Anda di halaman 1dari 36

_______________________________________

KAEDAH PENYELIDIKAN DALAM


PENDIDIKAN
(GRU6014)
KERTAS KERJA KAJIAN KERJAYA
_______________________________________
NAMA MATRIKS

MOHD NOORAZMAN BIN SHAMSUDDIN M20112001280


SYARIMAN BIN ALIAS M20112001292
SYAHRULL EFFANDI BIN MD SAKEH M20112001287
RAZMAN BIN MOHD SALLEH M20112001269
2

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Kerjaya sememangnya amat penting bagi setiap individu dalam meneruskan kehidupan.

Kerjaya yang diceburi oleh seseorang individu bukan hanya sekadar untuk diceburi sahaja

tetapi lebih daripada itu. Ia perlu dihayati supaya timbul minat dan kepuasan dalam setiap

kerja yang dipilih dan dilakukan. Minat juga menjurus kepada seseorang untuk suka

kepada pekerjaan yang ingin diceburi. Perasaan suka atau tidak suka seseorang terhadap

sesuatu pekerjaan adalah hasil daripada persepsinya terhadap pekerjaan itu yang mampu

menimbulkan minat. Menurut Aminuddin Yusof (1990), perguruan bukan sekadar kerjaya

atau profesion. Walaupun seseorang guru memperolehi gaji seperti lain-lain kerjaya,

tetapi perguruan adalah lebih daripada suatu pekerjaan. Kajian-kajian mengenai motif

pemilihan guru sebagai kerjaya telah mula dijalankan sejak tahun 1920 lagi. Dalam bab

satu ini pengkaji akan mengupas mengenai minat para guru terhadap kerjaya mereka

sebagai guru iaitu adakah guru-guru yang dipilih benar-benar minat terhadap kerjaya

mereka sekarang.
3

1.2 Latar belakang kajian

Kerjaya telah dianggap sebagai sesuatu keperluan bagi seseorang individu untuk terus

maju dan berjaya dalam kehidupan. Kerjaya adalah merupakan sesuatu yang amat penting

dalam kehidupan manusia kerana kerjaya dianggap sebagai punca rezeki untuk

menampung kos kehidupan manusia seharian. Sememangnya tiada siapa yang mampu

menyangkal betapa pentingnya kerjaya. Kerjaya sebenarnya adalah jauh melewati tempoh

sebelum seseorang itu menjawat jawatan pekerjaan dan tempoh selepas ia bersara. Ini

bermakna ia meliputi persediaan sebelum ia menceburi alam pekerjaan dan selepas ia

bersara. Kerjaya termasuklah persediaan-persediaan sebelum seseorang itu menceburkan

dirinya dalam dunia pekerjaan dan juga peranan-peranan lain yang dilakukannya selepas

ia bersara.

Dalam membuat rumusan mengenai kepentingan pekerjaan dalam kehidupan

manusia, Lynd dan Lynd (1937), (dalam Suradi Salim 1998) menulis ungkapan ini;

ones job is the watershed down which the rest of ones life tends to flow yang

bermaksud pekerjaan seseorang itu adalah seperti tebing sungai melalui mana

keseluruhan kehidupan seseorang itu dialirkan. Ungkapan ini menggambarkan dengan

tepat sekali bagaimana penting dan betapa penting dan besarnya pengaruh pekerjaan

dalam kehidupan manusia. Melalui pekerjaan seseorang, bakat, kebolehan dan minatnya

dapat direalisasikan dan melalui pekerjaannya juga dia mendapat kepuasan dan

kesejahteraan dalam kehidupannya atau sebaliknya, pekerjaan juga boleh menyebabkan

seseorang itu hidup dalam keadaan tertekan dan kecewa. (Dimyati 1981).
4
Tee Siw Chan (1999) menyatakan bahawa kerjaya adalah merupakan aktiviti

utama dan kegiatan yang akan menentukan corak kehidupan seseorang individu. Dengan

kata lain, kerjaya akan terus mempengaruhi pola-pola kehidupan seseorang pekerja.

Manakala, kerjaya yang diceburi juga akan menentukan sumbangannya dalam sepanjang

hayatnya. Dengan erti kata lain sama ada dia seorang yang berguna terhadap keluarga,

masyarakat dan negara akan ditentukan oleh pencapaian dalam kerjayanya. Maka

sebelum menceburi diri dalam sesuatu kerjaya, individu tersebut harus cermat membuat

pelbagai pertimbangan. Melalui pekerjaan seseorang akan menentukan hala tuju hidupnya

yang sebenarnya.

Memandangkan betapa pentingnya pekerjaan, maka setiap individu harus

mempunyai pekerjaan. Sebenarnya terdapat pelbagai jenis kerjaya yang boleh dilakukan

oleh individu untuk memenuhi tuntutan kehidupannya. Terdapat individu yang memilih

untuk bekerja sendiri dan tidak kurang pula yang minat bekerja makan gaji dengan

menjawat jawatan yang pelbagai seperti doktor, arkitek, pengurus, guru dan sebagainya.

Profesion perguruan adalah satu profesion yang selalu dipilih oleh seseorang

untuk dijadikan satu kerjaya dan ia adalah suatu pekerjaan yang tidak asing lagi bagi

semua. Ramai orang berlumba-lumba untuk menjadi pendidik kerana profesion ini

dipandang mulia oleh agama dan juga masyarakat, kerana di tangan gurulah masa depan

anak bangsa dapat ditentukan. Dari segi tanggungjawab pula, guru adalah merupakan

satu golongan profesional kerana profesion perguruan lebih mementingkan perkhidmatan

daripada ganjaran kewangan dan merasa bertanggungjawab dalam semua tindakan dan

keputusan yang dibuat (Sufean Hussin 1993).

Namun begitu, terdapat sesetengah individu yang memasuki atau menceburi

bidang perguruan ini hanya sekadar untuk mengisi kekosongan kerja yang belum
5
diperolehi serta untuk mengelakkan diri daripada menjadi penganggur. Ada juga yang

menceburi bidang perguruan ini kerana sudah terikat dengan biasiswa perguruan. Menteri

Pelajaran sekarang, dalam suatu kenyataannya pernah menyebut yang pelajar-pelajar,

apabila ditemuduga menyatakan yang mereka betul-betul berminat hendak menjadi guru

tetapi apabila diterima, minat mereka berkurangan. Kenyataan ini menunjukkan bahawa

guru bukanlah pekerjaan yang menarik di Malaysia. Profesion guru dipilih hanya sekadar

untuk mendapatkan gaji pada akhir bulan (Aminuddin Yusof 1990). Terdapat juga yag

memilih bidang perguruan sebagai kerjaya kerana tidak mempunyai peluang pekejaan

lain atau sudah terikat dengan biasiswa perguruan. Ini bertepatan dengan kajian yang

dilakukan oleh Reinhardt (1983) dalam Sukartini Mat Zin (1992) yang telah melakukan

penyelidikan tentang motif mengajar. Hasil kajian yang diperolehi menunjukkan bahawa

30 peratus daripada 400 sampel menyatakan bahawa tujuan sebenar mereka memilih

profesion perguruan sebagai kerjaya kerana ingin memperolehi gaji yang cukup sebagai

persediaan bagi mendapatkan pekerjaan yang lebih sesuai. Sekiranya keadaan ini wujud

di Malaysia, ia bakal memberi tekanan yang besar kepada pihak kementerian dalam

melahirkan guru-guru yang benar-benar berkredibiliti tinggi dalam bidang pengajaran dan

pembelajaran di sekolah.

Pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama,

iaitu untuk mengajar, mendidik dan merubah manusia yang bernama pelajar dari keadaan

yang tidak mengenal huruf, tidak tahu mengira dan tidak boleh membaca kepada celik

huruf, bijak mengira dan menjadi manusia yang berjaya.(Shuib & Johari, 2001)

Tetapi persoalannya kenapakah pandangan masyarakat terhadap guru dan

profesionnya telah berubah. Dulu masyarakat memandang mulia kepada guru, sekarang

profesion keguruan seakan terpinggir dan sudah berada dalam kategori terakhir pemilihan
6
kerja. Adakalanya juga seringkali para guru menjadi sasaran jika berlaku kepincangan

dalam masyarakat.

Oleh demikian, ramai yang terlibat dalam profesion perguruan yang tidak

berdasarkan minat telah mengalihkan pekerjaan mereka kepada pekerjaan lain. Jadi,

kajian ini akan melihat sejauhmana faktor-faktor demografi iaitu taraf profesion, jantina,

taraf perkahwinan, umur, taraf pendidikan dan tempoh pengalaman mengajar

mempengaruhi minat terhadap kerjaya perguruan dikalangan guru-guru sekolah rendah

dan menengah.

1.3 Pendekatan teori

1.3.1 Teori Perkembangan Super

Teori yang digunakan oleh pengkaji dalam kajiannya ini adalah berdasarkan kepada Teori

Perkembangan Kerjaya oleh Donald E. Super (1952) menyatakan bahawa perkembangan

kerjaya mencakupi kesukaan, penglibatan dan penyesuaian. Teori beliau ini adalah

berdasarkan kepada tiga bidang iaitu:

i. Pembezaan psikologi (Differentiation Psychology)

Super mengandaikan setiap orang mempunyai kejayaan dan kepuasan di dalam suasana

pekerjaan yang berbeza. Dalam hal ini, beliau mengembangkan pendekatan trait-faktor.

Manusia mempunyai kebolehan yang berbeza-beza bagi satu-satu pekerjaan. Manusia

lebih merasa puas jika pekerjaan yang mereka berkehendakkan minat dan kebolehan

berhubung rapat dengan sifat-sifat mereka sendiri.


7

ii. Teori Konsep-Kendiri Super

Super mencadangkan bahawa konsep kendiri vokasional berkembang berdasarkan

pemerhatian yang dibuat oleh kanak-kanak dan identifikasi dengan kerja-kerja yang

dibuat oleh orang dewasa.

iii. Prinsip-prinsip Perkembangan Psikologi

Teori perkembangan kerjaya Super juga bergantung kepada prinsip-prinsip perkembangan

psikologi. Konsep peringkat kehidupan oleh Buchler telah membuatkan Super

mencadangkan bahawa cara penyesuaian manusia pada suatu ketika hidupnya boleh

meramalkan cara penyesuaian masa akan datang.

Berdasarkan kepada tiga bidang yang telah disebutkan Super (dalam Fatimah

Tambi 2002) telah membina sepuluh proposisi yang menjadi asas kepada teori

perkembangan kerjayanya iaitu:

i. Manusia adalah berbeza dari segi minat, kebolehan dan personaliti.

ii. Individu berkebolehan melakukan pekerjaan bersesuaian dengan sifat-sifat

tersebut.

iii. Setiap pekerjaan memerlukan kebolehan, minat dan personaliti. Keperluan ini

tidak statik sebaliknya fleksibel di mana ia memberi peluang kepada individu

melakukan lebih dari satu pekerjaan dan satu jenis pekerjaan boleh dilakukan oleh

beberapa individu.

iv. Kecekapan dalam pekerjaan, pengalaman dan kesukaan pada satu-satu pekerjaan

dan konsep kendiri individu akan berubah dari masa ke semasa.


8
v. Proses berterusan dianggap sebagai satu siri peringkat penghidupan individu dan

siri ini merangkumi perkembangan penjelajahan, penetapan, pemeliharaan dan

kemerosotan. Peringkat ini dibahagikan pula kepada dua bahagian iaitu peringkat

penjelajahan termasuk khayalan, tentatif dan realistik serta perigkat penetapan

yang merangkumi tingkat percubaan dan kestabilan.

vi. Faktor-faktor yang mempengaruhi pola kerjaya ialah tahap sosioekonomi

keluarga, kecekapan mental, ciri-ciri personaliti dan peluang-peluang yang ada

pada individu di mana kesemua ini mempengaruhi taraf arau pencapaian dalam

sesuatu pekerjaan.

vii. Perkembangan melalui perigkat-peringkat kehidupan boleh dipandu,

sebahagiannya ialah dengan memudahkan proses kematangan, kebolehan dan

minat manakala sebahagian lagi dengan cara membantu individu dalam ujian-

ujian tertentu bagi mengetahui perkembangan konsep kendiri individu.

viii. Proses perkembangan vokasional adalah proses perkembangan kendiri. Ia adalah

proses kompromi yang melibatkan faktor-faktor semulajadi (neutral dan

endokrin), peluang-peluang dan ciri-ciri personaliti individu.

ix. Proses kompromi antara faktor-faktor individu dan sosial, antara kosep kendiri

dan realiti adalah peranan yang dimainkan oleh idividu sama ada peranan yang

dimainkan itu bersifat khayalan (dalam temubual kaunseling) atau dalam aktiviti

yang dilakukan dalam kehidupan seharian seperti di bilik darjah, kelab dan lain-

lain pekerjaan.

x. Kepuasan kerja serta kepuasan kehidupan bergantung kepada jalan keluar yang

didapati oleh individu bagi pertumbuhan dan pendedahan pengalaman yang

mempertimbangkan penyesuaian dan kelayakkan.


9

Super (dalam Sidek Mohd Noah, 2002) turut membahagikan lima tanggungjawab yang

harus dilakukan oleh individu dalam melaksanakan kerja yang dikehendaki dan diminati

itu. Tanggungjawab tersebut adalah:

1. Penghabluran (Crystallization)

Ia merupakan penghabluran pilihan kerjaya di mana individu memikirkan kerja-kerja

yang sesuai dengan dirinya. Proses ini berlaku apabila mencapai umur 14 hingga 18

tahun. Ketika itu individu mengembangkan pengetahuanya berhubung dengan hal-hal

pekerjaan dan konsep kendiri yang mana boleh membantu individu dalam membuat

pembetulan dan membuat pilihan yang betul.

2. Pengkhususan (Specification)

Berlaku ketika individu berumur antara 18 hingga 21 tahun. Pada ketika ini, individu

telah dapat membuat pilihan yang wajar bagi memenuhi pilihan kerjaya.

