Anda di halaman 1dari 2

Maqasid al Syariah sebagai dasar perniagaan

Pandangan IKIM
SETIAP penciptaan Allah ada hikmah dan tujuannya dan adalah mustahil bagi Allah menjadikan sesuatu perkara
tanpa arah tuju dan matlamatnya. Manusia harus meyakini bahawa penciptaan tersebut untuk kebaikan dan
kemaslahatan manusia.
Manusia diperintahkan untuk bertafakur melihat hikmah di sebalik sebarang penciptaan Allah. Allah SWT telah
membantu manusia untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan menurunkan syariatnya yang dikenali
sebagai maqasid syariah.
Maqasid syariah adalah tujuan yang dikehendaki Allah SWT dalam setiap hukum atau sebahagian besar daripadanya.
Al-Quran dengan terang menjelaskan kepentingan ia dijaga. Sesungguhnya apabila Allah SWT mensyariatkan
hukum, sebenarnya adalah bertujuan memelihara kemaslahatan manusia dengan membuka ruang-ruang manfaat
kepada mereka dan mengangkat kemudaratan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran
bagimu (Al Baqarah: 185). Objektif atau matlamat di sebalik penetapan syariah dapat dilihat menerusi dua sumber
utama kepada umat Islam iaitu al-Quran dan hadis.
Firman Allah SWT yang menjelaskan motif kebangkitan Nabi Muhammad SAW: Dan tidak Kami utuskanmu (wahai
Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam (al-Anbiya: 107). Perkataan rahmat itu
bermaksud kebaikan, kemaslahatan dan keharmonian.
Justeru jika kita memerhatikan alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia.
Begitu juga dengan hukum-hakam syariah. Maqasid syariah juga dapat dijejaki menerusi ayat-ayat al-Quran.
Maqasid syariah secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian.
Pertama, dharuriyyat. Ia adalah perkara-perkara yang termasuk dalam keperluan asasi yang mesti dipenuhi oleh
setiap individu. Ia adalah kemaslahatan yang perlu dipenuhi untuk mendirikan kemaslahatan agama dan dunia. Jika
tiada maslahah ini, kemaslahatan dunia tidak akan bergerak dengan lancar dan akan hilang nikmat dan keselamatan
di akhirat kelak.
Terdapat lima perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu memelihara agama (aqidah),
memelihara diri/jiwa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta.
Kedua, hajiyyat iaitu kemaslahatan yang bersifat keperluan dan hajat manusia. Ia untuk menghilangkan kesulitan
dan kesempitan yang boleh membawa kepada kesusahan hidup. Jika kemaslahatan ini tidak dapat dipenuhi ia boleh
menyebabkan kesulitan dan kesusahan hidup.
Contohnya, Rasulullah SAW melarang dari menjual sesuatu yang tidak jelas (gharar) seperti ikan di lautan dan
burung di udara. Ini bertujuan menjamin kepentingan pembeli bagi mendapatkan haknya setelah membayar kepada
penjual.
Bahagian yang ketiga adalah tahsiniyyat iaitu kemasalahatan dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak. Jika hilang
kemaslahatan tersebut, maka ia akan menyebabkan kehidupan menjadi buruk pada pandangan akal.
Islam melihat aspek harta sebagai salah satu aspek dalam satu sistem kepercayaan yang menyeluruh. Harta adalah
milik Allah SWT. Manusia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi telah diberi tugas untuk menguruskan harta
tersebut dengan sebaik mungkin. Cara mendapatkan harta dan cara menguruskan harta mestilah bersesuaian dengan
arahan pemilik harta yang asal iaitu Allah SWT.
Menjalankan perniagaan dengan penuh etika merupakan kewajipan yang perlu dipikul oleh setiap manusia yang
beriman. Matlamat utamanya ialah untuk mendapat keredaan Allah SWT. Konsep pelaksanaan syarak di dalam Islam
ialah membatasi perbuatan agar ia tidak terjerumus kepada perkara yang dilarang.
Agama Islam sesungguhnya tidak melarang umatnya daripada memiliki harta kekayaan bahkan di dalam Islam harta
kekayaan yang dimiliki tidak dianggap sebagai penghalang kepada seseorang itu untuk mendapat hidayat daripada
Allah SWT serta memasuki syurga.
Sebagai bukti, di kalangan sepuluh orang sahabat yang diberikan jaminan oleh Rasulullah SAW akan memasuki
syurga, salah seorang daripadanya ialah Abdul Rahman bin Auf yang merupakan seorang hartawan dan dermawan di
kota Madinah. Ternyata kekayaan yang dimiliki oleh beliau tidak menghalang beliau daripada memasuki syurga.
Beliau mendapat jaminan memasuki syurga kerana beliau memperolehi harta daripada sumber dan cara halal. Harta
tersebut juga digunakan untuk jalan kebaikan serta tidak sedikit pun melalaikan daripada mengingati Allah SWT.
Pernah diriwayatkan beliau pada suatu ketika ingin mendermakan seluruh keuntungan daripada perniagaannya bagi
menebus kelewatannya ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah.
Peniaga yang amanah tidak akan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya ataupun mengambil kesempatan
tertentu untuk menaikkan harga. Sekiranya inilah yang digunakan sebagai salah satu strategi perniagaan, seseorang
itu hanya mendapat keuntungan di dalam bentuk zahir sedangkan untuk mendapat keberkatan Ilahi, ia amat jauh
sekali.
Matlamat akhir perniagaan di dalam Islam bukanlah keuntungan semata-mata tetapi apa yang mustahak adalah
mendapat keredaan Allah SWT sedangkan kekayaan hanya menjadi wasilah sahaja. Tegasnya, Islam sentiasa melihat
Allah SWT sebagai pencipta dan pemilik segala sesuatu sedangkan manusia hanyalah sebagai khalifah Allah SWT dan
penerima amanah.
Sistem muamalat Islam memberikan kesejahteraan dan keadilan kepada semua pihak yang terlibat dalam
perniagaan. Sehubungan itu, sistem muamalat Islam telah menggariskan banyak peraturan dan undang-undang
supaya keadilan dan kemakmuran dapat dikecapi oleh semua pihak dalam masyarakat.
Pemilikan harta hendaklah diusahakan melalui cara dan pendekatan yang diharuskan. Misalnya, syariah Islam telah
mengharuskan jual beli dan mengharamkan riba. Dalam usaha pemilikan harta selain daripada riba, syariah Islam
juga mengharamkan perjudian, rasuah dan pengurangan atau penipuan dalam timbangan.
Syariah Islam turut menetapkan cara dan kaedah tersendiri bagi membelanjakan harta seperti wajibkan zakat kepada
harta-harta tertentu dan amat menggalakkan sedekah dan pemberian hadiah dalam keadaan tertentu.
Sistem muamalat Islam dengan tasawwur keimanan yang jelas, mengawal aktiviti perniagaan yang selaras dengan
kelangsungan hidup manusia yang bermaruah, berakhlak dan bertamadun. Segala bentuk perniagaan yang
bertentangan dengan maqasid syariah adalah tidak diterima kerana aktiviti-aktiviti perniagaan ini boleh
meruntuhkan masyarakat manusia yang bertamadun.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang
dan Politik, Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM)

Anda mungkin juga menyukai