Anda di halaman 1dari 4

Dalam karangan masyarakat Malaysia, pantun merupakan puisi tradisional yang masih

kekal sehingga ke hari ini. Bincangkan keistimewaan pantun dan peranannya dalam
masyarakat Melayu.
Busana indah bertata suasa,
Menari puteri di dalam taman,
Pantun lambang budaya bangsa,
Takkan hilang ditelan zaman.
Rangkap pantun di atas menggambarkan pantun sebagai satu lambang keistimewaan
mayarakat Melayu. Pantun merupakan seni bangsa yang telah diperturunkan daripada
generasi terdahulu kepada generasi pasca kemerdekaan ini. Pantun yang kaya dengan seni
kata yang halus dan irama yang indah turut melambangkan kehebatan dan kepakaran
masyarakat Melayu dalam bidang berbahasa. Marcapada, puisi tradisional kini turut
dipertahan dan diberi penekanan oleh golongan pencinta ilmu agar tidak terhakis dibawa
arus perubahan zaman yang rakus menelan budaya Melayu dari bangsanya. Justeru,
komponen sastera yang diperkenalkan dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu
merupakan usaha bijak pandai kita agar pendedahan sedari usia rebung pasti mampu
memupuk kecintaan pelajar atau generasi muda terhadap kemahiran berbahasa
terutamanya kemahiran berpantun. Bukan itu saja, malah harapan kita agar generasi
sekarang juga diharapkan mampu mencipta hasilan pantun seperti generasi nenek moyang
kita sebelumnya. Seterusnya, diharapkan kesenian berbahasa ini akan menjadi budaya
masyarakat bangsa dalam setiap aktiviti harian sama ada ketika berkomunikasi secara
umum ataupun formal. Jelasnya, kenenian berbahasa menggunakan pantun sebagai
wahana komunikasi antara masyarakat mempunyai pelbagai keistimewaan dan peranannya.
Mari kita bersama-sama memfokuskan lensa perbincangan ke arah horizon minda
pelajar kelas pertama dengan membicara kata kunci pertama iaitu fungsi pantun sebagai
wahana penyampaian rasa penghargaan dan terima kasih kepada seseorang. Masyarakat
Melayu yang sememangnya terkenal dengan sikap suka menghargai dan berterima kasih
atas sumbangan dan jasa orang lain. Antara hasilan pantun generasi terdahulu yang masih
diaplikasi masayarakat sehingga kini terpapar melalui pantun seperti di bawah,
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Justeru, penggunaan pantun sebagai alat untuk menyampaikan rasa penghargaan dan
ucapan terima kasih seperti tergambar dalam pantun di atas memaparkan kehalusan budi
bangsa Melayu sesuai dengan pepatah Melayu iaitu harimau mati meninggalkan belang,
manusia matiu meninggalkan nama. Ucapan terima kasih melalui penggunaan pantun yang
selalunya digunakan dalam ucapan semasa acara rasmi, atau dalam perbualan seorang
rakan dengan rakan memang meninggalkan impak yang besar kepada pendengarnya.
Ucapan dengan penggunaan pantun ini boleh berlaku apabila seseorang itu menghulurkan
bantuan sama ada kewangan, tenaga atau usaha membantu orang lain dalam meringankan
bebanan kerja, memberikan idea dalam menyelesaiakan masalah, memberikan nasihat dan
sebagainya. Secara langsung, penggunaan pantun dalam menyampaikan penghargaan
terima kasih ini dapat melahir dan menyemaikan bibit-bibit kasih sayang antara pengguna
atau penutur bahasa. Tuntasnya, pantun menjadi wadah dan wahana dalam menyampaikan
rasa penghargaan dan terima masih seseorang dalam kehidupan bermasyarakat.
Seterusnya, mari kita selusuri fokus lensa perbincangan menggunakan minda pelajar
kelas pertama mengenai peranan pantun dan keistimewaannya dengan kata kunci kedua
iaitu pantun juga boleh diguna pakai sebagai medan media berkomunikasi dalam
menyampaikan sesuatu maklumat kepada masyarakat. Sebagai contoh, kita sering melihat
iklan yang dipaparkan di kaca televisyen menggunakan pantun sebagai medium komunikasi
mereka. Usaha murni media massa menggunakan pantun sebagai alat menyampaikan
pesanan atau nasihat amat dipuji kerana dengan aplikasi pantun berkenaan dalam media
akan membangkitkan rasa kecintaan masyarakat terhadap fungsi pantun dalam kehidupan
dan secara langsung mereka tidak akan lupa akan peranan pantun dalam kehidupan
seharian serta tidak melupakan identiti bangsa mereka. Di samping itu, media komunikasi
tidak kira media cetak ataupun media elektronik boleh menggalakkan masyarakat
mengaplikasi pantun dalam kehidupan mereka sama ada semasa berinteraksi atau
berhubung melalui komunikasi berbahasa ataupun melalui tulisan. Antara contoh, media
massa seperti radio dan televisyen menyiarkan rancangan berbalas pantun sama ada
