dan kajian konvensional tidak banyak perbezaannya. Perbezaan yang
ketara adalah berkaitan dengan tindakan yang merupakan sebahagian daripada proses dan prosedur
kajian tindakan. Bagi kajian konvensional, tindakan biasanya bergantung kepada tujuan kajian, dan
biasanya jarang dilakukan tindakan memandangkan kajian konvensional dijalankan terhadap isu dan
masalah orang lain bagi mencari jalan penyelesaian yang sesuai. Untuk melihat dengan lebih lanjut lagi
persamaan dan perbezaan antara kajian tindakan dan kajian konvensional, Jadual 1 menggariskan
secara ringkas ciri-ciri kedua-dua kajian tersebut.

Jadual 1 : Perbandingan Kajian Tindakan dan Kajian Konvensional

Kajian Tindakan Kajian Konvensional

OBJEKTIF memperbaiki amalan sendiri dan OBJEKTIF menguji teori, membuat generalisasi
membentuk teori praktis dan menjelaskan prinsip

REKABENTUK boleh ubahsuai berdasarkan REKABENTUK ditetapkan terlebih dahulu dan


keadaan dan keperluan situasi sebenar tetap

SUBJEK KAJIAN Penyelidik sebahagian


daripada subjek kajian
SUBJEK KAJIAN merupakan sampel yang
KAEDAH dijalankan dalam situasi sebenar dan dipilih
memerlukan tindakan dan penilaian ke atas
tindakan KAEDAH bergantung kepada teknik
persampelan dan analisis statistik yang canggih,
LAPORAN KAJIAN menggunakan bahasa yang tidak semestinya dalam situasi yang sebenar
mudah difahami
LAPORAN KAJIAN lebih bersifat teknikal dan
memerlukan pengetahuan yang khusus untuk
memahaminya

Secara lebih luas lagi, mengikut Zuber-Skerritt (1992), kajian tindakan sebagai pendekatan alternatif
kepada penyelidikan konvensional adalah berbeza berdasarkan perkara-perkara berikut:

- praktikal dapatan serta pengetahuan yang diperolehi melalui kajian tindakan bukan sahaja
ada kepentingan teoretikal dalam perkembangan pengetahuan dalam sesuatu bidang, tetapi
juga ia membawa kepada peningkatan yang praktikal semasa dan selepas proses
penyelidikan.
- partisipatif dan kolaboratif penyelidik terlibat secara langsung bersama dengan subjek
mengkaji masalah praktikal dan meneliti penyelesaian serta meningkatkan amalan.
Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 8

- emansipatori pendekatannya bukan berhirarki, tetapi semua pihak yang terlibat dalam
penyelidikan adalah samarata dalam memberi sumbangan kepada penyelidikan.
- interpretif banyak bergantung kepada pandangan dan interpretasi orang-orang yang terlibat
dalam penyelidikan.
- kritikal partisipan adalah lebih bersifat kritikal dalam proses penyelidikan bagi mencari jalan
yang paling sesuai untuk peningkatan amalan dalam konteks kekangan yang terdapat.
Penyelidik lebih bertindak sebagai agen perubahan yang kritikal. Mereka mengubah
persekitaran dan dalam proses tersebut mereka berubah.

Model Kajian Tindakan

Dalam perkembangan kajian tindakan, didapati beberapa model atau skema dikemukakan oleh
beberapa pengkaji seperti Stephen Kemmis, John Elliott, Dave Ebbutt, Jack Whitehead, Somekh,
Stringer dan lain-lain. Kemmis, Elliott dan Ebbutt dikatakan mengemukakan model yang lebih formal,
preskriptif dan lari daripada konsep asal kajian tindakan yang dikemukakan oleh Lewin (McNiff, 2001).
Bagi Kemmis, idea beliau tentang kajian tindakan berasaskan konsep asal Lewin, tetapi beliau telah
mengembangkannya dengan membuat tambahan. Beliau mengembangkan model nya dalam konteks
pendidikan dan menggunakan istilah educational action research. Dalam buku beliau yang bertajuk
Action Research Planner, beliau telah memperincikan penggunaan pendekatan kajian tindakan dalam
pendidikan. Rajah 1 dapat menjelaskan sedikit sebanyak tentang model atau skima yang
dikemukakan oleh beliau. Sumbangan Kemmis dalam meningkatkan penggunaan kajian tindakan
terutamanya dalam pendidikan adalah banyak. Pengaruhnya telah memberi kesan secara langsung ke
atas polisi pendidikan di Australia dalam usaha menggalakkan guru menjadi penyelidik reflektif ke atas
amalan mereka sendiri

Rajah 1: Model Kajian Tindakan Kemmis


Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 9

Elliott pula pada dasarnya bersetuju dengan langkah-langkah dan gelungan berurutan yang
dikemukakan oleh Kemmis. Elliott telah mengembangkan lagi model Kemmis bagi membolehkan aliran
yang lebih lancar berlaku antara tahap-tahap yang terdapat dalam proses kajian tindakan.