3. Memenuhi Pilihan Kerjaya (Implementation)

Pada ketika ini, individu membuat beberapa latihan dan cuba bekerja. Individu membuat

perancangan bagi memenuhi pilihan kerjaya dan melaksanakan rancangan tersebut.

Keadaan ini berlaku ketika individu menjangkau umur 21 tahun hingga 25 tahun.
10

4. Kestabilan Kerja (Stabilization)

Ketika mencapai umur 25 hingga 35 tahun, individu seterusnya mencapai tahap ini.

Apabila peringkat ini dicapai individu tidak akan menukar kerja mereka. Pertukaran

mungkin berlaku dari segi kedudukan dalam pekerjaan sahaja.

5. Pengukuhan Kerjaya (Consolidation)

Ketika individu mencapai umur 30 tahun dan pertengahan 40-an, individu telah mencapai

peneguhan status dan kemajuan dalam pekerjaan mereka. Individu juga telah dapat

menetapkan diri, kemahiran dan pengalaman. Bila mana mencapai umur matang, iaitu

berumur 50-an dan 60-an, individu telah mempunyai kedudukan yang sesuai dan

keselamatan terjamin.

1.3.2 Teori Personaliti Roe

Roe (1956) dalam Sidek Mohd Noah (2002), membentuk teori kerjayanya berasaskan

kepada Teori Personaliti. Roe menyatakan bahawa pertamanya individu sebenarnya boleh

dikelompokkan kepada pelbagai jenis personaliti tertentu dan yang keduanya terdapat

beberapa pekerjaan tertentu yang sesuai dengan jenis personaliti yang dimiliki. Dengan

lain-lain perkatan boleh diluaskan bahawa setiap individu di dunia ini memiliki

personaliti yang unik dengan personaliti yang unik itu membolekan ia bekerja dalam

beberapa jenis pekerjaan. Kedua-dua pernyataan ini adalah sangat penting dalam teori ini

dan ia merupakan intipati kepada teori ini.


11
Roe menyenaraikan lima pernyataan utama yang berkaitan dengan teorinya.

Pernyatan-pernyatan ini telah dihasilkan oleh beliau berasaskan kepada minat dan

keperluan individu. Lima pernyataan utama yang diasaskan oleh Roe ialah:

1. Pewarisan genetik menentukan had potensi perkembangan semua ciri-ciri

yang ada tetapi had perincian kawalan genetik serta sifat keterbatasannya

berbeza bagi ciri-ciri yang berlainan.

2. Darjah dan hala perkembangan diri yang diwarisi adalah dipengaruhi bukan

sahaja oleh pengalaman yang dialami oleh individu tetapi juga oleh semua

aspek latar belakang kebudayaan dan kedudukan sosioekonomi keluarga.

3. Corak perkembangan minat, sikap dan pemboleh ubah personaliti lain dengan

kawalan genetik yang secara relatifnya kecil atau tidak spesifi, pada asasnya

ditentukan oleh pengalaman individu.

4. Corak tenaga psikik yang terjadi dari segi pengurusan perhatian ialah penentu

utama minat.

5. Kekuatan keperluan-keperluan ini, kepuasan mereka dan organisasi mereka

merupakan penentu-penentu utama darjah motivasi yang dinyatakan dalam

bentuk pencapaian.

Menurut Roe (dalam Sidek Mohd Noah, 2002) orientasi pekerjaan boleh

dikategorikan kepada dua kumpulan pekerjaan iaitu pertama pekerjaan berorientasikan

manusia dan yang kedua pekerjaan yang tidak berasaskan manusia. Sehubungan dengan

itu, pekerja yang bekerja dalam sektor pekerjaan yang berorientasikan manusia selalunya

datang dari keluarga yang mesra dan penuh kasih sayang serta diterima oleh ibu bapa.

Sementara itu, pekerja yang bekerja dalam sektor yang tidak berorientasikan manusia
12
pula datang dari keluarga yang mengalami suasana hidup yang dingin dan tidak

diperlukan di mana keperluan emosinya tidak dipenuhi dengan secukupnya.

1.4 Pernyataan masalah

Profesion perguruan di Malaysia merupakan di antara cabang kerjaya yang wujud sejak

tahu 1800 lagi. Ini terbukti dengan tertubuhnya Sekolah Inggeris yang pertama yang

ditubuhkan oleh penjajah British iaitu The Penang Free School pada tahun 1816.

Pengambilan guru-guru pelatih juga telah bertambah. Perangkaan rasmi pada tahun 1986

menunjukkan 96 061 orang guru di sekolah rendah dan 58 223 orang di sekolah

menengah menjadikan jumlah bilangan rasmi guru adalah seramai 156 284 pada masa

tersebut. Ini bermakna 53% daripada populasi guru ialah guru sekolah rendah. Manakala

37% sahaja guru sekolah menengah. (Noran Fauziah Yaakob 1993)

Pada masa tersebut, masyarakat berlumba-lumba untuk mengikuti kursus

pendidikan dan seterusnya melayakkan diri mereka bergelar seorang guru. Ini kerana

pada masa tersebut pekerjaan sebagai guru dianggap mulia dan dipandang tinggi oleh

masyarakat pada ketika itu. Ini kerana tugas guru adalah bukannya mudah tetapi adalah

pekerjaan yang sangat memerlukan kesabaran di mana guru akan mendidik seseorang

yang langsung tidak mengenal huruf sehinggalah seseorang tersebut berjaya mengenal

huruf, menulis, membaca dan sebagainya. Ini secara langsung menunjukkan profesion

perguruan ketika itu mendapat kedudukan yang tinggi di mata masyarakat.

Sekarang, penglibatan individu dalam profesion perguruan begitu ketara. Banyak

universiti dan maktab yang menawarkan kursus pendidikan ini. Sekiranya jualan borang

maktab dibuka kepada umum, maka berebut-rebut individu yang ingin mengisinya. Ini

kerana mereka sedar bahawa profesion perguruan ini ada jaminan masa depan dan tidak

akan menjadi penganggur seperti mereka yang mengambil kursus selain pendidikan. Pada
13
tahun 1987, terdapat perangkaan yang menunjukkan terdapat 80,000 orang telah

mengemukakan pemohonan untuk memasuki maktab perguruan di Malaysia, tetapi hanya

800 sahaja yang diambil untuk mengikuti latihan perguruan. Ekoran daripada ini, timbul

keraguan iaitu adakah mereka yang menceburi bidang benar-benar berminat atau sekadar

untuk mendapatkan pekerjaan sahaja?.

Dewasa ini juga, kita pasti terdengar berita yang kurang baik terhadap guru di

mana guru yang dahulunya disanjung kini dikecam, dikritik, dipulau dan sebagainya. Hal

ini berlaku kerana pelbagai masalah mula timbul yang membabitkan guru di mana guru

mendera anak murid, melakukan gangguan seksual dan sebagainya. Peningkatan masalah

di sekolah juga ketika ini dikatakan berpunca daripada guru kerana tidak prihatin dan

bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja yang dipertanggungjawabkan.

