Anda di halaman 1dari 13

Pengenalan

Sesuatu program yang dilaksanakan oleh sesebuah organisasi perlu dinilai. Penilaian program
adalah aspek yang penting untuk mendapatkan maklumat tentang kekuatan dan kelemahan
aktiviti yang dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, seseorang yang ditugaskan untuk
menilai sesuatu program seharusnya mempunyai pengetahuan tentang konsep penilaian
program dan kemahiran khusus dalam membuat penilaian agar maklumat yang diperolehi
adalah tepat dan boleh dipercayai. Penilai boleh menilai program sama ada di peringkat awal,
pertengahan atau akhir. Semua ini bergantung kepada tujuan penilaian dibuat. Maklumat atau
maklum balas yang diperolehi dalam penilaian program akan digunakan bagi mengatasi
kelemahan dan melakukan usaha penambahbaikan program di masa akan datang. Kemahiran
dalam membina instrumen yang sesuai dan mengendalikan instrumen tersebut dengan betul
merupakan perkara penting dalam melaksanakan aktiviti penilaian. Tanpa pengetahuan dan
kemahiran spesifik, penilaian program seringkali dilihat sebagai suatu perkara yang amat
sukar dilaksanakan.

Penilaian Program : jQAF- Model Bestari Solat

Singkatan j-QAF bermaksud j untuk jawi (pelajar menguasai jawi dengan baik), Q untuk al-
Quran (pelajar khatam Al-Quran sebelum ke sekolah menengah), A untuk bahasa Arab
(pelajar mempelajari bahasa Arab komunikasi dan asas-asas bahasa Arab), dan F untuk
fardhu Ain (pelajar dapat menguasai fardhu ain khususnya solat lima waktu). Menurut
Dangiran (2004) idea j-QAF ini timbul bermula dengan lawatan Y.A.B. Perdana Menteri
Malaysia ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 30 Disember 2003. Dalam
lawatan tersebut beliau telah menyarankan agar KPM mengambil usaha bagi membolehkan
murid-murid dapat mengkhatamkan al-Quran di sekolah rendah dan mewajibkan Bahasa
Arab di samping memperkukuhkan Jawi dan Fardhu Ain. Pelaksanaan projek rintis j-QAF
bermula pada April, Mei dan Jun 2004. Bermula pada tahun 2005 sebanyak 1,221 buah
sekolah kebangsaan telah dipilih untuk perlaksanaan program j-QAF secara bersepadu.
Terdapat enam model pengajaran dalam program j-QAF : Model Kelas Pemulihan Jawi,
Model Tasmik (al-Quran), Model 6 bulan Khatam al-Quran, Model Perluasan Bahasa Arab
Komunikasi, Model Integrasi dan Model Bestari Solat.

Model Bestari Solat adalah salah satu program j-QAF yang fokus hanya kepada solat
lima waktu. Solat ialah perkataan yang berasal yang berasal daripada Bahasa Arab. Dari
sudut bahasa bermaksud doa untuk kebaikan. Dari sudut istilah, solat merujuk kepada
1
perkataan-perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbiratulihram dan diakhiri
dengan salam, dengan syarat-syarat yang khusus. Perkataan dalam solat : takbirarulihram,
bacaan al-Fatihah, tasyahud akhir, selawat ke atas nabi dan salam yang pertama, manakala
perbuatan dalam solat : berdiri tegak sekiranya mampu, niat, iaitu perbuatan hati, rukuk,
iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, duduk tahiyat akhir dan tertib.