Somekh (1989) pula telah mengembangkan lagi langkah-langkah kajian tindakan ini dengan lebih
terperinci seperti yang terdapat dalam Rajah 2.

Rajah 2: Model Somekh (1989)

2. Mengumpul data

1. Mengenalpasti masalah/ 3. Menganalisis data/


Fokus yang diminati membentuk hipotesis

8. Putaran seterusnya 4. Merancang tindakan

7. Menganalisis dan 5. Melaksanakan pelan Menilai


tindakan

6. Mengumpul data untuk

mengesahkan perubahan

Di Australia, Stringer (2004) telah mencadangkan prosedur dan proses kajian tindakan seperti berikut:

Rajah 4: Model Stringer, (2004)

Merekabentuk

Mengambil Tindakan Mengumpul Data

Menyampai Hasil Menganalisis Data

Berdasarkan beberapa model di atas, jelaslah bahawa prosedur dan proses kajian tindakan adalah
mengikut proses satu gelungan langkah-langkah, dijalankan oleh satu kumpulan yang berusaha
bersama-sama untuk membuat perubahan dan peningkatan amalan dalam situasi kerja sendiri.
Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 10

RUMUSAN
Jelaslah bahawa kajian tindakan dalam konteks penyelidikan guru telah luas dijalankan terutama di
negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat. Perkembangan secara perlahan-
lahan telah mula berjalan di Malaysia melalui inisiatif yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran dan
Jabatan Pendidikan Negeri, serta minat yang mula berkembang di kalangan segelintir guru. Secara
teori dan praktiknya kajian tindakan memang serasi dengan tugas guru yang sentiasa berhadapan
dengan masalah pengajaran dan pembelajaran serta tindakan yang perlu diambil untuk mengatasinya.
Proses dan prosedur kajian tindakan sebenarnya boleh merupakan strategi pengajaran dan
pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru untuk menyelesaikan masalah pengajaran dan
meningkatkan amalan mereka. Dengan ertikata lain, kajian tindakan boleh merupakan pedagogi atau
sebahagian daripada pedagogi guru memandangkan proses dan prosedurnya adalah bersesuaian
sekali dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Guru yang baik, seperti
juga pengamal reflektif dalam profesion lain, sentiasa menguji, mengubahsuai dan merangka semula
model amalan mereka berdasarkan pengalaman dan refleksi mereka dengan mengkaji apa yang
mereka buat. Dengan itu guru akan mencipta pengetahuan baru untuk amalan yang lebih berkesan.

KATA KUNCI
1. Guru sebagai penyelidik

2. Guru sebagai professional

3. Kajian pengamal (practitioner research)

4. Refleksi kendiri

PENILAIAN KENDIRI
1. Guru sebagai penyelidik sering dikaitkan dengan perkembangan kajian tindakan dalam
pendidikan. Bincangkan konsep tersebut dengan mengaitkannya dengan konsep guru sebagai
professional.

2. Bincangkan latar sejarah dan asas falsafah Kajian Tindakan. Mengapakah kajian tindakan
berbeza dengan penyelidikan konvensional?

3. Bincangkan tentang definisi kajian tindakan serta perkaitannya dengan amalan guru.

4. Terdapat beberapa model kajian tindakan yang telah dikemukakan. Teliti model-model
tersebut dan bincangkan persamaan dan perbezaannya.

RUJUKAN
Carr, W. & Kemmis, S., (1986) Becoming Critical: Education, Knowledge and Action Research,
London:Falmer Press

Elliott, J., (1991) Action Research for Educational Change, Buckingham:Open University Press

Othman Lebar., (2011). Kajian Tindakan Dalam Pendidikan: Teori dan Amalan, Tanjong Malim:
Penerbit UPSI

Anda mungkin juga menyukai