Anda di halaman 1dari 4

Pengenalan

Jurnal ini ialah hasil kajian Zhao Yuxiang dan Zhu Qinghua dari Department of Information
Management, Nanjing University dan diterbitkan pada tahun 2009. Matlamat kajian ini adalah
untuk membina satu model teoretikal mengenai penggunaan blog berdasarkan model penerimaan
teknologi, teori modal sosial serta teori pertukaran sosial di samping mengemukakan 18 hipotesis
yang berkaitan. Kajian ini secara keseluruhannya menceritakan tentang faktor-faktor yang
mempengaruhi pengguna blog untuk menerima dan sentiasa mengemaskini blog mereka. Hal ini
kerana, faktor tersebut akan memberikan manfaat yang besar kepada pembekal perkhidmatan
blog untuk sentiasa menambahbaik mutu perkhidmatan mereka serta bagi merangka strategi
mempromosi perkhidmatan mereka. Menurut penulis, isu yang penting bagi pengguna blog
adalah semasa memilih ruang blog yang bersesuaian dengan kehendak mereka. Oleh itu, penulis
telah membahagikan kepada dua fasa penerimaan bagi pengguna blog. Fasa yang pertama adalah
penerimaan kepada ruang blog yang pertama kali dipilih oleh pengguna blog. Fasa kedua pula
ialah penggunaan blog secara berterusan tanpa bertukar kepada ruang blog yang lain. Penulis
telah menyatakan dengan jelas akan menggunakan model penerimaan teknologi, teori modal
sosial dan teori pertukaran sosial bagi meneroka pengunaan blog oleh pengguna negara China
serta hasil kajian ini dapat digunakan oleh penyedia khidmat mengenalpasti faktor penerimaan
produk mereka dan menetukan arah peningkatan khidmat mereka.
Ringkasan

Secara ringkasnya, artikel ini mengemukakan tiga teori yang menyokong antara satu sama lain
untuk mengkaji hipotesis-hipotesis yang dibentuk. Dalam kajian ini, model penerimaan
teknologi, teori modal sosial dan teori pertukaran sosial, masing-masing telah membentuk
beberapa faktor kajian. Antara contohnya, model penerimaan teknologi yang diadaptasi daripada
kajian Davis (1986), menghasilkan faktor penting iaitu persepsi kegunaan dan persepsi mudah
digunakan. Oleh itu, pengkaji telah membina satu model kajian iaitu model penerimaan blog
yang di mana menggunakan dasar teori-teori yang dipilih dan model ini mengkelaskan kepada
empat kelas utama iaitu individu, kumpulan, komuniti dan faktor mempengaruhi teknologi.
Menurut penulis, pembolehubah sederhana akan mempengaruhi dua kelas iaitu kelas individu
dan faktor mempengaruhi teknologi manakala bagi pembolehubah luaran akan terus
mempengaruhi konstruk niat pengguna. Hal ini secara tidak langsung telah menghasilkan
beberapa hipotesis kajian.

Selain itu, pengkaji juga telah membina soalan-soalan untuk borang soal selidik yang
kebanyakkannya dibina dari bahan yang dibincangkan serta dari adaptasi kajian kepustakaan
kajian terdahulu. Pengkaji juga telah meminta pengkaji lain menterjemahkan soalan yang dibina
ke dalam Bahasa Cina. Kemudian, soalan versi Bahasa Cina telah diterjemahkan kembali ke
dalam Bahasa Inggeris oleh pengkaji lain. Hal ini adalah untuk memastikan semua bahan
mempunyai makna yang sama ketika proses penterjemahan. Hal ini juga penting kerana soalan
tersebut adalah instrumen untuk pengumpulan data kajian. Hasil daripada pengumpulan data,
pengkaji menyimpulkan langkah-langkah yang boleh diambil pembekal perkhidmatan blog
untuk meningkatkan keberkesanan produk mereka.
Kritikan/Ulasan