Penghayatan fardhu ain akan berfokus kepada Model Bestari Solat. Ia merupakan
program yang dirancangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) khusus untuk
memantapkan pengajaran dan pembelajaran solat lima waktu dalam Pendidikan Islam. Kem
Bestari Solat merupakan salah satu di antara program-program di bawah j-QAF yang juga
boleh dilihat sebagai program intervensi dalam kurikulum Pendidikan Islam. Ia adalah
aktiviti berbentuk perkhemahan yang dilaksanakan untuk memastikan murid-murid dapat
menunaikan solat dengan sempurna dari segi bacaan dan perbuatan. Solat merupakan asas
atau tiang agama dalam Islam. Aktiviti ini dilaksanakan secara intensif di satu tempat khas
mengikut kesesuaian sebuah sekolah dengan kekerapan 4 kali setahun. Aktiviti ini dijalankan
di luar waktu persekolahan dan teknik pengajaran adalah berbentuk latih tubi secara individu,
berpasangan atau berkumpulan atau secara keseluruhan. Ia dikategorikan sebagai aktiviti
kokurikulum pendidikan Islam dan dimasukkan dalam takwim sekolah. Dari segi
perbelanjaan, Kementerian Pelajaran Malaysia menurunkan peruntukan khas bagi
pelaksanaan program di setiap sekolah yang mempunyai murid-murid Islam. Pelaksanaannya
juga memerlukan kerjasama semua pihak terutama penglibatan pentadbir sekolah, PIBG,
guru-guru sedia ada di sekolah dan tidak semata-mata diserahkan kepada guru pendidikan
Islam sahaja.

Amalan solat di kalangan murid perlu ditanam seawal mungkin bak kata pepatah
peribahasa jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru itu, ibadah solat
hendaklah bermula dari tadika atau murid tahun satu lagi dan perlu diberi perhatian serius
oleh pelbagai pihak. Mengikut Rohidzir Rais (2013:xvi) Rasulullah pernah berpesan bahawa
amalan pertama yang dihitung ialah solat. Sekiranya solatnya baik, dia akan berbahagia dan
beruntung. Sekiranya rosak dia pastinya menyesal dan rugi. Solat hendaklah diberi
penekanan dan keutamaan dalam pendidikan anak-anak di sekolah rendah.

Solat merupakan keperluan asas bagi pengisian rohani yang perlu dipelihara oleh
setiap miuslim. Allah S.W.T menyatakan dalam surah al Ankabut ayat 45, Sesungguhnya
solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah
2
(solat) adalah lebih besar keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain, dan Allah mengetahui
apa yang kamu kerjakan. Solat adalah ibadah unik yang perlu dipelihara dan dikerjakan
dengan sempurna (Rohidzir Rais, 2013). Pelaksanaan solat yang ikhlas dan tawaddu, pastinya
memberi impak positif terhadap pembangunan insan yang seimbang dan harmonis.

Penilaian Program Kurikulum Sekolah: Kem Bestari Solat

Penilaian adalah berguna dalam mempertingkatkan program kurikulum di sekolah. Dalam


penilaian secara umum terdapat empat bidang tumpuan : reka bentuk program, proses, produk
dan kakitangan. Persoalan penilaian boleh dibina bagi membantu mengumpul data dan
menentukan cara mendapatkan maklumat atau maklum balas yang tepat bersesuaian dengan
tujuan penilaian dalam setiap aspek iaitu reka bentuk program yang dirancang, proses yang
terlibat dalam pelaksanaan, hasil atau output yang diinginkan dan kakitangan atau mereka
yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan program.

Kem Bestari Solat merupakan salah satu daripada program j-QAF, telah lama
dilaksanakan sejak tahun 2004. Bagi meningkatkan keberkesanan kem ini khususnya aktiviti
yang telah dilaksanakan oleh individu yang terlibat terutama pihak guru, maka program ini
perlu dinilai untuk memastikan impak yang diharapkan. Sejauhmanakah program ini benar-
benar berkesan dan berjaya mencapai matlamat dan objektif program yang telah ditetapkan?
Soalan-soalan penilaian perlu dibina bagi membantu menetapkan struktur penilaian program.
Terdapat empat persoalan yang menetapkan struktur mana-mana penilaian program di
peringkat sekolah, mengikut Wiles (2009: 105):

Is this the program our planners intended?

Is this program efficient in its delivery?

Is this program delivering the desired outcomes?

Are the personnel making a direct contribution to the program as planned?

Apabila matlamat penilaian adalah khusus untuk meningkatkan program sekolah, aktiviti
penilaian program perlu fokus kepada perkara-perkara berikut:

Mengkaji konsep dan melihat keseluruhan struktur program.

