Anda di halaman 1dari 21

PENGENALAN

Manusia melakukan pelbagai aktiviti dalam kehidupan seharian. Aktiviti komunikasi


adalah aktiviti yang memonopoli kegiatan dan mesti dilakukan oleh manusia. Maka itu
komunikasi menjadi sangat kompleks dan penting. Ini kerana keberkesanan setiap aktiviti yang
dilakukan bergantung kepada komunikasi yang dilakukan. Komunikasi boleh berlaku dengan
orang yang dikenal ataupun dengan pihak yang tidak dikenali. Implikasi dari sifatnya yang
sangat kompleks dan tidak tekal, maka ilmu komunikasi banyak dikaji. Oleh kerana Eropah dan
Barat telah menjadi paksi sumber ilmu sejak Perjanjian Damai Westpalia (1648), maka kajian
berkaitan Teori Komunikasi dimonopoli oleh mereka. Ianya boleh di bahagikan kepada tiga
kelompok pengajian iaitu British Cultural Studies, Frankfurt School of Critical Theory dan
Chicago School of Sociological Studeis. Tiga kelompok inilah yang memonopoli pengetahuan
tentang teori komunikasi yang dihebahkan melalui jurnal masing-masing hingga abad ke-21.
Sungguhpun terdapat idea-idea dari pemikir Timur tetapi ia tidak terkenal.

PERBINCANGAN: TERMINOLOGI TEORI KOMUNIKASI

Apakah yang dimaksudkan dengan teori komunikasi? Teori Komunikasi adalah teori,
model atau rajah-rajah yang menjelaskan fenomena-fenomena komunikasi. Ianya menghurai
permasalahan yang wujud dalam dunia komunikasi melalui penguraian konsep-konsep yang
berkaitan, menetapkan definisi dan pro posisi permasalahan komunikasi. Termasuk mengaitkan
variabel-variabel yang terlibat sebagai element of cause yang berakhir dengan means atau
hasil. Dengan memahami terminologi teori komunikasi dan pelbagai jenis atau bentuk teori
komunikasi beberapa faedah atau kelebihan akan dapat diperoleh. Antaranya, kita akan berupaya
membuat interpretasi yang lebih tepat berkaitan dengan fenomena komunikasi. Di samping itu
juga, kita akan dapat mengenal pasti dan mempelajari kaedah (tools) bagi memperbaiki
kepakaran komunikasi sedia ada.

Kajian berkaitan teori komunikasi merupakan antara kajian yang terbanyak dan menjadi semakin
popular pada abad ke 21. Peace, Grimes, dan Jansen (2007), menamakan minat kepada teori
komunikasi disebut sebagai revolusi penemuan. Justeru, pelbagai teori komunikasi di cipta oleh
sarjana. Setiap sarjana mempunyai pemahaman yang tersendiri terhadap teori komunikasi pada
abad 21 kerana revolusi teknologi komunikasi yang cepat berkembang. Ini kerana setiap sarjana
melihat sesuatu fenomena dari perspektif yang berbeza. Maka berlaku satu masalah akademik
dalam bidang komunikasi yang disebut constestation of idea. Masalah ini menjadi lebih rumit,
apabila ilmu atau teori komunikasi dicipta oleh sarjana dari pelbagai bidang yang lain seperti
psikologi. Maka itu, komunikasi di katakan sebagai sesuatu yang susah difahami tetapi mudah
dijelaskan (Gilson & Depoy, 2011). Susah difahami kerana ia di asaskan dari perspektif yang
pelbagai. Manakala mudah dijelaskan kerana melibatkan kelakuan manusia.

Para sarjana yang datang dari pelbagai bidang, mungkin mempunyai banyak idea kerana
perspektif yang digunakan adalah berbeza. Ia umpama menaksir komunikasi orang bunuh diri.
Ada kajian yang menemui berlakunya komunikasi bunuh diri (suicidal communication) sebelum
seseorang itu nekad bertindak membunuh diri. Komunikasi bunuh diri dilakukan dalam pelbagai
bentuk sama ada secara lisan ataupun bukan lisan. Contohnya mesej bunuh diri disalurkan
melalui nota bunuh diri, sms, e-mel dan lain-lain lagi. Manakala sebaliknya pula ada kajian yang
mendapati tidak berlaku langsung komunikasi bunuh diri sebelum seseorang itu nekad
membunuh diri. Ini menunjukkan sifat komplikasi dalam komunikasi bunuh diri dan sukar
difahami. Oleh yang demikian, bidang komunikasi merangsang para sarjana untuk cuba
membuktikan dan meyakinkan pihak lain kepada teori komunikasi masing-masing. Ini lah yang
menyebabkan bidang komunikasi sangat banyak di kaji dan sentiasa di eksplorasi.

Selain daripada itu, memahami teori komunikasi akan membantu kita mengetahui tentang
sesuatu yang belum kita alami atau lihat ataupun melihat sesuatu dengan fikiran yang berbeza.
Contohnya Teori Penembusan Sosial. Melaluinya, kita akan dapat melihat tingkah laku seseorang
dengan lebih baik. Sedangkan sebelum ini hanya berdasarkan andaian awal secara luaran sahaja.
Secara keseluruhannya bolehlah di katakan bahawa dengan memahami teori komunikasi dan
jenis teori komunikasi, seseorang itu akan menjadi lebih fleksibel, toleransi, lebih terbuka dan
terkini kepada hal-hal yang berkaitan dengan komunikasi. Empat perspektif/kumpulan yang
sering digunakan oleh sarjana bagi menjelaskan kelompok teori komunikasi ialah positivisme,
post-positivisme, interpretif, dan kritis (LittleJohn, 2008). Hari ini, paradigma teori komunikasi
bergerak lebih cepat kerana komunikasi pada hari ini sangat bergantung kepada teknologi
komunikasi. Pembangunan teknologi komunikasi pada hari ini menyebabkan sesetengah teori
komunikasi menjadi tidak lagi relevan.