Sememangnya tidak keterlaluan jika dikatakan pasti terdapat guru yang sedang

mengajar di seluruh sekolah pada ketika ini tidak mempunyai minat terhadap kerja

mereka ini. Namun mereka harus meneruskan juga pekerjaan mereka supaya dapat

menerima pendapatan atau tidak menjadi penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan.

Ada juga di antara mereka yang telah bekerja sebagai guru kemudiannya meminta

berhenti dan menjawat jawatan lain. Ini terbukti melalui data yang dikeluarkan oleh

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam tahun 1988, seramai 112 orang guru sekolah

rendah (0.15%) telah meninggalkan bidang kerjaya guru. Manakala di sekolah menengah

pula, seramai 144 orang guru (0.3%) telah mengambil tindakan yang sama. (EPRD

Kementerian Pendidikan Malaysia, 1996)


14
Keadaan ini bukan berkurangan malahan menunjukkan peningkatan dalam tahun

1984, seramai 303 orang guru sekolah rendah (0.36%) telah menukar haluan, manakala di

sekolah menengah pula seramai 180 orang guru (0.32%) berbuat demikian. (EPRD

Kementerian Pendidikan Malaysia, 1996). Fenomena ini boleh dijadikan bukti bahawa

mereka hanya mejadikan profesion perguruan ini sebagai landasan untuk mendapatkan

pekerjaan yang lain yang lebih sesuai dengan diri mereka.

1.5 Tujuan kajian

1.5.1 Tujuan umum

Kajian yang dilakukan ini secara umumnya bertujuaan adalah untuk mengetahui adakah

minat mempengaruhi pemilihan guru sebagai profesion dikalangan guru sekolah rendah.

1.5.2 Tujuan khusus

1. Mengkaji sejauh mana berbezanya minat terhadap kerjaya perguruan antara ciri

demografi iaitu faktor jantina.

2. Mengkaji sejauhmana berbezanya minat terhadap kerjaya perguruan antara ciri

demografi iaitu faktor umur.

3. Mengkaji sejauh mana berbezanya minat terhadap kerjaya perguruan antara

ciri demografi iaitu taraf perkahwinan.


15
4. Mengkaji sejauh mana berbezanya minat terhadap kerjaya perguruan antara

ciri demografi iaitu pengalaman dalam bidang perguruan.

1.6 Hipotesis Kajian

Kajian ini membahagikan hipotesis kajian kepada dua bahagian iaitu hipotesis umum dan

hipotesis khusus.

1.6.1 Hipotesis Umum

Terdapat perbezaan yang signifikan dari segi minat kerjaya guru diantara faktor-faktor

demografi dikalangan guru di sekolah rendah.

1.6.2 Hipotesis Khusus

1.HA. Terdapat perbezaan yang signifikan dari segi minat terhadap kerjaya

sebagai guru mengikut antara jantina.

2.HA. Terdapat perbezaan yang signifikan dari segi minat terhadap kerjaya

sebagai guru mengikut umur.

3.HA Terdapat perbezaan yang signifikan dari segi minat terhadap kerjaya

sebagai guru mengikut taraf perkahwinan.

4.HA. Terdapat perbezaan yang signifikan dari segi minat terhadap kerjaya

sebagai guru mengikut pengalaman dalam bidang perguruan .


16

1.7 Definisi Pembolehubah

1.7.1 Definisi Konsep

Terdapat beberapa konsep yang digunakan oleh pengkaji dalam menjalankan kajian ini.

Di antaranya ialah definasi konsep kerjaya, minat kerjaya dan guru.

1.7.1.1 Konsep Kerjaya

Menurut Kamus Dewan Bahasa (2002), istilah kerjaya bermaksud sebagai satu perjalanan

atau kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan kehidupan yang dijadikan bidang

profesion atau pekerjaan pilihan sebagai satu cara untuk mencari nafkah. Ada juga

pendapat yang menyatakan bahawa kerjaya merupakan suatu perbuatan yang dilakukan

secara berterusan untuk menghasilkan pendapatan bagi menanggung keperluan hidup

seharian.

Ivey dan Morril (1968 dalam Sidek Mohd Noah 2002) merumuskan bahawa

kerjaya merupakan suatu proses yang berterusan dengan seseorang itu melibatkan diri

dalam siri tugas perkembangan yang perlu bagi perkembangan peribadi dalam dunia

pekerjaan

Kerjaya itu adalah proses yang berterusan, bermula dari persepsi kanak-kanak

terhadap dunia pekerjaan dan berkembang hingga ke peringkat remaja dan awal dewasa.

Proses ini akan membantu menentukan identiti kerja individu disamping membantu
17
individu itu mencari peluang-peluang yang ada serta mencuba rancangan-rancangan kerja

sepenuh masa.

Kerjaya menurut Super (1957) pula, merangkumi persediaan-persediaan yang

dilakukan oleh seseorang individu sebelum bekerja dan juga peranan-peranan lain yang

dilakukan olehnya selepas bersara. Beliau juga menjelaskan bahawa kerjaya ialah satu siri

keadaan yang berlaku secara berturutan dalam kehidupan seseorang yang berkaitan

dengan pemilihan kerjaya, peranan yang dimainkan serta status seseorang itu sepanjang

kehidupannya.

Pendapat Super ini secara jelasnya dapat difahamkan bahawa satu kerjaya itu ialah

rangkaian pekerjaan, jawatan, tugas yang dijawat dalam masa hayat. Pekerjaan seseorang

itu termasuklah kedudukannya sebelum bekerja dan setelah bersara, iaitu kedudukan

sebagai pelajar membuat persediaan untuk bekerja dan kedudukan pesara yang terus

bekerja yang memainkan peranan sebagai pengganti.

1.7.1.2 Konsep Minat Kerjaya

Kamus Dewan Bahasa (2002), menyatakan istilah minat membawa maksud keinginan,

kesukaan dan kecenderungan kepada sesuatu. Menurut Strong, (1964 dalam Tee Siw

Chan 1999) menyatakan bahawa minat mengakibatkan individu suka pada sesuatu objek

itu dan bersedia untuk menunjukkan reaksi terhadap objek tersebut. Sebaliknya, jika

individu tidak berminat tentang objek berkenaan dia tidak akan mempedulikan objek

tersebut.

Di samping itu, minat juga boleh didefinisikan sebagai kecenderungan atau

tarikan terhadap sesuatu perkara atau objek. Minat akan wujud sekiranya individu

tersebut sedar tentang kecenderungan terhadap objek itu (Rohany Nasir, 1981)
18
Charles Galloway (1976 dalam Che Omar 1990), menghubungkan minat dengan

unsur dalaman yang menjadi pengaruh orang supaya bertindak dengan pelbagai cara.

Crow & Crow, 1980 pula menyatakan minat boleh dianggap sebagai daya penggerak yang

mendorongkan apabila memberikan perhatian kepada seseorang, sesuatu benda atau

kegiatan.

Menurut tafsiran Super (1957), yang agak lembap tentang minat, minat boleh

dibahagikan kepada empat jenis. Pertama, minat nyata. Ia merupakan minat yang

dinyatakan tanpa menggunakan perkataan tetapi ditunjuk melalui tindak balas.