Sehubungan dengan itu prosedur penilaian perlu mengesahkan matlamat dan tujuan (validate
goals and purposes) yang dinyatakan oleh para perancang pada peringkat analisis. Persoalan
3
kritikal yang menjadi tumpuan utama ini ialah: Adakah kita mempunyai jenis program yang
kita kehendaki?

Melihat proses atau bagaimana program kurikulum dikendalikan.

Penilaian ini terdiri daripada senarai semak untuk menentukan kecekapan bahagian-bahagian
sistem seperti aktiviti pengajaran dan pembelajaran guru dan murid, bila dan di mana aktiviti
ini dijalankan, bahan-bahan pengajaran dan kaedah pengajaran yang digunakan, agihan tugas,
komunikasi , cara-cara menguji, mentaksir dan menilai kemajuan dan pencapaian murid oleh
guru, kewangan , dan prosedur perancangan. Persoalan utama adalah: Adakah kita cekap
dalam menyampaikan perkhidmatan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti program seperti yang
telah dirancang?

Menilai produk sebenar program kurikulum.

Dengan menggunakan pentaksiran (assessment) seperti peperiksaan dan ujian, analisis


dokumen, kajian dan maklum balas berstruktur, kita dapat mengukur apa yang telah dicapai.
Berdasarkan data-data atau evidens yang diperolehi kita dapat membuat analisa dan
keputusan tentang tahap pencapaian program samada berjaya atau sebaliknya. Soalan
penilaian dalam aspek ini adalah: Adakah melalui program ini, kita mendapat hasil yang
dikehendaki?

Menilai kakitangan dan peranan mereka dalam pelaksanaan program kurikulum.

Dengan menggunakan pemerhatian dan temu bual kita akan dapat mengenalpasti dan
menentukan sejauh mana peranan, penyertaan dan penglibatan mereka (pentadbir sekolah,
guru, murid, PIBG) melaksanakan program itu berkesan. Satu soalan kritikal adalah: Adakah
kakitangan kita menjalankan tugas dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab masing-
masing bagi menjayakan program seperti yang telah dirancang.

Individu yang menjadi penilai program perlu memahami konsep dan tujuan penilaian
dilakukan. Penilai juga perlu mempunyai pengetahuan, kefahaman, dan kepakaran dalam
merancang dan melaksanakan aktiviti penilaian program. Dalam menilai program, Kem
Bestari Solat penilai mungkin seorang pegawai j-QAF dari unit kurikulum Pendidikan Islam,
Jabatan Pelajaran Negeri yang terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan
program di peringkat Kementerian Pelajaran. Selain itu, beliau perlu mempunyai kemahiran
dan kepakaran dalam menjalankan kajian dan aktiviti-aktiviti penilaian program. Aspek ini

4
adalah penting supaya hasil atau dapatan kajian dan penilaian iaitu maklumat yang diperolehi
adalah tepat dan boleh dipercayai.

Kriteria-kriteria yang digunakan dalam pentaksiran pencapaian murid kem solat perlu
dinyatakan secara eksplisit iaitu tingkah laku murid yang boleh dilihat dan diukur. Instrumen
atau borang-borang pentaksiran dan senarai semak digunakan bagi mengukur pencapaian
murid yang telah mengikuti kem solat. Kaedah pengajaran yang terlibat adalah latih tubi iaitu
teknik pengajaran yang melibatkan murid melakukan suatu aktiviti secara berulang-ulang kali
sehingga dapat melakukan aktiviti pembelajaran mengikut kriteria yang ditetapkan. Bahan
bantu pengajaran seperti carta-carta, gambarajah dan tayangan video amali wuduk, amali
solat bacaan dan perbuatan digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran.