Oleh kerana sifatnya yang kompleks dan sangat berkait dengan tingkah laku manusia, maka
proses pembentukan disiplin komunikasi berbeza mengikut kawasan, bentuk kehidupan, dan
budaya. Contohnya di Barat khususnya Amerika Syarikat, kajian berkaitan teori komunikasi
lebih kepada bentuk kuantitatif yang cenderung untuk mengisytiharkan komunikasi sebagai salah
satu dari bidang sains sosial. Sungguhpun didapati pendapat sarjana barat tidak sehaluan tetapi
bentuk kajian komunikasi kekal dengan bentuk kuantitatif agak lama. Kebanyakan teori
komunikasi barat lebih di monopoli secara individu oleh sarjana yang mana individu di lihat
lebih tekun dan lebih usaha bagi mencapai misi individu. Lagipun secara puratanya, teori-teori
komunikasi barat menjelaskan komunikasi sebagai tingkah laku yang tidak dirancang dan
berlaku secara semula jadi. Manakala kajian sarjana Eropah pula lebih dipengaruhi oleh fahaman
atau perspektif Karl Max (Marxist) yang bergantung kepada metod kritikal atau kultural.

Craig (1996) berpendapat teori komunikasi tidak boleh disatukan dalam bentuk tunggal ataupun
sekumpulan teori sahaja kerana ia mengkaji tingkah laku manusia. Setiap individu tidak boleh
berkomunikasi dalam bentuk yang sama sungguhpun mereka datang dari kelompok yang sama
dan berkongsi nilai-nilai budaya. Justeru Teori-teori komunikasi yang ada akan sentiasa
menunjukkan sifat bidang komunikasi yang sangat luas dan sentiasa dibangunkan dek fenomena
komunikasi yang sentiasa berubah. Ianya menjadi bertambah kompleks dengan kepesatan
teknologi komunikasi yang sentiasa dipertingkatkan dan berubah dengan cepat.

Teori Komunikasi mempunyai beberapa ciri penting. Pertamanya, ia dicipta oleh manusia yang
bertaraf sarjana. Manusia yang bergelar sarjana dari pelbagai bidang mencipta teori komunikasi
sebagai satu bentuk penjelasan kepada sesuatu permasalahan atau fenomena komunikasi yang
dijelaskan secara terperinci. Apabila mengkaji tentang sesuatu fenomena komunikasi, sarjana
akan membuat pilihan berkaitan apa, bagaimana, siapa, di mana dan lain-lain lagi.

Kedua, sungguhpun teori komunikasi dicipta berdasarkan cara sarjana mengupas fenomena
komunikasi tetapi cara tersebut bukan berdiri sendiri ataupun cara yang bersifat tunggal. Ini
kerana mungkin terdapat cara yang lain bagi menjelaskan fenomena komunikasi tersebut.
Bermakna teori komunikasi yang ditemui, mungkin di tolak atau dibahaskan oleh sarjana lain
yang bersandarkan kepada perspektif yang berbeza. Tambahan pula sifat teori komunikasi itu
sendiri, sentiasa dibangunkan atau merangsang eksplorasi.
Ketiga, dengan memahami teori komunikasi; sarjana akan dapat mengagak atau menjangkakan
sesuatu di hadapan. Ini bermakna kegunaan teori komunikasi bukan sahaja terhad kepada
memahami sesuatu fenomena sahaja tetapi ia juga bagi memahami perkara-perkara lain sebagai
persediaan. Contohnya teori komunikasi bukan lisan. Melalui pemahaman terhadap gerak-geri
bukan lisan, kita akan dapat mengagak niat seseorang yang ingin membunuh diri seperti
membuat persiapan membunuh diri. Dengan memahami teori ini, kita akan dapat mengambil
tindakan kawalan lebih awal bagi membendung hasrat bunuh diri seseorang.

Keempat, teori komunikasi menjelaskan tingkah laku manusia. Maka teori komunikasi tidak
bersifat jumud atau statik kerana teori komunikasi yang telah menjelaskan fenomena komunikasi
20 tahun yang lalu mungkin menjadi tidak lagi tepat pada masa sekarang. Ini kerana fenomena
komunikasi yang berlaku pada masa dahulu tidak sama dengan fenomena komunikasi masa kini.
Maka itu, di dapati bentuk mesej yang disampaikan oleh orang bunuh diri berbeza antara dahulu
dan sekarang. Jika dahulu orang bunuh diri akan menulis di atas kertas atau benda lain sebagai
mesej bunuh diri tetapi pada hari ini orang bunuh diri menggunakan medium yang lebih canggih
seperti sms, e-mel dan rakaman video. Kadang-kadang terdapat kes di mana teori komunikasi
yang baru di temui menjelaskan teori lama tidak tepat ataupun salah. Oleh kerana sifatnya yang
bergerak atau sentiasa di uji kaji, maka teori komunikasi mempunyai paradigmanya sendiri dan
dikelompokkan kepada kumpulan-kumpulan tertentu atau perspektif.

Akhir sekali, teori komunikasi dikaitkan dengan tindakan susulan. Tindakan berkaitan bagaimana
kita bertindak dan bagaimana kita berfikir ketika berkomunikasi. Ataupun bagaimana
berkomunikasi supaya komunikasi menjadi berkesan. Contohnya teori komunikasi yang
menjelaskan tentang elemen gangguan. Daripada teori komunikasi ini, kita akan cuba
mengurangkan kesan gangguan ketika berkomunikasi supaya komunikasi kita menjadi lebih
berkesan. Ini bermakna teori mengandungi sejumlah arahan atau panduan bagi bertindak kepada
fenomena komunikasi khususnya masalah dalam komunikasi. Pemahaman ini selari dengan
pendapat Little John (2008) yang menyatakan teori komunikasi bukan sekadar untuk
menjelaskan fakta-fakta komunikasi yang tersembunyi, bahkan menunjukkan jalan atau kaedah
melihat fakta-fakta komunikasi tersebut.

APAKAH KEPENTINGAN PENGGUNAAN TEORI DALAM MENJALANKAN


KAJIAN SAINTIFIK.

Dalam menjalankan sesuatu kajian saintifik khususnya komunikasi, teori komunikasi


sangat diperlukan dan merupakan prasyarat terpenting kajian. Ini kerana teori tersebut akan
menentukan hala tuju kajian ataupun menguji cuba teori sedia ada dengan fenomena semasa.
Dengan adanya teori dalam sesuatu kajian saintifik, ia akan memberi beberapa kesan yang
signifikan dan lebih impak. Kepentingan teori kepada kajian saintifik boleh di lihat kepada
kekuatan atau faedah penggunaan teori itu sendiri seperti berikut:

Pertama; Teori komunikasi akan menyediakan maklumat-maklumat dalaman atau panduan asas
komunikasi kepada kajian saintifik di mana maklumat-maklumat tersebut tidak mudah diperoleh.
Dengan memahami teori komunikasi khususnya teori yang sedia terbukti, kita akan berkata O
macam ni sebelum memulakan kajian saintifik atau Ahaa betul la setelah keputusan kajian di
temui. Seperti dijelaskan lebih awal, teori komunikasi adalah model logik penjelasan fenomena
komunikasi atau perkara yang ingin dikaji. Tambahan pula ia menjelaskan sesuatu yang tidak
mungkin akan kita temui atau perimbang dalam kajian sekiranya tanpa teori. Ini bermakna,
dalam kajian saintifik, teori telah membantu kita ke arah menemui idea baru ataupun membantu
kita melihat sesuatu dari perspektif yang baru. Contohnya penggunaan teori komunikasi dalam
kajian komunikasi kaunseling adalah faktor penentu kepada ketepatan dan ketekalan penemuan
kajian (Barbara dalam Brown, 2005). Dalam aspek komunikasi, setiap kajian saintifik
komunikasi, teori asas sangat perlu kerana kebanyakan fenomena komunikasi bukan baru
berlaku. Biasanya ia adalah fenomena lama tetapi berlaku dalam bentuk yang baru. Maka teori
yang berkaitan perlu dijadikan sandaran supaya pemboleh ubah yang digunakan memiliki takat
keesahan yang tinggi dan telah pernah dibuktikan.
Kedua, dengan adanya teori komunikasi dalam kajian saintifik, pengkaji tidak melakukan
pengulangan atau lebih dikenali dengan reinvent the wheel dan seterusnya membuang masa.
Memang tidak dinafikan bahawa teori perlu diulang kaji tetapi setelah terbukti dan disepakati, ia
akan memerlukan masa yang agak lama bagi dikaji semula supaya sesuai dengan masa.
Kebanyakan teori komunikasi yang popular dewasa ini adalah berasal dari evolusi teori terawal.
Contohnya Teori Disonan Kognitif (Festinger, 1957). Teori Disonan Kognitif menjelaskan
tentang kepentingan pemikiran dan perlakuan dalam menjalinkan hubungan sekiranya perlakuan
dalam komunikasi tersebut tidak sama dengan apa yang ada dalam fikiran. Susulan daripada
teori ini, 10 tahun kemudian barulah terhasil teori lanjutan kepada teori ini bagi menjelaskan
fenomena komunikasi yang lebih rumit iaitu Teori Penembusan Sosial oleh Atman & Taylor
(1973). Satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah setiap teori mempunyai sejarah kajiannya
yang tersendiri. Ia bermula dengan satu titik kecil, kemudian berkembang mengikut peredaran
zaman. Maka itu sejarah kajian itulah yang akan membantu kajian saintifik pada masa kini atau
pun akan datang. Ini jelas sekali dalam perkembangan teori komunikasi. Ianya bermula dengan
teori asas yang hanya melihat elemen penghantar, mesej dan penerima. Berdasarkan sejarah
kajian dan teori ini, teori komunikasi dikembangkan dengan menambah pemboleh ubah seperti
gangguan, dan maklum balas. Contohnya teori berkaitan tingkah laku bunuh diri. Pada tahun
1970, Azjen dan Fishbein mencipta Theory of Reasoned Action berdasarkan penemuan kajian
mereka pada ketika itu. Selepas itu, pengkaji masih meneruskan kajian dalam isu yang sama dan
telah menemui penjelasan lain selepas 15 tahun teori tersebut di cipta. Maka Azjen mencipta
Theory of Planned Behavior pada tahun 1985 bagi menggantikan teori asal beliau yang dicipta
15 tahun dahulu. Bermakna setiap teori komunikasi akan mengalami proses yang dinamakan
pembangunan, penggabungan dan berkembang.
Ketiga, teori bertindak sebagai elemen kawalan kepada pengkaji. Dengan adanya teori pada
kajian saintifik akan dapat meneliti sesuatu pengalaman atau ilmu dalam bidang tersebut dengan
lebih fokus. Bahkan teori juga dapat mengawal pemikiran pengkaji dengan sistematik serta dapat
membantu kajian bagi meneroka penilaian penemuan kajian saintifik. Di samping mengawal
kajian, teori juga dapat membantu pengkaji merancang matlamat kajian saintifik. Menurut West
dan Turner (2007), Before applying a theory, the researcher must have a solid understanding of
the theory in question. The researcher must know how theory defines the variables such as
sender, mesej and receiver. In order to help, the researcher need to have some ideas of where the
reserch should be going and why the problems rise.

JELASKAN BAGAIMANA TEORI DIGUNAKAN DAN DI APLIKASIKAN DALAM


PEMBELAJARAN KAJIAN.

Bagaimana teori digunakan dan di aplikasi dalam kajian? Bagi menjawab soalan ini,
jawapan akan dibuat berdasarkan pada kajian pelajar yang sedang dilakukan iaitu kajian
berkaitan komunikasi bunuh diri. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh para sarjana, sesuatu
teori menunjukkan perhubungan yang signifikan antara pemboleh ubah bersandar dan pemboleh
ubah bebas. Ke arah mengupas aplikasi teori dalam kajian bunuh diri, dua teori akan
digunakan.

Pertamanya ialah Teori Komunikasi McCroskey (1971). Asas elemen dalam teori ini ialah
penghantar sumber (source), saluran (channel), penerima (receiver), saluran maklum balas
(feedback channel), dan gangguan (noise). Teori ini membahagikan komunikasi kepada tiga
peringkat iaitu sebelum komunikasi (prior to communication), semasa komunikasi
(communication process), dan selepas komunikasi (after communication). Di semua peringkat,
teori ini melihat elemen gangguan akan wujud. Pada peringkat sebelum komunikasi, McCroskey
(1971) mendapati sumber akan melakukan proses penyelidikan bagi menyediakan konsep idea,
niat dan memilih maksud. Ini bermakna subjek yang ingin bunuh diri akan melakukan proses
komunikasi terlebih dahulu. Pada tahap ini, subjek akan membuat persediaan seperti memilih
apa yang diucapkan, bagaimana ingin disampaikan, kepada siapa mesej ingin disampaikan
dan apakah niat mesej berkenaan. Peringkat kedua [encoding process] ialah proses komunikasi di
mana subjek akan mencipta mesej dan menghantar mesej. Pada peringkat yang sama juga,
penerima pula akan melakukan proses nyahkod mesej yang diterima. Proses ini melibatkan
tindakan mendengar, melihat, interpretasi, evaluasi dan tindak balas oleh penerima. Bermakna
sekiranya subjek menyampaikan mesej yang mungkin membawa maksud mohon menyelesaikan
masalahnya atau niat ingin membunuh diri, maka penerima harus bertindak balas dengan segera
menyelesaikan masalah atau menasihati subjek supaya tidak meneruskan niat. Peringkat yang
terakhir ialah kesan komunikasi yang mana mungkin penerima akan berfikir semula dan
mengambil tindakan sewajarnya. Maka berlakulah proses tindak balas. Hakikatnya, pada semua
peringkat tersebut, gangguan akan berlaku dan mungkin menyebabkan komunikasi menjadi tidak
berkesan ataupun gagal langsung.

