Anda di halaman 1dari 16

Sejarah Penubuhan Dewan Bahasa Dan Pustaka

DBP ditubuhkan sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia

di Johor Bahru, Johor semata-mata untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai

bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Nama asalnya

"Balai Pustaka".

Setelah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura

dan Johor Bahru pada 16 - 21 September 1956, Balai Pustaka dinamakan sebagai "Dewan

Bahasa dan Pustaka" atas cadangan kongres tersebut. Di samping itu, DBP juga dinaik

taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaga sendiri.

Pada tahun 1957, DBP berpindah ke Kuala Lumpur, ketika ibu pejabatnya

merupakan bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Melalui Ordinan Dewan Bahasa

dan Pustaka 1959, DBP dinaikkan taraf lagi menjadi sebuah badan berkanun. Dengan

penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi untuk:

menggubal dasarnya yang khusus;

menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan

menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku yang serupa dengan sektor

swasta.

Pada 31 Januari 1962, DBP berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan

Terbang Lama (sekarang Jalan Dewan Bahasa). Kemudian pada tahun 1977, DBP

mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur dengan pembukaan dua pejabat di Kota

Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. DBP juga membuka pejabat di Brunei pada

tahun 1963. Ini diikuti pula dengan pembukaan tiga buah pejabat lagi, iaitu:
Pejabat DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (1999);

Pejabat DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan (1999); dan

Pejabat DBP Wilayah Selatan di Johor Bharu, Johor (2003).

DBP menyambut ulangtahun Jubli Emas 50 Tahun DBP dan perasmian Menara DBP

pada 22 Jun 2006. DBP juga berjaya mencungkil bakat terpendam penulis-penulis muda.

Antara penulis muda DBP yang terus menampilkan novel-novel berkarya tinggi untuk

DBP adalah Cik. Siti Habsah Abdullah, Pn.Malardevi Margamuthu & En.Syed

Satahkatulah Bin Mohamed Kalik.

Pada 6 Oktober 2009, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 akan dipinda

supaya dapat memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menangani penggunaan 'bahasa

rojak' dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kuasa itu bukan untuk menghukum

sebaliknya lebih kepada memberi pendidikan.

Pada 8 Mei 2011, para pengiklan perlu merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka

(DBP) terlebih dahulu sebelum memohon lesen memasang iklan daripada Pihak Berkuasa

Tempatan (PBT). Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, peraturan

tersebut telah dilaksanakan sejak tahun lalu di bawah undang-undang kecil iklan PBT.

Menurut bidang kuasa yang diberikan, DBP akan melihat dari segi penggunaan

bahasa dan visual pada iklan berkenaan terlebih dahulu dan apabila diluluskan, barulah

pihak yang membuat permohonan iklan boleh memohon lesen daripada PBT sebelum

iklan boleh dipasang.

Mana-mana pihak yang membelakangi peraturan ini jika sabit kesalahan, mereka boleh

dikenakan denda, penalti atau penjara mengikut undang-undang kecil PBT berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Termuzi turut mengujar bahawa telah ramai pengiklan memohon

iklan, dan mulai tahun 2011, akses perkhidmatan pengiklanan ke PBT turut dipaparkan di

laman portal DBP.

Di Malaysia, penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris dalam

pengiklanan dilihat lebih diutamakan berbanding penggunaan bahasa Melayu sebagai

medium bahasa pengiklanan utama di negara tersebut. Walaupun undang-undang telah

ada namun penguatkuasaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang utama seperti

pendidikan, perniagaan, pengiklanan dan komunikasi masih banyak tidak diendahkan dan

kurang diutamakan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka

Pada tanggal 22 Jun 1956 Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Dewan Bahasa dan

Pustaka dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Penubuhan Dewan Bahasa dan

Pustaka (DBP) bertujuan untuk mengembangkan Bahasa Melayu yang bakal dijadikan

bahasa kebangsaan pada ketika itu. Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf sebagai

sebuah badan berkanun menerusi Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

Peranan-peranan DBP :

1. Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk

sains dan teknologi.

