Anda di halaman 1dari 10

TUESDAY, 2 APRIL 2013

OUMM3203 Etika Profesional


Faktor-faktor yang Membentuk Etika Individu

1.0 PENGENALAN
Pada 28 Februari 1991, mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun
Dr Mahathir Mohamed telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk Malaysia
Melangkah ke Hadapan semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia. Kertas
kerja tersebut mengandung satu gagasan pemikiran dan rangka kerja mengenai
matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Gagasan
tersebut kemudiannya dikenali sebagai Wawasan 2020.

Matlamat utama yang dicita-citakan dalam wawasan ini ialah pembentukan


sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan
yang dimaksudkan bukan sahaja terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah
merangkumi politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Ini bermakna
Wawasan 2020 bertujuan mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara
maju berdasarkan acuannya sendiri tanpa meniru cara dan corak negara-negara
maju yang wujud sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang
sempurna dan tidak hanya diukur daripada sudut pembangunan materialistik
sahaja. Oleh itu, dalam gagasan ini kerajaan bertekad untuk mewujudkan sebuah
masyarakat yang sempurna berlandaskan kepada nilai-nilai moral dan etika yang
tinggi. Kehendak ini adalah bertepatan dengan cabaran ketujuh yang terkandung
dalam Wawasan 2020. Cabaran ketujuh tersebut adalah membentuk sebuah
masyarakat berbudi yang berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih
mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak
diasaskan kepada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang
kukuh lagi mantap.
Masyarakat yang sempurna seharusnya berpegang teguh kepada falsafah
moral dan etika yang tinggi demi untuk kesejahteraan dan keharmonian sesebuah
negara. Menghayati dan mengamalkan falsafah moral dan etika adalah penting
kerana kemajuan daripada segi kebendaan sahaja akan menyebabkan sesebuah
masyarakat dan negara itu pincang. Penghayatan dan amalan nilai-nilai moral dan
etika oleh setiap anggota masyarakat akan menjadi penghalang dalaman kepada
mereka untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kelebihan yang dimiliki untuk
mengganggu hak orang lain.

2.0 Definisi
Pembentukan etika yang baik adalah bermula daripada diri seseorang individu itu
sendiri. Seseorang itu perlu memiliki satu set panduan dan peraturan yang
berhubung kait dengan tingkah laku bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan
yang dilakukan. Dengan berasaskan etika yang ada maka konflik terhadap
keinginan boleh diselesaikan dan seterusnya meningkatkan fungsi sosial seseorang
individu. Secara umumnya etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan,
hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika tidak
bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan satu disiplin ilmu
yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta
kelakuan manusia yang betul.
Daripada sudut bahasa, etika atau ethics bermaksud sikap dan adat yang
menentukan tingkah laku sesuatu golongan. White (1993) mendefinisikan etika
sebagai salah satu cabang falsafah yang berkaitan dengan kebaikan moral (virtue
moral) dan menilai tindakan manusia. Falsafah etika adalah berbeza daripada
undang-undang keagamaan dan budaya. Pendekatan secara peribadi kepada etika
adalah menerusi kajian tingkah laku tentang moraliti melalui rasional yang dilihat
kepada kehidupan manusia. Menurut Sahakian et.al. (1993), etika berasal daripada
bahasa Greek kuno iaitu ethos yang bermaksud falsafah moral. Etika merupakan
salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan kehidupan
baik. Liputan etika adalah lebih luas daripada menganalisis apa yang betul dan
salah. Salah satu aspek utama etika ialah kehidupan baik, iaitu kehidupan yang
bernilai atau memuaskan. Pencarian summum bonum atau kebaikan yang terbaik
merupakan salah satu isu utama dalam etika. Tindakan yang betul akan
membuahkan kebaikan yang terbaik, manakala tindakan yang tidak bermoral akan
mengakibatkan hasil yang sebaliknya.
Etika boleh juga didefinisikan sebagai sains moral dan prinsip-prinsip moral,
iaitu sesuatu yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan tindakan seseorang
itu sama ada baik ataupun buruk (Ahmad Khamis, 1999). Berdasarkan definisi etika
yang telah dibincangkan, etika berkaitan dengan konsep-konsep moral seperti
kebaikan, kejahatan, benar, salah, kewajipan, tanggungjawab, keadilan dan
sebagainya. Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa etika ialah prinsip-prinsip
tingkah laku yang bertanggungjawab untuk menentukan tindakan yang diambil oleh
seseorang individu itu boleh diterima daripada segi moral atau sebaliknya. Setiap
individu perlu mempunyai etika yang boleh diterima oleh setiap anggota masyarakat
di sekelilingnya. Individu yang tidak mempunyai etika yang seimbang akan
membawa kepada konflik sosial seperti rasuah, pecah amanah, tidak
bertanggungjawab, cuai dalam tugas dan sebagainya.