Pengajaran murid dalam kem solat melibatkan pentaksiran formatif di mana guru
mengguna pakai pelbagai teknik pentaksiran untuk meningkatkan pembelajaran murid di
samping memastikan murid mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Kriteria
pentaksiran tahap pencapaian mereka dinyatakan dalam bentuk tingkahlaku yang boleh
diukur, contohnya kriteria pentaksiran tentang amali wuduk, amali solat (bacaan) dan amali
solat (perlakuan) dinyatakan dengan secara eksplisit dalam borang pentaksiran yang
dibekalkan kepada pihak sekolah. Melalui teknik pemerhatian dan soal jawab secara lisan,
guru membuat pentaksiran dan penilaian secara tepat tahap pencapaian berdasarkan
keupayaan, kebolehan dan kemahiran yang ditunjukkan oleh murid. Analisa pencapaian
setiap murid direkod dalam borang pentaksiran yang telah disediakan oleh Kementerian
Pelajaran. Maklumat atau data dicatat dalam borang analisa pencapaian sekolah dan rekod
pencapaian individu. Semua maklumat ini hendaklah dihantar ke unit Pendidikan Islam (j-
QAF), Jabatan Pelajaran Negeri setelah selesai melaksanakan setiap kem solat (4 kali
setahun) sebelum dihantar ke Kementerian Pelajaran

Indikator atau petunjuk yang disediakan bagi mengukur pencapaian program dan
menilai hasil program setelah program selesai dilaksanakan. Adakah petunjuk penilaian
mampu atau berupaya mengukur apa yang ia sepatutnya mengukur secara objektif (khusus
atau spesifik) tanpa dipengaruhi oleh individu tertentu atau mereka yang terlibat dalam
program itu contohnya guru, murid, pengerusi dan ahli jawatankuasa program (indicator
whenever possible should be objective). Indikator yang ditetapkan hendaklah jelas dan
relevan serta menggambarkan keseimbangan, iaitu tidak berat sebelah pada mana-mana isu.
Dalam kes-kes di mana pengukuran boleh dilakukan hanya dengan petunjuk lebih subjektif,
5
pendapat atau penilaian seorang pakar yang berpengalaman luas dalam bidang atau aspek
yang hendak dinilai diambil kira.

Dalam Kem Bestari Solat sebagai contoh, responden soal selidik sampel boleh
termasuk orang dengan kepentingan yang berbeza dalam program ini contohnya ibu bapa
murid yang mengikuti Kem Bestari Solat. Penilai boleh menemu bual beberapa orang ibu
bapa/waris murid atau beberapa orang dari komuniti di mana murid itu berada untuk
dijadikan sebagai sampel/responden kajian. Soalan-soalan penilaian boleh dikemukakan
semasa temu bual secara tidak langsung atau soalan penilaian ini dimasukkan dalam borang
soal selidik. Jawapan yang diberi perlu menggambarkan situasi atau keadaan sebenar yang
hendak dinilai. Maklum balas dan maklumat yang relevan dan mencukupi mengenai prestasi
dan hasil atau outcome program yang diperolehi dapat membantu penilai membuat keputusan
samada program itu berjaya atau sebaliknya. Untuk memastikan semua impak dan kesan
diukur secukupnya (adequately measured), beberapa indikator boleh digunakan, melainkan
jika ianya tidak kos efektif untuk berbuat demikian. Begitu juga, indikator yang berbeza
diperlukan jika terdapat perbezaan dalam pandangan di kalangan pengurus program
mengenai struktur program atau jika terdapat perbezaan tentang apa program sepatutnya
lakukan, atau apa yang sebenarnya program telah lakukan.