Sepertimana yang diketahui umum bahawa dalam bidang sains dan teknologi, hanya

perkataan-perkataan daripada Bahasa Inggeris yang digunakan untuk membina atau

menghasilkan sesuatu penemuan atau penciptaan yang baru khususnya dalam bidang

perubatan. Oleh hal yang demikian, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah berusaha dan
memainkan peranan yang sangat penting bagi memperkaya bahasa kebangsaan kita iaitu

Bahasa Melayu supaya lebih banyak perkataan daripada Bahasa Melayu dihasilkan

di dalam bidang-bidang yang pesat berkembang sperti bidang sains dan teknologi

2. Memajukan bakat kesusasteraan, terutama dalam bahasa kebangsaan.

Menurut Berita Harian, DBP mengiatkan program dari semasa ke semasa iaitu

Minggu Penulis Remaja dengan motif melahirkan dan memupuk penulis muda. Program

ini juga bertujuan melahirkan pewaris ilmu kesusasteraan pada masa depan. Dalam

usaha memperkasakan ilmu kesusasteraan ini, DBP sekali lagi menggunakan kaedah

penganugerahan bagi menggalakkan sasterawan-sasterawan menceburi bidang ini.

Kepentingan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah begitu penting sehingga ia

diiktiraf oleh jabatan kerajaan sebagai Badan Berkanun melalui Akta Parlimen pada tahun

1959 dalam memantapkan lagi pengembangan bahasa sastera. Begitu juga dengan

pengaturan rancangan memupuk bahasa sastera dengan baik.

3. Mencetak atau menerbitkan atau membantu usaha percetakan atau penerbitan

buku-buku, risalah-risalah dan lain-lain bentuk persuratan dalam bahasa

kebangsaan.

Pihak DBP merupakan sebuah organisasi yang begitu penting dalam industri percetakan

dan penerbitan buku-buku, risalah-risalah, kamus-kamus, serta pelbagai bentuk bahan

ilmiah kerana ia merupakan salah sebuah organisasi penerbitan yang terbesar di Malaysia.

Pihak DBP telah banyak mencetak dan menerbitkan buku-buku untuk sekolah-sekolah

seperti buku teks dan buku rujukan yang merupakan bahan ilmiah yang sangat penting

bagi pelajar-pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah. DBP juga bergiat aktif

dalam menerbitkan buku-buku kesusasteraan Bahasa Melayu mahupun dalam Bahasa


Inggeris. Ini bermakna peranan yang dimainkan oleh DBP adalah sangat penting dan ia

juga memberi impak yang baik dalam bidang kesusasteraan, pendidikan, dan juga

industri percetakan Negara.Menurut Bekas Menteri Kehakiman Malaysia, Dato Dr.

Sulaiman Hj. Daud (1990: 1) bahawa Dewan Bahasa dan Pustakan (DBP) sejak 20 tahun

lalu berjaya menerbitkan tidak kurang daripada 50 judul buku undang-undang Bahasa

Melayu. Ini menunjukkan DBP juga bertindak sebagai medium penterjemahaan karya-

karya asing. Maka ilmu dari luar dapat diadaptasikan dalam Bahasa Melayu bagi

memperkayakan perbendaharaannya. Dalam masa yang sama DBP juga memerlukan

penglibatan para sarjana, pengkritik dan pemantau bahasa, agar buku-buku terbitan DBP

dapat dianalisa dan diberi ulasan-ulasan fragmentasi atau resensi buku, agar orang ramai

akan dapat menikmati dan memahami intipati buku-buku yang diterbitkan oleh DBP.

4. Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai

dalam bahasa kebangsaan;

Pelaksanaan dasar bahasa yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di

sekolah rendah, menengah dan hinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi

menggerakkan kegiatan peristilahan yang didukung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

(DBP). Banyak Jawatankuasa Istilah (JKI) telah ditubuhkan oleh DBP dengan kerjasama

institusi pengajian tinggi awam untuk mengumpul, membentuk dan menyebar luas

istilah bahasa Melayu dalam bidang sains asas dan sains gunaan. Perubahan ini

menyaksikan perancangan korpus bahasa Melayu berkembang dengan cepat sekali.

5. Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

Sepertimana yang sedia maklum, tidak ramai atau hanya segelintir sahaja daripada rakyat

Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Majoriti daripada mereka
menggunakan Bahasa Melayu yang tidak betul. Sebagai contoh yang paling ketara ialah

rakyat Malaysia menggunakan bahasa pasar sebagai bahasa percakapan harian mereka.

