Anda di halaman 1dari 8

JELASKAN BERKAITAN DENGAN MODEL ASSURE

A Analisis Pelajar (Analyze learners)

Menganalisis kumpulan sasaran atau pelajar kita adalah penting untuk


membantu kita merancang pengajaran pembelajaran yang sesuai bagi mereka.
Namm, untuk mengenal pasti keperluan setiap pelajar dalam kelas kita adalah
sesuatu yang sukar dilaksanakan. Justeru, garis panduan berikut dapat digunakan
untuk menganalisis pelajar agar kita dapat memilih strategi, bahan sumber, dan
media yang paling wajar untuk mencapai objektif pengajaran-pembelajaran.
Pelajar dapat dianalisis berdasarkan aspek-aspek berikut:
- Ciri-ciri umum pelajar.
- Pengetahuan/pengalaman sedia ada.
- Gaya belajar.

1. Ciri-ciri umum:-
Termasuk peringkat umur, tahap persekolahan, tahap kemahiran intelektual,
taraf sosioekonomi, tempat tinggal, budaya serta stail pelajar (learning style)
sebelum sesuatu media itu dipilih dan digunakan.Pemilihan kaedah, media dan
bahan sumber pembelajaran dapat disesuaikan dengan jenis pelajar yang dikenal
pasti. Misalnya, peringkat umur yang muda terutama pada tahap pertama sekolah
rendah, bahan yang mengandungi gambar adalah lebih sesuai untuk digunakan
dalam latihan mengenali objek. Gambar ini pula perlulah dalam bentuk gambar
kaku. Ada kajian yang dibuat dalam model Briggs & Wager mengatakan gambar
kaku dapat dipergiatkan pembelajaran bagi mereka yang kurang asas
pembacaan.

2. Pengetahuan/Pengalaman sedia ada:-


Pelajar juga perlu dianalisis dari segi tahap kemasukan (entry characteristic).
Ini termasuklah tahap pengetahuan sedia ada, tahap kemahiran belajar dan sikap.
Pelajar yang menghadapi masalah dalam memahami sesuatu konsep dalam
metematik atau geografi mungkin memerlukan pendekatan pembelajaran yang
mempunyai stimulasi atau memerlukan animasi. Dalam hal ini penggunaan
multimedia yang mempunyai pergerakan dan animasi adalah diperlukan.
Manakala bahan relia atau lawatan ke tempat yang tertentu adalah lebih
berkesan sekiranya pembelajaran itu memerlukan seseorang pelajar itu
menggunakan keseluruhan deria seperti melihat tempat, atau memegang objek.

3. Gaya pembelajaran pelajar:-


Pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Gaya pembelajaran
ialah trait psikologi berkaitan dengan cara dan gaya individu menanggap,
berinteraksi, dan bertindak balas secara emosi dengan persekitaran
pembelajaran. Gaya pembelajaran individu merujuk kepada cara yang paling
sesuai dan berkesan untuk individu itu menguasai pembelajaran. Pengetahuan
tentang gaya pembelajaran pelajar dapat membantu guru merancang
pengajaran-pembelajaran yang efektif. Antara gaya pembelajatan tersebut
termasuk Model Dunn dan Dunn, Model Honey dan Mumford. Gaya pembelajaran
individu mempengaruhi cara individu memproses maklumat, membentuk
persepsi, merupakan faktor motivasi, dan tingkah laku pelajar. Perancangan
penyampaian pengajaran yang mengambil kira gaya pembelajaran akan
menjadikan pembelajaran lebih lancar dan efektif.

S Menyatakan Objektif (State Objectives)

Pernyataan objektif pretasi (performance objectives) dalam merancang


sesuatu pengajaran adalah amat penting dalam menentukan apakah jenis
multimedia yang ingin digunakan. Objektif ialah suatu pernyataan yang spesifik
tentang kebolehan atau pretasi yang akan dipelajari atau ditunjukkan oleh pelajar
selepas mengikuti pelajaran tersebut. Objektif juga penting untuk menentukan
corak dan jenis penilaian yang akan dibuat pada akhir pelajaran. Gagne (1985)
bersetuju bahawa objektif perlu menerangkan bukan sahaja pretasi yang sebenar
untuk diperhatikan tetapi pretasi yang dicadangkan. Objektif mesti spesifik.
Contohnya, murid dapat menyebut nama haiwan setelah mendengar bunyi suara
haiwan berkenaan.