Dalam kes peningkatan bunuh diri di kalangan anggota tentera, adalah dianggarkan telah
berlakunya gangguan pada proses komunikasi subjek dengan penerima. Ataupun adanya
kelemahan pada rangkaian komunikasi organisasi yang menyebabkan mesej tidak difahami atau
tidak di tindak balas. Penghantar mesej merujuk kepada subjek yang membunuh diri dan yang
telah cuba membunuh diri. Manakala penerima pula merujuk kepada Ketua-ketua (Pegawai
Memerintah, Pegawai Pemerintah, Ketua Platun, Platun Sarjan, Ketua Seksyen, pemimpin
bawahan, Pegawai Agama, Pegawai Kaunseling), rakan-rakan, pengawal pusat tahanan dan ahli
keluarga. Manakala saluran pula bermaksud saluran komunikasi lisan dan bukan lisan yang telah
dipilih oleh subjek bagi menghantar mesej atau niat. Model teori ini seperti di Rajah 1.

Rajah 1: Model Proses Komunikasi McCroskey

Bagi mengaitkan pemboleh ubah proses komunikasi interpersonal dengan pemboleh ubah bunuh
diri, teori oleh McCroskey akan di gabungkan bersama dengan teori yang diasaskan oleh Ajzen
dan Fishbein (1970). Pada peringkat awalnya teori ini diberi nama sebagai Teori Reason Action.
Teori ini menjangkakan bahawa tindakan masa hadapan manusia boleh dijangkakan melalui
perangai dan tingkah laku pada sebelumnya. Mereka mendapati bahawa setiap subjek yang akan
membunuh diri akan melakukan komunikasi interpersonal. Subjek yang sudah tertanggung
beban akan berusaha meluahkan beban berkenaan dengan melontar mesej-mesej komunikasi
yang membawa maksud membunuh diri. Kajian mereka mendapati sesetengah kes, mesej
membunuh diri disampaikan secara terus dan terdapat juga kes-kes yang mena mesej membunuh
diri disampaikan secara berselindung (...posits that a person s behavior can be predicted by
attitudes toward the behavior and subjective norms concerning the behavior as well as the
intention to perform thatb behaviors...). Teori ini digunakan bagi memahami komunikasi sumber
atau subjek yang merupakan pemboleh ubah terpenting kajian. Menurut Azjen, seseorang yang
ingin membunuh diri, akan cuba membuat hubungan komunikasi dengan orang lain. Mesej
komunikasi ini ialah mereka ingin membunuh diri. Ia dinyatakan sama ada secara terus, atau
terselindung atau pun melalui perbuatan-perbuatan yang tidak disangka.

Sungguhpun demikian, pada tahun 1985, kajian kepada kes membunuh diri diteruskan. Azjen
mendapati dengan memahami tingkah laku sebelum membunuh diri, subjek boleh dinasihati
supaya tidak mengambil tindakan nekad tersebut. Oleh itu Ajzen (1985) memperkenalkan satu
teori baru iaitu Theory of Planned Behavior. Azjen telah menambah unsur pengawalan
kepercayaan (control beliefs) yang terdiri dari tingkah laku, subjektif norms, hasrat, dan kawalan
tingkah laku. Ajzen mendapati bahawa seseorang subjek yang ingin membunuh diri akan
merancang setiap peri lakunya termasuk bagaimana cara membunuh diri. Perlakuan ini tidak
berlaku secara spontan ataupun automatik. Subjek akan merancang dan menyusun setiap
tindakan yang diambil. Ini termasuklah melakukan komunikasi dengan orang lain yang
berdekatan atau rapat dengan subjek. Hasrat membunuh diri sentiasa disampaikan dalam
komunikasi tersebut. Begitu juga dengan perkakasan untuk membunuh diri, subjek akan
merancang dan berusaha mencari sesuatu yang berdekatan dan boleh membantu hasrat untuk
membunuh diri. Azjen percaya dengan memahami perancangan tingkah laku subjek yang
membunuh diri, kita akan memahami perlakuan dan pola petanda yang diberikan. Seterusnya
mengambil tindakan-tindakan pencegahan.
B. DISCUSS THE DEVELOPMENT OF INTERPERSONAL COMMUNICATION
THEORY

Komunikasi interpersonal boleh didefinisikan sebagai keupayaan untuk berkomunikasi


dengan orang lain dan memahami mereka. Komunikasi interpersonal ini berlaku apabila dua atau
beberapa individu berkomunikasi muka ke muka tanpa menggunakan perantaraan gajet
teknologi. Komunikasi Interpersonal berlaku atas pelbagai sebab iaitu untuk menyelesaikan
masalah, menyelesaikan konflik, berkongsi maklumat, membaiki persepsi diri atau memenuhi
keperluan sosial seperti ingin menyayangi dan disayangi (Pearson, 2000). Itu adalah pemahaman
tradisi terhadap maksud komunikasi interpersonal. Dek tercipta teknologi komunikasi,
sesetengah sarjana menerima perantaraan gajet dalam komunikasi interpersonal. Ini
menunjukkan perkembangan juga berlaku dalam maksud komunikasi interpersonal.

Menurut Koerner dan Flyod (dalam Smith dan Wilsson, 2010), perkembangan komunikasi
interpersonal boleh di lihat dari aspek evolusi perspektif yang digunakan dalam setiap teori.
Manakala Flyod (2009) pula berpendapat, perkembangan dalam komunikasi interpersonal perlu
di lihat aspek bagaimana cara komunikasi interpersonal di konsepkan, bagaimana ia sepatutnya
di kaji kerana ia akan menjelaskan keseluruhan perkembangan dalam komunikasi Interpersonal.
Bagaimana pun Baxter dan Wilmot (dalam Smith dan Wilson, 2010) berpendapat, perkembangan
komunikasi interpersonal berlaku berdasarkan isu yang dikaji oleh sarjana seperti perubahan
hubungan. Isu yang dikaji sentiasa berubah mengikut masa. Maka seharusnya perkembangan
komunikasi interpersonal berkembang berdasarkan isu. Sungguhpun terdapat beberapa pendapat
tentang bagaimana membincangkan perkembangan teori komunikasi interpersonal, tetapi
jawapan ini akan melihat isu yang menyebabkan tercipta teori komunikasi interpersonal satu
demi satu berdasarkan empat perspektif iaitu hubungan, interaksi, komunikator dan sejarah.