Contohnya, menyertai persatuan dan bersukan. Kedua, minat yang dilahirkan iaitu

kecenderungan atau hobi. Ketiga adalah minat daftar. Ia merupakan had-had minat yang

berasaskan kepada tindak balas terhadap soal selidik yang berkaitan dengan soal suka

atau tidak suka terhadap sesuatu aktiviti. Akhir sekali ialah minat yang diuji. Minat ini

dinyatakan, tetapi dinyatakan di bawah kawalan situasi sebenar.

Kesimpulannya, minat memberikan dorongan yang kuat dan tenaga yang boleh

digunakan untuk mempelajari sesuatu dan bila sesuatu kerja telah dipilih dan minat

sebagai salah satu ukurannya. Oleh itu, didapati bahawa kerja itu mendapat kejayaan yang

lebih kesan dan memberikan kepuasan kepada seseorang dalam membuat kerja itu. Minat

mendorongkan seseorang menjelajah ke dunia pekerjan dan membantu mewujudkan

pengetahuan dalam diri dengan kehendak pekerjaan itu dalam merancang matlamat

pendidikan kerjaya. (Che Omar,1990)

1.7.1.3 Konsep Guru atau Perguruan


19
Perkataan keguruan diambil dari perkataan dasarnya iaitu guru. Mengikut Kamus Dewan,

guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh manakala perkataan keguruan pula

berkaitan dengan guru, berkaitan dengan peranan (tugas dan kelayakan) sebagai guru.

Pada asasnya tugas utama guru di sekolah ialah untuk mengajar dan mendidik para

pelajar agar menjadi insane yang syumul selain daripada memberikan ilmu selaras dengan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia, guru adalah mereka yang bertugas

mendidik dan mengajar atau menjalankan kerja-kerja pentadbiran di bawah institusi

Kementerian Pendidikan termasuk yang mengajar di sekolah, di maktab-maktab, guru

besar dan pengetua.

Menurut Noran Fauziah Yaakob (1989), kerjaya perguruan merupakan bidang

kerjaya yang secara umumnya pada anggapan masyarakat merupakan satu pekerjaan yang

istimewa, terutama untuk golongan wanita. Jika dilihat dan diteliti perkembangan

perguruan hari ini, kaum wanita ramai lama menceburi dalam bidang kerjaya ini.

(Sulaiman Masri 1986).

1.7.2 Definisi Operasioal


20
1.7.2.1 Kerjaya

Dalam kajian ini, pengkaji akan melihat kerjaya sebagai suatu pekerjaan yang dilakukan

dalam bidang yang dipilih dalam tempoh kehidupannya. Pengkaji telah mengambil

profesion perguruan sebagai bidang kerjaya dalam kajian ini. Guru yang dimaksudkan

ialah guru yang sedang mengajar di sekolah rendah. Terdapat dua tahap profesion guru

ini iaitu guru terlatih dan guru sandaran tidak terlatih.

1.7.2.2 Minat Kerjaya

Dalam kajian pengkaji ini, pengkaji akan melihat sejauh mana minat sebenar guru

sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim sama ada mereka benar-benar

berminat dengan profesion perguruan atau sebaliknya.

1.7.2.3 Guru atau perguruan

Dalam kajian pengkaji ini, pengkaji akan mengambil guru-guru yang sedang mengajar di

Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim bagi melihat minat mereka terhadap kerjaya dalam

bidang perguruan. Guru-guru tersebut adalah terdiri daripada guru terlatih dan tidak

terlatih atau guru sandaran.

1.8 Kesignifikanan Kajian


21
Kajian ini sebenarnya penting kepada para guru yang sedang mengajar di sekolah rendah.

Melalui kajian yang diadakan ini, guru akan dapat mengetahui apa sebenarnya tujuan

mereka menceburi profesion perguruan ini sebenarnya. Di samping itu, guru juga dapat

mengetahui sejauh mana tahap minat mereka terhadap profesion perguruan ini sama ada

pada tahap rendah, sederhana atau tinggi. Melalui hasil yang diperolehi nanti, ia akan

dapat membantu para guru apa sebenarnya yang diingini dalam profesion perguruan atau

adakah mereka perlu meneruskan profesion perguruan ini atau pun membuat pengalihan

kerja.

Hasil daripada kajian ini juga akan membolehkan pihak Kementerian Pelajaran

Malaysia menapis pengambilan guru-guru baru dengan lebih teliti agar individu yang

benar-benar berminat sahaja akan diambil untuk kemasukan ke universiti yang

menawarkan kursus pendidikan dan maktab-maktab. Ini bagi mengelakkan terdapatnya

individu yang menceburi bidang perguruan ini hanya disebabkan untuk memperolehi

pekerjaan pada masa akan datang tanpa adanya minat terhadap profesion yang

sememangnya mulia ini.

Kementerian Pelajaran juga dapat mengenalpasti guru-guru yang tidak ada

komitmen terhadap kerja dan tugas mereka sebagai seorang pendidik. Gejala ini berlaku

adalah disebabkan tiadanya minat terhadap profesion ini tetapi terpaksa juga meneruskan

kerja bagi mengelakkan diri daripada menjadi penganggur. Dengan itu, pihak yang

bertanggungjawab juga dapat melakukan seperti memberikan perkhidmatan kaunseling

kepada guru terbabit bagi meningkatkan motivasi dan kesedaran mereka terhadap

profesion perguruan yang telah mereka ceburi.


22

1.9 Batasan Kajian

Setiap kajian yang dijalankan pasti mempunyai batasan atau kekurangan dalam setiap

kajian yang dilakukan. Begitu juga dengan kajian yang dilakukan ini. Kajian yang

dilakukan oleh pengkaji ini hanya dilakukan di sebuah sekolah sahaja iaitu di Sekolah

Kebangsaan Tanjong Malim sahaja. Jadi kajian ini tidak dilakukan di sekolah-sekolah

lain. Maka dengan itu perbezaan hasil kajian dengan sekolah lain tidak dapat diperolehi.

Kajian yang dilakukan adalah hanya ke atas guru-guru sahaja di sebuah sekolah

berkenaan. Maka hasil kajian yang diperolehi adalah merujuk kepada guru-guru sahaja

tanpa meliputi guru-guru yang sedang berkursus atau menyambung pelajaran di universiti

atau maktab-maktab berkaitan. Kajian ini tidak menggunakan semua guru yang mengajar

di sekolah rendah sebagai sampel kajian. Hanya 60 guru yang mengajar di Sekolah

Kebangsaan Tanjong Malim sahaja dijadikan responden kajian ini yang menyaksikan

jumlah sampel itu bukannya menyeluruh ke atas semua guru di sekolah berkenaan.

1.10 Ringkasan

Secara keseluruhannya, di dalam bab satu ini pengkaji telah menerangkan tentang latar

belakang mengenai kajian yang ingin dilakukan. Selain itu, pendekatan teori juga turut

dinyatakan di dalam bab ini. Di samping itu juga, pengkaji turut menerangkan tentang

pernyataan masalah, tujuan atau objektif kajian. Andaian atau hipotesis kajian yang

dibuat juga turut diterangkan dalam bab ini. Definisi pembolehubanh iaitu definasi
23
konsep dan operasional turut dijelaskan dalam bab ini. Di samping itu, kepentingan kajian

serta batasan kajian turut dinyatakan di dalam bab dua ini.