Dick & Carey (1985) serta Kemp (1985) juga bersetuju bahawa melalui
objektif pretasi, seseorang guru dapat mengenal pasti pretasi yang hendak
dibentuk, menyusun strategi pengajaran dan membentuk kriteria untuk menilai
pencapaian pelajar-pelajar apabila tamat sesuatu pengajaran. Ia bolehlah
dianggap sebagai satu perjanjian antara pelajar dan guru dalam proses
pengajaran pembelajaran. Obektif perlu dibentuk dengan jelas dan mempunyai
hubungan rapat antara situasi ujian dengan pencapaian pelajar-pelajar demi
untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan (Moldstad, 1979; Stubbs, 1991).
Gagne, Briggs & Wager (1992) menglasifikasikan objektif kepada objektif kognitif
(berkaitan dengan intelek), objektif afektif (berkaitan dengan perasaan dan sikap)
, objektif psikomotor (berkaitan dengan kemahiran fizikal) dan objektif
interpersonal. Pengkelasan ini memudahkan seseorang guru membuat penilaian
sesudah pengajaran nanti.

Mengapakah guru perlu menyatakan objektif pengajaran-pembelajaran?


Pernyataan bojektif dapat membantu guru memilih media dan kaedah
penyampaian yang sesuai. Dengan itu, guru dapat menentukan langkah aktiviti
pengajaran-pembelajaran. Penentuan objektif juga akan membolehkan guru
menyediakan persekitaran pembelajaran yang meransangkan. Pernyataan
objektif yang eksplisit juga dapat membantu guru membuat penilaian terhadap
pencapaian pembelajaran. Guru tidak mungkin dapat menilai pencapaian pelajar
tanpa pernyataan objektif yang jelas. Akhir kata, pernyataan objektif berperanan
sebagai kontrak perjanjian antara guru dengan pelajar. Bagi guru, ini yang akan
saya ajar. Bagi pelajar ini yang mesti saya belajar.

Terdapat empat aspek dalam menulis pernyataan objektif.


- Siapakah yang hendak dicapai (kumpulan sasaran)?
- Apakah yang hendak dicapai (apakah bentuk perlakuan baharu)?
- Bagaimanakah hendak dicapai (apakah syarat perlakuan)?
- Apakah tahap pencapaian minimum (standard pencapaian yang dianggap sudah
dikuasai)?

1. Siapakah yang hendak dicapai (kumpulan sasaran)?


Siapa yang terlibat untuk mencapa objektif pengajaran pembelajaran perlu
dikenal pasti dan ditetapkan. Fokus penulisan objektif ialah pembelajaran bukan
pengajaran. Kumpulan sasaran yang dimaksudkan ialah pelajar. Pembelajaran
akan berlaku sekiranya pelajar terlibat aktif dalam aktiviti pembelajaran sama ada
secara mental (berfikir/menaja idea) ataupun fizikal (latihan kemahiran). Contoh
penulisan siapa yang hendak capai ---pada akhir pengajaran-pembelajaran,
pelajar dapat.....

2. Bentuk tingkah laku baharu.


apakah yang hendak dicapai merujuk kepada tingkah laku baharu yang
hendak dibina atau dibentuk dalam diri pelajar. Tingkah laku yang dinyatakan
dalam objektif pengajaran-pembelajaran hendaklah yang dapat dilihat dan diukur
pencapaiannya. Tingkah laku ini juga hendaklah yang wajar dan berasaskan
situasi sebenar. Pemilihan istilah yang menunjukkan tingkah laku adalah penting.
Antara perkataan yang sesuai digunakan ialah menyatakan, menulis esei,
menjawab soalan lisan, mewarnakan, memetik, merumus, dan menyelesaikan
masalah.
3. Situasi atau prasyarat perlakuan
Apakah syarat perlakuan? Bagaimanakah tingkah laku itu hendak dibuat?
Dalam situasi yang bagaimanakah tingkah laku itu dibuat? Pernyataan objektif
pengajaran-pembelajaran hendaklah termasuk syarat bagaimana tingkah laku
baharu itu dapat diperhatikan. Pernyataan syarat pencapaian objektif ini dapat
membantu guru menyediakan suasana, langkah pengajaran-pembelajaran dan
media yang sesuai. Contohnya, merumus dan memetik isi-isi penting setelah
membaca petikan yang diberi.