2.1 Etika Profesional


Profesional boleh ditakrifkan sebagai keupayaan dan kecekapan dalam
melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan ilmu, latihan dan kepakaran.
Etika professional pula merujuk kepada etika dalam sesuatu profesion dan bidang
profesional. Menurut Mohd Janib Johari (2001), etika profesional merupakan satu
alat kawalan sosial terhadap golongan profesional yang membolehkan organisasi
dan masyarakat mengawasi dan menilai tingkah laku mereka dari semasa ke
semasa. Secara ringkasnya, etika profesional boleh disimpulkan sebagai satu
panduan dan tatacara yang menentukan kualiti moral, profesional dan nilai.
Dalam sesuatu profesion, etika profesional dijadikan sebagai panduan oleh
setiap kakitangan dalam melakukan tugasan yang mereka pikul. Etika tersebut perlu
dipatuhi untuk mengelakkan sebarang masalah atau konflik sosial seperti jenayah
ketika menjalankan tanggungjawab. Kesimpulannya, etika profesional ialah satu
garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap disiplin, kualiti dan
produktiviti seseorang kakitangan dalam sesebuah organisasi. Etika profesional
memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan,
peradaban, peranan nilai serta tingkah laku profesion dalam masyarakat. Prinsip
etika ini perlu difahami dan diaplikasikan oleh setiap anggota masyarakat dalam apa
juga perkara yang dilakukan.

3.0 Faktor-faktor Mempengaruhi Etika Individu


Etika individu dipengaruhi oleh beberapa faktor. Faktor-faktor tersebut ialah
keluarga, rakan, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral dan faktor
keadaan.

3.1 Pengaruh Keluarga


Secara umumnya, kanak-kanak akan meniru atau mencontohi perilaku dan etika ibu
bapa mereka. Sekiranya ibu bapa beretika, maka kanak-kanak juga akan beretika.
Begitu juga jika berlaku sebaliknya.

3.2 Pengaruh Rakan


Faktor pengaruh rakan merupakan salah satu faktor yang paling berpengaruh dalam
pembentukan etika seseorang individu. Untuk melihat keperibadian seseorang, kita
hanya perlu melihat keperibadian rakan mereka. Jika kita berkawan dengan
seseorang yang beretika dan mempunyai keperibadian yang baik, maka kita juga
akan turut mempunyai etika dan keperibadian yang baik. Begitu juga sebaliknya.

3.3 Pengalaman Hidup


Pengalaman hidup juga amat berpengaruh dalam membentuk etika individu.
Sekiranya sesuatu perbuatan yang tidak bermoral seperti mencuri tidak mendapat
teguran atau hukuman, maka perbuatan mencuri itu dianggap bukan satu
kesalahan. Tetapi sekiranya seseorang itu dihukum kerana kesalahan mencuri,
maka dia akan mengetahui perbuatan tersebut adalah satu kesalahan.

3.4 Nilai Peribadi dan Prinsip Moral


Faktor ini dipengaruhi oleh kedudukan seseorang. Individu yang mengutamakan
kedudukan pangkat dan kewangan akan bertindak berdasarkan keuntungan tanpa
mengira implikasinya terhadap individu lain.

3.5 Faktor Situasi


Faktor situasi turut mempengaruhi etika seseorang. Walaupun sesuatu perilaku itu
diketahui tidak beretika, tetapi faktor situasi boleh menyebabkan seseorang
melanggar etika tersebut. Seorang ahli perniagaan yang mengalami masalah
kewangan boleh bertindak mengubahsuai keuntungan perniagaan untuk
mengurangkan cukai yang dikenakan.