PERKEMBANGAN TEORI KOMUNIKASI INTERPERSONAL

Terdapat beberapa teori komunikasi interpersonal yang sering dibincangkan. Bagi tujuan melihat
perkembangan teori komunikasi interpersonal, perbincangan akan melihat enam teori iaitu Teori
Disonan Kognitif (Festinger, 1957), Teori Penembusan Sosial (Altman & Taylor, 1973), Teori
Keperluan Sosial (1958), Teori Pertukaran Sosial (1959), Teori Pengurangan Ketidakpastian
(Berger, 1987), dan Teori Keperluan Hierarki (1954).

a. Perkembangan dari perspektif hubungan: Teori Disonan Kognitif (1957), dan Teori
Penembusan Sosial (1973)

Terdapat dua teori yang menekankan elemen perspektif hubungan yang sering
dibincangkan iaitu Teori Disonan Kognitif (Festinger, 1957), dan Teori Penembusan Sosial
(Atman & taylor, 1973). Perbandingan kedua-dua teori ini akan menunjukkan perkembangan
yang sangat signifikan dari aspek hubungan dalam teori komunikasi interpersonal. Teori
Disonan Kognitif ini dicipta oleh Leon Festinger pada tahun 1957 dan menjadi teori terpenting
dalam kajian psikologi sosial atau sains tingkah laku. Festinger berpendapat apabila perlakuan
kita tidak menyamai apa yang kita percaya, maka mental akan digunakan sepenuhnya atau
tegang. Inilah yang dikatakan disonan kognitif. Keadaan ini mewujudkan keresahan atau rasa
tidak stabil. Justeru, kita akan bertindak mengubah salah satu sama ada mengubah perlakuan
ataupun mengubah kepercayaan. Takat keresahan atau ketegangan bergantung kepada
kepentingan isu yang di hadapi. Contohnya dalam komunikasi cubaan bunuh diri, subjek percaya
dengan melakukan komunikasi bunuh diri, masalah subjek akan diberi perhatian dan
diselesaikan. Tetapi setelah melakukan beberapa kali komunikasi bunuh diri tetapi masalah
subjek tetap tidak diberi perhatian. Ini akan mewujudkan disonan kognitif pada subjek. Subjek
perlu merubah kepercayaan ataupun perlakuannya iaitu terus membunuh diri. Dalam kes cubaan
bunuh diri, disonan yang dihadapi sangatlah besar.

Bagi mengatasi masalah disonan ini, Festinger mencadangkan tiga kaedah hipotesis mental bagi
memastikan kepercayaan dan tindakan selari. Pertama, bagi mengurangkan tahap disonan, subjek
perlu bertanya, berbual ataupun berusaha mendapatkan maklumat lanjut berkaitan masalah
subjek. Dalam hal ini, pihak yang sesuai dihubungi oleh subjek ialah Pegawai Kaunseling atau
Pegawai Agama. Hipotesis kedua, kita akan rasa tertekan apabila menyedari keputusan yang
dibuat kurang tepat atau ada keputusan lain yang lebih baik. Contohnya subjek yang berada di
persimpangan sama ada mahu meminum racun dengan kuantiti yang banyak atau kuantiti yang
sedikit. Ataupun terjun dari bangunan tinggi atau sederhana tinggi. Ataupun melakukan
komunikasi bunuh diri sebelum nekad bunuh diri atau tidak perlu melakukan komunikasi bunuh
diri. Disonan yang dihadapi oleh subjek adalah sangat besar kerana keputusan melibatkan nyawa
dan tidak boleh berpatah balik atau sudah terlewat jika menyedarinya kemudian. Hipotesis
ketiga, justifikasi minima. Subjek akan cuba meyakinkan diri sendiri bahawa dengan tindakan
meminum racun atau bunuh diri, orang lain akan menyesal atau bersimpati dengan subjek.
Subjek mungkin membuat justifikasi minima dengan berkata, bila aku bunuh diri, barulah
mereka (pihak yang menyebabkan masalah) sedar bahawa isu ini serius dan kemudian baru rasa
kasihan kepada aku. Alasan minima ini digunakan oleh subjek bagi meyakinkan dirinya.

Secara mudahnya, Teori Disonan Kognitif menjelaskan tentang kepentingan pemikiran dan
perlakuan dalam menjalinkan hubungan Sekiranya perlakuan dalam komunikasi tersebut tidak
sama dengan apa yang ada dalam fikiran, maka mental komunikator mula menolak atau pasif
terhadap hubungan dengan komunikator satu lagi ataupun dikenali dengan disonan kognitif.
Semakin penting dan besar perbezaan perlakuan, maka disonan kognitif juga semakin besar.
Bermakna komunikasi akan di tolak atau dihentikan sekiranya tidak menemui kesamaan persepsi
dengan apa yang berlaku. Bermakna, hubungan dalam komunikasi interpersonal bergantung
kepada elemen ini.

Walau bagaimanapun, 16 tahun selepas itu sarjana mendapati tidak mungkin menolak
komunikasi dengan hanya disebabkan oleh perbezaan pemikiran atau perlakuan. Ataupun
menolak hubungan kerana tidak untung dalam hubungan tersebut. Lebih-lebih lagi dalam
komunikasi penting. Maka itu, sarjana komunikasi memikirkan bagaimana mengurangkan atau
membuang terus disonan ataupun mendapatkan maklumat yang menyebabkan perbezaan
pemikiran atau perlakuan. Maka itu, Teori Penembusan Sosial (Atman & Taylor, 1973) dicipta.
Teori ini mengupas isu yang sama tetapi ia menekan perihal bagaimana untuk mendapatkan
maklumat dalam hubungan interpersonal yang diumpamakan seperti lapisan kulit bawang. Teori
ini menjelaskan peringkat maklumat yang akan diperoleh dalam hubungan. Semakin lama
hubungan, maka semakin banyaklah maklumat yang akan diperoleh. Taylor mengumpamakan
sebutir bawang yang mana lapisan bawang adalah tahap atau takat maklumat. Ini kerana
kebiasaannya dalam setiap komunikasi, perkara luaran atau lapisan luaran kerap didedahkan
lebih awal dan pendedahan lapisan berikutnya bergantung kepada tindak balas pihak
komunikator satu lagi. Teori ini juga menjelaskan ranking hubungan yang terbahagi kepada tiga
iaitu awal, intim dan peribadi. Bermakna, perspektif hubungan juga telah berkembang jauh yang
mana komunikator tidak lagi bersifat menolak hubungan apabila wujud perbezaan tanggapan.
Bahkan berusaha mendapat lebih maklumat yang diwakili oleh lapisan kulit bawang.

b. Perkembangan dari perspektif interaksi: Teori Keperluan Sosial (1958), dan Teori
Penukaran Sosial (1959).