4. Darjah tahap pencapaian minimum perlakuan


Apakah tahap pencapaian minimum atau standard pencapaian bagi
menunjukkan bahawa sudah berlaku perubahan tingkah laku kepada diri pelajar?
Tahap pencapaian minimum ini merujuk kepada darjah ketepatan, kualiti atau
kuantiti tingkah laku, tempoh masa yang ditetapkan dan sebagainya. Pernyataan
pengukuran tahap pencapaian ini membolehkan guru menyediakan tindakan
susulan bagi membantu pelajar yang belum memcapai objektif pengajaran-
pembelajaran dalam bentuk aktiviti pemulihan dan sebaliknya pengukuhan dan
pengayaan bagi yang sudah menguasai pembelajaran. Penulisan tahap
pencapaian boleh dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif. Kriteria kualitatif sukar
didefinisikan. Penulisan kriteria kuantitatif boleh dalam bentuk peratusan, nilai
angka atau skor mentah. Contohnya, sekurang-kurangnya tujuh daripada sepuluh
dengan tepat dan betul.

Cuba analisis objektif pengajaran-pembelajaran berikut. Kenal pasti ciri-ciri


penulisan objektif yang baik.
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran, pelajar dapat:
a. Menamakan secara lisan sekurang-kurangnya tujuh negeri di Malaysia yang
mempunyai sultan.
b. Melabel nama-nama negeri yang diketuai sultan pada lakaran peta Malaysia
sekurang-kurangnya 7 daripada 9 buah negeri dengan betul.
c. Menyelesaikan teka silang kata mengenai kesultanan melayu dengan
ketepatan minimun 80% dalam kumpulan berempat.

S- Memilih kaedah, media dan bahan (Select methods, media and materials)
Dalam kompenen ini seseorang guru mempunyai tiga prosedur iaitu memilih
kaedah, media dan bahan berdasarkan penggabungan beberapa faktor berkut:
-Ciri-ciri pelajar (the characteristics of the learners)
-Bentuk objektif (the nature of the objectives)
-Pendekatan pengajaran ( the instructional approach)
-Kekangan situasi pengajaran (the constraints of the instructional situation)

Setiap bahan yang dipilih tidak semuanya menepati kehendak dan keperluan
objektif. Ini bukan bermakna bahan tersebut tidak boleh digunakan sebagai media
pengajaran. Ia boleh diubahsuai atau direka bentuk agar menepati objektif, ciri-
ciri pelajar, pendekatan yang akan digunakan termasuklah teknik penyampaian
serta kekangan yang mungkin dihadapi sama ada dari aspek perkakasan dan
perisiannya.Dalam situasi ini, beberapa persoalan perlulah difikirkan semasa
membuat pilihan agar pemilihan itu tepat dan berkesan digunakan di bilik darjah.

Persoalan
-Adakah aras perbendaharaan kata dan struktur ayat sesuai dengan tahap
pelajar?
- Adakah bahan bacaannya sesuai untuk pelajar?
- Adakah segala ilustrasi sesuai dengan pengalaman pelajar?
- Jika bahan perlu dimanipulasikan adakah pelajar memiliki cirri-ciri kemahiran
tertentu?
- Adakah maklumat dalam bahan sesuai dengan aras mentality pelajar?
- Adakah aspek teknikal mengganggu proses pembelajaran?