4.0 Tiga Faktor yang Membentuk Etika Individu


Faktor-faktor seperti pengaruh keluarga, pengaruh rakan dan pengalaman hidup
merupakan beberapa faktor yang utama dalam membentuk etika individu. Faktor-
faktor tersebut akan dibincangkan di bawah.

4.1 Pengaruh Keluarga


Ahli-ahli keluarga merupakan sekumpulan individu yang paling hampir dengan
kanak-kanak semasa mereka membesar. Ibu bapa dalam sesebuah keluarga
mempunyai pengaruh yang besar terhadap pembentukan etika kanak-kanak.
Segala kelakuan dan perbuatan yang diamalkan oleh ahli-ahli keluarga terutamanya
ibu bapa akan ditiru dan diamalkan oleh kanak-kanak. Oleh itu, sekiranya ibu bapa
mereka mempunyai etika yang positif, maka kanak-kanak tersebut akan meniru dan
mengamalkan etika positif tersebut dalam kehidupan mereka. Ibu bapa yang
mengamalkan gaya hidup yang bersih, sihat serta menghormati orang lain akan turut
mempengaruhi etika anak-anaknya. Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa seperti
ini akan membesar menjadi individu yang beretika, menghormati orang lain dan
menjadi seorang warganegara yang berguna.
Tetapi sekiranya ibu bapa kanak-kanak tersebut menunjukkan etika yang
negatif, maka kemungkinan besar kanak-kanak tersebut akan membesar dengan
perilaku dan etika yang negatif. Contohnya, seorang bapa yang melakukan
penderaan fizikal terhadap anak-anaknya boleh mendatangkan kesan negatif ke
atas fizikal dan psikologi mereka. Isu penderaan ialah suatu isu yang berkaitan
dengan salah laku jenayah yang boleh menyebabkan seseorang menerima akibat
atau kesan buruk daripada penderaan. Kanak-kanak yang menjadi mangsa
penderaan akan mengalami trauma yang berpanjangan dan akan mempengaruhi
hidupnya sehingga dewasa. Apabila individu tersebut berkeluarga dan mempunyai
anak, besar kemungkinan dia juga akan menjadi seorang pendera. Oleh itu, ibu
bapa sepatutnya menjadi seorang idola dan contoh terbaik kepada anak-anaknya
dengan mengamalkan perilaku yang beretika.
Asuhan dan cara didikan ibu bapa terhadap kanak-kanak juga
mempengaruhi pembentukan etika mereka. Ibu bapa yang bersikap penguasaan
serta autokratik akan mewujudkan individu yang begitu taat kepada arahan tetapi
menjadi pasif dalam tingkah laku mereka. Sebaliknya, ibu bapa yang mengamalkan
sikap bebas akan mendapati sikap anak-anaknya tidak bersopan-santun, tidak
bertanggungjawab dan tidak boleh berdikari. Ibu bapa yang mengamalkan cara
demokrasi dan membincangkan masalah-masalah dengan anak-anak mereka serta
mempertimbangkan pendapat anak-anak, apabila membuat keputusan-keputusan
penting, akan mendapati anak-anak mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi.
Kanak-kanak yang membesar dalam suasana yang kondusif akan menjadi seorang
individu yang aktif, cerdas dan lebih bersopan santun.