Bukan sahaja sebagai bahasa percakapan harian, malah notis-notis ataupun risalah-

risalah awam yang diedarkan kebanyakannya tidak menggunakan Bahasa Melayu yang

betul seperti risalah-risalah ataupun poster-poster untuk konsert dan promosi kompleks-

kompleks beli-belah. Oleh hal yang demikian, pihak DBP perlu memainkan peranan yang

sangat penting untuk mengatasi masalah yang telah berleluasa hingga ke hari ini seperti

mewujudkan buku-buku dan risalah-risalah dan akhbar-akhbar yang menggunakan dan

memperbetulkan penggunaan Bahasa Melayu yang tidak betul di kalangan rakyat

Malaysia. Walaupun DBP menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan namun setelah

masa beredar melangkaui peredaran zaman kini banyak pecampuran bahasa seperti

bahasa rojak yang sedang menular dalam masyarakat masa kini. Oleh itu, dengan adanya

DBP masalah penyalahgunaan bahasa ini dapat dibendung. Disamping itu, keaslian

bahasa kebangsaan ini tidak dicemar. Begitu juga dengan penggunaan bahasa singkatan.

Contohnya, singkatan bagi sungai, bukit, jalan, dan sebagainya. Penggunaan singkatan ini

memudahkan penulis surat bagi alamat dan kawasan.

6. untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan

secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat

kuasa.

Dalam usaha memperkembangkan bahasa Melayu DBP melaksanakan pelbagai program

melalui fungsi pengukuhan dasar bahasa kebangsaan, pemantauan,pemupukan, penataran,

pekhidmatan dan penyebaran. Pelbagai kegiatan dilaksanakan melalui fungsi-fungsi ini

bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu terus menjadi mantap sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara Malaysia. Di sinilah peranan

yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sangat penting ke arah

memasyarakatkan secara meluas penggunaan bahasa Melayu dengan pendekatan dan

kaedah yang menarik dan selaras dengan perkembangan teknologi info-telekomunikasi.

Daripada kaedah biasabiasa dan stereotype yang sering digunakan, DBP perlu meneroka

pendekatan baru melalui industri kreatif, media sosial dan elektronik mengadakan

program pembelajaran bahasa Melayu dan menghasilkan promo, iklan, drama dan sitkom

televisyen dan radio yang bersangkutan dengan bahasa Melayu.

Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang cekap dan berkesan

dalam semua bidang terutama dalam bidang pentadbiran negara, dalam bidang pengajian

tinggi, dan dalam kegiatan yang maju dan kompleks seperti kegiatan intelektual, kegiatan

kebudayaan, ekonomi dan perdagangan. Masalah dan kekangan yg timbul ialah terdapat

golongan yang berpandangan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang maju dan

bersifat saintifik. Tetapi kita jangan lupa bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa

lingua franca suatu ketika dahulu yang dituturkan dan digunakan sebagai bahasa

komunikasi oleh golongan pedagang, golongan agama, golongan pemodal di nusantara

ini. Bahasa Melayu kini telah dituturkan oleh masyarakat di negara ini sebagai bahasa

komunikasi, bahasa perpaduan dsb

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

1.0 PENGENALAN
Sejarah perkembangan Bahasa Melayu perlu dilihat dari sudut etimologi kata Melayu.

Asal usul perkataan ini sebenarnya masih belum disahkan oleh ahli sejarah. Apa yang

dapat dilakukan ialah meneliti beberapa bukti yang dapat dikaitkan dengan kata Melayu,

iaitu catatan Cina yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu

mempersembahkan hasil bumi kepada Maharaja Cina sekitar tahun 644-645 Masihi. Ada

juga yang berpandangan bahawa kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera

yang diberikan namanya berdasarkan sebatang sungai bernama Sungai Melayu. Satu

catatan orang Cina ialah seorang sami Buddha yang bernama I-Tsing menggunakan

perkataan tersebut apabila menceritakan tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya

sekitar tahun 675 Masihi. Dalam bahasa Jawa Kuno pula, perkataan Mlayu bermaksud

berlari atau mengembara. Ini dapat dikaitkan dengan kedatangan Indo-Melayu

(Austronesia) yang dikatakan bergerak dari Yunan ke Tanah Melayu.

Istilah Melayu dapat dilihat dari dua segi, iaitu pengertian yang sempit dan pengertian

yang luas (Asmah,1985:37). Bagi pengertian pertama, istilah ini merujuk kepada bangsa-

bangsa Austronesia yang terdapat di semenanjung Tanah Melayu dan kawasan

tradisional yang disebut sebagai gugusan pulau-pulau Melayu, yakni pulau-pulau yang

meliputi Indonesia hari ini.