Setiap perancangan pengajaran yang baik akan memerlukan pemilihan media,


kaedah, dan bahan sumber yang dibuat secara sistematis dan terancang juga.
Proses pemilihan tersebut merangkumi tiga langkah berikut:

1. Membuat keputusan tentang kaedah yang paling sesuai dengan objektif yang
hendak dicapai.
2. Memilih format media yang sesuai dengan kaedah yang dipilih.
3. Memilih, mengubah suai atau mereka bentuk bahan sumber pembelajaran.

Penentuan Kaedah
Sekiranya ditanya, apakah kaedah yang paling baik? Jawapannya tidak ada
sebarang kaedah yang mengatasi kaedah lain. Sesuai dengan latar belakang
pelajar yang pelbagai, gabungan beberapa teknik dalam satu sesi pembelajaran
adalah lebih berkesan. Penentuan kaedah hendaklah diasaskan kepada cirri-ciri
pelajar, pengalaman sedia ada pelajar, gaya pembelajaran pelajar serta
objektifpembelajaran yang hendak dicapai. Kaedah simulasi dan tunjuk cara
mungkin sesuai untuk menyampaikan maklumat bagi pelajar yang belum
menguasai kemahiran membaca yang mantap. Pelajar yang memilih gaya
pembelajaran kinestetik lebih mudah dapat belajar melalui aktiviti konteksual,
kajian lapangan, kaedah bermain, simulasi, lakonan dan seumpamanya.

Pemilihan Format Media


Format media merujuk kepada bentuk fizikal sesuatu maklumat yang
dipaparkan. Format media termasuk kertas sebak, iaitu gambar, petikan, slaid,
audio, video, grafik, dan tayangan computer multimedia. Untuk memilih format
media, guru hendaklah menagabil kira beberapa criteria. Antaranya, bentuk
audiens (kumpulan pelajar: kelas/ kumpulan/ individu), keupayaan pelajar, domain
objektif serta bentuk maklum balas yang akan dihasilkan.

Pemilihan Bahan Sumber


Bahan sumber pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada isi pelajaran
yang menjadi fokus pembelajaran. Bahan ini boleh dalam bentuk petikan, artikel,
teks dan sebagainya. Kriteria pemilihan melibatkan tiga langkah berikut, iaitu
memilih bahan sumber sedia ada, mengubai suai bahan sumber sedia ada, dan
mereka bentuk bahan sumber baharu.

Menurut McAlpine & Wetson (1994) dipetik oleh Heinich et al. (1999), untuk
memilih bahan sumber yang sesuai, soalan-soalan berikut perlu ditanya:

1. Adakah bahan ini menepati kurikulum?


2. Adakah isi sumber ini tepat dan terkini?
3. Adakah laras bahasanya jelas dan mudah difahami?
4. Adakah bahan ini menarik dan memotivasikan?
5. Adakah bahan ini dapat menarik penglibatan pelajar?
6. Adakah bahan ini ada kualiti?
7. Adakah bukti yang menunjukkan bahan ini berkesan?
8. Adakah bahan ini bebas daripada iklan dan kecenderungan memihak?
9. Adakah ada panduan pengguna? Manual pelajar? Bank ujian?

Memilih bahan sumber sedia ada yang menepati criteria dan objektif
pengajaran-pembelajaran dapat menjimat masa dan biaya. Namun, jika bahan
sumber sedia ada tidak sepenuhnya menepati criteria dan objektif pembelajaran,
guru perlu mengubah suai bahan tersebut secara kreatif. Contohnya,
menggunakan bahagian-bahagian yang sesuai sahaja, memotong aspek-aspek
atau bahagian-bahagian yang tidak relevan dan sebagainya. sekiranya tidak ada
bahan sumber yang sesuai, guru boleh menyediakan bahn sumber sendiri. Ini
pasti memerlukan masa, biaya dan kreativiti yang tinggi.

U- Mengguna media dan bahan(Utilize media dan materials)

Langkah seterusnya ialah bagaimanakah media dan bahan sumber


pengajaran-pembelajaran dimanfaatkan oleh guru dan pelajar? Anjakan fokus
daripada strategi berpusatkan guru kepada strategi berpusatkan pelajar tutut
menjadikan penggunaan sumber pembelajaran oleh pelajar lebih utama
berbanding media penyampaian guru. Bagi memastika kejayaan penggunaan
media dan bahan sumber, tindakan-tindakan berikut perlu dilakukan oleh guru.