4.2 Pengaruh Rakan


Rakan sebaya merupakan satu lagi faktor yang mempengaruhi proses pembentukan
etika dalam diri individu. Pengaruh keluarga semakin merosot apabila kanak-kanak
meningkat remaja. Apabia mereka menjadi semakin dewasa, kumpulan rakan
sebaya menjadi pengaruh yang lebih berkesan dalam proses pembentukan budi
pekerti mereka. Oleh kerana keperluan untuk diterima oleh kumpulan rakan sebaya
amat penting kepadanya, seseorang remaja akan menepati norma dan nilai yang
ditonjolkan oleh kumpuan tertentu. Ini boleh membawa sama ada kesan positif
ataupun negatif. Contohnya, sekiranya rakan-rakan dalam sesebuah kumpulan
rakan sebaya tersebut mempunyai standard etika yang tinggi seperti mementingkan
disiplin diri dan pelajaran maka besar kemungkinan individu-individu dalam
kumpulan tersebut juga akan menerima standard etika tersebut.
Tetapi pengaruh rakan sebaya juga kadang kala mewujudkan keadaan yang
tidak menyenangkan seperti vandalisme. Pengaruh rakan sebaya boleh
menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan
terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan
sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan
menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan
vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan
dan apabila berkumpul maka timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta
benda awam dan merosakkannya.
Kanak-kanak atau remaja yang berasal dari keluarga bermasalah mudah
dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk
kumpulan tersendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat.
Mereka akan membuat sesuatu di luar jangkaan untuk menarik perhatian orang lain.
Kemunculan golongan rendah moral dan tidak bertanggungjawab yang menaja
budaya hedonisme dalam kalangan remaja seperti Black Metal sudah cukup
memberi cabaran kepada ibu bapa, guru-guru, kerajaan dan masyarakat untuk
membimbing dan mendidik remaja sekolah ke arah pengalaman budaya sihat.
Kesimpulannya, pengaruh rakan sebaya akan mencorak sikap, tingkah laku dan
etika individu terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga bermasalah dan
tercicir dalam pelajaran.

4.3 Pengalaman Hidup


Setiap memori serta pengalaman yang dialami oleh individu sebenarnya menjadi
satu pedoman dan pengajaran untuk meneruskan kehidupan. Setiap pengalaman
yang diperoleh hasil daripada tindakan yang diambil oleh individu sama ada beretika
atau tidak akan mendorongnya untuk meneruskan perbuatan tersebut atau
meninggalkannya. Ini sebenarnya menjadi salah satu faktor pembentukan etika
dalam diri individu. Contohnya, seorang pelajar yang suka meniru dalam
peperiksaan tetapi tidak pernah mendapat teguran atau hukuman, maka perbuatan
meniru itu dianggapnya bukan satu kesalahan. Tetapi sekiranya pelajar itu didapati
bersalah meniru dalam peperiksaan dan dihukum, maka dia akan mengetahui
perbuatan tersebut adalah satu kesalahan dan akan berhenti melakukannya.
Seseorang yang menyara hidupnya dengan meragut akan terus menjalankan
aktiviti tidak beretika tersebut sekiranya tidak mendapat tentangan atau hukuman.
Selagi dia belum ditangkap dan dijatuhkan hukuman, dia akan terus melakukan
kegiatan tersebut kerana merasakan perbuatannya itu bukanlah satu kesalahan
besar. Tetapi sekiranya individu tersebut dihukum kerana meragut, maka dia akan
mengetahui bahawa perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan besar.
Sekiranya seseorang individu itu melakukan kebaikan, seperti memulangkan
dompet pelancong yang tercicir dalam bas dan diberikan ganjaran di atas
perbuatannya itu akan terus melakukan kebaikan. Ganjaran dan penghargaan yang
diberikan kepadanya atas perbuatan baiknya itu akan menjadi satu motivasi kepada
dirinya untuk terus mengamalkan etika dan perilaku yang positif.