secara tertutup mahupun secara siaran langsung dalam rancangan mereka. Langkah ini
juga patut dipuji kerana golongan yang meminati siaran eletronik ini antaranya golongan
remaja dan mereka inilah bakal pemimpin dan merupakan aset negara. Bahkan juga,
penggunaan pantun dalam kehidupan boleh menjadi bahan untuk hiburan dan jenaka
kerana pantun sering mendapat perhatian dalam kalangan penghibur negara terutama
dalam rancangan realiti televisyen sekarang seperti Super Spontan, Maharaja Lawak,
Karott Komedia X, dan sebagainya mencuri tumpuan peminat dalam kalangan masyarakat.
Tamsilnya, pabila masyarakat menonton rancangan seperti ini mereka akan dapat
melupakan sementara rasa sedih dan stress mereka setelah bergulamang dengan kerjaya
pada sebelah siangnya. Sebagai nasihat, dalam berhibur ciri-ciri pantun sebagai puisi lama
tidak perlu diabaikan kerana di situlah erti keindahan dan keunikan berbahasa yang
ditinggalkan oleh generasi dahulu kepada kita. Tegasnya, masayarakat tidak perlu
memandang rendah peranan pantun dalam kehidupan mereka kerana pantun berperanan
sebagai penyampai maklumat dan juga sumber hiburan yang mengasyikkan.
Darsawarsa, segelintir masyarakat kita, terutama masyarakat Melayu alpa kerana
meminggir dan tidak menghargai tradisi pantun sebagai satu medium atau wahana untuk
menyindir dan menempelak sesorang tanpa menyinggung perasaan pendengar. Kita sedia
maklum, masyarakat Melayu terkenal dengan sifat berbudi bahasa dan sentiasa menjaga
akhlak semasa berkomunikasi. Hal ini kerana setiap individu tidal lari daripada melakukan
kesalahan sama ada secara sengaja atau sebaliknya sehingga menggores perasaan orang
di sekeliling mereka. Justeru, pabila kita berbalik kepada generasi nenek moyang kita
dahulu, mereka cenderung menggunakan pantun dalam menyindir atau menempelak
sesorang. Dengan cara sedemikian, pendengar atau orang yang dilawan bercakap tidak
akan berasa pedihnya sindiran berkenaan berbanding jika disampaikan dengan cara terus
terang. Contohnya boleh kita lihat melalui pantun berikut, "Berakit ke hulu dengan bergalah,
buluh pecah terbelah dua, orang tua jangan dilangkah, kelak biadap dituduhnya pula."
Pantun berkenaan jelas menunjukkan contoh cara golongan tua menyindir golongan muda
yang sering menempelak golongan tua sama ada semasa bercakap atau semasa memberi
nasihat kerana orang tua lebih banyak makan garam. Berbanding sekiranya dalam
menempelak atau menyindir seperti berkata, " Diam, jangan melawan cakap orang tua",
menunjukkan seseorang terus menghalang orang lain bersikap biadap dengan orang tua.
Sekiranya berlaku situasi sedemikian, sudah pasti golongan muda yang mendengar kata-
kata seperti itu akan tersinggung dan akibatnya hubungan mereka akan menjadi
renggang.Situasi ini sering berlaku dalam alaf milenium ini kerana golongan remaja
sekarang lebih suka berterus terang semasa berbual dengan rakan-rakan sebaya, dan
sudah pasti ada kalanya sikap ini akan mengundang padah seperti berlakunya pertengkaran
dan perkelahian. Tegasnya, masyarakat terutama golongan remaja boleh menggunakan
pantun apabila cuba untuk menempelak atau menyindir rakan sebaya kerana penggunaan
pantun akan melembutkan maksud teguran berbanding jika teguran itu dizahirkan secara
berterus terang.
Mari kita lebarkan fokus lensa perbincangan kepada kata kunci peranan pantun dalam
adat istiadat orang Melayu . Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan sikap
mengutamakan adat dalam upacara seperti merisik, pertunangan dan perkahwinan. Dalam
majlis seperti rombongan merisik kebiasaannya ahli keluarga akan memilih golongan tua
daripada keluarga mereka menjadi orang utama dalam majlis seperti disebutkan di atas.
Kebiasaannya, orang paling utama dalam acara seperti tersebut dipilih dalam kalangan ahli
keluarga yang petah berkata-kata dan kaya dengan kesenian berpantun. Selalunya, pantun
akan digunakan sebagai mukadimah atau pembuka kata sebagai tanda meminta kebenaran
sebelum aktiviti selanjutnya dijalankan semasa upacara merisik, pertunangan dan
perkahwinan. Dalam berpantun kebiasaannya ketua rombongan akan cuba untuk
menyampaikan hasrat rombongan keluarga mereka dan selalunya ke rumah gadis yang
menjadi pilihan ahli keluarga lelaki. Selalunya, pantun yang dikemukan akan dibalas oleh
keluarga gadis. Sebagai contoh pantun berkenaan seperti di bawah:-
Tok Sami ke teluk Lipat,
Kain batik dibawa Salma,
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi minta diterima.