1. Semak/ pratonton/ kaji bahan sumber sebelum digunakan di dalam kelas.


Guru hendaklah mengkaji/ menyemak/ menonton bahan sumber yang telah dipilih
sebelum menggunakkannya di dalam kelas. Ini akan dapat membantu guru
memastikan bahan tersebut benar-benar sesuai dengan kumpulan pelajar,
objektif pengajaran-pembelajaran, tidak mengandungi unsur-unsur sensitive,
berada dalam keadaan baik dan sebagainya. dengan itu, guru dapat merancang
penggunaannya semasa pengajaran-pembelajaran.

2. Sediakan bahan untuk penggunaan dalam kelas.


Setelah menjalankan pratonton contohnya, guru hendaklah merancang langkah
penggunaannya dalam pengajaran-pembelajaran. Dalam penyediaan ini, guru
perlu mengumpulkan dan menyediakan semua kelengkapan yang perlu bagi
kegunaan guru dan pelajar. Guru juga hendaklah boleh meramal masalah yang
mungkin timbul dan bersedia dengan bahan tambahan atau pelan alternative
penggunaannya.

3. Sediakan persekitaran yang sesuai untuk penggunaan.


Menyediakan persekitaran yang sesuai merujuk kepada penyusunan media dan
bahan sumber agar mudah dicapai, diambil atau dilihat. Guru juga patut
memastikan alatan dan media dalam keadaan baik dan boleh guna. Susun atur
bilik darjah sesuai dengan kaedah yang dipilih juga hendaklah dipastikan.
Contohnya, susun atur kerusi dalam bulatan kecil untuk perbincangan kumpulan.

Persoalan berikut membantu para guru mengenal pasti infrastruktur baik dari
segi kedudukan kelas, perkakasan dan perisian dan jenis aktiviti yang hendak
dijalankan supaya sesuai dengan bjektif pembelajaran.

Persoalan
Adakah media ini perlu menggunakan perkakasan atau perisian tertentu?
Bagaimanakah kedudukan susunan bilik darjah supaya sesuai dengan media
yang hendak disampaikan?
Di manakah kedudukan anda serta kedudukan media supaya mudah dilihat oleh
pelajar serta mudah digunakan oleh anda sendiri?
Bagaimanakah anda dapat mengawal bilik darjah dengan penggunaan media
tersebut?
Adakah pencahayaan di bilik darjah sesuai dengan media sekirannya bahan
tersebut perlu ditayang?
Adakah aspek teknikal seperti bekalan elektrik, punat dan kabel penyambung
elektrik dapat digunakan sekiranya media tersebut memerlukan
perkakasan yang dijalankan dengan kuasa elektrik?
Di manakah media tersebut akan disimpan selepas penggunaan?

4. Sediakan pelajar untuk mendapat manfaat daripada bahan sumber.


Menyediakan pelajar untuk pengalaman pembelajaran sama pentingnya dengan
menawarkan pengalaman yang meransangkan. Induksi yang terancang dan
memotivasikan dapat menimbulkan rasa ingin tahu pelajar untuk terus belajar.
Menurut Ausubel, pelajar boleh disediakan untuk menerima maklumat baharu
dengan membuka minda mereka dengan advance organizer, iaitu memberikan
gambaran menyeluruh berkaitan dengan isi pelajaran yang akan dipelajari.
Seterusnya, wajar bagi guru memberitahu pelajar akan objektif pembelajaran
serta kepentingan menguasai isi pelajaran. Dengan itu, pelajar dapat
dimotivasikan untuk belajar. Pelajar juga patut tahu tentang aspek yang diberi
fokus untuk penilaian pembelajaran.