5.0 Undang-undang Sebagai Panduan untuk Pilihan Moral


Undang-undang adalah satu set peraturan yang konsisten dan digubal oleh
masyarakat untuk mengawal kelakuan masyarakat dan telah diterbitkan (published),
diterima (generally accepted) dan dikuatkuasakan (enforced). Secara ringkasnya,
undang-undang adalah satu set peraturan yang dibina oleh masyarakat untuk
menguasai atau mengawal kelakuan di dalam sesebuah masyarakat. Semua
keputusan yang akan diambil perlu ditentukan oleh undang-undang kerana
masyarakat telah membina satu set peraturan yang dibuat secara kolektif oleh
anggota masyarakat tersebut mengenai tindakan dan kelakuan yang harus dibuat
apabila berlaku dilema moral.
Undang-undang memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia.
Salah satu daripada kepentingan undang-undang ialah mengatur pelbagai
perjalanan hidup manusia tidak mengira pangkat, warna kulit, agama, ideologi politik
dan sebagainya. Ini terbukti apabila undang-undang itu sendiri mengatur dan
menentukan peranan institusi atau badan kerajaan dalam sesebuah negara. Selain
daripada itu, undang-undang juga berperanan sebagai ejen keamanan dan
kesejahteraaan. Undang-undang digunakan untuk mengawal ahli-ahli masyarakat
daripada melakukan sebarang tindakan yang salah dan memudaratkan diri dan
orang ramai. Individu yang melanggar peraturan undang-undang akan dikenakan
hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Hukuman tersebut dibuat
bertujuan untuk memberi pengajaran kepada si pelaku dan orang ramai. Oleh yang
demikian, hak-hak dan kebebasan setiap individu akan terpelihara dan akhirnya satu
bentuk kehidupan sosial dan poitik yang stabil dapat diwujudkan.
Apa yang paling utama ialah, undang-undang dapat dijadikan sebagai
panduan untuk pilihan moral. Ini bermaksud seseorang individu di dalam sesebuah
masyarakatperlu merujuk kepada undang-undang apabila berhadapan dengan
dilema etika sama ada di dalam atau di luar organisasi. Setiap individu yang tinggal
di dalam negara Malaysia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88)
yang bertujuan untuk melindungi rahsia keselamatan negara. Akta ini boleh
dijadikan panduan untuk bertindak apabila berlaku situasi seperti berikut. Romeo,
anak seorang imigran daripada sebuah negara jiran kini bertugas sebagai anggota
polis di sebuah daerah di pantai timur Sabah. Walaupun keluarga Romeo sudah
lama menetap di Malaysia, namun mereka masih mempunyai hubungan yang rapat
dengan ahli-ahli keluarga di negara asal mereka. Romeo menghadapi dilema etika
apabila berlaku konflik di antara kerajaan dengan sebuah kumpulan militan di negara
asal ayahnya.
Sepupu kepada ayahnya, seorang jeneral dalam kumpulan tersebut meminta
Romeo untuk menyalurkan maklumat tentang rahsia dan kekuatan pihak polis di
daerah tersebut kepadanya. Romeo percaya maklumat tersebut akan digunakan
untuk menyerang balai-balai polis di daerah tersebut. Sebelum mengambil tindakan
yang sesuai, Romeo terpaksa menimbangkan beberapa faktor seperti tali
persaudaraannya dengan jeneral tersebut, keselamatan keluarganya dan juga
kesetiaannya kepada negara. Sebagai anggota keselamatan, Romeo merujuk
kepada undang-undang sebagai panduan kepadanya untuk bertindak. Sekiranya
dia bersetuju untuk menyampaikan maklumat tentang kekuatan dan rahsia polis
tersebut kepada pihak musuh, kemungkinan besar Romeo akan dianggap sebagai
pengintip. Seksyen 3 iaitu pengintipan bagi maksud yang mudarat kepada
keselamatan atau kepentingan Malaysia dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88)
memperuntukan penjara seumur hidup kepada pesalahnya. Atas nilai etika yang
tinggi dalam diri dan kesetiaannya kepada negara, akhirnya Romeo mengambil
keputusan bijak menolak permintaan jeneral tersebut dengan tegas.
Walaupun Romeo telah menolak permintaan jeneral tersebut, dia masih
percaya bahawa kumpulan militan tersebut pasti akan mengotakan hasrat mereka
untuk menyerang balai-balai polis di daerah tersebut dalam masa yang terdekat.
Romeo juga sebenarnya masih lagi menghadapi dilema etika, kerana berpandukan
kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dia masih lagi boleh dikenakan tindakan
undang-undang. Ini kerana mengikut Seksyen 7 (a) akta yang sama, dia masih
boleh dipenjara tidak kurang daripada satu tahun tetapi tidak lebih daripada lima
tahun atas kesalahan tidak melaporkan kejadian bahawa terdapat individu yang
meminta rahsia rasmi. Sebagai seorang anggota polis yang menjunjung tinggi
undang-undang dan rasa tanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan dan
keamanan, akhirnya dia melaporkan perihal jeneral dan kumpulan militan tersebut
kepada pegawai atasannya.
Undang-undang juga boleh dijadikan panduan untuk bertindak apabila
berhadapan dengan dilema etika di dalam jabatan-jabatan kerajaan. Contohnya,
seorang pembantu jurutera telah menemui bukti bahawa seorang jurutera awam di
sebuah jabatan kerajaan telah menerima rasuah untuk memberikan kelulusan sijil
layak menduduki bangunan apartmen kos sederhana yang telah siap dibina.
Setelah membuat pemeriksaan, pembantu jurutera tersebut telah mendapati banyak
spesifikasi yang tidak dipatuhi dan berkemungkinan menimbulkan masalah
keselamatan pada masa akan datang. Dia ingin membuat aduan kepada pihak-
pihak berwajib mengenai perkara tersebut tetapi bimbang tindakannya itu boleh
menjejaskan kerjaya dan keselamatan dirinya. Atas nasihat rakan-rakan serta nilai
etika yang tinggi, akhirnya dia melaporkan perkara tersebut kepada pihak berwajib
kerana yakin dia akan dilindungi oleh Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010
(Akta 711) yang dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010. Akta yang baru digubal ini
memperuntukan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan
sesuatu kelakuan tidak wajar. Perlindungan yang diberikan merangkumi,
perlindungan maklumat sulit, kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah yang
cuba dikenakan terhadap pemberi makumat dan juga perlindungan terhadap
tindakan yang memudaratkan.