Pada tahun 1972, pertubuhan UNESCO telah memilih istilah Melayu bagi merujuk

kepada suku bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah

Melayu, pantai timur Sumatera dan beberapa tempat lagi yang berdekatan. Bahasa yang

digunakan oleh penduduk di kawasan ini ialah Bahasa Melayu. Bahasa ini menjadi

bahasa kebangsaan di Malaysia, manakala di Indonesia dikenal pula sebagai Bahasa


Indonesia yang merupakan bahasa kebangsaan di negara itu juga.

1.1 ASAL USUL BAHASA MELAYU

Beberapa orang sarjana bahasa Barat telah membuat penyelidikan tentang bahasa-bahasa

yang tersebar di kepulauan Melayu dengan membandingkan antara satu bahasa dengan

bahasa yang lain. Antara pengkaji yang terkenal termasuklah R.H. Geldern, J.H.C. Kern,

Wilhem Von Humboldt, Van Der Tuuk, Otto Demwolff, P.W. Schmidt, Brandstetter,

William Marsden dan lain-lain. Sarjana tempatan yang turut memberi sumbangan

terhadap usaha ini ialah Asmah Haji Omar, Amat Juhari Moain, Harun Aminurrashid,

Ismail Hussien dan lain-lain.

Bangsa Melayu dikatakan berasal dari Asia Tengah atau dari Nusantara (kepulauan

Melayu). Ini berdasarkan dua teori yang dikemukakan oleh para pengkaji, iaitu R.H.

Geldern, iaitu seorang ahli pengkaji prasejarah yang mengatakan bahawa bangsa Melayu

berasal dari Asia Tengah berdasarkan kajian yang dibuat terhadap kapak tua (beliung

batu) yang ditemui. Kapak tua tersebut ditemui di sekitar hulu Sungai Brahmaputra,

Irrawaddy, Hwang, Salween dan Yangtze yang didapati serupa dengan kapak tua yang

ada di kawasan Nusantara. Beliau menyimpulkan bahawa kapak tua di Nusantara itu

dibawa oleh masyarakat dari Asia Tengah bersama-sama dengan bahasanya sekali.

Pengkaji seterusnya ialah J.H.C. Kern, seorang ahli filologi Belanda juga mengatakan

bahawa bangsa Melayu itu berasal dari Asia Tengah berdasarkan persamaan beberapa

perkataan. Beliau mendapati ada beberapa perkataan yang terdapat di kepulauan

Nusantara itu terdapat juga di Madagaskar, Taiwan, beberapa pulau di kepulauan Pasifik

dan di Filipina. Beliau juga mendapati bahawa perkataan yang digunakan berasal

daripada induk yang sama, iaitu Asia.


Selain dua tokoh tersebut, William Marsden yang membuat kajian terhadap Bahasa

Melayu mendapati Bahasa Melayu dan bahasa Polinesia itu merupakan bahasa serumpun.

Pendapat yang kedua mengatakan bahawa bangsa Melayu itu berasal dari Nusantara yang

bermaksud Bahasa Melayu itu bermula dari Nusantara. Dalam kajian ini, istilah filum

digunakan bagi menggambarkan kelompok bahasa yang menjangkau lebih 5,000 tahun.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh para pengkaji, Bahasa Melayu didapati

tergolong dalam filum bahasa-bahasa Austris yang mempunyai tiga rumpun utama:

Bahasa Austroasia, Tibet-China dan Austronesia (Rajah 1.1).

Rajah 1.1: Pembahagian Filum Austris

1.1.1 Keluarga Bahasa-Bahasa Austronesia

Perkataan Austronesia merupakan gabungan dua perkataan, iaitu austro dan nesos.

Perkataan w berasal daripada bahasa Latin, yang bermaksud selatan; manakala perkataan

nesos berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud pulau. Oleh itu, istilah

austronesia membawa pengertian pulau-pulau selatan (Asmah,1985:35). Istilah ini

diperkenalkan oleh P.W. Schmidt, manakala istilah Malayo-Polenesia digunakan oleh

Wilhem von Humboldt, ahli bahasa yang telah mengkaji aspek keserumpunan bahasa

antara Bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa di daerah Polinesia. Bahasa Austronesia

ialah satu rumpun bahasa yang tergolong dalam satu filum Bahasa Austris bersama-sama

dengan rumpun bahasa Austroasia dan TibetChina. Istilah rumpun digunakan bagi
menggambarkan sekelompok bahasa yang mempunyai tempoh masa antara 2,500 5,000

tahun.