Terdapat dua teori yang penting dalam kumpulan perspektif interaksi dalam komunikasi
interpersonal. Bagi membincangkan perkembangan teori komunikasi interpersonal yang
tergolong dalam kelompok ini, perbincangan akan mengupas dua teori yang diasaskan
berdekatan iaitu perbezaan hanya satu tahap. Teori Keperluan Sosial (Schutz, 1958), menjelaskan
sikap atau perilaku individu yang akan mempengaruhi tahap interaksi yang akan dilakukan
kemudian. Interaksi dalam hubungan interpersonal akan ditentukan oleh jenis dan takat
keperluan sosial individu berkenaan. Setiap individu memiliki keperluan sosial yang perlu
dipenuhi, maka ia melakukan komunikasi interpersonal bagi memenuhi atau mendapatkan
keperluan tersebut. Teori ini hampir serupa dengan teori keperluan Maslow tetapi hanya fokus
kepada keperluan sosial sahaja. Keperluan sosial ini diperoleh memalui interaksi. Teori ini
menjelaskan terdapat tiga keperluan sosial iaitu memberi dan menerima (affection), keperluan
didampingi dan mendampingi (inclusion), dan mempengaruhi (control). Teori ini lebih kepada
usaha mendapatkan sesuatu dan tidak mementingkan pihak lain.

Para sarjana melihat Teori Keperluan Sosial lebih bersifat mementingkan sebelah pihak dan
komunikasi menjadi tidak lengkap. Ini selari dengan pembangunan ilmu komunikasi seluruhnya
yang pada awalnya tidak melihat elemen maklum balas. Perkembangan disiplin komunikasi yang
mula mementingkan elemen maklum balas, menyebabkan berkembang teori awal oleh Schutz.
Maka setahun selepas itu, Thibaut dan Kelly mencipta teori susulan iaitu Teori Penukaran Sosial
(1959).
Teori ini bersandarkan kepada tiga elemen penting iaitu hasil hubungan, kepuasan hubungan dan
kestabilan hubungan. Thibaut dan Kelly melihat hubungan interpersonal yang berlaku perlu
melihat kepada hasil yang diperoleh dari hubungan tersebut. Sekiranya hasil yang diperoleh
adalah seperti yang diharapkan, maka subjek berada dalam tahap kepuasan hubungan dan subjek
akan bertidak mengekalkan hubungan yang berlaku. Contohnya, selepas melakukan komunikasi
bunuh diri, subjek mendapati ada tindak balas yang positif oleh penerima. Maka subjek akan
kekal berkomunikasi dengan orang yang sama. Justeru dalam kes bunuh diri, didapati subjek
hanya meluahkan perasaan pada individu tertentu sahaja. Bermakna subjek puas dengan
hubungan yang berlaku. Sekiranya subjek tidak memperoleh apa yang diharapkan, maka
hubungan menjadi tidak stabil dan mungkin subjek tidak ingin berjumpa atau berhubung lagi
dengan individu tersebut. Maka jalan terakhir ialah nekad membunuh diri.

Sungguhpun teori ini hampir sama dengan teori Shutltz tetapi berbeza dari aspek usaha
mendapatkan maklumat. Teori ini lebih bersifat menjelaskan perilaku atau tindakan susulan oleh
individu akibat dari interaksi. Ia tidak terhad kepada keperluan sosial sahaja. Ia bukan sahaja
fokus kepada usaha mendapatkan tetapi melibatkan timbal balas iaitu mendapatkan sesuatu
melalui satu proses penawaran berperingkat. Teori ini melihat komunikasi sebagai satu keperluan
oleh komunikator dan ia tidak boleh dielakkan. Teori ini menjelaskan tentang keperluan interaksi
atau pun pandangan interaksi. Ia mementingkan kepuasan komunikasi oleh kedua-dua belah
pihak. Ataupun keuntungan yang diperoleh dari komunikasi yang dilakukan. Sekiranya tidak
memasukkan diri komunikator, maka komunikasi akan ditamatkan. Teori ini cuba menjelaskan
isu sebab komunikator memaklumkan sesetengah maklumat berkaitan dirinya kepada orang lain.

Walau bagaimanapun, terdapat sarjana yang menolak teori ini kerana individu tidak mudah
memberi maklumat pada peringkat awal hubungan. Bermakna pada peringkat awal hubungan
tidak akan wujud hasil hubungan. Individu perlu berkorban dan bersabar hingga ke pertengahan
hubungan barulah mungkin akan dapat maklumat atau hasil. Teori ini menjadi lebih genting
apabila berlaku pada sesetengah masyarakat yang budayanya sangat tertutup yakni sukar
mendedahkan maklumat. Perbezaan yang jelas dapat dilihat hubungan antara subjek lelaki
dengan penerima perempuan. Maka itu, bagi kes urusan kaunselor, adalah sangat perlu kaunselor
yang sama jantina disediakan. Selain itu, sarjana juga menolak konsep untung rugi dalam
komunikasi. Adakah seseorang itu sangat berkira sehingga setiap perkara perlu dilihat untung
rugi. Dalam sesetengah komunikasi interpersonal, elemen kepuasan tidak wujud sama sekali.
Contohnya komunikasi seorang ketua dengan seorang kakitangan yang membuat salah. Elemen
puas tidak penting.

c. Perkembangan dari perspektif komunikator: Teori Keperluan Hierarki (1954), dan


Teori Pengurangan Ketidakpastian (1987).