KESIMPULAN
Etika merupakan salah satu unsur yang penting dalam kehidupan manusia.
Berdasarkan kepada perkara-perkara yang telah dibincangkan sebelum ini, ternyata
etika membantu membentuk keharmonian, kesejahteraan, kerukunan dan
kedamaian hidup. Daripada sudut individu, seseorang yang beretika sentiasa
menjaga perilaku dirinya agar tidak bertentangan dengan nilai dan kehendak moral
sesebuah masyarakat.
Individu yang beretika mempunyai kualiti emosi yang membantunya
membentuk sifat-sifat sabar, pengasih, rasional, bertimbang rasa dan sebagainya.
Dari segi mental pula, orang yang beretika mulia tidak gemar memikirkan perkara-
perkara yang tidak berfaedah. Individu seperti ini akan sentiasa membuat
pertimbangan daripada sudut baik dan buruk sesuatu perkara sebelum mengambil
sesuatu tindakan. Oleh itu, individu yang sentiasa mengamalkan etika yang baik
mempunyai sifat-sifat terpuji dan siasah diri yang unggul walau di mana sahaja dia
berada kerana nilai etika telah membentuk falsafah hidup, gaya berfikir dan tindak-
tanduknya.
Sesebuah kelompok manusia yang dipenuhi oleh individu-individu yang
mempunyai nilai etika yang tinggi, akan membentuk keluarga, organisasi dan
masyarakat yang lebih progresif, aman, damai dan harmonis. Negara juga akan
turut aman, damai, maju dan mempunyai imej yang tinggi di peringkat
antarabangsa. Selagi sesuatu bangsa itu dapat mengekalkan tahap amalan etika
yang tinggi, selama itulah bangsa itu akan terus maju dan berkembang. Sejarah
telah membuktikan perkara ini di mana beberapa tamadun agung yang pernah
mengukir nama akhirnya tumpas dan lenyap seperti tamadun Babylon di Iraq, Mesir,
Rome, Melaka dan banyak lagi hanya disebabkan oleh pemimpin dan ahli
masyarakatnya sudah tidak bermoral dan beretika lagi.

2, 924 patah perkataan

RUJUKAN

Ahmad Khamis. (1999). Etika (Pendidikan Moral) untuk Institusi Pengajian Tinggi.
Selangor: Budiman Sdn Bhd.

Dr Ho Jo Ann & Dr Tee Keng Kok. (2011). Professional Ethics. Selangor Darul
Ehsan:
OUM.

Mohd Jabib ohari. (2001). Etika Profesional. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Prof Dr Ansary Ahmed et. Al. (2007). Pengenalan Pendidikan Moral. Selangor
Darul
Ehsan: OUM

Rahmad Shukor. (2009). Pendidikan Moral: Tahun 3. Selangor Darul


Ehsan: OUM.

Sahakin et.al. (1993). Ideas of the Great Philosophers. Pg31. Barnes and Noble
Books.

White, T.I (1993). Busines Ethics: A philosophical Readar. New York: MacMiller
Pub. Co.

www. Agc.gov.my/Akta/vol.2/Akta 88.pdf (Diakses 7 Mac 2013)

www. Bheauu.gov.my/pdf/Akta/Akta 711.pdf (Diakses 7 Mac 2013)

Anda mungkin juga menyukai