Anda di halaman 1dari 5

Ucapan Perasmian Program Ambang Merdeka Peringkat SK Seri

Bintang Utara

Disampaikan oleh: Puan Che Norizam Binti Abdullah

Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan

ke hadrat Allah SWT, lantaran di bawah lembayung rahmat dan

keredhaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang sekali lagi

pada hari ini meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang

ke-59 dalam keadaan aman dan sentosa. Tahun ini juga merupakan

tahun yang ke-53 bagi negeri Sabah dan Sarawak bersama-sama

menyambutnya sejak 1963.

Sesungguhnya, bertepatan dengan situasi semasa, tema Sehati

Sejiwa telah dipilih sekali lagi pada tahun ini sebagai tema yang tepat

untuk kita sama-sama menyambut Hari Kebangsaan kali ke-59 ini.

Setelah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai

perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi

mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah

negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta

belenggu penjajahan asing.


Kejayaan yang kita kecapi pada hari ini tidak datang bergolek

begitu sahaja. Sesungguhnya, kedaulatan negara Malaysia telah

menjadi faktor kepada kita untuk menjadi sebuah negara yang merdeka.

Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah

pengorbanan oleh pejuang-pejuang tanah air kita selama ini, baik

bersama generasi yang terdahulu, hatta bersinambungan sehingga

sekarang, bagi memastikan negara Malaysia menjadi sebuah negara

yang merdeka, berdaulat serta bermaruah.

Lantaran itu, kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya

dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri

halatuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah

meraihnya, kita juga wajib terus memelihata dan mempertahankan

perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islan,

serta keistimewaan Melayu dan Bumputera, seperti mana nenek moyang

kita terdahulu memperjuangkan perkara-perkara ini sehingga ia

termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita menginsafi, dunia kini sering berhadapan dengan pelbagai

mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai

ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata

dunia. Umpamanya, krisis peperangan yang melanda di Sempadan

Gaza, Palestin di antara pejuang Hamas dan tentera Zionis. Peperangan


yang berlaku serta kecemperaan politik yang berpanjangan di beberapa

buah negara lain juga haruslah kita mengambil iktibar supaya apa yang

berlaku di sana tidak akan sesekali berlaku di tanah air kita.

Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat yang tidak

berdoa, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang

berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Menantikan satu tangan yang

bakal memberikan pertolongan kepada mereka, tampaknya masih belum

kelihatan dan jalan penyelesaian tidak kunjung tiba dan semakin buntu.

Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan

membangkitkan semangat malah ia sebenarnya lebih daripada itu. Ia

perlulah disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya

lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah

yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod

seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik.

Syukurlah semua itu kita laluinya dengan jayanya.

Sesungguhnya perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai

maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh manakah kejayaan

kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan

sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari

muka.
Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan

dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda tanpa

mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda

sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh,

dipersiapkan dengan jatidiri dan diperteguhkan semangat patriotisme

mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan

kekal berdaulat lagi merdeka dalam makna yang sebenar.

Tuntasnya, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di

dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai

taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.

Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita

lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti,

serta strategi yang rapi oleh pihak Kerajaan sejak berdekad lalu,

mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.

Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia,

hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan

dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor

perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu. Sehati Sejiwa sebagai

rakyat Malaysia.
Dengan ini, saya merasmikan Program Ambang Merdeka,

Peringkat SK Seri Bintang Utara Bagi Tahun 2015.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!