Terdapat dua teori yang agak popular yang menekankan aspek komunikator iaitu Teori
Keperluan Hierarki (1954), dan Teori Pengurangan Ketidakpastian (1987). Teori Keperluan
Hierarki atau lebih dikenali dengan Teori Maslow, menjelaskan komunikasi sebagai satu tool
atau instrumen ke arah mendapatkan asas keperluan manusia iaitu komunikator. Maslow
membahagikan keperluan kepada lima kategori mengikut hierarki khusus iaitu keperluan fizikal
seperti air, udara dan makanan; keperluan keselamatan seperti tempat tinggal; keperluan sosial
seperti kawalan; penghargaan diri (self esteem); dan kesempurnaan diri. Setiap individu
mempunyai keinginan yang tersendiri yang perlu dipenuhi. Keperluan ini akan memotivasikan
individu usaha mendapatkan keperluan dirinya. Manakala tahap keperluan yang perlu dipenuhi
ialah tahap keperluan yang paling asas iaitu bermula dari bawah. Teori Maslow yang diasaskan
pada tahun 1954 membincangkan keperluan asas komunikator. Isu keperluan asas ini terus
dibincangkan selepas Maslow mencipta teori berkenaan.

Teori komunikasi interpersonal yang menekankan asas komunikator di lihat berkembang lebih
jauh dalam Teori Pengurangan Ketidakpastian oleh Berger. Ia diasaskan pada tahun 1987 kerana
teknologi komunikasi di dapati mempengaruhi perilaku komunikator. Berger melihat keperluan
komunikator dari sudut yang lain iaitu keperluan untuk mempertingkatkan kesan hubungan
interpersonal yang akan dilakukan. Pemahaman akan keperluan seperti ini, didapati tidak wujud
dalam teori-teori sebelumnya. Maka bolehlah di katakan teori Berger adalah teori yang pertama
yang membincangkan keperluan maklumat bagi mengurangkan ketidakpastian. Inilah yang di
katakan satu perkembangan baru dalam komunikasi interpersonal. Ia dibangunkan bagi
menyelesaikan masalah kekurangan maklumat berkaitan komunikator yang akan
dikomunikasikan. Teori ini menggariskan tiga fasa iaitu fasa perkenalan, fasa peribadi dan fasa
exit. Bermula dengan teori sehala yang tidak ambil tahu soal penerima; teori berkembang pada
keperluan maklumat berkaitan penerima. Pelbagai isu dan perkara yang ingin kita ketahui
berkaitan komunikator (penerima ataupun penghantar) sebelum melakukan komunikasi
interpersonal. Keperluan ini menjadi lebih genting apabila komunikasi interpersonal berlaku
dalam situasi yang tertekan atau dengan orang yang belum dikenali seperti perbincangan
kelulusan projek, mengurus krisis tebusan dengan pengganas dan lain-lain lagi. Dalam situasi
seperti ini, banyak maklumat yang ingin kita ketahui sebagai persediaan. Maka teori ini dicipta
bagi menyelesaikan fenomena ketidakpastian terhadap komunikator, sedangkan sebelum ini
komunikator tidak serius diperkatakan. Teori ini mencadangkan tiga strategi ke arah mengurang
ketidakpastian iaitu Strategi Pasif (memerhati), Strategi Aktif (pertanyaan/pencarian) dan
Strategi Interaktif (soal jawab). Teori ini terus dikembangkan dengan menambah aksiom 8 dan 9.
Aksiom kelapan mengambil kira hubungan romantis dalam fungsi mengurangkan ketidakpastian.
Selepas itu Neulip dan Grohskop (2000), menambah aksiom kesembilan yang mengambil kira
harapan yang dibina sebelum menjalinkan hubungan.

d. Perkembangan dari perspektif sejarah

Komunikasi interpersonal berlaku sejak manusia dijadikan iaitu komunikasi antara Adam
dan Hawa. Tetapi nyatanya kajian ilmiah berkaitan dengannya adalah masih baru. Kajian terawal
berkaitan teori komunikasi interpersonal mungkin boleh dikaitkan dengan kajian berkaitan
retorik dan persuasif yang berada dalam bidang pengucapan awam. Kajian terawal ini mengupas
bagaimanakah cara terbaik seseorang perucap dapat menyampaikan maklumat kepada khalayak.
Nyatanya sehingga abad ke-20, belum ada lagi fakulti komunikasi di universiti tetapi kajian
berkaitan pengucapan telah lama diadakan yang mana lebih menjurus kepada ucapan dalam
aktiviti debat, teater, persembahan seni, dan pemujukan. Sungguhpun demikian, pada akhir abad
ke-20 terdapat dua kelompok yang cuba mengkaji ucapan dalam bentuk yang lebih spesifik.
Pertama, perspektif humanistik yang dikaji oleh Cornell School dan keduanya, perspektif
saintifik oleh Midwestern School (Smith dan Wilson, 2010). Kedua-dua kumpulan ini yang
bertanggungjawab mengasaskan kajian perihal retorik dan pengucapan yang kemudiannya
dikenali dengan komunikasi dan kumpulan ini juga yang paling awal menubuhkan Jabatan
Pengucapan dan Jabatan Teater. Dan hari ini, kita dapati di kebanyakan universiti
menggabungkan jabatan komunikasi dengan jabatan-jabatan lain yang berkait dengan nya seperti
jabatan bahasa di UPM atau pun Jabatan Sains Sosial di UKM.

Tercetusnya Perang Dunia Kedua, melihat para strategis perang mula membincangkan kesan
pengucapan yang baik kepada psikologi manusia. Maka itu, kita dapati sebaik sahaja perang
tamat, sarjana sosial khususnya pakar psikologi mula melihat kesan pembujukan dan penolakan
di mana mereka cuba memahami proses atau faktor-faktor yang mempengaruhi interpersonal
atau aktor yang terlibat dalam perang. Dalam masa yang sama juga sarjana komunikasi mengkaji
keberkesanan media massa bagi mempengaruhi dan membujuk yang digunakan dalam perang
saraf semasa perang. Dan susulan daripada itulah model penghantaran mesej dan model sistem
hubungan di cipta.