BAB 2

TINJAUAN LITERATUR

2.1 Pengenalan

Terdapat banyak kajian yang dilakukan oleh pengkaji sama ada pengkaji di dalam

negara mahupun luar negara berhubung dengan minat kerjaya. Kebanyakkan kajian

yang dilakukan adalah untuk mengetahui sejauh minat guru dan bakal guru terhadap

kerjaya perguruan. Selain itu, banyak juga kajian yang dilakukan oleh pengkaji-

pengkaji lepas tentang pengaruh faktor-faktor lain terhadap pemilihan guru sebagai

satu kerjaya atau profesion. Jadi, di dalam bab ini pengkaji telah mengambil beberapa

kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji tempatan dan luar negara yang telah

melakukan kajian tentang minat kerjaya.

2.2 Kajian-kajian lepas

2.2.1 Kajian Tempatan

Kajian yang dilakukan oleh Aminuddin Yusof (1990), ke atas 52 orang pelajar

Malaysia yang sedang menuntut di United Kingdom bagi menyelidiki persepsi

mereka terhadap beberapa pekerjaan dengan tumpuan utama kepada pekerjaan guru

dalam hubungannya dengan beberapa faktor yang mempengaruhi minat terhadap

pekerjaan. Mereka adalah sebahagian daripada pelajar yang menghadiri satu konfrensi

di Manchester United dan satu khemah kerja di Birmingham. Di Manchester sebanyak


100 soal selidik yang disebarkan, hanya terdapat 30 yang dapat dipungut kembali

sementara di Birmingham daripada 60 orang yang ditemui, 22 orang bersedia

menjawab secara spontan. Hasil kajian menunjukkan 40 orang pelajar sudah pasti

tidak akan memasuki bidang perguruan kerana mereka cenderung kepada

kejuruteraan.

Kajian minat kerjaya yang berdasarkan faktor jantina telah dilakukan oleh

Rohany Nasir (2003). Hasil kajian beliau menunjukkan terdapat perbezaan minat

kerjaya dikalangan perempuan dan pelajar lelaki. Kajian beliau telah dilakukan ke

atas 80 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kajian dilakukan

dengan menggunakan soal selidik OII. Didapati pelajar lelaki lebih meminati bidang

natural, mekanikal, business dan sains, manakala pelajar perempuan pula lebih

cenderung meminati bidang personal sosial dan sastera.

Kajian yang dilakukan oleh Fatimah Tambi (2002) untuk melihat minat

pemilihan guru sebagai kerjaya berdasarkan ciri-ciri demografi turut telah dijalankan.

Ia dijalankan ke atas 190 orang guru terlatih, tidak terlatih dan pelatih maktab. Hasil

kajian yang diperolehi beliau, menunjukkan ciri-ciri demografi seperti faktor umur,

jantina, tahap profesion, taraf perkahwinan, taraf pendidikan dan tempoh pengalaman

mengajar memberi memberi kesan kepada minat guru terhadap profesion mereka.

2.2.2 Kajian luar negara

Hall dan Willliam (dalam Salmi Abas 1985) telah menjalankan kajian ke atas pelajar-

pelajar lelaki dan perempuan di sebuah sekolah berdasarkan kumpulan etnik, kesan

perbezaan jantina dan pengaruh guru serta ibu bapa. Hasil kajian ini menunjukkan

bahawa terdapat perbezaan di antara pelajar lelaki dan perempuan dari segi pengaruh

terhadap pemilihan kerjaya mereka. hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa
pelajar-pelajar lelaki mempunyai aspirasi yang pelbagai sedangkan pelajar-pelajar

perempuan mempunyai aspirasi kerjaya yang bertaraf tinggi.

Kajian mengenai minat kerjaya berdarkan faktor bangsa yang telah dilakukan

oleh Raymond (1978) dalam Fatimah Tambi (2002) Kajian ini dijalankan di kalangan

pelajar-pelajar Amerika untuk melihat hubungan di antara minat kerjaya dan

personaliti dari segi faktor bangsa. Daripada hasil kajian, beliau merumuskan bahawa

individu yang sama bangsa akan lebih menunjukkan kesamaan dari segi membuat

pilihan kerjaya yang serupa dengan personaliti mereka.

Kajian minat kerjaya berdasarkan kursus kajian telah dilakukan oleh Mac Phail

(1954). Seramai 3,128 orang pelajar dari Universiti Browan telah diuji minat kerjaa

mereka, di mana 1,380 orang pelajar yang mengambil ijazah sarjana muda sastera,

170 orang pelajar Sarjana Muda Sains dalam Kimia dan 578 pelajar Sarjana Muda

Sains dalam Kejuruteraan. Keputusan kajian menunjukkan bahawa pelajar-pelajar

yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Sastera lebih meminati personal sosial,

kesenian dan business. Sementara itu, pelajar kursus Kimia dan Kejuruteraan lebih

cenderung kepada bidang sains, mekanikal dan natural. Di samping itu, pelajar yang

mengambil kursus sastera menunjukkan kecenderungan kepada jenis pekerjaan yang

berunsurkan pertuturan. Pelajar-pelajar yang mengambil kursus Kimia dan

Kejuruteraan lebih berminat kepada pekerjaan yang berbentuk manipulasi.

Forner ( dalam Herr Cramer, 1972) telah menjalankan kajian ke atas 400 orang

pelajar perempuan di peringkatjunior dan senior persekolahan tinggi dan juga ke

atas 170 orang pelajar lelaki. Hasil kajiannya didapati bahawa pelajar perempuan

lebih suka memilih pekerjaan professional berkaitan dengan pengurusan pekerjaan

yang mahir berbanding dengan pelajar lelaki yang suka kepada pekerjaan yang

bercorak perniagaan separa professional dan pekerjaan-pekerjaan yang kurang mahir.


Menurut Powell (1981) dalam Tee Siw Chan (1999), faktor minat dapat

mempengaruhi corak pemilihan kerjaya seseorang individu secara mendalam.

Manusia mempuyai pelbagai bentuk minat terhadap kerjaya. Antaranya ialah tahap

dan jenis minat kerjaya. Setiap individu memiliki tahap tahap dan jenis minat yang

berlainan ekoran daripada perbezaan keupayaan, pendidikan, latar belakang dan

faktor-faktor lain. Manakala, tahap dan jenis minat kerjaya turut mempengaruhi

persepsi individu.

Beberapa kajian luar negara juga mendapati faktor pemilihan kerjaya perguruan

boleh dikategorikan kepada dua, iaitu intrinsik dan ekstrinsik. Salah satu faktor

instrinsik yang dikenal pasti ialah sukakan kanak-kanak (Ethington 1988;Bontempo &

Digman 1985; Reid & Caudwell 1997; Evans 1993; Good 1993).

Berry (1988) dan Jantzen (1981) juga melaporkan bahawa faktor sukakan

kanak-kanak adalah sebab yang paling popular di kalangan calon wanita. Sebab-sebab

lain adalah seperti ingin berbakti kepada negara dan bangsa (Chuen et.al.