Rumpun Bahasa Austronesia terbahagi kepada empat rumpun, iaitu bahasa-bahasa di

kepulauan Melayu (Nusantara), bahasa-bahasa Polinesia (bahasa-bahasa di Hawaii,

Tonga dan New Zealand iaitu di kalangan bangsa Maori), Melanesia (bahasa-bahasa di

Fiji, Irian dan New Caledonia), dan Mikronesia (bahasa-bahasa di kepuluan Gilbert,

Carolina, Marshall dan Marianna) (Rajah 1.2).

Rajah 1.2 : Pecahan Rumpun Bahasa

Austronesia
1.1.2 Rumpun Bahasa Melayu

Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga Nusantara di bawah rumpun Bahasa

Austronesia. Asal-usul Bahasa Melayu adalah dari filum Austris. Filum Austris terpecah

kepada tiga rumpun bahasa yang besar iaitu rumpun Austroasia dan rumpun Austronesia

(dulu dikenali sebagai Malayo-Polinesia), dan rumpun Tibet-China. Rumpun Austronesia

pula dipecahkan kepada empat keluarga, iaitu Indonesia (Nusantara), Melanesia,

Mikronesia dan Polinesia (Rajah 1.2). Dalam keluarga bahasa Nusantara terdapat kira-

kira 200 hingga 300 bahasa. Namun begitu, bahasa-bahasa tersebut dikelaskan kepada

golongan tertentu seperti golongan Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak,


Muna-Butung, Gorontalo, Tomini, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi selatan, Bima-Sumba,

Ambon-Timul, Sula-Bacon, dan Halmahera selatan-Irian Jaya. Bahasa Melayu tergolong

ke dalam kumpulan bahasa Sumatera.

Beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur-penutur Bahasa Melayu berasal

daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah

Yunan dan telah turun dalam dua gelombang pergerakan ke wilayah Asia Tenggara.

Golongan pertama disebut Melayu Proto yang datang sejak tahun 2,500 sebelum Masihi.

Tidak dijelaskan mengapa mereka berpindah. Mereka tinggal di kuala-kuala sungai dan

pantai untuk memudahkan kerja-kerja mencari makan. Golongan kedua disebut Melayu

Deutro yang datang kira-kira dalam tahun 1,500 sebelum Masihi. Perpindahan mereka

juga tidak dapat dipastikan sebab-sebabnya. Melayu Deutro ini telah berpindah mengikut

jalan dan laluan yang dilalui Melayu Proto. Apabila sampai di selatan mereka mendesak

golongan pertama ke daerah pinggiran, ke hulu sungai, ke kawasan gunung atau ke

tempat-tempat yang terpencil, manakala Melayu Deutro tinggal di kawasan tanah pamah,

tanah rendah, lembah sungai dan di tepi laut.

Selain daripada itu, terdapat teori yang menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari

Tanah Besar Asia Tenggara. Pendapat ini didukung oleh pengkaji-pengkaji Barat. H. Kern

menyatakan bahawa penduduk di kepulauan Asia Tenggara berasal dari Assam, di

bahagian timur negara India. Beliau membuat kesimpulan demikian lantaran terdapat

persamaan-persamaan adat resam beberapa suku di Sumatera dan Borneo dengan suku-

suku di Assam seperti suku Naga di India. Henry Yule pula berpendapat seperti J.R.

Logan iaitu tentang wujudnya persamaan adat resam antara penduduk-penduduk di

daratan Asia Tenggara dengan yang terdapat di kepulauan Melayu. Persamaan-persamaan


ini menunjukkan bahawa mereka adalah daripada keturunan yang sama.

Berdasarkan kajian-kajian ini boleh dikatakan bahawa penduduk-penduduk kepulauan

Asia Tenggara hingga ke Lautan Teduh berasal dari tanah besar Asia Tenggara. Tetapi

tidak dapat dipastikan dari mana. Ada yang mengatakan dari Yunan, di barat daya negeri

China; dari Assam, India; dari Asia Tengah; dan ada juga yang mengatakan dari bahagian

selatan tanah besar Asia Tenggara. Seorang lagi sarjana yang membuat kajian

perbandingan bahasa ialah Mees. Beliau membuat kajian bertitik tolak daripada

pembahagian oleh Schmidt dengan sedikit perubahan dan data yang lebih perinci.