Berdasarkan tajuk kajian ini, Blog acceptance model: An empirical study on exploring users
acceptance and continual usage of blogs, telah jelas menunjukkan kajian ini adalah berkenaan
model penerimaan teknologi iaitu blog melalui penerimaan pengguna dan penggunaan secara
berterusan. Pada pendahuluan kajian ini, pengkaji menceritakan mengenai teknologi blog
bermula di negara China dan bagaimana ia menjadi satu perkhidmatan asas yang penting.
Seterusnya, pengkaji menerangkan terdapat pelbagai penyedia perkhidmatan blog yang ada serta
ciri-ciri yang disediakan kepada pengguna blog. Namun, pengkaji mendapati adakalanya
pengguna mengabaikan ruang blog yang dibuka selepas mendaftar dan 66% pengguna didapati
tidak mengemaskini blog mereka selama dua bulan. Oleh itu, menurut pengkaji, adalah penting
untuk kajian ini dijalankan kerana mungkin terdapat faktor yang mempengaruhi niat pengguna
untuk menerima dan meneruskan perkhidmatan blog. Pada akhir perenggan pendahuluan,
pengkaji menyatakan dengan jelas bahawa hasil kajian ini akan digunakan pembekal
perkhidmatan blog untuk manfaat mereka.

Seterusnya, pada bahagian kajian kepustakaan yang mengemukakan mengenai teori-teori yang
mendasari kajian ini, penulis menyatakan teori pertama iaitu teori asas ialah model penerimaan
teknologi. Penulis telah menerangkan secara ringkas kepentingan model ini dalam kajian dan
mengkritik model ini hanya mempunyai satu perspektif sahaja, di mana teori lain diperlukan
bagi menjalankan kajian ini. Teori lain yang diterangkan oleh penulis adalah seperti yang telah
dinyatakan pada bahagian awal ringkasan. Pada bahagian hipotesis kajian, penulis telah
menyenaraikan lapan belas hipotesis mengikut faktor pengkelasan dan melalui model
penerimaan blog yang dibina oleh pengkaji. Setiap hipotesis tersebut mempunyai indikasi
tersendiri dan kesan kepada hasil kajian.

Seterusnya, pada bahagian metodologi kajian, penulis menyatakan instrumen yang digunakan
iaitu borang soal selidik yang terdiri daripada empat puluh lapan soalan dan skala likert tujuh
mata digunakan bagi mengukur tahap kepuasan setiap soalan. Penulis juga telah menerangkan
dengan teliti pembinaan soalan tersebut dan melakukan ujian validasi serta ujian
kebolehpercayaan terhadap soalan-soalan tersebut. Pada bahagian pengesahan hipotesis, penulis
hanya menyatakan menggunakan LISREL 8.51 untuk menguji struktur model. Namun, penulis
telah menunjukkan pengiraan serta formula yang digunakan. Hasil semua pengiraan adalah agak
panjang, namun ia bersesuaian dengan hipotesis kajian yang telah dinyatakan.
Kesimpulan

Kesimpulan daripada kajian ini, penulis telah menggariskan kepentingan rasa ingin tahu dan
keseronokan dalam menggunakan blog. Oleh itu, penulis mencadangkan penyedia perhidmatan
blog lebih menumpukan perhatian kepada penampilan blog mereka supaya kelihatan inovatif dan
mempunyai identiti sendiri. Penulis juga menyatakan penyedia perkhidmatan blog harus
memfokuskan kepada pengalaman pengguna yang mungkin dipengaruhi oleh budaya siber,
minat pengguna dan sentiasa memberi khidmat di luar jangkaan pengguna. Seterusnya, penulis
mengharapkan penyedia perkhidmatan blog mengadakan suatu perkhidmatan yang membantu
pengguna mendapat modal sosial dan pertukaran modal sosial seperti minat yang sama dalam
komuniti atau perkongsian tag. Secara tidak langsung, ia menyuntik rasa pemilikan ruang blog
tersebut serta pengguna hanya akan setia kepada penyedia blog tersebut.

Anda mungkin juga menyukai