1999),suasana kerja yang menyeronokan (Brown 1992) dan untuk memanfaatkan

ilmu pengetahuan serta berpeluang melanjutkan pelajaran (Thomas 1984).

Bagi faktor ekstrinsik seperti jaminan kerja, gaji dan prospek masa depan serta

peluang kenaikan pangkat ditemui dalam kajian tentang pemilihan kerjaya perguruan

di kalangan guru sekolah rendah (Yong 1994; Chuen et al. 1999; Yee1990).

Bagaimanapun, Marshal (1986) menambah bahawa pengaruh bekas guru,peluang

untuk meningkatkan taraf sosial, tanggapan bahawa kemasukan dalam bidang

perguruan lebih mudah dan keinginan untuk berkongsi pengetahuan melalui

pengajaran juga menyumbang kepada pemilihan kerjaya perguruan.


Namun demikian, Hutchinson (1993) dan Hutchinson dan Buschner (1996)

mendapati faktor lain seperti keupayaan diri, ingin menjadi contoh teladan dan

kreativiti mendorong seseorang memilih kerjaya perguruan.

2.3 Ringkasan

Bab dua ini secara keseluruhannya telah menyatakan tentang tinjauan literatur iaitu

berhubung dengan kajian-kajian lepas yang telah dilakukan oleh tokoh-tokoh

berhubung dngan minat kerjaya. Kajian-kajian lepas ini diambil daripada

penyelidikan yang pernah dilakukan oleh para penyelidik. Kajian lepas ini diambil

daripada kajian yang dilakukan samaada tempatan iaitu di Malaysia mahupun yang

dilakukan di luar negara. Selan itu juga, dalam bab ini juga terdapatnya hasil kajian-

kajian yang dilakukan di luar negara. Kesimpulannya, kajian yang dilakukan oleh

para tokoh sama ada tempatan mahupun luar negara ia adalah bertujuan untuk melihat

minat kerjaya perguruan dan bidang-bidang lain turut dinyatakan.


BAB 3

METODOLOGI KAJIAN

3.1 Pengenalan

Metodologi kajian adalah meliputi kaedah yang akan digunakan oleh pengkaji dalam

kajian yang akan dilakukannya. Aspek-aspek yang terkandung dalam metodologi

kajian inilah yang akan pengkaji gunakan dalam memastikan kajian dapat dilakukan.

Antara Aspek tersebut adalah seperti tempat kajian subjek kajian. Justeru itu, di dalam

bab ini pengkaji akan menerangkan secara terperinci tentang rekabentuk yang akan

digunakan oleh pengkaji dalam membuat kajian, tempat kajian untuk melakukan

kajian, subjek kajian yang akan digunakan iaitu meliputi populasi dan responden yang

dipilih, alat kajian yang digunakan, prosedur kajian, serta analisis data yang digunaka

3.2 Reka bentuk kajian

Rekabentuk yang telah dipilih adalah kajian yang berbentuk tinjauan. Ia akan

dijalankan ke atas satu kelompok sampel sahaja iaitu guru-guru yang mengajar di

sekolah rendah dengan menggunakan sukatan mata pelajaran Kurikulum Bersepadu

Sekolah Rendah (KBSR).

Seramai 60 orang guru dari Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim akan dipilih

secara rawak sebagai sampel kajian. Kajian ini menggunakan satu set soal selidik.
3.3 Alat kajian

Pengkaji menggunakan alat kajian yang berbentuk satu set soal selidik yang akan

diedarkan kepada sampel kajian. Soal selidik yang diedarkan tersebut mengandungi

dua bahagian iaitu:

3.3.1 Bahagian A

Bahagian ini mengandungi soalan tentang latar belakang diri sampel. Ia merangkumi

jantina, umur, taraf pendidikan, taraf perkahwinan dan tempoh pengalaman mengajar.

3.3.2 Bahagian B

Bahagian ini mengemukakan soal selidik yang berkaitan minat kerjaya. Ia

menggunakan alat ukuran yang telah diambil daripada Inventori Minat Kerjaya Sidek

(IMKS). Inventori ini telah dibangunkan oleh Sidek Mohd Noah pada tahun 1987

berasaskan Teori Pemilihan Kerjaya Holland dan Kamus pengkelasan pekerjaan yang

dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Rakyat, Kementerian Sumber Manusia, Malaysia.

Soal selidik ini bertujuan untuk mengetahui minat sebenar guru-guru di sekolah

rendah yang terpilih sebagai sampel kajian dalam bidang kerjaya. Alat ukuran ini juga

menggunakan format pilihan jawapan tetapi hanya dua pilihan jawapan sahaja yang

diberikan.
3.4 Kebolehpercayaan dan kesahan alat ujian

Setiap alat pengukuran yang digunakan haruslah mempunyai dua ciri penting iaitu

kesahan dan kebolehpercayaan. Pada asasnya kesahan merujuk kepada takat sesuatu

alat itu mengukur apa yang seharusnya diukur, manakala kebolehpercayaan merujuk

kepada takat ketekalan atau kestabilan alat pengukur itu mengukur apa yang hendak

diukur. (Bhasas Abu Bakar, 2002). Menurut Tuckman (dalam Sidek Mohd Noah

2002) kesahan sesuatu ujian menggambarkan sejauh mana ujian tersebut mengukur

apa yang sepatutnya diukur.

3.5 Tempat kajian

Pengkaji telah memilih sebuah sekolah di daerah Batang Padang yang terletak di

negeri Perak Darul Ridzuan . Sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Tanjong

Malim.

3.6 Subjek kajian

3.6.1 Populasi kajian

Menurut Mohd Sidek Mohd Noah, (2002) populasi ialah semua kes atau subjek yang

kita minat untuk mengkajinya. Populasi juga bermaksud sekumpulan objek, benda,

kejadian atau pun individu yang ingin dikaji oleh pengkaji. Populasi adalah cerapan

ke atas sekumpulan individu atau objek. Individu atau objek yang dicerap mestilah

mempunyai sekurang-kurangnya satu ciri atau sifat yang sama antara satu sama lain.
Dalam kajian yang dilakukan oleh pengkaji ini, populasi kajian adalah terdiri

daripada guru-guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim. Pemilihan

sekolah yang dinyatakan di atas ini sebagai lokasi kajian adalah kerana sekolah ini

memenuhi segala tuntutan, keperluan dan kehendak kajian. Tambahan pula di

dalamnya terdapat populasi yang bertepatan dengan tujuan kajian dan penggunaannya

dijangka dapat menjawab persoalan kajian.

3.6.2 Sampel kajian

Menurut John Mcleod (dalam Issham dan Wan Mahzom 1999), sampel kajian

ditakrifkan sebagai orang yang mengambil bahagian dalam sesuatu kajian. Sampel

juga adalah cabutan kes atau subjek yang dipilih daripada sesuatu populasi.

Menurut Tuckman (dalam Majid Konting, 1991) saiz sampel perlu

dimaksimumkan agar dapat meminimumkan ralat persampelan. Menurut Majid

Konting (1991), penggunaan saiz sampel perlu digalakkan melebihi 30 unit, ini adalah

kerana andaian bahawa taburan normal biasanya dipenuhi apabila saiz sampel akan

lebih mewakili populasi dan mengurangkan ralat persampelan.