Menurut Mees lagi, bahasa dan dialek di Tanah Melayu tidak dapat tidak, mempunyai

hubungan dengan bahasa yang digunakan di pantai Timur Sumatera, iaitu Bahasa

Melayu. Malah, daerah Bahasa Melayu di luar Tanah Melayu merangkum kepulauan

Riau, Palembang, Kampar, Jambi dan Medan. Bahasa Melayu-Sriwijaya memperlihatkan

sisa-sisa tua daripada salah satu Bahasa Austronesia berdasarkan prasasti yang terdapat

pada batu bersurat Talang Tuwo bertarikh 680 Masihi. Di bahagian utara pula, terdapat

kelompok bahasa Aceh, bahasa Batak seperti Karo, Toba, Simalungan, dan Angkola-

Mandiling, Nias, Mentawai, Minangkabau dan Lampung.


Rajah 1.3: Keluarga Bahasa Melayu

Istilah keluarga digunakan bagi menggambarkan sekelompok bahasa yang kurang

daripada 2,500 tahun. Berdasar Rajah 1.3, kita dapati bahawa keluarga Bahasa Melayu

juga mempunyai pecahannya tersendiri. Kumpulan Bahasa Melayu Johor mempunyai

induknya yang bermula daripada Bahasa Melayu Johor kemudian Bahasa Melayu Tengah

sebelum ke Bahasa Melayu induk yang dikatakan berasal daripada Bahasa Melayu Proto

yang juga merupakan kumpulan Bahasa Austronesia.

Daripada keluarga Indonesia (Nusantara), Bahasa Melayu terpecah kepada 16

subkeluarga atau bahasa, iaitu Bahasa Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak,

Gorontalo, Tomini, Toraja, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi Selatan, Muna-Butung, Bima-


Sumba, Ambon-Timur, Sula-Bacon, Halmahera Selatan-Irian Jaya. Dalam subkeluarga

Sumatera termasuk Bahasa Aceh, Batak, Minangkabau, Melayu, Nias, Lampung, dan

orang Laut.

Osman Omar (1961:3) mengatakan bahawa percabangan Bahasa Indonesia begitu

tersebar luas kerana dikembangkan oleh suku bangsa yang seketurunan dengan bangsa

Melayu dan penyebaran ini terjadi disebabkan sifat semula jadi bangsa Melayu sendiri

sebagai ahli pelayaran dan perantau yang masyhur. Ciri-ciri pelaut dan perantau bangsa

Melayu ini mengakibatkan berlakunya dua pertembungan penting pada induk Bahasa

Indonesia menjadi berbagai-bagai bahasa lain. Menurut Asmah (1985) kawasan

penyebaran bahasa-bahasa Indonesia dianggap sebagai pusat keseluruhan kawasan

Austronesia atas beberapa sebab. Antara lain, keluarga bahasa ini melebihi mana-mana

keluarga bahasa dari segi bentuk-bentuk bahasanya. Malah daripada keluarga bahasa

inilah terdapatnya Bahasa Melayu, iaitu bahasa yang pesat perkembangannya sehingga

dijadikan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Malah kerajaan yang memerintah alam nusantara semuanya terdapat di kawasan

Indonesia, misalnya Kerajaan Sriwijaya-Melaka dan kerajaan Melayu-Johor.

Hal ini diperjelaskan oleh Ismail Hussien (1948:5) yang mengatakan bahawa Bahasa

Melayu hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan

Melayu. Oleh sebab bentuknya yang amat sederhana dan kemungkinan menerima unsur

asing dan sifatnya yang dapat dilentur buat memenuhi keperluan semasa, maka jadilah

Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang terpenting dalam sejarah bahasa-bahasa di

kepulauan Melayu. Ahli bahasa membahagikan perkembangan Bahasa Melayu kepada


beberapa tahap, iaitu:

i) Bahasa Melayu Kuno

ii) Bahasa Melayu Klasik

iii) Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar jumlahnya dibandingkan dengan

bahasa lain seperti Bahasa Jawa atau Bahasa Tagalog. Bahasa Melayu Purba dikatakan

wujud pada zaman prasejarah namun tidak ada bukti yang bertulis pada masa itu.

Perbincangan dalam modul ini lebih tertumpu kepada perkembangan Bahasa Melayu

Kuno dan Bahasa Melayu Klasik yang menjadi asas kepada perkembangan Bahasa

Melayu Moden.

Anda mungkin juga menyukai