Isu-isu Penilaian Program

Apa yang menjadi fokus penilaian adalah persoalan atau isu-isu berkaitan dengan
penilaian kurikulum. Isu-isu melibatkan pelanggan dan pengguna sesuatu kajian penilaian
dan laporan yang dihasilkan oleh penilai. Pelanggan dan pengguna sesuatu kajian penilaian
(client and users of an evaluation study) sering menyatakan bahawa dapatan kajian yang
secara umum dikemukakan kepada mereka. Sebaliknya maklumat atau maklum balas yang
spesifik atau khusus yang diperlukan oleh mereka bukannya maklumat atau maklum balas
yang bersifat umum. Justeru itu, mengenal pasti soalan-soalan yang bersifat spesifik atau
khusus adalah langkah yang penting yang perlu diberi keutamaan dalam kajian penilaian
sesuatu program kurikulum . Ia memberi panduan kepada penilai pada peringkat awal dalam
memilih reka bentuk atau kaedah pendekatan kajian penilaian yang bersesuaian bagi
menjawab persoalan kajian yang telah dikenalpasti. Selain itu, penilai juga perlu mengambil
kira perkara-perkara yang diceritakan oleh pelanggan kepadanya, contohnya kebimbangan
pelanggan dalam aspek-aspek tertentu yang berkaitan dengan program kerana gambaran atau
maklumat yang diberikan itu berkait rapat dengan keberkesanan program tersebut. Penilai
6
juga akan mengambil kira semua isu-isu generik yang digariskan dalam Jadual 1 dan
dijadikan sebagai panduan dalam menterjemahkannya menjadi isu-isu yang khusus untuk
program yang dinilai. Sebagai contoh, penilai akan mengenal pasti:

objektif program tertentu dan rasional di sebalik pelaksanaan program itu

hasil pencapaian program, impak dan kesan yang mana munasabah yang boleh
dinilai,

reka bentuk program dan penyampaian yang alternatif bagi program itu yang boleh
diperiksa/dikaji.

Berdasarkan analisis, penilai akan mengemukakan satu senarai bentuk soalan


kajian yang dapat menjelaskan atau memberi maklumat sejauh mana keberkesanan program
telah dicapai kepada pelanggan dan pengurus program. Langkah seterusnya adalah
mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti dan mendapat persetujuan mereka tentang
apakah soalan-soalan kajian yang spesifik yang perlu diberi fokus atau diberi keutamaan
dalam kajian penilaian program kurikulum. Selanjutnya metodologi atau pendekatan kajian
penilaian hendaklah ditentukan berdasarkan kepada soalan-soalan spesifik yang dipersetujui
dalam perbincangan di antara pelanggan dan penilai tadi. Dalam kes-kes di mana akses
kepada pelanggan adalah terhad, penilai perlu menilai kebolehlaksanaan teknikal dan
praktikal (technical and practical feasibility) menangani semua soalan penilaian yang
berkaitan dengan program tertentu berdasarkan soalan generik yang digariskan dalam Jadual
1 berikut.

Isu-isu penilaian Soalan-soalan asas dalam penilaian

1. Rasional program (Adakah program a. Sejauh manakah objektif dan mandat


ini munasabah atau bermakna) program berkenaan masih relevan?

b. Adakah aktiviti-aktiviti dan output


program ini, selaras dengan mandat dan
dikaitkan secara rasional dengan
pencapaian objektif dan impak dan
kesan yang dikehendaki?

7
2. Impak dan kesan (Apa yang telah a) Apakah impak dan kesan yang diingini
berlaku akibat daripada program ini?) dan tidak diingini hasil (akibat) daripada
menjalankan program ini?

b) Apakah bentuk, cara atau ciri-ciri


program yang dijalankan ini dapat
meningkat kualiti program lain?

c) Adakah program ini serupa atau


bertindihan dengan program yang lain?

d) Adakah pelaksanaan program yang


dijalankan ini bertentangan dengan
program-program yang lain?

3. Alternatif (Adakah terdapat cara lain - Adakah terdapat program alternatif yang
yang lebih baik yang boleh dijalankan lebih kos efektif (murah / menjimatkan)
dalam usaha mencapai hasil yang mungkin mencapai matlamat dan
program?) impak dan kesan yang dimaksudkan?

- Adakah terdapat cara yang lebih jimat


dalam melaksanakan program yang
sedia ada?