Dalam kajian ini, sampel yang telah dipilih oleh pengkaji adalah terdiri

daripada 65 orang untuk dijadikan sebagai sampel kajian. Mereka terdiri daripada

guru-guru Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim yang mengajar dengan menggunakan

sukatan mata pelajaran KBSR. Sampel yang dipilih telah diambil secara rambang.

Pengkaji telah memilih guru ini untuk dijadikan sebagai sampel kajian adalah kerana

mereka memenuhi syarat yang diperlukan oleh pengkaji dalam kajian ini iaitu sampel

kajian hendaklah terdiri daripada guru yang mengajar di sekolah rendah serta

memahami soal selidik yang akan diedarkan oleh pengkaji kelak .


3.7 Prosedur kajian

Prosedur kajian ialah tatacara kajian serta langkah-langkah yang perlu diambil oleh

pengkaji untuk melaksanakan kajian ini. Dalam kajian yang dilakukan oleh pengkaji

ini langkah-langkah yang akan diambil ialah pada permulaannya pengkaji memilih

tajuk kertas cadangan iaitu Minat Terhadap Kerjaya Perguruan: Tinjauan

Dikalangan Guru-guru Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim. Setelah itu pengkaji

telah menunjukkan tajuk cadangan ini kepada penyelia. Setelah tajuk disahkan,

pengkaji telah mencari sumber untuk menyiapkan kertas kerja ini iatu pengkaji telah

mencari sumber atau bahan seperti tesis dan jurnal di pusat sumber dan perpustakaan.

Seterusnya pengkaji akan mendapatkan surat kebenaran daripada Fakulti Sains

Kognitif dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris iaitu melalui

dekan untuk memohon mengadakan kajian ini. Seterusnya pengkaji akan memohon

meminta kebenaran bertulis daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan

Pendidikan (EPRD), Kementerian Pelajaran dan kebenaran daripada pihak Jabatan

Pendidikan Negeri Perak bagi membolehkan proses pengumpulan data berjalan

dengan baik.

Setelah mendapat kelulusan daripada EPRD dan Jabatan Pelajaran Negeri

Perak, maka pengkaji akan ke sekolah berjumpa dengan Guru Besar untuk

mengadakan kajian di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim serta menunjukkan surat

kebenaran pihak yang diberitahu di atas. Kemudian pada hari yang ditetapkan

pengkaji akan mengedarkan borang soal selidik tersebut kepada para guru yang

dipilih secara rawak. Pengkaji akan menerangkan tujuan dan cara-cara menjawab

soalan soal selidik. Responden diberikan kelonggaran masa bagi menyempurnakan

soal selidik agar mereka dapat menjawab dengan sebaik-baiknya.


Setelah itu, pengkaji akan mengutip semula borang soal selidik berkenaan.

Setelah itu, pengkaji akan mengambil data dari responden yang telah menjawab soal

selidik berkenaan.

3.8 Penganalisaan data

Setelah data terkumpul, penganalisaan data akan dibuat untuk mengetahui hasil data.

Data akan diproses dengan menggunakan kaedah yang sistematik. Data yang

diperolehi telah dikodkan dan dimasukkan ke dalam komputer. Data akan dianalisis

dengan menggunakan satu pakej statistik yang dikenali sebagai Statistic Package for

Social Science (SPSS). Selain daripada menganalisis secara deskriptif, terdapat dua

kaedah penganalisaan iaitu Ujian t dan ANOVA satu hala untuk melihat perbezaan

antara pembolehubah-pembolehubah.

3.8.1 Kaedah pemarkatan alat ujian

Sebagaimana yang dijelaskan, IMKS merupakan inventori yang digunakan untuk

menentukan minat individu terhadap aktiviti pekerjaan dalam pelbagai bidang. Item

yang menunjukkan sikap minat terhadap profesion perguruan terletak pada item yang

menerangkan aktiviti pekerjaan yang berkenaan aktiviti sosial; perkhidmatan sosial.

Manakala item yang menunjukkan sikap tidak berminat terhadap profesion perguruan

pula terletak pada item yang menerangkan aktiviti pekerjaan di luar bidang perguruan

seperti realistik, investigatif, artistik, enterprising dan conventional.

Diantara item yang menunjukkan kecenderungan minat ke arah bidang

perguruan ialah:

i. Pegawai Kebajikan Masyarakat


ii. Guru Sekolah Rendah/Menengah

Inventori ini akan ditadbir secara keseluruhan dan akan dikira minat sampel kajian.

pengkaji telah mengira keseluruhan jawapan bagi item-item Sosial sampel kajian dan

membahagikan mereka kepada dua bahagian iaitu:

I 0-5 markah

Golongan yang mempunyai minat yang rendah terhadap bidang perguruan.

II 6-10

Golongan yang mempunyai minat yang tinggi terhadap kerjaya perguruan.

3.8.2 Pengujian hipotesis

Dalam pengujian hipotesis terdapat dua kaedah penganalisaan iaitu Ujian t, dan

ANOVA satu hala untuk melihat perbezaan antara pemboleh ubah-pemboleh ubah.

Statistik deskriptif yang digunakan adalah untuk melihat data dari segi peratus,

kekerapan min dan sisihan piawai. Statistik deskriptif ini lebih menerangkan

keputusan terhadap hipotesis yang diperolehi secara umum dalam bentuk peratusan,

dan jadual.

Statistik inferensi melibatkan penganalisaan dan pengujian hipoteis secara

langsung yang bertujuan untuk menarik kesimpulan daripada data yang diperolehi dan

seterusnya dibahagikan kepada kumpulan yang lebih besar iaitu populasi. Statistik

infrensi dapat membantu pengkaji untuk membuat kesimpulan sampel yang mewakili

populasi dari mana sampel dipilih daripada populasi tersebut. Statistik infrensi yang
digunakan oleh pengkaji adalah untuk menguji hipotesis-hipotesis kajian dan melihat

sama ada terdapat perbezaan antara kedua-dua pemboleh ubah.

3.9 Ringkasan

Dalam bab ini telah diterangkan tentang metodologi kajian atau kaedah kajian yang

dilakukan oleh pengkaji. Antara yang telah diterangkan adalah berhubung dengan

rekabentuk kajian yang telah dipilih oleh pengkaji iaitu kajian tinjauan secara

deskriptif. Selain itu, turut dinyatakan tentang alat kajian yang digunakan oleh

pengkaji iaitu pengkaji telah menggunakan satu set soal selidik yang diambil dari

pengkaji lepas. Di samping itu juga, bab ini turut menyatakan berhubung dengan

tempat kajian, populasi dan sampel yang akan digunakan oleh pengkaji dalam kajian

ini. Selain itu, prosedur kajian serta analisa data turut tidak ketinggalan diterangkan

oleh pengkaji. Dengan adanya elemen dalam metodologi kajian ini, maka ia akan

dapat memudahkan pengkaji untuk melaksanakan kajian ini.

Anda mungkin juga menyukai