5. Sediakan pengalaman pembelajaran bagi pelajar.


Bagi menyediakan pengalaman pembelajaran, guru hendaklah Berjaya memilih
kaedah dan teknik penyampaian yang sesuai. Guru hendaklah menguasai
pelbagai kaedah dan teknik penyampaian agar dia dapat menjadi pengajar yang
baik. Semasa penyampaian isi pelajaran, guru boleh menggunakan slaid,
projector overhed, gambar foto dan sebagainya untuk menarik tumpuan
perhatian pelajar kepada penyampaiannya. Dalam perkembangan pembelajaran,
fokus pembelajaran hendaklah diberi keutamaan. Strategi berpusatkan pelajar
boleh digunakan untuk melibatkan pelajar secara langsung dalam proses
pembelajaran. Guru berperanan sebagai pengurus dan fasilitator. Antara kaedah
dan teknik yang sesuai ialah simulasi, lakonan, perbincangan, kajian lapangan,
bengkel dan pembentangan dan sebagainya. apabila pelajar terlibat secara
langsung, pembelajaran menjadi lebih berkesan.

R- Memerlukan penyertaan pelajar (Require learner participation)

Sesuatu pembelajaran yang melibatkan pelajar beraktiviti atau berfikir secara


aktif akan menghasilkan perubahan tingkah laku yang kekal. Ini disokong oleh
semua teori pembelajaran baik teori behavioris mahupun teori kognitif.
Pandangan teori konstruktivis yang menjadi amalan umum hari ini juga
mengambil kira keaktifan pelajar dalam proses membina pengetahuan sendiri
sebagai bentuk pengalaman pembelajaran yang paling berkesan.

Pengalaman rasa berjaya pelajar akan dapat mengekalkan motivasi pelajar


terhadap aktiviti pembelajaran. Lataran itu, guru hendaklah memberikan maklum
balas sebaik sahaja pelajar menunjukkan kejayaan. Latihan dalam bentuk
perbincangan, latih tubi, latihan bertulis, permainan bahasa dan sebagainya
dapat terus mengekalkan penglibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran. Jika
aktiviti-aktiviti berkenaan menyediakan maklum balas secara langsung juga
melalui guru, keterlibatan dan minat pelajar dalam aktiviti akan berterusan.

Pemilihan media dan bahan sumber yang sesuai sebenarnya dapat membantu
dan mengekalkan penglibatan pelajar dalam proses belajar. Gambar, foto, slaid,
gambar bersiri, video contohnya dapat mencetuskan perbincangan kumpulan,
penjanaan idea dan juga aktiviti penyelesaiaan masalah.Media pengajaran yang
baik membolehkan penyertaan dan respons pelajar berinteraksi serta mendapat
maklum balas. Ia boleh berlaku sama ada secara invidu atau secara kumpulan. Ia
juga harus bersesuaian dengan aktiviti serta teknik pengajaran yang
dilaksanakan.

Respons mungkin bermula daripada yang mudah seperti membaca apa yang
terpapar atau membuat huraian, menjawab soalan hinggalah ke peringkat yang
cangih seperti soalan yang berbentuk interaktif atau bahan yang bercirikan
hypermedia pada bahan multimedia yang dipaparkan melalui computer.

Persoalan berikut harus difikirkan apabila media pengajaran digunakan dalam


penyampaian.

Persoalan
Adakah penyertaan pelajar boleh dilakukan secara individu atau kumpulan?
Apakah bentuk respons yang diperlukan sama ada lisan, tulisan, lakaran dan
sebagainya?
Adakah pelajar memerlukan alat tulis, atau menggunakan papan kekunci bagi
computer atau member maklum balas?
Adakah pelajar memerlukan kemahiran tertentu untuk member respons?
Apakah bentuk halangan yang mungkin dialami oleh pelajar apabila member
respons dan apakah cara mengatasinya?
Apakah bentuk ganjaran yang perlu disediakan hasil daripada penyertaan yang
dibuat oleh pelajar?
Apakah aktiviti susulan hasil daripada penyertaan pelajar?