Jadual 1: Isu-isu Asas Penilaian Program

Definisi yang paling awal berkaitan penilaian telah diberikan oleh Tyler (1950) yang
menyatakan penilaian sebagai proses menentukan sejauh mana objektif pendidikan telah
difahami. Definisi penilaian yang lain pula menyatakan penilaian sebagai proses
menyediakan maklumat untuk membuat keputusan (Cronbach, 1963; Stufflebeam, 1969).
Penilaian juga didefinasikan sebagai usaha menetapkan merit atau faedah atau worth
kebaikan dan nilai bagi sesuatu perkara (Scriven, 1967). Proses menjalankan penilaian adalah
berdasarkan persepsi teori yang menjadi panduan kepada penilai. Jika penilaian dilihat
sebagai aktiviti yang bertujuan menentukan pencapaian sesuatu matlamat yang telah dicapai,
maka proses penilaian adalah seperti berikut. Pertama, matlamat harus dinyatakan dalam
bentuk tingkahlaku yang boleh diukur, kemudian alat pengukuran dibentuk, seterusnya data
akan dikumpul dan dianalisis, dapatan diinterpretasi dan akhirnya cadangan akan dibuat.

8
Tyler (1949) yang dianggap sebagai pelopor dalam teori kurikulum berasaskan
sekolah melalui bukunya yang mashyur Basic Principles of Curriculum and Instruction
menggariskan bahawa sebarang perancangan kurikulum haruslah menjawab empat persoalan
yang dikenali sebagai Rasional Tyler iaitu:

(a) Apakah tujuan pendidikan yang hendak dicapai oleh sekolah?

(b) Apakah pengalaman-pengalaman pembelajaran yang dapat disediakan oleh pihak


sekolah bagi mencapai tujuan pendidikan yang telah ditetapkan?

(c) Bagaimanakah pengalaman-pengalaman pembelajaran dapat dikendalikan dengan


berkesan?

(d) Bagaimanakah kita dapat menentukan matlamat-matlamat pendidikan telah dapat


dicapai?

Pemilihan model penilaian yang sesuai dengan program dapat membantu penilai
dalam menjalankan aktiviti-aktiviti penilaian. Model penilaian program Tyler dipilih untuk
menilai program Kem Bestari Solat kerana fokus atau objektif penilaian adalah untuk
menentukan sejauh manakah matlamat atau objektif program tercapai. Model ini diklasifikasi
sebagai limited model kerana ia hanya mengkaji dan mengukur tahap pencapaian murid yang
mengikuti program sebagai penentuan samada program berjaya atau sebaliknya. Model
penilaian Tyler (1950) merupakan salah satu penilaian yang terawal yang berasaskan kepada
matlamat sesuatu program. Model ini dikemukakan oleh Ralph W. Tyler berdasarkan kerja-
kerja beliau pada tahun-tahun 1930-an dan 1940-an. Beliau mempercayai bahawa langkah
terawal dalam penilaian program adalah dengan menentukan kejelasan program atau
matlamat aktiviti. Bagi beliau penilaian akan menentukan sejauh mana matlamat tersebut
tercapai. Selanjutnya beliau mencadangkan langkah-langkah berikut semasa membuat
penilaian (Tyler, 1950) iaitu:

a. Menentukan matlamat utama atau objektif program

b. Mengkelaskan atau menyusun matlamat atau objektif program

c. Mentakrifkan matlamat atau objektif program dalam bentuk yang boleh dipantau

d. Mencari situasi yang dapat menunjukkan pencapaian objektif program

e. Membina atau memilih teknik-teknik pengukuran


9
f. Mengutip data pencapaian dan

g. Membandingkan data pencapaian dengan objektif yang telah dinyatakan

Matlamat dan objektif


program

dengan objektif
Analisa data pencapaian murid
Pemilihan kandungan
pengalaman pembelajaran

Pengelolaan dan
pelaksanaan
aktiviti/pengalaman

Penilaian pencapaian
murid

Carta Aliran 2: Model Penilaian Program Tyler

Dalam proses penilaian, analisis pencapaian murid yang sebenar dibandingkan dengan
pencapaian murid yang telah ditetapkan dalam objektif program. Jika didapati jurang
perbezaan di antara pencapaian murid setelah mengikuti program dan objektif pencapaian
murid yang ditetapkan adalah besar maka mengikut Tyler (1950), program kurikulum yang
dilaksanakan adalah lemah atau matlamat dan objektif yang dipilih adalah tidak sesuai.
Justeru itu, langkah atau tindakan mengubahsuai program boleh dibuat untuk meningkatkan
keberkesanannya. Selepas ubahsuaian atau penambahbaikan dilaksanakan proses penilaian
boleh diulang. Model penilaian Tyler boleh dilihat dalam carta aliran 2.

