Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Satu Malaysia. Bersyukur
kita ke hadrat Allah S.W.T dapat kita bersama-sama dalam dua majlis yang penuh makna ini. Majlis penjenamaan semula sekolah kepada SMK Tan Sri Mohamed Rahmat merupakan peristiwa sejarah yang kita nanti-nantikan. Sesungguhnya, pendidikan merupakan bidang dinamik yang penuh dengan cabaran di samping menuntut perancangan strategik yang teliti dan pragmatik, kos yang besar serta jentera pelaksana yang cekap. Sekolah yang menjadi tunjang penyalur ilmu pendidikan ini terdedah dan terpengaruh dengan tuntutan perubahan selaras perkembangan global atau serantau. Bermakna penjenamaan semula nama sekolah ini menjadikan SMK Tan Sri Mohamed Rahmat telah menyahut seruan dalam melestarikan tahap profesion dan menjadikan kualiti perkhidmatan serta kecemerlangan sebagai identiti. Seperkara lagi, tahniah dan syabas kepada anak-anak penerima anugerah atas kecemerlangan yang dikecapi. Semoga kejayaan demi kejayaan yang dicapai pada masa sekarang akan menjadi pendorong dan pencetus budaya cemerlang demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan. Pihak PIBG senantiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dalam memastikan pembangunan sahsiah pelajar agar anak-anak kita mampu meneruskan kehidupan mereka dalam era kecanggihan teknologi yang penuh dengan cabaran. Mudah-mudahn impian kita sebagai ibu bapa untuk melihat anak kita berjaya menjadi insan cemerlang tercapai selaras dengan visi dan misi SMK Tan Sri Mohamed Rahmat. Sekalung penghargaan kepada barisan pentadbir dan warga pendidik SMK Tan Sri Mohamed Rahmat yang telah bertungkus-lumus melaksanakan dan menjayakan semua program serta majlis demi kecemerlangan anak-anak bangsa. Saya percaya di bawah sokongan Yang Berhormat dan komuniti setempat serta di bawah pimpinan Pengetua dan warga pendidik SMK Tan Sri Mohamed Rahmat, kita mampu mencapai prestasi yang lebih cemerlang gemilang dan terbilang. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu. Sekian, terima kasih.