E- Menilai dan menyemak semula (Evaluate and revise)

Komponen yang akhir dalam Model ASSURE ini ialah penilaian dan menyemak
semula perancangan. Langkah ini menyentuh dua aspek penilaian, iaitu penilaian
pembelajaran dan penilaian pengajaran. Penilaian seharusnya dibuat sepanjang
proses pengajaran-pembelajaran untuk memastikan pemilihan objektif, media dan
bahan sumber sesuai dengan keupayaan pelajar. Penilaian semasa proses
pengajaran-pembelajaran boleh dibuat melalui pemerhatian perlakuan
pembelajaran pelajar. Melalui penilaian semasa proses pembelajaran, tindakan
menangani masalah pembelajaran boleh diambil. Pada masa ini, guru boleh
mengubah teknik, memudahkan bahasa atau mengambil tindakan alternative
lain. Penilaian ini membawa kepada penilaian pembelajaran ke arah pencapaian
objektif pengajaran-pembelajaran.

Penilaian pembelajaran boleh dibuat dalam pelbagai bentuk. Bentuk penilaian


pembelajaran terbahagi kepada dua iaitu penilaian formal dan penilaian informal.
Penilaian formal merujuk kepada ujian. Penilaian informal dbuat melalui hasil kerja
pelajar, pemerhatian, soal jawab, aktiviti kumpulan, pembentangan dan
seumpamanya. Penilaian pembelajaran boleh dibuat sepanjang proses
pengajaran-pembelajaran. Perlakuan pembelajaran pelajar sebenarnya member
maklum balas tentang pencapaiaan objektif, perancangan pengajaran guru,
pemilihan kaedah, media dan bahan sumber.

Penilaian pengajaran boleh dibuat setelah selesai proses pengajaran-


pembelajaran melalui amalan refleksi. Guru perlu menilai semula perancangan
dan pelaksanaan pengajaran untuk melihat setakat mana perancangan dan
pelaksaan pengajaran untuk melihat setakat mana perancangannya berjaya.
Melalui proses refleksi, guru perlu melihat semula perancangan, pengajaranm
tindak balas pelajar terhadap aktiviti pembelajaran, pencapaian objektif dan
sebagainya. Soalan-soalan berikut perlu ditanya:

1. Apakah perasaan saya? Seronok? Puas hati?


2. Adakah objektif tercapai? Objektif yang bermasalah?
3. Apakah kekuatan perancangan dan pelaksanaan pengajaran-pembelajaran?
Kaedah? Aktiviti pembelajaran? Latihan?
4. Apakah kelemahan perancangan dan pelaksanaan pengajaran-
pembelajaran?
5. Apakah punca kekuatan atau kelemahan tersebut?
6. Apakah yang harus saya lakukan untuk mengatasi kelemahan dan/ atau
menjadikan perancangan lebih baik?
7. Apakah bentuk tindakan susulan seterusnya?

Penilaian adalah satu proses yang berterusan serta bersepadu. Berterusan


bermaksud ia dinilaikan bukan sahaja di peringkat penggunaan tetapi di semua
peringkat. Manakala bersepadu bermaksud ia bukan sahaja dinilaikan pada aspek
teknikal tetapi dinilaikan pada aspek strategi penyusunan pengajaran oleh guru
termasuk penetapan objektif, pelbagai bentuk respons pelajar sama ada melalui
diskusi, latihan, pengamatan serta prestasi pelajar dalam kuiz, kemahiran yang
ditunjukkan atau apa saja bentuk ujian formatif hasil daripada penggunaan media
yang dipilih dalam sistem penyampaian sesuatu topik pembelajaran.

Berdasarkan penilaian yang dibuat maka guru akan dapat membuat


penyesuaian sekirannya perlu pada mana-mana kelemahan agar media tersebut
akan lebih mantap digunakan pada masa yang lain. Penilaian pengajaran atau
refleksi ini akan membuahkan idea untuk penambahbaikan atau tindakan
pembetulan yang sesuai. Guru dapat menggunakan maklumat refleksi ini dan
maklum balas pelajar untuk merancang pengajaran yang lebih efektif. Guru juga
boleh menyediakan senarai semak tindakan guru dan perlakuan pelajar sebagai
panduan untuk membuat penilaian pengajarannya. Dengan itu, guru dapat
mengambil tindakan membetulkan langkah pengajaran, pemilihan objektif atau
pemilihan media yang kurang berkesan dalam perancangan seterusnya.

Anda mungkin juga menyukai