Dari Pauh singgah Permatang,


Singgah merapat papan kemudi,
Dari jauh saya datang,
Kerana tuan yang baik budi.
Pantun seperti di atas, biasanya dipertuturkan semasa adat merisik, pertunangan atau
perkahwinan yang mengambar orang Melayu sentiasa berkomunikasi secara bersopan
dalam acara tertentu. Tegasnya, budaya masyarakat Melayu begitu unik dan kaya dengan
kesenian bahasa antara kemahiran berpantun dalam upacara adat.
Selain itu, pantun juga sering digunakan sebagai usaha untuk memberi tunjuk ajar
atau nasihat kepada seseorang. Nasihat dan tunjuk ajar ini kebiasaannya diajukan kepada
setiap lapisan masyarakat tidak kira usia muda atau tua. Pada zaman dahulu, orang tua-tua
sering mengutamakan pantun sebagai usaha untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada
anak-anak atau golongan remaja kerana dengan cara tersebut teguran dan nasihat yang
hendak disampaikan secara lebih bersopan. bahkan juga, dengan penggunaan pantun
teguran dan tunjuk ajar dapat disampaikan tanpa menggores perasaan golongan yang
menjadi sasarannya. Contoh pantun nasihat seperti di bawah:-

Pergi ke pantai berkereta coklat,


berdayung sampan hingga ke malam,
Firman Tuhan tutuplah aurat,
Menjadi kewajipan wanita Islam.
Berdasarkan pantun di atas, pemantun cuba menasihatkan golongan hawa agar
sentiasa menutup aurat mereka kerana perkara tersebut sudah menjadi kewajipan kaum
wanita di sisi Tuhan. Jelasnya, melalui pantun seperti diatas nasihat yang disampaikan
secara lembut dan tidak berbentuk keras dalam bentuk paksaan walaupun perkara
berkenaan adalah wajib dilaksanakan kaum perempuan. Berbanding dengan situasi remaja
sekarang lebih suka membuat teguran secara terus terang sehingga menyebabkan timbul
perasaan tidak senang dalam kalangan mereka. Adakalanya, cara teguran disampaikan
menyebabkan hubungan antara mereka akan renggang malah ada juga yang mencetuskan
perkelahian kerana ada yang berpendapat soal menutup aurat adalah soal peribadi.
Tegasnya, pantun amat signifikan untuk memberikan nasihat dan teguran kerana cara ini
lebih lembut dan bersopan.

Akhirulkalam, sudah terang lagi bersuluh bahawa pantun sememangnya banyak


kelabihan dan keistimewaannya tersendiri. Antara, pantun berfungsi sebagai hiburan,
berguna dalam adat istiadat, sebagai nasihat, menempelak dan sebagainya. Sebagai
penerus generasi terdahulu, kita bukan sahaja perlu menghargai keunikan dan kesenian
pantun Melayu, malah lebih jauh lagi kita perlu mempertahan dan seterusnya membudaya
tradisi penggunaan pantun dalam kehidupan seharian agar tidak lapuk dek hujan, tak lekang
dek panas dibawa arus zaman yang serba ligat dengan kemodenan zaman milineum ini.
Justeru, kita sebagai perwaris bangsa perlu bekerjasama ibarat aur dengan tebing, bulat air
kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat dalam usaha untuk terus memartabat
dan memperkasakan pantun sebagai satu wahana dan mideum komunikasi sopan antara
masyarakat Melayu yang terkenal dengan budi bahasanya. Oleh sebab itu, ternyatalah
keistimewaan pantun dan peranannya dalam masyarakat tidak dapat dipertikaikan.