Pada awal tahun 1960, dunia mengalami revolusi budaya yang melihat isu hak asasi dan
kepentingan kaum wanita mula menjadi penting. Revolusi ini secara automatik merubah bentuk
hubungan khususnya dalam sesebuah keluarga. Miller (1976) menyatakan bahawa pada era itu
students themselves began to demand answerr about how to relate communicatively with their
acquantances and close friends, and romantic partners. Perkembangan yang menarik dan saya
kira yang menjadi titik tolak kepada perkembangan komunikasi interpersonal ialah gerakan yang
dilakukan oleh sarjana dalam bidang sosiologi dan psikologi, di mana mereka bertindak
berpindah jabatan iaitu dari jabatan psikologi dan sosiologi ke jabatan pengucapan. Kumpulan
ini membawa bersama fahaman sosial sains dan orientasi post-positivist dalam kajian-kajian
yang dilakukan selepas itu yang mana menumpukan kepada kaedah kognitif bagi memahami
perilaku komunikasi. Antara isu-isu yang menarik minat sarjana-sarjana ini untuk dikaji ialah
pembujukan interpersonal, mesej bukan lisan, tarikan interpersonal, dan lain-lain lagi. Implikasi
dari gerakan ini, kita dapati pada hari ini dan boleh di katakan di kebanyakan universiti, Fakulti
komunikasi mengandung pelbagai jabatan yang mendukung disiplin sosial sains. Antara sebab
yang sering dihujahkan ialah semua disiplin berkenaan berkait dengan isu kemanusiaan atau
komunikasi kemanusiaan. Maka bagi memudahkan pemahaman, ia diletakkan di bawah satu
fakulti.
KESIMPULAN

Teori Komunikasi ialah teori yang menjelaskan fenomena komunikasi. Maka itu, teori
komunikasi sangat perlu dan penting dalam menjalankan kajian saintifik. Teori akan sentiasa di
rujuk dalam perbincangan, perbandingan. mengenal pasti dan memahami fenomena lepas.
Dengan adanya teori dalam kajian, kajian yang dijalankan akan lebih fokus dan membincangkan
perkara-perkara yang telah ditetapkan. Di samping itu juga, teori juga sentiasa dikembangkan
atau dipertingkatkan. Di samping itu juga terdapat situasi yang hanya berlaku pada masa lampau
dan ia hanya boleh dijelaskan dengan teori. Maka untuk memahami masalah yang dialami pada
masa lampau, teori diperlukan.

Telah ditegaskan sejak awal lagi bahawa teori komunikasi sangat terkesan dek pembangunan
teknologi komunikasi. Maka, pembangunan teknologi komunikasi turut mempengaruhi
perkembangan teori komunikasi interpersonal. Begitu juga perkembangan dari aspek perspektif
yang dikupas di atas. Ia turut disebabkan oleh kesan teknologi. Oleh kerana teknologi yang
berkembang terlalu cepat, maka perkembangan komunikasi interpersonal juga lebih cepat dari
teori komunikasi lain. Teori-teori yang dijadikan contoh perbincangan di atas berkembang atau di
cipta berdasarkan teknologi atau masalah yang dihasilkan oleh teknologi. Maka itu pemahaman
interpersonal yang pada mulanya difahami sebagai bersemuka atau berhadapan, mula berubah
kerana wujud teknologi percakapan maya yang hampir sama dengan bersemuka. Kesemua ini
seakan-akan bergerak selari iaitu pemahaman konteks barat kerana revolusi teknologi berlaku di
barat, dan para sarjana juga dari barat. Maka perkembangan teori yang berkaitan juga adalah
berasaskan perkembangan ala barat yang mana kebanyakan teori-teori komunikasi interpersonal
di asaskan oleh para sarjana barat.

Rujukan

Adler, R.B., Rosenfeld, L.B., dan Towne, N. (1999). Interplay: The process of interpersonal
communication. Fort Woth: Harcourt Brace.
Altman, I., & Taylor, D., (1973). Social Penetration: The Development of Interpersonal Relationships.
NewYork: Holt, Rinehart and Winston

Ajzen, I. 1985. From intentions to actions: A theory of planned behaviour, ed. J. Kuhi, and J.
Beckmann, Action Control: From cognition to behaviour, pp. 11- 39. Heidelberg: Springer-
Verlag

Ajzen, I., and Fishbein, M. 1970. The prediction of behavior from attitudinal and normative variables
[Electronic version]. Journal of Experimental Social Psychology 6: 466-487

Beebe, S.A., Beebe, S.J., dan Redmond, M.V. (1999). Interpersonal communication: Relating to others.
Boston: Allyn and Bacon.

Braithwaite, D.O., dan Baxter, L.A. (2008). Engaging theories in interpersonal communication: Multiple
perspectives. London: Sage Pub.

Brown, S.D., dan Lent, R.W. (2005). Career development and counseling: Putting theory and research to
work. New Jersey: John Wiley & Sons

Coombs, W.T. (2007). Protecting organization reputations during a crisis: The development and
application of situational crisis communicationtheory.Corporate Reputation Review. 10(3):163-
176.

Craig, R.T. (1996). Communication theory as a field. New York: Guilford

Festinger, L. A. (1957). Theory of cognitive dissonance. Evanston, Ill: Row Peterson

Floyd, K. (2009). Interpersonal communications: the Whole Story. New york: Mc Graw- Hill.
Gilson, S.F., dan DePoy, E.G. (2011). Human Behavior Theory and Applications: A Critical Thinking
Approach. London: Sage Pub.

LittleJohn, S.W., dan Foss, K.A. (2008). Theories of human communication. United States: Lyn Uhl.

Marshall. D. (2012). History of the internet: Timeline. Di capai pada 3mac 2012 di
http://www.netvalley.com/archives/ mirrors/davemarsh-timeline-1.htm.

Miller, J. B. (1976). Toward a New Psychology of Women. Boston: Beacon Press.

Neulip, J.W., dan Grohskop (2000). Intercultural Communication. UK: St Norbert College

Peace, B.M., Grimes, D., & Jansen, A. (2007). Living communication. London: Oxford Univ Press.

Pearson, J.C., dan Nelson, P.E. (2000). An introduction to human communication understanding ang
sharing. United States: McGraw Hill Higher Education.

Schutz, W. C. (1958).FIRO, A Three-Dimensional Theory of Interpersonal Behavior. New York:


Rinehart & Co Inc.

Smith, S.W., dan Wilson, S.R. (2010). New directions in interpersonal communication. California:
SAGE Publications.

Soterios, Z. The 1982 Tylenol crisis: A landmark case study in effective public relations. Dicapai pada 2
Mac 2012 di http://aboutpublicrelations.net/uczoulas1.htm

Thibaut, J. W., and Kelley, H. H. (1959). The Social Psychology of Groups. New York: John Wiley &
Sons.

Walther, J. B. (1996). Computer-mediated communication: Impersonal, interpersonal, and hyper


personal interaction. Communication Research. 23: 3-43.
Walther, J. B. (2011). Theories of computer mediated communication and interpersonal relations. In M.
L. Knapp & J. A. Daly (Eds.), The handbook of interpersonal communication (4th ed., pp. 443-
479). Thousand Oaks, CA: Sage.

West, R., Turner, L.H. (2007). Introducing communication Theory. New York: McGraw Hill.

Anda mungkin juga menyukai