Kajian penilaian program mengikut model ini adalah terbatas, hanya melibatkan
kajian terhadap pengalaman pembelajaran yang dapat diperolehi oleh murid sahaja. Model ini
telah melalui proses penambahbaikan dan kajian dari masa ke masa. Walau bagaimanapun,
kritikan bermakna termasuk kekurangan tumpuan kepada merit matlamat program, potensi
untuk mengabaikan matlamat alternatif dan hasil, dan kegagalan untuk mempertimbangkan
konteks penilaian. Penilaian berorientasikan objektif menghadkan skop kajian, dilihat dalam
kenyataan berikut: Objective-oriented evaluation can result in tunnel vision, which tends to

10
limit evaluations effectiveness and potential (Fitzpatrick et al. 2004:83). Penilai yang
menggunakan model penilaian ini, hasil dapatan kajian mereka adalah tidak komprehensif
atau menyeluruh, justeru itu menjejaskan potensi dan keberkesanan kajian.

Rumusan

Penilaian program Kem Solat Bestari dengan menggunakan Model Penilaian Tyler adalah
ringkas dan mudah difahami dan dilaksana kerana ia hanya menekankan tentang pengalaman
pembelajaran yang diperolehi oleh murid yang mengikuti program tersebut. Bentuk
maklumat yang diperolehi melalui kajian penilaian program ini adalah terbatas kerana ia
hanya berfokus kepada hasil pencapaian murid sebagai sumber penentuan matlamat dan
objektif kurikulum. Penilaian dibuat berdasarkan data dan maklumat daripada pengukuran
pencapaian murid. Kejayaan program ini boleh dilihat secara objektif iaitu dari segi bilangan
atau peratus murid yang belum menguasai dan yang sudah menguasai ( sederhana atau
cemerlang) sesuatu kemahiran yang diajar.

Penilaian pencapaian murid merupakan satu kaedah untuk mengukur keberkesanan


program. Oleh itu, analisis keputusan pencapaian murid boleh digunakan oleh Kementerian
Pelajaran untuk membandingkan keberkesanan program kem solat di kalangan sekolah-
sekolah rendah dan membuat keputusan mengenai pelaksanaan program tersebut di masa
hadapan.

11
Rujukan:

Cronbach, L.J. (1963). Course improvement through evaluation. Teachers College Record,
64, 672-683.
Dangiran Mustafa. (2004). Memperkasa pendidikan Islam. Kertas kerja dibentangkan dalam
Seminar j-QAF 2004 pada 3-5 Mac 2004 anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan
Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia. Kuala Lumpur.
Fitzpatrick, J. L., Sanders, J.R. & Worthen, B.R. (2004). Program evaluation: Alternative
approaches and practical guidelines. 3rd edition: Boston, MA: Pearson.
Rohidzir Rais (2013). Anda bertanya ustaz menjawab mengenai solat. Batu Caves: PTS
Islamika Sdn, Bhd.
Scriven, M. (1967). The methodology of evaluation. In Stake, R.E. (Ed.), Curriculum
evaluation (American Educational Research Association Monograph Series on
Evaluation No. 1). Chicago: Rand McNally).
Stufflebeam, D. L. (1969). Evaluation as enlightenment for decision-making. In Walcott

12
H.B. (Ed.), Improving educational assessment and an inventory of measures of
affective behaviour (pp. 41-73). Washington, DC: Association for Supervision and
Curriculum Development and National Education Association.
Tyler, R.W. (1949). Basic principles of curriculum and instruction: Chicago: University of
Chicago Press.
Tyler, R.W. (1950). Basic principles of curriculum and instruction: Syllabus for education
305. Chicago: University of Chicago Press.
Wiles, J. (2009). Leading curriculum development. Thousand Oaks,California: Corwin Press.

13

Anda mungkin juga menyukai